Monday, March 19, 2012

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-18]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..



 
Sumber Gambar : Zulan (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Nasihat Hari Ini : Benda-benda yang mewah tidak semestinya yang terbaik bagi kita. Maka, belilah bukan untuk kemewahan, tapi cukup sekadar untuk keperluan.


Nasihat Hari Ini : Memang kegagalan satu ujian, tapi usahakan untuk lulus ujian, kerana kegagalan bukan hanya untuk kita pasrah dengan keadaan tanpa ada perbaikan. Terutama untuk kejayaan Islam. 


Nasihat Hari Ini : Memang kebaikan sekarang berjalan lambat seperti kura-kura, dan kejahatan berlari laju seperti arnab, namun tidak mustahil untuk kita pastikan kura-kura mengalahkan arnab di masa akan datang.


Nasihat Hari Ini : Bujang bukan kata laluan untuk kita melepaskan diri dari amalan kebaikan seperti menjaga kebersihan kerana kebersihan adalah sebagian dari keimanan.


Nasihat Hari Ini : Jangan hanya berteori setinggi langit, tapi tidak pernah praktikalkan di muka bumi. Terutama dalam bab ilmu yang kita pelajari.


Nasihat Hari Ini : Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, itulah kesungguhan melakukan amal kebaikan yang pasti mendatangkan kebahagian.


Nasihat Hari Ini : Ramai mengorbankan cinta Allah kerana cinta lainnya, ramai mengkhianati amanah Allah kerana amanah lainya, ramai melemahkan hubungan dengan Allah demi hubungan lainnya, ramai memungkiri janji Allah demi janji lainnya, dan ramai mengabaikan kepentingan Allah demi kepentingan lainnya. Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan hamba yang sebegini.


Nasihat Hari Ini : Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan semua kecuali amalan yang tetap bersama.


Nasihat Hari Ini : Sepertimana kejahiliyahan zaman dulu telah diulang tayang kembali pada zaman ini, ayuh kita ulang tayang kegemilangan umat Islam zaman dulu kembali juga pada pada zaman ini.


Nasihat Hari Ini : Biar mati adat, jangan mati islam, bukannya biar mati Islam, jangan mati adat, kerana ramai mengutamakan adat berbanding Islam itu sendiri.

Monday, March 12, 2012

Pulangkan Milik Allah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


 


Memulangkan Nikmat Diberi

Cuba kita perhatikan semua nikmat yang diberikan kepada kita, dengan tubuh badan yang sihat sempurna, dengan harta yang sedia ada, dengan masa lapang untuk kita buat apa sahaja, bahkan dengan pelbagai nikmat lainnya dan saya pasti kita semua yakin segala nikmat yang kita miliki adalah sebenarnya milik Allah yang hakiki.

Kita sudah maklumi bahawa segala yang kita ada adalah milik Allah semata. Namun mengapa terkadang kita berat dan kedekut untuk memulangkan walaupun sedikit kepada Pemilik Rezeki? Jangan sampai kita tidak sedar diri dan merasa harta yang kita ada pada hari ini adalah milik kita sendiri dan lupa kepada Maha Pemilik segala sesuatu.

Kaki yang diberi Allah mengapa susah kita langkahkan ke tempat yang Allah redhai? Mata yang dikurniakan mengapa berat kita gunakan untuk membaca kalam Allah? Telinga yang diberi mengapa payah untuk mendengar peringatan mengenai Allah? Lidah yang dikurniakan mengapa bisu untuk menyampaikan ayat-ayat Allah? Sedangkan sekali lagi, semuanya milik Allah! Adakah kita bersikap adil kepada Allah?

Penyalahgunaan Terhadap Nikmat

Bahkan teruknya kita kerana menggunakan tubuh badan yang Allah beri untuk melawan Allah kembali! Kaki digunakan untuk menendang perintah dan larangan Allah, mata memandang benda yang dilarang, telinga mendengar perkara melalaikan dan lidah membicarakan perihal hasutan, pendustaan dan umpatan yang ditegah dalam Islam. Inikah cara kita membalas jasa Pemberi Nikmat kepada kita?

"Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?" [QS Ibrahim, 14:28]

Begitu juga perihal masa dan harta yang diberikan Allah kepada kita, mengapa kita terlalu kedekut untuk memberikan walaupun sedikit kembali kepada Allah? Masa yang kita ada jangan lagi kikir atau kedekut untuk digunakan mendekatkan diri kepada Allah apatah lagi berjuang di jalan-Nya. Harta yang dikurniakan gunakanlah pada perkara yang diredhai Allah semata samada infak dan wakafkan kepada yang memerlukan, membeli bahan bacaan bagi meningkatkan ilmu agama, dan yang paling utama belanjakannya untuk membantu agama Allah.

Jangan pernah merasa segala yang kita ada di dunia ini adalah milikan kekal kita semua. Yakin dan sedarilah bahawa semuanya adalah milik Allah semata, maka jangan ragu-ragu dan kedekut untuk memberikan semula kepada Allah kerana memang milik-Nya. Kita adalah peminjam sahaja.

"Dan milik Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertakwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah milik Allah dan Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji."[QS an-Nisa', 4:131]

Mari Menabung Akhirat

 

"akhi, insyaAllah semua duit yang kita keluarkan ni sebenarnya bukan sebuah kerugian tapi sebuah keuntungan..kita sebenarnya masukkan dalam tabung akhirat kita..makin banyak kita keluarkan, makin kaya kita di akhirat nanti..yang penting kita ikhlaskan segala pengorbanan yang kita lakukan"

Salah seorang ikhwah menyatakan kepada ikhwahnya yang lain yang dalam perjalan melakukan pengorbanan masa, tenaga dan harta yang bukan sedikit demi membantu agama Allah. Inilah pemikiran yang perlu kita tanam dalam hati kita agar tidak pernah merasa rugi ketika menginfakkan harta kita ke jalan Allah. Kita sebenarnya bukan rugi, tapi sebenarnya untung di akhirat nanti.

Mungkin pada pandangan manusia yang hanya menggunakan kaca mata dunia memandang sebuah kerugian zahir ketika kurangnya harta ketika dikeluarkan, sedangkan ia menguntungkan hati kita yang makin kaya dengan keimanan dan menguntungkan diri kita ketika berada di alam seterusnya. Ayuh kita menabung bermula dari sekarang dengan segala amalan yang menjadi matawang di alam akhirat.

Mencari untuk Memberi

Perjalanan menuju redha Illahi memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Terkadang membuatkan para pejuang di jalan ini mengeluh berdalih ketika diuji dengan pelbagai kekurangan samada wang ringgit, masa mahupun perasaan di hati. Namun yang ingin saya tekankan kali ini bahawa semua itu bukan alasan untuk kita tidak melakukan pengorbanan lagi.

Tiada duit maka perlu kita mencari duit, tiada masa maka perlu kita mencari masa, tiada mood maka kita perlu mencari mood bahkan jika merasa tiada keikhlasan maka perlu kita mencari keikhlasan tersebut. Apa yang penting, sentiasa mencari jalan dan bukan memberi alasan. Kita ingin seribu daya, bukan ingin seribu dalih. Mari kita usahakan mencari semua ini untuk kita berikan lebih lagi pada jalan yang diredhai Illahi.

 

Tuesday, March 6, 2012

Kesibukan Mengabaikan Keimanan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




O.T.  Time Internship


"Fakhrul, You hari ni boleh balik lambat? kite wat validation process untuk DFB, air shower and sampling booth...mungkin sampai jam7 jer"

"owh..I boleh jer En Supri...kebetulan I petang ni pun tak de pape..ini OT(over time) sejam lebih ni..hehe"

"iya.nanti I belanja You makan yer..hehe..ok, ini ada beberapa test kite akan run..ni I bagi checklist die, you try go through dulu..if ade yang tak faham just tanye"

"ok..erm..filter integrity test, magnehelic gauge, particle-count test, air flow visualitation..erm..kebanyakan gune device die jer kan..cume, yang air flow visualitation ni guna visual photomograph atau nak timbulkan flow guna smoke?"

"owh..kite guna smoke jer baru tengok flow die according to spec. or tak..pastu rakam flow tu nanti"

"I see..smoke tu boil dry ice jer kan?"

"yup..kite gune dry ice..boil die..you tolong ambil dry ice nanti dekat QC..lepas lunch kita start validate"

"ok..nanti I usahakan..insyaAllah.."

Fuh..I..I..You..You..Itulah kata ganti diri yang digunakan di pejabat tempat saya Internship/Practical/Latihan Industri, bahkan pasti kebanyakan pejabat juga sedemikian. Saya pun terpaksa guna untuk menyesuaikan dengan office-mate yang lain. Ganjil, memang terasa ganjil menggunakannya, tapi itu yang membuatkan mereka rasa senang dengan kita ketika kita menggunakan bahasa yang sama dengan mereka. Kan elok kalau guna kata ganti diri ana, anta, anti, antum, etc..Seperti yang ana gunakan dalam syarikat Synergy Media Sdn. Bhd..^.^..

Sekadar sedikit perkongsian sepanjang internship yang terlalu lama. 7 Bulan. Sudah hampir jadi pekerja di sini. Kesibukan dan tugasan yang diberikan pun level pekerja. Latest cerita, pagi tadi, supervisor saya yang merupakan Validation Engineer di tempat ini ada outstation, ketika itu juga Pengarah Syarikat datang secara mengejut dan ingin progress latest setiap department dan minta present petang ni, bahagian QA Department memerlukan validation update dengan segera dan mereka ingin perbandingan validation process dari tahun 2011 sehingga tahun ini, dan yang peningnya, benda itu tidak ada!!! Bayangkan QA Manager dan QM Manager tunjuk jari ke arah saya untuk siapkannya.

"part validation ni Supry yang patut buat..I (QM Manager) kena present petang ni...tapi die tak de pula.."

"tak per..Fakhrul selalu wat validation dengan Supry..die pasti tahu progress validation tu.." Kata QA Manager kepada QM Manager. Saya yang berada di belakang mereka sekadar menelan air liur. QM menoleh ke arah saya lalu berkata..

"Fakhrul..You boleh tolong wat datasheet dan diagram yang presentable tak untuk validation process starting 2011 until 2012..kan validation ade 4 main scope jer..ape dah tu?"

"Equipment Validation, Process Validation, Cleaning Validation dengan Analytical Method Validation..itu jer rasanyer" Saya menjawab.

"yup..ok..so, I nak you wat data tu includekan sekali yang validation under planning, pastu letak status planning tu samada Done, In Progress atau Not Done..I tak tau macam mana you nak wat, tapi yang penting presentable.."

"Boleh jer..cume I perlukan data-data validation yang last year..coz I cume ade tahun ni punye..tapi yang tahun ni punye pun just planning jer yang ade..yang dah validate belum direkod lagi, tapi boleh refer kat validation report"

"data last year belum documented lagi..Fakhrul kena refer raw document die.."

Bermulalah kerja last minute yang perlu cepat disiapkan. Buka almari-almari dokumen untuk mencari validation status. Semua dalam bentuk hard-copy, perlu di"soft-copy"kan lagi baru dicompile dalam master datasheet. 17 produk perlu melalui 3 jenis product validation so 17x 3 = 51 Product Validation kemudian ada 63 equipment dan machine yang perlu divalidate juga. Menariknya, semua kena siap before lunch hour, terima kasih QA dan QM dan terutama kepada SV..huhu..Apa yang penting, waktu dhuha saya pastikan henti berehat untuk laksanakan solat sunat dhuha dan membaca beberapa helai al-Quran. Perkara ini saya kongsikan untuk menunjukkan sedikit kesibukan dalam hari-hari di tempat kerja saya yang mungkin juga berlaku dalam hari-hari kita, namun yang ingin saya tekankan, kesibukan bukan alasan untuk kita stress dan tension, apatah lagi jika sampai membuat Iman terabai.




Sumber Kekuatan Utama

"akhi, ana sibuk nak urus tugas-tugas ana ni..tak sempat nak ziarah mad'u..asif ya, ana tak ada banyak masa ni"

Kelihatan ikhwah tersebut begitu gencar ke hulu ke hilir melaksanakan amanah-amanah yang diberikan kepadanya. Bagaikan tiada erti rehat dan sentiasa sahaja fokus dengan gerak kerja dengan secara berterusan. Semua kesibukannya nampak ketara di mata para ikhwah di sekelilingnya. Namun malangnya, kesibukan tugasan tersebut dijadikan alasan untuk dia terabaikan sumber kekuatan utama semua pejuang, IMAN.

Memang penuh semangat kita ingin memikirkan perancangan-perancangan unit kita, medan kita, team kita, lajnah kita dan sebagainya, namun, apa salahnya sebelum mula kita merancang dan melaksana, agar belanja dahulu sedikit masa kita untuk habiskan 4 muka surat al-Quran contohnya, boleh berdoa dahulu, atau selesaikan solat sunat dhuha atau ma'thurat kita dahulu, agar hati kita dibersihkan dan dikuatkan sebelum memikirkan lagi perihal amanah kita lainnya. Jangan hanya ingin baiki orang lain, namun terlupa baiki diri sendiri, jangan menjadi seperti lilin, yang membakar diri sendiri demi menerangi orang lain.

Budaya mempersiapkan diri dengan kekuatan keimanan perlu kita sosialisasikan dalam hati semua pejuang kebenaran. Inilah sumber kekuatan utama kita dalam menapaki jalan yang penuh ranjau nan berliku agar terus tegar dan tabah menerobos kabus ujian. Usahakan sebelum mengisi dauroh, memberi ceramah, handle LDK, buat halaqah, mentajmi mad'u, ingin bersyuro, dan seribu satu lauk-pauk dakwah yang ingin kita nikmati, pastikan lakukan persiapan iman di dalam hati. Istighfar dan bacalah al-Quran sebanyak mungkin, dan lebih indah lagi selesai melaksanakan sesuatu amanah agar terus melaksanakan solat sunat hajat atau taubat sebagai lambang kebergantungan dan pengharapan kepada Illahi.

Jangan Merasa Cukup Sibuk

"fuh..ana rasa masa ana tak cukup la akh, ana kena selesaikan banyak lagi tugasan-tugasan yang lain ni..kesibukan yang melampau ni.."

Ini lagi sebuah perkara yang dihadapi para pejuang yang menganggap dirinya terlalu sibuk sehingga dijadikan buah mulut dirinya sendiri. Alasan sibuk diberikan sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lainnya. Sedangkan kesibukan tersebut sebenarnya terlalu sedikit cuma nampak banyak dan bersepah akibat dari pengurusan diri sendiri.

Kita terkilan ketika ada antara kita yang baru diberikan amanah yang sedikit sudah merasa diri terlalu sibuk tahap maksima sedangkan ada insan lain yang diamanahkan juga lebih banyak darinya namun tidak nampak lebih sibuk berbanding dirinya. Contoh paling utama tidak lain baginda Nabi Muhammad SAW. Perkara ini saya sampaikan supaya kita biasakan mengurus kesibukan yang sedikit tersebut dengan sebaiknya sebelum ada lagi kesibukan lain di masa hadapan yang mungkin lebih banyak di bahu kita. Samada dengan tanggungjawab berkeluarga, pencarian nafkah, peningkatan akademik ke peringkat yang lebih tinggi, dan paling utama, tugasan dakwah yang diamanahkan kepada kita.


Pengurusan Kesibukan

Kesibukan yang ada adalah untuk kita rancangkan, bahagikan, melaksanakan dan menguruskan kesemuanya, bukan malah dengan kesibukan membuatkan kita makin longlai dalam trek dakwah. Pengurusan amanah sangat major keperluannya bagi insan yang ingin memasukkan agenda dakwah dalam  planner kehidupannya kerana mereka berbeza dengan manusia yang hanya ingin fokus dunia semata tanpa memikirkan masalah umat sejagat. Maka, perancangan dan pengurusan masa bagi pendakwah adalah perkara yang sangat penting bagi semua pendakwah. Ayuh manfaatkan masa untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti umat sekeliling.

Kesibukan dalam kebaikan itu merupakan sebuah rahmat, berbanding kesibukan dalam kemaksiatan yang merupakan sebuah laknat. Sudah lumrah dan kewajipan bagi para pendakwah untuk menyibukkan dirinya dengan hal-hal kebaikan agar jangan memberi peluang kerehatan apatah lagi kemaksiatan mengisi masa-masa terluang. Kita tiada lagi masa untuk bertunda hal kebaikan kerana kebatilan akan terus menerus mengambil peluang jika kita lambat ambil tindakan.

Mari para pejuang kebenaran, tidak perlu menunggu kita disibukkan dengan amal kebaikan, tapi biar kita yang sentiasa menyibukkan diri mencari amal kebaikan. Rancang dan susun masa kita sebaik mungkin. Letakkan dalam planner kehidupan beberapa perkara penting yang perlu dalam kawalan dan bukan selalu terlepas pandang. Rancang hari-hari bila masa untuk study, bila waktu membaca buku menambah tsaqafah, bila tempoh kita bersenam, bila detik kita merancang dakwah, bila ketika untuk kita berbisnes, dan bila ruang untuk kita hubungi dan ziarahi keluarga serta yang paling utama, bila untuk kita tingkatkan kuantiti dan kualiti ibadah kita.

Akhir sekali, jangan sampai kelemahan kita dalam mengurus kehidupan dan kesibukan kita menjadi penghalang untuk kita makin mendekat dengan Allah melalui medium ibadah-ibadah kita yang ikhlas hanya pada Allah semata. Ibadah-ibadah yang bukan hanya dalam skop sembahyang atau ibadat rutin lainnya, namun juga sebuah ibadah besar iaitu dakwah yang perlu kita sentiasa tingkatkan dan gencarkan demi cinta kita kepada Penguasa Hari Pembalasan.