Thursday, September 25, 2014

My Ex-Jahiliyyah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Jahiliyyah VS Islamiyyah

Aku Yang Dulu,
Bukan Yang Sekarang,
Dulu Ditendang,
Sekarang Ku Disayang,
Dulu-Dulu Ku Menderita,
Sekarang Aku Bahagia.

(Petikan lagu dari artis, Tegar)

Roda kehidupan terus berjalan, jarum jam terus berputar membawa erti waktu yang terus berjalan menemani kehidupan kita di dunia ini. Saya pasti setiap kita mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri yang mempunyai pelbagai jenis plot cerita dalam melengkapi drama kehidupan kita masing-masing.

Petikan lagu di atas yang menjadi antara lagu yang hangat pada hari ini mampu memberikan kita pelbagai hikmah dan pengajaran samada tersurat mahupun tersirat. Kisah mengenai perubahan kehidupan yang sengsara kepada yang lebih bahagia. Saya pasti ramai antara kita pernah melalui perubahan kehidupan sedemikian rupa. Samada dari pada bukan Islam, telah kembali kepada islam, Muallaf, daripada penjahat menjadi orang yang berjihad, daripada menjadi orang yang jauh kepada Islam, menjadi orang yang dekat dengan Islam, dan pelbagai lagi kebahagian yang kita raih setelah melalui beberapa kesengsaraan.

Namun, tidak juga kita nafikan ada antara kita melalui perubahan kehidupan yang sebaliknya, daripada bahagia kepada menderita. Penderitaan yang paling perit bukanlah kerana perkara dunia, namun penderitaan di akhirat kelak, walaupun mungkin kita nampak bahagia di dunia ini, namun sayangnya, kita akan menderita di akhirat nanti jika kita tidak berubah menuju perkara yang diredhai Allah SWT. Sebab itu dalam FB saya sendiri pernah saya nasihatkan bahawa:

"Lebih baik menjadi bekas orang jahat, daripada menjadi bekas orang baik."

Petikan di atas bukan bermakna kita mesti buat jahat dulu baru ketika dah berusia nanti baru menjadi orang baik, namun bermakna kepada sesiapa yang pernah buat jahat atau sedang buat jahat, lalu berubah ke arah yang lebih baik maka itulah yang terbaik, berbanding kita yang pernah berbuat baik atau sedang berbuat baik namun akhirnya kecundang lari dari kebaikan lalu menjalankan pelbagai kejahatan. Ayuh jadikan kejahiliyyan kita kepada "My Ex-Jahiliyyah" atau Bekas Kejahiliyyahanku.

Petikan di atas juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada kita semua yang saya pasti pernah melakukan kesilapan, kemaksiatan dan kejahatan, namun yakinlah Allah tetap menunggu kita kembali ke pangkal jalan yang menuju Redha-Nya. Maka, ayuh kita semua dengan penuh keyakinan dan penuh bersemangat untuk memberikan yang terbaik dengan baki kehidupan yang diberikan kepada kita dan jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah walaupun kita pernah melampaui batas dalam meninggalkan perintah-Nya.

Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas, terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.” (QS. Az Zumar: 53)




My Jahiliyyah

Memandangkan artikel kali ini khas untuk para generasi muda, ayuh kita menyentuh dan menyinggung sedikit sebanyak kejahiliyyahan yang popular dalam kalangan generasi muda dewasa ini. Ibu bapa kepada generasi muda yang membaca artikel ini pun lebih saya galakkan dan hargai dalam mendapatkan beberapa buah cadangan dan buah fikiran daripada  saya, penulis muda yang tidak seberapa ini. InsyaAllah.

Dibawah saya nyatakan antara kejahiliyyahan yang kian meruncing dalam kalangan generasi muda dan perlu untuk semua pihak terutama generasi muda sendiri untuk lakukan sebuah tindakan perbaikan yang drastik. Namun, kita tidak mengecilkan skop kejahiliyyahan hanya kepada perkara-perkara yang popular semasa zaman jahiliyyah 1435 tahun yang lalu, seperi meminum arak, berzina, membunuh anak perempuan, dan sebagainya. Kita akan lebih meluaskan skop jahiliyyah masa kini kepada segala bentuk kejahilan yang mendatangkan kemudharatan kepada pelbagai pihak.

1. Hiburan yang melampau dengan segala konsert, disco, clubbing, dll.
2. Pergaulan lelaki dan wanita yang tiada batasnya sehingga berlaku perzinaan
3. Menghisap, memakan, menyuntik atau meminum bahan yang mengkhayalkan dan memudharatkan.
4. Berakhlak buruk dan biadap kepada ibu bapa sehingga ada yang membunuh
5. Berjudi dan bertaruh dengan pelbagai medium masa kini.
6. Bergaduh dan membunuh sudah mula berleluasa.
7. Mencuri dan merompak sehingga sanggup mengorbankan nyawa.
8. Merempit dan berlumba haram dijadikan hobi yang berbahaya.
9. Menonton video lucah

dan banyak lagi kejahilan kubra (besar) yang dilakukan oleh generasi muda kita pada hari ini. Nampak dahsyat dan berat senarai kejahilan di atas, namun bayangkan itulah realiti generasi muda yang bukan di negara lain, namun di negara kita sendiri, bukan anak orang lain, namun terkadang anak kita sendiri. Saya sengaja senaraikan perkara di atas agar kita lebih menyedari hakikat yang berlaku lalu meletakkan keseriusan dalam membendung perkara ini. Suka untuk saya senaraikan lagi antara kejahilan sughra (kecil) yang juga merupakan benih-benih yang mampu menjadi kejahilan kubra kelak nanti.

1. Membuang masa hanya bermain game
2. Menonton wayang atau drama yang tiada faedah
3. Tidak menjaga sembahyang
4. Tidak membaca al-Quran
5. Terlalu asyik dengan lagu-lagu dan tarian yang merosak
6. kebanyakan masa hanya berhadapan dengan komputer riba (laptop) atau telefon pintar (smart phone) melayan banyaknya aplikasi dan jaringan internet.
7. Sembang kosong dan melepak samada melalui alam nyata atau alam maya

Kejahilan yang nampak ringan namun sebenarnya sangat bahaya jika tidak dibendung dari awal lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, melunturkan jahiiliyyah biarlah dari awalnya.

My Ex-Jahiliyyah? Bagaimana?

Kita telah mengetahui kejahiliyyahan dari senarai yang saya berikan sebentar tadi, namun, perkara yang sukar dan susah bukan mengetahui sesuatu tindakan itu jahiliyyah atau tidak, tapi yang sukar adalah menahan diri dari melakukannya dan meninggalkan kejahiliyyaan tersebut. Inilah ujian bagi kita, kita memang Mumayyiz yang tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, namun terkadang kalah dan gagal dalam memilih.

InsyaAllah disini saya ingin memberikan cadangan bagaimana untuk kita jadikan My Jahiliyyah kepada My Ex-Jahiliyyah:

1. Mengetahui, mengenali dan senaraikan dahulu jahiliyyah yang ada kita lakukan.
2. selesaikan dan perbaiki satu persatu dengan meninggalkan kejahiliyyahan tersebut.
3. kuatkan hati kita dengan banyakkan istighfar, bertaubat dan berdoa kepada Allah untuk meninggalkan kejahiliyyahan tersebut.
4. gantikan kejahiliyyahan tersebut dengan banyakkan perkara kebaikan yang lain.
5. sibukkan diri dengan kebaikan nescaya kita sudah tidak sibuk melakukan keburukan. banyakkan beribadah kepada Allah SWT.
6. cari kawan-kawan yang mampu memberikan kita suasana kebaikan dan membimbing kita ke arah kebaikan.
7. hadiri program-program yang meningkatkan keimanan dengan penuh konsisten.
8. sedari hakikat kita boleh mati pada bila-bila masa, maka bersedialah dari sekarang untuk menghadapinya.

Semoga cadangan perbaikan diatas mampu memberikan sedikit sebanyak bantuan kepada kita semua agar mampu menjadikan jahiliyyah yang kita lakukan kepada sekadar Ex-Jahiliyyah kita bersama. InsyaAllah entri kali ini membawa misi untuk mengalahkan segala kejahiliyyahan dalam diri pembaca khususnya dan kepada seluruh umat Islam umumnya.

Friday, November 1, 2013

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-23]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..

Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Nasihat Hari Ini : Sesalilah segala kesalahan yang kita lakukan di dunia, sebelum kita menyesal di alam seterusnya. 

Nasihat Hari Ini : Bernikah untuk bercinta lebih baik daripada bercinta untuk bernikah.

Nasihat Hari Ini : Kahwin muda tidak semestinya akan sengsara, begitu juga kahwin berusia tidak semestinya akan bahagia, kerana ia bergantung kepada pasangan yang berada dalam perkahwinan tersebut yang menentukannya.

Nasihat Hari Ini : Dosa untuk kita tinggalkan, Pahala untuk kita usahakan. Bukan Dosa untuk kita lakukan, Pahala untuk kita abaikan. Ayuh perlahan2 kita lakukan perubahan ke arah kebaikan.

Nasihat Hari Ini : Jangan nasihat diberikan hanya manis bicara, indah bahasa, namun keikhlasan hati tidak diikut serta.

Nasihat Hari Ini : Teori tanpa praktikal tidak bermakna, tapi praktikal tanpa teori juga bahaya. Begitulah juga ilmu tanpa amal adalah sia-sia, tapi beramal tanpa ilmu juga bahaya. Ayuh tingkatkan ilmu di dada dengan banyakkan membaca.

Nasihat Hari Ini : Syaitan akan menggunakan benda yang kita suka untuk menyesatkan kita. Semoga kita tidak tertipu dengan mainan musuh kita semua.

Nasihat Hari Ini : kita perlu fastabiqul khairat (berlumba2 ke arah kebaikan), bukan fastabiqul sayyi'at (berlumba2 ke arah kejahatan).

Nasihat Hari Ini : Harga seorang lelaki mahupun wanita bukan terletak pada harta atau kecantikanya, tapi terletak pada iman dan takwanya. Semoga kita mahal di sisi Allah itu jauh lebih utama.

Nasihat Hari Ini : Tegurlah dahulu menggunakan kelembutan sebelum terpaksa menggunakan kekerasan. Bukan terus menggunakan kekerasan sebelum dicuba dengan kelembutan.


Nasihat Hari Ini : Kita jangan hanya ingin menjadi pendengar ilmu yang setia, tapi tidak berusaha untuk menjadi penyampai ilmu yang setia.

Wednesday, October 30, 2013

Tadabbur Quran : Azab Pekak, Bisu & Buta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Tadabbur Ayat Dalam Halaqah

"InsyaAllah ana menjemput Akhi Fakhrullah untuk berikan sedikit tadabbur atas ayat yang kita bacakan tadi" M/C halaqah memainkan peranannya mengawal majlis halaqah semalam. 

Saya pun mencari ayat-ayat yang ingin bersama dihayati dan diambil pelajaran bersama semua ahli halaqah yang lain. Saya pun melihat satu ayat yang mungkin jarang diketengahkan dan nampak sangat ringkas jika tidak didalami lebih dalam lagi. Ayat tersebut adalah:

"Mereka tuli, bisu & buta, sehingga mereka tidak dapat kembali" [QS al-Baqarah, 2:18]

Dalam ayat ini jika kita perhatikan ayat-ayat sebelumnya adalah mengenai orang yang mempermainkan orang beriman dan mempermainkan keimanan dengan sifat munafik. Namun, dalam tadabbur kali ini, saya ingin membahaskan dalam skop yang lain iaitu dalam sudut dunia perubatan dan dalam pendidikan.

Dari Sudut Perubatan

Penyusunan daripada tuli -> bisu -> buta merupakan bukan susunan yang biasa-biasa diletakkan tanpa ada makna lain yang boleh kita dalami. Hukuman terhadap pancaindera tersebut kita boleh padankan dengan:

Pendengaran = Ditulikan
Percakapan = Dibisukan
Penglihatan = Dibutakan

Dalam kehidupan seseorang manusia, ia merupakan susunan pancaindera yang kita perolehi satu persatu. Bermula dengan pendengaran yang kita dapatkan sejak dari alam rahim lagi. Inilah hasil kajian dimana seseorang bayi memang sudah mampu mendengar sejak dari dalam perut lagi.

Setelah keluarnya bayi tersebut dari alam rahim, maka keluarkan tangisan yang memecahkan deria suara setiap manusia dan akhirnya dalam lebih kurang beberapa bulan, maka deria penglihatan mula diberikan.

Dahsyatnya penyusunan azab Allah SWT yang diselarikan dengan penyusuan deria yang Allah sendiri yang menyusunNya. Allahu Akbar. Dari pandangan perubatan juga, hampir 98% orang-orang yang tuli atau pekak pasti bisu kerana mereka tidak mampu tahu mereka ada suara sebenarnya kerana tidak mampu mendengar suara sendiri.

Pekak yang dibahagikan kepada dua jenis samada pekak secara mechanically atau neurologycally juga memainkan peranan samada boleh diubati atau tidak. Bahkan setakat ini, hanya pekak dari sudut mechanical yang mampu dibantu dengan menggunakan alat bantuan mendengar, berbeza dengan pekak dari sudut neurology atau saraf yang sangat-sangat sukar untuk diubati.

Dari Sudut Pendidikan

Kita juga ketahui kajian dari University of Philadelphia mengenai kaedah belajar samada auditory, visual atau kineshtatic dan antara kaedah paling berkesan sebenarnya adalah auditory kerana ia sudah mula beroperasi sejak kita di perut mak lagi. Sebab itu sangat dianjurkan ketika membaca sesuatu perkara agar boleh membacanya dengan suara bukan hanya membaca di dalam hati sahaja.

Hasil dari kajian ini, musuh-musuh Islam sangat bijak dalam mengalih perhatian kita melalui medium pendengaran dengan lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat-sangat melalaikan dan merosakkan. Bahkan mereka juga tahu deria awal manusia adalah pendengaran maka ia akan berusaha agar umat Islam tidak mendengar perkara-perkara sepatutnya seperti al-Quran, zikir, nasihat, dan sebagainya.

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Quran ini dan buatlah kekacauan terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka."[QS Fussilat, 41:26]

Saya yakin ramai antara kita sangat-sangat tertarik dengan lagu-lagu yang mengasikkan, tidak menjadi masalah jika ianya merupakan lagu yang mendidik jiwa, berbanding lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Namun jika ianya lagu yang mendidik jiwa, jangan juga terlalu berlebihan sehingga kita kurang mendengar ayat-ayat al-Quran samada dari pembacaan suara sendiri atau orang lainnya.

Ayuh umat Islam sekalian, bersama kita jaga pendengaran kita dari perkara-perkara yang merosakkan pemikiran kita juga nanti.