Tuesday, December 29, 2009

Apa Matlamatku??

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Sidang Pembaca Biiznillah,


Segala puji kita panjatkan kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang tidak terkira banyaknya serta nikmat yang terus menerus menyapa kita walau kita sedikit sekali bersyukur kepada Yang Maha Pemberi Rezeki. Selawat dan salam kita kirimkan khusus buat seorang manusia mulia yang berkorban demi umatnya sehingga nikmat iman dan islam masih bertahan hingga ke hari ini. Bagindala junjungan contoh teladan dan ikutan kita semua, kekasih kita, sahabat kita serta saudara yang sentiasa kita rindui. Semoga kita menjadi umatnya yang beristimrar dalam mempertahankan dan menegakkan kalimah suci yang diperjuangkan.

Hari ini, negeri di bawah bayu riuh dengan sambutan 'Rumah Terbuka Krismas' yang dihadiri ribuan hamba-hamba Allah. Namun, bukan itu yang ingin saya ulas dikesempatan ini, sedikit masa saya yang terluang ingin saya kongsikan sesuatu yang semoga berguna buat kita bersama hasil ilmu dari sebuah program kepimpinan yang gempak dengan perjuangannya dalam menanam dan menyuburkan 1-Ihsan 6-Rukun Iman dan  5-Rukun Islam di hati manusia. Sedikit ilmu dari banyak ilmu yang diperolehi dalam training tersebut yang bersesuaian dengan tahun baru hijrah yang telah kita langkahi juga tahun baru masehi yang diguna secara universal yang bakal kunjung tiba. Suatu perkara yang sering dipacakkan tatkala menjelangnya tahun baru sebagai period atau tempoh untuk muhasabah hasil pada tahun yang baru dilalui serta tanaman pancang sebagai pembakar semangat dan penebus kekurangan pada tahun sudah tatkala menjelangnya tahun baru kelak.

Sidang Pembaca semoga kita dalam rahmat Yang Esa,

Secara jujur saya akui pembaca diluar sana pasti mempunyai ilmu yang lebih banyak dari saya, namun jika ada 10 ilmu di dada sidang pembaca, semoga bisa lagi ditambah 1 ilmu yang ingin saya kongsi bersama walau saya tahu sidang pembaca lebih layak dan lebih pintar menyampaikannya kerana ilmu yang saya sampaikan, saya sendiri masih jauh dari pengamalannya. Saya minta izin sedikit perkongsian ilmu kali ini terutama buat peringatan diri sendiri.

Perkongsian kali ini lebih ke arah motivasi dan matlamat diri bukan setakat buat waktu jangka masa yang singkat namun satu matlamat yang insyaAllah untuk jaga masa yang lama. Kita sering meletakkan matlamat kita dan berusaha mencapai matlmat yang diazamkan. Kegembiraan terserlah tatkala berjaya mencapainya namun kesedihan juga terpancar jika gagal mencapainya. Matlamat dalam mencapai kecemerlangan akademik, matlamat mencapai cita-cita, matlmat memperoleh kerjaya, matlamat mendapatkan jawatan tinggi, matlamat dalam berumahtangga serta pelbagai lagi matlamat yang ingin dicapai sehingga sanggup berusaha dan lakukan apa sahaja dalam langkah ke arahnya tanpa menghiraukan kawasan larangan atau kawasan selamat, kawasan halal atau kawasan haram. Sering terjadi seseorang hamba menipu dalam mencapai matlamat, rasuah dalam mencapai matlamat, menindas dalam mencapai matlamat atau corak langkah kotor yang lain samada dalam konsep pelajaran, kerjaya, keluarga, masyarakat, negara serta umat sejagat seluruhnya.

Sidang pembaca semoga kita diberkati Allah,

Marilah dikesempatan tempoh anjakan di tahun yang baru kita menanam satu tekad dalam matlamat yang berwawasan jauh dalam rangka membina jalan yang selari ke arah yang lurus sehingga akhir hayat kita. Matlamat yang saling berkaitan antara satu tempoh dengan tempoh yang lain agar terus saling mengukuhkan bagi menjaga kita menjerumus ke arah kebatilan. Rangkaan matlamat yang ingin dikongsi lebih ke arah tiga jangka waktu yang saling menguatkan bermuala dari 'matlamat jangka pendek', 'matlamat jangka pertengahan' dan 'matlamat jangka panjang'. Mari kita huraikan satu persatu.

Kita mulakan dengan matlamat yang paling penting bagi diri kita iaitu matlamat jangka panjang. Mari kita bangunkan semula umat yang jauh berwawasan yang berpandangan jauh dan luas serta sentiasa tidak berada di satu kotak yang kecil. Mari bersama kita tanamkan dalam jiwa dan hati kita satu matlamat jangka panjang kita iaitu dapat melihat wajah pencipta kita, Allah s.w.t di syurga yang dijanjikan. Matlamat jangka panjang yang ingin bahagia di alam yang kekal abadi, akhirat yang pasti melalui alam barzakh yang kita tanamkan matlamat ingin disapa dengan keindahan tatkala malam pertama di kuburan kita kelak. Siapa antara kita yang mahukan siksa yang pedih tatkala melangkah di alam seterusnya, yang sengsara tatkala ditinggalkan sendirian di liag lahad masing-masing, kesengsaraan yang merupakan permulaan sebelum pengumpulan di padang mahsyar, sebelum dicampakkan ke dalam neraka yang maha dahsyat siksanya bagi kita yang menzalimi diri sendiri dengan dosa dan maksiat. Tepuk dada, tanyalah iman.

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.."(QS 28:77)

Itulah matlamat jangka panjang kita yang bakal kita lalui pada bila-bila masa, matlamat yang bakal memandu matlamat hidup kita dari tersasar dari landasan yang diredhai Allah. Saya pasti matlamat jangka panjang kita tidak jauh berbeza melainkan ada yang meletakkan matlamat jangka panjangnya ingin bahagia di neraka. Semoga kita dah sedar akan matlamat jangka panjang yang ingin kita capai kelak.

Sidang pembaca semoga kita diampuni Allah,

Setelah mengetahui matlamat jangka panjang yang abadi, kita orak matlamat jangka pertengahan kita dalam menghidupkan kejayaan yang didasari dengan petunjuk Illahi seperti dalam laungan adzan 'hayya 'ala falah' yang kurang kita hayati sebagai pembakar semangat kita. Matlamat jangka pertengahan kita yang ingin membina sebuah tamadun umat yang diberkati Allah, tamadun yang mengagungkan kalimah toyyibah, kalimah yang meletakkan Allah diatas segalanya. Kita ingin kembalikan kegemilangan satu umat yang menguasai dunia dengan kepakaran, kemajuan dan  keilmuan yang tinggi. Kita mulakan dari sekarang dengan perbaiki diri sendiri dahulu, bimbing dan jaga keluarga yang disayangi, bina suasana keimanan di hati masyarakat dengan bimbingan yang berhikmah baru kita mantapkan ukhwah dan memperkasa umat sejagat. Ketahuilah kita semua adalah penyumbang saham yang memandu masa hadapan. Kita adalah satu umat yang memasuki sebuah kapal yang sama, masing-masing antara kita ada tempat dan posisinya masing-masing, jika salah seorang dari kita merosakkan atau melubangkan walaupun tempat sendiri dengan sebuah kapak kerana merasakan itu adalah tempatnya sendiri yang dia boleh perbuat semahunya, ketahuilah saudara semua, jika kita biarkan maka ketahuilah ia akan binasa, dan kita semua akan turut binasa, namun jika kita sambut tangannya dan menghalang dari perlakuannya, nescaya kita semua selamat dalam sebuah kapal milik kita bersama.

Marilah kita ada menyumbang walau sedikit dalam proses mencapai matlamat jangka pertengahan kita walaupun perbaikan dalam diri sendiri. Mungkin kita tidak sempat melihat kejayaan matlamat pertengahan kita, tetapi minima kita ada menyumbang ke arahnya yang bakal meminpin kita mencapai matlamat jangkat panjang kita khususnya. InsyaAllah biiznillah.

Sidang Pembaca semoga kita dibimbing Allah,

Sudah pasti kita ketahui keseimbangan yang diajarkan kepada kita bagi kehidupan di dunia dan akhirat. Matlamat terakhir yang ingin dikupas adalah matlamat jangka pendek kita. Bagi pelajar, tanamkan matlamat ingin mencari kejayaan dan kecemerlangan dalam berjihad menuntut ilmu, terutama buat diri saya sendiri yang masih jauh kejahilan akan dunia seorang pelajar. Tapi yang pasti, kita pacakkan matlamat kita yang tidak akan melanggar matlamat jangka masa kita yang lain. Siapa mahu kita cemerlang dalam akademik kita tapi akhlak kita penuh dengan kekotoran yang sering menyakitkan hati orang lain, yang sering melakukan maksiat di hadapan Allah yang Maha Melihat, yang pasti melanggar matlamat jangka panjang kita di akhirat kelak. Tatkala kita mahu menipu dalam peperikasaan bagi mencapai matlamat jangka pendek kita, kita teringat akan jangka panjang kita yang tidak boleh kita lari dari sasaran.

Begitu juga bagi yang sudah bekerjaya, sudah pasti matlamat tinggi dengan jawatan yang besar, gaji yang besar, syarikat yang besar, suami/isteri yang '     ', dan sebagainya, namun ketahuilah, kita sedar ia keperluan bagi kita dalam mencapai 2 matlamat jangka pendek dan pertengahan kita namun yang pasti didasari dengan matlamat jangka panjang kita. InsyaAllah sudah tidak akan ada lagi timbul perkara-perkara yang negatf yang sering hangat diperkatakan samada rasuah, riba, menipu dan sebagainya kerana kita gusar ia akan menggugat pencapaian matlamat jangka panjang kita. Namun yang pasti, mari kita hidupkan umat yang rajin berusaha dan terus bersemangat serta ikhlas dan bahagia dalam kerjaya kita. Jika matlamat pendek kita kurang pencapaiannya, namun kita tetap bahagia kerana usaha kita masih didasari dengan redha Yang Maha Kuasa maka hapuslah istilah kecewa dalam kamus harian kita kerana kebahagian yang sentiasa kira rasakan.

"Tidak pernah seseorang yang memakan makanan itu lebih baik daripada makan daripada pekerjaan tangannya sendiri (hasil usaha sendiri). Sesungguhnya Nabiyullah Dawud a.s makan hasil uasaha tangannya" (HR Bukhori)

"Sesungguhnya Allah Ta'ala suka melihat hamba-Nya yang letih dalam mencari barang halal"
(HR Ad-Dailami)

Begitu juga bagi matlamat bagi yang bekeluarga atau yang belum bekeluarga namun menanam tekad untuk bekeluarga, sudah pasti ingin membina keluarga sakinah, keluarga yang mampu berkekalan hingga akhir hayat dan mampu berjumpa di tempat yang bahagia di akhirat kelak. Marilah kita tanamkan matlamat ingin menjaga keluarga kita dari api neraka, membimbing keluarga agar mencintai Allah dan RasulNya, membimbing keluarga yang tahu yang haq dan yang batil agar terpancar sinar kebahagian yang sebenar dalam keluarga kita. Bagi si suami yang turun mencari nafkah buat keluarga, ikhlas dan berbahagialah dengan usahamu.

"Sesungguhnya Allah mencitai hamba-Nya yang bekerja, dan barangsiapa yang bersusah payah untuk keluarganya maka ia seperti orang yang berjuang di jalan Allah Azza Wajalla' (HR Ahmad)

Bagi si isteri, jadilah penyumbang kearah matlamat kebahagian kerana pertama ikhlaskan pernikahanmu dengan niat menjaga kesucianmu kerana salah satu perkara yang Allah bersedia menolong adalah orang yang kahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya(HR At-Tirmizi, Ibnu Hibban dan Al-Hakim) dan salah satu dari 4 perkara yang ia telah dikurniakan kebajikan di dunia dan di akhirat adalah isteri yang tidak ingin berbuat derhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya (HR Al-Thabrani). Matlamat kebahagiaan keluarga akan terserlah dengan suci dari pergaduhan, bersangka buruk dan sebagainya kerana sedar akan peranan masing-masing yang telah dilandasi dengan matlamat yang lebih jauh.

Sidang Pembaca yang semoga disatukan hati kita,

Marilah kita tanamkan matlamat sedalamnya yang membekas di jiwa kita dan terus berusaha sebaik mungkin dalam mencapainya dengan syarat matlamat kesemua jangka harus selari dalam landasan yang sama yang saling menguatkan dan menjaga dari terpesong dari sepatutnya. Semoga Allah membantu dan memberi kekuatan kepada kita dalam menanamkan matlamat yang sebenar dan seterusnya membimbing kita mencapai matlamat yang diimpikan dengan gahnya..Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Alhamdulillah..Syukran Ya Rashid, Ya Hadid, Ya Ba'its, Ya Rahman wa Ya Rahim..

Thursday, December 24, 2009

Di Mana Hatiku?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta 'Alam..Selawat dan salam kita panjatkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan qudwah dan uswah kita semua. Setinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang masih terus menerus memberikan kita nikmat yang tiada putusnya walaupun kita sedikit sekali bersyukur kepadaNya bahkan sering kufur akan segala nikmat yang diberikan. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa dan maksiat yang saban hari kita lakukan atas kelemahan iman kita sendiri.

Hari ini negara kita diriuhkan dengan keputusan PMR yang baru dikeluarkan oleh pihak pendidikan. Tangisan kegembiraan jelas terpampang di wajah pelajar yang mendapat nikmat keputusan yang memberangsangkan, namun tangisan kegembiraan dan kesyukuran lebih bercahaya jelasnya di wajah para ibu bapa yang merasakan terbayar segala penat lelah menghantar dan membiaya anak-anak mereka dalam rangka menjadikan anak mereka menjadi seorang yang berilmu dan mendapat kecemerlangan semaksimanya walau si anak tidak tahu kepayahan yang dihadapi mereka. Namun, ada juga tangisan kesedihan dan kekecewaan yang muncul di riak wajah anak remaja kita pada hari ini, namun tetap redha dan pasrah serta terus perbaiki diri kerana merasakan belum memberikan yang terbaik pada waktu ini. Semoga adik-adik semua sentiasa bersyukur dan tawakkal akan ketentuan yang Maha Memberi Rezeki. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada adik-adik PMR yang berjaya meraih keputusan yang setimpal dengan usaha yang terbaik telah diberikan semampu yang boleh termasuk adik kandung saya sendiri, Mohd Fuad Fauzi Bin Mawardi.

Sidang pembaca yang dipilih Allah,

Dikesempatan ini, tergerak hati ini ingin mengajak diri sendiri serta pembaca sekalian untuk merenung sementara beberapa peringatan untuk kita bersama. Semoga sedikit perkongsian ilmu ini menjadi penebus dosa dan maksiat yang terus menerus saya lakukan serta menjadi amanah buat saya agar menjadi yang pertama beramal dengan apa yang saya sampaikan. Sepotong hadith pembuka bicara topik pada kali ini:

"..Ketahuilah, bahawa di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik maka baik pula seluruh jasadnya, dan jika rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah HATI." (HR. Bukhori dan Muslim)

Dahsyatnya perumpaan yang disampaikan junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Satu pengibaratan yang mengangkat martabat seketul daging yang mampu mempengaruhi seluruh jasad. Marilah kita dalam tazkirah kali ini kita cuba mencari kembali seketul daging yang mampu memberi impak yang besar dalam diri kita. Memang benar hati pada zahirnya memang berada di dalam dada, secara fizikal nampak utuh terpacak sebagai organ kita, namun, adakah dari segi rohaninya cukup subur dan suci dari bintik-bintik hitam yang menodai hati itu, bahkan mungkin pada zahirnya kita mempunyai hati namun pada lahiriahnya kita sebenarnya tidak mempunyai hati. Saya cuba bawakan satu kaedah pencarian hati melalui kata-kata Imam Al-Ghazali suatu ketika dulu yang memberikan tiga tempat untuk kita mencari seketul daging itu. Mari kita telusuri tempat yang dinyatakan satu persatu.

“Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran....."(Imam Al-Ghazali)

Tempat pertama sewaktu kita membaca Al-Quran. Sebelum kita hurai lebih jauh, mari kita muhasabah diri kita, sudah berapa lama kita tidak membaca Kalam Allah, mungkin ada antara kita sering mengabaikan surat cinta dari Allah, lebih membaca majalah-majalah yang tidak bermanfaat daripada Al-Quran, lebih meluangkan masa bermain game dari membaca Al-Quran, lebih mementingkan wayang-wayang dari membaca Al-Quran atau agenda-agenda keduniaan yang lain yang melalaikan diri dari membaca buku manual dari Pencipta kita.

"Hati dan quran ibarat ikan dengan air"(Ibnu Taimiyyah)

Betapa Al-Quran sangat berkaitan dengan hati seseorang. Mungkin juga ada antara kita sering membaca atau tadarus Al-Quran. Namun hanya sering seperti menuang air di baldi kotor yang bocor, mungkin kekotoran mampu dihilangkan, namun tidak mampu memberi pengisian rohani di hati kita. Hati tidak merasakan apa-apa tatkala membaca ayat-ayat yang berlalu. Sebab itu Allah bukan hanya menyuruh kita membaca tapi menghayati atau tadabburi apa yang kita baca.

"Maka tidakkah mereka menghayati Al-Quran?"(QS 4:82)

Sidang pembaca yang diberkati Allah,

Mungkin kita tidak faham bahasa perantara yang digunakan di Al-Quran, sebab itu dianjurkan turut membaca terjemahan dari ayat yang dibaca. Mungkin tatkala kita melalui ayat ini:

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (QS 4:56)

Hati kita akan luluh mengenang ayat-ayat yang telah banyak kita kafirkan. Ayat-ayat yang melarang kita dekati zina kita lakukan, ayat-ayat menjaga pandangan kita kafirkan (ingkari), ayat-ayat menutup aurat yang kita kafirkan serta banyak lagi ayat yang sering kita kafirkan. Ibnu Mas'ud sendiri pengsan tatkala membaca ayat ini. 3 kali beliau baca, maka 3 kali juga dia pengsan. Namun kita bagaimana, sedangkan jika di dunia kita terkena air panas atau terkena cerek panas sudah teriak kesakitan, inikan pula satu jasad kita dibakar sehingga hangus, kita tahu kulit manusia tidak dapat merasakan kesakitan jika 'pain receptor' telah hangus atau hilang, sebab itu kulit kita akan diganti dengan yang baru, agar kita merasakan siksa itu secara berterusan..Maha Benar Allah dengan ancamanNya. Bahkan seorang doktor masuk islam bila membaca ayat ini kerana kesahihannya secara saintifik. Jika ayat ini tidak mampu menghentikan kita dari terus mengkafirkan ayat-ayat Allah, maka..

"..dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir." Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek."(QS 18:29)

Na'udzubillah..semoga gementar dan bertambah iman kita tatkala membaca firman Allah. Semoga hati yang selama ni keras kita mampu lembutkan kembali. Semoga dosa dan maksiat yang selama ini kita lakukan diampuni Allah Yang Maha Mengetahui.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka ,dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (QS 8:2)

Sidang pembaca yang dilindungi Allah,

Tatkala kita melihat ikan atau ayam tengah digoreng atau dikukus, kita bayangkan kita berada di posisi ikan atau ayam tersebut..astaghfirullah..Mungkin ada antara kita tidak merasakan apa-apa tatkala diancam azab Allah. Hati kita mungkin telah diliputi dengan bintik hitam yang lalu. Jika ada yang tidak menjumpai hatinya, moga pencarian seterusnya bertambah kesuburan hatinya.

“ Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat...."(Imam Al-Ghazali)

Berapa ramai antara kita mampu khusyuk tunduk hatinya ketika solat menyembah yang Maha Agung. Berapa ramai antara kita hanya melakukan solat itu sebagai rutin harian tanpa penghayatan, berapa banyak solat yang sering kita bermalas-malasan bahkan sering melalaikan sedang Allah mengancam:

"Maka celakalah orang-orang yang solat.(yaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya" (QS 107:4-5)

Tidakkah kita tahu bahawa umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat, jika baik solatnya maka baiklah amalannya, tapi jika buruk solatnya, maka buruklah amalannya. Betapa buruknya solat kita selama ini, solat yang tidak disertakan dengan hati yang khusyuk. Solatlah kita seperti Allah berada di hadapan melihat kita, jika kita tidak mampu, maka ingatlah bahawa Allah sentiasa melihat kita. Janganlah kita mengatakan kita beriman sedangkan salah satu syarat orang beriman kita tidak penuhi tatkala Allah berfirman:

"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman ,(yaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya," (QS 23:1-2)

Orang-orang yang menjumpai hatinya ketika solat adalah mereka yang mampu membuktikan natijah dari solatnya ketika Allah berfirman:

"..Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (QS 29:45)

Namun, tidak ramai antara kita yang mampu membawa nilai-nilai dalam solat keluar menghadapi kehidupan, tidak ramai yang mampu memnuhi kriteria solat yang diperintahkan yang mencegah kita melakukan perbuatan keji dan mungkar. Tahukah kita maksud 'Haiyya 'Ala Sholah" dalam laungan adzan, ia bukan setakat menyeru marilah, ia mengajak kita 'hayya" atau "hidupkan" kerana ramai yang solat namun solatnya mati. Dimanakah kedudukan amalan solat kita sebenarnya. Adakah solat-solat kita diterima olehNya sedangkan penentu penerimaan amalan lain adalah solat yang sering kita mengambil ringan dan remeh.

"maka tidaklah sah seseorang itu memulakan solatnya dengan doa-doa palsu, lisannya mengatakan kalimat 'Allahu Akbar" sedang hatinya berbuat tidak kerana Allah" (Syeikh Mustafa Mahsyur)

"Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."(QS 6:162)

Sidang pembaca yang merupakan hamba padaNya,

Semoga hati mampu didapati ketika kita tunduk menyembah Yang Maha Esa. Semoga hati kita sentiasa mengingati Allah sebenarnya sepanjang masa agar kita dipelihara dari siksa api neraka serta lambang cinta kita sebagai hamba kepadaNya.

"(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (QS 3:190)

Hati mungkin tidak mampu kita jumpa ketika membaca ayat-ayat Allah bahkan juga tidak jumpa ketika menunaikan solat. Mungkin hati sudah keras membatu, dosa dan maksiat terasa indah dilakukan hasil lamunan syaitan durjana yang mengeraskan lagi seketul daging ini.

"..bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan" (QS 6:43)

Semoga pencarian di tempat terakhir ini mampu kita jumpa hati nurani kita.

“ Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak engkau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati..." (Imam Al-Ghazali)

Sidang pembaca sekalian, berapa ramai antara kita yang mampu menduga kapan datangnya ajal kita, siapa antara kita mampu jamin kita masih mampu hidup pada hari esok, namun mengapa kita masih bermalasan dalam menyediakan bekalan buat akhirat kita, mengapa dosa dan maksiat yang menjadi bekalan buruk yang ingin kita bawa ke sana, tidakkah kita tahu bahawa kita tidak mampu mengawalkan ajal kita ketika iman kita naik atau melambatkan ajal kita ketika kita bergelumung dengan dosa.

"Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya)." (QS 10:49)

Kita tahu bahawa kita akan mati, namun mengapa kita tidak yakin bahawa kita boleh mati pada bila-bila masa dan tempat. Bayangkan jika kita mati dalam keadaan bermaksiat di hadapan Allah, bayangkan jika kita mati dalam keadaan belum bertaubat, bagaimana malam pertama kita di alam kubur, adakah kita sedia untuknya. Mungkin pernah melihat mayat diusung ke kuburan, mayat dimasukkan ke liang lahad, namun pernahkah kita sedar kita bakal menyusuli mereka. Mungkin kita sambut hari jadi kita yang merupakan lambang ajal kita makin dekat, mengapa tidak kita sambut hari jadi sebagai lambang kesyukuran atas umur dan peluang yang maish diberikan. Manusia akan mati tidak kira umur, kanak-kanak mampu mati, remaja mampu mati, mahasiswa mampu mati, tidak kira dalam peringkat umur manapun, ajal di tangan Yang Maha Mematikan, yakinlah kita akan janjiNya. Cukuplah dosa dan maksiat yang kita lakukan, tambahlah ibadat dan amal sebelum terlambat, bertaubatlah sepenuhnya sebelum nyawa di kerongkongan, sebelum malaikat maut datang menjemput kita. Semoga Allah mematikan kita dalam keadaan muslin dan beriman kepadaNya dan mampu menyusun bibir melafazkan kalimat toyyibah hanya untukNya. Semoga sidang pembaca mampu menjumpai hati ketika ini, jika masih ada yang belum mampu menghidupkan kembali hati yang mati,

“ Carilah hatimu di tiga tempat..Carilah hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran.Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak engkau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika engkau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.” (Imam Al-Ghazali)

Mohon la pada Allah agar memberikan kita hati, kerana sesungguhnya kita tidak mempunyai hati. Cukuplah menjadi orang kafir, cukuplah jadi orang munafik, cukuplah jadi orang yang fasik, bimbinglah hati kita kembali ke jalan yang diredhai Allah akan kebenaraNya.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik"(QS 57:16)

Semoga ayat-ayat quran yang disampaikan mampu hidupkan hati kita, semoga solat kita mampu suburkan hati kita, moga dzikrul maut mampu menjaga hati kita. Janganlah kita menjadi makhluk yang lebih teruk dari haiwan ternakan yang hanya tunggu diberi makan dan hanya tunggu disembelih.

" Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.(QS 7:79)

Hati disebut  'qalbu' kerana mudah berbolak-balik (qalaba). Hakikatnya kita harus sentiasa menjaga hati kita disamping membajanya agar subur dengan keimanan dan rasa cinta pada Allah.

 "Sesungguhnya perumpaan hati itu adalah seperti bulu ayam yang tergantung di sebuah batang pohon, yang sentiasa dibolak-balikkan oleh angin” (HR Ahmad)

Semoga sedikit perkongsian ilmu ini mampu memberikan manfaat buat kita bersama. Mohon maaf salah dan silap. Jika ada kesilapan mohon teguran ikhlas. Jika ada penambahan buat renungan bersama amat digalakkan..Alhamdulillah. Wallahu'Alam.

Friday, December 18, 2009

Hijrah Generasi Muda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli: SaBaHaNmUsLiM




Anak muda,
Hijrahlah kita perbaiki diri,
Sedarlah kita tugas dan amanah,
janganlah lagi leka dan alpa,
Hanyut lemas dalam banjir dunia,
Mengikut telunjuk musuh utama,
Syaitan yang pasti dengan tugasnya,
Juga nafsu yang tidak dipandu kearah cahaya.

Anak muda,
Hijrah pertama sebagai hamba,
Kenali dirimu sebenar-benarnya,
Ingat siapa Pencipta Berkuasa,
Ingat tugas tujuan penciptaan,
Untuk beribadat hanya padaNya,(51:56)
Cukuplah dosa tinggi membangun,
Cukuplah maksiat yang sering melambung,
Hijrahlah sekarang ke arah kebaikan,
Bertaubatlah kita sebelum terlambat,
Yakinlah kita akan hari pembalasan,
Bagi setiap yang kita perbuat,
Hatta sekecil zarah akan diperlihat,
Sebelum menyesal di hari kelak,
Agar bahagia dunia akhirat.

Anak muda,
Hijrah kedua dalam keluarga,
Cukuplah tangisan kesedihan yang kita berikan,
Cukuplah gurisan hati yang kita lakarkan,
Tidakkah kita tahu nilai pengorbanan,
Tidakkah kita tahu nilai kepahitan,
Tidakkah kita tahu payah dan lelah,
Dalam rangka membesarkan kita,
Dari kecil hingga dewasa,
Sedarlah kita bermula sekarang,
Balaslah nikmat yang Allah berikan,
Nikmat kasih sayang Ibu dan Ayah,
Sebelum ditarik suatu masa,
Baru kita mencari tidak tentu hala,
Tatkala hilang meninggalkan kita,
Atau kita yang dahulu meninggalkan mereka,
Berbuatlah kita sebelum terlambat,
Jaga diri dan juga keluarga,
dari siksaan api neraka.(66:6)

Anak muda,
Hijrah ketiga generasi muda,
Pelapis bangsa juga negara,
Namun apa yang penting pewaris agama,
Kita ada tugas dan amanah,
Untuk kita pikul bersama
Mari bersama kita berhijrah,
Untuk kita buktikan kepada dunia,
Kita bukan generasi perosak bangsa,
Kita bukan generasi rosak akhlaknya,
kita bukan generasi penghancur agama,
Kita bukan generasi meruntuh negara,
Tapi generasi yang bakal merubah,
Seperti ikan di lautan dunia,
Yang tidak masin ditenggelami lautan,
Yang mampu bertahan arus dunia,
Yang pasti akan kian mencabar,
Janganlah lagi kita sia-siakan,
Masa yang diberikan kepada kita,
Perbaiki diri secara total,
Agar tegar menempuh segalanya.

Anak muda,
Hijrah keempat dalam kemajuan,
Kemajuan diri di puncak dunia,
Mari berjuang mengumpul cahaya,
Iaitu ilmu yang bakal bersinar,
Ilmu yang bermanfaat dunia akhirat,
Kerana kita tahu ia suatu jihad,
Juga ibadat kepada kita,
Dengan syarat ikhlaskan niat,
Segalanya sebagai pengabdian padaNya,
Kerana memang tidak berguna ilmu tanpa amal,
Namun lebih bahaya amal tanpa ilmu di dada,
Berjuanglah kita perkasa ilmu,
Inilah medan jihad buat generasi muda,
Bagi mengharap keredhaan dariNya,
Nescaya kita bahagia dalam suka dan duka,
Bila segalanya berlandaskan hanya untukNya,
Hanya usaha terbaik kita lantunkan,
Seterusnya berserah hanya padaNya,
Sebagai lambang cinta kepada Pencipta.

Anak muda,
Hijrah bukan semudah disangka,
Pasti ada onak dan duri,
Tidak akan dibiarkan begitu sahaja,(29:2-3)
Kita harus ada rancangan dan stategi,
Seperti yang dibuat Rasulullah(s.a.w) sendiri,
Namun apa yang pasti,
Semuanya terpulang pada diri sendiri,
Semuanya terpulang pada sikap di hati,
Untuk berhijrah perbaiki diri,
Meletakkan azam di tahun baru ini,
Meletakkan visi yang jauh menjangkau,
Visi terjauh satu yang pasti,
Ingin melihat wajah Allah Al-Azim,
Visi pertengahan membina tamadun,
tamadun yang tahu tahapan cinta sebenar,(9:24)
tamadun yang mengembalikan kegemilangan umat,
dengan izin yang Maha Kuasa,
Visi terdekat penyuntik semangat,
Melakukan terbaik merealisasi mimpi,
Mencapai kejayaan dan cita-cita yang suci,
Yang tidak lari dari jangka masa visi yang lain,
Saling berlandaskan di jalur yang sama,
Agar terus selamat meneraju realiti.

Tuesday, December 1, 2009

Suatu Musim Nanti..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Musim ini,
Hanya tangisan mampu ku persembahkan,
Tatkala melihat hamba-hambaMu bersatu menyahut seruanMu,
Seruan ibadat di tanah suci Mu,
Hatiku menanam tekad yang tinggi,
Ku bakal menyusul menyahut seruanMu,
Sebagai lambang ku amat cinta padaMu.

Musim ini,
Ianya berlalu pergi,
Mengangkat ramai hambaMu yang ikhlas hanya untukMu,
Bilakah pula giliran diriku,
Ku harap umur ku sempat ziarah rumahMu,
Kerana ku tahu umur bukan faktor kedatangan ajalku,
Engkau mempu panggilku dimana sahaja tak kira waktu,
Ku berserah hanya padaMu,
Niat ku tanam hanya untukMu,
Moga menjadi pengganti suatu nanti,
Jika jasadku tak sempat berlari,
Menuju menyambut seruan dariMu.

Ku ingin melangkahkan kakiku,
Menuju ke tanah suciMu,
Kerana ku tahu RasulMu pernah beritahu,(dari Ibnu Umar)
Engaku akan mencatat kebaikan untukku,
serta mengampunkan segala  dosa-dosaku,
jika ikhlas hanya untukMu.

Lalu ku ingin solat 2 rakaat dihadapan rumahMu,
kerana ia laksana membebaskan seorang hamba dari keturunan Nabi Ismail,
Lalu dihadapan rumahMu juga,
Ku ingin tawaf hanya untukMu,
Sebagai putaran pengampunan dosaku,
Sehingga ku nantikan malaikat memegang bahuku,
Lalu berkata kepadaku,
Agar lakukan apa jua yang ingin ku lakukan,
Kerana Engkau Ya Allah,
Memberikan khabar gembira kepada hambaMu,
Telah mengampunkan segala dosa-dosaku yang telah lalu,
Seperti diberitakan oleh RasulMu.

Ku ingin memerdekakan 70 orang hamba,
Hanya dengan ikhlas ibadat padaMu,
berulang-alik dari Safa ke Marwah,
Itulah Sa'i yang ku akan persembahkan hanya untukMu,
Moga jasadku kuat dengan izinMu,
Untuk lakukan semua itu.

Lalu RasulMu beritakan,
DiriMu turun ke langit dunia,
tatkala hambaMu berwukuf di Arafah,
Lalu DiriMu berkata kepada malaikatMu,
"Inilah HambaKu yang datang kepadaKu dari segala penjuru,
mengharapkan rahmat daripadaKu,
dan seandainya dosa-dosa kamu seperti pasir banyaknya,
seperti air hujan derasnya,
atau seperti buih di lautan,
maka aku akan ampuni seluruh dosa-dosanya.
Maka berikanlah oleh kamu (malaikat) kepada hamba-hambaKu,
ampunan dan syafaatKu kepada mereka"
SubhanAllah..indahnya janjiMu,
Izinkan diriKu Ya Allah,
Berikan kesempatan padaKu Ya Allah,
untuk mendapatkan ampunan dan syafaat dariMu.

Ampunan terus kau berikan,
Tatkala lontaran batu kepada jumrah yang akan ku lakukan,
Laksana ampunan dari dosa-dosa besarku,
Yang ku yakin diriMu pasti tahu,
Maafkan diriku yang lemah dan hina,
Dari dosa-dosa lalu yang sering ku lakukan.

Tabungan perbendaharaan akan ku isi,
Sebagai kebaikan di sisi diriMu,
Dengan berkorban haiwan hanya untukMu,
Nikmat dunia ku serah hanya untukMu,
Lalu ku tinggalkan keindahan dunia,
Dengan bertahallul hanya untukMu,
Kerana ku tahu janji dariMu,
Setiap helaian rambut yang jatuh ke bumi,
Bernilai sebuah kebaikan dan sekaligus pengahapus dosa-dosaku,
Kerana ku tahu dosaku setinggi gunung di bumi,
Seluas lautan dunia,
Namun mengapa lemahnya diriku,
terus menerus alpa akan diriku,
Mengumpul dosa dan bermaksiat padaMu,
Maafkan diriku Ya Ghaffar,
Kuatkan diriku Ya 'Aziz.

Musim ini,
Mungkin hanya mampu menanam tekad di benakku,
Namun kuatkan diriku untukku berusaha,
Berniat setingginya hanya UntukMu,
Yang pasti dengan izin dariMu,
Untukku menyahut seruan dariMu,
Agar ku mampu menggapai janji dariMu,
Ibadat sebagai lambang ku cinta padaMu,
Juga sebagai kewajipan penghambaan hanya untuMu,
Bukan sekadar untuk hindar dari azab nerakaMu,
Atau sebagai menggapai syurgaMu,
Tapi ibadat hanya untukMu,
sebagai lambang cinta tertingiku hanya untukMu,
Kerana ku tahu diriku ini,
Hanyalah hamba yang lemah dihadapanMu.

Suatu musim nanti............