Friday, August 17, 2012

Hikmah Ramadhan (Episod Terakhir) - Graduan Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Pelajar Universiti Berbeza-Beza

Apa kaitan pelajar universiti berbeza-beza dengan hikmah ramadhan kali ini? hurm..ceritanya begini..Sekarang perhatikan universiti kita masing-masing, bagi yang belum bergelar pelajar universiti, bayangkan universiti yang ingin anda masuki, dah? belum? Kalau susah nak pilih, saya anjurkan adik-adik join Kem Remaja Sinergi (KRS) pada hujung tahun ini dari 21-23 Disember 2012 (Promosi sikit) yang akan membantu adik-adik menggariskan hala tuju kecemerlangan adik-adik..hehe..Abang Pengarah Program kem tahunan ini..^.^..ok, sekarang ayuh membaca sambil berfikir, jangan sekadar membaca tanpa berfikir..

Bayangkan sebuah universiti yang mempunyai pelbagai jenis pelajar di dalamnya, dengan pelbagai fakulti yang ada..Semua pelajar berada dalam universiti yang sama, berada dalam sistem yang sama, diajar dan berjumpa dengan lecture (pensyarah) yang sama, bahkan selalu menjawab kertas soalan quiz, test mahupun final exam yang sama..Persoalannya adalah, semua pelajar walaupun universiti yang sama, sistem yang sama, lecturer yang sama, kertas soalan yang sama, namun, keputusannya pasti berbeza-beza. Begitu juga jika kita ingin ambil contoh sekolah menengah mahupun sekolah rendah, PMR mahupun SPM, STPM mahupun STAM, keputusan akan berbeza dari pelajar yang berbeza-beza.

Apa yang ingin saya ajak sidang pembaca kali ini sama-sama fikirkan adalah hikmah kita berada dalam Universiti Ramadhan, Madrasah Ramadhan, ataupun Syahru at-Tarbiyyah (Bulan Pendidikan) yang didalamnya juga mempunyai pelbagai jenis pelajar-pelajar yang pelbagai ragamnya dan pasti pelbagai juga keputusannya. Ada yang mendapat 4 Flat ada juga yang terus flat. Sedarilah saudara-saudari seislam sekalian, kita semua melalui bulan Ramadhan yang sama, tempoh puasa yang sama, peluang yang sama, namun sekali lagi, pasti keputusan kita berbeza-beza bergantung kepada usaha yang kita kerahkan dalam semester ramadhan kali ini.

Grad Dari Universiti Ramadhan

Dalam universiti, masuk sahaja final year, fasa yang hampir-hampir grad, pelbagai jenis perasaan dari pelbagai jenis pelajar..Ada yang gembira dan tidak sabar-sabar ingin habiskan pelajaran yang dianggap sebuah kesengsaraan, ada juga yang bersedih kerana akan meninggalkan nikmat pendidikan. Begitu juga halnya bulan Ramadhan, ada yang dah hampir terlupa sekarang masih lagi Ramadhan akibat terlalu excited untuk beraya sakan, ada juga yang sangat bersedih hati kerana akan meninggalkan bulan mulia Ramadhan, kita pula bagaimana? Tepuk dada, tanya ketakawaan.

Graduan-graduan universiti kita perhatikan dewasa ini memberikan gambaran hasil-hasil pengajian mereka di universiti masing-masing, ada yang tergolong dalam 76,200 siswazah yang menganggur (Statistik Mei 2012), ada juga yang tergolong dalam pengajian pasca-grad, dan ada juga yang tergolong dalam kalangan berprofesi dan bekerjaya..Begitu juga bakal graduan Universiti Ramadhan yang bakal kita habiskan tidak lama lagi, ada yang selepas Ramadhan habis menganggur segala amalan-amalan yang pernah dilakukan dalam bulan Ramadhan dan ada yang mampu meneruskan momentum Ramadhan dalam bulan-bulan seterusnya. Kita ingin menjadi golongan mana? Maka usahakan untuk terus bertahan dalam ketakwaan.

Baki Ramadhan Jangan Abaikan

InsyaAllah, di akhir episod ini, saya menasihatkan diri saya dan sidang pembaca yang saya hormati sekalian, untuk kita teruskan usaha dengan sisa baki Ramadhan yang ada, tundalah segala keseronokan selepas Ramadhan, jangan kita sudah tidak merasakan kehadiran Ramadhan, terus tingkatkan kuantiti dan kualiti pelbagai amalan kita masing-masing, samada tilawah al-Quran kita mahupun solat-solat sunat kita semua..Pecutlah semaksima mungkin sebelum kita sampai ke garisan penamat dan mengambil trofi di pentas bulan syawal.

Kesempatan kali ini, saya dan isteri memohon maaf zahir dan batin kepada semua yang mengenali kami yang kerdil ini..Mohon doakan agar kita semua diampunkan Allah di atas segala dosa-dosa kita sebelum ini dan sentiasa mendapat redha Illahi..Semoga kita diketemukan lagi di Ramadhan-Ramadhan yang akan datang. Akhir kalam, Setelah kita hidupkan Ramadhan, ayuh Ramadhankan pula hidup kita.

Wednesday, August 8, 2012

Coretan Cinta Si Isteri

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiMaH (Isteri SaBaHaNmUsLiM -> Ukhti Nor Suhaila Binti Ismail)

p/s : Coretan ini ditulis oleh zaujah sebelum menikah dengan insan bernama Akhi Fakhrullah Bin Mawardi..^.^..Coretan ni bukan diberikan kepada saya sebelum menikah ya, selepas kami menikah baru si dia menunjukkan coretan-coretan pesanan buat dirinya..Terimalah, Coretan Cinta Si Isteri...



Ya Allah,
Jadikanlah hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman,
dan jadikanlah orang yang beriman mencintai diriku..

Ya Allah,
Anugerahkanlah kepadaku pendamping di sisiku,
yang taat kepada perintah-Mu,
yang berdakwah di jalan-Mu,
pendamping yang soleh wa mushlih,
lalu kukuhkanlah kami di jalan-Mu,
demi mencari keredhaan dari-Mu.

Ya Allah,
Jadikanlah Diri-Mu adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami,
al-Quran pedoman hidup kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami..

Wahai bakal suamiku,
Andai kau dan aku ditakdirkan menyatu,
Bimbinglah diriku ke jalan yang benar,
bimbinglah aku dalam agama ini,
semoga perhubungan kita sentiasa dalam redha Illahi.

Aku ingin menjadi isteri yang solehah,
kepada suamiku yang dicintai,
kepada anak-anakku yang disayangi...

Wahai diri,
teruslah menunggu...sampai satu saat kau pasti ditemukan,
dengan pendamping yang ditakdirkan untukmu,
pesanan buat diri supaya lebih bersabar,
menanti si pendamping sampai ke syurga,
jika tidak di dunia, pasti di sana..

Wahai diri,
janganlah cemari hatimu dengan cinta dunia,
janganlah cemari hatimu dengan kemaksiatan,
maksiat yang akan menghilangkan keberkahan,
keberkahan dalam pernikahan,
jagalah adab pergaulan,
sms hanya untuk urusan pernikahan,

bukan bermanja-manja dan mengadu kasihan,
kerana Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui
 terhadap apa yang aku lakukan.

by:
Mrs Fakhrullah Mawardi



Doakan kami sentiasa dalam redha Illahi yang akan terus memperjuangkan Islam sampai syahid

Tuesday, August 7, 2012

HIkmah Ramadhan (Episod Ke-2) - Merasai Nilai Ukhuwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Merasai Kesusahan Saudara Lain

Ramadhan mengajarkan kita merasai sedikit kehidupan insan-insan yang mungkin tidak bercukupan. Merasai bagaimana rasanya saudara-saudara kita sentiasa berlapar terkadang bukan hanya dalam masa sehari, bahkan berhari-hari tidak mampu mengenal erti sendawa akibat kekenyangan. Bahkan ada saudara kita yang hanya mengenal makan nasi dengan kicap, nasi dengan ikan masin, dan pelbagai lagi makanan berekonomi yang lain sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.

Laparnya kita ketika dalam tempoh berpuasa perlu kita ingat dan hayati kembali begitulah perasaan insan-insan yang mungkin diuji dalam bentuk kekurangan harta dan kelaparan. Sedangkan mungkin antara kita, hanya mengenal erti hidup senang-lenang berbanding apa itu erti hidup susah-payah. Sebenarnya, kedua-dua jenis kehidupan samada senang mahupun susah adalah merupakan ujian antara kita, ada yang diuji dengan kesusahan dan ada juga yang diuji dengan kesenangan, dan selalunya mereka yang diuji dengan kesenangan akan kalah dengan mereka yang diuji dengan kesusahan.

Namun, puasanya kita kurang mampu memberikan penghayatan terhadap makna hidup susah akibat dari mind-set kita bahawa kelaparan yang kita alami hanya sementara, dan makanan yang enak-enak menanti ketika waktu berbuka. Ditambah lagi dengan qada' (ganti) makannya kita ketika berbuka laksana tidak makan berhari-hari sehingga berbuka bagai digabung dengan sahurnya sekali kerana banyaknya kita mengisi wadah/bekas yang menurut hadis paling buruk untuk diisi,yakni  perut.

"Tidaklah anak Adam mengisi wadah yang lebih buruk daripada perutnya."[HR Tirmidzi]

Jangan sampai kita berbuka puasa menghilangkan sedikit nilai-nilai puasa kita selama ini. Bahkan yang lebih parah lagi, ketika akibat dari berbuka, kita tidak mampu untuk solat terawih atau solat sunat yang lain kerana perut yang kenyang sekali dan aktiviti yang kita pilih adalah tidur. Mengapa tidur? Sebab kita kehabisan tenaga untuk bangkitkan diri..kenapa? sepertimana menurut kajian, kita akan kepenatan ketika terlalu kenyang dan bukan dengan kekenyangan kita akan makin bertenaga, hal ini kerana tenaga kita semua dikerahkan untuk mencerna banyaknya makanan yang kita ambil. Ayuh amalkan sunnah dalam pemakanan:

"Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya.Jika memang tidak mampu dihindari, maka hendaklah 1/3 perut itu untuk makanannya, 1/3 untuk minumnya dan 1/3 untuk nafasnya"[HR Tirmidzi]

Hidupkan Sunnah Berlapar

Jika penghayatan yang ingin saya kongsikan tadi lebih kepada kehidupan susah dan kelaparan oleh saudara kita pada zaman ini, ayuh kali ini kita hayati pula kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh Rasulullah SAW dan keluarganya sendiri. Saya akan kongsikan beberapa hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang kita rindui:

"Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dari roti gandum selama dua hari berturut-turut sehingga beliau wafat"[HR Bukhori & Muslim]

"Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja makan sampai beliau wafat. Beliau juga tidak pernah makan roti lembut sampai beliau wafat"[HR Bukhori]

"Sungguh aku (Nu'man Bin Basyir) melihat Nabi kalian SAW dalam keadaan sekadar kurma buruk pun tidak pernah beliau temukan untuk mengisi perutnya"[HR Muslim]

"Rasulullah belum pernah melihat an-naqiy (gandum/roti pilihan) sejak Allah mengutus beliau sebagai Nabi hingga Allah mewafatkannya"[HR Bukhori]

"Aisyah r.a. pernah mengeluarkan di hadapan kami selembar kain dan sarung yang kasar, kemudian dia berkata, "Rasulullah SAW wafat dengan memakai dua pakaian ini"[HR Muttafaqun'alaih]

Banyak lagi hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang mengalami kehidupan susah sedangkan sebenarnya jika Rasulullah ingin kaya, sangat-sangat mudah. Namun, baginda lebih memilih untuk hidup dalam kesederhanaan bahkan terkadang menghadapi kesusahan. Contoh Ghanimah (harta rampasan perang) sebenarnya ada portion/bahagian untuk baginda SAW, tapi baginda memilih untuk infakkan hartanya di jalan Allah. Hikmah bersama kita ambil, tiada masalah untuk mempunyai harta yang banyak, namun ingat, belanjakannya untuk membantu agama Allah, untuk membantu saudara kita, dan macam-macam lagi kebaikan yang boleh kita lakukan kerana tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah. Saya anjurkan untuk membaca buku "Biar Kaya Harta, Asal Kaya Hati" oleh Dr. Sa'id Abdul Azhim.

Muhasabah Status Ketakwaan

Sedikit pengakhiran, bayangkan sekarang sudah berapa hari Ramadhan yang kita lalui? Lalu bandingkan dengan amalan yang berjaya kita lakukan? Adakah tempoh hari dalam Ramadhan seiiring dengan berapa juz quran kita sekarang? Qiamullail kita adakah 10/10 dari tempoh Ramadhan kita atau bahkan banyak terlepas akibat tidur berlebihan? dan lain-lain amalan yang banyak perlu kita usahakan lagi untuk ditingkatkan dengan baki tempoh Ramadhan yang hampir habis. Semoga kita telah mengumpulkan bekalan yang terbaik menurut al-Quran, iaitu bekalan takwa yang mampu kita raih dalam Ramadhan kali ini.

Semalam saya sangat sedih melihat jemaah di surau dan masjid yang makin berkurang saban hari. Semoga kita bukan penyumbang kepada kemerosotan ini. Jika tidak mampu menjadi umpama pelari pecut 100 meter di sepanjang trek Ramadhan, jadilah umpama pelari jarak jauh yang akan pecut di akhir trek Ramadhan, berbanding menjadi umpama pelari yang terjatuh sungkur sebelum habisnya trek Ramadhan.  Penutup kali ini saya kongsikan sepotong ayat al-Quran:

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.” [QS Al Baqarah, 2:197]

Wednesday, August 1, 2012

Hikmah Ramadhan (Episod 1) - Makanan VS Suruhan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Blog Sesawang Yang Bersawang

Assalamu'alaikum wbt, Alhamdulillahi Robbil 'Alamin..Allahumma Sholli 'Ala Saidina Wa Nabiyyina Wa Habibina Wa Syafi'ina Wa Zukhrina Wa Maulana Muhammad..Bersyukur kita diberi peluang untuk berada dalam bulan yang sangat mulia dengan peluang ganjaran yang terbentang luas..Semoga kita tidak termasuk manusia yang celaka seperti dalam hadis riwayat Bukhori, Baihaqi, Hakim & Ibnu Hibban yang melalui Ramadhan namun tidak diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. Nasihat dari hadis yang lain pula menyeru kita agar melalui bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan agar diampuni dosa-dosa kita yang lalu (Bukhori, Muslim, An-Nasai & Ibnu Majah).

Sebelum masuk ke topik sebenar perkongsian kali ini, saya ingin memohon maaf atas kelambatan meng'update' (mengemas kini) blog sesawang yang sudah bersawang ini..hehe..Agak payah untuk mencari masa lapang untuk dakwah keyboard ini dan agak payah menaikkan keutamaan (priority) update blog ini melawan tugasan-tugasan lain yang terletak lebih atas dalam level keutamaannya. Mohon doakan ke-istiqamah-an dan ke-istimrar-an saya dan zaujah (isteri) agar terus gencar menyebarkan dakwah terutama kepada diri dan kesemua umat Islam. Jom kita masuk ke topik perkongsian kali ini yang membahaskan perihal hikmah Ramadhan buat kita semua.........


Makanan VS Suruhan

"Buat apa pergi kerja tu pakcik?"

"biasalah nak..cari makan.."

"akak nak g mana?"

"g jalan-jalan cari makan"

Makan, Makan, Makan. Perkara yang sangat-sangat lazim bahkan memang sebuah keperluan dalam kehidupan kita semua. Namun yang sedihnya ada juga yang menjadikannya sebuah kemahuan sehingga hampir tidak kurang 6 kali makan setiap hari dengan:

1. Sarapan pagi (breakfast)
2. Minum Pagi (morning tea)
3. Makan tengahari (lunch)
4. Minum petang (evening tea)
5. Makan malam (dinner)
6. Makan lewat malam (supper)

Itulah kedahsyatan budaya makan yang mungkin banyak diaplikasikan di negara kita sendiri, Malaysia Tanah Airku. Betapa kita sangat mementingkan makan sehingga tidak jemu-jemu untuk makan walaupun setiap jam, ditambah lagi dengan kepelbagaian dan keenakan makanan-makanan di Malaysia samada nasi kandar, nasi padang, nasi kerabu, nasi ambeng, nasi lemak, nasi ayam, mee goreng mamak, nasi beriyani, laksa penang, laksa kedah, laksa johor, nasi tomato, nasi berlauk, pesembur, roti canai, gado-gado, bakso, embuyat, soto banjar, coto makassar, char koay teow, sate, otak-otak, dan seribu satu macam lagi makanan di Malaysia ini. (Sapa2 nak tambah lagi jenis makanan silakan, hehe..ini antara yang saya tahu selepas membeli makanan di Bazaar Ramadhan bersama isteri di Seri Iskandar, Perak).

Perkongsian makanan di atas bukan untuk saya giurkan, namun untuk kita bayangkan, sebuah perkara; iaitu makan, yang sangat-sangat-sangat kita gemari dan menjadi kebiasaan dalam rutiniti harian kita, namun sanggup kita tinggalkan untuk mematuhi dan mentaati suruhan Allah iaitu PUASA! Inilah hikmah yang ingin saya sampaikan pada perkongsian ringkas kali ini, bagaimana Madrasah Ramadhan mengajar dan mentarbiyyah kita untuk sanggup berkorban apa sahaja demi melaksanakan perintah Allah. Sanggup berlapar dahaga sekali lagi kerana ingin mematuhi suruhan Allah SWT. Inilah yang diajarkan kepada kita dalam melaksanakan ibadah puasa kali ini. Mengutamakan perintah Allah daripada mengutamakan kepentingan diri kita.

Kita tidak nafikan puasa memang sebuah ujian yang sangat kuat bagi kita, dalam pandangan ahli perubatan, puasa memang mengurangkan glukosa dalam tubuh kita yang memang membuatkan kita kurang bertenaga, kita tidak melihat perkara ini dalam perspektif negatif, tapi perhatikan hikmah bagi mereka yang ingin berfikir, ia sebenarnya sebuah ujian di atas ujian bagi kita semua umat Islam. Mungkin ramai yang mampu bertahan berpuasa sehingga waktu sungkai (bahasa sabah yang bermaksud berbuka puasa), namun berapa ramai yang ketika berpuasa namun tetap kuat melakukan rutin harian bahkan ditambah dengan amal ibadah yang lainnya, yang saya perhatikan, lebih ramai yang berpuasa atas katil (tidur) walaupun tidak bermasalah jika itulah kemampuan kita, apa yang penting, kita masih sanggup bertahan demi perintah Allah semata.

Persoalan buat diri kita terhadap hikmah kali ini, adakah kita mampu mengaplikasikan hikmah Ramadhan yang sanggup berkorban demi melaksanakan perintah puasa kepada perintah-perintah lainnya pula? Samada disuruh jaga pandangan, jauhi perzinaan, tinggalkan perkara yang tidak bermanfaat, buang perkara-perkara yang melalaikan, lapangkan diri dalam majlis ilmu, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan perintah yang ramai tidak mampu untuk terus bertahan, adalah perintah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Semoga kita mampu menterjemah hikmah ramadhan yang pertama ini kepada perintah-perintah lainnya, yang sanggup berkorban apa sahaja demi mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.

Nantikan Hikmah Ramadhan episod seterusnya....insyaAllah..