Friday, July 15, 2011

Penicillin Test Bukti Anggota Bersaksi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM






Penicillin Test

Pengalaman dijadikan pengajaran. Itu yang sepatutnya kita budayakan dalam perjalanan kehidupan kita. Don't let by gone be by gone, but let by gone be a lesson, agar kita menjadi seorang mukmin yang tidak akan pernah jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. Kejayaan yang menyinggah diri untuk kita syukuri dan manfaati, kegagalan yang menimpa diri bukan untuk ditangisi tapi untuk diperbaiki. Begitu juga kejayaan orang lain bukan untuk didengki tapi untuk dijadikan pengajaran, kegagalan orang lain bukan untuk dicontohi tapi jadikan sempadan.

Kali ini, pengalaman menjalankan Penicillin Test semalam bagi memeriksa adakah saya allergic terhadap salah satu jenis antibiotic ini. Ujian dia mudah tapi pedih sedikit, Doktor akan menyuntik penicillin ke bahagian tangan kita lalu menanda kawasan suntikan dengan bulatan, selesai disuntik, kawasan suntikan tersebut akan menghasilkan gelembung. Lulus atau gagal dalam ujian ini adalah dengan beberapa indikator:

  1. Gelembung yang terhasil tidak makin membesar melebihi saiz ditetapkan
  2. Tiada gatal-gatal yang dirasakan
  3. Tidak merasa pening
Itu antara indikator yang dilihat untuk menentukan kita allergic atau tidak. Mengapa saya menjalankan penicillin test? Ini pra-syarat yang ditetapkan oleh syarikat penghasilan/pembuatan/manufacturer ubat-ubatan yang akan berhadapan dengan bahan ini. Saya akan internship/practical di syarikat ini bermula bulan oktober hingga  april, Syarikat Idaman Pharma Manufacture Sdn Bhd di Seri Iskandar, Perak. Proses-proses  pembuatan banyak melibatkan bahan-bahan kimia serta kaedah-kaedah penghasilan yang lain. Sengaja intern dekat-dekat area sini kerana pejabat syarikat saya, Synergy Media tidak jauh dari sini.

Penicillin Test Reaction

Saya tidak menjalani ujian ini seorang, ada seorang lagi pelajar lelaki dari UniKL yang bersama saya diterima permohonan intern di Idaman Pharma, namun perlu melepasi penicillin test & medical check-up dahulu baru diterima dengan rasmi. Ramai lagi pelajar UTP menghantar resume diri bagi memohon intern di sini, namun pihak syarikat memberitahu mereka hanya inign mengambil dua pelajar intern setiap sesi. Alhamdulillah, saya diberi peluang tersebut.

Saya dan seorang lagi pelajar UniKL menjalani ujian di KPJ Ipoh Specialist Hospital, selepas tekanan darah diambil, suntikan turut diberikan, lalu diberi masa selama 20-30 minit untuk melihat kesan suntikan tersebut. Selepas tempoh tamat, nama saya dipanggil dahulu bagi melihat keputusan ujian ini. Doktor bertanya samada ada merasa pening-pening & gatal-gatal atau tidak, memeriksa saiz hasil suntikan serta menekan kawasan suntikan tersebut. Alhamdulillah, saya melepas ujian tersebut dan dikategorikan sebagai non-allergic. Namun, pelajar UniKL pula berlainan nasibnya, dia gagal dalam ujian ini, hasil suntikan menunjukkan saiz yang makin membesar serta ada kegatalan berlaku. Betapa sedih dirinnya kerana Resumenya diterima, interview juga lulus, namun penicillin test menjadi penghalang.

Kami diminta pergi ke Syarikat Idaman Pharma untuk memberikan hasil ujian penicillin. Pelajar UniKL tersebut banyak memberikan penjelasan bahawa dia mungkin hanya allergic sedikit, dia pernah bekerja tempat pembuatan ubat dahulu namun tiada apa-apa berlaku dan banyak lagi percubaan.Namun, reaksi pada kulit yang menjawab segalanya.

Kulit Berkata-Kata

Sepertimana penicillin test yang saya kongsikan di atas, serta hasil  keputusan yang dibuktikan dari reaksi pada kulit kita, walaupun kita ingin membela menggunakan mulut kita, namun, begitulah juga yang bakal dihadapi di akhirat kelak.

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan. Dan mereka berkata kepada kulit mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan." [QS Fushilat,41:20-21]

Semua bakal menjadi saksi terhadap apa yang pernah kita kerjakan. Tangan kita, apa yang kita pergunakan dengannya? Menerima atau memberi rasuah, memegang tangan bukan mahram, mencuri, memukul dan sebagainya. Kaki kita, kemana kita langkahkan sentiasa? Tempat-tempat pelacuran, perjudian, hiburan-hiburan merosakkan dan sebagainya. Tubuh kita, kemana kita pragakan? Mendedahkan aurat tidak tentu hala, berpelukan dengan bukan mahram, memanfaatkan tubuh menjalankan perbuatan haram dan sebagainya. Mata kita, kemana kita jelingkan? Melihat yang haram bagi kita, menonton benda yang sia-sia, melihat aurat orang lain, melihat wanita atau lelaki dengan pandangan nafsu dan sebagainya. Sedangkan Allah tahu pandangan khianat kita! Allah tahu ke mana mata kita jelingkan.

"Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati."[QS Mukmin, 40:19]

Sedarlah!!!Semua akan menjadi saksi kelak, saksi yang mampu membawa kita ke syurga, serta saksi yang mampu menjerumuskan kita ke dalam neraka. Mulut yang telah banyak berkata-kata di dunia, yang telah banyak menipu di dunia, yang banyak berdalih menafikan semua, akan dikunci mati di akhirat sana. Madah bicara, kata manis, ucapan dusta, lidah pengampu, semua tiada gunanya di akhirat kelak.

"Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."[QS Yasiin, 36:65]

Liat Untuk Berubah

Mengapa walaupun kita telah diberi banyak nasihat, kita telah mendengar banyak perkongsian, kita telah melihat banyak pembacaan, namun mengapa keyakinan untuk terus beramal kebajikan dan terus menjauh dari kebatilan tidak kita kerjakan? Letakkanlah kesedaran dalam diri kita, lalu paculah kesedaran itu untuk lakukan perubahan, jangan menunggu luaran untuk berubah, jangan ikut suasana untuk berubah, namun berubahlah terus dari dalam diri kita, atas dasar keyakinan diri kita, bahawa Allah mensaksikan segala.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."[QS Ar-Ra'd, 13:11]

3 comments:

Mawaddah said...

Salam..
Mabruk sbb diterima.
Liat utk berubah?. Dulu mcm tue.. rsa liat sgt. Wlpun iman sering bersuara,namun nafsu mengalahknnya.Jangan tungu hidayah Allah dtg bru nak berubah.kita kena berusaha mnjd terbaik wlupn x tergolong dlm klgn terbaik.Yang menghukum kita bukan manusia tetapi Allah.

adeq said...

chem eng ke.
practical ap je, nanti stori.ingin tahu tentang pekerjaan di situ.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

Nurliyana Adnan ->wa'alaikumsalam..itulah perkara yg bnyk dihdapi kita semua..iA diberi kekuatan untk kita berubh..

adeq -> yup..chem eng..nnti ana kongsikn..iA..