Monday, January 30, 2012

Jemputan Berkongsi @ Radio IKIM.FM (Episod Ke-2) Live Esok Malam!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Pengumuman Asli : SaBaHaNmUsLiM




Assalamu'alaikum wbt, Alhamdullillah, saya dijemput sekali lagi membuat perkongsian dalam slot remaja di Radio IKIM.FM (Pilihan Utama Anda) pada esok malam, 31 Januari 2012 dari jam10.00PM - 11.00PM secara LIVE (LANGSUNG)..Episod pertama dulu boleh didapati di link ini -> Al-Quran Sumber Motivasi @ Radio IKIM.

Mohon doakan agar saya mampu berikan yang terbaik kepada semua pendengar Radio IKIM pada esok malam ya..jangan lupa untuk menjadi salah seorang dari pendengar pada esok malam dan bantu sebarkan lagi kepada keluarga dan kawan untuk dengar bersama ya..^.^..tajuk yang diberikan kali ini adalah mengenai "Remaja & Rasulullah"..InsyaAllah..

Semoga perkongsian esok saya mampu menyampaikan dan menyedarkan remaja sekalian perihal contoh solid yang perlu kita teladani dalam menjadi remaja acuan al-Quran dan as-Sunnah..Amin Ya Hadid..

Terima kasih kepada pihak IKIM atas kesudian menjemput saya lagi membuat sedikit perkongsian kepada semua generasi muda harapan agama, bangsa dan negara..

Sunday, January 22, 2012

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-16]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Designer Synergy Media Sdn. Bhd. -> Freshie



Nasihat Hari Ini : kita perlu tegur sebelum perkara buruk terjadi, kerana jika perkara buruk telah terjadi, teguran sudah tidak berguna lagi. Pastikan menegur kerana mengasihani, bukan kerana ingin memaki.


Nasihat Hari Ini : Bersihkanlah hati dari persepsi-persepsi negatif, sebelum ia makin berakar umbi dan tumbuh subur di hati.


Nasihat Hari Ini : Semakin dakwah luas disebarkan, semakin gencar ia digerakkan, semakin banyak pengorbanan dilakukan, semakin kuat juga ujian keikhlasan. Maka, sentiasalah ingatkan diri dan da'i yang lain untuk sentiasa berterusan mengikhlaskan diri.


Nasihat Hari Ini : Jangan kerana setitik kesalahan teman kita lakukan, habis rosak sebelanga kebaikan yang pernah dia berikan.


Nasihat Hari Ini : Sampai bila kita ingin berterusan dibawah telunjuk musuh Islam? Mari mulakan dari diri sendiri mengikut telunjuk Islam, lalu tunjukkan pula kepada seluruh umat Islam.


Nasihat Hari Ini : Mungkin jasad-jasad umat Islam ada yang berjauhan, ada yang berkeseorangan, dengan kondisi yang berlainan. Tapi hati-hati kami akan tetap dalam kebersamaan, kerana kami ada keyakinan yang sama untuk diperjuangkan, yang tidak akan mampu direnggangkan apatah lagi diuraikan. Ayuh Umat Islam kita kuatkan dan ketatkan tali persaudaraan.


Nasihat Hari Ini : Kami tidak terlalu kisah menghina diri-diri kami, namun jangan berani menghina agama kami. Ayuh umat Islam jadilah umat yang berani.


Nasihat Hari Ini : Cinta kepada Allah adalah kata kerja yang perlu digerakkan dengan amalan, bukan hanya kata nama yang hanya didiamkan dalam fikiran.


Nasihat Hari Ini : Kezuhudan dan kesederhanaan hanya berkesan bila dipraktikkan, bukan hanya diteoritikan. Namun ramai tidak mampu lakukan.


Nasihat Hari Ini : Jangan biarkan musuh Islam menggunakan teknologi & media untuk membantai kita, menghempas kita dan mengalahkan kita. Ayuh umat Islam kuasailah senjata media dan teknologi sebagai salah satu peperangan zaman sekarang.


Nasihat Hari Ini : Jangan sering mengatakan orang lain sedangkan kita hanya tahu sedikit mengenai mereka, kerana terkadang kita hanya nampak hujung batang pemegang, lalu terus mengatakan ia adalah penyapu buruk tanpa melihat keseluruhannya.


Nasihat Hari Ini : Jangan malu untuk mendekatkan diri kepada Allah, tapi malulah untuk makin jauh dari Allah..Malu jangan diletakkan di tempat yang salah..InsyaAllah..


Nasihat Hari Ini : Seniority tidak bermakna kita boleh tinggi diri, bangga diri dan boleh membuli kerana Allah membenci manusia yang ada kesombongan di hati.

Wednesday, January 18, 2012

Hari Jadi Sebuah Peringatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM






Panggilan Awal Subuh

Nada dering "Ya Allahu Ya Robbi - Wali Band" memecahkan suasana subuh hari ini. Saya mengeluarkan telefon bimbit dari kantungnya (pouch) dan kelihatan nama "My Home" terpapar di skrin telefon bimbitku yang berwarna hitam, tanpa melengahkan masa, ibu jari menekan butang "answer" dan suara yang dicintai dan dirindui terdengar indah di telingaku ini.

"Assalamu'alaikum...Selamat...Ulang...Tahun..." Insan yang melahirkanku menyapa dengan penuh mesra kasih sayang.


"Wa'alaikumsalam..terima kasih mama.."


"ingat tak hari ni jadi abang?"


"iya..ingat..hehe.."


"mama mau call jam12 semalam tapi tertidur pula"


"owh..saya pun tidur awal semalam.."


"yang penting, semoga hidup abang diberkati oleh Allah sentiasa ya.."


"Amin insyaAllah mama..terima kasih banyak juga ya"


"abang mau hadiah apa tahun ini?"


"hurm..apa ya..hah..abang mau hadiah....isteri solehah.."


"haih..itu kan sudah bincang lepas habis belajar baru boleh.."


"owh..tahun depan habis UTP..hehe..gurau ja mama..abang endak minta apa-apa pun, minta tolong doakan ja anak mama ni.."


"iya..mama selalu doakan anak-anak mama..ok la..abang pun mau sedia pergi kerja (Practical) kan? adik-adik sini pun mau sedia pergi sekolah ni.."


"iya mama..bah..terima kasih ya.."


"ok..jaga diri ya nak..assalamu'alaikum"


"insyaAllah..wa'alaikumsalam wbt"

Insan yang ku rindui suaranya, fizikalnya apatah lagi kasih sayangnya mengubat sedikit sebanyak kerinduan di hati ini walaupun setiap minggu memang selalu saya menghubunginya pada hujung minggu, tapi perhubungan kali ini mengoperasi lebih baik lagi penyakit rindu di hati ini. Ucapan ulang tahun kita semua sepatutnya juga khusus buat ibu kita sempena meraikan hari perjuangan beliau melahirkan kita semua dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Semoga Allah membalas kasih sayang ibubapa sepertimana ibubapa kita memberikan kasih sayang kepada kita bahkan dilebihkan lagi khusus buat mereka berdua.

Ucapan Awal Pagi

Setibanya di tempat kerja, memasuki pejabat dengan sapaan mulia "assalamu'alaikum" serta "selamat pagi" kepada ahli pejabat yang lain (ada non-muslim), laptop diset-up, dokumen-dokumen disusun rapi di atas meja, melihat work schedule, lalu membuka browser bagi memeriksa e-mail yang masuk dan tidak dilupakan mesej di blog dan FB.

Alhamdulillah, setelah membalas e-mail terutama ahli syarikat yang lain, memeriksa pula bahagian FB yang dipenuhi dengan ucapan (wish) selamat hari jadi, sanah helwah akhi, selamat hari lahir, HB, epy bufday bro, Happy Birthday abang, slmt ulang tahun, slmt mkn kek dan banyak lagi genre tersendiri dan bahasa tersendiri diungkapkan oleh semua keluarga dekat dan jauh, kawan lama dan kawan baru serta para pejuang agama Allah. Saya hanya mampu membalas sesuai dengan genre dan bahasa ucapan yang digunakan satu-persatu dengan ringkas untuk semua komen di awal pagi..Apapun, terima kasih atas semua ucapan, nasihat dan doa dari semua dan Semoga nasihat dan doa itu juga untuk kita semua samada melalui medium calling, sms-ing, emailing or FB-ing.

Bak kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak dan masuk kandang harimau mengaum, begitulah juga konsep balasan komen saya yang disesuaikan dengan insan yang menyempatkan masa menulis ucapan kepada saya.

22 Tahun Berkecimpung Dalam Alam Dunia

22 tahun, sudah selama 22 tahun Allah memberikan saya peluang untuk hidup di dunia ini. Selama 22 tahun pelbagai gambar telah mengisi album kehidupan diriku ini, samada gambar kebaikan bahkan mungkin lebih banyak gambar kejahatan mengisi ruang-ruang kosong kehidupanku ini. Saya dan kita semua pasti tahu daripada jumlah umur kita sekarang, kita mampu kenang, ingat dan muhasabah kembali kemana umur banyak kita habiskan? Adakah nisbah kebaikan dengan kejahatan yang kita lakukan adalah 20:80, 40:60, 50:50 atau mampu memberatkan nisbah ke arah kebaikan?

Semoga umur yang sebelum ini banyak kita persiakan, mari bermula hari ini, jangan lagi mempersiakan sisa waktu yang kita tidak tahu sampai bila ia akan berjalan, maka pergunakanlah peluang usia kita dengan sebaik yang mungkin sebelum kita menyesal di hari akhir kita nanti akibat menunda memanfaatkan waktu yang diberi. Na'udzubillah.

Hari Jadi Sebuah Peringatan

Setibanya putaran tahunan hari jadi kita juga sama dengan pengurangan usia kita yang ditetapkan Allah Penguasa Segala. Makin dekat waktu kita untuk meninggalkan alam dunia dan menuju ke alam seterusnya. Makin habis masa kita untuk mengumpul bekalan di dunia buat alam akhirat. Maka, mari setiap detik masa yang berlalu, bersama kita sedari bahawa berlalu juga usia kita semua. Berkurang juga peluang yang diberikan kepada kita. Ini peringatan pertama di hari jadi kita.

Peringatan kedua yang perlu bersama kita hayati adalah peluang kehidupan yang masih diberikan kepada kita. Sebuah nikmat yang merupakan kunci untuk menambah lagi amalan kita dan memohon lagi pengampunan kepada Allah. Maka, berkuncikan nikmat kehidupan, perlu bersama kita balas dengan rasa syukur yang tidak sedikit melalui kaedah hati, lisan dan amal kita, kerana ramai dengan nikmat kehidupan, bukan mensyukuri namun mengkufuri nikmat ini.


Betapa ramai antara kita dengan nikmat kehidupan yang diberikan kepada kita, kita bahkan menyalahgunakan nikmat yang diberikan, "memanfaatkan" kehidupan dengan perkara-perkara dosa dan maksiat. Bermula dari nikmat mata yang digunakan melihat perkara-perkara yang dilarang Allah berbanding melihat ayat-ayat al-Quran, nikmat telinga untuk mendengar umpatan dan perkara yang merosakkan berbanding bacaan al-Quran dan ceramah-ceramah agama, nikmat mulut digunakan untuk mengeluarkan kata-kata dusta mengadu domba, memfitnah dan mengumpat sini sana berbanding membaca al-Quran dan menyampaikan nasihat, dan banyak lagi penayalahgunaan nikmat tubuh badan yang diberikan kepada kita.

Jika nikmat tubuh badan sebagai nikmat dalaman hidup kita, nikmat luaran berupa harta juga sering kita kufurkan. Kita mulakan dengan generasi muda, khususnya pelajar dalam memanfaatkan laptop contohnya, betapa ramai yang kufurkan nikmat tersebut dengan menggunakannya untuk menonton filem korea, anime, jepun, sinetron, drama, etc yang ke arah kerosakan semata (melainkan memang memberi manfaat). Tidak kurang juga yang memanfaatkannya untuk bermain game sepanjang masa.

Fasiliti lain seperti kenderaan motor mahupun kereta, digunakan untuk balapan (berlumba dalam bahasa indonesia) yang mengggangu dan membahayakan orang lain atau untuk berjalan-jalan dengan kekasih hati. Begitu juga harta-harta lain yang diberikan kepada kita, adakah kita belanjakan di tempat yang dilarang Allah? atau membeli barang-barang yang jelas dilarang digunakan samada pakaian yang tidak menutup aurat (melainkan untuk diperlihatkan kepada mahram/suami/isteri), rokok yang menzalimi diri sendiri mahupun makanan/minuman boikot yang menyumbang kepada musuh Islam. Inikah lambang syukur kita dengan nikmat yang diberikan kepada kita? Yakinlah, semua bakal ditanyakan di hari kemudian.

"Tidak akan berganjak kaki anak adam pada hari kiamat sehingga dia disoal 4 perkara iaitu ; tentang usianya, pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya untuk apa telah dipergunakannya, tentang hartanya dari mana diperoleh dan ke mana telah dibelanjakannya dan tentang ilmunya apa yang telah diamalkannya" [HR at-Tirmidzi]

InsyaAllah bersama kita syukuri dan perbaiki kehidupan kita sebaik yang mungkin, jadikanlah  bukan hanya ketika hari lahir sebagai peringatan sudah setahun berlalu usia kita, tapi jadikan hari-hari yang kita lalui sebagai mata rantai peringatan yang menyedarkan kita.

Wednesday, January 11, 2012

Perlumbaan Piala Kebaikan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Proaktif Dalam Kebaikan

"salam akh, ana dah bagi tazkirah di PLKN ni..ramai juga yang datang dengar tazkirah"


"salam akhi, ana dah masuk sekolah lama ana balik..setakat ni ana baru bina hubungan dengan adik-adik disini..semalam main futsal bersama..hari ini nanti ana beriadah bersama lagi.."


"salam akh, ana nak jemput antum bagi ceramah di sekolah lama ana ni..ana dah offer dan mereka terima..semoga ana mampu membantu dakwah di sini.."


"salam akh, ana dah kumpul kawan-kawan ana ni..tapi baru 4 orang akh..antum boleh datang bagi sharing sikit dengan kami?"


"salam akh, apa bahan pertama ana nak sampaikan di tempat ana ni ya?"


"salam akh, ana insyaAllah nak fokus menambah hafalan quran dulu di maahad dalam sebulan lebih ni"


"salam akh, apa lagi buku-buku yang elok dibaca ya untuk menambah lagi pengetahuan agama ni?"


"salam akh, ana setakat ni mampu usahakan untuk hidupkan surau di kampung ja ni akh.."


Ini adalah antara mesej-mesej dari generasi muda yang saya dapat selepas mereka selesai menamatkan persekolahan menengah mereka dan dalam fasa penantian keputusan SPM yang bakal tiba. Semua merupakan orang yang pelik jika dipandang pada kaca mata remaja zaman ini kononnya. Namun pada kaca mata Islam, inilah remaja yang diimpikan bagi mengembalikan kegemilangan umat Islam.


Remaja-remaja yang sepatutnya menghabiskan masa melayan keseronokan hiburan dan aktiviti-aktiviti yang kononnya memanfaatkan masa mereka yang ada samada bermain game 24 jam, merempit lebih laju lagi, berkhalwat lebih kerap lagi, menonton TV dengan pelbagai movie, mahupun sekadar tidur sepanjang hari. Inilah warga emas (waktu muda sebenarnya warga emas) yang mensia-siakan waktu emas mereka.

Perlumbaan Piala Kebaikan

Semangat, kegigihan dan pengorbanan orang lain patut kita jadikan cetusan motivasi untuk lebih berbuat demi meraih kebaikan. Jangan hanya seronok bertepuk tangan melihat kejayaan orang lain dan jangan hanya tumpang gembira dengan penghasilan orang lain tanpa ada niat di hati untuk mencontohi bahkan berusaha melakukan yang lebih baik lagi. Samada dalam bab akademik, kerjaya, kebersihan, kesihatan, ukhuwah apatah lagi dakwah.

Cemburulah kepada mereka yang melakukan kebaikan bukan untuk menjatuhkan mereka, tetapi sebagai pembakar semangat untuk berlumba dalam kebaikan yang dianjurkan Allah kepada kita. Ayuh Fastabiqul Khoirot!!!

"Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan"[QS al-Maidah, 5:48]



Mari bersama kita tingkatkan semangat untuk memenangi piala kebaikan berbanding orang lain. Tingkatkan lagi hafalan al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, tambahkan lagi pengetahuan kita dengan membaca pelbagai genre buku, perbanyakkan lagi kemahiran kita dengan mempelajarinya di pelbagai sumber, perhatikan lebih lagi kesehatan, kecergasan dan kebersihan diri, dan akhir sekali, gencarkan lagi dakwah kita semampu yang boleh bagi menyedarkan umat Islam yang makin hari makin hilang keislaman dalam diri, dan semua ini kita usahakan selagi umur diteruskan Allah Yang Maha Mematikan.

Pagar Halangan Trek Kebaikan

Sepertimana perlumbaan larian berpagar, sepanjang trek ada sahaja halangan berpagar yang perlu pelumba tempuhi. Ada yang mampu langkahi, ada yang jatuh ke tepi dan ada yang berjaya hampir sekali. Begitulah juga dalam perlumbaan kebaikan yang diredhai ini, bukan dibentang dengan karpet merah, tapi terkadang disimbah dengan cat merah.

Perjuangan mengamalkan kebaikan memang penuh dengan ujian samada dalaman mahupun luaran. Bahkan terkadang kita sendiri yang menunda dan memindahkan peluang melakukan kebaikan kepada orang lain. Sering mengelak dan mengelat ketika ada peluang melakukan kebaikan. Samada ketika orang lain meminta pertolongan, ada kekotoran yang perlu dibersihkan samada di rumah, masjid atau jalanan, atau ada kerosakan dan kelemahan umat Islam yang perlu proaktif kita betulkan.

Cukuplah kita bermalas-malasan dalam melakukan kebaikan. Cukuplah kita hanya menunggu orang mulakan kebaikan baru kita ingin lakukan. Cukuplah kita meninggalkan kebaikan hanya kerana mengutamakan pandangan dan perspektif manusia semata. Inilah penyakit-penyakit yang makin menular dalam tubuh kita semua, kerana memandang enteng perkara kebaikan jika tidak memberi kepentingan dunia atau nafsu kepada kita sendiri. Semoga kita menawarkan lagi diri kita untuk melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan menawarkan diri melakukan kesalahan dan kemaksiatan. Akhir dari post kali ini kita hayati dan yakini bahawa setiap zarah kebaikan Allah tidak akan pernah pandang ke tepi bahkan akan menambahkan lagi balasan kepada pelakunya.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, niscaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar"[QS an-Nisa', 4:40]

Sunday, January 8, 2012

Jaminan Dari-Nya


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli :  SaBaHaNmUsLiM




Fikir & Zikir

Fikir dan zikirlah mengenai apa yang telah kita miliki sehingga ke hari ini bermula dari sekecil-kecil zarah sehingga sebesar-besar alam semesta. Fikir dan zikirlah mengenai pancaindera yang telah sempurna dikurniakan kepada kita semenjak kita lahir ke dunia. Hayatilah alat pendengaran yang terhindar dari penyakit pekak, perhatikanlah mata kita yang terselamat dari penyakit buta, rasailah lidah kita yang tidak terkelu dengan penyakit bisu dan lihatlah kulit kita yang terlepas dari penyakit kurap dan kusta.

"Dan (juga) pada dirimu sendiri, tidakkah kamu perhatikan"[QS az-Dzariat, 51:21]

Semua rezeki di atas sedarilah tidak semua insan memilikinya dan saya pasti bagi sesiapa yang memilikinya pasti tidak sanggup melepaskannya. Jika kita ditanya apakah kita sanggup menukar sebiji mata dengan sebuah gunung emas? atau sanggup menjual telinga dengan harga sebukit permata? atau membeli istana mewah dengan bisunya lidah kita? atau menggadai tangan dan kaki kita demi mendapatkan platinum dan grafena? Sedarilah, nikmat yang Allah berikan lebih mahal dari segalanya.

Segala nikmat yang diberikan kepada kita, atau nikmat yang tidak pula kita dapatkannya adalah kehendak dari Allah ar-Rozaq. Dia berkuasa memberikan kita segala nikmat yang kita ingini, dan Dia juga berkuasa menarik semua nikmat yang kita miliki, kerana yakinlah bahawa semua rezeki jaminan dari-Nya.

Rezeki Masing-Masing

Saya terkesan dengan kata-kata mak saya ketika tetamu datang ke rumah kami lalu kami hidang dengan makan dan minum lalu beliau menyatakan kepada kami adik-beradik bahawa sebenarnya bukan kita yang memberi rezeki dengan tetamu tadi, tapi itu memang rezeki mereka melalui perantaraan kita. Begitu juga dengan kita yang mungkin telah membeli ayam panggang yang panas dan sedap, namun tiba-tiba terjatuh dan dimakan oleh kucing sekeluarga, maka itulah rezeki bagi kucing melalui perantaraan kita.

Pernah juga suatu ketika ketika saya mewakili universiti dalam pertandingan badminton sehingga masuk ke suku akhir dimana perlawanan yang sengit berlangsung antara saya dan pihak lawan. Saya mendahului jauh kehadapan sehingga umpama kejayaan suatu kepastian, namun kaki tercedera yang tidak memungkinkan untuk saya bermain dan keputusannya kejayaan ketika itu bukan milik saya.


Pengalaman terakhir yang ingin saya kongsikan adalah ketika mengikuti "Engineering Design Exhibition" di kampus dimana setiap kumpulan perlu mempersembahkan dan membentang projek masing-masing dihadapan juri dalam kalangan pensyarah bahagian kejuruteraan, pensyarah bahagian teknik penyampaian dan dalam kalangan pengkaji (researcher). Semua pembentang dipilih bagi setiap kumpulan dan saya wakil bagi kumpulan saya untuk membentang projek kami.

Barisan pembentang ada yang merupakan pemidato terbaik dan ada juga yang pendebat universiti serta pembentang lain yang lebih fasih berbahasa inggeris. Namun, sebuah kejutan ketika gelaran "The Best Presenter" diberikan kepada pembentang yang berasal dari Putatan, Sabah, iaitu saya? Sebuah pencapaian yang jangankan terfikir, terlintas pun tidak, namun itulah rezeki yang merupakan jaminan dari-Nya walaupun teragak-agak untuk naik ke pentas mengambil hadiahnya.
Saya pasti kita semua juga ada pengalaman masing-masing yang merupakan bukti rezeki itu ketentuan Illahi. Sebab itu saya pernah kongsikan nasihat di akaun laman sosial "Muka Buku" (FaceBook) mengenai:

"rezeki itu samada untukmu atau untuk orang lain, jika ia memang untukmu maka ia akan sampai padamu, jika ia untuk orang lain maka terimalah ia bukan untukmu. Ini antara sikap dan keyakinan yang perlu kita tanam di dasar hati, perihal semua rezeki adalah jaminan Illahi. Maka terimalah dengan redha segala ketentuan seikhlas hati."

Kebergantungan Dari-Nya

Ada ketika kita telah mengusahakan sesuatu perkara sebaik yang mungkin, samada dalam bab akademik, kerjaya atau tugasan lainnya, sehingga kita mampu mendaki menara gading, membangun syarikat sendiri atau mengutip hasil yang lumayan, namun ingin saya ingatkan bahawa jangan merasa rezeki yang diperoleh adalah hak milik usaha sendiri, tapi yakinlah ia adalah kehendak dan nikmat dari Illahi. Memang tugas kita berusaha sebaik mungkin, namun yang menentukan pengakhiran usaha kita adalah Allah Pemberi Rezeki.

"(Dia-lah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja."[QS At-Taghobun,64:13]

Tawakkal, itulah istilah yang perlu ditanam di hati selepas puas usaha sebaik mungkin namun kebergantungan kepada Allah tidak pernah lari. Sebagai contoh, mungkin kita pernah ingin mengadakan sebuah program dengan persiapan yang cukup rapi, atau pernah belajar semaksima yang mungkin bagi menghadapi peperiksaan akhir, atau merancang strategi pemasaran bagi meningkatkan jualan produk syarikat, atau merangka perancangan bagi menghidupkan dakwah di pelbagai tempat, namun tiada salahnya untuk kita mengadakan solat sunat hajat dan berdoa agar persiapan dan perancangan kita lancar dan diberkati.


Inilah kebergantungan kepada Allah agar jangan terlepas akibat dari terkabur dengan usaha sendiri yang sudah nampak baik sekali. Cukuplah selama ini kita memandang tinggi usaha sendiri sehingga lupa Allah yang menentukan segala rezeki. Begitu juga secara antonim bagi insan yang putus asa untuk mencari rezeki Allah kerana terkabur dengan suasana yang nampak tiada harapan lagi agar teruslah berusaha kerana sekali lagi, rezeki jaminan dari-Nya.

Metodologi Mendapat Rezeki

Selepas kita simak kembali keyakinan kepada Allah Pemberi Rezeki, simaklah juga metodologi kita mencari rezeki. Memang terkadang ada insan yang mendapat rezeki yang lebih tinggi dengan metodologi yang salah dan tercela, samada melalui rasuah, riba, menipu atau berjudi, namun yakinlah insan sedemikian tidak di bawah payung keberkatan Allah selagi mana tidak dia berhenti melakukannya dan memohon keampunan kepada Allah dan manusia yang dizaliminya.

"Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintah orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada semua rasul dengan firmannya : Wahai sekalian rasul! Makanlah kamu makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Allah berfirman lagi : Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu makanan yg baik dari rezeki yang Kami berikan.

Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yg jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) : Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya?"
 [HR Muslim]

Semoga kita semua mengejar keberkatan dalam pencarian rezeki dan memasukkan rezeki yang halal dalam mulut kita, anak dan isteri. Biarlah berlapar dari makanan haram, demi mengelakkan azab di hari pembalasan. Ayuh bersama kita menjaga dan mengingatkan diri kita dan keluarga kita tentang perkara ini. Mari di akhir perkongsian kali ini, kita buktikan kebergantungan dan pengharapan rezeki kita dengan berusaha melaksanakan Solat Sunat Dhuha dan sudahi dengan doa yang diajarkan kepada kita dengan penuh khusyuk dan ikhlas serta menambahkan keyakinan bahawa semua rezeki jaminan dari-Nya.

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu"."Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

Thursday, January 5, 2012

Pengorbanan Dipandang Pelik?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLim


Aku melihat kesungguhanmu,
aku mengetahui pengorbananmu,
aku mendengar kesusahanmu,
sehingga mengalir air mataku.

jika dipandang zaman semasa,
jika dilihat keadaan sekarang,
tidak akan mampu kita percaya,
masih ada insan sedemikian rupa.

melalui keperitan hidup hari ini,
melalui pengorbanan yang bukan sedikit,
bukan demi kepentingan duniawi,
namun demi memperjuangkan agama Illahi,
walaupun manusia akan memandang pelik,
ketika Islam diamalkan sepenuh yang mungkin. 

terkadang poket kosong tidak berisi,
perlahan-lahan berusaha mencari wang ringgit,
melakukan penjimatan itu sudah pasti,
terkadang hanya pisang makanan tengah hari,
mee segera dibelah dua bagi malam dan pagi,
nasi lemak yang sedikit berdua dikongsi,
bahkan pernah berlapar sepanjang hari,
dan kisah lain yang meluluhkan hati.

usaha mencari sedikit rezeki,
bukan dimanfaatkan untuk kepentingan diri,
membeli makanan yang enak sekali,
tapi terus diinfak di jalan Illahi.
menyebarkan dakwah menghidupkan hati.

perjalananmu mengingatkan da'i yg lain,
yang mula terasa beratnya perjalanan,
ditimpa dengan pelbagai ujian,
merasa sudah beratnya cubaan,
sedangkan sebenarnya hanya sekelumit cubitan.

itulah realiti segolongan da'i,
sanggup mengorbankan diri sendiri,
namun yakinlah Allah tidak pandang ke tepi,
akan dikotakan segala janji,
ganjaran di akhirat sudah pasti,
yang penting keikhlasan terus bersemi.

akhir luahan rasa ini,
teruskanlah berjuang dengan berani,
teruskanlah berkorban di jalan ini,
teruskanlah bersabar kuatkan hati,
buat semua pejuang pencari redha illahi,