Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Friday, November 1, 2013

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-23]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..

Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Nasihat Hari Ini : Sesalilah segala kesalahan yang kita lakukan di dunia, sebelum kita menyesal di alam seterusnya. 

Nasihat Hari Ini : Bernikah untuk bercinta lebih baik daripada bercinta untuk bernikah.

Nasihat Hari Ini : Kahwin muda tidak semestinya akan sengsara, begitu juga kahwin berusia tidak semestinya akan bahagia, kerana ia bergantung kepada pasangan yang berada dalam perkahwinan tersebut yang menentukannya.

Nasihat Hari Ini : Dosa untuk kita tinggalkan, Pahala untuk kita usahakan. Bukan Dosa untuk kita lakukan, Pahala untuk kita abaikan. Ayuh perlahan2 kita lakukan perubahan ke arah kebaikan.

Nasihat Hari Ini : Jangan nasihat diberikan hanya manis bicara, indah bahasa, namun keikhlasan hati tidak diikut serta.

Nasihat Hari Ini : Teori tanpa praktikal tidak bermakna, tapi praktikal tanpa teori juga bahaya. Begitulah juga ilmu tanpa amal adalah sia-sia, tapi beramal tanpa ilmu juga bahaya. Ayuh tingkatkan ilmu di dada dengan banyakkan membaca.

Nasihat Hari Ini : Syaitan akan menggunakan benda yang kita suka untuk menyesatkan kita. Semoga kita tidak tertipu dengan mainan musuh kita semua.

Nasihat Hari Ini : kita perlu fastabiqul khairat (berlumba2 ke arah kebaikan), bukan fastabiqul sayyi'at (berlumba2 ke arah kejahatan).

Nasihat Hari Ini : Harga seorang lelaki mahupun wanita bukan terletak pada harta atau kecantikanya, tapi terletak pada iman dan takwanya. Semoga kita mahal di sisi Allah itu jauh lebih utama.

Nasihat Hari Ini : Tegurlah dahulu menggunakan kelembutan sebelum terpaksa menggunakan kekerasan. Bukan terus menggunakan kekerasan sebelum dicuba dengan kelembutan.


Nasihat Hari Ini : Kita jangan hanya ingin menjadi pendengar ilmu yang setia, tapi tidak berusaha untuk menjadi penyampai ilmu yang setia.

Wednesday, October 30, 2013

Tadabbur Quran : Azab Pekak, Bisu & Buta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Tadabbur Ayat Dalam Halaqah

"InsyaAllah ana menjemput Akhi Fakhrullah untuk berikan sedikit tadabbur atas ayat yang kita bacakan tadi" M/C halaqah memainkan peranannya mengawal majlis halaqah semalam. 

Saya pun mencari ayat-ayat yang ingin bersama dihayati dan diambil pelajaran bersama semua ahli halaqah yang lain. Saya pun melihat satu ayat yang mungkin jarang diketengahkan dan nampak sangat ringkas jika tidak didalami lebih dalam lagi. Ayat tersebut adalah:

"Mereka tuli, bisu & buta, sehingga mereka tidak dapat kembali" [QS al-Baqarah, 2:18]

Dalam ayat ini jika kita perhatikan ayat-ayat sebelumnya adalah mengenai orang yang mempermainkan orang beriman dan mempermainkan keimanan dengan sifat munafik. Namun, dalam tadabbur kali ini, saya ingin membahaskan dalam skop yang lain iaitu dalam sudut dunia perubatan dan dalam pendidikan.

Dari Sudut Perubatan

Penyusunan daripada tuli -> bisu -> buta merupakan bukan susunan yang biasa-biasa diletakkan tanpa ada makna lain yang boleh kita dalami. Hukuman terhadap pancaindera tersebut kita boleh padankan dengan:

Pendengaran = Ditulikan
Percakapan = Dibisukan
Penglihatan = Dibutakan

Dalam kehidupan seseorang manusia, ia merupakan susunan pancaindera yang kita perolehi satu persatu. Bermula dengan pendengaran yang kita dapatkan sejak dari alam rahim lagi. Inilah hasil kajian dimana seseorang bayi memang sudah mampu mendengar sejak dari dalam perut lagi.

Setelah keluarnya bayi tersebut dari alam rahim, maka keluarkan tangisan yang memecahkan deria suara setiap manusia dan akhirnya dalam lebih kurang beberapa bulan, maka deria penglihatan mula diberikan.

Dahsyatnya penyusunan azab Allah SWT yang diselarikan dengan penyusuan deria yang Allah sendiri yang menyusunNya. Allahu Akbar. Dari pandangan perubatan juga, hampir 98% orang-orang yang tuli atau pekak pasti bisu kerana mereka tidak mampu tahu mereka ada suara sebenarnya kerana tidak mampu mendengar suara sendiri.

Pekak yang dibahagikan kepada dua jenis samada pekak secara mechanically atau neurologycally juga memainkan peranan samada boleh diubati atau tidak. Bahkan setakat ini, hanya pekak dari sudut mechanical yang mampu dibantu dengan menggunakan alat bantuan mendengar, berbeza dengan pekak dari sudut neurology atau saraf yang sangat-sangat sukar untuk diubati.

Dari Sudut Pendidikan

Kita juga ketahui kajian dari University of Philadelphia mengenai kaedah belajar samada auditory, visual atau kineshtatic dan antara kaedah paling berkesan sebenarnya adalah auditory kerana ia sudah mula beroperasi sejak kita di perut mak lagi. Sebab itu sangat dianjurkan ketika membaca sesuatu perkara agar boleh membacanya dengan suara bukan hanya membaca di dalam hati sahaja.

Hasil dari kajian ini, musuh-musuh Islam sangat bijak dalam mengalih perhatian kita melalui medium pendengaran dengan lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat-sangat melalaikan dan merosakkan. Bahkan mereka juga tahu deria awal manusia adalah pendengaran maka ia akan berusaha agar umat Islam tidak mendengar perkara-perkara sepatutnya seperti al-Quran, zikir, nasihat, dan sebagainya.

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Quran ini dan buatlah kekacauan terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka."[QS Fussilat, 41:26]

Saya yakin ramai antara kita sangat-sangat tertarik dengan lagu-lagu yang mengasikkan, tidak menjadi masalah jika ianya merupakan lagu yang mendidik jiwa, berbanding lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Namun jika ianya lagu yang mendidik jiwa, jangan juga terlalu berlebihan sehingga kita kurang mendengar ayat-ayat al-Quran samada dari pembacaan suara sendiri atau orang lainnya.

Ayuh umat Islam sekalian, bersama kita jaga pendengaran kita dari perkara-perkara yang merosakkan pemikiran kita juga nanti.

Monday, October 28, 2013

Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Hari ini, kita banyak dikejutkan dengan kedahsyatan remaja dalam melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Perkara yang terkadang tidak pernah terlintas di fikiran kita anak-anak sekarang tergamak melakukan perkara sedemikian. Kebanyakan kita selalu melihat kesalahan ini terletak di tangan dan kaki anak-anak itu sendiri.

Namun, untuk perkongsian kali ini, ayuh kita melihat bahawa tidak semua kesalahan kita letakkan di riba anak-anak masa kini. Ibu bapa pada hari ini juga betapa dahsyatnya perilaku mereka kepada anak-anak mereka dewasa kini. Kes-kes seperti bapa merogol anak sendiri, ibu bapa mendera dengan dahsyat sekali, dan seribu satu lagi kes-kes yang mengakibatkan anak-anak menyimpan dendam lalu membalasnya semula di masa akan datang.

Itu merupakan contoh-contoh kes yang jelas-jelas berat di mata kita. Namun, kesalahan lain yang ramai memandang ringan terhadapnya, namun merupakan salah satu punca sebenar anak-anak makin liar & tidak terkawal akhlaknya adalah DIDIKAN ISLAM yang sangat-sangat-sangat kurang kepada mereka. Alasan yang selalu diberikan adalah ibu bapa tiada masa untuk anak-anak mereka, hanya fokus bekerja mencari wang ringgit semata-mata, akhirnya alasan oleh anak-anak pula dalam bertingkah laku yang buruk sekali adalah kekurangn kasih sayang.

Kita dapat lihat ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka yang tidak menutup aurat, bergaul dengan kawan-kawan yang merosakkan akhlak, melihat video-video atau wayang-wayang yang mengajarkan perkara-perkara yang salah, meninggalkan solat, dan banyak lagi akhlak yang sangat buruk dimana bukan sahaja mereka membiarkan anak mereka melakukannya, tapi mereka sendiri melaksanakan.

Anak Perlu Balas Dendam?

Kita akui tidak semua anak lahir dalam keluarga yang mengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ada antara kita yang lahir dengan ibu bapa yang sekadar Islam tapi tidak pernah aplikasikan syariat Islam. Ibu bapa yang tidak sembahyang apatah lagi membaca quran dan semua ibadah wajib dan sunnah lainnya. Ibu bapa yang berjudi, meminum arak, pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Lalu, apakah tugas kita sebagai seorang anak? Mencontohi apa yang mereka lakukan? Membalas dendam terhadap apa tindakan yang dilakukan terhadap kita? atau kita berusaha memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki keluarga kita pula? Saya pasti, bagi anak yang tahu membezakan yang baik dan buruk, dan bagi anak yang tahu akan ada hari pembalasan di akhirat kelak, dia pasti ingin menyelamatkan dirinya dan keluarganya dari Api Neraka yang dahsyat.

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."[QS At-Tahrim, 66:6]

Dakwah Diri & Keluarga

Anak-anak pada hari ini mungkin ramai yang berterusan menjerumuskan diri dalam kancah dosa dan kemaksiatan. Namun, saya yakin ada anak-anak yang diberikan hidayah kepada Allah melalui pelbagai medium samada dari kawan-kawan, program-program, guru-guru atau bahkan melalui Halaqah atau Usrah. Sehingga anak-anak tersebut tersedar dari lena yang sangat panjang dalam rumah keluarga yang rosak poranda.

Anak-anak tersebut sedar bahawa dirinya dan keluarganya sangat-sangat jauh dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan. Mungkin dahulu tidak pernah tahu membaca al-Quran, selalu meninggalkan solat, tidak menutup aurat, melakukan banyak maksiat dan sebagainya, namun kini, dengan diri yang baru disinari cahaya Islam Allah SWT, anak tersebut ingin melakukan sebuah perubahan paradigma. Berhijrah dari segala kesalahan, keburukan dan kemaksiatan, kepada segala kebaikan, kebajikan dan amal ibadah. Atas rasa kasih sayang kepada keluarganya, anak tersebut juga ingin membawa keluarganya berhijrah bersama menuju hidayah Illahi.

Namun, perjuangan dalam mendakwahi keluarga ke jalan yang benar bukan suatu perkara yang mudah, ingin mengubah keluarga menjadi hamba Allah yang tidak pernah meninggalkan solat, rajin membaca al-Quran, dan melaksanakn segala perintah Allah lainnya perlukan sebuah semangat dan mujahadah yang penuh kesabaran dan ketabahan.

Kita berubah menjadi kesalahan?

Salah satu ujian yang paling awal dan utama kita hadapi adalah kesalahan kerana berubah menjadi seorang individu Islam yang sebenar? Ibu bapa bahkan ada yang marah ketika ada anaknya tiba-tiba memakai tudung apatah lagi bertudung labuh, tiba-tiba berakhlak mulia, rajin sembahyang, membaca quran dan segala amal kebaikan yang ingin kita lakukan. Pelik kan? Inilah yang berlaku ketika pandangan dunia diutamakan berbanding pandangan akhirat.

Belum lagi dengan kes anak-anak yang bukan hanya ingin  berubah menjadi individu islam yang baik, namun terdetik dirinya untuk mengubah dan mengajak juga orang lain samada kepada ahli keluarga dan umat Islam yang lain. Pasti ditentang juga oleh ibu bapa mereka bahkan ada yang dituduh mengikut ajaran sesat sebagai alasan untuk mereka meninggalkan amalan-amalan kebaikan.

Cerita ini saya nukilkan setelah ada beberapa individu bertanya dan berjumpa dengan saya dan menceritakan masalah yang mereka hadapi dalam melakukan perubahan dalam diri mereka dengan suasana keluarga yang tidak condusive dan tidak supportive. Ada individu yang mampu bertahan dengan ujian keluarga, ada juga yang menuruti sahaja perintah keluarga untuk kembali ke jalan keburukan.

Begitu juga pada ikhwah akhwat, mahupun semua individu yang kini ingin menanamkan benih Islam dalam diri sendiri dan dalam diri orang lain, terkadang kita hadapi ujian dari keluarga yang tidak setuju untuk kita mengutamakan Allah dan Rasul melebih segalanya. Namun, teruslah bersabar memberi kefahaman kepada mereka dan tunjukkanlah akhlak yang baik kepada mereka lalu dakwahilah mereka dengan penuh hikmah.

"Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."[QS At-Taubah, 9:24]

Allah dan Rasul diutamakan, Keluarga tidak diabaikan

Ikhwah akhwat yang kini dalam jalan dakwah dan tarbiyyah perlu memahami bahawa walaupun kita sangat mencintai dan mengutamakan Allah, Rasul & Jihad, namun tidak bererti kita akan mengabaikan keluarga kita. Apatah lagi kalau ada yang hanya ingin mencintai & mengutamakan keluarga, namun mengabaikan Allah, Rasul & Jihad. Kerana ramai juga yang sanggup meninggalkan jalan dakwah dengan alasan keluarga.

Perlu kita hayati dan contohi kisah Mus'ab Bin Umair yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebih ibunya dan kisah Zaid Bin Haritsah yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi bapanya sebagai pembakar semangat untuk kita juga mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi segalanya.

Namun, sebagai seorang da'ie dan orang yang berusaha memahami dan mendalami Islam, pasti tidak akan tergamak mengabaikan keluarga tanpa usaha maksima. Kita pasti dengan kesibukan kita membantu Islam, namun tetap juga sentiasa mengingati mereka dalam doa kita. Kita juga pasti sangat-sangat berakhlak baik kepada mereka walaupun terkadang mereka kasar kepada kita. Bahkan sebenarnya, kita ingin menjadi anak yang soleh/solehah kepada mereka yang bukan hanya memberi kebaikan di dunia mereka, tapi bahkan di alam seterusnya.

Ibu bapa sekalian, semoga kita sangat mendidik, membantu dan menyokong anak-anak kita agar memang selalu melebihi & mementingkan Allah, Rasul & Jihad melebihi kita dan yang lainnya. Janganlah kita melebihi dan mementingkan diri sendiri berbanding kita juga mementingkan mereka mengejar cinta Illahi. Sepertimana Ummu Sulaim yang sangat bahagia ketika semua anaknya syahid mengutamakan Allah, Rasul & Jihad.

Tuesday, June 11, 2013

Bangunlah Gergasi Tidur!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



The Sleeping Giant

“The poison is injected
The giant is asleep
He’s chain into sections
To keep him off his feet
The mission is forgotten
The bond is getting weak
Wake up oh Muslim Ummah
Before we face the heat.”
(Sleeping Giant, Soldier of Allah)

Sebuah lagu yang mungkin ramai tidak tahu akan keberadaannya berbanding lagu-lagu sensasi dari artis-artis keduniaan semata sudah cukup menjadi bukti lirik lagu di atas yang menyatakan umat Islam sudah diracun sehingga tertidur dan terlena dalam buaian musuh Islam. Racun yang membuatkan ramainya umat Islam sehingga jumlahnya sebesar gergasi hanya tertidur lena sehingga terlupa akan misi utama umat Islam dan akhirnya ikatan umat Islam melemah saban hari.

Kita perhatikan isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam samada saudara di Palestine, Syiria, Rohingya, Filipina, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, penghinaan karikatur Rasulullah SAW, Filem anti-Islam, dan banyak lagi penindasan dan penghinaan mengenai Islam namun sayangnya tidak ramai Umat Islam yang ada kesedaran dalam hati bahkan tidak peduli mengenai isu-isu ini.

Dimanakah pembuktian ayat "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara"???, sabda Rasulullah SAW "Umat Islam umpama satu tubuh badan"???, "Umat Islam umpama sebuah bangunan"???, jika kita langsung tidak ingin mengambil tahu apatah lagi untuk membantu umat Islam lainnya??? Tidakkah kita ingat pesan Rasulullah SAW kepada kita:

"Tidak sempurna iman seseorang antara kamu sebelum kamu mencintai saudaramu, sepertimana kamu mencintai dirimu sendiri"[HR Bukhori Muslim]

Saya yakin kita tidak suka untuk disiksa apatah lagi dibunuh keluarga kita? Begitulah juga sepatutnya perasaan kita ketika perkara tersebut melanda umat Islam lainnya. Pernah atau tidak kita bayangkan, hayati dan tangisi betapa peritnya keadaan umat Islam yang disiksa umpama binatang? Dipatahkan kaki dan tangan, dirogol anak dan isteri bahkan dibunuh ahli keluarga di hadapan mata? Pepatah inggeris ada menyatakan, "Put yourself in their shoes" atau letakkan diri kita di tempat mereka, agar kita mampu berkongsi rasa apa yang dihadapi mereka.



Masalah utama yang menghalang kita untuk membuktikan hadis di atas adalah sikap pentingkan diri sendiri, individualistic atau "Ananiyyah" yang sangat tinggi. Istilahnya tidak mahu jaga tepi kain orang, sedangkan kita memang patut mengambil tahu dan prihatin kepada saudara Islam yang lain. Ayuh selepas ini kita pastikan sentiasa mengambil tahu info terkini umat Islam, sebarkan info tersebut lalu lakukan sebuah tindakan dalam bentuk sumbangan tenaga dan harta serta doa yang kita lantunkan.

Hujan Peluru Di Negara Orang, Hujan Maksiat Di Negara Sendiri

Jika negara lain dilanda ujian dalam bentuk penindasan umat Islam, negara kita pula dilanda ujian dahsyatnya kemaksiatan. Jika dalam post saya yang lepas (6 Anak Luar Nikah / Jam) ada kongsikan statistik anak luar nikah, kali ini saya kongsikan statistik individu yang melakukan perzinaan untuk mendapatkan statistik anak luar nikah tersebut.


Pada tahun 2000-2008, seramai 257,411 anak luar nikah yang didaftarkan, dan pasti memerlukan lelaki dan wanita yang melakukan perzinaan iaitu sebanyak 514,822 pelaku zina dalam masa 8 tahun. Kita buat perkiraan untuk mendapatkan angka dalam masa sehari kita akan dapati 176 orang berzina setiap hari. Dahsyatnya kemaksiatan!

Adakah Malaysia makin beriman? Statistik seterusnya pada tahun 2008-2010, anak luar nikah sebanyak 152,182 yang juga bermaksud seramai 304,364 pelaku zina dalam tempoh itu. Perkiraan statistik untuk sehari pula kita akan dapati 278 pelaku zina setiap hari. Makin dahsyatnya kemaksiatan! Ini baru satu isu kemaksiatan yang berlaku di Malaysia dan banyak lagi isu-isu kerosakan umat Islam seperti murtad, perceraian, hedonisme, dan lainnya.

Saya kongsikan perkara ini bukan untuk memburukkan mereka, tapi berbalik kepada kita semua umat Islam untuk mengasihani dan mengambil peduli terhadap mereka. Umat Islam di negara kita perlu diselamatkan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh Al-Aulawiyat (Fiqh Keutamaan) beliau mengatakan:

"Kita lebih perlu mengislamkan orang islam dahulu daripada mengislamkan yang bukan islam"

Bangunlah Gergasi Islam!!!

Apa yang perlu kita lakukan setelah mengetahui dan menyedari keadaan dunia Islam hari ini? Dalam buku yang bertajuk "Tariq ad-Dakwah" yang dikarang oleh Syeikh Mustafa Mahsyur, beliau memberikan sebuah perumpaan yang sangat menarik untuk kita fikirkan.

"Umat Islam hari ini umpama manusia yang sedang tidur dalam rumah yang sedang terbakar, lalu ada diantara mereka yang telah bangun dan sedar bahawa rumah sedang terbakar dan ingin mengejutkan manusia lainnya daripada terbakar"

Itulah yang harus kita lakukan, mula dengan letakkan kesedaran dan perubahan dalam diri, lalu kita kejutkan saudara-saudari seislam lainnya yang sedang lena dibuai mimpi dunia. Jika kita tidak kejutkan diri kita dan orang lain, maka kita akan berada dalam rumah yang terbakar, api Neraka.

Setiap individu ada peranannya masing-masing dalam merealisasikan bangkitnya gergasi Islam. Bermula dari diri sendiri untuk bermujahadah melawan hawa nafsu dan bisikan syaitani, ibubapa yang harus menggalakkan dan bukan melarang anak-anak mereka mempelajari ilmu agama, masyarakat yang harus prihatin menegur perlakuan salah walaupun bukan anak mereka dan akhirnya kita harapkan pemimpin yang mampu menegakkan hukum Islam di dalam pemerintahan secara bertahapan disertai dengan kefahaman kepada seluruh rakyat.


Ayuh umat Islam, jumlah kita yang ramai jangan hanya menjadi buih-buih yang mudah pecah bila diuji. Tingkatkan lagi keimanan dan amal kebaikan kita semua lalu bersama menjadi Khairah Ummaah (umat yang terbaik) yang menyeru kepada kebaikan serta mencegah dari kemungkaran sebagai pembuktian iman kita kepada Allah SWT.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah."[QS al-Imran, 3:110]

3 Golongan Umat Islam

Umat Islam hari ini saya perhatikan tergolong dalam 3 golongan:

1. Umat islam yang memburukkan Islam
2. Umat Islam yang hanya ingin menjaga Islam dalam diri.
3. Umat Islam yang ingin menjaga Islam dalam diri dan mendakwahkannya kepada orang lain.

Golongan pertama kita mampu melihat orang Islam namun seperti bukan orang Islam yang tidak mempraktikkan Islam dalam kehidupan bahkan mengamalkan budaya rosak dalam kehidupan yang pasti melemahkan kekuatan Islam. Golongan kedua pula merasa cukup untuk menjaga Islam di dalam diri sendiri sahaja.

Manakala golongan ketiga adalah orang islam yang mencintai Islam dan sanggup memperjuangkan Islam demi mengembalikannya di puncak kegemilangan. Anda ingin berada di golongan yang mana? Tepuk dada tanya iman. Semoga post kali ini mampu membangkitkan kesedaran dan semangat semua Umat Islam untuk berganding bahu dan bangkit umpama gergasi yang sangat kuat lalu menghancurkan musuh-musuh Islam semuanya. InsyaAllah.

Sunday, April 28, 2013

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod 21]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)






Nasihat Hari Ini : Mencintai seseorang akan membuatkan kita sanggup berkorban untuknya dan tidak akan pernah menyakiti hatinya. Mencintai Allah sepatutnya lebih sanggup kita berkorban melaksanakan semua perintahnya dan jangan sesekali berani menyakiti-Nya dengan melanggar larangan-Nya. Ayuh buktikan cinta kita kepada-Nya.


Nasihat Hari Ini : Nikmat disedari dan disyukuri ketika telah hilang dari sisi, semoga kita perbaiki perkara ini agar tidak menyesal di kemudian hari.

Nasihat Hari Ini : Tidak ramai ketika diuji kemiskinan tapi tetap bersyukur dengan apa yang tersedia. Lebih teruk lagi ketika diuji dengan kecukupan bahkan kemewahan namun tetap tidak bersyukur dengan apa yang ada.

Nasihat Hari Ini : Don't just plan the work, but not work the plan. Jangan hanya merancang kerja, tapi tak kerjakan rancangan tersebut. Lets plan the work and work the plan. Mari merancang kerja kita, dan kita mengerjakan rancangan kita.

Nasihat Hari Ini : Bagai ikan pulang ke lubuk, begitu juga manusia akan pulang ke kubur, ikan pulang membawa bekalan, semoga bekalan juga kita dipersiapkan.

Nasihat Hari Ini : Al-quran bukan makmum, tapi adalah imam.

Nasihat Hari Ini : Al-quran bukan sekadar perlu diterjemah kepada banyak bahasa, tapi perlu diterjemah kepada amal perbuatan.

Nasihat Hari Ini : Carilah pertemuan-pertemuan yang mampu menaikkan semangat kita untuk berjihad dalam jalan kebaikan, bukan pertemuan-pertemuan yang mengobarkan semangat kita untuk berjahat di jalan kebatilan.

Nasihat Hari Ini : Memang ramai umat Islam, tapi tak ramai yang faham islam dan tak ramai yang mengamalkan islam. Semoga kita perbaiki islam dalam diri dan umat islam yang lain.

Nasihat Hari Ini : Ada yang mempunyai kemahuan tapi tiada kemampuan untuk melakukan kebaikan, namun yang lebih teruk adalah yang mempunyai kemampuan tapi tiada kemahuan untuk melaksanakan kebaikan. Ayuh tingkatkan kemahuan dan kemampuan kita dalam berbuat kebaikan.

Nasihat Hari Ini : HALAL itu jauh lebih baik dari yang HARAM & PAHALA itu jauh lebih baik dari DOSA. Kita tahu hakikat ini tapi mengapa tidak kita peduli?

Nasihat Hari Ini : Kekuatan berada di jalan kebaikan bukan hanya dilihat dengan kekuatan fizikal atau kekuatan akal tapi kekuatan hati di dalam dada.

Friday, March 29, 2013

Luar Dari Biasa


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Latihan Luar Dari Biasa

Luar dari biasa? Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kenyataan ini? Sebenarnya, luar dari biasa adalah satu perkara atau tindakan yang luar dari kebiasaan kita lakukan. Sebagai contoh yang mudah, saya minta izin kepada semua pembaca untuk sama-sama memberikan kerjasama untuk melaksanakan latihan yang akan saya terangkan selepas ini. Minta semua pembaca membuat mengikut apa yang saya katakan ya..
  1. Sila sediakan kertas & pensel/pen dihadapan laptop/dekstop anda..Sudah? Ok..
  2. Sila pegang pensel/pen tersebut lalu tulis perkataan "Luar Dari Biasa" di atas kertas yang anda sediakan..
  3. Sekarang tukar kedudukan pensel/pen kepada sebelah tangan yang satu lagi. Jika tadi anda menulis menggunakan tangan kanan, tukarkan kepada tangan kiri dan begitu juga sebaliknya..faham?..ok..bagus3..
  4. Sekarang, gunakan tangan yang dah kita tukar tadi dan tulis di row seterusnya perkataan "Luar Dari Biasa"..Mungkin tulisan kita akan makin buruk..tidak mengapa, yang penting tulis sahaja dulu..Sudah
  5. Sekarang, pensel/pen masih lagi di kedudukan tangan yang dah ditukar tu, tulis lagi ayat yang sama sebanyak 4 kali..ok..tulis sekarang..dah?
  6. Akhir sekali, gunakan otak fikiran kita untuk berfikir apa ibrah atau pengajaran yang boleh kita ambil dari aktiviti latihan yang mudah ini.
Saya yakin, setiap kita ada ibrah-ibrah yang kita terfikir daripada aktiviti ini, kerana memang terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil dari pelbagai sisi. Namun untuk perkongsian kali ini, ayuh kita hayati salah satu ibrah yang penting terhadap aktiviti tadi.

Permulaan aktiviti tadi, saya menyuruh para pembaca menulis menggunakan tangan yang biasa kita gunakan untuk menulis. Kemudian, saya meminta kita menukar tangan yang tidak biasa kita gunakan untuk menulis bagi menulis perkataan yang sama berulang kali. Pada kali pertama mungkin agak janggal bin pelik corak dan font tulisan kita itu, namun setelah beberapa kali kita ulang, akhirnya makin terbiasa untuk menggunakan tangan yang satu lagi itu untuk menulis.

Inilah hikmah yang ingin saya sampaikan dari aktiviti tadi, latihan untuk mengubah sebuah kebiasaan kepada perkara yang tidak biasa atau luar dari biasa kita lakukan. Permulaannya memang payah, namun setelah diulang dan diulang akhirnya kita pasti boleh membiasakannya, ingatlah, semua benda bermula dengan perkara yang kita tidak biasa lakukan, namun setelah melakukannya berulang kali, maka ia menjadi benda yang sudah sebati dalam hidup kita.

Kebiasaan Negatif kepada Kebiasaan Positif

Perkara paling utama untuk kita ubah adalah kebiasaan-kebiasaan negatif kepada perkara positif. Sebagai contoh, mungkin kita adalah orang yang dah biasa bangun lewat, sekarang, cuba ubah kebiasaan tersebut kepada bangun lebih awal bahkan mampu untuk tahajjud dan solat subuh berjemaah pula. Memang mula-mula kita tidak biasa, namun akhirnya yakinlah ia akan menjadi kebiasaan dalam hari kita untuk bangkit lebih awal dari sebelumnya.

Pengaplikasian konsep "Luar Dari Biasa" ini mampu kita aplikasikan di semua aspek kehidupan kita. Tidak biasa membaca al-Quran, maka ayuh kita membiasakan membacanya. Tidak biasa solat sunat tahajjud, maka biasakanlah. Tidak biasa tidak merokok, maka biasakanlah tidak merokok. Tidak biasa menutup aurat dengan sempurna, maka biasakan memakai pakaian yang melindungi aurat kita. Tidak biasa buat kebaikan, maka biasakanlah. Tidak biasa untuk bersedeqah atau berwakaf, maka biasakanlah. Terlalu banyak perkara-perkara kebaikan yang kita tidak biasa lakukan, maka ayuh bersama-sama kita tingkatkan kebiasaan kita untuk makin banyak melaksanakan kebaikan pula.

Gambar Hiasan..Hehe..

Sekali lagi, mengambil ibrah aktiviti di atas tadi, memang mula-mula agak payah untuk membiasakan, namun setelah kita ulang & ulang, maka pasti kita akan biasa melaksanakannya. Bahasa pyschology memanggilnya "Repeatition Power" = "Kuasa Mengulang", sepertimana juga dalam surah ke-17 ayat ke-41 yang menyatakan perkara yang kita ulang dan ulang akan membuatkan kita makin ingat perkara tersebut.

Kebiasaan Bagi Para Da'ie

Tidak lengkap kiranya perkongsian-perkongsian yang saya berikan tidak menyentuh dengan istimewa kepada semua yang bergelar da'ie atau yang ingin menjadi da'ie. Mari kita sedari bersama, memang permulaan jalan tarbiyyah dan dakwah kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang tidak biasa kita lakukan, namun akhirnya, berbekalkan niat dan kesungguhan yang tinggi, akhirnya kita pasti mampu dengan gagahnya menapak di jalan ini bahkan menjadi kebiasaan bagi kita untuk melaksanakan tugas-tugas seorang da'ie.

Jika sebelum ini kita tidak biasa untuk berkoban, maka kita jadikan kebiasaan untuk berkorban sana dan sini demi menyebarkan kalimat Illahi. Jika selama ini kita tidak biasa bercakap dan menyeru manusia perihal kebaikan, maka jadikan kebiasaan untuk sentiasa kita mencari peluang untuk mendakwahkan kebaikan dan perjuangkan kebenaran. Jika selama ini kita dah biasa tidak disiplin dan sering bertangguh melaksanakan tugasan, maka ayuh biasakan diri untuk disiplin dan proaktif menyiapkan tugasan kita.

Akhir sekali buat para da'ie, jangan biasakan diri kita memberikan alasan itu dan ini, nescaya ia akan makin mengakar di dalam hati, dan akhirnya kita yang menjadi da'ie yang tidak berkualiti. Mari biasakan diri kita agar sentiasa mencari jalan dan bukan memberikan alasan, diberikan satu pengarahan atau tugasan, berfikir dengan sebaik mungkin untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakannya. InsyaAllah.

Latihan Otak Kiri & Otak Kanan

Perbahasan mengenai kebiasaan dalam konteks attitude atau sikap telah puas kita menyentuhnya sebentar tadi, semoga semua pembaca dapat aplikasikan di pelbagai lagi bidang kebaikan untuk kita melaksanakan perkara "Luar Dari Biasa". Kali ini, sedikit perkongsian lain dalam konteks yang lain, melakukan sebuah perkara yang kita tidak biasa sebenarnya merangsang, mengasah dan melatih otak kita yang satu lagi.

Contoh latihan yang mudah adalah memberus gigi menggunakan tangan yang tidak biasa kita lakukan, memakai jam tangan di tangan yang yang lain, dan banyak lagi perkara-perkara yang boleh kita ubah sebagai langkah melatih kedua-dua otak kita mencapai tahap kecerdasan yang tinggi.

Semoga sedikit perkongsian kali ini mampu memberikan solusi terhadap perkara-perkara negatif yang kita hadapi. Wallahu'alam..

Friday, March 22, 2013

Rasa Penting VS Tindakan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Mendalami "Rasa Penting"

"Merasa penting sesuatu perkara adalah berkadar terus (directly proportional) dengan kuantiti dan kualiti tindakan kita" atau dalam erti kata lain, makin kita anggap sesuatu perkara itu sangat penting, akan membuatkan kita membuat tindakan yang semaksimanya terhadap perkara tersebut. Jika ada tindakan kita yang kurang terhadap sesuatu perkara, bermakna kita tidak menganggap penting terhadap perkara tersebut.

Inilah topik yang ingin kita bahaskan bersama kali ini agar mampu memberikan impak yang maksima dalam diri kita dalam menghadapi pelbagai perkara dalam kehidupan kita. Merasa kepentingan terhadap sesebuah perkara adalah salah satu kekuatan dan motivasi dalaman yang mampu memberikan kesan yang luar biasa terhadap penghasilan sesebuah perkara tersebut. Ayuh mulakan dengan merasa penting untuk membaca dan memahami perkongsian "Rasa Penting VS Tindakan" yang ingin saya nukilkan ini..^.^..

Rasa Penting Membuahkan Tindakan

Kita makan dan minum semua kerana kita merasa pentingnya untuk makan & minum. Ini antara analogi mudah yang menunjukkan rasa penting membuahkan tindakan, kerana jika kita tidak merasa pentingnya makan & minum sebagai asas dalam kehidupan kita, maka kita tidak akan makan dan minum untuk meluruskan tulang belakang kita bagi melakukan pelbagai aktiviti harian, mingguan, bulanan, tahunan, abadan atau kurunan kita..hehe..harap contoh yang mudah ini mampu kita hadam sebaik mungkin.

Antara contoh kesan tidak merasa penting terhadap sesuatu perkara adalah seperti berikut (maaf jika ada yang terasa):

  1. Tidak memakai helmet atau tali pinggang keselamatan sedangkan ia penting untuk keselamatan
  2. Tidak berhenti merokok sedangkan ia memberi impak negatif kepada diri dan sekeliling
  3. Tidak menjaga kebersihan diri sehingga nanti sakit menyusahkan diri dan orang sekeliling.
  4. Tidak merasa penting untuk berjimat sehingga habis duit baru mencari.
  5. Tidak merasa penting untuk jaga pemakanan sampai penyakit mendatang tiada henti.
  6. Tidak merasa penting akan akademik kita sehingga keluar keputusan baru timbul penyesalan.
  7. Tidak merasa penting untuk bekerja bersungguh-sungguh sehingga dipotong gaji di akhir bulan.
dan banyak lagi sebenarnya contoh-contoh yang saya pasti kita semua boleh senaraikan kerana kita sendiri yang mengalami. Itu kalau kita perhatikan pengaplikasian "Rasa Penting" dalam aspek kehidupan dunia kita. Namun, ada perkara yang jauh lebih utama untuk kita merasa kepentingannya yang bersangkut paut masa depan kita di alam seterusnya, akhirat.

"Rasa Penting" Dalam Keimanan

Merasa penting dalam beriman amat perlu kita tekankan dan tanamkan dalam hati dan minda kita bersama. Ramai antara kita yang tidak merasa penting untuk beriman yang akhirnya membuahkan tindakan yang sangat salah sehingga mengabaikan dan membiarkan iman terus jatuh di bawah garis kemiskinan. Sedangkan kita tahu hari pembalasan pasti kan ada terhadap semua tindakan kita di alam dunia fatamorgana.

Cukuplah ada antara kita yang tidak merasa penting untuk solat sebaiknya sehingga kita solat sambil lewa sehingga tiada ruh dalam solat kita, lebih keruh lagi ada yang sanggup meninggalkan solat sedangkan amalan pertama yang menjadi penentu buruk dan baiknya amalan kita lainnya adalah solat!

Cukuplah merasa tidak penting untuk menutup aurat sehingga mengundang diri dan orang lain mendekati perzinaan pelbagai sisi (mata, telinga, hati, tangan & kemaluan). Tingkatkanlah standard aurat kita sebagai lambang mahalnya seorang insan beriman. Bukannya merendahkan martabat kita sehingga terlalu mudah untuk enak dimakan begitu sahaja.

Ayuh kita aplikasikan rasa kepentingan dalam pelbagai ibadah kita seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, membayar zakat, berinfak atau berwakaf, dan banyak lagi ibadah-ibadah kita yang lain. Jika ada ibadah yang sedia ada kita lakukan, maka tingkatkan lagi rasa kepentingannya agar bertambah kualitinya, dan jika ada yang belum kita laksanakan, maka tingkatkanlah rasa kepentingan untuk melakukannya kerana keyakinan kita terhadap hari pembalasan.

Aplikasi "Rasa Penting" Fi at-Tariq ad-Dakwah (Jalan Dakwah)

Perkongsian istimewa untuk semua ikhwah dan akhwat tidak kisah dari jemaah apa sahaja, mari kita tingkatkan lagi rasa kepentingan terhadap dakwah kita semua yang menuju kepada satu matlamat yang sama, iaitu redha Allah semata. Jika masih ada antara kita yang tidak bersungguh-sunguh dalam jalan dakwah, sebenarnya itu adalah bukti kita tidak merasa penting untuk berdakwah!!! Apatah lagi orang-orang yang meninggalkan dakwah, memang langsung tidak merasa pentingnya melaksanakan perintah dakwah dari Allah SWT!!! Sekadar tahu pentingkan diri sendiri dan mengorbankan kepentingan agama Illahi.

Mungkin ada antara kita tidak merasa penting untuk bersilaturrahim, mentajmi', berusaha ada anak usrah/halaqah atau memberikan tazkirah dan ceramah kepada umat Islam khususnya sehingga tindakan kita biasa-biasa sahaja atau kelihatan jelas rendahnya semangat kita dalam melaksanakannya!!!

Pengarahan-pengarahan dakwah dan amanah-amanah dakwah yang diberikan kepada kita perlu kita rasa pentingnya samada sekecil-kecil atau sebesar-besar perkara agar kita bertindak semaksima yang mungkin. Perkara ini saya timbulkan kerana saya melihat masih ada pejuang-pejuang kita masih sekadar melepaskan betuk di tangga dalam menggalas amanah yang diberikan kepada mereka. Melaksanakan dan menyiapkan tugasan atau pengarahan secukup rasa sahaja dan bukannya sesedap rasa. Harap kita perbaiki perkara ini demi kepetingan dakwah ini.

Perkara terakhir yang tidak ketinggalan adalah hubungan kita dengan Allah SWT. Saya yakin kita semua tahu kepentingan menjaga amanah Allah namun terkadang tidak terbukti dengan tindakan kita pula. Mutabaah Ibadah kita yang lebih banyak turun bukit berbanding naik ke puncak bukit, ini semua perkara yang perlu kita baiki sekarang juga!!! Jangan lagi bertangguh untuk merasa kepentingan terhadap perkara-perkara yang kita sudah tahu kebaikannnya!!!

Rasa Pentingkan Diri?

Akhir dari perkongsian kali ini, rasa pentingkan diri??? Ini sikap yang bukan sinonim dengan rasa penting yang kita bahaskan sebentar tadi. Kita dalam Islam hidup dalam persaudaraan dan tidak mementingkan diri sendiri tidak kira tua-muda, miskin-kaya, orang atasan-bawahan, dan ragam-ragam lainnya, itulah indahnya Islam. Hasil tidak mementingkan diri sendiri bukan hanya berlaku adil sesama kita, bahkan ada yang sanggup melebihkan (itsar) demi saudara seislamnya. Wallahu'alam.

Thursday, October 25, 2012

Aishiteru (Aku Cinta Padamu)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Romantiknya Lirik Cinta

Permulaan post kali ini ingin saya mulakan dengan beberapa potongan lirik lagu cintai. Ayuh kita hayati.

Walau Raga Kita Terpisah Jauh
Namun Hati Kita Selalu Dekat
(Aishiteru Oleh Zhifilia)

Bila Terasa Rindu,
Ku Sebut Namamu,
(Bila Terasa Rindu oleh Dafi)

Kau Mau Apa, Pasti Kan Ku Beri
Kau Minta Apa, Akan Ku Turuti
Walau Harus Aku Terlelah Dan Letih
(Doaku Untukmu Sayang Oleh Wali Band)

Pasti ramai antara sidang pembaca khususnya para generasi muda membaca lirik tersebut dengan alunan lagu tersebut, atau dalam erti ayat lain, pasti lagu di atas ramai diketahui bahkan didendangkan generasi muda hari ini. Sungguh indah percintaan sesama manusia yang digambarkan dalam lirik lagu tersebut.

Jika kita tadabbur (hayati) lirik di atas, pertama menyatakan walau raga berjauhan, namun dekat di hati, kedua menyatakan ketika terasa kerinduan pasti menyebut nama kekasih hati, dan akhir sekali menyatakan sanggup terlelah dan letih demi memenuhi dan menuruti permintaan kekasih hati. Wah, sungguh romantik!

Alihkan Kuasa Cinta

Gambaran lirik diatas itulah ekspresi kuasa cinta sesama manusia dewasa ini.  Kuasa cinta menyebabkan yang jauh terasa dekat, yang berat terasa ringan, yang pahit terasa manis bahkan yang busuk terasa wangi. Sebagai contoh, ada pasangan yang tinggal berjauhan, namun atas kuasa cinta, mereka terasa dekat sekali. Ada juga yang sanggup berkorban harta dan masa yang memang berat, namun atas kuasa cinta, perkara berat terasa ringan untuk dilakukan. Ada pula terkadang terpaksa menerima beberapa pengalaman pahit bersama pasangan, namun atas kuasa cinta, perkara pahit terasa manis ditelan.

Apa yang penting, kebanyakan kuasa cinta yang diaplikasikan pasangan muda-mudi yang tiada ikatan halal pada hari ini saya pasti kebanyakannya hanyalah lakonan semata-mata. Ramai pelaku maksiat antara mereka menggunakan kalimat cinta bagi mewakili nafsu keji mereka yang diselimut indah dengan kata-kata yang menggoda. Maka, pastikan kita berwaspada dengan pujukan rayu mereka. Sedarlah, orang yang benar-benar mencintai kita tidak akan sanggup menyakiti kita, samada di dunia bahkan lagi untuk alam seterusnya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua sidang pembaca untuk kita alihkan kuasa cinta kepada yang sepatutnya, Allah. Mari atas kuasa cinta kita akan sentiasa merasa dekat dengan Allah, sentiasa ringan melaksanakan suruhannya dan tinggalkan segala laranganNya. Selain itu, segala ujian dan ketentuan yang nampak pahit akan kita telan dengan rasa manis sekali. Janganlah lagi kita jauh daripada Allah, jangan lagi terasa berat untuk melaksanakan perintah-Nya mahupun meninggalkan larangan-Nya dan janganlah lagi kita sentiasa terasa pahit dengan segala ketentuan dari-Nya. InsyaAllah.

Perbandingan yang lain, saya pasti jika kita mencintai seseorang akan membuatkan kita sanggup berkorban untuknya dan tidak akan pernah menyakiti hatinya. Mencintai Allah juga sepatutnya lebih sanggup kita berkorban melaksanakan semua perintahnya dan jangan sesekali berani menyakiti-Nya dengan melanggar larangan-Nya. Ayuh kita buktikan cinta kita kepada-Nya kerana cinta kepada Allah adalah kata kerja yang perlu digerakkan dengan amalan, bukan hanya kata nama yang hanya didiamkan dalam fikiran.

Bercinta Selepas Bernikah

Perbahasan mengenai tahapan cinta serta langkah mendapatkannya sudah saya bahaskan dalam majalah SINERGI edisi ketiga, atau dalam post 'Ajarkan Aku Cinta' insyaAllah dalam kesempatan kali ini, saya ingin lebih membahaskan cinta sesama manusia yang perlu kita lihat dengan kaca mata yang menggunakan kanta Al-Quran dan As-Sunnah bukan dengan kanta Asy-Syahawat dan Asy-Syaitan. Walaupun saya yang sangat baru mengubah status saya menjadi seorang suami pada 2 June 2012 yang lepas ketika dalam usia 22 tahun, namun semoga sedikit pengalaman dan perkongsian mampu bersama kita sama-sama fikirkan untuk kita amalkan.

Ramai kita perhatikan generasi muda bahkan berusia dewasa ini meletakkan pemikiran dan pemahaman bahawa dalam mencari pasangan hidup, mereka perlu bercinta dahulu sebelum menjejak ke gerbang pernikahan. Menjadikan perkara ini lebih parah lagi, ibubapa juga menyokong bahkan mendokong anak-anak mereka untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi kononnya dengan bakal pasangan hidup anak mereka.

Saya tidak melarang untuk ta'aruf (berkenalan) dahulu bakal suami mahupun isteri kerana ini adalah pemilihan yang sangat penting sebagai teman hidup dunia bahkan mampu sampai ke syurga, tapi pastikan dijaga dan ditegaskan batasan dalam berkenalan tersebut kerana memang dalam hadis yang diriwawatkan oleh Imam Ahmad membolehkan bakal pasangan untuk melihat wajah bakal pasangan dengan niat untuk menikahinya. Saya juga mendapat tahu ada beberapa organisasi gerakan Islam turut mewujudkan medium atau sistem ta'aruf antara muslimin dan muslimat yang sangat menjaga batasan dalam ta'aruf samada dikenali dengan baitul muslim atau baitul du'at. Semoga Allah meredhai usaha kalian.

Bernikah untuk bercinta memang lebih baik daripada bercinta untuk bernikah kerana cinta sebelum nikah cuma nampak indah, tapi hakikatnya akan merana berdosa. Manakala cinta selepas nikah memang indah, bahkan akan bahagia berpahala. Tambahan pula, bernikah juga sebuah wasilah yang mampu menyempurnakan separuh dari agama (HR Baihaqi) bahkan merupakan sunnah baginda Rasulullah SAW sehingga baginda mengecam tidak mengaku sebagai umatnya kepada sesiapa yang sudah mampu menikah namun tidak ingin melaksanakannya (HR Thabrani & Baihaqi).

Ujian Melaksanakan Pernikahan

Setiap perkara kebaikan akan ada sahaja ujian untuk kita tempuhi. Ujian dalam aspek ibadah pernikahan ini juga tidak lari dari ujian yang selalu hadir disebabkan diri sendiri, bakal pasangan atau keluarga itu sendiri. Dalam aspek diri sendiri, menurut Imam Ahmad Bin Hanbal mengapa terkadang kita tidak terasa tidak ingin menikah adalah antara dua faktor iaitu:

"Jika ada seseorang pemuda yang tidak berkeinginan menikah, maka hanya ada dua kemungkinannya; banyak bermaksiat atau diragukan kejantanannya"[Imam Ahmad Bin Hanbal]

Banyak bermaksiat dan diragukan kejantanannya. Perkara lain yang lebih sentiasa menjadi penghalang adalah pemikiran dan pemahaman masayarakat hari ini yang sentiasa mempersoalkan kemampuan individu untuk mendirikan rumah tangga samada dalam aspek nafkah zahir mahupun nafkah batin mereka.

Kemampuan yang lebih sering diperselisihkan adalah nafkah zahir kerana dalam membina rumah tangga memang kita tidak menafikan ada amanah untuk memberikan keperluan kepada pasangan hidup masing-masing. Terkadang ibubapa pihak lelaki menghalang untuk anaknya bernikah kerana kelihatan tidak cukup hartanya, ibubapa pihak perempuan pula melarang menerima pihak lelaki yang nampak kurang hartanya. Ibubapa sekalian, mengapa tidak kita bukan bahkan melarang atau menghalang, namun berikan sokongan dan bantuan untuk calon berusaha memampukan diri ke arah pernikahan kerana salah satu perkara yang perlu dipercepatkan adalah menikahkan anak perempuan yang pastinya anak lelaki juga perlu dipercepatkan sebagai pasangan pihak perempuan.

"Wahai Ali, ada 3 perkara jangan ditunda-tunda; solat apabila telah tiba waktunya, jenazah apabila telah siap pengkuburannya, dan perempuan apabila telah datang lelaki yang sepadan meminangnya" [HR Ahmad]

Perkara ini memang kita fahami bahawa ibubapa ingin memberikan yang terbaik untuk anaknya, namun kita melihat yang terbaik itu lebih utama dalam aspek dunianya atau akhiratnya? Indikator kita dalam memilih calon isteri atau suami, atau menantu bagi yang bergelar ibubapa jika menurut pesan Rasulullah SAW yang paling utama adalah agamanya.

Sekali lagi, kemampuan dalam bentuk harta kita tidak menolak sama sekali, bahkan calon memang perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan harta bagi kegunaan semasa dan selepas berkahwin. Ini adalah tanggungjawab. Namun, pandangan manusia zaman ini yang terlalu memandang tinggi aspek harta yang banyak berbanding harta yang secukupnya sehingga bukan sahaja harga barang menaik, mahar wanita juga naik sekali. Sedangkan mahar yang paling baik adalah yang paling mudah bagi calon suami. Sekali lagi, paling mudah tidak semestinya paling murah, namun mengikut kemampuan masing-masing.

Semoga ibubapa selepas ini jangan lagi memberatkan dan menyusahkan anak melaksanakan ibadah pernikahan yang mampu menyempurnakan separuh agama dan menjaga kehormatan mereka di zaman yang penuh dengan kebatilan dewasa ini. Bahkan, kita seharusnya memberikan galakan dan tunjuk ajar untuk mereka berusaha memampukan diri membawa amanah sebagai seorang suami atau isteri kerana Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa pernikahan adalah jalan utama menjaga kehormatan selepas itu baru benteng puasa sebagai alternatif kedua. Ayuh bersama mengelakkan anak kita tergolong dalam pelaku zina yang menyumbang kepada statistik 4 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2000-2008 kemudian statistik makin parah iaitu 6 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2008-2011. Na'udzubillah.

Ungkapan Aishiteru Untuk Siapa?

Aishiteru (Aku cinta padamu) adalah sebuah ungkapan indah yang membuahkan pahala jika diucapkan kepada yang halal bagi kita. Namun, dalam akhir penulisan kali ini, ingin saya menegaskan sekali lagi kepada yang terlibat dengan kemaksiatan, sedarlah bahawa ia bukan landasan yang betul dalam membina ikatan kerana ia terhasil selepas dimulai dan dicemari dengan dosa larangan. Ketahuilah, bercinta sebelum menikah bukannya jalan yang diredhai dan diizinkan Allah kepada kita. Pastikan kita dijalin bukan oleh nafsu dan syaitan sebagai walinya, tapi biarlah keimanan dan keikhlasan menjadi wali penyatunya.

Jadikanlah pernikahan satu landasan untuk mentarbiyyah dan menjaga lagi diri kita. Maka, pilihlah juga pasangan yang mampu merealisasikan tujuan itu. Pasangan yang bakal membimbing kita mengenal dan mengamalkan Islam secara baik agar kita menjadi keluarga Islam yang tidak merobohkan bangunan Islam, tapi keluarga islam yang mampu menjaga bangunan Islam. Saya yakin kita semua inginkan pasangan yang baik, maka tugas kita dalam mencapai impian tersebut adalah menjadikan diri kita juga insan yang baik.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)."[QS An-Nur, 24:26]

Nasihat terakhir kepada yang sudah melaksanakan ibadah pernikahan, jika yang bujang diuji dengan pasangan haramnya, kita juga diuji dengan pasangan halal kita. Maka, jangan sampai cinta kita kepada pasangan halal kita membuatkan kita makin kurang mencintai Allah kerana samada kita masih bujang mahupun sudah berkahwin, tahapan cinta paling utama kepada Allah tidak akan pernah berubah. Ayuh kita usahakan bukan hanya ingin membina cinta di dunia, tapi binalah jambatan cinta yang mampu sampai ke syurga.

Wednesday, October 24, 2012

Ajarkan Aku Cinta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Diterbit : Majalah SINERGI Edisi Ke-3


Edisi yang memecahkan rekod paling cepat habis stok!!! alhamdulillah.


Ta'aruf Cinta

Cinta, bila berkata soal cinta, apa yang bermain di fikiran kita? Apa yang membayangi imaginasi kita? Apa yang terasa di hati kita? Cuba soalkan kepada kanak-kanak, pasti ramai menjawab cinta antara lelaki dan wanita. Cuba soalkan kepada remaja, jawapan yang sama pasti diberikan. Itulah cinta yang diterapkan dalam jiwa generasi pelapis bangsa. Hasil didikan pelbagai media massa yang kurang dijaga. Juga dari kehidupan ibu bapa dan keluarga yang mencorakkannya.

Betapa ramai antara kita yang rabun cinta, tidak jelas melihat mana cinta sebenar yang lebih utama, mana cinta sebenar yang perlu dituju? Akhirnya, kerabunan cinta sebenar melahirkan generasi yang rosak teruk akhlaknya, kancah kemaksiatan terus didakyahkan, permainan dunia terus diagungkan, barang haram terus disuapkan, angkuh dengan nikmat harta diberi, nafsu serakah driver kehidupan, dibantu syaitan core-driver setia, maka cinta sebenar seperti sudah hilang nilainya. Inilah penyakit cinta yang melanda umat kita.

Mekanisma Mahligai Rumah Tangga

Cinta antara pria dan wanita bukan ditolak, namun ada mekanisma indah telah disyariatkan Allah dalam agama-Nya. Ramai anak muda zaman sekarang menggunakan berkasih sayang dahulu baru membina mahligai rumahtangga, ber'couple' dahulu, berjalan dan makan bersama, bermesra bagai suami isteri di tempat-tempat berkondusif ke arah perzinaan, baru ingin melangkah kepada ikatan yang sah. Sedangkan Allah berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." 
[QS Ar-Rum, 30:21]

Allah firmankan dijadikan dahulu isteri atau suami, baru timbul berkasih sayang. Dunia sekarang sebaliknya, dipuaskan dahulu berkasih sayang, berpegangan tangan, beramah mesra, mengumpul dosa, baru pernikahan akhirnya.

Tidak dinafikan, perkenalan atau ta'aruf itu perlu, namun yang pasti, ada batasan yang perlu dijaga. Ramai menggunakan pertunangan dalam beberapa tempoh sebagai proses ta'aruf. Namun, betapa ramai kita lihat pasangan yang bertunang sudah menganggap mereka terikat dengan ikatan yang membolehkan apa sahaja? Inikah keluarga harapan kita yang seterusnya menentukan kondisi masyarakat kelak?

“Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah” [Rahmohan Ghandi]

Ajarkan Aku Cinta

Percintaan memang fitrah insani, mari bersama kita ajarkan hati erti cinta yang perlu diamalkan, melalui dua pegangan kita bersama; al-Quran dan Hadis., ayuh bersama telusuri dan amalkan ayat cinta dari Allah:

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.[QS At-Taubah, 9:24]

Inilah jawapan cinta yang diajarkan kepada kita, bukan ibu bapa, anak-anak, keluarga, harta, kerjaya, rumah atau kereta yang perlu kita cintai melebihi Allah, Rasul dan Jihad melawan hawa nafsu dan mempertahakan agama-Nya. Namun, hakikatnya ramai antara kita telah melanggar fitrah kecintaan kita kepada sesuatu yang pasti meninggalkan kita.

Cintakan bunga, bunga kan layu,  cintakan harta, harta kan musnah,  cintakan manusia, manusia pasti mati, Tetapi cintailah Allah, kerana Allah kekal abadi. [Imam Ghazali]

Cintailah Dia pemberi nikmat, bukan mencintai nikmat yang diberikan. Seperti kisah Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih cinta terhadap putera kesayangannya demi cinta yang lebih utama, Allah.

*post ni bukan karya penuh artikel "Ajarkan Aku Cinta"..Nak baca sampai habis kena dapatkan majalah SINERGI edisi ke-3 (tapi dah habis stok)..hehe*

Salam Eid ul-Adha (Kembali Berkorban) kepada semua..semoga kita refresh dan tingkatkan kembali pengorbanan kita kepada Yang Esa.

Wednesday, October 3, 2012

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-20]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Zulan (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Episod Ke-20

Nasihat Hari Ini :Jangan merasa rezeki yang diperoleh adalah hak milik usaha sendiri, tapi yakinlah ia adalah kehendak dan nikmat dari Illahi. 

Nasihat Hari Ini : Cemburulah kepada mereka yang melakukan kebaikan bukan untuk menjatuhkan mereka, tetapi sebagai pembakar semangat untuk berlumba dalam kebaikan yang dianjurkan Allah kepada kita.

Nasihat Hari Ini : Wahai ibubapa atau bakal ibubapa, layanlah anak kecil seperti seorang anak kecil, layanlah anak remaja seperti seorang remaja dan layanlah anak dewasa seperti seorang dewasa. Biar kecil-kecil dilayan seperti anak, besar-besar layanlah sebagai seorang kawan. 

Nasihat Hari Ini : Memang terkadang ukhuwah itu ada musimnya, ada musim luruh ada juga musim ia berbunga..Namun musim yang dilaluinya tidak akan menghilangkan ukhuwah tersebut dan ukhuwah itu akan tetap berputar melalui musim-musimnya. Ayuh kita usahakan untuk panjangkan tempoh musim bunga dalam ukhuwah sesama kita.

Nasihat Hari Ini : Berapa ramai tahu islam, tapi tidak juga ingin berislam, berapa ramai tahu iman, tapi tidak juga ingin beriman, berapa ramai tahu dakwah & jihad, tapi tidak juga mahu berdakwah dan berjihad.

Nasihat Hari Ini : Janganlah seperti lembu dicucuk hidung yang mengikuti semua kemahuan nafsu, syaitan dan musuh.

Nasihat Hari Ini : Rezeki bukan sentiasa dapat kita nikmati, terkadang ia akan ditarik ketika Allah mengkehendaki

Nasihat Hari Ini : Rasulullah bermati-matian memperjuangkan agama Islam pada zaman lalu, namun umat Islam sendiri pada zaman ini tidak menjaga bahkan merosakkan agama Islam yang diperjuangkan Rasulullah. Semoga kita menjadi umat Islam yang meneruskan perjuangan baginda dan bukan umat yang mengabaikan perjuangannya.

Nasihat Hari Ini : Kita perlu menjadi pejuang kebenaran yang sangat tegar, bukan pejuang kebenaran yang sangat hambar, sehingga mudah sahaja musuh kita datang menyambar.

Nasihat Hari Ini : Keluarga sekarang terlalu inginkan anaknya senang, tapi sayangnya membiarkan anaknya susah untuk beriman. 

Nasihat Hari Ini : Beramallah dengan ilmu yang berjaya kita cari, dan carilah ilmu untuk kita amalkan lagi.

Tuesday, August 7, 2012

HIkmah Ramadhan (Episod Ke-2) - Merasai Nilai Ukhuwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Merasai Kesusahan Saudara Lain

Ramadhan mengajarkan kita merasai sedikit kehidupan insan-insan yang mungkin tidak bercukupan. Merasai bagaimana rasanya saudara-saudara kita sentiasa berlapar terkadang bukan hanya dalam masa sehari, bahkan berhari-hari tidak mampu mengenal erti sendawa akibat kekenyangan. Bahkan ada saudara kita yang hanya mengenal makan nasi dengan kicap, nasi dengan ikan masin, dan pelbagai lagi makanan berekonomi yang lain sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.

Laparnya kita ketika dalam tempoh berpuasa perlu kita ingat dan hayati kembali begitulah perasaan insan-insan yang mungkin diuji dalam bentuk kekurangan harta dan kelaparan. Sedangkan mungkin antara kita, hanya mengenal erti hidup senang-lenang berbanding apa itu erti hidup susah-payah. Sebenarnya, kedua-dua jenis kehidupan samada senang mahupun susah adalah merupakan ujian antara kita, ada yang diuji dengan kesusahan dan ada juga yang diuji dengan kesenangan, dan selalunya mereka yang diuji dengan kesenangan akan kalah dengan mereka yang diuji dengan kesusahan.

Namun, puasanya kita kurang mampu memberikan penghayatan terhadap makna hidup susah akibat dari mind-set kita bahawa kelaparan yang kita alami hanya sementara, dan makanan yang enak-enak menanti ketika waktu berbuka. Ditambah lagi dengan qada' (ganti) makannya kita ketika berbuka laksana tidak makan berhari-hari sehingga berbuka bagai digabung dengan sahurnya sekali kerana banyaknya kita mengisi wadah/bekas yang menurut hadis paling buruk untuk diisi,yakni  perut.

"Tidaklah anak Adam mengisi wadah yang lebih buruk daripada perutnya."[HR Tirmidzi]

Jangan sampai kita berbuka puasa menghilangkan sedikit nilai-nilai puasa kita selama ini. Bahkan yang lebih parah lagi, ketika akibat dari berbuka, kita tidak mampu untuk solat terawih atau solat sunat yang lain kerana perut yang kenyang sekali dan aktiviti yang kita pilih adalah tidur. Mengapa tidur? Sebab kita kehabisan tenaga untuk bangkitkan diri..kenapa? sepertimana menurut kajian, kita akan kepenatan ketika terlalu kenyang dan bukan dengan kekenyangan kita akan makin bertenaga, hal ini kerana tenaga kita semua dikerahkan untuk mencerna banyaknya makanan yang kita ambil. Ayuh amalkan sunnah dalam pemakanan:

"Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya.Jika memang tidak mampu dihindari, maka hendaklah 1/3 perut itu untuk makanannya, 1/3 untuk minumnya dan 1/3 untuk nafasnya"[HR Tirmidzi]

Hidupkan Sunnah Berlapar

Jika penghayatan yang ingin saya kongsikan tadi lebih kepada kehidupan susah dan kelaparan oleh saudara kita pada zaman ini, ayuh kali ini kita hayati pula kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh Rasulullah SAW dan keluarganya sendiri. Saya akan kongsikan beberapa hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang kita rindui:

"Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dari roti gandum selama dua hari berturut-turut sehingga beliau wafat"[HR Bukhori & Muslim]

"Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja makan sampai beliau wafat. Beliau juga tidak pernah makan roti lembut sampai beliau wafat"[HR Bukhori]

"Sungguh aku (Nu'man Bin Basyir) melihat Nabi kalian SAW dalam keadaan sekadar kurma buruk pun tidak pernah beliau temukan untuk mengisi perutnya"[HR Muslim]

"Rasulullah belum pernah melihat an-naqiy (gandum/roti pilihan) sejak Allah mengutus beliau sebagai Nabi hingga Allah mewafatkannya"[HR Bukhori]

"Aisyah r.a. pernah mengeluarkan di hadapan kami selembar kain dan sarung yang kasar, kemudian dia berkata, "Rasulullah SAW wafat dengan memakai dua pakaian ini"[HR Muttafaqun'alaih]

Banyak lagi hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang mengalami kehidupan susah sedangkan sebenarnya jika Rasulullah ingin kaya, sangat-sangat mudah. Namun, baginda lebih memilih untuk hidup dalam kesederhanaan bahkan terkadang menghadapi kesusahan. Contoh Ghanimah (harta rampasan perang) sebenarnya ada portion/bahagian untuk baginda SAW, tapi baginda memilih untuk infakkan hartanya di jalan Allah. Hikmah bersama kita ambil, tiada masalah untuk mempunyai harta yang banyak, namun ingat, belanjakannya untuk membantu agama Allah, untuk membantu saudara kita, dan macam-macam lagi kebaikan yang boleh kita lakukan kerana tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah. Saya anjurkan untuk membaca buku "Biar Kaya Harta, Asal Kaya Hati" oleh Dr. Sa'id Abdul Azhim.

Muhasabah Status Ketakwaan

Sedikit pengakhiran, bayangkan sekarang sudah berapa hari Ramadhan yang kita lalui? Lalu bandingkan dengan amalan yang berjaya kita lakukan? Adakah tempoh hari dalam Ramadhan seiiring dengan berapa juz quran kita sekarang? Qiamullail kita adakah 10/10 dari tempoh Ramadhan kita atau bahkan banyak terlepas akibat tidur berlebihan? dan lain-lain amalan yang banyak perlu kita usahakan lagi untuk ditingkatkan dengan baki tempoh Ramadhan yang hampir habis. Semoga kita telah mengumpulkan bekalan yang terbaik menurut al-Quran, iaitu bekalan takwa yang mampu kita raih dalam Ramadhan kali ini.

Semalam saya sangat sedih melihat jemaah di surau dan masjid yang makin berkurang saban hari. Semoga kita bukan penyumbang kepada kemerosotan ini. Jika tidak mampu menjadi umpama pelari pecut 100 meter di sepanjang trek Ramadhan, jadilah umpama pelari jarak jauh yang akan pecut di akhir trek Ramadhan, berbanding menjadi umpama pelari yang terjatuh sungkur sebelum habisnya trek Ramadhan.  Penutup kali ini saya kongsikan sepotong ayat al-Quran:

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.” [QS Al Baqarah, 2:197]

Monday, May 7, 2012

Aku Disoal Perihal Rokok, Mat Rempit, Seksi, etc...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Sumber Gambar : Zulan (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)




Konsep 4M

Pelbagai tempat ceramah remaja yang saya sampaikan sering diajukan soalan mengenai "Adakah merokok HARAM?". Saya menjawab "Rokok itu HALAL..." kemudian saya perhatikan wajah-wajah terkejut semua peserta sebelum saya menghabiskan jawapan saya "kalau rokok memberikan kebaikan kepada kita dan bukan kerosakan kepada kita" kemudian saya bertanya kembali kepada peserta "tapi, rasanya rokok ini memberikan manfaat atau mudarat kepada kita?"..semua peserta majoriti (terutama perempuan, tapi lelaki ada juga yang tidak puas hati kot) sepakat berteriak "Mudharat!!!"..Soalan ini tanya anak-anak umur 6 tahun pun tahu bahawa rokok itu TIDAK BAIK!!!

Saya bertanya soalan mengenai mendatangkan manfaat atau mudarat kerana yang diLARANG dalam Islam adalah yang memudaratkan, merosakkan, membahayakan atau menghancurkan (4M) diri sendiri. Perkara ini bukan hanya seputar amalan merokok, tapi juga kepada semua kegiatan atau perkara yang sekali lagi, boleh memudaratkan, merosakkan, membahayakan atau menghancurkan diri sendiri. Jelas dalam firman Allah:

"dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan,"[QS al-Baqarah,2:195]

Seputar larangan ini yang juga tersangkut paut adalah mengenai dadah, ganja, sabu, shisha dan yang sama waktu dengannya yang sangat-sangat membahayakan diri sendiri. Ada yang mengatakan ada manfaatnya, merasa tenang la, merasa bahagia la, merasa seronok la, itu semua memang nampak manfaat, tapi manfaat kepada nafsu & syaitan sahaja. Bukan manfaat kepada Iman dan Takwa kita. Tolong bezakan manfaat yang kita perlukan.

Bagaimana pula dengan MAT REMPIT??? Sekali lagi, gunakan formula "Manfaat atau Mudharat?" maka kita akan dapat jawapannya. Anda mampu mengubahnya. Tidak salah kita pakar dalam menunggang motorsikal, cuma kena disalurkan ke tempat yang betul. Gunakan kepakaran kita itu bukan untuk membahayakan diri sendiri atau orang lain, tapi mungkin boleh gunakannya untuk kemanfaatan orang lain seperti mengejar penjahat-penjahat atau ketika berperang dengan musuh Islam nanti. Jadilah Mat Rempit yang berIMAN.

Nampak macam semua kena pada lelaki ja ni..ini..tidak..adil..bagaimana pula dengan perempuan??? Ayuh guna konsep memudaratkan, merosakkan, membahayakan atau menghancurkan diri sendiri..Hurm..apa ya..ahah..kita mulakan dengan pakaian yang seksi (tidak semestinya pakaian yang mendedahkan, yang nampak menutup pun ada juga yang bahaya) dan seksa jiwa jejaka melihatnya. Nampak dahsyat pula. Wanita biasa menjawab, "excuse me..its not my fault ok..those guys yg tertarik tgk I.."..ehem..Memang dalam hal ini kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja, tapi kedua-dua pihak. Tapi, alangkah indahnya jika kita boleh baiki salah satu pihak tersebut. Terpulang samada ingin memilih wanita yang memakai pakaian sepatutnya atau lelaki yang menjaga pandangannya. Rasanya kita semua sudah tahu apa kesan bahaya yang terkena kepada wanita yang mampu menarik perhatian lelaki yang lemah imannya.

Masih endak (bahasa sabah yang bermaksud tidak) adil??? Owh, mau contoh perempuan lagi??? hurm..ok..pengambilan makanan tambahan atau alat tambahan dengan tujuan mencantikkan lagi diri mereka sehingga sebenarnya memberi kesan negatif kepada mereka..If makanan tambahan yang halalan toyyiba endak apa la..Ini terkadang makan pil berbotol-botol yang membahayakan kesihatan, install banyak benda dalam badan la untuk dapatkan potongan yang diinginkan, dan sebagainya yang rasanya wanita lebih tahu.

Di Bawah Lembayung 4M

Astaghfirullahalazim..ayuh kita istighfar dahulu bersama-sama..saya yakin kita semua masih banyak dosa yang masih kita lakukan..mari kita akui lalu jangan sombongkan diri untuk memohon keampunan kepada Illahi..Penulisan di atas tadi mungkin nampak bahasa kasar sedikit kerana begitulah kebanyakan gaya bahasa remaja hari ini..Sengaja buat santai-santai kali ini istimewa buat semua remaja yang saya yakin semua secara fitrah pasti ingin memperbaiki diri dan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik..insyaAllah Ya Hadid..

Ok..kesimpulan konsep memudaratkan, merosakkan, membahayakan atau menghancurkan diri sendiri sebenarnya secara garis besarnya berbalik kepada perintah dan larangan Allah SWT. Ketika kita melanggar perintah Allah SWT, sedarlah adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak remaja sekalian, bahawa kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri dan kita sendiri menjerumuskan diri ke lembah neraka. Na'udzubillahiminzalik..

STOP & U-TURN

Saya pasti sudah terlalu banyak perkongsian mengenai kisah silam taubat hamba-hamba samada mengenai insan yang membunuh 100 manusia, lelaki yang menzinai mayat wanita, dan sebagainya. Semua merupakan bukti bahawa tidak mustahil bagi kita semua yang mungkin sekarang bergelimang dengan dosa, seronok dengan kemaksiatan & bermewah dengan kejahatan untuk STOP meneruskannya & U-TURN ke jalan kebenaran.

Mulakan dari diri sendiri untuk melakukan perubahan. Tanamkan dalam hati keinginan untuk mendekati Allah. Cukuplah selama ini kita sudah makin jauh dan menjauh dari Allah yang terus menerus memberikan nikmat kepada kita namun kita terus menerus melanggar perintahNya. YAKINLAH bahawa kita akan kembali kepada Allah pada bila-bila masa dan kita akan dibalas segala perkara yang kita lakukan.

Zaman sekarang terlalu ramai umat Islam yang makin hari makin hilang keimanannya. Saya yakin kita semua sangat sedih ketika melihat saudara Islam kita makin hancur dimamah kejahatan & kemaksiatan. Kehancuran yang membuat hilangnya nilai Islam di dalam diri yang membezakan mereka dengan orang yang kafir. Perkara besar yang menyedihkan kita lagi, secara tidak langsung ia juga melemahkan bangunan Islam itu sendiri. Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk menguatkan Islam di dalam diri dan menguatkan juga Islam dalam diri saudara kami yang lain..Amin Ya 'Aziz Ya Jabbar.

Saturday, May 5, 2012

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-19]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..



Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)





Nasihat Hari Ini : Amanah yang diberikan bukan untuk kita mengambil kesempatan apatah lagi mengkhianati, tapi untuk kita penuhi pertanggungjawaban dan laksanakan sebaik mungkin.


Nasihat Hari Ini : Terkadang lembu punya susu, sapi dapat nama, seperti terkadang kita yang buat kebaikan, orang lain mendapat pujian. Namun ingatlah pandangan Allah yang jauh kita harapkan.


Nasihat Hari Ini : Senior tidak bermaksud lebih awal menemui kematian, junior juga tidak bererti lebih lambat merasai kematian. Sedarlah, kematian tidak memandang usia seseorang insan.


Nasihat Hari Ini : Ayuh para pejuang kita pastikan bukit sama didaki dan lurah sama dituruni, kejayaan bersama kita raih, kegagalan bersama kita perbaiki.


Nasihat Hari Ini : Sentiasalah mengambil dahulu pandangan positif terhadap teguran orang lain tentang kita. Teguran yang betul sama-sama lakukan perbaikan, teguran yang salah kita berikan penjelasan dan buktikan dengan amalan bukan terus selesaikan dengan kemarahan.


Nasihat Hari Ini : Janganlah masih ingin terus menerus bergelumang dengan lumpur dosa yang bukan hanya mudaratnya pada diri sendiri, tapi terpalit juga lumpur dosa kepada orang lain.


Nasihat Hari Ini : Sesama ahli keluarga perlu saling menyayangi, menasihati dan memerhati bukannya selalu membenci, tidak ambil peduli dan bergaduh sana sini.


Nasihat Hari Ini : yakinlah sehari selembar benang dakwah, lama-lama kan pasti menjadi kain Islam sebenar.


Nasihat Hari Ini : Perubahan diri sendiri mungkin agak payah jika tiada teman di sisi. Namun pemilihan teman sangat-sangat penting untuk menentukan kita di pengaruh positif atau pengaruh negatif. 


Nasihat Hari Ini : Tawarkanlah diri untuk melakukan kebaikan dan kebajikan, bukan menawarkan diri melakukan kemaksiatan dan kejahatan. 

Friday, May 4, 2012

Nikah Di Awal Usia [Bahagian 1]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Biar kematangan berbicara

"akhi..macam mana nak lobi family untuk nikah awal ya?..family ana dah tetapkan dah ana if nak nikah kena habis belajar dulu pastu ada pekerjaan yang tetap baru boleh nikah."


Ana dapat soalan yang sama dari 2 ikhwah yang berbeza dalam hari yang sama. Ajaibnya, kenyataan mereka dalam bekas yang sama walau dari keluarga yang berbeza. 


"biasalah tu akh..bukan antum jer..ana yakin hampir semua parents nak anak dia habis belajar dan ada pekerjaan dulu baru boleh nikah..itu dah jadi lumrah dalam pemikiran masyarakat sekarang..nak nikah awal tu memang melawan arus perdana..terutama kita di Malaysia ni.."


"itulah..antum macam mana pula boleh lobi sampai diizinkan nikah awal? apa benda yang perlu kita sampaikan pada family akh?..ana setiap kali cakap nak nikah..bunyi cengkerik jer kedengaran.."


"hehe..dia tak perlu antum bercakap yang antum nak nikah akh..makin rimas family antum dibuatnya..biar amal berbicara..antum tunjukkan yang antum ni dah cukup matang..selalu bantu keluarga..bagi pandangan yang bernas..menjaga adik-beradik antum..pastu, if boleh tak yah dah minta belanja dari parents antum..bahkan antum yang kena bagi dengan dorang..cakap jer, ni ada hasil lebih sikit dari bisnes yang antum buat"


"erm..selama ni ana duk bagi dalil-dalil jer mengapa kena nikah..ana selalu cakap yang ana ni dah cukup matang dan ana mampu tampung kehidupan berkeluarga nanti..ana pun sering beritahu yang ana dah bersedia"


"sebab tu ana cakap ya akhi..sekarang, tak perlu dah asyik mengaku antum ni cukup matang la, mampu la, itu la..ini la..antum just buktikan dengan amal perbuatan jer ya..insyaAllah pelan2..kedepan nanti bukan antum yang keluarkan kenyataan nak nikah, tapi parents antum sendiri mengaku bahawa antum dah boleh nikah"


"owh..ana faham akh..insyaAllah..baru ana nampak kesalahan ana.."

Mengapa Ingin Menikah?

Niat. Sebelum ingin berusaha sungguh-sungguh untuk diberikan lampu hijau menghabiskan zaman bujangga, pastikan kita tanya dan tetapkan dahulu jawapan "Mengapa Ingin Menikah?" seperti tajuk buku yang dikarang oleh Simon Sineck, "Start With Why?". Perkara ini sangat penting sebagai langkah pertama menuju ibadah yang murni dalam melengkapi separuh dari agama kita & pelaksanaan sunnah baginda.

"Apabila seseorang melaksanakan pernikahan, bererti telah menyempurnakan separuh agamanya, maka hendaklah ia menjaga separuh yang lain dengan bertakwa kepada Allah" [HR Baihaqi]

"Menikah aadalah sunnahku, maka barangsiapa tidak suka dengan sunnahku, ia bukan termasuk golonganku. Menikahlah, kerana aku akan bangga dengan jumlahmu yang banyak di hari akhirat nanti" [HR Ibnu Majah]

Pastikan kita tanamkan di hati dan tetapkan dalam pemikiran bahawa kita ingin menikah sebagai jalan mendapatkan redha Allah, sebagai sarana untuk makin bertakwa kepada Allah dan sebagai wasilah menjaga keimanan di hati kita. Khusus buat mereka yang berjuang membantu agama Allah, ana yakin kita menikah untuk menggencarkan lagi membantu agamaNya, untuk menguatkan lagi menapaki di jalanNya dan untuk menyelamatkan lagi tarbiyyah kita bersama. Ayuh ikhwah teruskan usaha, bagi akhwat teruskan bersabar.

Mengapa Nikah Di Awal Usia?

Persoalan ini pasti diajukan kepada kita semua jika menyatakan hasrat ingin menikah di awal usia. Persepsi yang sering disampaikan kepada kita selalunya menyatakan bahawa kita ni tidak sabar ingin menikah la, terikut-ikut dengan kawan sahaja, sekadar ingin mengikuti nafsu perasaan sahaja, dan banyak lagi seribu satu tohmahan diberikan. Mungkin ada yang sedemikian, tapi kita tida streotype-kan kesemuanya kerana ana yakin bagi mereka yang faham agama pasti lain niatnya untuk menikah di awal usia.

Perlakuan manusia pada hari ini jangan hanya mengambil kira kondisi hari itu juga, tapi mari kita budayakan pemikiran kita untuk sentiasa berbuat sesuatu pada hari ini untuk masa depan kita bersama. Pemikiran berwawasan jauh agar pernikahan di awal usia kita mampu mengawalkan juga proses peningkatan & penjagaan iman kita dengan lebih awal lagi, kerana kita tahu menikah adalah ibadah, dan ibadah memang perlu disegerakan diiringi dengan usaha memampukan diri bagi melaksanakannya.

"Wahai Ali, ada 3 perkara jangan ditunda-tunda; solat apabila telah tiba waktunya, jenazah apabila telah siap penguburannya, dan perempuan apabila telah datang lelaki yang sepadan meminangnya" [HR Ahmad]

Lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang sangat mengancam keimanan yang ingin kita bina pada hari ini. Hujan kerosakan sangat deras turunnya sedangkan payung untuk berteduh dari hujan kerosakan ini sangat sedikit. Saya yakin jika kita perhatikan pasangan-pasangan HARAM yang berlegar-legar di pelbagai penjuru kawasan, dengan perangai maksiat yang menjijikkan, berpelukan, bercumbuan, berpegangan, dan semua perkara-perkara HARAM yang dilakukannya. Sedangkan lebih baik mereka menusuk kepala mereka dengan jarum daripada memegang tangan yang bukan halal bagi mereka.

"Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada dia menyentuh wanita yang tidak halal baginya" [HR Tabrani]

Pemikiran jauh yang lainnya pasti bagi membanggakan Nabi Muhammad SAW dengan meramaikan lagi umat baginda. Sepertimana sabdanya yang menyatakan baginda bangga dengan umatnya yang ramai. Kemampuan kita menjaga anak dalam usia dewasa pasti memberikan impak yang berbeza berbanding membimbing anak ketika usia sudah mencecah usia tua.

InsyaAllah sekian dulu post ringkas sebagai permulaan Tajuk "Nikah Di Awal Usia"



p/s :


Nantikan "Nikah Di Awal Usia [Bahagian 2]" untuk membicarakan perihal kemampuan untuk menikah, pertolongan Allah bagi yang ingin menikah, dan sebagainya...


dan nantikan juga episod-episod seterusnya..InsyaAllah semoga Allah izinkan.

Tuesday, April 10, 2012

Beri Hadiah Itu Sunnah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Hadiah Pertama

"Fakhrul..ni hadiah buat U.."

Kelihatan kotak hadiah yang agak besar diangkat dari meja pejabatnya. Kotak yang berbentuk rumah dengan corak ukiran yang menarik perhatian mencuri konsentrasi

"Tengok la apa dalamnya.."

En Supri dengan senyumannya mengajak saya membuka hadiah yang diberikannya. Saya masih dalam keadaan tersentak seketika sebenarnya kerana sepatutnya saya sebagai murid yang patut berikan penghargaan kepadanya sebagai guru yang mengajar banyak perkara sepanjang Internship di sini, bukannya dia sebagai guru yang menghargai saya sebagai muridnya. Walaupun kami sering berbincang bersama mengenai projek-projek syarikat, beliau sering juga bertanyakan mengenai bisnes kerana beliau sebenarnya ingin membuka bisnes sendiri.

"Wah..lawa la En Supri..Thank you.."

Jika perumpamaan mengatakan ada udang disebalik batu, kali ini ada perhiasan di dalam kotak. Perhiasan yang mempunyai ukiran dan corak yang sangat menarik. Kata-kata yang dicoretkan juga pasti membuatkan saya terkenang pengalaman di sini terutama kepada Supervisor (SV) saya yang berstatus warganegara indonesia. Gaya bahasa indonesia yang tak lekang di mulut, tak luput dek tahunan, walaupun sudah hampir 10 tahun bekerja di negara ini, Malaysia. Saya yang kebetulan asal dari negeri di bawah bayu, sabah, kebanyakan hampir sama pertuturan kami berdua..hurm..Terkadang ahli pejabat lain ada yang tidak faham dengan kata-kata En Supri, tapi saya alhamdulillah faham semuanya dan terkadang menjadi jurubahasa di pejabat ini.

Hadiah Ke-2

"Fakhrul..lunch ni I belanja U ya"

Begitulah En Supri, bukan sekali, tapi berkali-kali, tiada badai, tiada ribut, hujan lebat pun tidak, akan selalu tiba-tiba memberikan kilauan pelangi. Namun kali ini, rupa-rupanya ada hujan gerimis penyebab timbulnya pelangi, beliau mendapat bonus syarikat atas dedikasinya dalam pekerjaan. Saya juga mengakui beliau seorang yang sangat berdedikasi tinggi dalam tugasannya.

Hadiah Ke-3

"Nah Fakhrul..buka ni..enak kerepeknya.."

Kelihatan bungkusan City-Link yang dihantar kepada En Supri. Dalam hatiku hanya terfikir En Supri ni beli kerepek pun nak kena pos sampai ke sini? Rupanya-rupanya selepas melihat alamat pengeluar produk kerepek yang lain dari yang lain ini memang dari tempat yang jauh (sengaja tidak mahu bagitahu semua pembaca agar tertanya-tanya..hehe)..Tapi, serius jauh. Saya juga pertama kali makan dan terus jatuh cinta dengan rasanya. Alhamdulillah.

Tahaddu, Tahabbu...


"Saling beri hadiah-lah kamu, maka kamu akan saling mencintai dan ia akan menghilangkan permusuhan"[HR Malik]

InsyaAllah di kesempatan pada perkongsian ringkas kali ini, kita budayakan saling menanam benih ukhuwah dengan saling memberikan hadiah sesama kita. Sepertimana Saidatina Aisyah pernah menyatakan bahawa Rasulullah menerima hadiah dan membalas hadiah (HR Bukhori). Pemberian hadiah yang ikhlas kerana Allah, ukhuwah kerana Allah dan ukhuwah kerana ia perintah dari-Nya. Tidak kisah sekecil-kecil atau sebesar-besar hadiah, kerana saiz hadiah bukan penentu saiz ukhwuah sesama kita. Apatah lagi jika ada antara kita yang menghina orang lain yang memberikan hadiah yang mugkin tidak lumayan pada pandangannya.


“Janganlah engkau menghina seorang jiran yang menghadiahkan kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing”[HR Muslim]

Akhir kalam, memberi hadiah adalah sunnah! Ayuh hidupkan..^.^..tapi beri hadiah perpada-pada ya..Hadiahkan hanya kepada yang  sepatutnya..agar hadiah makin meningkatkan keimanan, bukan menambahkan kemaksiatan..