Thursday, October 25, 2012

Aishiteru (Aku Cinta Padamu)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Romantiknya Lirik Cinta

Permulaan post kali ini ingin saya mulakan dengan beberapa potongan lirik lagu cintai. Ayuh kita hayati.

Walau Raga Kita Terpisah Jauh
Namun Hati Kita Selalu Dekat
(Aishiteru Oleh Zhifilia)

Bila Terasa Rindu,
Ku Sebut Namamu,
(Bila Terasa Rindu oleh Dafi)

Kau Mau Apa, Pasti Kan Ku Beri
Kau Minta Apa, Akan Ku Turuti
Walau Harus Aku Terlelah Dan Letih
(Doaku Untukmu Sayang Oleh Wali Band)

Pasti ramai antara sidang pembaca khususnya para generasi muda membaca lirik tersebut dengan alunan lagu tersebut, atau dalam erti ayat lain, pasti lagu di atas ramai diketahui bahkan didendangkan generasi muda hari ini. Sungguh indah percintaan sesama manusia yang digambarkan dalam lirik lagu tersebut.

Jika kita tadabbur (hayati) lirik di atas, pertama menyatakan walau raga berjauhan, namun dekat di hati, kedua menyatakan ketika terasa kerinduan pasti menyebut nama kekasih hati, dan akhir sekali menyatakan sanggup terlelah dan letih demi memenuhi dan menuruti permintaan kekasih hati. Wah, sungguh romantik!

Alihkan Kuasa Cinta

Gambaran lirik diatas itulah ekspresi kuasa cinta sesama manusia dewasa ini.  Kuasa cinta menyebabkan yang jauh terasa dekat, yang berat terasa ringan, yang pahit terasa manis bahkan yang busuk terasa wangi. Sebagai contoh, ada pasangan yang tinggal berjauhan, namun atas kuasa cinta, mereka terasa dekat sekali. Ada juga yang sanggup berkorban harta dan masa yang memang berat, namun atas kuasa cinta, perkara berat terasa ringan untuk dilakukan. Ada pula terkadang terpaksa menerima beberapa pengalaman pahit bersama pasangan, namun atas kuasa cinta, perkara pahit terasa manis ditelan.

Apa yang penting, kebanyakan kuasa cinta yang diaplikasikan pasangan muda-mudi yang tiada ikatan halal pada hari ini saya pasti kebanyakannya hanyalah lakonan semata-mata. Ramai pelaku maksiat antara mereka menggunakan kalimat cinta bagi mewakili nafsu keji mereka yang diselimut indah dengan kata-kata yang menggoda. Maka, pastikan kita berwaspada dengan pujukan rayu mereka. Sedarlah, orang yang benar-benar mencintai kita tidak akan sanggup menyakiti kita, samada di dunia bahkan lagi untuk alam seterusnya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua sidang pembaca untuk kita alihkan kuasa cinta kepada yang sepatutnya, Allah. Mari atas kuasa cinta kita akan sentiasa merasa dekat dengan Allah, sentiasa ringan melaksanakan suruhannya dan tinggalkan segala laranganNya. Selain itu, segala ujian dan ketentuan yang nampak pahit akan kita telan dengan rasa manis sekali. Janganlah lagi kita jauh daripada Allah, jangan lagi terasa berat untuk melaksanakan perintah-Nya mahupun meninggalkan larangan-Nya dan janganlah lagi kita sentiasa terasa pahit dengan segala ketentuan dari-Nya. InsyaAllah.

Perbandingan yang lain, saya pasti jika kita mencintai seseorang akan membuatkan kita sanggup berkorban untuknya dan tidak akan pernah menyakiti hatinya. Mencintai Allah juga sepatutnya lebih sanggup kita berkorban melaksanakan semua perintahnya dan jangan sesekali berani menyakiti-Nya dengan melanggar larangan-Nya. Ayuh kita buktikan cinta kita kepada-Nya kerana cinta kepada Allah adalah kata kerja yang perlu digerakkan dengan amalan, bukan hanya kata nama yang hanya didiamkan dalam fikiran.

Bercinta Selepas Bernikah

Perbahasan mengenai tahapan cinta serta langkah mendapatkannya sudah saya bahaskan dalam majalah SINERGI edisi ketiga, atau dalam post 'Ajarkan Aku Cinta' insyaAllah dalam kesempatan kali ini, saya ingin lebih membahaskan cinta sesama manusia yang perlu kita lihat dengan kaca mata yang menggunakan kanta Al-Quran dan As-Sunnah bukan dengan kanta Asy-Syahawat dan Asy-Syaitan. Walaupun saya yang sangat baru mengubah status saya menjadi seorang suami pada 2 June 2012 yang lepas ketika dalam usia 22 tahun, namun semoga sedikit pengalaman dan perkongsian mampu bersama kita sama-sama fikirkan untuk kita amalkan.

Ramai kita perhatikan generasi muda bahkan berusia dewasa ini meletakkan pemikiran dan pemahaman bahawa dalam mencari pasangan hidup, mereka perlu bercinta dahulu sebelum menjejak ke gerbang pernikahan. Menjadikan perkara ini lebih parah lagi, ibubapa juga menyokong bahkan mendokong anak-anak mereka untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi kononnya dengan bakal pasangan hidup anak mereka.

Saya tidak melarang untuk ta'aruf (berkenalan) dahulu bakal suami mahupun isteri kerana ini adalah pemilihan yang sangat penting sebagai teman hidup dunia bahkan mampu sampai ke syurga, tapi pastikan dijaga dan ditegaskan batasan dalam berkenalan tersebut kerana memang dalam hadis yang diriwawatkan oleh Imam Ahmad membolehkan bakal pasangan untuk melihat wajah bakal pasangan dengan niat untuk menikahinya. Saya juga mendapat tahu ada beberapa organisasi gerakan Islam turut mewujudkan medium atau sistem ta'aruf antara muslimin dan muslimat yang sangat menjaga batasan dalam ta'aruf samada dikenali dengan baitul muslim atau baitul du'at. Semoga Allah meredhai usaha kalian.

Bernikah untuk bercinta memang lebih baik daripada bercinta untuk bernikah kerana cinta sebelum nikah cuma nampak indah, tapi hakikatnya akan merana berdosa. Manakala cinta selepas nikah memang indah, bahkan akan bahagia berpahala. Tambahan pula, bernikah juga sebuah wasilah yang mampu menyempurnakan separuh dari agama (HR Baihaqi) bahkan merupakan sunnah baginda Rasulullah SAW sehingga baginda mengecam tidak mengaku sebagai umatnya kepada sesiapa yang sudah mampu menikah namun tidak ingin melaksanakannya (HR Thabrani & Baihaqi).

Ujian Melaksanakan Pernikahan

Setiap perkara kebaikan akan ada sahaja ujian untuk kita tempuhi. Ujian dalam aspek ibadah pernikahan ini juga tidak lari dari ujian yang selalu hadir disebabkan diri sendiri, bakal pasangan atau keluarga itu sendiri. Dalam aspek diri sendiri, menurut Imam Ahmad Bin Hanbal mengapa terkadang kita tidak terasa tidak ingin menikah adalah antara dua faktor iaitu:

"Jika ada seseorang pemuda yang tidak berkeinginan menikah, maka hanya ada dua kemungkinannya; banyak bermaksiat atau diragukan kejantanannya"[Imam Ahmad Bin Hanbal]

Banyak bermaksiat dan diragukan kejantanannya. Perkara lain yang lebih sentiasa menjadi penghalang adalah pemikiran dan pemahaman masayarakat hari ini yang sentiasa mempersoalkan kemampuan individu untuk mendirikan rumah tangga samada dalam aspek nafkah zahir mahupun nafkah batin mereka.

Kemampuan yang lebih sering diperselisihkan adalah nafkah zahir kerana dalam membina rumah tangga memang kita tidak menafikan ada amanah untuk memberikan keperluan kepada pasangan hidup masing-masing. Terkadang ibubapa pihak lelaki menghalang untuk anaknya bernikah kerana kelihatan tidak cukup hartanya, ibubapa pihak perempuan pula melarang menerima pihak lelaki yang nampak kurang hartanya. Ibubapa sekalian, mengapa tidak kita bukan bahkan melarang atau menghalang, namun berikan sokongan dan bantuan untuk calon berusaha memampukan diri ke arah pernikahan kerana salah satu perkara yang perlu dipercepatkan adalah menikahkan anak perempuan yang pastinya anak lelaki juga perlu dipercepatkan sebagai pasangan pihak perempuan.

"Wahai Ali, ada 3 perkara jangan ditunda-tunda; solat apabila telah tiba waktunya, jenazah apabila telah siap pengkuburannya, dan perempuan apabila telah datang lelaki yang sepadan meminangnya" [HR Ahmad]

Perkara ini memang kita fahami bahawa ibubapa ingin memberikan yang terbaik untuk anaknya, namun kita melihat yang terbaik itu lebih utama dalam aspek dunianya atau akhiratnya? Indikator kita dalam memilih calon isteri atau suami, atau menantu bagi yang bergelar ibubapa jika menurut pesan Rasulullah SAW yang paling utama adalah agamanya.

Sekali lagi, kemampuan dalam bentuk harta kita tidak menolak sama sekali, bahkan calon memang perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan harta bagi kegunaan semasa dan selepas berkahwin. Ini adalah tanggungjawab. Namun, pandangan manusia zaman ini yang terlalu memandang tinggi aspek harta yang banyak berbanding harta yang secukupnya sehingga bukan sahaja harga barang menaik, mahar wanita juga naik sekali. Sedangkan mahar yang paling baik adalah yang paling mudah bagi calon suami. Sekali lagi, paling mudah tidak semestinya paling murah, namun mengikut kemampuan masing-masing.

Semoga ibubapa selepas ini jangan lagi memberatkan dan menyusahkan anak melaksanakan ibadah pernikahan yang mampu menyempurnakan separuh agama dan menjaga kehormatan mereka di zaman yang penuh dengan kebatilan dewasa ini. Bahkan, kita seharusnya memberikan galakan dan tunjuk ajar untuk mereka berusaha memampukan diri membawa amanah sebagai seorang suami atau isteri kerana Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa pernikahan adalah jalan utama menjaga kehormatan selepas itu baru benteng puasa sebagai alternatif kedua. Ayuh bersama mengelakkan anak kita tergolong dalam pelaku zina yang menyumbang kepada statistik 4 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2000-2008 kemudian statistik makin parah iaitu 6 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2008-2011. Na'udzubillah.

Ungkapan Aishiteru Untuk Siapa?

Aishiteru (Aku cinta padamu) adalah sebuah ungkapan indah yang membuahkan pahala jika diucapkan kepada yang halal bagi kita. Namun, dalam akhir penulisan kali ini, ingin saya menegaskan sekali lagi kepada yang terlibat dengan kemaksiatan, sedarlah bahawa ia bukan landasan yang betul dalam membina ikatan kerana ia terhasil selepas dimulai dan dicemari dengan dosa larangan. Ketahuilah, bercinta sebelum menikah bukannya jalan yang diredhai dan diizinkan Allah kepada kita. Pastikan kita dijalin bukan oleh nafsu dan syaitan sebagai walinya, tapi biarlah keimanan dan keikhlasan menjadi wali penyatunya.

Jadikanlah pernikahan satu landasan untuk mentarbiyyah dan menjaga lagi diri kita. Maka, pilihlah juga pasangan yang mampu merealisasikan tujuan itu. Pasangan yang bakal membimbing kita mengenal dan mengamalkan Islam secara baik agar kita menjadi keluarga Islam yang tidak merobohkan bangunan Islam, tapi keluarga islam yang mampu menjaga bangunan Islam. Saya yakin kita semua inginkan pasangan yang baik, maka tugas kita dalam mencapai impian tersebut adalah menjadikan diri kita juga insan yang baik.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)."[QS An-Nur, 24:26]

Nasihat terakhir kepada yang sudah melaksanakan ibadah pernikahan, jika yang bujang diuji dengan pasangan haramnya, kita juga diuji dengan pasangan halal kita. Maka, jangan sampai cinta kita kepada pasangan halal kita membuatkan kita makin kurang mencintai Allah kerana samada kita masih bujang mahupun sudah berkahwin, tahapan cinta paling utama kepada Allah tidak akan pernah berubah. Ayuh kita usahakan bukan hanya ingin membina cinta di dunia, tapi binalah jambatan cinta yang mampu sampai ke syurga.

Wednesday, October 24, 2012

Ajarkan Aku Cinta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Diterbit : Majalah SINERGI Edisi Ke-3


Edisi yang memecahkan rekod paling cepat habis stok!!! alhamdulillah.


Ta'aruf Cinta

Cinta, bila berkata soal cinta, apa yang bermain di fikiran kita? Apa yang membayangi imaginasi kita? Apa yang terasa di hati kita? Cuba soalkan kepada kanak-kanak, pasti ramai menjawab cinta antara lelaki dan wanita. Cuba soalkan kepada remaja, jawapan yang sama pasti diberikan. Itulah cinta yang diterapkan dalam jiwa generasi pelapis bangsa. Hasil didikan pelbagai media massa yang kurang dijaga. Juga dari kehidupan ibu bapa dan keluarga yang mencorakkannya.

Betapa ramai antara kita yang rabun cinta, tidak jelas melihat mana cinta sebenar yang lebih utama, mana cinta sebenar yang perlu dituju? Akhirnya, kerabunan cinta sebenar melahirkan generasi yang rosak teruk akhlaknya, kancah kemaksiatan terus didakyahkan, permainan dunia terus diagungkan, barang haram terus disuapkan, angkuh dengan nikmat harta diberi, nafsu serakah driver kehidupan, dibantu syaitan core-driver setia, maka cinta sebenar seperti sudah hilang nilainya. Inilah penyakit cinta yang melanda umat kita.

Mekanisma Mahligai Rumah Tangga

Cinta antara pria dan wanita bukan ditolak, namun ada mekanisma indah telah disyariatkan Allah dalam agama-Nya. Ramai anak muda zaman sekarang menggunakan berkasih sayang dahulu baru membina mahligai rumahtangga, ber'couple' dahulu, berjalan dan makan bersama, bermesra bagai suami isteri di tempat-tempat berkondusif ke arah perzinaan, baru ingin melangkah kepada ikatan yang sah. Sedangkan Allah berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." 
[QS Ar-Rum, 30:21]

Allah firmankan dijadikan dahulu isteri atau suami, baru timbul berkasih sayang. Dunia sekarang sebaliknya, dipuaskan dahulu berkasih sayang, berpegangan tangan, beramah mesra, mengumpul dosa, baru pernikahan akhirnya.

Tidak dinafikan, perkenalan atau ta'aruf itu perlu, namun yang pasti, ada batasan yang perlu dijaga. Ramai menggunakan pertunangan dalam beberapa tempoh sebagai proses ta'aruf. Namun, betapa ramai kita lihat pasangan yang bertunang sudah menganggap mereka terikat dengan ikatan yang membolehkan apa sahaja? Inikah keluarga harapan kita yang seterusnya menentukan kondisi masyarakat kelak?

“Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah” [Rahmohan Ghandi]

Ajarkan Aku Cinta

Percintaan memang fitrah insani, mari bersama kita ajarkan hati erti cinta yang perlu diamalkan, melalui dua pegangan kita bersama; al-Quran dan Hadis., ayuh bersama telusuri dan amalkan ayat cinta dari Allah:

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuwatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.[QS At-Taubah, 9:24]

Inilah jawapan cinta yang diajarkan kepada kita, bukan ibu bapa, anak-anak, keluarga, harta, kerjaya, rumah atau kereta yang perlu kita cintai melebihi Allah, Rasul dan Jihad melawan hawa nafsu dan mempertahakan agama-Nya. Namun, hakikatnya ramai antara kita telah melanggar fitrah kecintaan kita kepada sesuatu yang pasti meninggalkan kita.

Cintakan bunga, bunga kan layu,  cintakan harta, harta kan musnah,  cintakan manusia, manusia pasti mati, Tetapi cintailah Allah, kerana Allah kekal abadi. [Imam Ghazali]

Cintailah Dia pemberi nikmat, bukan mencintai nikmat yang diberikan. Seperti kisah Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih cinta terhadap putera kesayangannya demi cinta yang lebih utama, Allah.

*post ni bukan karya penuh artikel "Ajarkan Aku Cinta"..Nak baca sampai habis kena dapatkan majalah SINERGI edisi ke-3 (tapi dah habis stok)..hehe*

Salam Eid ul-Adha (Kembali Berkorban) kepada semua..semoga kita refresh dan tingkatkan kembali pengorbanan kita kepada Yang Esa.

Friday, October 12, 2012

Harga Da'ie = $ Syurga.00


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Harga Da'ie = $ Syurga.00

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."[9:111)

Pembelian sesuatu perkara perlu dibayar pula dengan harga yang sesuai dengan barang belian kita. Jika kita perhatikan ayat di atas, ia sebuah pembelian yang paling menguntungkan, Allah membeli orang-orang beriman dan membayarnya dengan syurga Allah SWT. Sebuah harga yang tidak ternilai harganya khusus buat individu yang memenuhi kriteria dalam ayat tersebut iaitu:

1. Beriman
2. Berperang di jalan Allah bersungguh-sungguh (membunuh/terbunuh)

Itulah dua syarat jika ingin dibeli oleh Allah SWT dengan bayaran syurga. Walaupun sekali lagi kita mengetahui bahawa kita memang milik Allah, ibaratnya kita memberikan pinjaman barang kepada seseorang, lalu ketika kita ingin mengambilnya kembali, bukan ambil dengan percuma, bahkan kita bayar barang  milik kita itu sendiri kerana kualiti barang tersebut yang makin meningkat (manusia makin beriman).

Syarat pertama mungkin ramai yang mampu penuhi, berbeza dengan syarat kedua yang jauh susah untuk ditepati. Sebuah perjanjian dan kesungguhan untuk berperang, berjuang, berdakwah dan berjihad di jalan Allah sehingga ia mampu membunuh musuh-musuh samada dalam bentuk fizikal mahupun dalam bentuk pemikiran, bukan hanya berjuang dengan terlalu santai, bermalas-malasan dan bertangguh-tangguh macam kebanyakan pejuang dewasa ini. Kesungguhan perjuangan sehingga mampu membunuh merupakan pengibaratan perjuangan yang perlu kita lakukan adalah semaksima yang mungkin, dan bukan seminima yang mungkin atau sekadar melepaskan betuk di tangga. Akhir sekali, setelah berusaha untuk membunuh musuh-musuh Islam, mungkin ada yang telah terbunuh (syahid) mati namun tetap hidup di sisi Illahi.

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah, (bahwa mereka itu ) mati; bahkan (sebenarnya) mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyadarinya."[QS 2:154]

Niat & Sikap

Kita mengetahui peristiwa dimana manusia yang nampak buat kebaikan, namun sayangnya tetap dimasukkan ke dalam neraka natijah dari niat yang salah. Samada manusia yang berinfak atau bersedeqah untuk dibangga-banggakan, manusia yang mengajarkan agama hanya untuk kepentingan dunia semata, bahkan seorang pejuang yang ingin disebut-sebut namanya atas perjuangan yang dia lakukan. Back to niat!!!

Sub-Topik saya berikan tajuk "Niat & Sikap" kerana kedua-dua perkara ini perlu kita betulkan sekali. Jangan hanya niat kita sering dibetulkan, tapi sikap kita dalam belajar, bekerja apatah lagi berdakwah tetap salah. Ada pula yang bukan Islam, sikap mereka nampak betul, dengan rajin belajar, bekerja, berdisiplin, dan pelbagai lagi sikap yang betul, namun sayangnya, niat mereka salah bukan kerana Allah Yang Esa. Oleh itu, mari da'ie sekalian, kita sentiasa tajdid (perbaharui) dan perteguhkan niat kita mengharap redha Allah semata, lalu kita betulkan pula sikap-sikap yang banyak menghambat kejayaan dan kemenangan umat islam umumnya.

InsyaAllah perkongsian ringkas kali ini untuk memotivasikan dan mengingatkan para pejuang kembali agar sentiasa IKHLAS mengharapkan REDHA ILLAHI, lalu ayuh makin tingkatkan usaha bersungguh-sungguh menegakkan syiar Islam sehingga kita mampu membunuh semua strategi negatif musuh Islam atau kita yang terbunuh syahid demi menegakkan kalimat ILLAHI. Amin Ya Robbal 'Alamin.

Wednesday, October 3, 2012

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-20]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Zulan (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Episod Ke-20

Nasihat Hari Ini :Jangan merasa rezeki yang diperoleh adalah hak milik usaha sendiri, tapi yakinlah ia adalah kehendak dan nikmat dari Illahi. 

Nasihat Hari Ini : Cemburulah kepada mereka yang melakukan kebaikan bukan untuk menjatuhkan mereka, tetapi sebagai pembakar semangat untuk berlumba dalam kebaikan yang dianjurkan Allah kepada kita.

Nasihat Hari Ini : Wahai ibubapa atau bakal ibubapa, layanlah anak kecil seperti seorang anak kecil, layanlah anak remaja seperti seorang remaja dan layanlah anak dewasa seperti seorang dewasa. Biar kecil-kecil dilayan seperti anak, besar-besar layanlah sebagai seorang kawan. 

Nasihat Hari Ini : Memang terkadang ukhuwah itu ada musimnya, ada musim luruh ada juga musim ia berbunga..Namun musim yang dilaluinya tidak akan menghilangkan ukhuwah tersebut dan ukhuwah itu akan tetap berputar melalui musim-musimnya. Ayuh kita usahakan untuk panjangkan tempoh musim bunga dalam ukhuwah sesama kita.

Nasihat Hari Ini : Berapa ramai tahu islam, tapi tidak juga ingin berislam, berapa ramai tahu iman, tapi tidak juga ingin beriman, berapa ramai tahu dakwah & jihad, tapi tidak juga mahu berdakwah dan berjihad.

Nasihat Hari Ini : Janganlah seperti lembu dicucuk hidung yang mengikuti semua kemahuan nafsu, syaitan dan musuh.

Nasihat Hari Ini : Rezeki bukan sentiasa dapat kita nikmati, terkadang ia akan ditarik ketika Allah mengkehendaki

Nasihat Hari Ini : Rasulullah bermati-matian memperjuangkan agama Islam pada zaman lalu, namun umat Islam sendiri pada zaman ini tidak menjaga bahkan merosakkan agama Islam yang diperjuangkan Rasulullah. Semoga kita menjadi umat Islam yang meneruskan perjuangan baginda dan bukan umat yang mengabaikan perjuangannya.

Nasihat Hari Ini : Kita perlu menjadi pejuang kebenaran yang sangat tegar, bukan pejuang kebenaran yang sangat hambar, sehingga mudah sahaja musuh kita datang menyambar.

Nasihat Hari Ini : Keluarga sekarang terlalu inginkan anaknya senang, tapi sayangnya membiarkan anaknya susah untuk beriman. 

Nasihat Hari Ini : Beramallah dengan ilmu yang berjaya kita cari, dan carilah ilmu untuk kita amalkan lagi.