Friday, November 1, 2013

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-23]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..

Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)



Nasihat Hari Ini : Sesalilah segala kesalahan yang kita lakukan di dunia, sebelum kita menyesal di alam seterusnya. 

Nasihat Hari Ini : Bernikah untuk bercinta lebih baik daripada bercinta untuk bernikah.

Nasihat Hari Ini : Kahwin muda tidak semestinya akan sengsara, begitu juga kahwin berusia tidak semestinya akan bahagia, kerana ia bergantung kepada pasangan yang berada dalam perkahwinan tersebut yang menentukannya.

Nasihat Hari Ini : Dosa untuk kita tinggalkan, Pahala untuk kita usahakan. Bukan Dosa untuk kita lakukan, Pahala untuk kita abaikan. Ayuh perlahan2 kita lakukan perubahan ke arah kebaikan.

Nasihat Hari Ini : Jangan nasihat diberikan hanya manis bicara, indah bahasa, namun keikhlasan hati tidak diikut serta.

Nasihat Hari Ini : Teori tanpa praktikal tidak bermakna, tapi praktikal tanpa teori juga bahaya. Begitulah juga ilmu tanpa amal adalah sia-sia, tapi beramal tanpa ilmu juga bahaya. Ayuh tingkatkan ilmu di dada dengan banyakkan membaca.

Nasihat Hari Ini : Syaitan akan menggunakan benda yang kita suka untuk menyesatkan kita. Semoga kita tidak tertipu dengan mainan musuh kita semua.

Nasihat Hari Ini : kita perlu fastabiqul khairat (berlumba2 ke arah kebaikan), bukan fastabiqul sayyi'at (berlumba2 ke arah kejahatan).

Nasihat Hari Ini : Harga seorang lelaki mahupun wanita bukan terletak pada harta atau kecantikanya, tapi terletak pada iman dan takwanya. Semoga kita mahal di sisi Allah itu jauh lebih utama.

Nasihat Hari Ini : Tegurlah dahulu menggunakan kelembutan sebelum terpaksa menggunakan kekerasan. Bukan terus menggunakan kekerasan sebelum dicuba dengan kelembutan.


Nasihat Hari Ini : Kita jangan hanya ingin menjadi pendengar ilmu yang setia, tapi tidak berusaha untuk menjadi penyampai ilmu yang setia.

Wednesday, October 30, 2013

Tadabbur Quran : Azab Pekak, Bisu & Buta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Tadabbur Ayat Dalam Halaqah

"InsyaAllah ana menjemput Akhi Fakhrullah untuk berikan sedikit tadabbur atas ayat yang kita bacakan tadi" M/C halaqah memainkan peranannya mengawal majlis halaqah semalam. 

Saya pun mencari ayat-ayat yang ingin bersama dihayati dan diambil pelajaran bersama semua ahli halaqah yang lain. Saya pun melihat satu ayat yang mungkin jarang diketengahkan dan nampak sangat ringkas jika tidak didalami lebih dalam lagi. Ayat tersebut adalah:

"Mereka tuli, bisu & buta, sehingga mereka tidak dapat kembali" [QS al-Baqarah, 2:18]

Dalam ayat ini jika kita perhatikan ayat-ayat sebelumnya adalah mengenai orang yang mempermainkan orang beriman dan mempermainkan keimanan dengan sifat munafik. Namun, dalam tadabbur kali ini, saya ingin membahaskan dalam skop yang lain iaitu dalam sudut dunia perubatan dan dalam pendidikan.

Dari Sudut Perubatan

Penyusunan daripada tuli -> bisu -> buta merupakan bukan susunan yang biasa-biasa diletakkan tanpa ada makna lain yang boleh kita dalami. Hukuman terhadap pancaindera tersebut kita boleh padankan dengan:

Pendengaran = Ditulikan
Percakapan = Dibisukan
Penglihatan = Dibutakan

Dalam kehidupan seseorang manusia, ia merupakan susunan pancaindera yang kita perolehi satu persatu. Bermula dengan pendengaran yang kita dapatkan sejak dari alam rahim lagi. Inilah hasil kajian dimana seseorang bayi memang sudah mampu mendengar sejak dari dalam perut lagi.

Setelah keluarnya bayi tersebut dari alam rahim, maka keluarkan tangisan yang memecahkan deria suara setiap manusia dan akhirnya dalam lebih kurang beberapa bulan, maka deria penglihatan mula diberikan.

Dahsyatnya penyusunan azab Allah SWT yang diselarikan dengan penyusuan deria yang Allah sendiri yang menyusunNya. Allahu Akbar. Dari pandangan perubatan juga, hampir 98% orang-orang yang tuli atau pekak pasti bisu kerana mereka tidak mampu tahu mereka ada suara sebenarnya kerana tidak mampu mendengar suara sendiri.

Pekak yang dibahagikan kepada dua jenis samada pekak secara mechanically atau neurologycally juga memainkan peranan samada boleh diubati atau tidak. Bahkan setakat ini, hanya pekak dari sudut mechanical yang mampu dibantu dengan menggunakan alat bantuan mendengar, berbeza dengan pekak dari sudut neurology atau saraf yang sangat-sangat sukar untuk diubati.

Dari Sudut Pendidikan

Kita juga ketahui kajian dari University of Philadelphia mengenai kaedah belajar samada auditory, visual atau kineshtatic dan antara kaedah paling berkesan sebenarnya adalah auditory kerana ia sudah mula beroperasi sejak kita di perut mak lagi. Sebab itu sangat dianjurkan ketika membaca sesuatu perkara agar boleh membacanya dengan suara bukan hanya membaca di dalam hati sahaja.

Hasil dari kajian ini, musuh-musuh Islam sangat bijak dalam mengalih perhatian kita melalui medium pendengaran dengan lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat-sangat melalaikan dan merosakkan. Bahkan mereka juga tahu deria awal manusia adalah pendengaran maka ia akan berusaha agar umat Islam tidak mendengar perkara-perkara sepatutnya seperti al-Quran, zikir, nasihat, dan sebagainya.

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Quran ini dan buatlah kekacauan terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka."[QS Fussilat, 41:26]

Saya yakin ramai antara kita sangat-sangat tertarik dengan lagu-lagu yang mengasikkan, tidak menjadi masalah jika ianya merupakan lagu yang mendidik jiwa, berbanding lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Namun jika ianya lagu yang mendidik jiwa, jangan juga terlalu berlebihan sehingga kita kurang mendengar ayat-ayat al-Quran samada dari pembacaan suara sendiri atau orang lainnya.

Ayuh umat Islam sekalian, bersama kita jaga pendengaran kita dari perkara-perkara yang merosakkan pemikiran kita juga nanti.

Monday, October 28, 2013

Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Salah Anak Atau Ibu Bapa?

Hari ini, kita banyak dikejutkan dengan kedahsyatan remaja dalam melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Perkara yang terkadang tidak pernah terlintas di fikiran kita anak-anak sekarang tergamak melakukan perkara sedemikian. Kebanyakan kita selalu melihat kesalahan ini terletak di tangan dan kaki anak-anak itu sendiri.

Namun, untuk perkongsian kali ini, ayuh kita melihat bahawa tidak semua kesalahan kita letakkan di riba anak-anak masa kini. Ibu bapa pada hari ini juga betapa dahsyatnya perilaku mereka kepada anak-anak mereka dewasa kini. Kes-kes seperti bapa merogol anak sendiri, ibu bapa mendera dengan dahsyat sekali, dan seribu satu lagi kes-kes yang mengakibatkan anak-anak menyimpan dendam lalu membalasnya semula di masa akan datang.

Itu merupakan contoh-contoh kes yang jelas-jelas berat di mata kita. Namun, kesalahan lain yang ramai memandang ringan terhadapnya, namun merupakan salah satu punca sebenar anak-anak makin liar & tidak terkawal akhlaknya adalah DIDIKAN ISLAM yang sangat-sangat-sangat kurang kepada mereka. Alasan yang selalu diberikan adalah ibu bapa tiada masa untuk anak-anak mereka, hanya fokus bekerja mencari wang ringgit semata-mata, akhirnya alasan oleh anak-anak pula dalam bertingkah laku yang buruk sekali adalah kekurangn kasih sayang.

Kita dapat lihat ibu bapa hanya membiarkan anak-anak mereka yang tidak menutup aurat, bergaul dengan kawan-kawan yang merosakkan akhlak, melihat video-video atau wayang-wayang yang mengajarkan perkara-perkara yang salah, meninggalkan solat, dan banyak lagi akhlak yang sangat buruk dimana bukan sahaja mereka membiarkan anak mereka melakukannya, tapi mereka sendiri melaksanakan.

Anak Perlu Balas Dendam?

Kita akui tidak semua anak lahir dalam keluarga yang mengaplikasikan Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Ada antara kita yang lahir dengan ibu bapa yang sekadar Islam tapi tidak pernah aplikasikan syariat Islam. Ibu bapa yang tidak sembahyang apatah lagi membaca quran dan semua ibadah wajib dan sunnah lainnya. Ibu bapa yang berjudi, meminum arak, pergaulan bebas, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Lalu, apakah tugas kita sebagai seorang anak? Mencontohi apa yang mereka lakukan? Membalas dendam terhadap apa tindakan yang dilakukan terhadap kita? atau kita berusaha memperbaiki diri dan seterusnya memperbaiki keluarga kita pula? Saya pasti, bagi anak yang tahu membezakan yang baik dan buruk, dan bagi anak yang tahu akan ada hari pembalasan di akhirat kelak, dia pasti ingin menyelamatkan dirinya dan keluarganya dari Api Neraka yang dahsyat.

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."[QS At-Tahrim, 66:6]

Dakwah Diri & Keluarga

Anak-anak pada hari ini mungkin ramai yang berterusan menjerumuskan diri dalam kancah dosa dan kemaksiatan. Namun, saya yakin ada anak-anak yang diberikan hidayah kepada Allah melalui pelbagai medium samada dari kawan-kawan, program-program, guru-guru atau bahkan melalui Halaqah atau Usrah. Sehingga anak-anak tersebut tersedar dari lena yang sangat panjang dalam rumah keluarga yang rosak poranda.

Anak-anak tersebut sedar bahawa dirinya dan keluarganya sangat-sangat jauh dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan. Mungkin dahulu tidak pernah tahu membaca al-Quran, selalu meninggalkan solat, tidak menutup aurat, melakukan banyak maksiat dan sebagainya, namun kini, dengan diri yang baru disinari cahaya Islam Allah SWT, anak tersebut ingin melakukan sebuah perubahan paradigma. Berhijrah dari segala kesalahan, keburukan dan kemaksiatan, kepada segala kebaikan, kebajikan dan amal ibadah. Atas rasa kasih sayang kepada keluarganya, anak tersebut juga ingin membawa keluarganya berhijrah bersama menuju hidayah Illahi.

Namun, perjuangan dalam mendakwahi keluarga ke jalan yang benar bukan suatu perkara yang mudah, ingin mengubah keluarga menjadi hamba Allah yang tidak pernah meninggalkan solat, rajin membaca al-Quran, dan melaksanakn segala perintah Allah lainnya perlukan sebuah semangat dan mujahadah yang penuh kesabaran dan ketabahan.

Kita berubah menjadi kesalahan?

Salah satu ujian yang paling awal dan utama kita hadapi adalah kesalahan kerana berubah menjadi seorang individu Islam yang sebenar? Ibu bapa bahkan ada yang marah ketika ada anaknya tiba-tiba memakai tudung apatah lagi bertudung labuh, tiba-tiba berakhlak mulia, rajin sembahyang, membaca quran dan segala amal kebaikan yang ingin kita lakukan. Pelik kan? Inilah yang berlaku ketika pandangan dunia diutamakan berbanding pandangan akhirat.

Belum lagi dengan kes anak-anak yang bukan hanya ingin  berubah menjadi individu islam yang baik, namun terdetik dirinya untuk mengubah dan mengajak juga orang lain samada kepada ahli keluarga dan umat Islam yang lain. Pasti ditentang juga oleh ibu bapa mereka bahkan ada yang dituduh mengikut ajaran sesat sebagai alasan untuk mereka meninggalkan amalan-amalan kebaikan.

Cerita ini saya nukilkan setelah ada beberapa individu bertanya dan berjumpa dengan saya dan menceritakan masalah yang mereka hadapi dalam melakukan perubahan dalam diri mereka dengan suasana keluarga yang tidak condusive dan tidak supportive. Ada individu yang mampu bertahan dengan ujian keluarga, ada juga yang menuruti sahaja perintah keluarga untuk kembali ke jalan keburukan.

Begitu juga pada ikhwah akhwat, mahupun semua individu yang kini ingin menanamkan benih Islam dalam diri sendiri dan dalam diri orang lain, terkadang kita hadapi ujian dari keluarga yang tidak setuju untuk kita mengutamakan Allah dan Rasul melebih segalanya. Namun, teruslah bersabar memberi kefahaman kepada mereka dan tunjukkanlah akhlak yang baik kepada mereka lalu dakwahilah mereka dengan penuh hikmah.

"Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik."[QS At-Taubah, 9:24]

Allah dan Rasul diutamakan, Keluarga tidak diabaikan

Ikhwah akhwat yang kini dalam jalan dakwah dan tarbiyyah perlu memahami bahawa walaupun kita sangat mencintai dan mengutamakan Allah, Rasul & Jihad, namun tidak bererti kita akan mengabaikan keluarga kita. Apatah lagi kalau ada yang hanya ingin mencintai & mengutamakan keluarga, namun mengabaikan Allah, Rasul & Jihad. Kerana ramai juga yang sanggup meninggalkan jalan dakwah dengan alasan keluarga.

Perlu kita hayati dan contohi kisah Mus'ab Bin Umair yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebih ibunya dan kisah Zaid Bin Haritsah yang mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi bapanya sebagai pembakar semangat untuk kita juga mengutamakan Allah, Rasul & Jihad melebihi segalanya.

Namun, sebagai seorang da'ie dan orang yang berusaha memahami dan mendalami Islam, pasti tidak akan tergamak mengabaikan keluarga tanpa usaha maksima. Kita pasti dengan kesibukan kita membantu Islam, namun tetap juga sentiasa mengingati mereka dalam doa kita. Kita juga pasti sangat-sangat berakhlak baik kepada mereka walaupun terkadang mereka kasar kepada kita. Bahkan sebenarnya, kita ingin menjadi anak yang soleh/solehah kepada mereka yang bukan hanya memberi kebaikan di dunia mereka, tapi bahkan di alam seterusnya.

Ibu bapa sekalian, semoga kita sangat mendidik, membantu dan menyokong anak-anak kita agar memang selalu melebihi & mementingkan Allah, Rasul & Jihad melebihi kita dan yang lainnya. Janganlah kita melebihi dan mementingkan diri sendiri berbanding kita juga mementingkan mereka mengejar cinta Illahi. Sepertimana Ummu Sulaim yang sangat bahagia ketika semua anaknya syahid mengutamakan Allah, Rasul & Jihad.

Wednesday, July 10, 2013

Cahaya Mata Di Bulan Ramadhan



Alhamdulillah..Allah bukan hanya memberikan keizinan dan peluang untuk merasai bulan Ramadhan..bahkan Allah memberikan hadiah & nikmat cahaya mata pada 1 Ramadhan..Baby adalah seorang Mujahidah/Syahidah/Mukminat/Muslimat/Perempuan/Girl..^.^..

Kami bergelar ABI & Umi pada 1 Ramadhan jam3.12 pagi tadi..Mohon doakan Baby, Umi & Abinya sentiasa dalam redha & lindungi Allah SWT..

InsyaAllah kenduri Aqiqah akan diinform kemudian..Rencana pada hari ke-7..if ikut ke-7 Ramadhan pada mggu dpn hari isnin lps maghrib..apa2 hal sy inform kemudian ya..yg pnting semua dijemput hadir..insyaAllah..

Nama baby? nanti akan diumumkan pada 7 Ramadhan ya..Syukran jazilan wa jazakumullahukhoiron katsira atas doa kalian..

p/s: Mohon sampaikan kepada semua keluarga, ikhwah akhwat & kawan2..jzkk

Tuesday, June 11, 2013

Bangunlah Gergasi Tidur!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



The Sleeping Giant

“The poison is injected
The giant is asleep
He’s chain into sections
To keep him off his feet
The mission is forgotten
The bond is getting weak
Wake up oh Muslim Ummah
Before we face the heat.”
(Sleeping Giant, Soldier of Allah)

Sebuah lagu yang mungkin ramai tidak tahu akan keberadaannya berbanding lagu-lagu sensasi dari artis-artis keduniaan semata sudah cukup menjadi bukti lirik lagu di atas yang menyatakan umat Islam sudah diracun sehingga tertidur dan terlena dalam buaian musuh Islam. Racun yang membuatkan ramainya umat Islam sehingga jumlahnya sebesar gergasi hanya tertidur lena sehingga terlupa akan misi utama umat Islam dan akhirnya ikatan umat Islam melemah saban hari.

Kita perhatikan isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam samada saudara di Palestine, Syiria, Rohingya, Filipina, Thailand, Kemboja, Sri Lanka, penghinaan karikatur Rasulullah SAW, Filem anti-Islam, dan banyak lagi penindasan dan penghinaan mengenai Islam namun sayangnya tidak ramai Umat Islam yang ada kesedaran dalam hati bahkan tidak peduli mengenai isu-isu ini.

Dimanakah pembuktian ayat "Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara"???, sabda Rasulullah SAW "Umat Islam umpama satu tubuh badan"???, "Umat Islam umpama sebuah bangunan"???, jika kita langsung tidak ingin mengambil tahu apatah lagi untuk membantu umat Islam lainnya??? Tidakkah kita ingat pesan Rasulullah SAW kepada kita:

"Tidak sempurna iman seseorang antara kamu sebelum kamu mencintai saudaramu, sepertimana kamu mencintai dirimu sendiri"[HR Bukhori Muslim]

Saya yakin kita tidak suka untuk disiksa apatah lagi dibunuh keluarga kita? Begitulah juga sepatutnya perasaan kita ketika perkara tersebut melanda umat Islam lainnya. Pernah atau tidak kita bayangkan, hayati dan tangisi betapa peritnya keadaan umat Islam yang disiksa umpama binatang? Dipatahkan kaki dan tangan, dirogol anak dan isteri bahkan dibunuh ahli keluarga di hadapan mata? Pepatah inggeris ada menyatakan, "Put yourself in their shoes" atau letakkan diri kita di tempat mereka, agar kita mampu berkongsi rasa apa yang dihadapi mereka.



Masalah utama yang menghalang kita untuk membuktikan hadis di atas adalah sikap pentingkan diri sendiri, individualistic atau "Ananiyyah" yang sangat tinggi. Istilahnya tidak mahu jaga tepi kain orang, sedangkan kita memang patut mengambil tahu dan prihatin kepada saudara Islam yang lain. Ayuh selepas ini kita pastikan sentiasa mengambil tahu info terkini umat Islam, sebarkan info tersebut lalu lakukan sebuah tindakan dalam bentuk sumbangan tenaga dan harta serta doa yang kita lantunkan.

Hujan Peluru Di Negara Orang, Hujan Maksiat Di Negara Sendiri

Jika negara lain dilanda ujian dalam bentuk penindasan umat Islam, negara kita pula dilanda ujian dahsyatnya kemaksiatan. Jika dalam post saya yang lepas (6 Anak Luar Nikah / Jam) ada kongsikan statistik anak luar nikah, kali ini saya kongsikan statistik individu yang melakukan perzinaan untuk mendapatkan statistik anak luar nikah tersebut.


Pada tahun 2000-2008, seramai 257,411 anak luar nikah yang didaftarkan, dan pasti memerlukan lelaki dan wanita yang melakukan perzinaan iaitu sebanyak 514,822 pelaku zina dalam masa 8 tahun. Kita buat perkiraan untuk mendapatkan angka dalam masa sehari kita akan dapati 176 orang berzina setiap hari. Dahsyatnya kemaksiatan!

Adakah Malaysia makin beriman? Statistik seterusnya pada tahun 2008-2010, anak luar nikah sebanyak 152,182 yang juga bermaksud seramai 304,364 pelaku zina dalam tempoh itu. Perkiraan statistik untuk sehari pula kita akan dapati 278 pelaku zina setiap hari. Makin dahsyatnya kemaksiatan! Ini baru satu isu kemaksiatan yang berlaku di Malaysia dan banyak lagi isu-isu kerosakan umat Islam seperti murtad, perceraian, hedonisme, dan lainnya.

Saya kongsikan perkara ini bukan untuk memburukkan mereka, tapi berbalik kepada kita semua umat Islam untuk mengasihani dan mengambil peduli terhadap mereka. Umat Islam di negara kita perlu diselamatkan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh Al-Aulawiyat (Fiqh Keutamaan) beliau mengatakan:

"Kita lebih perlu mengislamkan orang islam dahulu daripada mengislamkan yang bukan islam"

Bangunlah Gergasi Islam!!!

Apa yang perlu kita lakukan setelah mengetahui dan menyedari keadaan dunia Islam hari ini? Dalam buku yang bertajuk "Tariq ad-Dakwah" yang dikarang oleh Syeikh Mustafa Mahsyur, beliau memberikan sebuah perumpaan yang sangat menarik untuk kita fikirkan.

"Umat Islam hari ini umpama manusia yang sedang tidur dalam rumah yang sedang terbakar, lalu ada diantara mereka yang telah bangun dan sedar bahawa rumah sedang terbakar dan ingin mengejutkan manusia lainnya daripada terbakar"

Itulah yang harus kita lakukan, mula dengan letakkan kesedaran dan perubahan dalam diri, lalu kita kejutkan saudara-saudari seislam lainnya yang sedang lena dibuai mimpi dunia. Jika kita tidak kejutkan diri kita dan orang lain, maka kita akan berada dalam rumah yang terbakar, api Neraka.

Setiap individu ada peranannya masing-masing dalam merealisasikan bangkitnya gergasi Islam. Bermula dari diri sendiri untuk bermujahadah melawan hawa nafsu dan bisikan syaitani, ibubapa yang harus menggalakkan dan bukan melarang anak-anak mereka mempelajari ilmu agama, masyarakat yang harus prihatin menegur perlakuan salah walaupun bukan anak mereka dan akhirnya kita harapkan pemimpin yang mampu menegakkan hukum Islam di dalam pemerintahan secara bertahapan disertai dengan kefahaman kepada seluruh rakyat.


Ayuh umat Islam, jumlah kita yang ramai jangan hanya menjadi buih-buih yang mudah pecah bila diuji. Tingkatkan lagi keimanan dan amal kebaikan kita semua lalu bersama menjadi Khairah Ummaah (umat yang terbaik) yang menyeru kepada kebaikan serta mencegah dari kemungkaran sebagai pembuktian iman kita kepada Allah SWT.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah."[QS al-Imran, 3:110]

3 Golongan Umat Islam

Umat Islam hari ini saya perhatikan tergolong dalam 3 golongan:

1. Umat islam yang memburukkan Islam
2. Umat Islam yang hanya ingin menjaga Islam dalam diri.
3. Umat Islam yang ingin menjaga Islam dalam diri dan mendakwahkannya kepada orang lain.

Golongan pertama kita mampu melihat orang Islam namun seperti bukan orang Islam yang tidak mempraktikkan Islam dalam kehidupan bahkan mengamalkan budaya rosak dalam kehidupan yang pasti melemahkan kekuatan Islam. Golongan kedua pula merasa cukup untuk menjaga Islam di dalam diri sendiri sahaja.

Manakala golongan ketiga adalah orang islam yang mencintai Islam dan sanggup memperjuangkan Islam demi mengembalikannya di puncak kegemilangan. Anda ingin berada di golongan yang mana? Tepuk dada tanya iman. Semoga post kali ini mampu membangkitkan kesedaran dan semangat semua Umat Islam untuk berganding bahu dan bangkit umpama gergasi yang sangat kuat lalu menghancurkan musuh-musuh Islam semuanya. InsyaAllah.

Sunday, April 28, 2013

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod 21]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Freshie (Graphic Designer Synergy Media Sdn. Bhd.)






Nasihat Hari Ini : Mencintai seseorang akan membuatkan kita sanggup berkorban untuknya dan tidak akan pernah menyakiti hatinya. Mencintai Allah sepatutnya lebih sanggup kita berkorban melaksanakan semua perintahnya dan jangan sesekali berani menyakiti-Nya dengan melanggar larangan-Nya. Ayuh buktikan cinta kita kepada-Nya.


Nasihat Hari Ini : Nikmat disedari dan disyukuri ketika telah hilang dari sisi, semoga kita perbaiki perkara ini agar tidak menyesal di kemudian hari.

Nasihat Hari Ini : Tidak ramai ketika diuji kemiskinan tapi tetap bersyukur dengan apa yang tersedia. Lebih teruk lagi ketika diuji dengan kecukupan bahkan kemewahan namun tetap tidak bersyukur dengan apa yang ada.

Nasihat Hari Ini : Don't just plan the work, but not work the plan. Jangan hanya merancang kerja, tapi tak kerjakan rancangan tersebut. Lets plan the work and work the plan. Mari merancang kerja kita, dan kita mengerjakan rancangan kita.

Nasihat Hari Ini : Bagai ikan pulang ke lubuk, begitu juga manusia akan pulang ke kubur, ikan pulang membawa bekalan, semoga bekalan juga kita dipersiapkan.

Nasihat Hari Ini : Al-quran bukan makmum, tapi adalah imam.

Nasihat Hari Ini : Al-quran bukan sekadar perlu diterjemah kepada banyak bahasa, tapi perlu diterjemah kepada amal perbuatan.

Nasihat Hari Ini : Carilah pertemuan-pertemuan yang mampu menaikkan semangat kita untuk berjihad dalam jalan kebaikan, bukan pertemuan-pertemuan yang mengobarkan semangat kita untuk berjahat di jalan kebatilan.

Nasihat Hari Ini : Memang ramai umat Islam, tapi tak ramai yang faham islam dan tak ramai yang mengamalkan islam. Semoga kita perbaiki islam dalam diri dan umat islam yang lain.

Nasihat Hari Ini : Ada yang mempunyai kemahuan tapi tiada kemampuan untuk melakukan kebaikan, namun yang lebih teruk adalah yang mempunyai kemampuan tapi tiada kemahuan untuk melaksanakan kebaikan. Ayuh tingkatkan kemahuan dan kemampuan kita dalam berbuat kebaikan.

Nasihat Hari Ini : HALAL itu jauh lebih baik dari yang HARAM & PAHALA itu jauh lebih baik dari DOSA. Kita tahu hakikat ini tapi mengapa tidak kita peduli?

Nasihat Hari Ini : Kekuatan berada di jalan kebaikan bukan hanya dilihat dengan kekuatan fizikal atau kekuatan akal tapi kekuatan hati di dalam dada.

Friday, March 29, 2013

Luar Dari Biasa


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Latihan Luar Dari Biasa

Luar dari biasa? Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan kenyataan ini? Sebenarnya, luar dari biasa adalah satu perkara atau tindakan yang luar dari kebiasaan kita lakukan. Sebagai contoh yang mudah, saya minta izin kepada semua pembaca untuk sama-sama memberikan kerjasama untuk melaksanakan latihan yang akan saya terangkan selepas ini. Minta semua pembaca membuat mengikut apa yang saya katakan ya..
  1. Sila sediakan kertas & pensel/pen dihadapan laptop/dekstop anda..Sudah? Ok..
  2. Sila pegang pensel/pen tersebut lalu tulis perkataan "Luar Dari Biasa" di atas kertas yang anda sediakan..
  3. Sekarang tukar kedudukan pensel/pen kepada sebelah tangan yang satu lagi. Jika tadi anda menulis menggunakan tangan kanan, tukarkan kepada tangan kiri dan begitu juga sebaliknya..faham?..ok..bagus3..
  4. Sekarang, gunakan tangan yang dah kita tukar tadi dan tulis di row seterusnya perkataan "Luar Dari Biasa"..Mungkin tulisan kita akan makin buruk..tidak mengapa, yang penting tulis sahaja dulu..Sudah
  5. Sekarang, pensel/pen masih lagi di kedudukan tangan yang dah ditukar tu, tulis lagi ayat yang sama sebanyak 4 kali..ok..tulis sekarang..dah?
  6. Akhir sekali, gunakan otak fikiran kita untuk berfikir apa ibrah atau pengajaran yang boleh kita ambil dari aktiviti latihan yang mudah ini.
Saya yakin, setiap kita ada ibrah-ibrah yang kita terfikir daripada aktiviti ini, kerana memang terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil dari pelbagai sisi. Namun untuk perkongsian kali ini, ayuh kita hayati salah satu ibrah yang penting terhadap aktiviti tadi.

Permulaan aktiviti tadi, saya menyuruh para pembaca menulis menggunakan tangan yang biasa kita gunakan untuk menulis. Kemudian, saya meminta kita menukar tangan yang tidak biasa kita gunakan untuk menulis bagi menulis perkataan yang sama berulang kali. Pada kali pertama mungkin agak janggal bin pelik corak dan font tulisan kita itu, namun setelah beberapa kali kita ulang, akhirnya makin terbiasa untuk menggunakan tangan yang satu lagi itu untuk menulis.

Inilah hikmah yang ingin saya sampaikan dari aktiviti tadi, latihan untuk mengubah sebuah kebiasaan kepada perkara yang tidak biasa atau luar dari biasa kita lakukan. Permulaannya memang payah, namun setelah diulang dan diulang akhirnya kita pasti boleh membiasakannya, ingatlah, semua benda bermula dengan perkara yang kita tidak biasa lakukan, namun setelah melakukannya berulang kali, maka ia menjadi benda yang sudah sebati dalam hidup kita.

Kebiasaan Negatif kepada Kebiasaan Positif

Perkara paling utama untuk kita ubah adalah kebiasaan-kebiasaan negatif kepada perkara positif. Sebagai contoh, mungkin kita adalah orang yang dah biasa bangun lewat, sekarang, cuba ubah kebiasaan tersebut kepada bangun lebih awal bahkan mampu untuk tahajjud dan solat subuh berjemaah pula. Memang mula-mula kita tidak biasa, namun akhirnya yakinlah ia akan menjadi kebiasaan dalam hari kita untuk bangkit lebih awal dari sebelumnya.

Pengaplikasian konsep "Luar Dari Biasa" ini mampu kita aplikasikan di semua aspek kehidupan kita. Tidak biasa membaca al-Quran, maka ayuh kita membiasakan membacanya. Tidak biasa solat sunat tahajjud, maka biasakanlah. Tidak biasa tidak merokok, maka biasakanlah tidak merokok. Tidak biasa menutup aurat dengan sempurna, maka biasakan memakai pakaian yang melindungi aurat kita. Tidak biasa buat kebaikan, maka biasakanlah. Tidak biasa untuk bersedeqah atau berwakaf, maka biasakanlah. Terlalu banyak perkara-perkara kebaikan yang kita tidak biasa lakukan, maka ayuh bersama-sama kita tingkatkan kebiasaan kita untuk makin banyak melaksanakan kebaikan pula.

Gambar Hiasan..Hehe..

Sekali lagi, mengambil ibrah aktiviti di atas tadi, memang mula-mula agak payah untuk membiasakan, namun setelah kita ulang & ulang, maka pasti kita akan biasa melaksanakannya. Bahasa pyschology memanggilnya "Repeatition Power" = "Kuasa Mengulang", sepertimana juga dalam surah ke-17 ayat ke-41 yang menyatakan perkara yang kita ulang dan ulang akan membuatkan kita makin ingat perkara tersebut.

Kebiasaan Bagi Para Da'ie

Tidak lengkap kiranya perkongsian-perkongsian yang saya berikan tidak menyentuh dengan istimewa kepada semua yang bergelar da'ie atau yang ingin menjadi da'ie. Mari kita sedari bersama, memang permulaan jalan tarbiyyah dan dakwah kita dipenuhi dengan perkara-perkara yang tidak biasa kita lakukan, namun akhirnya, berbekalkan niat dan kesungguhan yang tinggi, akhirnya kita pasti mampu dengan gagahnya menapak di jalan ini bahkan menjadi kebiasaan bagi kita untuk melaksanakan tugas-tugas seorang da'ie.

Jika sebelum ini kita tidak biasa untuk berkoban, maka kita jadikan kebiasaan untuk berkorban sana dan sini demi menyebarkan kalimat Illahi. Jika selama ini kita tidak biasa bercakap dan menyeru manusia perihal kebaikan, maka jadikan kebiasaan untuk sentiasa kita mencari peluang untuk mendakwahkan kebaikan dan perjuangkan kebenaran. Jika selama ini kita dah biasa tidak disiplin dan sering bertangguh melaksanakan tugasan, maka ayuh biasakan diri untuk disiplin dan proaktif menyiapkan tugasan kita.

Akhir sekali buat para da'ie, jangan biasakan diri kita memberikan alasan itu dan ini, nescaya ia akan makin mengakar di dalam hati, dan akhirnya kita yang menjadi da'ie yang tidak berkualiti. Mari biasakan diri kita agar sentiasa mencari jalan dan bukan memberikan alasan, diberikan satu pengarahan atau tugasan, berfikir dengan sebaik mungkin untuk mencari jalan yang terbaik dalam melaksanakannya. InsyaAllah.

Latihan Otak Kiri & Otak Kanan

Perbahasan mengenai kebiasaan dalam konteks attitude atau sikap telah puas kita menyentuhnya sebentar tadi, semoga semua pembaca dapat aplikasikan di pelbagai lagi bidang kebaikan untuk kita melaksanakan perkara "Luar Dari Biasa". Kali ini, sedikit perkongsian lain dalam konteks yang lain, melakukan sebuah perkara yang kita tidak biasa sebenarnya merangsang, mengasah dan melatih otak kita yang satu lagi.

Contoh latihan yang mudah adalah memberus gigi menggunakan tangan yang tidak biasa kita lakukan, memakai jam tangan di tangan yang yang lain, dan banyak lagi perkara-perkara yang boleh kita ubah sebagai langkah melatih kedua-dua otak kita mencapai tahap kecerdasan yang tinggi.

Semoga sedikit perkongsian kali ini mampu memberikan solusi terhadap perkara-perkara negatif yang kita hadapi. Wallahu'alam..

Friday, March 22, 2013

Rasa Penting VS Tindakan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Mendalami "Rasa Penting"

"Merasa penting sesuatu perkara adalah berkadar terus (directly proportional) dengan kuantiti dan kualiti tindakan kita" atau dalam erti kata lain, makin kita anggap sesuatu perkara itu sangat penting, akan membuatkan kita membuat tindakan yang semaksimanya terhadap perkara tersebut. Jika ada tindakan kita yang kurang terhadap sesuatu perkara, bermakna kita tidak menganggap penting terhadap perkara tersebut.

Inilah topik yang ingin kita bahaskan bersama kali ini agar mampu memberikan impak yang maksima dalam diri kita dalam menghadapi pelbagai perkara dalam kehidupan kita. Merasa kepentingan terhadap sesebuah perkara adalah salah satu kekuatan dan motivasi dalaman yang mampu memberikan kesan yang luar biasa terhadap penghasilan sesebuah perkara tersebut. Ayuh mulakan dengan merasa penting untuk membaca dan memahami perkongsian "Rasa Penting VS Tindakan" yang ingin saya nukilkan ini..^.^..

Rasa Penting Membuahkan Tindakan

Kita makan dan minum semua kerana kita merasa pentingnya untuk makan & minum. Ini antara analogi mudah yang menunjukkan rasa penting membuahkan tindakan, kerana jika kita tidak merasa pentingnya makan & minum sebagai asas dalam kehidupan kita, maka kita tidak akan makan dan minum untuk meluruskan tulang belakang kita bagi melakukan pelbagai aktiviti harian, mingguan, bulanan, tahunan, abadan atau kurunan kita..hehe..harap contoh yang mudah ini mampu kita hadam sebaik mungkin.

Antara contoh kesan tidak merasa penting terhadap sesuatu perkara adalah seperti berikut (maaf jika ada yang terasa):

  1. Tidak memakai helmet atau tali pinggang keselamatan sedangkan ia penting untuk keselamatan
  2. Tidak berhenti merokok sedangkan ia memberi impak negatif kepada diri dan sekeliling
  3. Tidak menjaga kebersihan diri sehingga nanti sakit menyusahkan diri dan orang sekeliling.
  4. Tidak merasa penting untuk berjimat sehingga habis duit baru mencari.
  5. Tidak merasa penting untuk jaga pemakanan sampai penyakit mendatang tiada henti.
  6. Tidak merasa penting akan akademik kita sehingga keluar keputusan baru timbul penyesalan.
  7. Tidak merasa penting untuk bekerja bersungguh-sungguh sehingga dipotong gaji di akhir bulan.
dan banyak lagi sebenarnya contoh-contoh yang saya pasti kita semua boleh senaraikan kerana kita sendiri yang mengalami. Itu kalau kita perhatikan pengaplikasian "Rasa Penting" dalam aspek kehidupan dunia kita. Namun, ada perkara yang jauh lebih utama untuk kita merasa kepentingannya yang bersangkut paut masa depan kita di alam seterusnya, akhirat.

"Rasa Penting" Dalam Keimanan

Merasa penting dalam beriman amat perlu kita tekankan dan tanamkan dalam hati dan minda kita bersama. Ramai antara kita yang tidak merasa penting untuk beriman yang akhirnya membuahkan tindakan yang sangat salah sehingga mengabaikan dan membiarkan iman terus jatuh di bawah garis kemiskinan. Sedangkan kita tahu hari pembalasan pasti kan ada terhadap semua tindakan kita di alam dunia fatamorgana.

Cukuplah ada antara kita yang tidak merasa penting untuk solat sebaiknya sehingga kita solat sambil lewa sehingga tiada ruh dalam solat kita, lebih keruh lagi ada yang sanggup meninggalkan solat sedangkan amalan pertama yang menjadi penentu buruk dan baiknya amalan kita lainnya adalah solat!

Cukuplah merasa tidak penting untuk menutup aurat sehingga mengundang diri dan orang lain mendekati perzinaan pelbagai sisi (mata, telinga, hati, tangan & kemaluan). Tingkatkanlah standard aurat kita sebagai lambang mahalnya seorang insan beriman. Bukannya merendahkan martabat kita sehingga terlalu mudah untuk enak dimakan begitu sahaja.

Ayuh kita aplikasikan rasa kepentingan dalam pelbagai ibadah kita seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, membayar zakat, berinfak atau berwakaf, dan banyak lagi ibadah-ibadah kita yang lain. Jika ada ibadah yang sedia ada kita lakukan, maka tingkatkan lagi rasa kepentingannya agar bertambah kualitinya, dan jika ada yang belum kita laksanakan, maka tingkatkanlah rasa kepentingan untuk melakukannya kerana keyakinan kita terhadap hari pembalasan.

Aplikasi "Rasa Penting" Fi at-Tariq ad-Dakwah (Jalan Dakwah)

Perkongsian istimewa untuk semua ikhwah dan akhwat tidak kisah dari jemaah apa sahaja, mari kita tingkatkan lagi rasa kepentingan terhadap dakwah kita semua yang menuju kepada satu matlamat yang sama, iaitu redha Allah semata. Jika masih ada antara kita yang tidak bersungguh-sunguh dalam jalan dakwah, sebenarnya itu adalah bukti kita tidak merasa penting untuk berdakwah!!! Apatah lagi orang-orang yang meninggalkan dakwah, memang langsung tidak merasa pentingnya melaksanakan perintah dakwah dari Allah SWT!!! Sekadar tahu pentingkan diri sendiri dan mengorbankan kepentingan agama Illahi.

Mungkin ada antara kita tidak merasa penting untuk bersilaturrahim, mentajmi', berusaha ada anak usrah/halaqah atau memberikan tazkirah dan ceramah kepada umat Islam khususnya sehingga tindakan kita biasa-biasa sahaja atau kelihatan jelas rendahnya semangat kita dalam melaksanakannya!!!

Pengarahan-pengarahan dakwah dan amanah-amanah dakwah yang diberikan kepada kita perlu kita rasa pentingnya samada sekecil-kecil atau sebesar-besar perkara agar kita bertindak semaksima yang mungkin. Perkara ini saya timbulkan kerana saya melihat masih ada pejuang-pejuang kita masih sekadar melepaskan betuk di tangga dalam menggalas amanah yang diberikan kepada mereka. Melaksanakan dan menyiapkan tugasan atau pengarahan secukup rasa sahaja dan bukannya sesedap rasa. Harap kita perbaiki perkara ini demi kepetingan dakwah ini.

Perkara terakhir yang tidak ketinggalan adalah hubungan kita dengan Allah SWT. Saya yakin kita semua tahu kepentingan menjaga amanah Allah namun terkadang tidak terbukti dengan tindakan kita pula. Mutabaah Ibadah kita yang lebih banyak turun bukit berbanding naik ke puncak bukit, ini semua perkara yang perlu kita baiki sekarang juga!!! Jangan lagi bertangguh untuk merasa kepentingan terhadap perkara-perkara yang kita sudah tahu kebaikannnya!!!

Rasa Pentingkan Diri?

Akhir dari perkongsian kali ini, rasa pentingkan diri??? Ini sikap yang bukan sinonim dengan rasa penting yang kita bahaskan sebentar tadi. Kita dalam Islam hidup dalam persaudaraan dan tidak mementingkan diri sendiri tidak kira tua-muda, miskin-kaya, orang atasan-bawahan, dan ragam-ragam lainnya, itulah indahnya Islam. Hasil tidak mementingkan diri sendiri bukan hanya berlaku adil sesama kita, bahkan ada yang sanggup melebihkan (itsar) demi saudara seislamnya. Wallahu'alam.