Wednesday, October 30, 2013

Tadabbur Quran : Azab Pekak, Bisu & Buta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Tadabbur Ayat Dalam Halaqah

"InsyaAllah ana menjemput Akhi Fakhrullah untuk berikan sedikit tadabbur atas ayat yang kita bacakan tadi" M/C halaqah memainkan peranannya mengawal majlis halaqah semalam. 

Saya pun mencari ayat-ayat yang ingin bersama dihayati dan diambil pelajaran bersama semua ahli halaqah yang lain. Saya pun melihat satu ayat yang mungkin jarang diketengahkan dan nampak sangat ringkas jika tidak didalami lebih dalam lagi. Ayat tersebut adalah:

"Mereka tuli, bisu & buta, sehingga mereka tidak dapat kembali" [QS al-Baqarah, 2:18]

Dalam ayat ini jika kita perhatikan ayat-ayat sebelumnya adalah mengenai orang yang mempermainkan orang beriman dan mempermainkan keimanan dengan sifat munafik. Namun, dalam tadabbur kali ini, saya ingin membahaskan dalam skop yang lain iaitu dalam sudut dunia perubatan dan dalam pendidikan.

Dari Sudut Perubatan

Penyusunan daripada tuli -> bisu -> buta merupakan bukan susunan yang biasa-biasa diletakkan tanpa ada makna lain yang boleh kita dalami. Hukuman terhadap pancaindera tersebut kita boleh padankan dengan:

Pendengaran = Ditulikan
Percakapan = Dibisukan
Penglihatan = Dibutakan

Dalam kehidupan seseorang manusia, ia merupakan susunan pancaindera yang kita perolehi satu persatu. Bermula dengan pendengaran yang kita dapatkan sejak dari alam rahim lagi. Inilah hasil kajian dimana seseorang bayi memang sudah mampu mendengar sejak dari dalam perut lagi.

Setelah keluarnya bayi tersebut dari alam rahim, maka keluarkan tangisan yang memecahkan deria suara setiap manusia dan akhirnya dalam lebih kurang beberapa bulan, maka deria penglihatan mula diberikan.

Dahsyatnya penyusunan azab Allah SWT yang diselarikan dengan penyusuan deria yang Allah sendiri yang menyusunNya. Allahu Akbar. Dari pandangan perubatan juga, hampir 98% orang-orang yang tuli atau pekak pasti bisu kerana mereka tidak mampu tahu mereka ada suara sebenarnya kerana tidak mampu mendengar suara sendiri.

Pekak yang dibahagikan kepada dua jenis samada pekak secara mechanically atau neurologycally juga memainkan peranan samada boleh diubati atau tidak. Bahkan setakat ini, hanya pekak dari sudut mechanical yang mampu dibantu dengan menggunakan alat bantuan mendengar, berbeza dengan pekak dari sudut neurology atau saraf yang sangat-sangat sukar untuk diubati.

Dari Sudut Pendidikan

Kita juga ketahui kajian dari University of Philadelphia mengenai kaedah belajar samada auditory, visual atau kineshtatic dan antara kaedah paling berkesan sebenarnya adalah auditory kerana ia sudah mula beroperasi sejak kita di perut mak lagi. Sebab itu sangat dianjurkan ketika membaca sesuatu perkara agar boleh membacanya dengan suara bukan hanya membaca di dalam hati sahaja.

Hasil dari kajian ini, musuh-musuh Islam sangat bijak dalam mengalih perhatian kita melalui medium pendengaran dengan lagu-lagu dan muzik-muzik yang sangat-sangat melalaikan dan merosakkan. Bahkan mereka juga tahu deria awal manusia adalah pendengaran maka ia akan berusaha agar umat Islam tidak mendengar perkara-perkara sepatutnya seperti al-Quran, zikir, nasihat, dan sebagainya.

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Quran ini dan buatlah kekacauan terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka."[QS Fussilat, 41:26]

Saya yakin ramai antara kita sangat-sangat tertarik dengan lagu-lagu yang mengasikkan, tidak menjadi masalah jika ianya merupakan lagu yang mendidik jiwa, berbanding lagu-lagu yang merosakkan jiwa. Namun jika ianya lagu yang mendidik jiwa, jangan juga terlalu berlebihan sehingga kita kurang mendengar ayat-ayat al-Quran samada dari pembacaan suara sendiri atau orang lainnya.

Ayuh umat Islam sekalian, bersama kita jaga pendengaran kita dari perkara-perkara yang merosakkan pemikiran kita juga nanti.

No comments: