Wednesday, March 23, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian V)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..



Nasihat Hari Ini : Nilai-nilai ukhuwah terbukti ketika sanggup susah bersama-sama..Kerana kebanyakan ketika senang, ramai ingin bersama-sama merasainya..Namun bila datangnya kesusahan, berapa ramai sanggup menemaninya?Mari bina, pupuk & kuatkan ukhuwah sesama kita..insyaAllah..


Nasihat Hari Ini : Ubat yang diberikan doktor tidak memberikan kesan jika kita tidak memakannya. Begitu juga, ubat-ubat nasihat yang diberikan kepada kita, bukan hanya sekadar untuk dibaca, tapi untuk kita mengamalkannya.


Nasihat Hari Ini : Setiap kita memiliki sesuatu yang dicintai. Namun ketika sampainya kematian, apa yang dicintai akan ditinggalkan. Maka mari jadikan sesuatu yang kita cintai itu adalah amal kebaikan, kerana ia akan tetap menemani kita selepas kematian..


Nasihat Hari Ini : Jangan biarkan emosi mengawal pemikiran, biarkan pemikiran yang mengawal emosi.


Nasihat Hari Ini : Mari muhasabah kembali diri kita, hisab kembali perlakuan kita, sebelum Allah yang menghisab kita kelak. Manfaatkan masa yang diberikan kepada kita seoptimumnya, kerana waktu semalam sudah bukan milik kita lagi, esok hari yang belum tentu kita dapati. waktu sekaranglah yang ada di tangan untuk kita manfaati.


Nasihat Hari Ini : Mengamalkan sunnah Rasulullah lambang pembuktian kita bahawa baginda Qudwah dan Uswah. al-Quran dan Sunnah tali kebenaran sepanjang masa yang mengelak dari jatuh ke lembah kesesatan. Peganglah tali al-Quran dan Sunnah itu dan jangan biarkan ia terlepas dari tangan kita.


Nasihat Hari Ini : Ketika matinya ahli keluargamu kamu tangisi, matinya perniagaanmu kamu tangisi, matinya keduniaanmu kamu tangisi, tapi mengapa matinya agamamu tidak kamu tangisi?


Nasihat Hari Ini : Bangunlah dari tidur panjangmu, basuhlah wajahmu dengan air kesedaran, lalu cermin kembali siapa dirimu, agar kau sedar siapa dirimu, apa tujuanmu dan kemana destinasimu.


Nasihat Hari Ini : Orang yang masuk tarbiyyah itu biasa, yang masuk dan kekal yang luar biasa, semoga tergolong dalam kalangan yang istiqomah di jalan-Nya.


Nasihat Hari Ini : Bukan keikhlasan ditunggu baru beramal, tapi harus beramal dahulu untuk membina keikhlasan.


Nasihat Hari Ini : Terkadang kita mendapat sesuatu yang tidak disukai, tapi belajarlah untuk menyukai apa yang kita dapati, pasti ada hikmah disebalik anugerah illahi.


Nasihat Hari Ini : Kita diciptakan bukan untuk hidup di dunia, tapi untuk kekal di akhirat, maka fikirkanlah dunia dan akhirat, lalu dahulukan mana yang utama, ingin kekal bahagia di syurga, atau kekal merana di neraka?

Saturday, March 19, 2011

Dakwah Fire Drill

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Fire Drill @ UTP

Di keheningan awal pagi di UTP, kebingitan bunyi loceng memecahkan suasana damai dan tenang warga UTP, spesifiknya di kawasan hostel bahagian Village 3 dan Village 4. Jam menunjukkan lebih kurang 4 pagi. Loceng yang berbunyi ramai seperti tidak dihiraukan kerana sebelum ini ia banyak kali berbunyi walaupun tiada tanda-tanda kebakaran berlaku, namun berbezanya kali ini ianya disertakan dengan teriakan memanggil 'Run for your life'..'All gather at assembly point'..'wake-up..wake-up'..dan banyak lagi trend seruan bagi menyedarkan penghuni hostel yang pasti dalam keadaan yang nyenyak tidurnya.

Dakwah atau seruan fire drill tidak cukup hanya dengan teriakan, namun bising dengan bunyi ketukan pintu ke pintu dan bunyi larian menuju ke tempat berkumpul yang telah ditetapkan jika berlaku apa-apa bencana yang tidak diingini. Kelihatan juga segolongan manusia yang penuh semangat mengetuk dan mengejutkan kawan-kawan se-bloknya dengan muka yang cemas. Ada juga yang sempat packing barang-barang yang berharga untuk dibawa keluar, ada yang masih santai menggosok-gosok matanya sambil berjalan, dan banyak lagi ragam yang mampu kita perhatikan.

Setiba di tempat berkumpul, kelihatan kenderaan bomba sudah siap berada di sana. Lampu kecemasan turut dihidupkan. Kehadiran turut diambil dalam fire drill kali ini. Semua penghuni hostel berpusu-pusu menuju ke sini, dengan fesyen pakaian tidur yang pelbagai gabungannya. Ini adalah fire drill kali ke-2 sepanjang saya berada di UTP selama hampir 3 tahun lebih di medan menuntut ilmu ini.

Pihak bomba mula menarik perhatian kebisingan suasana kepada mereka ketika mula memberi salam. Perkara pertama dia nyatakan :

"fire drill kali ini anda semua gagal!, kerana sepatutnya perlu keluar dari bilik dalam masa 2-3 minit sahaja..ini kebanyakan 20-30 minit..saya hanya melihat lebih kurang 10 orang yang menepati masa kecemasan bagi mengosongkan bangunan jika dilanda kebakaran.."

Pelbagai Ragam Mad'u

Mari kita ambil pengajaran dari peristiwa dakwah fire drill di atas dengan mengaitkan kepada dakwah kepada Allah. Sudah pasti ketika menyeru penghuni hostel untuk bangun dari lena yang panjang amat-amat sukar, walaupun ada sebilangan kecil yang mudah untuk dikejutkan. Ada yang mendengar loceng sahaja ia terus bangkit dari tidurnya, ada juga yang ketika diketuk pintu biliknya baru mampu terbangun, ada juga perlu digerakkan sedikit sudah mampu untuk sedar, ada yang perlu digerakkan berkali-kali baru terbangun dan ada juga yang habis tenaga digerakkan namun tidak juga bangun dari tidurnya.

Begitu juga kita dalam mendakwahi manusia bagi menyedarkan mereka hakikat kehidupan. Pasti banyak juga ragamnya, ada yang ketika kita beri sedikit peringatan dia telah sedar, ada yang perlu diingat berkali-kali baru dia mampu sedar, ada juga diingatkan berkali-kali tidak juga sedar-sedar bahkan ada juga kita beri peringatan dia bahkan melawan kembali.

Dalam sisi yang lain pula, mari menyentuh mengenai kaedah yang diguna-pakai bagi mengejutkan dari tidur yang panjang. Ada cukup menggunakan suara, ada yang perlu diketuk pintunya, ada yang perlu digerakkan dan sebagainya. Sekali lagi, begitu juga dalam dakwah kepada Allah, ada yang mungkin cukup dengan mendengar tazkirah, ceramah atau lagu nasyid islamik. Ada pula perlu diberikan tugasan baru dia sendiri mampu merasakan. Tidak lupa juga ada yang perlu kita lebih tegas untuk kebaikan dirinya.

Seperti pada waktu semalam, 18 March 2011, UTP menganjurkan Malam Inspirasi Seni iaitu pertandingan nasyid peringkat awal atau preliminary sebelum dibawa ke peringkat akhir. Lagu-lagu nasyid semalam ada yang mendidik jiwa ada juga hanya menceriakan suasana. Namun, pasti ada antara nasyid yang disampaikan mampu menyedarkan beberapa insan yang menghayatinya. Suka juga saya sampaikan disini ucapan tahniah kepada 4 kumpulan yang terpilih ke peringkat akhir iaitu All For Ummah (AFU), In Saff, Syababul Islam For Ummah (SIFU) dan Mujahideen diatas kejayaan menempatkan diri ke pusingan akhir pertandingan nasyid peringkat UTP. Semoga menyampaikan hiburan yang bukan hanya untuk menghibur hati, tapi hiburan yang mampu mendidik hati & menyentuh hati.

Ayuh Pilih-Pilih Mad'u

Kita pasti pernah mendengar kata-kata strategi dari Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna agar memetik buah yang lebih dekat untuk dicapai. Begitu juga kalau kita simak sirah dakwah Rasulullah SAW dalam buku Manhaj Haraki ketika baginda akan memilih dahulu beberapa manusia untuk didakwahi pada permulaan dakwah baginda dan selepas membina asas yang kuat yang mendatang natijah kejayaan umat Islam, baru mampu difokuskan kepada semua golongan. Ini semua kerana memilih dalam mencari mad'u amat dititikberatkan sebagai lambang strategi dakwah yang baik bagi permulaan pembinaa foundasi yang kukuh. Sepertimana Allah ajarkan kepada Rasulullah dalam firmannya:

"agar dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir." [QS Yasin, 36:70]

Berikan peringatan kepada yang hidup hatinya. Hati-hati yang masih sedar ketika dikejutkan dengan peringatan. Hati yang sehat membezakan mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Pasti kepada semua yang berpengalaman berdakwah menghadapi pelbagai jenis manusia yang pasti juga berlainan kondisi hatinya. Maka, mari kita berikan peringatan yang hidup hatinya. Namun disisi yang lain, jangan kita tergolong dalam hati yang mati yang tiada kesan ketika peringatan diberikan.

"Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan kamu sekali- kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." [QS Qaf, 50:45]

Ciri seterusnya diajarkan kepada kita dengan memberikan peringatan kepada mereka yang takut akan ancaman Allah SWT. Perlu mencari mad'u yang masih ada rasa takut kepada Allah bukan yang sombong dengan perintah dan larangan Allah SWT. Teruslah ingatkan manusia akan akibat jika masih terjerumus dalam lembah kemaksiatan, dalam lembah kehinaan, kerana semua tindakan kita akan dihisab kelak.

"oleh sebab itu berikanlah peringatan karena peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya." [QS al-A'laa, 87:9-11]

Di ayat seterusnya pula Allah memberikan dua jenis golongan manusia ketika mana diberikan peringatan. Ada manusia ketika diberikan peringatan, ketika diajak kepada majlis tazkirah, atau bahkan sudah mengikuti majlis ilmu seperti halaqah, akan wujud dua jenis manusia. Golongan pertama adalah yang takut kepada Allah dan ketika diberi peringatan dia akan ambil pelajaran. Manakala golongan kedua yang Allah bahkan mencelanya sebagai golongan yang celaka adalah dia akan makin menjauh meninggalkan peringatan-peringatan yang diberikan. Sedangkan tarbiyyah & dakwah adalah ubat penyakit umat kini. Kita perlu mncari ubat, menggunakan ubat & kelak mndapatkn manfaat ubat..bukan fobia dgn ubat, lari dari ubat dan kelak membinasakan badan sendiri.

"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." [QS az-Dzariyyat, 51:55]

Ciri terakhir ingin saya kongsikan di sini adalah ayat yang saya pasti ramai yang mengetahuinya bahkan ramai yang menghafalkan, iaitu peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman. Inilah juga tanda-tanda keimana seseorang, yang sentiasa mengambil manfaat akan setiap peringatan yang diberikan.

Variasikan Dakwah

Dalam kita menyeru manusia kepada keimanan kepada Allah, sesuai dengan ragam manusia, maka perlu kita sesuaikan puzzle dengan pasangan puzzle yang sesuai, atau bentuk lego dengan pasangan lego yang sesuai, iaitu dengan menyesuaikan cara mengikut jenis mad'u yang ingin ditarik. Jangan terlalu fokus hanya dengan satu cara sahaja, tidak berjaya tapi masih dengan cara itu, kita harus kreatif dalah berdakwah, jangan hanya fokus kepada satu cara, tapi sentiasa adakan backup plan yang berterusan.

Begitu juga dengan jenis mad'u yang kita dapati. Ada yang mungkin kasar orangnya, ada juga yang lembut orangnya. Maka, jika kita masuk ke kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, kerana jika mengaum di kandang kambing, maka lari semuanya, jika mengembek di kandang harimau, nahas kita dikerjakannya. Namun teruslah jadi kambing walau di kandang harimau, dan teruslah jadi harimau walau di kandang kambing. Sesuaikanlah dengan suasana tanpa menggoyahkan prinsip kita, agar mampu menjadi gula kepada semut yang disukai semua. Kerana saya sering sampaikan perkara ini, bahawa dakwah untuk menyentuh hati, bukan untuk menyakitkan hati.

Nasihat terakhir yang ingin saya harapkan bermanfaat pada diri saya sendiri dan semua yang pembaca, agar teruskanlah beramal dengan ikhlas tanpa mengharapkan benda lain selain redha Allah. Jangan menarik mad'u kerana inginkan duitnya, kerana ingin keretanya, kerana ingin sokongan politiknya, kerana ingin meramaikan, atau pelbagai lagi niat lainnya, berdakwah la berterusan hanya kepada Allah. Namun jika Allah kehendaki mendapat mad'u yang ada kelebihannya untuk dimanfaatkan di jalan dakwah, maka silakan, tapi jangan jadikan ia niat utama untuk menariknya. Wallahu'alam.

Friday, March 18, 2011

Sirnakan Tsunami Dosa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Tsunami Mengajarkan Kita

Baru-baru ini, sudah tentu kita sedari bencana besar yang mengejutkan kita semua, Tsunami. Bencana yang melanda negara Jepun yang pada pandangan fizikal sebuah kota yang membangun dengan pesatnya, kota yang tersergam indah bangunannya, kota yang kuat ekonominya, kota yang tinggi teknologi, namun tidak mampu bertahan dengan kuatnya gegaran dan dengan dahsyatkan ombak yang diciptakan Allah Penguasa Alam. Marilah kita lihat jauh ke hadapan ketika malapetaka melanda, lihat siapa disebalik kekuatan gempa bumi, lihat siapa disebalik besarnya tsunami, lihat siapa disebalik kedahsyatan petir, nescaya kita akan lihat siapa Penguasa Agung di sebalik semua ini!

"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."[QS al-Hadid, 57:22]

Tiada satu bencanapun yang lari dari perancangan dan penguasaan Allah Al-Qodir, samada terhadap sekeliling mahupun diri kita sendiri. Inilah berkuasa Allah terhadap segala sesuatu, namun mengapa kita tidak mahu mengambil pengajaran, tidak ada kesedaran, tidak kita mahu perhatikan atau tidak mahu fikirkan? Bahawa segala yang terjadi itulah tanda-tanda kekuasaan Tuhan!

Ombak Tsunami di negeri orang, Angin Tsunami di UTP sendiri. Inilah yang berlaku pada hari selasa, 15 March 2011 yang baru. Angin yang kencang melanda UTP menumbangkan pokok bukan kecil tapi besar, meranapkan bukan hanya atap bahkan kereta, mujur tiada kehilangan jiwa dilaporkan. Semoga yang menghadapi musibah teruskan kesabaran diatas ujian.



Dosa Mengundang Bencana

"Maka masing-masing (mereka itu) Kami siksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." [QS al-Ankabut, 29:40]

Semua bencana yang disertakan dalam redaksi ayat diatas menjurus kepada dosa yang mengundang segala penyiksaan. Bukan Allah ingin menganiaya mereka, tapi mereka sendiri menganiaya diri mereka sendiri. Inilah asbab mengapa bencana diturunkan, kerana setiap akibat ada sebabnya. Akibat jangan kita kecilkan skop pemikiran hanya dengan bencana yang dampak besar di mata, tapi juga akibat halus yang hampir mengaburi mata. Samada dalam bentuk kesusahan mahupun dalam bentuk kesenangan.

Bencana besar nampak besar di Jepun, bencana di Malaysia apa kurangnya. Jika kita perhatikan statistik kematian di Malaysia banyak disebabkan kemalangan jalan raya dan banyak disebabkan menghidap penyakit, tidakkah kita sedari inilah salah satu bencana kepada rakyat Malaysia? Bencana yang datang akibat apa, biar kita sendiri fikirkan!

"Dan orang-orang yang kafir sentiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji." [QS ar-Ra'd, 13:31]

Allah firmankan orang kafir SENTIASA ditimpa bencana. Sekali lagi, jangan kecilkan skop orang kafir hanya kepada golongan bukan Islam, golongan umat Islam sendiri berapa banyak yang mengkafirkan perintah dan larangan dari Allah SWT. Gosok mata, lihatlah sendiri! Perlu kita sedari segala bencana yang menimpa kita ada sebabnya dan salah satu darinya kerana kesalahan diri kita sendiri.

"Apa sahaja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa sahaja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri.." [QS an-Nisa', 4:79]

Virus Dosa

"Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan." [QS al-An'aam, 6:164]

Wahai pencinta perjuangan, mari bersama kita muhasabah kembali diri sendiri sebelum orang lain. Kita pasti pernah mengalami dan melalui suatu keadaan dimana seperti ada penghalang kepada kejayaan perjuangan kita, atau ada penyekat kepada penyampaian ilmu kita, seperti hilang idea ketika memberi tazkirah, al-Quran tidak mampu dibaca dengan sempurna, terlupa jawapan ketika musykilah diutarakan, atau bahkan mad'u lari daripada kita, dan banyak lagi kekangan terhadap perjuangan kita. Mari kita salahkan dulu diri sendiri baru menyalahkan benda lain, kerana boleh jadi semua ini berlaku disebabkan kesalahan yang kita lakukan.

"Bagi  aku, seseorang lupa ilmunya yang tadinya dia ketahui (adalah) disebabkan kesalahan yang dia lakukan."[Ibnu Mas’u RA]

Pernah seorang penceramah diminta memberikan tazkirah suatu masa, namun sepanjang tazkirah banyak yang hambar, kehilangan banyak idea, kehilangan kelancaran, sedangkan biasanya semua lancar. Akhir pada tazkirahnya dia utarakan rasa maaf atas kekurangan, kerana khilaf dosa yang dia rasakan. Dia mengaku dia tertinggal tahajjud hari itu, dhuha tertinggal, al-Quran tidak dibaca, kemudian ada dosa-dosa yang dia lakukan, maka inilah yang menghalang cahaya ilmu untuk disampaikan.

"Ketahuilah ilmu itu adalah cahaya. Sedangkan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat." [Imam Asy-Syafi’e]

Janganlah kita mengajarkan ilmu tapi kita yang tidak berbuat, mengajarkan orang lain untuk bertauhid padahal kita sendiri masih bermusyrik, mengajar manusia selalu ikhlas padahal kita sendiri riya dan munafik, mencegah manusia melakukan dosa padahal kita sendiri pelaku maksiat. Allah tahu segala apa yang kita lakukan, samada zahir atau tersembunyi, mungkin orang lain tidak mengetahui, tapi yakinlah Allah sentiasa mengawasi dan mengetahui hatta apa yang terbesit di hati.

"Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati." [QS al-Mu'min, 40:19]

Allah mengetahui kemana pandangan kita sebenarnya walaupun kita cuba kononnya menyembunyikan apa sebenarnya kemaksiatan yang kita lihat! Allah mengetahui juga apa di dalam hati walaupun cuba menyembunyikan dengan amal perbuatan. Mari kita sedarkan kembali diri kita, perbaiki hubungan kita dengan Allah SWT, laksanakan semampunya perintah Allah, tinggalkan semuanya apa yang dilarang Allah, agar Allah akan laksanakan janjinya untuk membantu kita, namun dengan syarat kita dahulu mengubah keadaan kita dan menolong dengan yakin agama Allah.

Sirnakan Tsunami Dosa

Bagi orang-orang beriman, bencana atau musibah yang melandanya bukan suatu penyiksaan yang jelas berbeza dengan orang-orang kafir. Tetapi suatu ujian untuk mentarbiyyah mereka, suatu ubat untuk menyembuhkan penyakit dosa, dan suatu peringatan agar jangan terleka.

"Tidak henti-hentinya bencana itu mengenai seseorang mu'min, lelaki atau perempuan, baik dalam dirinya sendiri, anaknya ataupun hartanya, sehingga ia menemui Allah Ta'ala dan di atasnya tidak ada lagi sesuatu kesalahanpun."[HR Tirmidzi]

Bencana yang diberikan bagi menghapuskan kesalahan mereka. Inilah janji manis buat orang beriman. Kerana itu, kita bukan hanya patut bersabar dengan ujian, tapi bersyukur kerana diberikan ujian, kerana bersabar dengan ujian itu biasa, bersyukur kerana diberi ujian itu yang luar biasa. Mari manfaatkan ujian yang diberikan bukan terus menghina takdir, bukan terus mencarut tidak tentu hala, tapi jadikan ia penghapus kepada dosa dengan redha dan kesabaran.

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa sakit melainkan dengannya Allah akan menggugurkan kesalahannya seperti daun pohon yang berguguran.” [HR Bukhori]

Penyakit yang mendatang kepada kita sebenarnya ubat kepada penyakit lain, dosa. Ubat dosa yang lainnya adalah menjauhi dosa-dosa besar, bukan jangan melakukan dosa-dosa besar, tapi ditekankan untuk kita mendekati juga tidak boleh, jika kita ingin dihapuskan kesalahan-kesalahan kita yang lepas.

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)." [QS an-Nisa', 4:31]

Permohonan keampunan kepada Allah tidak cukup hanya sekadar ucapan di mulut. Namun perlukan keimanan dan amal soleh yang mengirinya. Sedangkan ketika kita melakukan kesalahan kepada majikan kita, kita akan bermati-matian memohon maaf, mencuba memujuk, membuktikan prestasi dan sebagainya, inikan pula ingin memohon maaf kepada Raja Seluruh Alam.

"Dan orang-orang yang beriman dan beramal saleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan." [QS al-Ankabut, 29:7]

Akhir sekali yang ingin saya kongsikan khas kepada mereka yang sanggup berinfak masa, tenaga, jiwa dan raga di jalan yang diredhai Allah bahawa yakinlah segala yang kita infakkan juga adalah salah satu wasilah bagi kita menghapuskan dosa-dosa yang saya pasti kita pernah lakukannya suatu masa dahulu. Kita pasti tahu bagaimana keadaan ketika zaman gelap menerjah kehidupan kita, dan yang pasti, Allah lebih mengetahui segala dosa kesalahan kita, ayuh kita lebih berinfak di jalan Allah samada dalam keadaan lapang mahupun sempit untuk paling utama mengharapkan redhanya dan kemudian sebagai penebus segala dosa kita yang lalu.

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang." [QS al-Imran, 3:133-134]

Inilah orang yang dilabelkan sebagai bersegera kepada keampunan Allah. Sanggup menafkahkan harta dalam bentuk masa, tenaga, wang ringgit hatta nyawa sekalipun samada dia dalam keadaan lapang mahupun sempit. Bukan hanya berbuat ketika senang, namun dalam keadaan susah adakah kita masih mampu berbuat?

Janganlah kita merasa puas untuk memohon keampunan, untuk terus beramal dan untuk terus berdoa. Jangan juga merasa kita telah melepasi azab kubur, jangan terfikir kita telah selesai dihisab, jangan sangka kita sudah melepasi titian sirat, dan jangan yakin kita telah melihat tempat kita di syurga!Teruskan beramal dan jangan menyerah, kuat dan sabarlah mengharungi mehnah, selepas usaha dan doa baru berserah, berserah tawakkal semestinya hanya kepada Allah semata.

Monday, March 14, 2011

Pernikahan Sini-Sana..(^.^)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Alhamdulillah..dalam tempoh lebih sebulan sahaja, ingin saya kongsikan kesempatan saya dan ikhwah-akhwat sekalian menghadiri bukan 1 tapi 4 akad nikah + walimah yang amat menarik dan menggamit hati sanubari..hehe..Tahniah saya ucapakan kepada semua pasangan-pasangan yang menyempurnakan separuh dari agamanya..Semoga mampu membina keluarga yang Barakah, Sakinah wa Rahmah..Amin Ya Rahman Ya Rahim.

Sebelum saya berkongsi keindahan waktu walimah, lebih elok saya kongsikan pengalaman-pengalaman perjalanan menuju ke pelbagai tempat seluruh Malaysia. Dengan pelbagai onak dan ujian, ikhwah-akhwat masih sanggup atas rasa ukhuwah menghadiri peristiwa bersejarah dan bermakna pasangan yang menikah.


Dibawah pula saya sertakan sedikit gambar Akad dan Walimah pasangan yang melangsungkan pernikahan. Namun, saya hanya memberikan gambar yang terkawal bagi menghormati pasangan terutamanya bagi pihak akhwat yang saya usahakan tidak akan paparkan di sini. Semoga sedikit gambar ini sudah mampu kita bersama merasai nikmat kebahagiaan bersama mereka.

Pernikahan Akhi Rusdi & Ukhti Fatimah [3 February 2011]

Pernikahan Akhi Umair & Ukhti Atifah [5 February 2011]

Pernikahan Akhi Azlan & Ukhti Syahidah [12 March 2011]

Pernikahan Akhi Azahar & Ukhti Rawaida [12 March 2011]

Pasangan kita tidak datang kerana kecantikan, kepintaran ataupun kekayaan. Tetapi Allah yang menggerakkan. Cinta sejati tidak perlu diucapkan, kerana cinta sejati akan berbicara tentang dirinya sendiri. Simpanlah ungkapan cinta dan derap hati rapat-rapat, Allah akan menjawabnya dengan lebih indah di saat yang tepat..InsyaAllah..

Friday, March 11, 2011

Ayuh dapatkan Majalah SINERGI!!!


Ayuh bantu promo SINERGI!!! bersama kita Melahirkan Generasi Rabbani Profesional!!
Pastikan anda mempunyai kesemua edisi SINERGI!!

sebarang tempahan boleh terus emel ke synergymedia2010@gmail.com!!!
-- 
Fakhrullah Bin Mawardi [Ibnu Mawardi]

Monday, March 7, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian IV)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..





Nasihat Hari Ini : Jangan memandang rendah dengan dosa yang kita lakukan, Jangan juga memandang tinggi akan amalan yang kita laksanakan, teruslah memohon ampun atas dosa kesalahan, dan teruslah berdoa agar diterima segala amalan..ayuh sensiviti hati kita tingkatkan..

Nasihat Hari Ini : Mari kita sakitkan syaitan-syaitan dengan keikhlasan hati, letihkan mereka dengan kalimat tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, kalimat tauhid yang membakar syaitan jin dan manusia. Namun, bagaimana mungkin kita mampu melawan syaitan jika masih bersemayam banyak tuhan di hati kita?

Nasihat Hari Ini : Saya terkilan, sedangkan ingin menjadi engineer perlukan komitmen, ingin jadi businessman perlukan komitmen, mana mungkin ingin berusaha menjadi ahli syurga tidak dituntut komitmen!!!Komitmen berkorban masa, wang dan tenaga, komitmen untuk terus beramal bahkan komitmen untuk menjaga agama-Nya.

Nasihat Hari Ini : Peluang berbuat dosa dan maksiat amat terbuka luas, namun peluang untuk terus dalam ketaatan akan dipenuhi himpitan ujian. Teruslah berjuang menempuhi ranjau kehidupan.

Nasihat Hari Ini : Jangan sampai kita wujudkan perasaan bosan dalam beribadat, tapi jadikannya sesuatu yang sentiasa kita nanti-nantikan. Berusahalah menghayati ibadat kita.

Nasihat Hari Ini : (Istimewa kepada bakal pengantin)

Cintailah si dia kerana cintanya kepada Allah, jika dia hilangkan cintanya kepada Allah, maka hilang juga cinta pada si dia. Maka bimbinglah si dia agar sentiasa cinta kepada Maha Pencinta. Cinta juga tidak akan lahir dan membesar begitu sahaja, pasti ada ujian dalam perhubungan yang merupakan lumrah bagi mencapai hikmah yang indah.

Nasihat Hari Ini : Janganlah kita menjadi penyakit dosa yang menularkan penyakit kepada sekeliling, tapi jadilah ubat yang mengubati penyakit umat hari ini.

Nasihat Hari Ini : Siapa sahaja yang kita cintai akan menjadi sabahat karib kita, maka perhatikanlah siapa yang engkau cintai..Putuskanlah tali percintaan dengan kawan yang jahat, cukup jadikan ia tali biasa, dan sambunglah tali percintaaan bersama kawan yang baik..

Nasihat Hari Ini : Sampai bila kita mahu terus memakmurkan dunia kita dan merosakkkan akhirat kita? Sampai bila kita mahu mengumpul dosa dan meninggalkan pahala? Sampai bila kita ingin merasa waktu masih lama sedangkan ia bukan suatu kepastian? Sampai bila.....

Nasihat Hari Ini : Kematian semakin menghampiri kita. Mari tangisi diri-diri kita sebelum kita ditangisi oleh orang lain.

Nasihat Hari Ini : Buah yang nampak dekat tapi terkadang bukan paling mudah untuk dipetik, kerana mungkin ada buah yang jauh tapi dah masak yang hanya perlu digoyang sedikit dah mampu didapati. Terkadang orang yang dekat dengan kita susah menerima nasihat kita, maka cari yang jauh namun mampu menerima nasihat kita.

Sunday, March 6, 2011

5000 Naskah Dalam 2 Minggu!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Alhamdulillah...Majalah SINERGI edisi 4 mendapat sambutan hangat..Hanya dalam tempoh lebih kurang 2 minggu dari waktu tempahan dibuka, kini sudah mencecah 5000 jualan..Gambar di atas salah seorang yang tidak terlepas mendapatkan majalah SINERGI walaupun baru berumur 1 tahun 3 bulan terus mendakap sehingga tertidur..pastikan anda mendapatkannya sebelum SINERGI habis terjual..

Kepada semua pengedar-pengedar SINERGI, kami mengucapkan jazakumullah khoiron diiringi doa semoga sentiasa diredhai Allah atas usaha yang tidak berbelah bagi dalam menyebarkan ilmu bersama..

Memandangkan kami juga mendapat tempahan bagi edisi-edisi yang lepas, dengan ini kami membuka semula penjualan SINERGI edisi ke-3 yang telah diterbitkan kembali..bagi edisi pertama dan kedua, kami memohon maaf kerana belum mampu menerbitkannya kembali..insyaAllah di masa hadapan..

Wednesday, March 2, 2011

Makan Berpada-pada..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Islam Mengajar Pola Pemakanan

Salah satu faktor yang dititikberatkan dalam agama Islam adalah aspek kesihatan fizikal samada dari segi kecergasan tubuh badan, kecerdesan minda, hatta pola makan dan minum sihat yang turut mencakupi ketsumulan agama Islam itu sendiri. Inilah salah satu bentuk keindahan Islam jika diaplikasi dalam kehidupan kita. Bukan seperti yang difitnah musuh-musuh Islam yang mendoktrinkan manusia bahawa agama Islam hanya pada ibadat semata, tanpa mengambil kira aspek lainnya.

Kita harus sedari ada musuh Islam yang ingin agar umat Islam mengasingkan nilai Islam kepada ibadat dan kehidupan seharian. Kononnya Islam cukup hanya di surau atau di masjid, cukup hanya syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, kemudian di lain waktu Islam sepatutnya tidak perlu diapplikasikan samada dalam konsep ekonomi, kepimpinan,  pengajaran atau pemakanan. Sedangkan Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan, dan Islam adalah jalan hidup kita.

Salah satu perkongsian yang ingin saya ketengahkan kali ini adalah aspek pemakanan yang amat penting bagi kita. Kerana pemakanan adalah salah satu sisi yang digunapakai musuh Islam untuk menjatuhkan umat Islam dalam konsep kesihatan, kekuatan dan kecerdasan fikiran. Mereka akan berusaha agar umat Islam tidak mengikuti apa yang disaran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Semoga kita menyingkap kembali pola pemakanan yang diajarkan dalam agama Islam.

Makan Manfaat atau Mudarat

Makanan yang memang dengan jelas adalah benda yang baik kepada kehidupan kita, namun mampu menjadi benda yang buruk yang memudaratkan jika salah penggunaanya. Samada dari segi pemilihan makanan yang halal, haram dan syubha, kuantiti makanan yang dimasukkan ke dalam perut kita, atau pencampuran makanan yang tidak sesuai yang pasti memudaratkan kita. Walaupun pasti, mungkin kesan atau impaknya bukan dalam jangka yang singkat, namun sediki-sedikit pisau diasah, lama-lama jadi benda tajam yang merbahaya, yang mungkin mampu membunuh kita. Sebab itu Rasulullah SAW menekankan kepada kita keseriusan dalam mengisi bekas perut kita harus ada kawalannya.

"seseorang tidaklah mengisi bekas yang lebih teruk daripada perut, cukuplah seseorang itu memakan beberapa suap makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Jika harus (makan lebih banyak, maksima) sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya" [Shahihu'l-Jami']

Inilah bekas yang Rasulullah pesan kepada kita agar berpada-pada mengisinya, kerana ramai kita lihat kerana makan, ibadah binasa, kerana makan, lemah badannya, kerana makan, kurang aktifnya. Ibnu Qoyyim dalam menjelaskan hadis diatas menyatakan:

Menurut hadis terbaik dari segi pemakanan adalah  yang bermanfaat buat badan dan hati.[Ibnu Qoyyim]

Pemakanan jangan hanya mengambil kira soal kekenyangan badan tanpa memikirkan kerosakan hati. Kerana pemakanan yang berlebihan adalah faktor gelap dan kerasnya hati kita. Kerana itu, kita dinasihatkan jangan berlebihan dalam pemakanan sepertimana difirmankan Allah kepada hambanya:

"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." [QS al-A'raf, 7:31]

Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan! Adakah kita ingin tergolong dalam hamba yang dibenci Penciptanya? Usap perut, tanya diri kita.

Sunnah Makan Rasulullah

Mungkin ramai antara kita tidak mampu bertahan ketika perut mulakan rentak gendangnya, tidak biasa berlapar atau tidak biasa hidup susah. Sedangkan Rasulullah dan para sahabat yang sebenarnya mampu sahaja makan dengan kenyangnya, namun mereka lebih menganjurkan kurangkan kekenyangan. Bahkan sentiasa melatih diri dalam kesusahan walau mampu mempunyai ruang kesenangan. Kerana kesusahanlah mengajar erti ketabahan, erti kekuatan dan erti kesabaran kepada kita.

Kita dianjurkan berpuasa bukan hanya ketika bulan Ramadhan yang mulia, namun dianjurkan berpuasa dalam bulan lainnya. Kita juga dituntut bukan hanya puasa ketika waktu susah, tapi berpuasa juga ketika waktu senang bagi mentarbiyyah diri akan kesusahan. Rasulullah juga mengajarkan konsep makan bersama sepertimana jika kita perhatikan makan secara jama'i atau beramai-ramai dalam talam ketika berbuka puasa, kita sebenarnya dianjurkan pembahagian makanan menurut sunnah adalah seperti yang disabdakan Rasulullah kepada kita.

"makanan dua orang cukup untuk tiga orang dan makanan tiga orang cukup untuk 4 orang"[HR Muslim]

Begitu juga dengan adab dalam makan dan minum yang dititkberatkan dalam Islam yang indah seperti mulakan dengan basmalah, makan dan minum dengan tangan kanan, ambil makanan yang dekat dari kita, duduk ketika makan dan minum, jangan bernafas di dalam gelas ketika minum dan minum perlahan-lahan, menggunakan tiga jari ketika makan, menjilat jari seusai makan sehingga akhirnya kita tamatkan dengan ucapan hamdalah kepada Allah. Semua adab di atas ada hikmahnya samada dari segi ibadat, akhlak atau kesihatan.

Bukan Melarang Kekenyangan

Islam bukan pula melarang sama sekali untuk kita makan dengan kenyang yang penting bukan selalu. Sepertimana yang digambarkan Anas r.a. ketika meriwayatkan makanan bertambah disebabkan berkat doa Nabi SAW,

"Maka mereka (para sahabat) makan hingga kenyang"[HR Bukhori]

Namun jangan terus mengambil peristiwa ini untuk dijadikan alas untuk sentiasa makan dengan kenyangnya tanpa ada tujuan. Sepertima jika kita telusuri kehidupan Rasulullah, sabahabat dan sahabiah, dan semua yang mengikuti mereka, semua lebih banyak menapaki hidup dalam kelaparan dan kesusahan, dan jika ada kelebihan akan mengambil cukup hanya untuk keperluan melainkan ada kepentingan lain untuk kita melebihkan. Imam al-Ghazali membahaskan kondisi kita dibolehkan makan dengan kenyang dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Beliau meletakkan 5 situasi bagi pengambilan kekenyangan tersebut.
  1. kekenyayangan yang menjadi penyumbang tegaknya kehidupan.
  2. kekenyayangan yang agak lebih untuk berpuasa dan solat berdiri.
  3. kekenyayangan yang agak lebih untuk melaksanakan amalan-amalan nafilah (sunnah).
  4. kekenyayangan supaya boleh bekerja.
  5. kekenyayangan memenuhi 1/3 perut.
Ada juga kenyang yang tidak dianjurkan dalam Islam bahkan mampu jatuh kepada makruh dan haram hukumnya sepertima Imam al-Ghazali menyambung dalam kitabnya:
  1. kekenyayangan yang melebihi 1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur hukumnya makruh.
  2. kekenyayangan yang melebihi 1/3 perut sehingga membahayakan, iaitu kekenyangan yang dilarang, Haram.


Namun saya yakin mana yang lebih baik bagi kita. Baik yang mampu menjaga dan meningkatkan keimanan dan amal kebaikan kita. Baik yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan dan kekuatan tubuh badan kita. Jangan hanya kekenyaan perut kita pentingkan, kekenyangan hati lebih perlu ditekankan.

Makan Macam Binatang?

Ada manusia kerana nafsu makan badan binasa, kerana nafsu makan neraka jahannam tempatnya dan kerana nafsu makan kekafiran menimpanya. Sepertimana Allah firmankan manusia yang hidupnya untuk makan, hidup sepertimana binatang makan:

"..Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka." [QS Muhammad, 47:12]

Seperti yang sentiasa kita dengarkan, makan ini untuk hidup, bukan hidup untuk makan semata. Pola Makan bagi orang yang beriman sepatutnya mengekalkan dan meningkatkan ketakwaan, keimanan dan amalan kebaikan.

"Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang saleh karena memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang saleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."[QS al-Ma'idah, 5: 93]


Inilah syarat yang Allah tetapkan kepada kita, kerana terkadang ramai juga kerana kenyang makan, mengakibatkan laparnya hati, laparnya kekhusyukan, laparnya amal kebajikan. Na'udzubillah..Sedih kita melihat jika kita tidak mampu bangun tahajjud kerana makan terlalu banyak pada waktu malam, mengantuk dalam halaqah contohnya kerana perut penuh yang mengakibatkan gizi di mata bertambah. Kerana tenaga banyak dihabiskan hanya untuk mencerna makanan dalam perut kita, mengakibatkan ketika kita bangun tidur pun tenaga belum cukup chargenya kerana diguna banyak untuk pencernaan. Inilah juga mengakibatkan kita agak lemah di awal pagi kita. Wallahu'alam..