Friday, September 30, 2011

Program Jelajah Borneo 2

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Buanglah Bahan Menunda


Berimanlah dimana sahaja kita berada, bertakwalah dimana sahaja kita berada dan berdakwahlah dimana sahaja kita berada. Inilah prinsip yang perlu bersama kita usahakan untuk dilaksanakan sebagai tanda kita ingin terus menerus mencintai Allah dan ingin terus menyumbang kepada agama Allah dalam segenap kondisi tidak kira bila, dimana dan ketika. Paling utama perlu sentiasa amalan-amalan tersebut kita saluti dengan penuh keikhlasan untuk Allah semata. Jangan hanya menjaga keimanan ketika berada dalam pantauan murobbi/murobbiah/naqib/naqibah dan jangan pula hanya ingin berdakwah ketika berada di lingkungan para pendakwah sahaja. InsyaAllah.

Peluang yang diberikan perlu sentiasa kita manfaatkan, dan jangan sekali-kali melepaskan peluang yang diberikan terutama bagi insan yang biasa meletakkan bahan menunda dalam resepi beribadah. Ayuh kita pastikan, bahan menunda jangan sekali-kali kita tarok (letak dalam bahasa sabah) dalam resepi beribadah. Jangan menunda ketika mata dibukakan pada waktu tahajjud, jangan berdalih ketika al-Quran dilihat di hadapan mata, jangan tangguh ketika waktu dhuha sudah bersinar dan jangan beralasan ketika peluang berdakwah Allah berikan.

Seterusnya, saya memohon maaf di atas kelemahan blog SaBaHaNmUsLiM baru-baru ini untuk mengupdate isi di blog ini. Saya masih dalam proses belajar untuk membahagikan masa di atas semua amanah yang Allah berikan. Mohon doa dari semua agar bukan hanya saya, tapi kita semua mampu senantiasa membahagikan waktu kepada semua amanah yang diberikan terutama amanah kepada Allah dan Rasul-Nya.

Rezeki Dakwah @ Sabah


Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah memberikan saya keizininan untuk membantu dan berkhidmat kepada warga sabah terutama kepada keluarga, masyarakat dan generasi muda khususnya. Jika cuti dahulu juga diberi kesempatan (rujuk -> Program Jelajah Borneo 1)Berbekalkan waktu cuti yang tidak sampai 2 minggu sebelum saya memulakan internship/practical di awal bulan october. Saya hanya mampu menyumbang beberapa waktu yang saya bahagikan untuk keluarga dan dakwah. Semoga Allah sentiasa menerima amalan kita semua dan sentiasa membantu kita beramal dengan selaput keikhlasan. InsyaAllah beberapa program yang sempat saya adakan: p/s : maaf saya hanya menggunakan handphone untuk mengambil gambar-gambar di bawah.

Program : Seminar Kepimpinan “Siswa Siswi Sinergi”
Waktu : 8.00AM – 2.30PM [24 September 2011]
Tempat : Politeknik Kota Kinabalu, Sabah.

Program : Forum Kepimpinan “Lead Yourself Before Lead The Others”

Waktu : 2.45PM – 4.15PM [24 September 2011]

Tempat : Politeknik Kota Kinabalu, Sabah.
Program : Ceramah Motivasi PMR “Saya Yakin Berjaya!”
Waktu : 9.30AM – 11.00AM [25 September 2011]
Tempat : SMKA Tun Datu Mustapha
Program : Ceramah Motivasi PMR “Saya Yakin Berjaya!”
Waktu : 10.45AM – 12.15PM [26 September 2011]
Tempat : MRSM Kota Kinabalu, Sabah.
Program : Ceramah Motivasi SPM “al-Quran Sumber Motivasi”
Waktu : 8.00PM – 10.00PM [28 September 2011]
Tempat : SMKA Tun Datu Mustapha, Sabah.

P/S : Boleh saksikan laporan penuh di website Synergy Media Sdn. Bhd.

Sekalung Penghargaan
Saya mengambil kesempatan ini (walaupun blog sendiri..^.^..) untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program-program di atas. Kepada semua peserta samada muslim mahupun non-muslim, anda telah memberikan kerjasama yang sangat baik. Kepada semua fasilitator yang sudi melancarkan program-program juga semestinya tidak saya lupakan. Jazakumullahu Khoiron Katsira..InsyaAllah..Semoga Allah sentiasa meletakkan kita dalam wilayah para pendakwah yang ikhlas berjuang untuk-Nya. Ayuh, Dakwah Tiada Henti!

Saturday, September 17, 2011

Malulah Wahai Da'i


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Malulah wahai da'i,
kata mata sering membaca quran,
tapi mengapa masih mata kau gunakan,
melihat wayang yang merosakkan,
membaca komik yang melalaikan?

Malulah wahai da'i,
kata telinga sering mendengar peringatan,
tapi mengapa masih telinga kau gunakan,
mendengar lagu yang hanya untuk keseronokan,
mendengar bersama fitnah dan umpatan?

Malulah wahai da'i,
kata kaki sering menapaki jalan perjuangan,
tapi mengapa masih kaki kau gunakan,
menuju tempat yang jelas melalaikan,
bahkan jarang ke masjid kau langkahkan?

Malulah wahai da'i,
kata tangan sering menulis kebaikan,
tapi mengapa masih tangan kau gunakan,
menekan capaian (link) yang merosakkan,
menaip di ruang sembang tiada batasan?

Malulah wahai da'i
kata hati ingin kau bersihkan,
tapi mengapa masih hati kau gunakan,
mengiyakan segala dosa kemaksiatan,
menyokong hasutan nafsu dan syaitan?

Sedarlah wahai da'i,
cukuplah pengkhianatan kita lakukan,
cukuplah menghampiri sifat kemunafikan,
walau ku tahu da'i bersifat kemanusiaan,
terkadang sering melakukan kesilapan,
tapi jangan jadikan itu alasan,
untuk berterusan mengulangi kesalahan,
namun jadikannya satu sumber kekuatan,
menanam azam untuk mengambil pengajaran,
ayuh da'i sejati perlu kita buktikan!

"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidaklah kamu berpikir?" 
[QS al-Baqarah, 44]

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan"[QS ash-shaff, 61:2-3]

Friday, September 16, 2011

Sirnakan Kelam, Sinarkan Cahaya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Roda & Album Kehidupan

Roda akan sentiasa berputar ketika ada pengayuh yang masih menggerakkan. Ketika mana ia berputar, maka sudah lumrah posisi sesuatu kawasan roda akan terus berubah kedudukan samada berada di atas, hadapan, bawah mahupun belakang.

Sepertimana roda kehidupan yang kita lalui, ada ketika kita berada di puncak keimanan, menara kebaikan dan gading kebajikan. Namun ada juga ketika kita berada di jurang kelalaian, gaung kemaksiatan dan curam kebatilan. Namun berapa ramai yang mampu naik semula dari jurang kelalaian ke puncak keimanan?Dari gaung kemaksiatan ke puncak kebaikan? Dari curam kebatilan ke gading kebajikan?

Cuba kita perhatikan hari-hari yang kita lalui, terkadang bukan kebaikan yang mengisi tempoh tersebut, tapi keburukan dan kemaksiatan yang berterusan memenuhi tempoh diberikan. Sehinggakan kita tunggang terbalikkan pesanan Rasulullah kerana menjadikan hari ini lebih teruk dari semalam, dan hari esok tiada perubahan bahkan mampu menjadi lebih keruh lagi. Adakah ini yang kita inginkan dalam diri kita? Adakah kita ingin perkara ini berterusan mengisi album kehidupan kita mahupun album keluarga kita? Album yang hanya dipenuhi dengan gambar-gambar kerosakan, kemaksiatan mahupun kehinaan atau kita ingin isikan album dengan gambar-gambar kebaikan, kebajikan serta kemuliaan? 

Cukuplah segala kerosakan yang kita timpakan kepada diri sendiri. Buanglah segala bahan yang menjahanamkan diri dan sekeliling, jauhilah segala kemaksiatan yang mengundang dosa terus melambung tinggi. Ayuh kita letakkan kesedaran di dalam diri, lalu paculah kesedaran itu kepada perubahan yang lebih baik. Jika sebelum ini kehidupan kita hanya kelam dalam kegelapan, Marilah kita sirnakan kelam tersebut, lalu sinarkan dengan cahaya yang terang menerangi.

Sirnakan Dosa, Sinarkan Taubat

Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa silam, tiada juga insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan. Kejahatan, kemaksiatan serta kebatilan yang kita lakukan bukanlah alasan kita tidak akan melakukan perbaikan, bukan alasan kita tiada peluang mendapat ampunan kerana walau setinggi mana kejahatan kita, tinggi lagi ampunan Allah kepada kita.

"Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[QS az-Zumar, 39:53]


Sahut la peluang yang Allah berikan kepada kita. Tiada dosa yang tidak mampu diampunkan melainkan dosa mensyirikkan Allah dengan izin Allah Al-Ghaffar Al-'Afuw. Kita sendiri yang selalu menolak untuk memberikan peluang pada diri untuk berusaha memohon ampun kepada-Nya. Maka buanglah kaca mata hitam yang menghalang kita melihat cerahnya peluang yang Allah berikan kerana  Allah sentiasa menanti keluhan taubat dari kita semua.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[QS an-Nisa', 4:110]

Penyakit Menyinarkan Taubat

Penyakit merasa telah cukup bertaubat. Mungkin kita adalah salah seorang yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya sehingga mampu beramal dengan kebaikan dan berada dalam suasana yang baik. Dapat qiamullail, solat diawal waktu, solat sunat dhuha, berpuasa sunat, bersedekah bahkan nikmat berdakwah kendatipun, namun, jangan sesekali merasa cukup dengan amalan tersebut sehingga merasa diri sudah cukup mulia. Terus rendahkan hati kita untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang maksum bahkan dijanjikan syurga sekalipun namun lafaz taubat tidak pernah lari dari bibir baginda.

"Demi Allah, sesungguhnya saya itu memohon kaampunan kepada
Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali."
[HR Bukhari]

"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan daripadaNya, kerana sesungguhnya saya ini bertaubat dalam sehari (sebanyak) 100 kali."
[HR Muslim]

Sedangkan baginda sendiri begitu aktif memohon keampunan, apatah lagi kita yang sebenarnya pasti banyak melakukan dosa dan kesalahan, walaupun mungkin pada zahirnya orang lain melihat sebaliknya. Sedangkan mungkin jika dosa dan kesalahan kita mengeluarkan bau yang amat busuk, nescaya tiada orang ingin mendekati kita lantaran dari kebusukan dosa tersebut. Mari dari sekarang kita budayakan lafaz istighfar di bibir pada setiap helaan nafas kita.

Penyakit kedua adalah bertunda dalam bertaubat. Ramai kononnya menjadikan masa muda jaminan sampai ke masa tua maka menunda taubat di hari tua. Ramai juga menjadikan masa sihat menjadi jaminan taubat masih mampu ditunda sebelum datangnya kematian. Bagaimana jika perancangan kita dalam bertunda tersebut tidak seperti yang kita harapkan? Bagaimana jika tempoh jaminan itu dipotong 50% atau lebih bahkan? Tidakkah kita akan menyesal? Sepatutnya makin kita meningkat usia makin aktif kita beramal dan bertaubat, bukan makin pasif keduanya.



Mari muhasabah kembali diri kita, hisab kembali amalan-amalan kita, sebelum Allah yang menghisab kita di lain masa. Manfaatkan masa yang diberikan kepada kita seoptimumnya, kerana waktu semalam sudah bukan milik kita lagi, esok hari yang belum tentu kita dapati. waktu sekaranglah yang ada di tangan untuk kita manfaati. Jangan lagi meletakkan ramuan menunda dalam bertaubat dan beramal kepada Allah SWT.

Sirnakan Keburukan, Sinarkan Kebaikan

Perkara-perkara keburukan yang pernah kita lakukan mari kita counter dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Keburukan laksana asid kepada kita dan kebaikan umpama alkali kepada kita. Jangan kita hanya ingin meneutralkannya dengan sedikit alkali, tapi tambahkanlah nisbah alkali tersebut agar berada di zon selamat dari jatuh kembali ke lembah berasid. 

Ramuan taubat iaitu menyesali, memohon ampun dan taubat serta berazam tidak mengulanginya lagi belum cukup utuh menjamin penerimaan taubat bahkan penghapusan dosa kita. Ada bahan lain yang perlu kita sertakan dalam resepi taubat seorang hamba, iaitu melakukan amal perbaikan. Mari kita sirnakan keburukan dengan menyinarkan kebaikan dalam kehidupan kita kerana kebaikan mampu menyirnakan keburukan yang kita lakukan.

"kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang." [QS al-Baqarah, 2:160]

"Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Dan iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan perlakulah manusia dengan akhlak terpuji.”
[HR Tirmidzi]

Ujian Menyinarkan Cahaya



Lautan pasti ada ombak yang mendatang, terkadang ada yang kecil ada juga yang besar, namun mari kita teruskan berenang jangan lemas tenggelam. Semoga kita diberikan kekuatan berenang di lautan dunia yang penuh dengan ombak ujian. Yakinlah, walaupun nampak sukar merenanginya, tapi tidak mustahil untuk menyeberanginya. Abaikanlah pendayung-pendayung di lautan yang menjatuhkan semangat kita untuk terus berenang, manusia-manusia yang terkadang menghasut dan melemahkan sehingga kita terhalang untuk lakukan perubahan. Sedarlah, jangan kerana anasir luar, membuatkan kita tidak ingin lakukan perubahan kearah kebaikan. Bukan pandangan manusia yang kita ikutkan dan harapkan, namun pandangan Allah itu jauh lebih diutamakan. Walau terkadang kita mungkin akan kalah dengan ujian, namun kita tidak akan pernah mengalah untuk terus menghadapinya dengan penuh kekuatan dan kesabaran.

Ayuh teruslah bertahan dalam menyinarkan cahaya  keimanan bukan hanya pada diri sendiri, namun sinarkanlah juga kepada keluarga yang kita sayangi serta semua umat Islam yang kita kasihi. Semoga SINERGI edisi ke-6 kali ini mampu menyedarkan umat kita agar lakukan perubahan ke arah kebaikan, dan tinggalkanlah segala keburukan jauh kebelakang. Ayuh, kita sirnakan kelam, sinarkan cahaya!


*P/S : Saksikan lebih banyak karya yang jauh lebih hebat di Majalah SINERGI Edisi Ke-6..Sebarang pertanyaan boleh terus diajukan ke emel synergymedia2010@gmail.com atau hubungi 019-4544871..InsyaAllah bersama dan bekerjasama melahirkan generasi rabbani profesional.


Iklan SINERGI Edisi Ke-6



“SIRNAKAN KELAM, SINARKAN CAHAYA” Tema Majalah SINERGI Edisi Ke-6 kali ini bakal memberikan para pembaca impak maksima yang positif ke arah perubahan diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh umat Islam umumnya!!!
Pastikan anda dan keluarga anda tidak terlepas mendapatkan Majalah Islamik yang bakal mentarbiyyah diri dan keluarga anda dengan izin Allah Al-Hadid. Berinfakkan RM3.00 sahaja sudah mampu mendapatkan ilmu  Hubungi pengedar berdekatan dengan anda atau terus hubungi kami untuk mendapatkannya!!!
Tahniah juga kami ucapkan kepada karya-karya yang terpilih bagi dimuatkan di dalam Majalah SINERGI edisi kali ini. Terus menyumbang ilmu anda untuk kebaikan diri dan seluruh pembaca SINERGI yang makin meningkat tinggi. Alhamdulillah.

Sunday, September 11, 2011

Waktu Itu...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Waktu adalah emas kata orang,
bukankah waktu adalah pedang?kata sebahagian,
pelbagai perumpaan, pelbagai taksiran,
semua ke arah satu definasi tujuan.

Di setiap detik umurmu berkurang,
tanpa di undang ajal pun datang,
merungut manusia, katanya masih kurang bersenang-senang,
belum sedia untuk pulang.

Wahai saudaraku,
siapkan pundi-pundi bekalmu,
untuk masa yang pasti menantimu,
bila kelak kematian datang menjemputmu,
tidak diawal, tidak pula ditunda waktumu.

Di hari kiamat kau akan menyesal,
kerana pergi tanpa bekal,
ke tempat yang sebenarnya kekal,
balasan yang menanti di sebalik ajal.

Tidakkah kau merasa kecewa,
saudaramu yang tersenyum ceria,
kerana bekal yang cukup tersedia,
sedang dirimu haus dahaga?

Ya Robbi..
sedarkanlah hati kami,
mesti sejenak dalam duniawi,
agar selalu terbayangi,
dahsyat murka-Mu di akhirat nanti.


Ya Robbi,
tunjukkanlah kami,
jalan lurus yang Engkau redhai,
jalan penuh dengan nikmat diberi,
bukan jalan sesat yang Engkau murkai.
Amin Ya Robbal 'Alamin.



Friday, September 9, 2011

Nikah, Bukan Akhir Perjuangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha  Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Sumber Gambar : Salah Seorang Pelukis SINERGI (Freshie)
*P/S : Sesiapa ingin menymbang lukisan/ilustrasi untuk dijadikan gambar hiasan post-post di blog ini boleh berikan link ke emel saya..InsyaAllah..




Penyatuan Ikatan, Pembubaran Perjuangan

"ramai juga lepas menikah ni meninggalkan jalan tarbiyyah akh"

"ada jugakah benda tu berlaku akh?"

"ada akhi..yang selepas menikah bukan makin meningkat keimanannya, bukan makin gencar perjuangannya, namun sebaliknya..bahkan tidak kurang ramainya juga yang meninggalkan perjuangannya sama sekali..kebanyakan dengan alasan ingin mencari rezeki keluarga"

"Dan nikahkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (bernikah) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." [QS an-Nur, 24:32]

Perbualan dua orang ikhwah membuka minda cabaran selepas menikah. Saya coretkan perkongsian mengenai nikah ini tidak semestinya saya sudah ingin menikah ya, sekadar berkongsi selepas mendengar beberapa berita mengenai nikah-nukih pejuang bersama mahupun dengan yang bukan berjuang bersama. Ada yang makin gencar, dan ada juga yang makin kendur perjuangannya. Ada yang makin kuat, dan ada juga makin lemah menghadapinya. Coretan ini bukan hanya untuk yang berjuang berdakwah, bahkan yang tidak kenal apa erti dakwah juga ada sisipan khas untuk anda. Maka, teruskan membaca..

Nikah, Bukan Akhir Perjuangan

Nikah, satu perkataan yang ketika diucap berbunga semi di hati, berwarna-warni di jiwa bahkan tersenyum sendiri di bibir. Sebab, ia sering menawarkan segala keindahan dan segala kebahagian bahkan mampu menyempurnakan separuh dari agama, tapi ingat masih ada separuh ad-din yang perlu diselesaikan agar menjadi penuh bulatan.

Nikah, terkadang menjadi dambaan kita, bahkan tidak kurang ramainya yang meletakkan nikah adalah solusi yang tepat untuk keluar dari masalah. Meletakkan pernikahan adalah solusi dari kongkongan keluarga, dari tuntutan bekerja, bahkan dari masalah hati dan ingin menguatkan perjuangan dakwahnya. Memang mungkin ia salah satu jalan kemudahan, namun bukan itu sahaja jalan yang ada sehingga menjadikan alasan melaksanakan pernikahan tanpa ada persiapan.


Pernikahan jangan jadikan ianya tujuan, tapi hanya sekadar landasan, dan masih banyak lagi landasan-landasan lain menuju kepada tujuan tersebut atau solusi terhadap masalah yang sedang atau akan kita hadapi. Namun jika sudah jodoh mendarat tepat di landasan, maka silakan disambut dengan penuh keikhlasan dan penuh keredhaan.

Apa yang penting, kerjasama..itu kalau menurut wonder-pet..Apa yang penting, jangan hanya menjadikan pernikahan satu-satunya jalan sehingga mengenepikan jalan-jalan lainnya. Bahkan sebenarrnya, jangan menganggap dahulu perkara-perkara kongkongan keluarga, kerjaya, dan sebagainya itu satu masalah, tapi anggaplah ia satu cabaran bagi kita untuk melepasinya. Cabaran keluarga contohnya, mungkin ada yang menghadapi penerimaan tapi ramai juga menghadapi penolakkan. Kita perlu lagi usaha berikan pemahaman bukan malah meninggalkan. Disamping tunjukkan kematangan jika ingin dan bersedia melaksanakan pernikahan.

Bagi yang sudah menikah, jangan anggap telah terlepas dari amanah mendakwahi keluarga yang harus terus diberi pemahaman. Sekali lagi, nikah bukan akhir perjuangan. Bahkan pada hakikatnya, pernikahan itu merupakan awal dari perjuangan yang lebih besar. Jangan sampai terangan-angan keindahan pernikahan, sehingga selepas pernikahan habis mengabaikan rutin perjuangan di jalan Allah sehingga perjuangan hanya tinggal kenangan. Seperti pernikahan telah membawanya hanyut ketujuan akhir perjuangannya dan cita-citanya, dan ini merupakan kekeliruan yang harus diluruskan. Bagi yang belum menikah, masih banyak method  atau wasilah dakwah yang mungkin belum kita mencuba. Maka teruslah mencuba dan terus mencuba dan jangan pernah menyerah.

Hijrah Bukan Kerana Menikah

Saya pasti kita mengetahui bahkan menghafal hadis mengenai amal bermula dari niat. Ayuh ingat dan hayatinya kembali adakah hijrah kita untuk menikah? Mungkin terkadang kita lama menanti pasangan kita untuk kunjung tiba, dan terkadang teman seperjuangan lainnya yang lebih awal dari kita, walaupun terkadang kita lebih lama menanti di perhentian. Sehingga akan menguji keikhlasan kita dalam menapaki di jalan perjuangan, membuatkan kita lemah melonglai tatkala bukan kita insan yang habis perhentiannya. Bahkan yang lebih parah ketika berprasangka negatif terhadap bas yang singgah dalam perhentian atau stesen perhentian itu sendiri. Maka, perlu kita sedarkan semula bahawa itu bukan tujuan kita! Jangan sampai tujuan utama hijrah menuju Allah dan Rasulullah digoreskan dengan tujuan selainnya.

Satu benda yang pasti, saya tidak menafikan kekuatan senjata pernikahan terhadap dakwah para pejuang yang bakal menggencarkan lagi perjuangannya mengejar redha Allah satu-satunya, yang menguatkan lagi dirinya menjaga hati keimanan dan kesabaran dalam perjuangan, namun yang paling utama niat dan tujuan kita menikah atas dasar apa dan untuk apa? Ayuh jangan memasang niat ingin gencar berdakwah selepas menikah, tapi dari sekarang sudah menggencar dakwah walau belum menikah. Dakwah kerana Allah!

Bagi mereka yang tidak terlibat dalam berdakwah, letakkan juga matlamat yang baik bagi pernikahanmu. Jadikannya satu landasan untuk mentarbiyyah dan menjaga lagi dirimu. Maka, pilihlah juga pasangan yang mampu merealisasikan tujuan itu. Pasangan yang bakal membimbingmu mengenal dan mengamalkan Islam secara baik agar hasil pasanganmu menjadi keluarga Islam yang tidak merobohkan bangunan Islam, tapi keluarga islam yang mampu menjaga bangunan Islam. Pasanganmu yang baik adalah hasil dari kebaikan dirimu.

Bagi mereka yang terlibat pula dengan kemaksiatan yang mungkin mampu mencapai juga tangga pernikahan, sedarlah bahawa ia bukan landasan yang betul membina ikatan. Ikatan yang terhasil selepas dimulai dan dicemari dengan dosa maksiat. Ketahuilah, bercinta sebelum menikah bukannya jalan yang diredhai dan diizinkan Allah kepada kita. Pastikan kita dijalin bukan oleh nafsu dan syaitan sebagai walinya, tapi biarlah keimanan dan keikhlasan menjadi wali penyatunya.

Calon Pilihan

Perkara seterusnya yang ingin saya tekankan adalah, mengapa kita memilih dan menikah dengan pasangan kita? Tolong mulakan ibadat bernikah dengan niat yang diredhai Allah. Kedua-dua pihak lelaki mahupun wanita, ikhwah mahupun akhwat, muslimin mahupun muslimat, perlu membersihkan niat ikhlas hanya untuk mencapai keredhaan dari-Nya. Bernikah untuk menambah lagi cinta kepada Allah. Bernikah agar makin dekat kepada Allah. Bernikah untuk menyumbang lagi di jalan Allah. Akhirnya, akan diketemukan dengan calon yang selayaknya. Maka jagalah dirimu, maka janji Allah akan mendatangimu.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga)"[QS an-Nur, 24:26]

Pemilihan kriteria-kriteria yang perlu diutamakan mesti dijadikan garis panduan. Usahakan memilih pasangan yang mampu merealisasikan niat-niat murni di atas. Walaupun kita sedari setiap manusia ada lorong-lorong kehidupannya tersendiri, ada lorong yang disediakan pasangan pem'booster' perjuangan, ada juga disediakan ujian pasangan yang perlu usaha yang lebih. Apa yang penting, bagi yang memerlukan usaha yang lebih, jangan mula kalah dengan ujian tersebut sehingga kita tersesat di lorong sendiri. Satu perkara yang sama, jalanilah lorong masing-masing dengan tikar keikhlasan sepanjang jalan.

Jadilah Sayap Penolong

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." [QS at-Taubah, 71]

Pastikan datangnya sayap pernikahan saling menolong amar makruf dan nahi munkar, saling menjaga ibadah dan saling menguatkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya agar diturunkan rahmat dari-Nya. Memang kita dianjurkan menikahlah dahulu baru jika tidak mampu silakan berpuasa. Maka, usahakan melakukan mana yang ditekankan dahulu jika sudah melakukan persiapan, namun jika tidak mampu bukan alasan sebenar tidak berusaha, tapi kena berusaha untuk memampukannya.


Lakukanlah persiapan dari sekarang untuk memenuhi tuntutan separuh dari agama. Mulakan dengan persiapan iman, ilmu dan amal. Persiapan mendapat restu keluarga. Akhirnya, persiapan dan perancangan dari sekarang mengenai ekonomi dan pengurusan. Semoga jika dekatnya jodohnya memberikan kebaikan padanya, maka semoga didekatkannya. Namun jika dekatnya jodohnya membawa keburukan padanya, maka semoga diperbaikinya dahulu. Nasihat akhir, jangan perbicaraan mengenai pernikahan begitu memekar di dalam hati, begitu riuh di hujung bibir, sehingga mengalahkan perkara lain yang lebih jauh perlu kita gencarkan. Janganlah topik pernikahan sering lebih pertama diucapkan ketika bertemunya para pejuang sehingga pernikahan yang sebenarnya satu kenikmatan menjadi kehancuran pada hati para pejuang.

Thursday, September 8, 2011

Kerna Cinta Dua Insan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Kerna cinta dua insan,
boleh mengundang keredhaan Tuhan.

Kerna cinta dua insan,
boleh mengundang kemurkaan Tuhan.

Kerna cinta dua insan,
boleh mengundang kesan berlainan,
bergantung kepada cara perlaksanaan,
bergantung atas dasar apa ikatan.

Cinta mengundang keredhaan Tuhan,
jika berlandaskan jalan kebenaran,
kepada Allah cinta dimuarakan,
maka beruntunglah kedua insan.

Cinta mengundang kemurkaan Tuhan,
jika bertelunjukkan syaitan kesesatan,
kepada nafsu cinta dilampiaskan,
maka merugilah kedua insan.

Cinta dibina harus diperhatikan,
pastikan sah syari'atnya ikatan,
kerna cinta jambatan kebahagian,
kerna cinta sebuah kesucian,
maka jangan sesekali kita rosakkan,
dengan dosa maksiat kejahatan,
kerna tertipu bisikan syaitan.
mari bercinta kerana Tuhan.

Tuesday, September 6, 2011

Berhala Dalam Diri


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Berhala Khurafat

Waktu itu seorang anak kecil baru berusia 4 tahun. Sebelah kedai keluarganya adalah jiran yang penuh kedainya dengan jualan barang-barang antik termasuk barang yang mampu memberikan kuasa mistik kononnya. Anak kecil ini bergaul baik dengan jirannya. Di satu sudut, anak kecil itu melihat ada satu botol yang mempunyai binatang (makhluk) dalamnya diletakkan di dalam rumah kecil.

Di hadapannya hampir setiap hari akan diletakkan makanan; buah-buahan, mungkin makanan itu untuk binatang dalam  botol kecil itu fikir anak kecil itu. Anak kecil itu teringat mungkin ia permainan rumah-rumah anak kecil. Berbekalkan pemikiran anak kecil yang tidak berfikir panjang mengenai konsekuensi terhadap setiap tindakan, satu kejadian berlaku, makanan di hadapan rumah kecil itu hilang! Bukan sekali tapi berkali-kali. Pelakunya? Seorang anak kecil berusia 4 tahun yang ingin memakan buah-buahan!

Berdasarkan kisah diatas, saya bukan ingin mengajarkan sifat mencuri, tapi saya ingin kongsikan kisah yang boleh dijadikan buah fikiran. Botol kecil tadi yang sering disembah untuk melindungi diri para penyembahnya, tapi tidak mampu melindungi dirinya sendiri ketika anak kecil mengambil makanan yang khas untuk dia. Ramai masyarakat zaman ini banyak mempercayai perkara-perkara khurafat sebegini, menyembah benda yang tidak ada manfaatnya bahkan mempercayai ajaran-ajaran tahyul mahupun bomoh yang terpesong akidahnya. Bahkan terkadang menyembah benda yang dia ciptakan sendiri.

Inikah perkara yang kita harapkan menjadi pelindung, penyelamat, tempat bergantung atau tempat meminta? Tepuk dada, jangan tanya nenek-moyang, tapi cuba fikir dengan akal yang sihat. Semoga Allah memberikan hidayah-Nya dan kekuatan kepada semua yang ingin mencari kebenaran hakiki. Amin Ya Hadid Ya 'Aziz.

“Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu seru selain Allah itu adalah makhluk (yang lemah) yang serupa juga dengan kamu. Maka serulah berhala-berhala itu lalu biarkanlah mereka memperkenankan permintaanmu, jika kamu memang orang-orang yang benar." 
[QS al-A’raff, 7:194]

Apa yang pasti, jangan kita kecilkan skop berhala hanya kepada patung-patung atau bentuk fizikal yang disembah, tapi berhala-berhala dalam bentuk dan medium yang bermacam juga perlu kita sama-sama awasi dan perhatikan.

Berhala Hiburan

Fenomena hedonisme sudah selalu sering diperkatakan dan diperbahaskan. Kali ini, saya ingin menyentuh lebih kepada pemetik api hiburan itu sendiri, iaitu artis yang dianggap idola banyak anak muda bahkan anak tua hari ini. Kita ketahui perkataan idola jika diterjemah dalam bahasa inggeris adalah 'Idol'. 'Idol' didefinasikan dalam kamus terjemahan, termasuk oxford, sebagai BERHALA.

Inilah idola (berhala) yang ramai menjadikannya pujaan sehingga para peminat atau fans sanggup berbuat apa sahaja untuk berjumpa dan  bersalaman, menyaksikannya walau dari kejauhan, mendapat tandatangan dan bergambar dengannya bahkan sanggup berkorban segalanya demi idolanya.

Inilah kuasa seseorang yang berada di mata umum dan menjadi figure atau sosok perhatian dan ikutan ramai orang. Maka, ingatlah kepada yang ingin atau sudah menjadi pusat tumpuan seperti artis atau selebriti, manfaatkan populariti untuk menyampaikan dan mencontohi perkara yang baik kerana contoh baik yang diikuti orang lain kita mendapatkan saham pahalanya, manakala contoh buruk sehingga orang lain mengikutinya, kita mendapatkan saham dosanya. Sampaikanlah hiburan bukan untuk merosakkan jiwa, tapi sampaikanlah hiburan yang mendidik jiwa.


Artis atau selebriti yang dianggap idola ramai orang kita ketahui sungguh dahsyat popularitinya. Sehingga jika artis tersebut makan di warung sahaja sudah menjadi topik hangat, membuang tahi lalat sahaja sudah menjadi berita utama di majalah hiburan, apatah lagi gosip-gosip yang hangat diperkatakan di pelbagai media massa dewasa ini. Sungguh hebat kedudukan pemetik api hiburan ini sehingga mereka yang rabun hatinya akan menyalakan lagi apinya yang membakar dirinya sendiri dan orang lain.

Ayuh, cukuplah layanan lagu berjam-jam mengalahkan masa membaca al-Quran, cukuplah wayang-wayang yang ditonton mengalahkan masa menatap sejadah dan cukuplah permainan video diteruskan melanggar waktu-waktu solat. Jangan berhala hiburan disembah sehingga mengalahkan penyembahan dirimu kepada Tuhan Yang Esa.

Wahai keluarga dan masyarakat, janganlah menutup mata terhadap kederhakaan dan kemaksiatan para generasi muda ini. Betapa ramai ibu bapa yang tidak menghiraukan bahkan menambahkan lagi perisa agar anaknya terbakar lagi dalam arus hiburan. Lapangkan masa dan perhatikanlah anak-anak kita dengan penuh rasa kasih sayang dengan memberikan pangajaran dan bimbingan yang baik kepada mereka untuk menjadi anak yang soleh-soleha bukan hanya pada padangan kita, tapi juga pada pandangan agama.

Berhala Nafsu Kekasih

Termakan kata manis kekasih, melarikan diri bersama kekasih, dibawah telunjuk kekasih, bukti cinta pada kekasih, berzina dengan rela hati, dan banyak lagi kenyataan seperti ini yang mengisi atmosfera dunia hari ini. Inilah penyembahan terhadap hawa nafsu yang disalurkan kepada kekasih hati sehingga melanggar larangan Allah yang patut lebih diutamakan tinggi. Menjadikan nafsu sebagai Tuhan daripada Tuhan yang sepatutnya, Allah.

"Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pelindungnya?, atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya" 
[QS al-Furqan, 25:43-44]


Kita ketahui larangan jangan mendekati zina, namun mengapa kita melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada perzinaan? Wanitanya dengan pakaian yang super ketat, seluar pendek pembuka  aurat, serta gaya dan bicara manja untuk memikat. Lelakinya dengan menonton wayang penaik nafsu keinginan, tercabar dengan julukan rakan, dan keinginan mempraktikkan gaya romeo-juliet dalam berpacaran. Cukuplah berhala nafsu kekasih menjadi sembahan yang terus kita ikutkan.

Wahai generasi muda, kita ketahui mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang betul dan mana yang salah. Maka, gunakanlah kepandaian itu untuk sentiasa membuat pilihan yang sepatutnya. Pakailah kaca mata yang mampu menjelaskan lagi pandangan kita dalam membuat pilihan. Kaca mata yang menggunakan kanta al-Quran dan as-Sunnah.

Janganlah terlalu mudah kita menyembah dunia, menyembah nafsu bahkan menyembah syaitan dengan menuruti segala kehendaknya. Hentikanlah dari sekarang maksiat yang kita lakukan dan dosa yang kita laksanakan sebelum ia terhenti dengan sendirinya ketika ajal mendatang dimana usia bukan menjadi ukuran. Mari lakukan perubahan!

Berhala Aset Dunia

Harta, kenderaan, rumah, perniagaan, syarikat, saham dan banyak lagi paksi-paksi kebanyakan orang dalam berjalan di landasan dunia. Sudah pasti kita mengetahu bahkan mungkin menyaksikan manusia-manusia yang hidupnya secara total diabdikan untuk pencarian mata air dunia. Sedangkan nasihat Rasulullah SAW kepada kita:

“Jadilah engkau di dunia seperti orang asing (musafir) atau penyeberang jalan.” [HR Bukhori]


Bekal di dunia cukup umpama bekal seorang musafir atau bekal seseorang yang ingin melintas jalanan sahaja. Bayangkan kita ingin bermusafir dari Sabah ke Perak buat beberapa tempoh, adakah kita akan membawa seluruh isi rumah kita menemani perjalanan kita? Atau kita akan cukup menyediakan bekal secukupnya untuk sampai ke Perak? Inilah pengibaratan yang digambar Rasulullah SAW kepada kita dalam persinggahan dunia ini. Sediakan bekal bukan laksana bermukim (menetap)  di dunia tapi sediakan bekal untuk bermukim di  akhirat.

Berhala Dalam Diri

Penyembahan kita berorientasikan apa tidak memandang bulu, bahkan orang yang berbuat kebaikan, beramal sholeh atau pendakwah sekalipun tidak lari dari virus orientasi sembahan. Penyakit ujub,  takabbur, riyak dan pelbagai penyakit dalam diri lainnya perlu kita bentengi dari menjadi berhala tujuan sembahan dalam diri kita.


Buang la impurities (kekotoran) yang mencemari (contaminate) larutan keikhlasalan kita. Jangan sampai niat amalan kita dilakukan berorientasikan berhala dalam diri ini. Umpama ka'bah yang kosong dalamnya setelah dihancurkan berhala-berhala di dalamnya, saya menyeru agar kosongkan juga hati kita dan hancurkanlah “Berhala Dalam Diri” lainnya  agar dirimu bersih hanya menyembah Allah Yang Esa.