Saturday, April 17, 2010

Karat-Karat Jahiliyyah Dalam Generasi Muda II

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Assalamu’alaikum w.b.t. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta ‘Alam yang masih terus menerus memberi nikmat yang tidak mampu dihitung oleh hamba-hambaNya. Nikmat kesihatan baru ana rasakan tatkala sekarang ana ditarik sedikit nikmat kesihatan yang jarang ana syukuri. Panas badan ditambah sakit kepala yang agak berat ana usakan untuk kuat bertahan dalam rangka mengingatkan diri sendiri dan pembaca sekalian akan nikmat kesihatan yang sering hanya dirasai tatkala nikmat tersebut ditarik oleh-Nya. Namun marilah kita bersama-sama saling ingat-mengingati agar jangan nikmat kehidupan kita baru nak rasakan tatkala nyawa di kerongkongan. Marilah kita memanfaatkan setiap detik nikmat kehidupan sebagai lambang kita bersyukur kepada Allah Yang Maha Hidup.

Selawat dan salam cinta dan rindu kita kirimkan kepada junjungan mulia penghulu para anbiyya’ yang mencintai dan merindui kita semua. Dengan izin yang Maha Berkuasa diberi kesempatan menarikan jari-jemari di atas papan kekunci untuk meneruskan perbincangan karat jahiliyah untuk kita cegah bersama.

Ikhwah wa akhawat rahimakumullah, setelah beberapa perkongsian karat jahiliyyah sebelum ini, adakah kita amalkan ilmu tersebut untuk menjadikan jahiliyah sempadan dalam ruang keimanan kita? Semoga kita diberi kekuatan ke arah redha-Nya. Terus kepada karatan yang seterusnya. Yang telah lama tertanam dalam halaman pemikiran kita, kepercayaan kepada Horoscope dan yang seangkatan dengannya. Mempercayai bila hari yang malang, bila hari yang tinggi rezeki, yang rendah percintaan, dan pelbagai lagi yang dibahaskan sebagai tekaan dan kepercayaan yang sama dilakukan Arab Jahiliyyah suatu ketika dahulu.

“Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan.” (QS 5:3)

Al Azlaam artinya: anak panah yang belum pakai bulu. Orang Arab Jahiliyah menggunakan anak panah yang belum pakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Jahiliyyah sekarang melihat dahulu ramalan Sang Horoscope baru melakukan sesuatu perkara. Moga selepas ini kita kikis jauh-jauh perkara khurafat yang menjauhkan kita dari kepercayaan kepada Tuhan Penentu Segala.

Ikhwah wa akhawat yang dikasihi, karatan yang makin rancak juga menyebar dalam hari umat dewasa ini berdasarkan suatu kisah buat tauladan, kesombongan yang timbul dalam perjanjian hudaibiyah antara Suhail bin ‘Amr (Quraisy) dengan Baginda Rasulullah. Menolak penggunaan ‘ar-Rahman’ dalam basmalah sehingga Rasulullah menukar ‘Bismikallahumma’. Ditambah penolakan penggunaan ‘Rasulullah’, maka Baginda menukar kepada Muhammad Bin Abdullah (Sirah Nabawiyyah – Abul Hasan ‘Ali al-Hasani an-Nadwi). Betapa kesombongan ditegur Allah buat pengajaran kita bersama. Tatkala Allah berfirman:

 “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan Jahiliyyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
-analogi sapa lagi besar?” (QS 48:26)

‘Sudah siang, Lagi berkanta’, kesombongan di dalam diri salah satu penyakit jahiliyah yang perlu diusir beribu batu jauhnya. Perasaan merasa diri lebih hebat dari yang lain, merasa diri lebih pandai dari yang lain, merasa diri lebih cantik/hensem dari yang lain, merasa diri lebih kaya dari yang lain bahkan merasa diri lebih besar dari yang lain, cuba jawab pertanyaan ini:

Antara dirimu dengan rumah/universiti/syarikat mu mana lagi besar?
Antara rumah/universiti/syarikat mu dengan negerimu mana lagi besar?
Antara negerimu dengan muka bumi mana lagi besar?
Antara bumi dengan matahari mana lagi besar?
Antara matahari dengan sistem solar mana lagi besar?
Antara sistem solat dengan galaksi mana lagi besar?
Antara galaksi dengan proto galaksi mana lagi besar?
Antara proto galaksi dengan alam semesta mana lagi besar?
Sekarang cuba fikir dan jawab…
Antara alam semesta dengan Pencipta Alam Semesta mana lagi besar???
AllahuAkbar!!!
Sekarang kau sedar apa AllahuAkbar yang sebenar-benarnya,
Dirimu hanya sebutir pasir yang lemah dihadapan Allah,
Tunduk rendahlah dan akui dirimu sebagai hamba Yang Maha Kuasa,
Cukuplah kesombongan yang memekar dalam hatimu,
Mohon ampun padaNya, itu yang perlu.
(Ilham dari ESQ Leadership Center)

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”(QS 31:18)

Ikhwah wa akhawat, kita hamba pada Yang Esa, buang la sifat sombong dalam hati kita, bagi yang ditarbiyyah, jangan anggap dirimu laksana malaikat, merasakan tiket syurga sudah ada ditangan, itu bukan di tangan kita untuk putuskan, mungkin sahaja bertukar sebelum kiamat, kiamat dirimu atau kiamat dunia, ingatlah kata-kata dari seorang sahabat:

“Sesungguhnya dagangan Allah mahal harganya (diulang 3 kali), Sesungguhnya dagangan Allah adalah syurgaNya” (Atsar Ibnu Mas’u)

Buang sifat kesombongan dalam diri, 
contohi Rasulullah dalam segenap sisi, 
rendah diri dan tawadhu’ perlu diikuti.
Syukurilah kelebihan yang kita miliki,
Kelemahan diri untuk kita perbaiki,
Untuk mendapat kebahagiaan hakiki.

Ikhwah wa akhawat yang Allah pilih, terlalu berpuisi pula di penulisan kali ini, agar nampak sedikit variasi, sebagai cubaan nak mengekalkan konsentrasi, dalam rangka dakwah pena ini. Karat seterusnya, bukan karat besi, tapi karat jahiliyyah yang ana ingin bahaskan adalah berdasarkan kisah kaum musyrikin yang meletakkan prasangka jahiliyah terhadap Allah, meletakkan anggapan kekalahan yang dirasai bukan akibat diri sendiri yang melanggar ketetapan dari pemimpin abadi (Rasulullah). Allah rakamkan peristiwa tersebut di dalam kitabNya bagi mereka yang mahu berfikir:

 “…sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?…. (QS 3:154)

Jelas dalam firman ini meletakkan prasangka terutama yang negatif atau persepsi adalah sifat seorang yang mempunyai jahiliyyah dalam dirinya. Seringkali membuat ‘snap judgement based on appearance’, That’s why we are advice don’t judge the book by its cover, but then, (dah lah tidak hebat english mahu speaking pula). Apa yang ana ingin sampaikan disini adalah satu perkara yang crutial buat kita semua, betapa banyak pergaduhan atau peperangan berlaku hanya atas dasar meletakkan prasangka yang buruk tanpa mengkaji atau menganalisa kebenaran berita yang dengari.

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.   
(QS 49:6)

Ikhwah wa akhawat sekalian, janganlah kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa meletakkan persepsi buruk terhadap orang lain, Allah melarang keras perbuatan ini dalam firmanNya.

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (QS 49:12)

Melihat muka seseorang sedikit parut dikatakan samseng, bibir seseorang gelap dikatakan perokok, mendengar sesuatu perkara dari satu pihak terus percaya tanpa periksa samada shahih atau maudu’, tidak kira dalam konteks kawan, keluarga atau masyarakat.

Ikhwah wa akhawat, karat terakhir buat sapaan kita bersama pada entri kali ini merupakan satu perkara yang terlalu banyak berlaku dalam dunia hari ini. Menghina. Mengejek. Mengolok. Mencaci. Atau seangkatan dengannya, itulah yang ingin ana kongsikan untuk isi terakhir ini. Suatu kisah yang ana rasakan ramai antara kita sudah sedia maklum akan penceritaannya, kisah Abu Dzar al-Ghifari yang menggelar Bilal Bin Rabbah dengan panggilan yang kurang enak didengar.

Hadits dari Abu Dzar, ia berkata: “sesungguhnya saya mengejek seseorang dengan menghina ibunya, maka Rasulullah berkata padaku, “Hai Abu Dzar, apakah engkau menghina ibunya? Sesungguhnya engkau adalah orang yang mempunyai sifat Jahiliyyah” (HR.Bukhari-Muslim)

Perkara menghina Rasulullah sendiri meletakkan ianya merupakan sifat jahiliyyah, namun mengapa kita masih sering mengejek bahkan memfitnah sesama kita, tidakkah kita tadabburi firman Allah ini:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS 49:11)

Ikhwah wa akhawat semoga dilundungi Allah, marilah kita jauhi teguran dan larangan dari kaca mata quran dan hadith, jauhkanlah dirimu dengan karat jahiliyyah, yang mampu menghumban diri kita ke dalam neraka. Semoga Allah sentiasa memberikan kita kekuatan dalam rangka berjihad(bersungguh-sungguh) melawan hawa nafsu, melawan hasutan dunia bahkan melawan bisikan syaitan dari bentuk jin dan manusia. Sedarlah terlalu ramai yang ingin menjatuhkan kita, terlalu ramai yang iri dengan kita, hayati:

Mereka akan terus mencuba,
Merobohkan benteng kita,
Tetapi mereka tidak tahu,
Sebaik-baik mereka merancang makar,
Allah juga merancang.
Dan Pencipta kepada mereka yang merancang itulah yang terbaik.
Inilah kepercayaan mereka yang meyakini sepenuhnya Dia,
Dalam keimanan”
(Dipetik dari novel ‘Sinergi' – Hilal Asyraf)

Alhamdulillah. Wallahu’alam, wassalamu’alaikum w.b.t.

Friday, April 9, 2010

Karat-Karat Jahiliyyah Dalam Generasi Muda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Assalamu’alaikum w.b.t kepada ikhwah(saudara) wa akhawat(saudari) Rahimakumullah InsyaAllah. Segala puji bagi Allah S.W.T, Tuhan Semesta Alam yang mentadbir kerajaan langit dan bumi. Marilah kita menyampaikan rasa syukur kita kepada Allah Al-Hayyu yang masih memberikan kita nikmat kehidupan yang sering kali kita alpa mengenainya. Nikmat yang membolehkan kita masih diberi peluang menyediakan bekalan yang pasti berguna di dunia bahkan lebih bermanfaat di akhirat kelak. Selawat dan salam kita panjatkan kepada junjungan mulia, pesuruh dan kekasih Allah, baginda Muhammad Bin Abdullah s.a.w yang menyebarkan tarbiyyah kepada seluruh umatnya. Pentarbiyyahan dari keluarga terdekat, sahabat wa sahabiah dan akhirnya nikmat tarbiyyah sampai kepada generasi kita. Generasi sahabat wa sahabiah yang mengikuti Rasulullah dalam semua kondisi (QS 33:21) turut meneruskan pentarbiyyahan kepada para generasi tabi’in, para tabi’in turut mengikuti Baginda mentarbiyyah tabi’ tabi’in dan seterusnya proses pentarbiyyahan diteruskan sehinggakan nikmat Iman dan Islam mampu disampaikan dan dirasakan oleh kita semua. Syukur Alhamdulillah.

Ikhwah wa Akhawat yang dipilih Allah, satu perkongsian untuk tatapan bersama ingin ana bawakan pada artikel kali ini. Mohon maaf atas waktu yang agak lama untuk ana menyambung dakwah melalui pena atas kesibukan yang menimpa diri yang lemah dan hina ini namun ana usahakan juga menyampaikan kendatipun kesibukan yang pasti kita semua hadapinya.  InsyaAllah perkongsian kali ini bermanfaat buat kita semua untuk muhasabah dan koreksi diri kita dalam rangka menjadi hamba Allah yang lebih berkualiti dihadapanNya.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan statistik anak luar nikah yang berdaftar yang dikeluarkan yang meletakkan hitungan sebanyak 17,303 anak luar nikah pada tahun 2009. Bersamaan dengan 47 anak luar nikah yang didaftarkan pada setiap hari, dan bersamaan lebih kurang 2 anak luar nikah setiap 1 jam. Sekali lagi, itu hanya bilangan yang didaftarkan dan tidak termasuk bayi yang dibuang, dibakar, ditanam, diflush, dibunuh dan lain-lain lain kekejaman yang dilakukan tanpa pengetahuan manusia namun satu benda yang pasti, ingatlah Allah Al-‘Alim Yang Maha Mengetahui dan Allah Al-Bashir Yang Maha Melihat akan segala perbuatan terkutuk yang dikau lakukan. Kita doakan hidayah diturunkan kepada mereka yang telah jauh tersimpang di jalan yang menyesatkan dan merupakan tugas kita untuk mengasihani dan mentarbiyyah mereka agar kembali kepada jalan yang diredhai Allah sebelum waktu kita di dunia melabuhkan tirainya.

Ikhwah wa Akhawat yang dikasihi Allah, terlalu banyak kerosakan pada umat kita dewasa ini yang ana yakin antum sendiri tahu dimana level kejahiliyyahan yang semakin menebal dalam diri terutama bagi generasi muda yang merupakan penentu kekuatan sesuatu ummah. Kejahilyyahan pada hari ini bukan hanya setakat karat-karat yang melekat bahkan akar jahiliyyah yang lebih dahsyat yang makin tertanam hatta lebih teruk dari masyarakat Jahiliyyah zaman dahulu. Jika dahulu menanam anak perempuan, hari ini bahkan menanam ibu dan bapa kepada anak perempuan. Kekejaman, pembunuhan, kemaksiatan dan pelbagai lagi onak kebatilan yang makin menjalar dalam diri masyarakat. insyaAllah dalam perkongsian kali ini kita telusuri beberapa sifat atau karat jahiliyyah mengikut kaca mata al-quran dan hadith. Moga kita mampu menghakis karat-karat tersebut agar tidak terus mencengkam kita ke lembah kedurhakaan kepada Yang Maha Pencipta.

1. Jahilin melanggar perintah Allah
Ikhwah wa akhawat yang dikasihi, Jahilin atau orang-orang jahiliyyah adalah mereka yang melanggar perintah Allah S.W.T seperti suatu kisah yang dirakamkan dalam al-quran pada zaman Nabi Musa a.s ketika menyuruh kaumnya untuk menta’ati perintah Allah agar mereka menyembelih korban berupa sapi betina. Namun mari kita lihat apa tanggapan kaumnya terhadap Musa,

“Mereka berkata, apakah engkau mengejek kami hai Musa. Musa menjawab, aku berlindung dari orang-orang yang bodoh(Jahilin).” (QS 2:67)

Lantas dengan mudah, dapat kita lihat salah satu perangai ‘kaum jahiliyyah’ yang mana mereka tidak menta’ati perintah Allah. Mungkin kita lihat dan hina kaum Nabi Musa yang melanggar perintah Allah, tapi bagaiman dengan diri kita yang telah banyak melanggar perintah Allah tatkala diperintahkan pelbagai perkara untuk kebaikan kita semua. Hukum-hukum Allah yang sering kita langgar dan memperjuangkan hukum jahiiyyah seperti dalam firmanNya,

 “Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”(QS 5 : 50)

Ikhwah wa akhawat sekalian, mari kita renungkan perintah Allah yang terlalu banyak kita ingkari. Dahlah mengingkari banyak perintah dariNya, namun masih terus menuntut hak-hak kepada Allah sedangkan hak Allah kita tidak penuhi. Sering memohon dan merugut itu ini, jangan hanya menuntut hak, tapi penuhilah hak Allah. Laksanakan segala perintah Allah yang disampaikan melalui Quran dan Hadith. Tadabbur(hayati) la ayat-ayat quran yang berlalu dan penuhilah apa yang diperintahkan dan jauhilah apa yang dilarang sebagai lambang cintamua kepada Allah.

Kita menderhakai Allah, tapi mengaku cinta padaNya
Alangkah buruk kiasan itu
Jika cintamu tulus, pasti kamu menaatiNya
Kerana si pencinta pasti taat kepada kekasihnya
Cintailah Rabbmu, jika kamu berniat melayaniNya
Kerana si pencinta adalah pelayan kepada kekasihnya

2. Jahilin sentiasa cenderung kepada hawa nafsu.
Dan ketika Allah menerangkan hikayat Yusuf a.s dalam surat Yusuf, ayat 33 :
Yusuf berkata: 

“Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh(Jahilin)”
(QS 12 : 33)

Ayat ini menjelaskan sikap kita yang cenderung kepada al-hawa’ (hawa nafsu) juga di kategorikan sebagai jahiliyyah. Bermakna rasa ingin kepada maksiat dan dosa juga merupakan maksiat hati yang harus kita basmi dan musnahkan, kerana ia tergolong dalam perangai orang jahiliyyah. Satu hakikat yang terang lagi bersuluh jika kita mengamati gejala sosial dalam generasi muda macapada ini. Berapa ramai yang sanggup mengikut hawa nafsu 3 hari 3 malam hanya dengan hasutan ‘game’, ‘movie’, ‘anime’,’mangga’,‘bola’ dan perkara-perkara yang melalaikan. Namun jika bangun untuk melaksanakan solat subuh yang disaksikan oleh malaikat ramai yang tidak mampu mengangkat kain selimut yang terasa sangat berat diangkat, inikan pula jika ingin mencambah cinta kepada Allah di sepertiga malam sebagai lambang syukur kita kepada segala nikmat pemberianNya lebih jauh sekali. Inilah yang dikatakan Allah manusia yang menjadikan nafsu sebagai tuhannya. Melebihkan nafsu dari Allah.

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”(QS 45:23)

Ikhwah wa akhawat mari cinta hanya padaNya, lawanlah hawa nafsu yang menggemuruh di jiwamu, ingatlah perintah Allah dalam kitabNya tatkala Dia berfirman:

“..dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat darin jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan.” (QS 38:26)

3. Berhias lebih-lebihan
Ikhwah dan khususnya akhawat sekalian, apa pandanganmu terhadap firman ini:
  
“dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu“. (Al-Ahzab:33)

Sudah pasti jika kita perhatikan generasi muda zaman ini, gaya atau fesyen merupakan perkara yang menunjukkan mereka ‘up to date’. Berhias bagai pohon krismas yang mengundang kepada perkara dosa dan maksiat yang menanam pancang lagi karat jahiliyyah dalam diri generasi muda. Bagai tidak dikatakan wanita jika permata yang harus disimpan elok-elok tidak dizahirkan. Turut ada yang sanggup memakai anting-anting di luar tudung bagi menampakkan indahnya perhiasannya. Apatah lagi jika dipuji kecantikannya yang dipimpin syaitan durjana. Seperti bidalan itali:

“katakan kepada wanita dia jelita, syaitan akan mengulangnya sebanyak 10 kali”

Bagi ikhwah jangan gembira, bukan hanya akhawat perhiasannya indah ‘gulana’. Larangan Allah bukan khusus kepada wanita. Bukan hanya wanita ada perkara tidak boleh dizahirkan. Tepuk dada, tanyalah iman. Kekadang lelaki mengalahkan wanita dalam bab bergaya. Apatah lagi bab menutup aurat. Walaupun yang perlu dijaga lebih sedikit dibandingkan wanita, namun alangkah hina jika wanita auratnya lebih baik dari diri kita(lelaki).

Wahai wanita,
Mulianya dirimu perlu dijaga
Laksana permata indah di dasar lautan
Ditutup rapi kuat jagaanya
Jangan sirnakan kemulian dirimu
Hanya atas dasar hasutan dunia
Hanya atas dasar nafsu dijiwa
Hanya atas dasar 2 jenis syaitan durjana
Dari bentuk jin dan manusia
Jadilah seindah perhiasan di dunia ini
Wanita solehah penghias mulia

4. Jahilin gemar berbuat maksiat
Ikhwah wa akhawat teruskan berjihad, 2 petunjuk terus diperjuangkan. Selain al-quran jdai pegangan, dalam hadits-hadits Rasulullah juga banyak diterangkan bagaimana sikap Jahiliyyah itu. Imam Bukhari dalam Kitab Iman dengan judul Bab “Kema’siatan merupakan perkara Jahiliyyah”, Asas kita dalam masalah ini ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 
rahimullah yang bermaksud: 

“Segala maksiat adalah urusan jahiliah dan pembuat maksiat tidak menjadi kafir dengan 
melakukannya kecuali maksiat syirik.”(HR Bukhori)

Kemaksiatan yang bermaharajalela sudah menjadi perkara biasa dalam generasi muda. Akibat tertindas dalam perang pemikiran rencana zionis laknatullah. Namun faktor dalam diri sendiri turut perlu diambil kira yang tidak mampu melawan dorongan maksiat. Jika melihat keratan akhbar hari-harian pasti ada sahaja gejala maksiat yang hebat diperkatakan. Ada yang meletakkan budak 9 tahun mula melihat video lucah, 12 tahun dah mula berzina dan banyak lagi kes-kes hina yang sakit hati kita mendesitnya. Inilah manusia yang leka dengan ujian kehidupan dunia.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)” (QS 3:14)

Ikhwah wa akhawat sekalian, ‘sampaikan dariku walau satu ayat’(HR Bukhori). Sebarkanlah bahawa dunia bahagi akhirat ibarat 1 bahagi infiniti = 0 yang bermaksud dunia sementara tidak mampu membandingi dunia yang kekal abadi. 

"..sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."(QS 40 : 39)

Adakah nikmat dunia yang ingin kau kejari tatkala telah ditegah bahawa:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk” (QS 17:32)

Alangkah indahnya agama islam, agama yang mencegah dahulu sebelum mengubati, jangan dekati zina itu, jaga dulu pandangan kita dan banyak lagi ayat-ayat indah yang menunjukkan keindahan islam. Namun mengapa perspektif pembenci islam hanya melihat buruknya islam. Meletakkan islam adalah agama penghukum dan pengganas. Timbang balik apa yang kamu katakan.

Ikhwah wa akhawat sekalian, satu pertanyaan ana ajukan. boleh atau tidak kita buat maksiat??Ya atau Tidak??Apa pandangan antum jika ana katakan kita boleh bermaksiat, pasti melanggar pemikiran antum bukan?? tapi itu la hakikatnya, kita sebenarnya boleh lakukan maksiat, hanya dengan satu syarat. "bermaksiatlah kamu dimana tempat yang Allah tidak ketahui"
"bermaksiatlah kamu dimana tempat yang Allah tidak melihatnya"
ana yakin dalam diri kita ada fikrah keyakinan akan kewujudan Allah berserta kekuasaannya, namun telah ditutupi dengan mehnah nafsu dunia serta hasutan syaitan laknatullah. mari sucikan kembali keyakinan itu, sebagai lambang integriti yang tinggi di dalam dirimu.

To be continue..insyaAllah..nantikan karat-karat jahiliyyah yang mungkin masih ada dalam dirimu di Bahagian Kedua