Wednesday, October 30, 2013

Tadabbur Quran : Azab Pekak, Bisu & Buta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Tadabbur Ayat Dalam Halaqah

"InsyaAllah ana menjemput Akhi Fakhrullah untuk berikan sedikit tadabbur atas ayat yang kita bacakan tadi" M/C halaqah memainkan peranannya mengawal majlis halaqah semalam. 

Saya pun mencari ayat-ayat yang ingin bersama dihayati dan diambil pelajaran bersama semua ahli halaqah yang lain. Saya pun melihat satu ayat yang mungkin jarang diketengahkan dan nampak sangat ringkas jika tidak didalami lebih dalam lagi. Ayat tersebut adalah:

"Mereka tuli, bisu & buta, sehingga mereka tidak dapat kembali" [QS al-Baqarah, 2:18]

Dalam ayat ini jika kita perhatikan ayat-ayat sebelumnya adalah mengenai orang yang mempermainkan orang beriman dan mempermainkan keimanan dengan sifat munafik. Namun, dalam tadabbur kali ini, saya ingin membahaskan dalam skop yang lain iaitu dalam sudut dunia perubatan dan dalam pendidikan.

Dari Sudut Perubatan

Penyusunan daripada tuli -> bisu -> buta merupakan bukan susunan yang biasa-biasa diletakkan tanpa ada makna lain yang boleh kita dalami. Hukuman terhadap pancaindera tersebut kita boleh padankan dengan:

Pendengaran = Ditulikan
Percakapan = Dibisukan
Penglihatan = Dibutakan

Dalam kehidupan seseorang manusia, ia merupakan susunan pancaindera yang kita perolehi satu persatu. Bermula dengan pendengaran yang kita dapatkan sejak dari alam rahim lagi. Inilah hasil kajian dimana seseorang bayi memang sudah mampu mendengar sejak dari dalam perut lagi.

Setelah keluarnya bayi tersebut dari alam rahim, maka keluarkan tangisan yang memecahkan deria suara setiap manusia dan akhirnya dalam lebih kurang beberapa bulan, maka deria penglihatan mula diberikan.

Dahsyatnya penyusunan azab Allah SWT yang diselarikan dengan penyusuan deria yang Allah sendiri yang menyusunNya. Allahu Akbar. Dari pandangan perubatan juga, hampir 98% orang-orang yang tuli atau pekak pasti bisu kerana mereka tidak mampu tahu mereka ada suara sebenarnya kerana tidak mampu mendengar suara sendiri.

Pekak yang dibahagikan kepada dua jenis samada pekak secara mechanically atau neurologycally juga memainkan peranan samada boleh diubati atau tidak. Bahkan setakat ini, hanya pekak dari sudut mechanical yang mampu dibantu dengan menggunakan alat bantuan mendengar, berbeza dengan pekak dari sudut neurology atau saraf yang sangat-sangat sukar untuk diubati.

Dari Sudut Pendidikan

Kita juga ketahui kajian dari University of Philadelphia mengenai kaedah belajar samada auditory, visual atau kineshtatic dan antara kaedah paling berkesan sebenarnya adalah auditory kerana ia sudah mula beroperasi sejak kita di perut mak lagi. Sebab itu sangat dianjurkan ketika membaca sesuatu perkara agar boleh membacanya dengan suara bukan hanya membaca di dalam hati sahaja.

Hasil dari kajian ini, musuh-musuh Islam sangat bijak dalam mengalih perhatian kita melalui medium pendengaran dengan lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat-sangat melalaikan dan merosakkan. Bahkan mereka juga tahu deria awal manusia adalah pendengaran maka ia akan berusaha agar umat Islam tidak mendengar perkara-perkara sepatutnya seperti al-Quran, zikir, nasihat, dan sebagainya.

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Quran ini dan buatlah kekacauan terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka."[QS Fussilat, 41:26]

Saya yakin ramai antara kita sangat-sangat tertarik dengan lagu-lagu yang mengasikkan, tidak menjadi masalah jika ianya merupakan lagu yang mendidik jiwa, berbanding lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Namun jika ianya lagu yang mendidik jiwa, jangan juga terlalu berlebihan sehingga kita kurang mendengar ayat-ayat al-Quran samada dari pembacaan suara sendiri atau orang lainnya.

Ayuh umat Islam sekalian, bersama kita jaga pendengaran kita dari perkara-perkara yang merosakkan pemikiran kita juga nanti.

Monday, October 28, 2013

Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Hari ini, kita banyak dikejutkan dengan kedahsyatan remaja dalam melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Perkara yang terkadang tidak pernah terlintas di fikiran kita anak-anak sekarang tergamak melakukan perkara sedemikian. Kebanyakan kita selalu melihat kesalahan ini terletak di tangan dan kaki anak-anak itu sendiri.

Namun, untuk perkongsian kali ini, ayuh kita melihat bahawa tidak semua kesalahan kita letakkan di riba anak-anak masa kini. Ibu bapa pada hari ini juga betapa dahsyatnya perilaku mereka kepada anak-anak mereka dewasa kini. Kes-kes seperti bapa merogol anak sendiri, ibu bapa mendera dengan dahsyat sekali, dan seribu satu lagi kes-kes yang mengakibatkan anak-anak menyimpan dendam lalu membalasnya semula di masa akan datang.

Itu merupakan contoh-contoh kes yang jelas-jelas berat di mata kita. Namun, kesalahan lain yang ramai memandang ringan terhadapnya, namun merupakan salah satu punca sebenar anak-anak makin liar & tidak terkawal akhlaknya adalah DIDIKAN ISLAM yang sangat-sangat-sangat kurang kepada mereka. Alasan yang selalu diberikan adalah ibu bapa tiada masa untuk anak-anak mereka, hanya fokus bekerja mencari wang ringgit semata-mata, akhirnya alasan oleh anak-anak pula dalam bertingkah laku yang buruk sekali adalah kekurangn kasih sayang.

Kita dapat lihat ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka yang tidak menutup aurat, bergaul dengan kawan-kawan yang merosakkan akhlak, melihat video-video atau wayang-wayang yang mengajarkan perkara-perkara yang salah, meninggalkan solat, dan banyak lagi akhlak yang sangat buruk dimana bukan sahaja mereka membiarkan anak mereka melakukannya, tapi mereka sendiri melaksanakan.

Anak Perlu Balas Dendam?

Kita akui tidak semua anak lahir dalam keluarga yang mengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ada antara kita yang lahir dengan ibu bapa yang sekadar Islam tapi tidak pernah aplikasikan syariat Islam. Ibu bapa yang tidak sembahyang apatah lagi membaca quran dan semua ibadah wajib dan sunnah lainnya. Ibu bapa yang berjudi, meminum arak, pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Lalu, apakah tugas kita sebagai seorang anak? Mencontohi apa yang mereka lakukan? Membalas dendam terhadap apa tindakan yang dilakukan terhadap kita? atau kita berusaha memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki keluarga kita pula? Saya pasti, bagi anak yang tahu membezakan yang baik dan buruk, dan bagi anak yang tahu akan ada hari pembalasan di akhirat kelak, dia pasti ingin menyelamatkan dirinya dan keluarganya dari Api Neraka yang dahsyat.

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."[QS At-Tahrim, 66:6]

Dakwah Diri & Keluarga

Anak-anak pada hari ini mungkin ramai yang berterusan menjerumuskan diri dalam kancah dosa dan kemaksiatan. Namun, saya yakin ada anak-anak yang diberikan hidayah kepada Allah melalui pelbagai medium samada dari kawan-kawan, program-program, guru-guru atau bahkan melalui Halaqah atau Usrah. Sehingga anak-anak tersebut tersedar dari lena yang sangat panjang dalam rumah keluarga yang rosak poranda.

Anak-anak tersebut sedar bahawa dirinya dan keluarganya sangat-sangat jauh dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan. Mungkin dahulu tidak pernah tahu membaca al-Quran, selalu meninggalkan solat, tidak menutup aurat, melakukan banyak maksiat dan sebagainya, namun kini, dengan diri yang baru disinari cahaya Islam Allah SWT, anak tersebut ingin melakukan sebuah perubahan paradigma. Berhijrah dari segala kesalahan, keburukan dan kemaksiatan, kepada segala kebaikan, kebajikan dan amal ibadah. Atas rasa kasih sayang kepada keluarganya, anak tersebut juga ingin membawa keluarganya berhijrah bersama menuju hidayah Illahi.

Namun, perjuangan dalam mendakwahi keluarga ke jalan yang benar bukan suatu perkara yang mudah, ingin mengubah keluarga menjadi hamba Allah yang tidak pernah meninggalkan solat, rajin membaca al-Quran, dan melaksanakn segala perintah Allah lainnya perlukan sebuah semangat dan mujahadah yang penuh kesabaran dan ketabahan.

Kita berubah menjadi kesalahan?

Salah satu ujian yang paling awal dan utama kita hadapi adalah kesalahan kerana berubah menjadi seorang individu Islam yang sebenar? Ibu bapa bahkan ada yang marah ketika ada anaknya tiba-tiba memakai tudung apatah lagi bertudung labuh, tiba-tiba berakhlak mulia, rajin sembahyang, membaca quran dan segala amal kebaikan yang ingin kita lakukan. Pelik kan? Inilah yang berlaku ketika pandangan dunia diutamakan berbanding pandangan akhirat.

Belum lagi dengan kes anak-anak yang bukan hanya ingin  berubah menjadi individu islam yang baik, namun terdetik dirinya untuk mengubah dan mengajak juga orang lain samada kepada ahli keluarga dan umat Islam yang lain. Pasti ditentang juga oleh ibu bapa mereka bahkan ada yang dituduh mengikut ajaran sesat sebagai alasan untuk mereka meninggalkan amalan-amalan kebaikan.

Cerita ini saya nukilkan setelah ada beberapa individu bertanya dan berjumpa dengan saya dan menceritakan masalah yang mereka hadapi dalam melakukan perubahan dalam diri mereka dengan suasana keluarga yang tidak condusive dan tidak supportive. Ada individu yang mampu bertahan dengan ujian keluarga, ada juga yang menuruti sahaja perintah keluarga untuk kembali ke jalan keburukan.

Begitu juga pada ikhwah akhwat, mahupun semua individu yang kini ingin menanamkan benih Islam dalam diri sendiri dan dalam diri orang lain, terkadang kita hadapi ujian dari keluarga yang tidak setuju untuk kita mengutamakan Allah dan Rasul melebih segalanya. Namun, teruslah bersabar memberi kefahaman kepada mereka dan tunjukkanlah akhlak yang baik kepada mereka lalu dakwahilah mereka dengan penuh hikmah.

"Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."[QS At-Taubah, 9:24]

Allah dan Rasul diutamakan, Keluarga tidak diabaikan

Ikhwah akhwat yang kini dalam jalan dakwah dan tarbiyyah perlu memahami bahawa walaupun kita sangat mencintai dan mengutamakan Allah, Rasul & Jihad, namun tidak bererti kita akan mengabaikan keluarga kita. Apatah lagi kalau ada yang hanya ingin mencintai & mengutamakan keluarga, namun mengabaikan Allah, Rasul & Jihad. Kerana ramai juga yang sanggup meninggalkan jalan dakwah dengan alasan keluarga.

Perlu kita hayati dan contohi kisah Mus'ab Bin Umair yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebih ibunya dan kisah Zaid Bin Haritsah yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi bapanya sebagai pembakar semangat untuk kita juga mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi segalanya.

Namun, sebagai seorang da'ie dan orang yang berusaha memahami dan mendalami Islam, pasti tidak akan tergamak mengabaikan keluarga tanpa usaha maksima. Kita pasti dengan kesibukan kita membantu Islam, namun tetap juga sentiasa mengingati mereka dalam doa kita. Kita juga pasti sangat-sangat berakhlak baik kepada mereka walaupun terkadang mereka kasar kepada kita. Bahkan sebenarnya, kita ingin menjadi anak yang soleh/solehah kepada mereka yang bukan hanya memberi kebaikan di dunia mereka, tapi bahkan di alam seterusnya.

Ibu bapa sekalian, semoga kita sangat mendidik, membantu dan menyokong anak-anak kita agar memang selalu melebihi & mementingkan Allah, Rasul & Jihad melebihi kita dan yang lainnya. Janganlah kita melebihi dan mementingkan diri sendiri berbanding kita juga mementingkan mereka mengejar cinta Illahi. Sepertimana Ummu Sulaim yang sangat bahagia ketika semua anaknya syahid mengutamakan Allah, Rasul & Jihad.