Sunday, June 26, 2011

Total Motivation

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Ilham : Ceramah "Al-Quran Sumber Motivasi" @ SERATAS






Soalan Dari SERATAS

Alhamdulillah, semalam saya baru selesai memberikan ceramah remaja di bawah tajuk "Al-Quran Sumber Motivasi" di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah(SERATAS) Taiping, Perak. Terima kasih diiringi doa semoga mendapat kejayaan di dunia dan akhirat saya ucapakan atas jemputan bagi berkongsi ilmu dengan adik-adik di SERATAS ini.

Slot "Question & Answer (Q&A)" yang memang biasa saya sediakan di setiap akhir ceramah untuk menjawab soalan-soalan dari para pendengar, untuk penambahan dari sesiapa atau untuk membetulkan jika saya ada lakukan kesalahan. Kebanyakan penceramah jarang membuka peluang bagi pendengar mengajukan soalan, penambahan atau pembantahan atas dasar apa, saya sendiri kurang pasti.



Saya ingin kongsikan satu soalan yang diajukan kepada saya semalam yang bukan sahaja dari kalangan pelajar, tapi daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Cikgu Roslan yang turut serta menyokong bersama-sama murid dalam majlis ilmu semalam. Soalan dari beliau amat sukar untuk saya luahkan jawapannya. Belau bertanya yang lebih kurang maksudnya:

"apakah sumber motivasi saudara sehingga sanggup ke sana ke mari memberikan ceramah kepada adik-adik, apa motivasi utama saudara sehinggakan mampu bertahan untuk menyebarkan ilmu?"

Ketika saya mendapat soalan ini, pertama memang agak terkejut kerana soalan diajukan daripada Cikgu Roslan. Saya menerima soalan tersebut dan cuba memberikan perkongsian sumber motivasi tersebut.

"terima kasih kepada Cikgu Roslan atas soalan yang sebenarnya bukan hanya untuk diri saya..tetapi adik-adik, ini untuk kita semua..Mengapa ramai antara kita yang mudah jatuh motivasinya ketika ujian diberikan atau kegagalan kita hadapi?"

Total Motivation

Saya membawa beberapa buku untuk ceramah kali ini (Quranology, Quranic Leadership, Menuju Tangga Kejayaan, Total Motivation dan tidak dilupakan Majalah SINERGI Edisi-5). Saya mengangkat salah satu buku yang saya bawa untuk ceramah kali ini..


"saya sarankan adik-adik dan kita semua cuba baca buku ini, Total Motivation karangan Satria Hadi Lubis..dalam buku ini dia memberikan dua jenis motivasi kepada diri kita..pertama adalah external motivation, ataupun motivasi luaran.."

Saya meletakkan kembali buku tersebut..

"Sebagai contoh adik-adik, bayangkan seorang yang tengah berputik cintanya dengan kekasihnya..Pasti tidurnya lena, makannya kenyang bahkan mandi selalu basah..bagaimana ketika berakhir cintanya?tidur tak lena, makan tak kenyang bahkan mandi tak basah..hehe..inilah contoh motivasi luaran yang ketika ianya hilang, habis motivasi diri kita hilang sekali"

"banyak contoh motivasi luaran yang mungkin membuatkan kita semangat,terkadang kita belajar ketika ada kawan bersama, ketika sendiri, habis tidak kita belajar..ada juga motivasi luaran dia adalah ibu bapa..kawan berlawanan jantina..ada yang kerana wang ringgit, hadiah dan macam-macam lagi..tapi adik-adik.."




Saya memandang audience dari hulu ke hilir, dari puncak ke cerun, kerana audience ada di bahagiaan kiri, kanan, bawah dan atas..muslimin berada di bawah bahagian hadapan dari kiri ke kanan, dan muslimat berada di bahagian bawah belakang dan bahagian tingkat atas belakang..

"ada sumber motivasi lain yang lebih utama, iaitu Internal Motivation..baru dikatakan kita mendapat Total Motivation..Internal Motivation atau motivasi dalaman ini amat penting bahkan jauh lebih penting dari motivasi luaran..ia adalah motivasi diri sendiri atau self motivation yang perlu kita kuatkan tanpa terlalu mengharapkan motivasi luaran semata"



Motivasi Pendakwah?

Saya memandang Cikgu Roslan kembali untuk menjawab pertanyaan sebenar yang menjuru kepada diri saya..

"Cikgu Roslan, begitu juga dengan saya dan kawan-kawan saya yang sanggup datang ke sini, kami ada motivasi dalaman yang mendorong kami datang ke sini, walaupun memang terkadang kakak-kakak dan abang-abang yang datang ke sini dengan penuh semangat, namun terkadang adik-adik yang ada terlalu sedikit, namun itu hanya faktor luaran yang tidak menghalang kami, kerana itu bukan tujuan asal kami.."

Saya mula serius memberikan jawapan sebenar..

"Kami sebenarnya lakukan ini atas dasar amanah kami untuk membimbing adik-adik yang merupakan generasi muda yang bakal menggantikan kami..dan amanah itu tidak lain adalah dari Allah untuk kami bimbing adik-adik di sini..saya berikan 3 contoh nabi yang sanggup berjuang, berdakwah walaupun hasilnya luarannya terlalu jauh dari usahanya namun ada perkara lain yang sebenarnya mereka harapkan.."


"Contoh Nabi Nuh, nabi nuh berdakwah selama berapa lama adik-adik?"


Semua menjawab "950 tahun"




"betul, 950 tahun, siang dan malam, namun hasilnya hanya beberapa sahaja yang menaiki bahteranya..kita lihat dalam al-quran apa sebenarnya motivasi Nabi Nuh..lihat dalam surah ke-26 bermula ayat 105-109..cuba bacakan.."

"Kaum Nuh telah mendustakan para rasul.Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa? Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.  Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan-ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam."[QS asy-Syu'araa, 26:105-109]

"apa yang Nabi Nuh harapkan?Upah dari Allah semata..Kita lihat juga kisah Nabi Lut..Tolong bacakan dalam surah yang sama, ayat 160-164"

"Kaum Luth telah mendustakan rasul-rasul, ketika saudara mereka, Luth, berkata kepada mereka: mengapa kamu tidak bertakwa?" Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang diutus) kepadamu,maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.Dan aku sekali-kali tidak minta upah kepadamu atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semeta alam." [QS asy-Syu'araa, 26:160-164]



"sama juga, hanya mengharapkan upah dari Allah, motivasinya bukan kerana luaran, tapi keyakinan kepada Allah semata..walaupun kita tahu hanya 3 orang yang menerima dakwah baginda, 2 anak wanitanya dan seorang lelaki..namun tidak juga jatuh motivasinya kerana bukan hasil luaran yang dia harapkan"

"Contoh nabi lain yang ingin abang kongsikan adalah Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW..kita tahu cacian, makian dan hinaan yang dia hadapi, bahkan dilempar dengan benda-benda yang tidak sepatutnya..namun baginda masih tidak terputus motivasi kerana apa?..cuba lihat dalam surah ke-34 ayat 47"

Katakanlah: "Upah apa pun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah dari Allah, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu."[QS Saba', 34:47]



"Perkara yang sama disampaikan walau zaman yang berbeza, iaitu upah dari Allah semata.."


"Jadi cikgu, mohon doa dari cikgu dan semua, agar kami berkorban ini ikhlas termotivasi hanya atas dasar upah,ganjaran atau pahala dari Allah semata..insyaAllah..boleh cikgu?"

Cikgu Roslan tersenyum sambil mengangguk..Saya menghela nafas panjang selepas menjawab soalan ini..

Penambahan Dari Hati Kaunselor

Saya juga amat terkesan dan tersentuh dengan penambahan dari kauselor, Cikgu Izhar yang bagi saya secara jujur ia memang lahir dari hatinya yang suci demi cintanya kepada murid-murid di sini. Penambahan dari beliau yang lebih kurang ayatnya:

"Terima kasih sangat kepada saudara Fakhrullah dan kawan-kawannya yang sanggup datang berkongsi dengan pelajar di sini..saya amat teruja dengan penceramah yang merupakan pelajar engineering tapi tahu banyak ayat al-quran, banyak surah dan banyak ayat-ayat quran..pelajar-pelajar di sini tolong manfaatkan abang-abang dan kakak-kakak yang sanggup datang untuk berkongsi ilmu dengan kita..kita memang kena pastikan akademik perlu dijaga, tapi jangan juga lupa sisi ibadat kita.."[Kaunselor SERATAS, Cikgu Izhar]

Saya amat setuju dengan statement Cikgu Izhar bahawa akademik memang satu benda yang utama, tapi jangan lupa sisi ibadat kita yang jauh lebih utama. Saya yakin antara guru-guru yang berada di sekolah, pasti guru kauselor antara guru yang berat bebanannya kerana berdepan dengan masalah pelajar lalu berhadapan pula dengan ibubapa yang sentiasa inginkan penjelasan. Semoga bertahan mendidik anak agama, negara dan bangsa kita.

Kenangan Berceramah Yang Indah

Ini adalah antara ceramah saya yang memberi kesan kepada saya sendiri atas sokongan dan dokongan dari pihak pendidik yang sangat komited dan bersungguh-sungguh lakukan tugas untuk kepentingan murid-muridnya.

Habis sahaja slot ceramah tersebut, selepas adik-adik datang bersalaman, ada juga yang mengajukan beberapa soalan..antaranya:

"mengenai penawar kepada kawan yang lemah semangat (makhluk halus)" = saya hanya berikan ayat 17:82 (Quran Penawar) dan ayat 43:36 (Jauh dari quran syaitan mendekat).

"bagaimana dengan orang yang bagi alasan hidayah belum turun so tak berubah?" = saya bagi ayat 5:35 (hidayah bukan ditunggu, tapi perlu dicari)

Waktu yang menunjukkan agak lewat malam membuatkan saya bergegas untuk pulang semula ke tronoh, dan terpaksa meninggalkan adik-adik namun insyaAllah di masa lain boleh berjumpa kembali..Alhamdulillah..

Ikhlaslah Wahai Pendakwah

Pendakwah sekalian tidak kira apa wadah kita, apa kenderaan dakwah kita, atau apa cara dakwah kita..Mari bersama kita lakukan kerana Allah semata..Jangan mengharap perkara lain atau ada niat lain yang tidak sepatutnya tersembunyi di dalam hati..Berdakwahlah kerana Allah dan mengajak kepada Allah, bukan kepada lainnya..insyaAllah..

Umat islam mempunyai titik temu yang perlu bersama kita tuju..titik temu yang bakal menjadikan umat bersatu..bukan menuju kepada ketokohan, fikrah atau kumpulan-kumpulan sebagai titik temu, tapi menuju dan berpegang kepada al-Quran dan sunnah sebagai titik temulah yang membuatkan kita bersatu..Ayuh bersihkan saff dakwah kita dengan kemurniaan mengajak kepada dua pegangan yang paling utama, wasiat dari Nabi kita.

Perkara terakhir dalam perkongsian kali ini, mari bersama menguatkan ukhuwah umat islam, dan bukan  melemahkan ukhuwah umat Islam hanya atas dasar perkara yang tidak sepatutnya berlaku bagi kita sebagai saudara seaqidah..Samada membenci yang lain, mengata yang lain atau bahkan menfitnah yang lain kerana ukhuwah mensinergi kekuatan ummah..

Friday, June 24, 2011

Semarak Pesta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Aku berjalan dihamparan dunia,
ku lihat anak muda sedang berpesta,
menari terlompat-lompat sini sana,
ada lelaki ada wanita,
bagai dirasuk syaitan durjana,

Dalam semaraknya pesta,
berpelukan berciuman dianggap biasa,
perzinaan menjadi hobi biasa,
mabuk arak dianggap biasa,
perjudian menjadi permainan biasa,
pembunuhan bayi dianggap biasa,
meninggalkan solat lagi biasa.

Dalam semaraknya pesta,
kulihat pergaduhan sesama manusia,
keduanya lelaki entah mengapa,
masing-masing disebelah ditemani wanita,
wanita yang ku lihat tiada malunya,
mempraga tubuh badan merasa bangga,
terhegeh-hegeh melayan jejaka.

Dalam semaraknya pesta,
tenggelam dengan keseronokaan dunia,
laksana akan hidup sampai bila-bila,
terlampau mengejar dunia,
sedangkan kematian terus mengejar dia,
terlalu lalai dengan dunia,
sedangkan kematian tidak pernah lalai untuknya.
Sampai bila mahu terus memakmurkan dunia,
namun membinasakan akhirat kita?
Sampai bila kita mahu mengumpul dosa,
namun meninggalkan lahan pahala?
sampai bila...

Monday, June 20, 2011

Roda-Roda Kehidupan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Roda-Roda Kehidupan

Alhamdulillah, syukur yang sentiasa kita tingkatkan dan buktikan bukan hanya melalui hati, lisan bahkan dari sisi amal perbuatan kita bersama. Selawat kita biasakan dan tingkatkan khusus buat insan bergelar Nabi akhir zaman, baginda Nabi Muhammad SAW.

Roda akan sentiasa berputar ketika ada pengayuh yang menggerakkan. Ketika mana ia berputar, maka sudah lumrah posisi sesuatu kawasan roda akan terus berubah kedudukan samada berada di atas, hadapan, bawah mahupun belakang. Sepertimana roda kehidupan yang kita lalui, ada ketika kita berada di puncak kejayaan, menara kegemilangan dan gading kegembiraan. Namun ada juga ketika kita berada di jurang kegagalan, gaung kenistaan dan curam kesedihan. Namun roda tetap juga perlu digerakkan putarannya.

Kelajuan putaran untuk mengubah kawasan roda bergantung kepada pengayuh tersebut, terkadang ada yang pantas menggerakkan kawasan bawah untuk naik semula ke atas, dan ada juga memerlukan masa yang panjang baru naik semula ke atas, bahkan ada juga tidak mampu lagi untuk meneruskan kayuhannya yang mematikan putaran rodanya. Begitulah juga manusia, tempoh baik-pulih dari sebuah ujian kejatuhan tergantung kepada kekuatan masing-masing, ada yang bingkas bangun setelah jatuh, ada yang memerlukan masa untuk bangun dan ada juga terus mengalah tidak bangun-bangun. Bagaimana dengan kita?

Manusia yang merupakan pengayuh kepada putaran kehidupannya perlu sedar akan hakikat turun-naik dan pasang-surut dalam arena kehidupan. Ini perkara pertama berkonsepkan redha akan lumrah kehidupan. Namun, perkara kedua berupa usaha menghadapi lumrah kehidupan yang penuh dengan mehnah ujian adalah faktor kondisi putaran kehidupan seseorang. Kita harus kuat motivasi dan semangat untuk membiarkan roda terus berputar melainkan kuasa Tuhan mentakdirkan ia berhenti tiada putaran.


Kejatuhan Domino

Kita ketahui konsep kejatuhan domino ketika disusun rapat sesama mereka. Tatkala domino pertama dijatuhkan, maka akan menjatuhkan juga domino yang lain yang pada pandangan mata kita cukup indah gelombang dan formasinya, namun pada hakikatnya jika dikaitkan dengan kehidupan kita, ia adalah gelombang dan formasi kejatuhan yang berterusan hanya disebabkan kejatuhan pertama.


Ramai kita mampu melihat manusia yang tidak lulus dari ujian kehidupan menciptakan lagi kejatuhan demi kejatuhan hanya atas dasar emosi dan kelemahan sendiri. Bermula dari kejatuhan yang sebenarnya tidak fatal, namun terus dipandu ke arah kejatuhan yang lebih teruk kepada kehidupannya ; mencuri, membuli, merempit, menghisap dadah bahkan sampai bunuh diri.

Tidak lari juga khusus buat orang Islam yang ingin beriman, ketika ujian berat datang menimpa, ramai juga yang kecundang memberontak akan ujian diberi bahkan gagal dalam melintasi ujian tersebut. Terkadang kerana satu ujian, hilang kebergantungan pada illahi, hilang konsep redha akan ketentuan illahi, jatuh motivasi diri untuk terus beramal bahkan terus meninggalkan amalan yang biasa dilakukan. Inilah apa yang dikatakan Imam Ghazali sebagai pemberontakan terhadap ujian :

"Pemberontakan terhadap ujian adalah ketika kamu meninggalkan apa yang biasa kamu lakukan"[Imam Ghazali]

Apa maksudnya? Perkara yang biasa kita lakukan tidak kita lakukan kerana sesuatu ujian. Sebagai contoh, seorang mamat cinta yang putus cinta, jika ketika cinta masih berputik, tidur sentiasa lena, mandi selalu basah bahkan makan juga selalu. Namun ketika diuji dengan putus cintanya, tidur tidak lena, mandi tidak basah dan makan pun tidak lalu. Bukan menggalakkan untuk bercinta sebelum nikah, namun sekadar analogi yang berlaku dalam kehidupan zaman sekarang.

Begitu juga bagi orang beriman, jika sebelum ini tahajjud sering dihidupkan, subuh selalu berjemaah, zikir pagi petang terus diucap, sunat dhuha tiada yang tinggal, al-Quran berjuz-juz mampu dihabiskan, namun ketika sebuah ujian menimpa, mungkin yang agak berat bagi dirinya, habis terkontang kanting segala amalan hanya kerana motivasi diri dan emosi yang terus dilayan dibawah garis kemiskinan.

sedikit kaitan juga kepada semua pendakwah-pendakwah kebenaran, janganlah kita juga terkena penyakit kejatuhan domino ketika ujian menimpa kita, apatah lagi meninggalkan dakwah hanya kerana ujian yang ringan dibandingkan umat dahulu.

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."[QS al-Baqarah, 2:214]

Mari para pendakwah, kita nasihatkan juga diri kita mengenai hakikat ujian kehidupan dan ujian perjuangan,  jangan hanya ingin menjadi lilin yang menerangi orang lain, tapi membakar diri sendiri. Memang bagus untuk berkorban, tapi pengorbanan diri sendiri untuk membaiki orang lain sehingga memakan diri sendiri perlu kembali kita perhatikan.

.

Ujian Lumrah Kehidupan

Kita patut bersyukur ketika dikurniakan nikmat ujian, pandangan kasar memang nampak sesuatu yang teruk, tapi pada pandangan hati ia adalah sesuatu yang indah kerana diberi peluang oleh Allah untuk kita diingatkan sebelum makin jauh terlari dari landasan kebenaran. Sedarlah, ujian itu lumrah bagi sesiapa sahaja yang ingin beriman, jika kita ingin sahaja beriman, maka bersedialah untuk menghadapi ujian, ujian yang bakal membezakan antara kebenaran dan kedustaan terhadap sebuah takhta orang beriman.

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."[QS al-Ankabut, 29:2-3]

Wahai hamba-hamba Allah, umpama lautan yang pasti ada ombak yang mendatang, terkadang ada yang kecil ada juga yang besar, namun mari kita teruskan berenang jangan lemas tenggelam. Semoga kita diberikan kekuatan berenang di lautan dunia yang penuh dengan ombak ujian. Yakinlah, walaupun nampak sukar merenanginya, tapi tidak mustahil untuk menyeberanginya. Ayuh teruslah bertahan dalam lingkaran keimanan..InsyaAllah..

Sunday, June 12, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian XI)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


 

Nasihat Hari Ini : jangan tertipu dan kagum dengan kebaikan yang dijadikan alas untuk buat kejahatan. Kebaikan yang tersurat bertujuan untuk mengaburi kejahatan yang tersirat.

Nasihat Hari Ini : Terkadang ada sesuatu yang tidak mampu difikir dengan akal, disaksikan dengan pancaindera, mahupun dibuktikan dengan pengkajian, namun wajib juga bagi kita memberi keyakinan, itulah alam ghaib yang menuntut keimanan.

Nasihat Hari Ini : Sekufu bukan ditekankan dari sisi pangkat dan kedudukan, namun yang lebih utama sekufu dalam bentuk agama dan keimanan.

Nasihat Hari Ini : Makin berusia, sepatutnya makin dekat dengan Allah, bukan makin dekat dengan dunia.

Nasihat Hari Ini : Teruslah meluncur tinggi di atas ombak keimanan dengan penuh semangat, sebelum jatuh masuk kedalam lautan kelalaian, kerana bukan mudah untuk menaikinya semula jika kita terjatuh dari luncuran.

Nasihat Hari Ini : Laksanakanlah perintah Allah, tinggalkanlah larangan Allah dan terimalah ketetapan Allah. Ayuh kuatkanlah kemahuan untuk berbuat daripada kemahuan untuk berehat.

Nasihat Hari Ini : Tangisan tidak semestinya gambaran kelemahan,  lukisan penderitaan atau coretan kesedihan. Namun tangisan boleh jadi lambang kebahagiaan, bukti kecintaan dan dalil keikhlasan.

Nasihat Hari Ini :  Orang bahagia akan melahirkan senyuman, namun orang tersenyum tidak semestinya membuktikan kebahagian.

Nasihat Hari Ini : Kita jangan hanya kaya untuk poket sendiri, namun perlu kaya untuk poket ad-Din. Janganlah mementingkan diri sendiri sehingga melupakan agama dan saudara muslimmu sendiri.

Nasihat Hari Ini : Air perlu terus bergerak agar tidak bertakung kerana akan mendatangkan pelbagai penyakit. Begitu juga dengan manusia, perlu terus beramal dan jangan berhenti agar penyakit badan dan hati mampu dijauhi. 

Nasihat Hari Ini : Apapun status dan kerja kita di dunia, ingatlah status dan kerja kita sebagai hamba kepada Pencipta!

Friday, June 10, 2011

Semanis Racun Berbisa


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Sumber : Rubrik Fokus @ Majalah SINERGI Edisi Ke-5
Penerbit : Synergy Media Publication


Senjata Peluru Beracun

Tidak diragukan lagi kekuatan umat Islam suatu ketika dahulu umpama bangunan yang amat kukuh, sehinggakan tiada lautan tentera yang tidak mampu dihempas dengan ombak Tsunami tentera Islam. Roh jihad yang dipancarkan oleh ajaran Al-Quran dan As-Sunnah begitu hebat melahirkan keberanian, kecekalan dan kepahlawanan yang sukar ditandingi. Akidah Islam yang menjadi asas yang pejal terhadap tentera Islam itu amat ditakuti. Maka, musuh Islam mencari jalan bagi menghancurkan asas kekuatan itu dan kini sedarlah, al-Ghazwah al-Fikr (Perang Pemikiran) adalah jalan mereka menghancurkan kita!

Suatu bukti ketika Syria dan Lebanon dapat dikuasai oleh Perancis selepas Perang Dunia Pertama. Di samping armada-armada bersenjata, dibawa bersama sebuah kapal yang sarat berisi pelacur. Apabila kapten kapal tersebut ditanya, beliau menjawab dengan licik; "Armada-armada bersenjata itu mungkin akan hilang kesannya. Adapun armada jenis ini (berisi pelacur) maka kesannya tidak akan hilang sama sekali".

Senjata yang menggunakan peluru wanita, hiburan yang melampau, fesyen pendedahan aurat, hiburan sukan yang menipu, dan pelbagai lagi jenis peluru yang ditembak menghancurkan benteng aqidah umat Islam. Inilah perang pemikiran yang merupakan senjata halus menyisip kedalam umat Islam dewasa ini. Sebagai contoh yang lain, berapa ramai kerana sebiji bola, habis melambatkan bahkan meninggalkan solat fardhu, kerana sebiji bola, sanggup bersengkang mata awal pagi berbanding tahajjud pada Illahi dan kerana seibiji bola, berapa billion umat Islam hancur keimanannya? Akhirnya, kejayaan Islam tidak selalu disebabkan kita, tapi kejatuhan Islam boleh kata sering disebabkan diri kita!

Belum lagi bila dikatakan soal hiburan yang melampau, hedonisme. Habis anak-anak muda bahkan anak-anak tua (dewasa) kita terhegeh-hegeh memenuhi konsert-konsert hiburan yang jelas merosakkan berbanding mereka datang ke program-program Islam samada ceramah-ceramah, kem-kem membina iman, program-program motivasi Islam, apatah lagi majlis-majlis ilmu yang lebih khusus seperti halaqah. Memang pada pandangan nafsu, hedonisme itu semanis madu, tapi sebenarnya ia racun berbisa. Tidak lupa juga ingin saya utarakan, anak muda kita yang sentiasa tidak lari dengan fesyen pendedahan aurat, sehinggakan fesyen sering di'update'kan, tapi keimanan sering di'downgrade'kan, fesyen pakaian sering dindahkan, tapi keimanan sering dikoyakkan. Inilah peperangan dahsyat yang sedang kita hadapi, dan malangnya terlalu ramai telah dikalahkan dan sedang dijajah walaupun bukan dalam bentuk fizikal tapi dalam bentuk pemikiran.

Penjajahan Terus Berlangsung

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)." Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. “[QS al-Baqarah, 2:120]

Musuh Islam akan terus berusaha sehingga kita mengikuti mereka hatta masuk ke dalam lubang biawak kendatipun. Perlu kita sedari, penjajah yang pernah menguasai negara kita bukan semudahnya meninggalkan jajahan mereka. Mungkin pada pandangan kasar kita mereka telah meninggalkan kita, tapi hakikatnya mereka terus menanam pengaruh dengan mewarisi golongan-golongan penjajah dari kaum peribumi itu sendiri yang dimandatkan untuk memainkan peranan mengubah seluruh tatacara hidup, nilai akhlak dan sistem pemerintahan serta sosial umat ke arah yang diredhai oleh tuan-tuan mereka, kaum penjajah. Ingatlah larangan Allah kepada kita dalam firmannya:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." [QS al-Maidah, 5:51]

Pemerintahan adalah salah satu juga sarana halus yang menguasai pemikiran sepertimana protokol kesembilan Pendeta Zionist menjelaskan "Jika sekiranya orang-orang kita (Yahudi) tidak dapat memegang tampok kekuasaan maka kita akan berusaha meletakkan di tempat itu orang-orang yang mempunyai rekod buruk sehingga wujud satu jurang pemisahan yang dalam antara mereka dengan rakyat. Atau kita arahkan kekuasaan itu kepada orang yang sentiasa boleh diadili dan dihukum penjara sekiranya ia kelak menghalang peranan kita".

Beginilah detailnya strategi musuh Islam dan paling utama perlu kita akui adalah akan ada sahaja mata-mata  yang menjadi patung kepada mereka. Sehingga kini, mereka telah  berjaya sedikit sebanyak mengelirukan akidah Islam, melumpuhkan semangat jihad dengan memisahkan secara negatif antara akidah dan perlaksanaan syariah, antara kerohanian Islam dan kebatilan jahiliah. Akhirnya tersebar luaslah fahaman memisahkan agama dari negara atau pemerintahan sekularisme. Inilah bahayanya patung-patung kepada musuh Islam yang digambarkan Allah sebagai orang munafik.

"Yang demikian itu karena sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah (orang-orang Yahudi): "Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan", sedang Allah mengetahui rahsia mereka.
[QS Muhammad, 47:26]

Semanis Kartun Disney

Micky Mouse, Donald Duck, Alladin dan banyak lagi animasi-animasi kartun keluaran Walt Disney pasti bukan sesuatu yang asing lagi bagi kita. Perlu kita ketahui, Walt Disney yang diasaskan oleh Disney bersaudara, Walter Elias Disney dan Ray O.Disney adalah jelas keyahudiannya yang merupakan salah satu pendokong ke arah New World Order. Walt Disney bahkan termasuk dalam ahli Order De Moley sekaligus seorang Freemason peringkat 33. Freemason peringkat 33 ini merupakan satu darjat tertinggi yang hanya boleh dicapai oleh tokoh-tokoh yahudi dan juga anggota Illuminity.


Walt Disney yang jelas mengarah keuntungan pada Yahudi mempunyai agenda untuk mendoktrinkan pemikiran kanak-kanak agar sesuai dengan dunia baru yang bakal diciptakan pihak mereka. Disebalik karakter, jalan cerita dan illustrasi kartun atau filem yang dihasilkan, ada agenda tersembunyi illuminati untuk mempengaruhi pemikiran kanak-kanak bagi menyelitkan unsur-unsur kekerasan, seksual, pemikiran meletakkan muslim sebagai pengganas, hatta membenci dan merendahkan agama dan budaya yang lain habis meracuni pemikiran kanak-kanak bahkan hasilnya mereka mempraktikan teori yang dilihat kepada dunia realiti.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya, inilah juga yang dilaksanakan pihak kafir dalam mendoktrinkan pemikiran rosak ke dalam generasi awal usia kita. Kerana tempoh ini merupakan tempoh pembelajaran anak tersebut dicorakkan samada menjadi Yahudi, Nasrani mahupun Majusi. Sesuai dengan sabda nabi yang menekankan agar mula mengajari anak kita solat diawal usia 7 tahun. Namun bagaimana keluarga Islam masa kini? Berapa ramai yang menekankan Ilmu agama dalam usia yang dianjurkan Rasulullah SAW?

Pihak kafir sendiri mengetahui proses tumbesaran waktu ini amat memberi kesan terhadap prilaku seseorang manusia. Seperti kita ketahui, sekolah rendah dikenali sebagai 'Pimary School' dalam bahasa english dan Sekolah Menengah dikenali sebagai 'Secondary School', jelas perbezaan antara primary dan secondary, pihak kafir memang mengutamakan atau 'primer'kan pendidikan pada awal usia 7 tahun untuk memulakan misi doktrinisasi mereka. Semoga kita menyelamatkan anak-anak atau adik-adik kita bahkan mungkin diri kita sendiri dari racun berbisa ini.

Sirnakan Racun Berbisa

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang indah (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya," [QS al-Hijr, 15:39]

'Semanis Racun Berbisa', inilah yang ingin kami bawakan dan sedarkan dalam tema kali ini kepada kita semua. Iblis yang sebenarnya membuatkan kita memandang indah dan merasa manis terhadap segala racun berbisa. Penyebaran racun yang disebar-luaskan dengan menggunakan pengedar-pengedar mereka perlu kita sedari dan melawan kembali minima dengan menjaga diri sendiri dan lebih indah jika mampu menyedarkan keluarga, masyarakat, negara bahkan umat Islam seluruhnya.  Cukuplah kepercayaan kita kepada penjajah-penjajah pemikiran yang akan memudharatkan kita akhirnya. Ayuh bersama kita sirnakan racun berbisa yang merebak di tubuh umat kita.

p/s : saksikan lebih banyak karya-karya SINERGI Edisi Ke-5 yang merungkai racun-racun berbisa musuh-musuh Islam..

frontcover05

Friday, June 3, 2011

Marathon Ramadhan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli :SaBaHaNmUsLiM


On your mark, get-set..Go!!!

Alhamdulillah, baru selesai membuat perabot sendiri di rumah yang baru pindah..Perkakas dan bahan perabot disediakan dahulu sebelum melalui proses pemotongan, pelicinan menggunakan kertas pasir, pemasangan dan pengecatan. Akhir sekali, penggunaan, pemanfaatan dan penjimatan tanpa perlu membeli dari kedai. Saksikan rak kasut yang macam tidak menyerupai rak kasut..hehe..



Sepertimana pembuatan perabot amatur tersebut yang memerlukan persiapan, begitu juga bagi kita sebelum ingin memanfaatkan bulan suci mulia, Ramadhan. Memerlukan persiapan dari sekarang agar mampu menghadapi dan melaluinya dengan penuh kejayaan.

Cuba dibayangkan, seandainya kita adalah seorang pelari marathon negara yang akan dihantar oleh Malaysia untuk mengikuti Sukan SEA (tidak pasti adakah pertandingan larian marathon?) yang seterusnya di Indonesia. Pertandingan yang menjanjikan tawaran hadiah yang bukan biasa-biasa, tapi luar biasa. Sudah tentu bagi menghadapi pertandingan ini, kita akan mempersiapkan fizikal dan mental lebih awal dari hari musim pertandingan.

Diantara latihan fizik yang kita akan lakukan adalah lari dalam jarak tertentu seperti 5, 10, 20 atau 25 km. Bahkan juga perlu mencuba lari sampai sekitar 40 km, untuk menyamai jarak yang akan dipertandingkan kerana khuatir ketika pertandingan kehabisan bateri untuk meneruskan perlumbaan. Hal ini menunjukkan bahawa latihan harus diusahakan sesuai dengan apa yang akan dipertandingkan.

Bagi persiapan mental terhadap cuaca dan suasana pertandingan,  kemungkinan besar kita akan pergi lebih awal ke Indonesia untuk menyesuaikan diri dengan kondisi di sana. Melakukan latihan ringan di sana sebagai langkah pemanasan badan dan minda.

Perumpamaan diatas juga sesuai dengan persiapan kita yang bakal  menghadapi bulan Ramadhan dengan izin-Nya. Ramadhan yang lamanya 29 atau 30 hari memerlukan stamina dan fitness yang tinggi. Betapa banyak kita lihat saff sholat tarawih yang penuh pada minggu pertama akan menyusut pada minggu-minggu berikutnya. Semua kerana tiadanya persiapan yang cukup untuk bulan Ramadhan.

Latihan untuk beramal perlu dimulakan dari sekarang juga agar tidak kekok ketika bulan Ramadhan yang ada had masanya tiba. Ketika Ramadhan tiba, sedarlah ia bukan masa untuk baru bermula, tapi masa untuk kita memecut dari awal hingga akhirnya. Jika Ramadhan tahun lepas kurangnya persiapan kita, pecutan juga hanya mampu didapatkan momentumnya ketika akhir Ramadhan, maka mari jadikan Ramadhan tahun ini penuh persediaan dan menyediakan momentum sebelum datangnya Ramadhan lagi.

I'dad (Persiapan) Ramadhan

Mari di bulan Rajab dan Sya'ban ini kita perbanyakkan puasa, mungkin di bulan Rajab kita baru lesen L, di bulan Sya'ban mendapat lesen P, dan akhirnya di bulan Ramadhan sudah memandu di jalan amal dengan lancar dan selamat. Usahakan jangan ada tinggal puasa isnin dan khamis, atau puasa 3 hari sebulan, atau puasa-puasa lainnya yang mengikut syarak. Biasakan juga bangun sahur untuk berpuasa jika selama ni kita berpuasa sunat tanpa sahur kerana sahur pada Ramadhan ada kelainannya yang perlu  diraih oleh kita.

Begitu juga dengan bacaan al-Quran kita, mulakan dari sekarang banyakkan bacaan, tambahkan hafalan, tingkatkan penghayatan, banyakkan tangisan dan pastikan tiada hari tanpa bacaan al-Quran. Biasakan dan disiplinkan diri membaca setiap habis solat fardhu contohnya, atau setiap selang maghrib-isyak, bergantung kepada waktu kita. Biasakan juga bagi kita jangan menunggu ada waktu baru membaca al-Quran, tapi kita yang kena sediakan waktu untuk membacanya.

Memang seutama-utama puasa adalah pada bulan Ramadhan, manakala seutama-utama solat selepas fardhu adalah solat di sepertiga malam. Apatah lagi kelak ketika Ramadhan jika diizinkan Allah untuk kita sampai padanya. Ayuh latih juga dari sekarang bangun awal untuk hidupkan malam, jika tidak mampu lagi bangun, biasakan tidur di masjid agar minima mampu bangun solat subuh berjemaah, dan akhirnya usaha mata mampu dibuka di sepertiga malam.

Bayangkan, sedangkan ada syaitan penuh berkeliaran, ingin menghasut anak-anak Adam di luar Ramadhan, tapi kita mampu untuk teruskan bahkan tingkatkan amalan, bagaimana pula kelak ketika syaitan-syaitan dirantai tiada pelepasan sepanjang Ramadhan? Hasilnya pasti lumayan..InsyaAllah biiznillah.

Banyak lagi amalan yang perlu kita jadikan kebiasaan sebelum menjelang bulan Ramadhan. Semua bergantung kepada kita mengenai keyakinan terhadap janji-janji Allah di bulan Ramadhan. Ayuh mulakan latihan dari sekarang! Ayuh tingkatkan kesedaran dari sekarang!Ayuh elakkan kesalahan dari sekarang! Inilah persiapan tanda kita menunggu dan menginginkan Ramadhan.

Allahumma bariklana fi Rajaba wa Sya'ban, wa balligna fi Ramadhan Ya Allah..Amin Ya Robbal 'Alamin..



Post Ramadhan Lepas : Siapkan Dirimu Menghadapinya

Thursday, June 2, 2011

Variasi Amanah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Perihal Amanah

Alhamdulillah, rasa syukur masih kita utamakan diatas segala nikmat yang diberikan, bermula dari terpilih menjadi umat islam antara semua manusia yang Allah ciptakan, lalu insyaAllah terpilih lagi menjadi orang yang ingin beriman antara ramainya umat Islam, semoga terpilih lagi ingin menyedarkan orang lain beriman antara ramainya orang yang ingin beriman sendiri-sendirinya. Kita harus jaga tepi kain orang agar kainnya tidak koyak dan rosak. Ubahlah fahaman kita harus hidup sendiri-sendiri tanpa peduli orang sekeliling.

Amanah, suatu perkara yang diucapkan ringan, namun dipikulnya amat berat, dipandang ringan bagi kebanyakan manusia, namun dipandang berat bagi orang beriman kerana ianya persyaratan ciri-ciri orang beriman, dan persyaratan terlindung dari ciri-ciri kemunafikan. Inilah hakikat kebenaran yang perlu diletak dengan penuh keyakinan serta kesungguhan dalam menjaga sebesar-besar atau sekecil-kecil amanah yang diberikan kepada kita.

"Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya"[QS al-Mukminun, 23:8]


Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tanda orang munafik itu ada tiga macaml; iaitu jikalau berkata ia dusta, jikalau berjanji tidak ditepati dan jika dipercaya untuk memegang sesuatu amanah ia khianati." (Muttafaq 'alaih)

Orang-orang beriman yang berjaya dan beruntung yang digariskan dalam surah al-mukminun meletakkan memelihara amanah merupakan ciri orang beriman yang bakal mewarisi syurga firdausi yang semestinya kita harapkan bonus sedemikian, walaupun yang paling utama pengharapan kita kepada rahmat Allah Yang Esa. Orang-orang munafik yang rosak dan binasa yang digariskan dalam sabda Rasulullah perlu kita jadikan sempadan untuk memasuki kawasannya (ciri munafik).

Variasi Amanah

Semestinya kita ketahui kepelbagaian amanah yang mendasari umat manusia hari ini. Mari telusuri beberapa contoh amanah yang mencakupi kehidupan seharian kita:

1. Amanah Seorang Anak

Zaman ini mampu kita saksikan pengkhianatan amanah sebagai anak kepada insan yang melahirkan dan menjaga mereka, ibu bapa. Betapa banyak anak-anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya, bukannya hanya bertikam mulut, bahkan sanggup bertikam tubuh badan lainnya, hanya kerana sesuatu alasan yang terlalu jauh kepentingannya berbanding nyawa dan hati seorang ibu dan ayah.

Hanya kerana seorang wanita mahupun jejaka, habis ibubapa ditipu daya dengan kata dusta, hanya kerana kawan hiburan seangkatan, habis diperas wang ringgit hasil peluh tenaga, hanya kerana sebungkus dadah, nyawa ibubapa sanggup dipertaruhkan. Inilah hakikat kehidupan sekarang, inilah kebenaran kondisi generasi muda harapan kononnya, cukuplah apa yang kau lakukan, sedarlah hakikat sebenar kehidupan sementara, dan yakinlah kehidupan sebenar di alam seterusnya.

Ayuh semua yang bergelar anak,samada anak muda mahupun yang sudah dimamah usia, jagalah amanah seorang anak, amanah untuk menjadi anak yang soleh mahupun solehah, amanah yang jika mampu dilaksanakan akan membuahkan kebahagian bukan hanya di dunia, namun juga diakhirat sana. Khusunya bukan hanya untuk diri sendiri, namun bagi ibu bapa yang kita sayangi.

2. Amanah Ibu Bapa

Ibu bapa pewarna kepada warna-warni anaknya. Bapak borek, anak rintik, kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, bentuk kuih adalah hasil dari acuannya, dan banyak lagi perumpamaan yang mampu kita coretkan yang membawa kepada maksud yang sama, didikan ibu bapa. Kita mulakan dengan ibu bapa muda generasi sekarang, yang sudah dilabel sebagai ibu bapa kerana anak yang dilahirkan, walaupun anak dilahirkan diluar pernikahan, yang jelas-jelas teruk apa yang dilakukan, tapi mengapa menambah lagi keterukan dengan membuang dan membunuh anak yang dianugerahkan! Dirimu patut mengambil alih tempat anak yang kamu perlakukan, rasakan disumbat di lubang tandas, di lempar di pembuangan sampah,  dibiarkan berlalat  di mana-mana, dibiarkan menangis di tempat sunyi dan yang terbaru di jatuhkan dari tingkat 5 dan banyak lagi aksi yang terlalu teruk untuk diungkapkan, inilah ibu bapa yang pecah amanah!

Bayi Dilempar Dari Tingkat 5

Ibu bapa yang menjadi dengan ikatan pernikahan yang sah pula samada pada zaman sekarang mahupun zaman nostalgia, perlu juga kita perhatikan tingkah laku mereka kepada anak di kesibukan dunia hari ini. Betapa ramai ibu bapa yang sepatutnya diamanahkan menjaga anak mereka, namun sentiasa menyuap anak dengan makanan haram, membiarkan anak menjadi seteruk insan, menyisihkan anak dari kehidupan beragama, dan membutakan anak untuk mengenal Allah Yang Maha Kuasa? Cukuplah kesibukan dunia sehingga mengambil masa bagi kita mewarisi dan meninggalkan anak-anak yang dilabel sebagai soleh-solehah yang bakal mendatangkan manfaat juga kepada kita di dunia dan alam seterusnya.

Dari sisi lainnya, ingatlah juga, jangan kerana masalah anak habis merosakkan juga rumah tangga kita kerana saling tuduh-menuduh dan menyalahkan sesama. Kita perlu menyelesaikan masalah, bukan mencari dan menambah masalah. Ayuh ibu bapa sekalian kita selesaikan masalah dengan bijak.

3. Amanah Seorang Pelajar

Buat insan yang bergelar pelajar, yang diamanahkan Allah dan Rasul untuk mencari ilmu, yang diamanahkan ibu bapa untuk mencapai kecemerlangan, yang diamanahkan guru untuk mempelajari ilmu bahkan yang diamanhkan biasiswa dari sumber rakyat untuk kita manfaatkan, perlu kita memelihara amanah yang diberikan. Kasihan kita melihat harapan untuk pulang ke rumah membawa ijazah, tapi yang dibawa pulang adalah anak luar nikah, yang dibawa pulang trend fesyen yang kononnya megah, yang dibawa pulang hanyalah kerosakan akhlak. Ini bukan natijah dari seorang yang terpelajar, belajar tingi-tinggi namun tidak mampu membezakan baik dan buruk,  bukan menjadi makin baik tapi makin teruk. Ayuh hapuskan trend sebegini bermula dari perbaiki diri sendiri kemudian ingatkan pada pelajar yang lain..Post yang khas saya coretkan buat insan bergelar pelajar boleh dimanfaatkan di SINI.

4. Amanah Seorang Pekerja

Banyaknya jenis pekerjaan kita maklumi di bumi, bermula dari seringan-ringan pekerjaan sehingga seberat-berat pekerjaan dan yang menjadi indikator baik-buruk pekerjaan tersebut adalah keberkatan dalam pekerjaan tersebut dan bukan tinggi-rendah sesuatu jawatan atau status pekerjaan.

Pencarian pekerja juga harus disaringi dengan baik,sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran:

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku, ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."[QS al-Qashah, 28:26]

Dua ciri pekerja yang baik adalah yang kuat bekerja serta dapat diberikan amanah yang dia tidak akan khianati. Bukan hanya kuat dari aspek ketinggian pendidikan atau beberapa faktor yang sering ditekankan di kebanyakan syarikat, tapi faktor amanah,jujur ataupun integriti adalah perkara yang penting untuk diperhatikan. Betapa banyak kita melihat ahli syarikat yang nampak kuat dari segi menjalankan tugasan, tapi menggelapkan duit syarikat. Ayuh jadi pekerja yang beramanah!

5. Amanah Seorang Pemimpin

"Hai Abu Zar, sesungguhnya pada hari kiamat engkau adalah seorang yang lemah dan sesungguhnya jawatan pemerintahan itu adalah sebagai amanah dan sebenarnya jawatan sedemikian itu adalah merupakan kerendahan serta penyesalan - pada hari kiamat - bagi orang yang tidak dapat menunaikan amanahnya, kecuali seseorang yang mengambil amanah itu dengan hak sebagaimana mestinya dan menunaikan apa yang dibebankan atas dirinya perihal amanah yang dipikulkan tadi. [HR Muslim]

Kita maklumi setiap antara kita akan dipertanggunjawabkan terhadap pimpinan masing-masing, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar pimpinan,semua akan dipertanggungjawabkan. Bahkan Rasulullah SAW menekankan kondisi dan nasib pemimpin yang tidak menunaikan amanahnya dan mengkhinati amanah yang diberikan kepadanya akan mencapai penyesalan di suatu hari yang pasti akan berlaku dan pasti dibalas segala amanah pemimpin yang dibelakangi jika kita tidak bertaubat.

Seorang pemimpin memikul tugas yang berat yang berurusan bukan hanya dengan amanah dari Allah, tapi juga urusan sesama orang pimpinannya. Saya terkilan jika ada pemimpin yang sanggup mengambil kesempatan dan mengkhianati amanah pimpinannya, kerana betapa banyak kuantiti pimpinannya yang telah dia khinati yang melibatkan hubungan sesama manusia yang perlu diselesaikan sesama manusia juga. Amanah sebagai pemimpin telah panjang lebar saya bahaskan di post Amanah Pemimpin jika anda ingin menelusurinya.

Amanah Lebih Utama

Variasi amanah yang kita perhatikan memang amat penting untuk kita laksanakan. Namun ada amanah lebih utama untuk kita perhatikan.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."[QS al-Anfal, 8:27]

Jangan khianati amanah kita kepada Allah dan Rasul!Betapa banyak kita melihat hamba Allah dan umat Rasulullah yang bukan hanya terkadang bahkan sering melanggar amanahnya kepada Allah dan Rasul. Amanah sebagai hamba yang sepatutnya mengabdikan diri pada Allah, bukan mengabdi kepada dunia. Amanah sebagai umat Rasulullah yang sepatutnya menghidupakan dan memekarkan sunnah, bukan menghalang dan mensirnakan sunnah baginda.

Terdapat juga insan yang tidak tahu susunan keutamaan sesuatu amanah, sehingga amanah yang diberikan oleh manusia kepadanya mengalahkan amanahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedarlah, profesi kita adalah amanah yang diberikan Allah kepada kita, tapi jangan sampai profesi kita membuatkan kita lupa amanah kita kepada Allah. Apapun status dan kerja kita di dunia, ingatlah status dan kerja kita sebagai hamba kepada Pencipta!

Perbuatan buruk yang mengkhianati amanah akan menjadi bomerang yang bakal mengenai kita semula. Jika bukan dunia, nantikan bomerang kembali kepada kita di akhirat sana. Jangan lagi kita khinati Allah dengan melanggar perintah-perintah dan larangan-larangan-Nya. Mari kita menjaga dengan sebaik-baiknya amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh rasa tanggungjawab, bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan.