Saturday, July 30, 2011

Ramadhan Orang Beriman

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Ramadhan Orang Beriman

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (QS Al-Baqarah, 2:183)

Target bagi orang-orang yang beriman dalam melaksanakn kewajipan berpuasa tidak lain adalah agar tergolong dalam orang-orang yang bertakwa. Ini adalah indikasi Ramadhan orang beriman. Mari kita meletakkan target dari sekarang untuk mencapai perkara ini. Semoga diberi peluang oleh Allah untuk disampaikan dan dipanjangkan usia untuk memanfaatkan seoptimumnya ganjaran-ganjaran yang menggiurkan di bulan mulia nanti, Ramadhan. Janganlah kita tergolong dalam umat Islam yang tidak merasa apa-apa atau memandang ringan untuk menyambut ketibaan Ramadhan. Jika semangat belum membuak-buak menghadapi Ramadhan, maka carilah pemetik semangat yang mampu menyedarkan kita sehingga bukan hanya menyala semangat menghadapi Ramadhan, bahkan membara semangat kita untuk melaluinya.

Beberapa hari yang memisahkan kita dengan bulan Ramadhan yang mulia perlu kita sedari lalu pacu kesedaran kita untuk lakukan persiapan-persiapan samada dalam bentuk persiapan hati, momentum ibadah, tubuh badan, harta untuk diinfakkan serta ilmu-ilmu kefahaman puasa dan dalil-dalil ganjaran puasa pembakar semangat. Ayuh kita mulakan dengan niat dan tekad yang ikhlas dari sekarang dengan penuh keimanan serta pengharapan agar Ramadhan kali ini  mampu menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu, serta penaik tingkatan bagi amalan-amalan mendatang.

Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan karena didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka diampunkan bagi dosa-dosanya yang terdahulu."(Muttafaq 'alaih)

Bulan Ramadhan penuh kemuliaan. Mari dengan sungguh-sungguh kita tanyakan pada diri kita, Adakah kita bersedia sebenar-benarnya untuknya? Adakah hati dan iman kita dah diusahakan dalam kondisi terbaik bagi menghadapinya? atau kita tidak terlintas langsung untuk memanfaatkan Ramadhan sebagai bulan untuk dijadikan titik tolak perubahan kehidupan kita bagi menebus kehidupan kita yang jauh dari Allah? Ramadhan inilah madrasah bagi kita menanam kembali benih-benih keimanan untuk ia hidup subur selepas melalui madrasah Ramadhan kali ini kerana awal buah manis keimanan adalah pohon keimanan, dan awal kekuatan pohon keimanan adalah benih keimanan. Ayuh kita manfaatkan peluang beramal yang terbentang luas dengan pintu syurga dibuka seluasnya dan pintu neraka ditutup serapatnya serta syaitan-syaitan yang kuat diikat dari mengganggu kita.

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:"Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan." (Muttafaq 'alaih)

Jangan Hanya Lapar Dahaga

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:"Apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seseorang atau dilawan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." (Muttafaq 'alaih)

Puasa melatih kita menjadi pribadi yang baik. Namun..

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Nabi s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tidak pula meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya." Maksudnya: Di waktu berpuasa itu hendaknya meninggalkan hal-hal di atas, agar berpahala puasanya tadi. (Riwayat Bukhari)

Berkata baik atau diam kerana diam adalah suatu hikmah, tetapi sedikit sekali pelakunya. Jangan sampai kita hanya mendapat lapar dan dahaga dari puasa yang kita lakukan. Usahakan semampunya mendapat markah yang tinggi dalam puasa kita. Persiapkan diri kita dengan ilmu-ilmu yang mampu menambah lagi aroma puasa yang bakal mewangi dalam bulan mulia. Hadirkan diri dan hati untuk solat berjemaah, langkahkan kaki ke majlis-majlis ilmu, hidupkan kumpulan-kumpulan tadarus al-Quran, sampaikan nasihat-nasihat kepada sesama saudara, jaga pandangan dan perlakuan, jaga kesihatan sebaik mungkin untuk berikan ibadat yang berkualiti dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah dan sesama kita. Apakah diharapkan hujan tanpa awan? Oraklah langkah perubahan dalam peluang Ramadhan kali ini, kerana boleh jadi ini merupakan Ramadhan terakhir buat diri kita. Tanamkanlah niat dan doa agar kita diberkati dalam bulan rejab dan sya'ban, dan yang paling utama, disampaikan ke dalam bulan suci Ramadhan. Ramadhan umpana aiskrim, nikmatilah ia sebelum cair. Kita mesti pastikan Ramadhan kali ini adalah milik kita kerana kita belum pasti adakah Ramadhan hadapan kita masih diberi peluang melaluinya.

Dari Abu Said r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada seorang hambapun yang berpuasa sehari dengan niat fi-sabilillah - yakni semtata-mata menuju kepada ketaatan kepada Allah, melainkan Allah akan menjauhkan wajahnya - yakni dirinya -kerana puasanya tadi, sejauh perjalanan tujuh puluh tahun dari neraka." (Muttafaq 'alaih)



Mari hidupkan Ramadhan dengan tadarus dan tadabbur (menghayati) al-Quran. Perbanyakkan membaca tidak kira waktu. Aplikasi al-Quran di telefon bimbit manfaatkan. Quran poket usahakan dibawa. Mulakan menjinakkan hati membacanya sebelum tibanya Ramadhan sebagai langkah menyediakan suluh sebelum tibanya malam kerana..

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)..." (QS Al-Baqarah, 2:185)

Persediaan kita menghadapi Ramadhan harus bermula dari sekarang, biasakan diri bangun menghidupkan malam dengan solat-solat malam kita, biasakan bangun awal bagi sahur yang ada berkahnya kelak, bahkan Rasulullah pernah bersabda:

Dari 'Amr bin al-'Ash r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda:"Pemisahan - yakni perbezaan - antara puasa kita dengan puasanya kaum ahlul kitab -yakni kaum Yahudi dan Nasrani - itu ialah adanya makan sahur." (Riwayat Muslim)

Bangunlah untuk bersahur dan tahajjud ikhlas kerana Allah. Manfaatkan Ramadhan bertaubat atas dosa dan maksiat yang pernah dilakukan. Latihan bulan Ramadhan yang menghasilkan orang-orang yang bertakwa, beriman, bersabar dan banyak lagi buah dari bulan mulia ini.

Jangan Ulangi Kesilapan Lalu

Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi. Jangan ulangi kesalahan dahulu. Saya percaya, esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok. Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat. Mari warnai diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan warna Islam dan Iman. Semarakkan semangat dan ruh Ramadhan bermula dari sekarang. Semoga perkongisian dan peringatan ini kita bersama manfaatkan dan menggantungkan azam dan semangat setinggi bintang di langit dan yang pasti kita rendahkan hati kita serendah mutiara di lautan dihadapan Allah Robbul 'Izzati. Wallahu'alam.


Tingkatkanlah kuantiti dan kualiti ibadah di bulan Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya.

Wednesday, July 27, 2011

Kenangan Ceramah Bersama Adik-Adik SMKANT

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Sumber Laporan : http://synergymedia.com.my/?p=1212


SMKANT 4


Laporan Program Ceramah


Assalamu'alaikum wbt,


Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT program ceramah anjuran Neo Synergy Training Centre & Synergy Media dengan kerjasama SMKA Nibong Tebal berjaya dilaksanakan dengan jayanya dengan sambutan yang hangat dari semua adik-adik pelajar SMKA Nibong Tebal bermula dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5.

Program : Ceramah "Al-Quran Sumber Motivasi"
Masa : 8.00PM - 10.00PM (26 July 2011)
Tempat : Dewan al-Ghazali, SMKA Nibong Tebal
Penceramah : En Fakhrullah Bin Mawardi


Perkongsian tips-tips belajar berdasarkan al-Quran membuka minda para pelajar muslimin & muslimat akan sumber rujukan dan motivasi kita  hatta dalam pelajaran sekalipun. Penekanan dalam slot amanah seorang pelajar dan total motivation menaikkan lagi semangat dan motivasi adik-adik di sini. 


Sesi soal jawab yang khusus disediakan selama 30 minit tidak mencukupi untuk menjawab soalan yang terlalu banyak dari adik-adik di sini yang menunjukkan semangat adik-adik untuk berubah ke arah yang lebih baik. Kami memohon maaf kerana kekurangan masa untuk menjawab semua soalan adik-adik di sini, insyaAllah penceramah sudi menjawab soalan secara pribadi di e-mail beliau.


Akhir kata, ucapan terima kasih yang terlalu tinggi kami ucapkan khusus buat Pengetua SMKA Nibong Tebal, Ustazah Habibah Binti Haji Ramli yang sudi menemani sepanjang ceramah berlangsung serta kesudian menjemput pihak kami untuk berkongsi sedikit ilmu dan kesedaran kepada adik-adik di sini. Tidak lupa juga kepada Ustazah Najlaa selaku pengurus program, Ustaz Muzammil dan Ustazah Rozita. Kami mendoakan kejayaan dan keredhaan sentiasa diberikan kepada semua warga SMKA Nibong Tebal.

Terima Kasih Secara Pribadi

Alhamdulillah..dengan izin Allah memberikan ruang untuk membuat pahala kebajikan di SMKA Nibong Tebal. Saya merasa sangat bersyukur jika diberi peluang sebegini kerana ini adalah peluang untuk saya menyampaikan dan menyedarkan generasi muda yang masih belum pekat disentuh oleh kebejatan kebatilan.  Tanam dan suburkan kesedaran dan kebaikan di awal usia perlu kita bersama perjuangkan untuk kepentingan masa hadapan agama, bangsa dan negara kita.

Secara pribadi saya ingin ucapkan terima kasih dan diiringi doa semoga diredhai Allah kepada pengetua, Ustazah Habibah dan pengurus program Ustazah Najlaa atas program yang dianjurkan. Inilah keikhlasan para pendidik anak bangsa yang akan bertungkus lumus melakukan yang terbaik demi anak-anak didik mereka. Semoga sentiasa diberi kekuatan untuk mendidik dan membimbing mereka ke jalan yang diredhai Allah.

Tidak lupa juga kepada Neo Synergy Training Centre & Synergy Media yang terus berjuang mengadakan program-program bagi melahirkan umat terbaik. Terima kasih juga kepada crew-crew NSTC yang sudi melancarkan lagi perjalanan program dari awal sehingga akhir. Semoga Allah membalas kebaikan antum/na di dunia dan akhirat.

Adik-Adik Ingin Berubah

Memang saya sediakan 30 minit sesi soal jawab, namun tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan sehingga melebih tempoh soal jawab dan saya mohon maaf kepada semua adik-adik SMKANT kerana terpaksa menghentikan tanpa menjawab lebih lagi soalan-soalan yang diberikan. Ada yang bertanya terus dan ada yang menulis soalan di kertas. Inilah semangat generasi muda yang saya harapkan, berani untuk bertanya demi perbaikan diri dan orang lain. Tahniah kepada kesungguhan dan keberanian adik-adik SMKA NT.

Semua soalan yang diajukan berbentuk ingin meningkatkan diri, ingin mengubah diri bahkan orang lain dan banyak lagi. Teruskan semangat ini wahai adik-adik sekalian. Jangan takut untuk berubah!Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa silam, tiada juga insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan.

Friday, July 15, 2011

Penicillin Test Bukti Anggota Bersaksi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM






Penicillin Test

Pengalaman dijadikan pengajaran. Itu yang sepatutnya kita budayakan dalam perjalanan kehidupan kita. Don't let by gone be by gone, but let by gone be a lesson, agar kita menjadi seorang mukmin yang tidak akan pernah jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. Kejayaan yang menyinggah diri untuk kita syukuri dan manfaati, kegagalan yang menimpa diri bukan untuk ditangisi tapi untuk diperbaiki. Begitu juga kejayaan orang lain bukan untuk didengki tapi untuk dijadikan pengajaran, kegagalan orang lain bukan untuk dicontohi tapi jadikan sempadan.

Kali ini, pengalaman menjalankan Penicillin Test semalam bagi memeriksa adakah saya allergic terhadap salah satu jenis antibiotic ini. Ujian dia mudah tapi pedih sedikit, Doktor akan menyuntik penicillin ke bahagian tangan kita lalu menanda kawasan suntikan dengan bulatan, selesai disuntik, kawasan suntikan tersebut akan menghasilkan gelembung. Lulus atau gagal dalam ujian ini adalah dengan beberapa indikator:

  1. Gelembung yang terhasil tidak makin membesar melebihi saiz ditetapkan
  2. Tiada gatal-gatal yang dirasakan
  3. Tidak merasa pening
Itu antara indikator yang dilihat untuk menentukan kita allergic atau tidak. Mengapa saya menjalankan penicillin test? Ini pra-syarat yang ditetapkan oleh syarikat penghasilan/pembuatan/manufacturer ubat-ubatan yang akan berhadapan dengan bahan ini. Saya akan internship/practical di syarikat ini bermula bulan oktober hingga  april, Syarikat Idaman Pharma Manufacture Sdn Bhd di Seri Iskandar, Perak. Proses-proses  pembuatan banyak melibatkan bahan-bahan kimia serta kaedah-kaedah penghasilan yang lain. Sengaja intern dekat-dekat area sini kerana pejabat syarikat saya, Synergy Media tidak jauh dari sini.

Penicillin Test Reaction

Saya tidak menjalani ujian ini seorang, ada seorang lagi pelajar lelaki dari UniKL yang bersama saya diterima permohonan intern di Idaman Pharma, namun perlu melepasi penicillin test & medical check-up dahulu baru diterima dengan rasmi. Ramai lagi pelajar UTP menghantar resume diri bagi memohon intern di sini, namun pihak syarikat memberitahu mereka hanya inign mengambil dua pelajar intern setiap sesi. Alhamdulillah, saya diberi peluang tersebut.

Saya dan seorang lagi pelajar UniKL menjalani ujian di KPJ Ipoh Specialist Hospital, selepas tekanan darah diambil, suntikan turut diberikan, lalu diberi masa selama 20-30 minit untuk melihat kesan suntikan tersebut. Selepas tempoh tamat, nama saya dipanggil dahulu bagi melihat keputusan ujian ini. Doktor bertanya samada ada merasa pening-pening & gatal-gatal atau tidak, memeriksa saiz hasil suntikan serta menekan kawasan suntikan tersebut. Alhamdulillah, saya melepas ujian tersebut dan dikategorikan sebagai non-allergic. Namun, pelajar UniKL pula berlainan nasibnya, dia gagal dalam ujian ini, hasil suntikan menunjukkan saiz yang makin membesar serta ada kegatalan berlaku. Betapa sedih dirinnya kerana Resumenya diterima, interview juga lulus, namun penicillin test menjadi penghalang.

Kami diminta pergi ke Syarikat Idaman Pharma untuk memberikan hasil ujian penicillin. Pelajar UniKL tersebut banyak memberikan penjelasan bahawa dia mungkin hanya allergic sedikit, dia pernah bekerja tempat pembuatan ubat dahulu namun tiada apa-apa berlaku dan banyak lagi percubaan.Namun, reaksi pada kulit yang menjawab segalanya.

Kulit Berkata-Kata

Sepertimana penicillin test yang saya kongsikan di atas, serta hasil  keputusan yang dibuktikan dari reaksi pada kulit kita, walaupun kita ingin membela menggunakan mulut kita, namun, begitulah juga yang bakal dihadapi di akhirat kelak.

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan. Dan mereka berkata kepada kulit mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan." [QS Fushilat,41:20-21]

Semua bakal menjadi saksi terhadap apa yang pernah kita kerjakan. Tangan kita, apa yang kita pergunakan dengannya? Menerima atau memberi rasuah, memegang tangan bukan mahram, mencuri, memukul dan sebagainya. Kaki kita, kemana kita langkahkan sentiasa? Tempat-tempat pelacuran, perjudian, hiburan-hiburan merosakkan dan sebagainya. Tubuh kita, kemana kita pragakan? Mendedahkan aurat tidak tentu hala, berpelukan dengan bukan mahram, memanfaatkan tubuh menjalankan perbuatan haram dan sebagainya. Mata kita, kemana kita jelingkan? Melihat yang haram bagi kita, menonton benda yang sia-sia, melihat aurat orang lain, melihat wanita atau lelaki dengan pandangan nafsu dan sebagainya. Sedangkan Allah tahu pandangan khianat kita! Allah tahu ke mana mata kita jelingkan.

"Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati."[QS Mukmin, 40:19]

Sedarlah!!!Semua akan menjadi saksi kelak, saksi yang mampu membawa kita ke syurga, serta saksi yang mampu menjerumuskan kita ke dalam neraka. Mulut yang telah banyak berkata-kata di dunia, yang telah banyak menipu di dunia, yang banyak berdalih menafikan semua, akan dikunci mati di akhirat sana. Madah bicara, kata manis, ucapan dusta, lidah pengampu, semua tiada gunanya di akhirat kelak.

"Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."[QS Yasiin, 36:65]

Liat Untuk Berubah

Mengapa walaupun kita telah diberi banyak nasihat, kita telah mendengar banyak perkongsian, kita telah melihat banyak pembacaan, namun mengapa keyakinan untuk terus beramal kebajikan dan terus menjauh dari kebatilan tidak kita kerjakan? Letakkanlah kesedaran dalam diri kita, lalu paculah kesedaran itu untuk lakukan perubahan, jangan menunggu luaran untuk berubah, jangan ikut suasana untuk berubah, namun berubahlah terus dari dalam diri kita, atas dasar keyakinan diri kita, bahawa Allah mensaksikan segala.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."[QS Ar-Ra'd, 13:11]

Thursday, July 7, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian X)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..






Nasihat Hari Ini : Menjaga keimanan pasti menuntut kesabaran dan pengorbanan bagi menghadapi segala ujian dan cabaran. Walaupun nampak sukar melaluinya, tapi tidak mustahil untuk melintasinya. Ayuh terus bertahan dalam lingkaran keimanan.


Nasihat Hari Ini : Menegur orang dengan membuktikan perlakuan terkadang lebih berkesan berbanding menggunakan perkataan.


Nasihat Hari Ini : Samada yang terus bermaksiat atau terus beramal, skema pembalasan walau sekecil zarah adalah terikat kepada kita semua tidak kira siapa kita!


Nasihat Hari Ini : Jika kau melihat kebaikan terhadap orang baik, maka ambillah. Jika kau melihat kebaikan terhadap orang jahat, maka ambillah. Bukan luaran menjadi ukuran untuk kita mengambil kebaikan.


Nasihat Hari Ini : Proaktiflah kita dalam beribadat. Jangan hanya cukup dengan ibadah yang difardhukan, namun tambahlah dengan ibadah sunat yang digalakkan. 


Nasihat Hari Ini : Berimanlah dimana sahaja kita berada, bertakwalah dimana sahaja kita berada, beramal di mana sahaja kita berada dan berdakwahlah dimana sahaja kita berada.


Nasihat Hari Ini : Penyakit ilmu adalah lupa, maka bila kau menjumpai dan terfikir sesuatu ilmu, ikatlah ia dengan catatan notamu, agar tidak terlepas dari ingatanmu.


Nasihat Hari Ini : Hati penentu baik buruk sekujur jasad dan solat penentu baik buruk seluas amalan.


Nasihat Hari Ini : Sepertimana unsur kimia melakukan peleraian dan reaksi. Maka, leraikanlah sleep-bonding terhadap tubuh kita ketika dalam kondisi sepertiga malam, lalu reaksikan tubuh kita dengan tahajjud-bonding bagi menghidupkan malam.


Nasihat Hari Ini : Jangan hanya jadikan al-Quran kalimat berbunyi tanpa makna tapi jadikan ia kalimat yang menggetarkan jiwa dan menyedarkan kita. 


Nasihat Hari Ini : Umat islam mempunyai titik temu yang perlu bersama kita tuju..titik temu yang bakal menjadikan umat bersatu..bukan menuju tokoh, fikrah atau kumpulan sebagai titik temu, tapi menuju al-Quran dan sunnah sebagai titik temulah yang membuat kita bersatu.