Friday, December 30, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-15]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Sumber Gambar : Designer Synergy Media Sdn. Bhd. -> Freshie



Nasihat Hari Ini : Mari kita sirnakan kegelapan jahiliyyah dengan sinarkan cahaya tarbiyyah.


Nasihat Hari Ini : Jangan hanya celik ilmu dunia, namun buta dengan ilmu agama.


Nasihat Hari Ini : Ikut di dalam tarbiyyah jangan hanya untuk menuntut ilmu, namun untuk menyebarkan ilmu.


Nasihat Hari Ini : Tidak wajib bagimu untuk mengatakan segala yang kamu ketahui, akan tetapi wajib bagi kamu untuk mengetahui segala sesuatu yang kamu katakan.


Nasihat Hari Ini : Jangan melihat agama Islam dalam perspektif yang sempit kerana agama Islam adalah luas.


Nasihat Hari Ini : Jangan makin lama menuntut ilmu, makin banyak menyebarkan ilmu, membuatkan kita tidak mahu lagi diberikan ilmu.


Nasihat Hari Ini : Sentiasalah menganalisa ilmu yang disampaikan sekalipun keluar dari orang yang nampak kealimannya sebagai langkah kita berhati-hati menerima dan menyampaikan ilmu.


Nasihat Hari Ini : Kesalahan perlu kita tegur walaupun pahit untuk disampaikan sebelum ia menjadi kesalahan yang makin bernanah. Ayuh sosialisasikan budaya menegur dan sedia ditegur. 


Nasihat Hari Ini : Kesederhanaan tidak semestinya lambang ketidakmampuan dan kekayaan bukan alasan untuk tidak lakukan kesederhanaan.


Nasihat Hari Ini : Umat islam hari ini bukan kurang kekayaan, bukan kurang kepandaian, tapi kurang keimanan.


Nasihat Hari Ini : Kita harus se-ia se-kata dalam memperjuangkan agama Islam.



Nasihat Hari Ini : Kita sudah tahu yang kita tidak mempunyai banyak masa, maka pergunakanlah ia seoptimumnya bukan malah persiakannya dengan hal yang tidak berfaedah.


Nasihat Hari Ini : Jangan setelah membaca satu-dua dalil terus melupakan ratusan dalil yang lainnya. Jangan juga setelah membaca satu-dua pendapat terus melupakan ratusan pendapat lainnya. Mari berlapang dada sesama kita.


Nasihat Hari Ini : Selagiku hidup, jadikan kata-kataku sebagai nasihat, jikaku mati, jadikanlah ia sebagai wasiat. Agar kata-kata tetap hidup walau telah mati sekujur jasad. Amin Ya Mujib.


Thursday, December 29, 2011

Keikhlasan Benteng Kesesatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Keikhlasan Benteng Kesesatan

Kita sedia maklumi dan ketahui bahawa ujian dalam perjuangan bukan hanya bergelumang dengan alam manusia yang mampu dilihat dengan mata kasar dan mampu dipijak dengan kaki ayam. Namun juga ujian yang jauh lebih hebat dari pelbagai penjuru tembakan dan dari tempat yang tidak mampu dikesan asal tembakannya, itulah tentera syaitan.

"kemudian saya(syaitan) akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."[QS al-A'raf, 7:17]

"Sesungguhnya ia(syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman."[QS al-A'raf,7:27]

Inilah kehebatan tentera syaitan dalam menjerumuskan manusia ke jalan kesesatan. Pelbagai penjuru mereka menyerang kita sehingga mereka berjaya menjumpai penjuru yang mampu menjajah kita. Samada penjuru membuang masa dengan bermain game, menonton wayang, menghisap rokok, wanita atau lelaki yang menggoda, wang ringgit, keluarga, fesyen up-to-date, populariti, lagu merosakkan dan banyak lagi penjuru yang banyak antara kita K.O.

Ujian godaan dan tipu daya syaitan menyerang semua manusia dari tidak mengenal erti Islam sehingga manusia yang sanggup mati demi Islam. Semua manusia akan mampu disesatkan oleh kalangan syaitan melainkan mereka yang mampu membina benteng keikhlasan. Inilah kunci bagi menepis hasutan syaitan terutama kepada semua pejuang kebenaran agar kita mampu melangkah dengan gagah walau diuji pelbagai cubaan. Ayuh para pejuang, para penceramah, para penulis, para pelakon dan semua para pendakwah, suci murnikanlah niat kita mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, jangan ada niat lainnya dalam kita mengejar redha-Nya. InsyaAllah.

Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka" [QS Shaad, 38:82-83]


Tarbiyyah Keikhlasan

Penekanan bagi membina kekuatan dalaman adalah akar kepada pokok perjuangan. Keimanan & Keikhlasan. Dua cabang akar yang akan mencengkam utuh membumi ke tanah yang pasti mampu bertahan walau ditimpa pelbagai ribut kesusahan dan taufan kesenangan. Inilah kekuatan akar yang perlu dikuatkan sebelum pokok perjuangan makin kuat dan makin membesar dengan ranting yang makin menjulang tinggi ke langit.

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya;"[QS al-Fath,48:29]

Keimanan dan keikhlasan merupakan perkara yang perlu diletakan atas anak tangga pertama menuju puncak perjuangan. Saya pelik bin hairan ketika ada yang mempersoalkan bahawa ada golongan yang berjuang hanya menekankan aspek tarbiyyah semata-mata dan mengabaikan aspek-aspek yang nampak besar lainnya, sedangkan perjuangan golongan tersebut bukan mengabaikan aspek lainnya, cuma mengutamakan dahulu aspek yang jauh lebih utama dalam susunan pertama. Ini adalah konsep bertahapan dalam meniti tali perjuangan sebagai langkah persiapan menuju lebih jauh kehadapan.

Kita juga tidak menafikan ada golongan yang cukup yakin akan persiapan dalaman sehingga berani menghadapi pelbagai ujian luaran. Permulaan perjuangan sudah diberikan pelbagai jawatan, sudah diberikan pelbagai tugasan, sudah didedahkan dengan kemahsyuran dan diberikan hujah menghalang dan menolak golongan lain tanpa diberikan kefahaman sehingga melahirkan "pejuang-pejuang" yang tidak memeriksa dan menganalisa dahulu golongan lain yang diperkatakan. Saya nasihatkan agar bersihkan dan kuatkan dahulu dalaman dan berikanlah pengarahan sesuai dengan tahapan pengorbanan dan ujian luaran.

Saya khuatir ketika pengarahan yang diberikan tidak sesuai dengan keimanan dan penekanan keikhlasan, maka ia akan tidak mampu bertahan lama dalam berkorban yang belum ditampung dengan keimanan dan keikhlasan. Begitu juga persiapan bagi kita mendedahkan pejuang dengan medan yang mungkin mampu mendatangkan pulangan dunia samada aspek ekonomi mahupun lainnya, pastikan keimanan dan keikhlasan betul-betul dikuatkan kerana ramai pejuang yang gugur ketika dibukakan pintu keduniaan yang bukan calang-calang ujiannya.


Ikhlas Menyeru

Akhir dari perkongsian kali ini khusus kepada semua pejuang yang sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan jiwa demi menegakkan dan mengembalikan kegemilangan umat Islam serta sanggup ke hulu ke hilir menyampaikan dan menyeru kepada kebenaran agar kita pastikan ikhlas menyeru kepada Allah semata dan bukan menyeru kepada lainnya. Ini perkara yang saya harapkan semua antara kita perlu ambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

"Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." [QS al-Imran, 3:79]


Tugas kita cukup mempromosikan Islam, cukup menyeru kepada Allah semata, manusia yang diseru (mad'u) terpulang kepada mereka samada ingin berjuang bersama kita atau memilih golongan pejuang yang lainnya. Bukan bahkan memburukkan perkara yang tidak benar terhadap golongan lainnya dengan niat agar tidak memilih golongan lainnya. Cukuplah golongan masing-masing membuktikan dan menawarkan produk kenderaan perjuangan masing-masing bukan bahkan mengempiskan tayar kenderaan perjuangan lainnya. Apa yang pasti, kita semua dari syarikat yang sama, syarikat ISLAM.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim"[QS Fushilat, 41:33]


Perhatikan perkataan yang diajarkan kepada kita dalam ayat di atas, cukup kita mengaku sebagai Islam dan cukup kita hanya menyeru kepada Islam. InsyaAllah bersama kita ikhlaskan lagi perjuangan kita semua tidak kisah dari golongan mana, yang pasti kita bersama menyeru kepada agama yang diredhai Allah, ISLAM.


Wednesday, December 28, 2011

Al-Quran Sumber Motivasi @ Radio IKIM.FM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Pengalaman Asli : SaBaHaNmUsLiM





Assalamu'alaikum wbt, Alhamdulillah..Segala puji hanya milik Allah SWT yang menguruskan segala plot penceritaan hamba-hamba-Nya..Selawat serta salam kepada baginda Nabi Muhammad Bin Abdullah SAW yang kita bersama berusaha istiqamah dan beriltizam dalam meneruskan perjuangan baginda..InsyaAllah..

Saya amat bersyukur di atas peluang dan ruang kesempatan berkongsi sedikit sebanyak ilmu melalui medium Radio IKIM.FM pada waktu semalam dalam slot remaja yang membahaskan tajuk "Al-Quran Sumber Motivasi"..Jika minggu lepas dalam slot ini dijemput peserta program realiti "Solehah" dan sebelum-sebelum ini dijemput peserta-peserta "Imam Muda", saya pula sebagai apa ya?hehe..insyaAllah sebagai hamba kepada Allah SWT.

Saya tidak ingin berkata banyak dalam post kali ini, sekadar berkongsi pengalaman dan perasaan kepada semua saudara (ikhwah) dan saudari (akhawat) 1 Aqidah, 1 Agama  & 1 Perjuangan. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak IKIM di atas kesudian menyediakan ruang bagi saya menyampaikan nasihat kepada generasi muda khususnya kepada DJ Faiz yang ceria. Semoga Allah meredhai perjuangan IKIM dalam memartabatkan Islam pada kaca mata umat Islam itu sendiri.



Akhir sekali (macam buat karangan la pula..^.^..), sekalung penghargaan kepada semua pendengar slot semalam yang sudi mengorbankan sedikit masa untuk mendengar celoteh saya..saya mohon maaf jika ada kekurangan dalam perkongsian semalam dan mohon maaf kepada penanya-penanya (dari telefon yang berkelip-kelip, sms yang masuk dalam senarai serta komen-komen di FB IKIM) yang tidak sempat saya berikan pandangan dengan bekalan masa yang diberikan.

InsyaAllah di lain masa jika diizinkan Allah kita bersua lagi melalui mana-mana medium yang disediakan..Terima kasih juga kepada sesiapa yang telah menjemput saya dalam beberapa program dari bulan Januari 2012 hingga Februari 2012 setakat ini..InsyaAllah saya lapangkan masa untuk memenuhinya..

Di sini saya sertakan pautan (link) untuk memuat turun (download) rakaman Slot Remaja semalam yang dirakam dan dikongsi oleh pendengar semalam..sebarang komen, protes atau perbaikan saya terima dengan hati terbuka.

Tuesday, December 27, 2011

Jemputan Berkongsi @ Radio IKIM.FM Live Malam Ini!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Pengumuman Asli : SaBaHaNmUsLiM




Assalamu'alaikum wbt, Alhamdullillah, saya dijemput membuat perkongsian dalam slot remaja di Radio IKIM.FM (Pilihan Utama Anda) pada malam ini, 27 Disember 2011 dari jam10.00PM - 11.00PM secara LIVE (LANGSUNG).

Mohon doakan agar saya mampu berikan yang terbaik kepada semua pendengar Radio IKIM pada malam ini ya..jangan lupa untuk menjadi salah seorang dari pendengar pada malam ini dan bantu sebarkan lagi kepada keluarga dan kawan untuk dengar bersama ya..^.^..saya akan bahaskan mengenai "Al-Quran Sumber Motivasi"..InsyaAllah..

Terima kasih kepada pihak IKIM atas kesudian menjemput saya membuat sedikit perkongsian kepada semua generasi muda harapan agama, bangsa dan negara..

Monday, December 19, 2011

Dirimu Aku Sanjungi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Kealpaan Mengingati Baginda

Alhamdulillah, aktiviti muhasabah cinta kepada Rasulullah mengingatkan dan menyedarkan kembali terhadap seorang insan mulia yang mencintai dan merindui kita, umatnya. Kesibukan dunia serta pengalihan pandangan kepada tokoh-tokoh dan artis-artis zaman sekarang sedikit sebanyak mengelabui mata umat akhir zaman terhadap penghulu umat kita semua, Nabi Muhammad Bin Abdullah SAW.

Cinta dan rindu kepada baginda bukan hanya dibuktikan waktu sambutan maulid Nabi kerana ia bukan cinta bermusim, namun merupakan cinta yang berterusan sepanjang  kehidupan setiap kita. InsyaAllah, saya kongsikan sebuah karya yang saya nukilkan dalam Majalah SINERGI edisi ke-4 buat tatapan semua umat Nabi Muhammad SAW.



Tajuk : Dirimu Aku Sanjungi
Sumber : Majalah SINERGI Edisi Ke-4
Penulis : SaBaHaNmUsLiM





Siapa Idola Hari Ini?

Hari ini, ketika masuk bilik anak kita, adik-beradik kita, kawan kita, bahkan ibu bapa kita, kita bakal melihat poster-poster idola yang ditampal di dinding bilik masing-masing, bahkan ada sehingga menutupi kesemua cat asal dinding tersebut. Yang menyedihkan, idola tersebut semua kearah tujuan dunia semata. Samada, dari medan artis, pelakon, pemain bola sepak atau kartun-kartun yang buruk karakternya. Bahkan, bukan hanya poster dipampang sebagai hiasan, namun sumber cermin kepada diri sendiri agar mengikuti karakter idola tersebut. Hasilnya, lahir generasi yang menjadikan figure yang buruk untuk diteladani.

Begitu juga ketika ditanya mengenai tokoh, "Siapa Bapa Fizik Dunia?" Mereka menjawab, "Albert Enstein." "Siapa pengasas telefon?" Merekapun menjawab, "Alexander Graham Bell". Namun, cuba tanyakan "Siapa sahabat Rasulullah yang digelar Asadullah?", "Siapa yang memberi idea menggali parit ketika Perang Khandaq?", "Siapa pejuang Islam yang menentang rezim Itali yang digelar oleh musuh sebagai The Lion Of Desert?", "Siapa tabi'in yang sanggup berjalan 3 hari hanya untuk mencari satu hadis?", "Siapa ulama' yang ketika dipenjara masih mampu berkarya?" Jika semua pertanyaan mengenai tokoh Islam diutarakan, mungkin 90% generasi Islam hari ini diam tiada idea.

Namun, manusia yang paling utama perlu kita kenali, ketahui, teladani dan ikuti adalah "Bapa Guru" atau "Penghulu Murobbi" yang mengajar, membimbing dan mendakwahi generasi-generasi yang meninggikan agama yang diredhai, baginda Nabi Muhammad SAW. Demi Allah, inilah idola kita semua. Berkat dakwah,  perjuangan dan pengorbanan baginda, kita pada hari ini, mampu menggapai dan merasai nikmat keislaman dan keimanan dalam diri kita.  Wahai Rasulullah dan Kekasih Allah, "Dirimu Aku Sanjungi".

Dakwah Sunnah Besar Rasulullah

Kesempatan kali ini, ingin saya bawakan sunnah yang jarang diketengahkan, sunnah yang merupakan puncak kegemilangan umat, yang menyebarkan ilmu al-Quran dan Hadis, yang menjanjikan status umat terbaik, itulah sunnah berdakwah ke arah kebajikan, dan menentang ke arah kebatilan.

Bila berkata soal dakwah atau jihad. Ada sahaja manusia yang phobia atau allergic terhadap perkataan ini. Inilah kejayaan musuh Islam untuk membuatkan orang Islam sendiri memandang serong terhadap kalimah seruan yang murni. Janganlah kita yang meniup sangkalala yang mendatangkan kiamat pada sunnah berdakwah. Semoga kita jangan terpengaruh dengan perkara ini!

Lebih kurang 1430H yang lalu, dakwah bermula dari Rasulullah yang bersendiri, lalu bercambah bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan menyirami. Kita dapat lihat kualiti generasi yang mengikuti Rasulullah dalam segenap kondisi, dan sunnah terbesar terus diwarisi adalah berdakwah mengingatkan kembali manusia kepada illahi.

Ketika Rasulullah mendapat hidayah, baginda tidak hanya duduk berdiam diri, tapi mendakwahi yang lain untuk menyertai, lahirlah para sahabat wa sahabiah. Para sahabat wa sahabiah juga mengikuti Rasulullah dalam segenap kondisi, tidak duduk diam sendiri-sendiri, tidak ingin soleh-solehah sendiri-sendiri, mereka juga bangkit melakukan sunnah berdakwah seperti Rasulullah, mentarbiyyah melahirkan generasi tabi'in dan seterunsya generasi tabi' tabi'in. Dan begitulah seterusnya melahirkan generasi-generasi yang masih ingin meneruskan sunnah dakwah yang murni. Walaupun sudah pasti makin lama makin sedikit. Bahkan orang yang melakukan sunnah ini dianggap pelik. Namun beruntunglah orang-orang yang pelik tersebut. Lets dare to be different.

"Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik."[QS Yusuf,12:108]

Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku. Ramai yang ingin mengikuti Rasulullah, namun memilih mana yang sesuai dan memuaskan diri sendiri. Sedangkan Ibnu Qayyim menyatakan bahawa tidak murni seseorang dikatakan pengikut Nabi Muhammad, selagi mana tidak mendakwahi apa-apa yang didakwahi oleh baginda. Inilah juga yang dikatakan Imam Qurtubi dalam menafsirkan ayat:

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah."
 [QS al-Ahzab, 33:21]

Imam Qurtubi meletakkan ingin meneladani Rasulullah harus dalam semua kondisi. Ingin ikuti sunnah berbisnes, namun tidak mahu sunnah tawwadu'. Ingin mengikuti sunnah kahwin lebih dari satu, namun tidak mahu sunnah berlaku adil. Ingin mengikuti sunnah berjanggut, namun tidak mahu sunnah qiamul lail. Ingin mengikuti sunnah menuntut ilmu, namun tidak mahu mengikuti sunnah berdakwah.

Dakwah Ubat Penyakit Umat

Kita jelas ketahui kebatilan yang tersusun akan mampu mengalahkan kebajikan yang tidak tersusun. Namun, jika kita lihat dunia hari ini, kebatilan yang tidak perlu disusun juga sudah mampu mengalahkan kebajikan yang kita usaha menyusunnya. Kita dapat lihat kebatilan seperti isu perzinaan atau pergaulan bebas, pengaruh sesama mereka sudah tidak perlu dipandu dengan tersusun namun sudah mampu menguasai pemikiran kebanyakan manusia dan mengalahkan kebajikan yang ingin disusun melawannya.

 Begitu juga dengan habuan-habuan dunia yang dipraga dan diperjuangkan, semua sudah mampu mengalahkan benteng keimanan individu mahupun berkumpulan. Apa tindakan kita?Adakah kita juga ingin diwarnai kebatilan masyarakat? Atau ingin mewarnai dengan warna kebajikan kepada masyarakat?

"Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tanggannya, jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya, dan kalau tidak mampu maka dengan hatinya. Ketahuilah itu adalah selemah-lemah iman." [HR Muslim]

Kita mampu lihat tahapan-tahapan kemampuan dalam mencegah kemungkaran yang bermaharajalela. Namun, cuba kita bayangkan, selemah-lemah iman adalah mencegah dengan hatinya, bagaimana pula dengan manusia-manusia yang bukan hanya mencegah perbuatan dengan hatinya, namun dia sendiri yang terjun melakukan kemungkaran tersebut? Dimana garis keimanannya?
Diminta mencegah ikhtilat, namun dia yang mulakan. Diminta jauhi perzinaan, dia yang lakukan. Diminta jaga aurat, dia yang pragakan. Diminta jaga persaudaraan, dia yang merosakkan. Dan banyak lagi perintah daripada Allah kepada kita yang termaktub dalam kitab-Nya, al-Quran, dan ajaran dari Rasulullah melalui sunnahnya. Cuba kita bandingkn amalan kita dengan kandungan kitab Allah dan sunnah Rasulnya, nescaya kita akan dapat tahu bagaimana nasib kita di hadapan Allah kelak jika tidak kita perbaiki.

Hidupkanlah Sunnah Berdakwah

Ayuh hidupkan kembali sunnah dakwah Rasulullah. Ayuh singkap kembali mutiara sunnah yang makin malap dan menghilang ini. Sunnah yang berorientasikn dakwah kepada Allah, berpaksikan sunnah Rasulullah dan bernafaskan agama islam. Semoga apa-apa yang diberikan dan diajarkan Rasulullah kepada kita akan kita lakukan.

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah (lakukanlah). Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.”
 [QS al-Hasyr, 59:7]

Semoga kita bersama-sama melibatkan diri dan membantu menghidupkan sunnah berdakwah  ini. Gerabak dakwah itu melewati semua stesen. Tetapi, ia tidak akan memaksa seseorang untuk menaikinya. Kebanyakan tidak menaikinya kerana merasa tidak layak untuk bersama dakwah, sedangkan gerabak ini hanya tersedia bagi mereka yang merasa tidak sempurna. Walaupun pasti agak berat dalam kondisi hari ini.

Dalam ibadat, memang kita diberi pilihan untuk melakukan sesuai dengan kemampuan diri, namun, mari kita berusaha melakukan sunnah-sunnah Rasulullah semampu dan semaksima yang boleh, bukan melakukan sesikit yang boleh. Sebagai lambang kita bukan menyanjungi dan meninggikan ikon yang lain, selain kepada seorang insan mulia yang kita rindui, iaitu Muhammad Bin Abdullah SAW.

Mulakan dengan mengenali dahulu insan ini, tidak kenal maka tidak sayang, kenali dirinya, hayati perjalanan hidupnya, teladani sunnahnya, kemudian ajarkan pada keluarga, masyarakat dan umat seluruhnya. Semoga sunnah kita hidupkan sebagai lambang cinta kita kepada Rasulullah SAW yang pasti bermuarakan cinta kepada Allah semata. Terimalah SINERGI edisi keempat agar kita mampu mengatakan kepada Rasulullah, “Dirimu Aku Sanjungi”



Ayuh Survey Majalah SINERGI!!!

Ingin Melanggan atau Membeli boleh hubungi saya di fakhrullah90(at)gmai(dot)com atau di +6019-4544871..^.^..

Thursday, December 15, 2011

Hidupkanlah Solat Yang Mati


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Dari takbir ke takbir yang kita laungkan,
mengapa di hati masih ada kesombongan,
sehingga sombong melaksanakan apa yang diperintahkan,
sombong kerana berani melanggar segala larangan.
sedangkan kenyataan Allah Maha Besar yang kita lafazkan.

Dari iftitah ke iftitah yang kita berjanji,
mengapa masih sering kita khianati,
ikrar janji segala solat, ibadat, hidup dan mati,
ikhlas menyerah hanya untuk Illahi,
namun pembuktian ikrar kita jauh sekali. 

Dari rukuk ke rukuk yang kita bongkokkan,
dengan lafaz memuji keagungan Tuhan,
namun sering perkara lain yang kita agungkan,
berbanding hukum Allah yang perlu ditegakkan,
bahkan ada yang sanggup mencaci dengan penuh penghinaan.

Dari Iktidal ke Iktidal yang kita luruskan,
mengaku Allah mendengar segala pujian,
menyatakan hanya Allah milik segala pujian,
namun sedikit sekali tasbih yang kita ucapkan,
ayuh ingat di hati lalu dibibir kita zikirkan. 

Dari sujud ke sujud yang kita sungkurkan,
mengaku tiada yang lebih patut kita tinggikan,
kononnya tunduk dengan penuh kerendahan,
tapi lebih banyak tunduk kepada nafsu dan syaitan,
sehingga terpecah terburai merosakkan keimanan.

Dari antara dua sujud yang kita selitkan,
fahamilah lafaz doa yang kita pohonkan,
pengampunan, kerahmatan, percukupkan dan darjat ditinggikan, 
direzekikan, ditunjukkan, disihatkan serta dimaafkan segala kesalahan.
mari kita ucap dengan penuh penghayatan diselaputi penuh pengharapan.

Dari tahiyat ke tahiyat yang kita dudukkan,
memuji Allah, Rasulullah dan Sholihin dengan penuh kesejahteraan
mengucapkan kalimat toyyibah lambang persaksian,
selawat dan keberkatan terus dipohon buat nabi penegak kebenaran,
maka ucapkanlah semua ini dengan penuh kecintaan.

Dari solat ke solat yang kita tegakkan,
mengapa sering hilang manisnya rasa kekhusyukan,
mengapa selalu solat laksana tiada apa yang kita rasakan,
adakah kita yang solat hanya melepaskan rutin harian,
adakah solat kita hanya sebuah ikut-ikutan,
atau kita belum lakukan dengan niat khusyuk yang penuh keikhlasan,
belum tahu dengan siapa kita berhadapan,
belum sedar kita menyembah Allah, Tuhan semesta Alam,
belum yakin bahawa Allah itu sentiasa menyaksikan.

Hayya 'ala as-sholah, ayuh solat kita hidupkan,
kerana ramai yang solat namun solat dalam kematian,
sedarlah solat sebuah amalan pertama yang memulakan hisaban,
cukuplah segala solat kita yang tiada kekhusyukan,
ayuh usahakan dari sekarang memahami dan menghayati segala ucapan,
agar solat kita akan mampu menambah keimanan dan menjauhkan dari kemungkaran.

Wednesday, December 14, 2011

Mengapa Internship Di Sini? - Episod Ke-2 [Team-Work, not Individual-Work]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Kehidupan Pejabat Diteruskan Lagi

"Farul, pernah makan "Lempok" tak?"


"Lempok? tidak pernah dengar pun Kak Ija"


"dia salah satu makanan khas Perak. Dia buat dari durian"


"owh..sama dengan Pengat Durian ka?"


"eh tak..Pengat tu macam bubur..ni macam dodol tapi tak la sekental dodol tu.."


"owh..yang saya tahu Pengat ja Kak Ija"


"ada Kak Ija bawa tu..atas meja depan..cuba la rasa"


Selepas menikmati makanan baru, Lempok bersama ahli-ahli pejabat yang lain...


"Sedap juga Lempok ni Kak Ija..dia fully durian ka?"


"dia ada letak tepung sikit..Kak Ija ada juga bawa buah manggis tu..makan la.."


"kalau di Sabah ada juga hampir sama macam Lempok ni..tapi kami panggil Dempok/Dompok Durian.."

Topik makanan meriuhkan keheningan pagi itu. Begitulah seperti yang saya kongsikan dalam post "Mengapa Internship/Praktikal Di Sini?" episod pertama dalam topik kehidupan di pejabat. Sogokan makanan yang tiada titik noktahnya dari hari ke hari dan dari detik ke detik. Apa yang penting, saya kena banyak riadah atau bersenam untuk mem'barter'kan kalori kepada tenaga dan bukannya menjadi lemak yang membuatkan badan makin membesar (walaupun badan saya semula jadi tidak pandai gemuk juga..huhu). Serangan makanan terus gencar...

"nah Farul..ni Kak Ila ada coklat dari Langkawi..sedap..meh hulur tangan Farul"


"eh..banyaknya Kak Ila.."


"Kak Ila beli banyak..Tak per Farul..makan jer"


Belum sempat serangan pertama ditepis. Serangan bertalu terus menghujani.


"ni Kak Ija pun ada minta Kak Fazilah belikan juga..Cuba coklat ni pula..lain dari Kak Ila punya.."


"owh..terima kasih Kak Ija.."

Saya secara jujur sebenarnya kurang minat untuk makan coklat sebab saya rasa hasil didikan dari Mama saya ketika waktu kecil lagi. Saya tidak digalakkan makan keropok,gula-gula, ais krim, coklat dan yang sama waktu dengannya untuk menjaga kesihatan kami adik-beradik. Kurang minat bukan bermakna tidak makan sama sekali, maksudnya untuk mencari sendiri tu mungkin kurang melainkan dihulurkan coklat seperti disorongkan bantal (Sekadar Perumpamaan). Apapun, terima kasih kepada Mama tersayang di atas penjagaan pemakanan dan kesihatan yang sangat-sangat baik..^.^..

Serangan belum berakhir...

"O ya farul, pandai makan tempoyak tak?"


"tempoyak? yang biasa orang buat tempoyak ikan patin tu kan?"


"a'ah..pakai ikan keli pun beli.."


"owh..boleh la..pernah makan Kak Tsalina"

"ni akak ada bawa tempoyak durian dia ni (ada beberapa bekas kecil yang diisi dengan isi-isi durian)..nanti balik rumah cuba masak"

Perkongsian resepi tempoyak pun diberikan. walaupun pasti ada orang yang sangat gemar memakannya, ada juga yang kurang gemar memakannya. Bagi saya? bak sebuah lagu indonesia, "yang sedang-sedang saja, yang sedang-sedang saja". Boleh-boleh macam tu ja la. Apa yang penting, saya laksanakan amanah untuk memasak tempoyak tersebut kepada semua warga BaTaR (Banglo Tarbiyyah = Rumah Sewa Kami) pada hari itu juga.

Projek 2 Juta

Internship/Praktikal yang disilabuskan dalam struktur kurikulum Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang dijadualkan selepas tamat tahun ke-3 semester ke-2 sebelum menyambung kembali tahun pengajian terakhir (Final Year). InsyaAllah. Apa yang "menarik" bagi batch saya untuk internship kali ini adalah, ketetapan untuk setiap pelajar membuat sebuah Projek sepanjang berada dalam latihan industri. Bukan hanya perlu menimba pengalaman dan ilmu dalam bidang pekerjaan, namun perlu memikirkan juga bersama syarikat tempat internship untuk membuat sebuah projek disertakan dengan laporan lengkap yang panjang.

Semoga saya dan kawan-kawan se-batch yang lain mendapat yang terbaik dalam tempat internship masing-masing ya. Projek-projek yang pasti kita semua sibuk menyiapkannya mengisi lembaran-lembaran album kehidupan kita sepanjang tempoh internship. Tajuk-tajuk yang semua hantar kepada Unit Internship juga menggambarkan projek-projek yang sangat menarik dan tertarik yang pasti Daboom.

Bagi saya, alhamdulillah, diberikan sebuah projek yang sangat menarik di bawah lembayung tajuk "Process Enhancement and Continuos Improvement for Blistering Process and Machine". Sebuah projek yang digelayuti 5 core team-mate yang terdiri dari:

1. Process Validation Engineer [Seorang]
2. Mechanical Engineer [2 Orang]
3. Electrical Engineer [1 Orang]
4. Chemical Engineer [Saya seorang]

Inilah team untuk project yang diamanahkan kepada kami. Pensinergian dari pelbagai profesi untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Saya dan kawan se-batch sudah pernah melalui satu course yang khusus untuk menggabungkan pelbagai sayap kejuruteraan iaitu Engineering Team Project (ETP). Lebih kurang sama juga bagi saya, KOS yang jauh berbeza. Jika ETP kami dibekali dengan RM200, projek saya kali ini bermain dengan bukan 2 Sen, tapi 2 Juta ringgit. Projek kami bahkan diumumkan dalam perhimpunan mingguan syarikat pada hari isnin oleh General Manager (GM) syarikat ini.

"Kita sedang membuat sebuah projek yang bernilai 2 Juta ringgit untuk meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti bahagian blistering kita. Blister Projek adalah salah satu projek yang kita akan teruskan sampai tahun hadapan."

Mendengar pengumuman tersebut membuatkan kami (Blister Team Project) untuk usahakan yang terbaik. Setakat ini sahaja dari segi pengiraan kos juga dah beratus-ratus ribu ringgit dan saya akui, ia memerlukan masa dan tenaga yang bukan sedikit. InsyaAllah setakat ini sudah dalam 60% progressnya. Saya lebih banyak ke arah penggunaan material dan penyesuaian variable dengan material yang digunakan. Suhu dan Tekanan yang berlainan untuk disesuaikan dengan material dan ianya didapati hasil ujian yang bukan sekali, tapi berkali sampai mendapat variable yang paling sesuai.

Bukti keberhasilan adalah dari ujian terhadap produk blister yang terhasil yang diuji melalui Leak Test dan Stability Test produk tersebut. Selama 4 hari berturut-berturut solusi dia GAGAL, setiap hari bukan jam 8.00AM - 5.30AM sahaja, tapi ada yang sampai tengah malam team kami usahakan. Pelbagai masalah yang timbul dengan pelbagai solusi yang dicuba, dengan pendekatan kaedah yang berbeza-beza, kami terus dan terus mencuba. Akhirnya, hari ke-5 dalam fasa percubaan kami menemui sinar harapan dengan kejayaan yang bertubi-tubi.

Sesebuah projek yang pasti bukan hanya ketika fasa percubaan tersebut, fasa persediaan dan pembikinan dia juga sangat-sangat menguras masa dan tenaga. Fasa percubaan sekarang juga masih dengan fasa perbaikan dan pemantauan. Fasa seterusnya yang pasti bahagian pengakhiran lebih kepada uji kaji dan pendokumentasian.

Team-Work, not Individual-Work

Pergerakan dalam team yang pasti bukan pergerakan secara individual kerana kita sedia maklum sesebuah team perlu melakukan team-work (kerja berkumpulan) bukannya individual-work (kerja bersendirian). Sama juga konsep KERJA-SAMA yang pasti definisinya adalah SAMA-SAMA-KERJA..bukannya SENDIRI-KERJA..

Umat Islam zaman sekarang sangat-sangat kurang semangat kerjasama sesama kita. Samada dalam aspek akademik, ekonomi, tarbiyyah dakwah, alam sekitar, politik, kekeluargaan, kejiranan, berbakti sosial dan sebagainya. Sedihnya, yang ramai hanyalah saling membenci, melemahkan bahkan menjatuhkan sesama sendiri.

Tidak kurang juga dengan insan-insan yang pentingkan diri sendiri. Hanya memikirkan dan mengusahakan kebahagiaan diri sendiri. Saudara Islam yang lain mereka langsung tidak ambil peduli, yang penting kekayaan, kemegahan dan kemahsyuran diri sendiri. Tidak pernah terdetik di hati untuk minima mendoakan saudara yang lain apatah lagi untuk membantu dalam bentuk yang lain.

Kerjasama tidak semestinya bergabung dalam pandangan fizikal, tapi penggabungan dalam aspek destinasi yang dituju di akhirnya nanti. Jika ada yang mampu untuk menggabungkan untuk melakukan yang terbaik lagi untuk agama Allah dipersilakan, namun bagi yang memilih untuk fokus dan bersungguh-sungguh dengan cara sendiri pun sangat-sangat dipersilakan. Apa yang penting, KERJASAMA, Kerjasama bagi meninggikan kalimat Illahi di muka bumi Allah ini. Ayuh kita bersungguh-sungguh dalam posisi-posisi kita masing-masing agar mampu mencakupi semua sudut umat Islam kini.

"Wahai orang-orang yang beriman, bersiap siagalah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!"[QS an-Nisa', 4:71]

Tuesday, December 13, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu [Episod Ke-14]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook http://www.facebook.com/SaBaHaNmUsLiM..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..



Sumber Karya Ilustrasi : http://kangensyurga.blogspot.com/ 
Designer Synergy Media




Nasihat Hari Ini : Tambahlah sensitiviti kita ketika menurunnya iman & meningkatnya maksiat kita. Jangan pernah menganggap ia benda yang biasa sehingga tidak merasakan apa-apa.


Nasihat Hari Ini : Jangan hanya berceramah untuk seronok di telinga, tapi berceramahlah untuk membangunkan jiwa.


Nasihat Hari Ini : Berdakwah itu bukan bakat semula jadi, namun ia adalah kemahiran yang perlu dilatih.


Nasihat Hari Ini : Kekayaan & kesenangan bukan alasan bagi kita ketika dituntut hidup dalam kesederhanaan atau kesusahan. Tarbiyyahlah diri kita untuk hidup susah & sukar untuk persiapan menghadapi ujian mendatang.


Nasihat Hari Ini : Jangan menuduh benda yang tiada kepastian sehingga mempengaruhi orang lain percaya dengan tuduhan tersebut. Setiap keburukan yang  diikuti orang lantaran dari kita akan membuat kita turut mendapat tempias dosanya.   Buanglah budaya berprasangka buruk dan tuduh menuduh dalam diri kita.


Nasihat Hari Ini : Tangkaplah remaja dengan tarbiyyah sebelum ditangkap oleh jahiliyyah.


Nasihat Hari Ini : Ayuh melestarikan hukum Allah di muka bumi Allah dengan memberikan kefahaman dan bukan paksaan.


Nasihat Hari Ini : Tong yang kosong mengeluarkan bunyi yang kuat ketika diketuk, namun ketika makin dipenuhi dengan isi, ia akan makin kurang bunyi yang dikeluarkan. Begitulah juga kita yang mungkin pada awalnya tidak mempunyai ilmu sehingga kuat kesombongan kita, namun ketika makin diisi dengan ilmu, maka kita akan makin tunduk rendah hati menyedari hakikat ini.


Nasihat Hari Ini : Cukuplah ambil dunia sekadar bekal seorang musafir, bukan seorang mustautin. 


Nasihat Hari Ini : Ketika kematian berada di hadapan mata, berbisik di telinga, terkaku di lidah, adakah baru inginku yakini hakikat kematian? Ayuh sedarilah dari sekarang selagi peluang kehidupan masih dikurniakan.


Nasihat Hari Ini : Sincererity can be seen by the blind and can be heard by the deaf. 




*p/s : semua post di blog ini memang untuk disebarkan, namun harap boleh sertakan link ke sini. Syukran Jazakumullahu Khoiron Katsira. Wallahu'alam..


*p/s : ayuh jawab, mana satu Nasihat yang menjadi pilihan di hati? Boleh tambah atau perbaiki jika mahu ya..insyaAllah saling memperbaiki..

Saturday, December 10, 2011

Ujian Agar Kita Kembali


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Ujian Menyirami Kehidupan Kita

Kehilangan wang ringgit, telefon bimbit, laptop, kenderaan, barang kemas, dan lain-lain barangan berharga dunia mungkin kita pernah kehilangannya. Kematian ibu bapa, adik-beradik, anak, suami, isteri dan kematian ahli keluarga yang lain mungkin pernah juga kita alaminya. Kejatuhan akademik, bisnes, kerjaya, syarikat, saham dan lain-lain yang kita usahakan mungkin pernah ada jatuhnya.

Pernah juga kita dihimpit kemelesetan ekonomi sehingga melalui pelbagai kesusahan dalam kehidupan. Mungkin pernah kita berlapar dahaga hanya mampu mengais perut dengan makanan yang sedikit dan kurang enaknya. Hanya mampu makan ala kadar ketika orang lain variasi lauk atas pinggannya. Hanya mampu duduk di rumah sedang orang lain mampu ke sini sana.

Pernah juga kita dihimpit dengan ujian yang bukan hanya bersilih ganti tapi datang semua sekali menimpa diri sehingga terkadang membuat kita jatuh menangis hilang motivasi. Sehingga terasa tidak mampu mengharungi ujian diberi bahkan merasa kehidupan sudah tidak bermakna lagi.

Begitu juga perihal dakwah yang kita perjuangkan. Terkadang ada ketika sahabat seperjuangan berbondong-bondong meninggalkan kita sendiri di jalan ini. Terkadang menerima tohmahan, kutukan, fitnahan, tuduhan dan kata-kata dusta yang tidak terperi. Menerima halangan dan penolakan dengan dahsyat sekali yang terkadang mengguris dan menghiris hati sanubari. Tidak kurang juga air mata yang mengalir yang menyirami jalan perjuangan ini.


Inilah ujian yang saya pasti masih banyak tidak diungkapkan lagi. Ujian-ujian yang mungkin ada yang menghadapi lebih dahsyat dari semua ini. Saya yakin kita semua pernah menghadapi ujian yang sangat-sangat menguji kesabaran dan ketabahan hati kita dalam mengharungi setiap inci tali kehidupan yang membawa kita ke destinasi terakhir.

Kesabaran Itu Suatu Kepastian

"Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."[QS al-Baqarah, 2:155]

Dan sungguh, sudah kemestian, sudah kepastian, bahawa Allah akan menguji kita dengan pelbagai keadaan. Ada yang mampu menempuhnya dengan penuh kesabaran dan ada juga menghadapinya dengan penuh keputusasaan. Ada yang mampu melepasinya dengan penuh keimanan, ada juga yang gagal melepasinya dengan penuh kekufuran.

Saya yakin kita pasti mengenali beberapa sosok pribadi yang sangat sabar menghadapi ujian. Bahkan mungkin insan yang sangat dekat dan sangat rapat dengan kita sendiri. Kita melihat mereka begitu redha dan sabar dengan ujian diberi bahkan mereka bukan mengadu sana sini, bukan teriak tidak tentu arah, bahkan diam-diam mereka hadapi sendiri dan mekapkannya dengan senyuman di bibir.

"orang yang tidak tahu, menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak."[QS al-Baqarah, 2:273]

Sebuah sikap yang sangat terpuji yang tidak semua mampu miliki. Sebenarnya dia adalah insan yang penuh dengan kesusahan, tapi betapa tidak dizahirkan sehingga membuat orang menyangka mereka adalah orang yang senang. Semua ini hanya mampu dihadapi dengan kesabaran yang sangat tinggi sehingga mampu bertahan walaupun sendiri.

Bagaimana pula dengan kita? Terkadang baru diuji dengan perkara yang sebenarnya terlalu kecil, tapi sudah habis kesabaran untuk menghadapinya. Kita perlu sentiasa membandingkan diri kita dengan orang lain, bukan perbandingan yang menjurus kepada kerosakan, tapi perbandingan yang memotivasikan kita ke arah kebaikan.


Jika kita merasa sudah cukup susah, ingatlah adalah lagi manusia yang lebih susah dari kita. Jika kita ingat kita paling berat ujian, ingatlah ada lagi manusia yang jauh lebih berat ujian yang diberikan berbanding kita. Begitu juga kepada semua pejuang kebenaran, kesusahan dan keperitan itu adalah sunnah dalam berjuang. Ingatlah ujian saudara Islam di negara lain dan ingatlah ujian umat terdahulu yang sebenarnya jauh lebih berat berbanding ujian perjuangan kita semua. Semoga jangan lagi kita terlalu lemah dalam menghadapi ujian, pengorbanan, ancaman dan tuduhan dalam kita berlari mengejar redha Illahi.


"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."[QS al-Baqarah, 2:214]

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar"[QS al-Imran, 3:142]


Kenikmatan Juga Sebuah Ujian

Subuh tadi solat di surau yang sudah lama tidak saya kunjungi. Pakcik-pakcik di sini menyapa dengan penuh keramahan hati. Saling bertanya khabar seperti keluarga yang sudah lama tidak bersua. Lalu permintaan juga terus diberi.

"Fakhrul..Imam la..lama tidak dengar Fakhrul jadi Imam"


"Lepas ini bagi tazkirah ya Fakhrul"

Saya sangat bersyukur melihat kehausan pakcik di sini untuk meminum ilmu-ilmu kebaikan kerana tidak kurang juga di luar sana yang lebih dahagakan air-air dunia semata. Saya terdetik di hati untuk beri tazkirah perihal ujian kehidupan kerana beberapa hari ini beberapa ikhwah (saudara) datang berkongsi ujian dan perasaan di hati bahkan tidak kurang juga saya melihat insan yang dikaburi jenis ujian yang sebenarnya bukan hanya dalam aspek kesusahan tapi juga dalam skop kenikmatan.

"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk,"[QS al-A'raf, 7:168]

Begitu ramai kita melihat manusia yang lebih mampu menghadapi ujian kesusahan berbanding ujian kesenangan yang sangat halus menjatuhkan manusia ke lembah kegagalan. Ujian kenikmatan yang sangat-sangat sukar dirasakan sehingga tidak sedikit orang yang mengingkari dan mendustakan kenikmatan diberi.

Betapa ramai kita melihat manusia dari hasil kenikmatan diberi, tapi sayang seribu kali sayang, kenikmatan yang diberi disalah guna ke arah jalan yang menjauhkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Terlalu ramai manusia yang diberikan nikmat kesihatan dan kesempurnaan fizikal tapi menyalahgunakan untuk tujuan melakukan dosa dan kemaksiatan. Perkara ini bukan hanya berlaku pada orang yang agak dewasa, tapi kita sangat terkejut dengan usia yang masih muda sudah menyalahgunakan nikmat pancaindera yang diberikan.

Saya amat terkejut sepanjang saya bagi ceramah, forum dan seminar, kebanyakan kaunselor, ustaz/ah atau guru/pensyarah sekolah, politeknik, matrikulasi dan IPT memberikan saya perkongsian kondisisi institusi pendidikan mereka yang penuh dengan kisah-kisah yang sangat-sangat membuktikan kerosakan generasi muda zaman ini.

Ada yang memberitahu kepada saya pelajar tingkatan satu yang ditangkap melihat video lucah, ada remaja yang ditangkap berkhalwat dalam surau, ada yang melahirkan anak luar nikah, ada juga peserta yang saya dapat adalah merupakan anak yang luar dari pernikahan, kes-kes pencabulan, pergaduhan, kecurian (sandle saya sebagai penceramah juga pernah dicuri) dan kebanyakan yang saya terima adalah kes-kes percintaan yang sebenarnya salah satu akar utama dalam pelbagai permasalaahan yang timbul.

Itulah salah satu bentuk penyalahgunaan kenikmatan yang diberikan kepada generasi muda. Generasi yang lebih berusia juga tidak kurangnya yang alpa dan leka dengan kenikmatan dunia sehingga sanggup menipu rasuah, menggelapkan duit syarikat mahupun duit zakat, berjudi, meminum arak, membelasah dan menyiksa anak isteri, dan pelbagai lagi karenah generasi berusia yang mempunyai nikmat yang lebih untuk melakukan kekufuran yang lebih jua. Semoga kita sedari hakikat ini dan hentikanlah penyalahgunaan nikmat yang Allah beri.

Ujian Agar Kita Kembali

Samada ujian dalam bentuk kenikmatan mahupun dalam bentuk kesusahan, kedua-duanya menjurus kepada satu corong yang sama, iaitu agar kita kembali pada Illahi. Diberi kenikmatan agar kita makin menambah amal kebaikan, diberi kesusahan untuk kita diperingatkan dari alpa dan leka. Ini yang sepatutnya kita tujukan ujian yang diberikan, bukan bahkan dengan ujian itu kita bukan kembali kepada Allah, tapi bahkan makin jauh dari-Nya.

"Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang saleh dan di antaranya ada yang tidak sedemikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)."[QS al-A'raf, 7:168]

Agar kita kembali kepada kebenaran. Ramai kita lihat manusia ketika diuji dengan nikmat kenikmatan, habis kembali ke jalan kebatilan. Ramai juga kita lihat manusia ketika diuji dengan jerih kesusahan, habis kembali juga ke jalan pendustaan. Semua ini berlaku ketika tidak didasari dengan kesabaran dan tidak dikawal dengan keimanan.


Dalam arena dakwah sendiri, ramai ketika diuji sedikit dengan kesusahan, bukan bahkan makin melaju ke jalan kebenaran, bahkan makin menjauh dan keluar dalam landasan perjuangan. Tidak kurang juga ketika diuji dengan kenikmatan, destinasi sama juga yang dia tuju, bukan makin berlari di trek kebenaran, tapi juga makin menyimpang ke selekoh kebatilan.

"(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali)."[QS al-Baqarah, 2:156]

Ayuh semua umat Islam, pastikan segala ujian yang diberikan kepada kita membuatkan kita kembali kepada kebenaran, makin mendekat kepada ketakwaan dan makin menambah keimanan. InsyaAllah marilah kita sentiasa saling mendoakan sesama umat Islam agar diampunkan dosa-dosa kita yang lalu dan terkemudian, agar sentiasa kita dibimbing Allah di jalan yang diredhai-Nya bukan jalan dimurkai-Nya, agar kejayaan umat Islam bersama kita akan perjuangkan bukan malah menghalanginya dan akhir sekali agar kita ditempatkan di tempat kembali yang paling baik (syurga) dan bukannya tempat kembali yang paling buruk (neraka). Amin Ya Mujib, Ya Hadid, Ya Rahman Ya Rahim.

Thursday, December 8, 2011

Pembunuhan Hadapan Mataku?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




3 Mangsa Pembunuhan

Mangsa pertama dipercayai dihentak kepalanya kemudian dikelar badannya. Mangsa yang berusaha untuk melepaskan diri dan meronta-ronta malangnya tidak mampu berbuat apa-apa berbekalkan kudrat yang lemah. Mangsa masih mampu bertahan beberapa ketika sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Mangsa kedua menerima nasib yang sama dengan metod pembunuhan yang berbeza. Menurut saksi mangsa dilemaskan dalam cecair kimia sebelum dibelasah teruk sehingga meninggal dunia. Menurut forensik, mangsa mengambil masa yang lama untuk lemas mengakibatkan pembunuh mengeluarkan dari cecair kimia tersebut lalu membantai teruk mangsa sehingga menemui kematian.

Mangsa ketiga pula dipatahkan lehernya dan dihentak kepala dengan benda yang keras beberapa kali sebelum mangsa tidak mampu lagi melawan akibat kecederaan yang sangat parah. Mangsa dipercayai sempat melepaskan diri dari tangan pembunuh sebelum ditangkap semula. Pembunuh yang bertambah emosi menghentak kembali dengan kuat kepala dan badan mangsa sehingga mangsa meninggal dunia.

Ketiga-ketiga mangsa dipercayai dibunuh oleh sekumpulan pembunuh yang sama di tempat yang sama dan pada waktu yang hampir sama. Kesemua mangsa dibelah dua badannya sebelum disimbah lagi dengan minyak yang panas. Menurut beberapa saksi, kesemua pembunuh tersebut terdiri dari 4 orang remaja dalam lingkungan 20-an. Mayat kesemua mangsa kini tidak dapat ditemui dan suspek masih lapar mencari bakal-bakal mangsa pembunuhan.

Siapa Mangsa Sebenar?

Kisah di atas memang kisah benar lagi nyata. Berlaku dalam jam 5.30pm - 6.30pm. Membuatkan ia lebih tragis lagi, ianya berlaku tepat di rumah sewa saya sendiri. Mangsa pembunuhan tersebut adalah.....Ikan Keli.....Pengalaman pertama kami warga bujang membeli ikan keli yang hidup. Sebelum ini memang minta orang kedai sahaja yang matikan dan menyiang sekali perutnya. Namun kali ini, ingin merasakan sendiri proses "pembunuhan" ikan keli.

Apa yang penting, ikan keli memang susah nak matikan, dan nasihat saya juga kepada yang baru ingin menceburi bidang 'pembunuhan' ikan keli ini agar berhati-hati juga dengan sengatan yang agak berbisa dari ikan keli. Usahakan pakai sarung tangan (glove) atau perantara yang lain. Kami ada juga yang menggunakan penyepit bagi mengepit ikan tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Masalah yang dihadapi bukan untuk ditangisi, tapi untuk kita cari solusi. Begitulah perumpamaan bagi kami pada awal-awal pencarian idea untuk mematikan ikan tersebut. Siap ada yang melayari internet lagi untuk mencari kaedah yang efektif. Bahan kimia (air garam) yang  kami gunakan itu sebenarnya juga hasil info dari internet. Saya rasa selepas ini, kami akan fikir bukan sekali, tapi beribu-ribu kali untuk beli ikan keli yang hidup.

Seperkara yang ingin saya kongsikan juga mengenai tanah air saya sendiri, Sabah. Ikan keli di Sabah agak mahal dan harga terlalu jauh berbanding di semenanjung. Tapi ikan laut di Sabah memang jauh lebih murah berbanding di semenanjung juga. Jika ikan keli setakat ini kami dapat di Perak ini hanya RM3.90/KG, di Sabah saya pernah jumpa RM18.00/KG. Ikan darat (ikan air tawar) memang agak mahal rasanya di Sabah ini.

Mangsa Bukan Hanya Ikan Keli

Kisah pembunuhan ikan keli yang saya kongsikan mungkin nampak ngeri dan menakutkan, tapi cuba kita bayangkan kondisi manusia zaman sekarang yang sebenarnya lebih kejam dalam melakukan jenayah-jenayah yang di luar akal pemikiran kita. Saya tidak ingin berikan gambaran dan proses-proses pembunuhan yang bagi saya terlalu jijik dan menyayat hati kita semua. Kejahiliyahan zaman sekarang terlalu dahsyat berbanding kejahiliyahan zaman dahulu. Semua kejahatan seperti diupgrade terlalu jauh berbanding kejahatan yang lalu.

Saya teringat salah satu budaya jahiliyyah yang saya baca dalam kitab fiqh sunnah karangan Sayid Sabiq. Kitab fiqh sunnah ini mengandung 14 jilid dan setiap jilid memang agak tebal. Setiap jilid mengupas perkara yang berbeza seperti jilid satu mengenai taharah, jilid ke-2 mengenai solat, jilid ke-3 mengenai puasa, jilid ke-4 mengenai zakat, jilid ke-5 mengenai haji dan jilid ke-6 mengenai perkahwinan. Jilid-jilid seterusnya saya belum telaah, baru sampai jilid ke-6. Saya sangat menganjurkan kita semua untuk membaca juga kitab-kitab fiqh untuk pengetahuan kita semua.

Dalam jilid ke-6, perihal perkahwinan, di situ ada juga kongsikan mengenai konsep perkahwinan zaman jahiliyyah yang dibahagi kepada empat kaedah. Kaedah pertama seperti biasa hanya meminang, kaedah kedua si suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain untuk melakukan aktiviti suami isteri hanya untuk mendapatkan benih lelaki lain, kaedah ke-3 adalah rogol bergilir-gilir seorang perempuan dan anak yang lahir nanti akan disamakan dan dipilih antara lelaki yang pernah bersama si ibu kepada anak tersebut kemudian lelaki itu mesti mengahwini perempuan tersebut dan kaedah terakhir, kaedah ke-4 adalah konsep pelacuran dimana si perempuan akan menaikkan bendera di hadapan rumahnya sebagai lambang dia sedia untuk digauli lalu anak kelahiran akan diminta dukun memilih mana satu adalah bapa anak tersebut.

Beginilah kerosakan Jahiliyyah zaman dahulu dan kalau kita perhatikan zaman kita sekarang yang kononya lebih maju, moden dan global dalam aspek pembangunan, maka maju, moden dan global juga la dalam aspek kejahiliyyahan. Semua kaedah perzinaan di atas memang diaplikasikan pada zaman kita sekarang bahkan saya yakin lebih teruk lagi. Namun, mari kita bersama memupuk kesedaran dalam diri untuk membaiki umat kita zaman kini. Sepertimana Rasulullah SAW menjadi cahaya kepada kegelapan jahiliyyah zaman baginda, ayuh kita semua pula menerangkan kembali cahaya yang dibawa baginda dalam kegelapan jahiliyyah zaman kita.

Wednesday, December 7, 2011

Mengapa Intership/Praktikal Di Sini?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Dari Pandangan Kimia

"blister packaging kite guna material apa ya En Supri?"


"kita guna PVC, Aluminium sama PVdC"


"ok..ni tiga jenis ja la kan En Supri"


"iya.."


"bukan PVdC material yang mudah release gas yang nanti oxideze blistering machine kita ka?"


"tapi PVdC yang baik kalau packaging, cuma kesan kepada mesin ja la kena baiki"


"ok..saya cadangkan better kita coating mesin dengan Taflon.."


"ok juga tu..nanti kita bincangkan lagi.."

Ini adalah salah satu kes yang perlu diperhati dalam tempoh saya praktikal di Idaman Pharma Manufacturing Sdn.Bhd. Kilang pembuatan ubat yang terletak nun dekat dengan UTP, Seri Iskandar. Sekarang sudah 10 minggu saya menimba pengalaman di sini. Masih berbaki 18 minggu kerana total internship/praktikal pelajar UTP adalah lebih kurang 8 bulan.

Konsep pelatihan internship saya di sini agak menarik kerana jadual latihan yang mencakupi semua jabatan (department). Jabatan-jabatan yang terdiri dari Production Dept, Quality Control Dept, Quality Assesment Dept, Supply Chain Management Dept, Engineering Dept, Human Resource Management Dept, Financial Dept, dan lain-lain.

7 minggu pertama saya dimasukkan ke dalam production department. Kawasan yang berhubung terus dalam pembuatan ubat. Bahagian sini sangat-sangat mementingkan kebersihan dan kekemasan. Memandangkan produk yang dihasilkan adalah produk untuk kesihatan manusia dan sebarang kesilapan akan terus berkait rapat dengan sihat-sakit seseorang pengguna. Apa yang menarik, pakaian ala-ala niqob yang menutupi semua anggota badan melainkan mata sahaja hari-hari saya memakainya..^.^..

p/s : banyak gambar diambil dalam production area tapi tidak boleh disebarkan kepada umum..confidential la katakan..hanya untuk simpanan sendiri.

Dalam "Production Area" mempunyai banyak pembahagian pemprosesan yang bukan seperti yang saya alamni dalam Lab di UTP yang mungkin dalam skala kecil eksperimen, tapi pemprosesan di sini melibatkan skala yang amat bekali-kali ganda besarnya. Proses-proses seperti Mixing, granulation, coating, crystalization, drying dan beberapa proses lain yang biasa dihadapi dalam eksperimen UTP namun perbezaannya ia dalam skala yang lebih besar.

Dalam "Quality Control" department, saya dijadualkan pada bulan Januari 2012 nanti dan yang pasti banyak bermain dengan peranan ahli chemist. Namun, saya diberikan peluang menggunakan bilik QC untuk sehari ketika perlu menyelesaikan sedikit research dan investigation mengenai contamination terhadap packaging dan raw material bagi beberapa produk. Penyusunan jadual saya didedahkan dahulu dengan pemprosesan produk sebelum dimasukkan ke dalam bahagian pengkajian QC agar saya sedia maklum dengan produk-produk dan langkah pemprosesannya. Saya sertakan sedikit perihal perbincangan contamination yang berlaku terhadap bahan packaging di sini.

"bukan hanya satu bottle..tapi hampir 10 botol yang mengandungi black-spot dalam satu batch  bottle jenis ini.." Salah seorang kakak chemist menyuarakan kerisauannya.


"kita takut customer akan concern ketika ada black spot sebegini..sebab kita bermain dengan ubat kesihatan..walaupun ubat kita semua elok, tapi bottle juga akan beri effect kerisauan jika tidak diperhati"Seorang lagi kakak chemist menambah kerisauan.


"saya rasa kita kena consider black-spot ini adalah foreign particle atau particle yang sama, iaitu HDPE..Sebab yang kita risaukan jika ia adalah particle lain seperti carbon yang mungkin kontaminasi hasil dari proses pembuatan" Saya mula bersuara. 


"Kita tahu raw-mat (singkatan raw material) yang digunakan sepatutnya mengikut spec (specification) yang ditetapkan..ini dari warna sahaja kita dah tahu kontaminasi yang berlaku..sebab sepatutnya 1st raw-mat dia warna putih" Kakak chemist menyuarakan pandangannya.

Dua orang wanita dewasa berbangsa china datang menghampiri kami. Mereka adalah supplier kepada raw material bahagian bottle. Selepas diperlihatkan beberapa black spot yang muncul, mereka mula mengeluarkan sesuatu dari beg dan mula memberikan pandanganya.

"macam ni..sini saya ada bawa raw-mat asal dalam bentuk solid particle yang belum dicairkan untuk dijadikan bottle..sini boleh lihat biji-biji ni bukan semua warna putih..ada yang kelabu-kelabu sedikit..tapi masih dari raw-mat yang sama"


"kami pun sudah usaha untuk buat sorting supaya diasingkan raw-mat yang colour lain sikit..tapi terkadang mungkin kami terlepas sebab kita tahu production kita buat dalam mass production..tapi jangan risau..dia tidak ada bagi kesan reaksi sama itu ubat"


"aunty, macam ni la aunty..mungkin kita boleh tahu yang black spot tu tidak berikan apa-apa reaksi memandangkan ia bukan foreign particle..tapi kami consider customer yang akan buat complaint dengan kami..kalau boleh kita kena elakkan dari awal.."


"ok..ok..berapa tinggi acceptance level kamu untuk black spot ini..sebab kalau memang banyak black spot itu kami boleh reject..tapi kalau satu-dua sahaja takkan tidak boleh terima?"


"kalau satu-dua tu boleh aunty..tapi ada botol yang banyak juga black spot dia aunty..pihak kami tidak boleh terima batch yang latest aunty hantar..kami tidak boleh release lagi selepas sampling yang first ni pun tidak lepas di QC"


"ok..ok..nanti saya product recall dulu untuk batch latest ini..tapi dulu-dulu punya batch semua ok kan?"


"itulah aunty, sebelum ni semua ok..yang latest ni jer ada masalah sedikit, mungkin aunty kena tingkatkan dulu bahagian QC aunty.."


"ok..nanti kami usahakan dulu ya..thank you.."

Kehidupan Dalam Office

Selepas jabatan pertama di production selama hampir 8 minggu. Saya dipindahkan pula ke bahagian Quality Assesment Department. Jabatan ini dipenuhi dengan HOD (Head Of Department) yang mengawal selia kualiti secara keseluruhan. Ketua jabatan disatukan dibawah jabatan yang sama untuk memudahkan integrasi sesama jabatan. Disini ku merasaka kehidupan dalam office.

Dalam office terdiri dalam 9 orang (termasuk saya) dan masing-masing mempunyai meja dan  corner tersendiri (termasuk saya). Semua dibekalkan dengan komputer dan segalanya (termasuk saya). Apa yang saya perhatikan, kehidupan eksekutif tinggi di sini penuh dengan dua perkara sahaja, samada berhadapan depan komputer atau sibuk keluar menghadiri meeting (tidak termasuk saya). Ada yang dari masuk kerja jam8.00am sampai habis kerja jam5.30pm hanya berhadapan depan komputer sambil jari-jemari menari diatas papan kekunci. Hanya beranjak sementara ketika waktu rehat. Namun, semuanya sangat serius dan komitmen dalam bekerja.

Tidak kurang juga yang saya perhatikan kehidupan disini yang berhadapan dengan komputer sambil makan jajan/snek sepanjang masa. Bunyi-bunyi kunyahan kerangupan makanan ringan yang  menyinari rentak bunyian yang diselitkan dengan bunyi hembusan aircond yang dingin sekali. Satu benda yang pasti, sini sangat sejuk dengan berbekalkan 4 penghawa dingin walaupun ruang pejabat yang mungkin cukup sempit bagi 4 kuasa aircond. Namun yang menarik, walaupun masing-masing sibuk dengan kerja masing-masing, kecerian dan keramahan sangat terserlah di sini. Makanan juga saling berputar kepada semua ahli pejabat. Bagi mengelakkan saya terus disorong makanan mereka, saya bawa pertahanan saya sendiri, makanan ringan sendiri...huhu..

Saya banyak diminta bantuan kalau perihal penggunaan aplikasi komputer memandangkan kebanyakan menyatakan software komputer sekarang sangat baru dan tidak sesuai dengan zaman mereka. Itu cuma sampingan dan tugas utama saya disini adalah rakan sekerja bahagian validation untuk semua equipment dan application seputar syarikat. Rakan sekerja saya seorang validation engineer yang berasal dari indonesia. Seorang yang penuh dengan lawak jenakanya tapi serius ketika perihal kerja. Banyak yang saya pelajari dari pengalaman bersama beliau yang berbelas tahun berkecimpung dalam arena industri ini.

Perkara terakhir yang banyak saya didedahkan disini adalah perbincangan seputar syarikat dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara. Dari sekecil-kecil duit sen, kepada berjuta-juta wang ringgit. Dari perkara yang mengukir senyuman juga perkara yang menistikan air mata. General Manager (GM) juga sering turun ke department ini memandangkan kaki tangan utamanya dalam menggerakkan syarikat ini semua ada di sini.

Syarikat Sendiri?

Di pagi hari, di pejabat yang dingin..tiba-tiba..

"Farul, farul ada buka syarikat sendiri kan?"


"hah..owh..iya kak laila..tau mane?"


"syarikat apa farul?" Kak Salina memotong.


"syarikat biasa-biasa ja..buka syarikat penerbitan dan percetakan"


"owh..boleh la lepas ni printing tempat farul jer" Kak Laila memotong kembali.


"setakat ni kami fokus penerbitan ja dulu Kak Laila..printing masih out source lagi.."


"tengok farul tu, muda-muda sudah buka bisnes sendiri, kami ni tak tau sampai bila macam ni..apa nama syarikat?" Kak Ija masuk sekali.


"memang minat Kak Ija..Syarikat Synergy Media Sdn. Bhd...pejabat dekat Batu Gajah.."

Perbualan terus makin rancak dengan pertanyaan itu dan ini. Bagi saya yang masih terlalu sedikit ilmu dan pengalaman mengurus sebuah syarikat sangat-sangat memerlukan pengalaman di sini untuk perbaikan syarikat. Saya sangat bersyukur dapat tempat internship yang memberi peluang belajar dalam semua jabatan. Walaupun jabatan yang paling lama akan saya dimasukkan adalah di bahagian Quality Control yang mempunyai makmal kimia untuk melakukan eksperimen dan pengkajian disamping dihubungkan dengan jabatan production dan engineering.

Inilah sebenarnya faktor utama saya memilih tempat ini kerana ia menerima tawaran saya untuk belajar di setiap jabatan dan bukan seperti kebanyakan tempat internship yang hanya mengkhususkan di tempat yang berkait rapat dengan jurusan yang diambil. Memang saya minat Chemical Engineering, namun disebalik minat itu tersembunyi minat yang lebih besar, minat yang bagi saya turun temurun dari keluarga sebelah bapa yang kebanyakan memang khusus menceburi dalam perusahaan sendiri.

Kawan-kawan satu batch ramai agak terkejut mendengar saya hanya intern dekat dengan UTP kerana ramai dan hampir semua ingin pergi sejauh mungkin dan pergi yang dekat dengan rumah masing-masing. Namun saya ingin intership disamping mengurus syarikat sendiri. Bagi saya, pencarian tempat intern yang sebenarnya untuk saya belajar yang berkaitan dengan perancangan masa hadapan, mengurus syarikat sendiri. Mungkin agak jauh dari bidang utama, chemical engineering, namun itulah hakikat yang perlu saya akui. Bagi yang minat bisnes juga, ayuh sambung lagi master anda. Doakan untuk saya menyambung dalam MBA kelak nanti.

Kebaikan Perlu Terorganisasi

Saya yakin kita semua maklumi kata-kata Saidina Ali yang menyatakan "Kebatilan yang tersusun akan mampu mengalahkan kebajikan yang tidak tersusun". Tidak kisah dalam aspek pengurusan syarikat mahupun pengurusan dakwah kita sendiri, semuanya perlukan sebuah sistem yang sangat-sangat terorganisasi dan mencakupi pelbagai sayap-sayap dakwah yang lain yang bakal menerbangkan tinggi lagi dakwah ilallah ini. InsyaAllah..

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."[QS as-Saff, 61:4]

Salah satu syarat memperoleh cinta Allah adalah perjuangan kita dalam keadaan yang tersusun kukuh. Walaupun banyak organisasi yang sangat tersusun pengurusannya, hebat penampilannya, gencar perkembangannya, pastikan ingat landasan perjuangan wajib dijalan-Nya dan bukan kerana ingin mencapai jalan lainnya. Jangan sampai landasan perjuangan kita hanya di'coating' dengan semboyan ke jalan-Nya, tapi sebenarnya bersimpang siur tujuan yang mengalahkan tujuan utama, Redha Allah semata.

Sedarlah bahawa kebaikan zaman sekarang berjalan seperti kura-kura, manakala kejahatan zaman sekarang berlari seperti seekor arnab. Maka mari kita persiapkan dengan lebih kuat, fokus dan tersusun untuk memastikan kura-kura akan mampu mengalahkan arnab itu nanti. Biar perlahan langkah kita, yang penting teruslah istiqamah di jalanNya. Walaupun kita tidak tahu adakah kita sempat melihat trofi kejuaraan umat Islam di dunia ini, yang penting kita ada menyumbang ke arah kejuaraan tersebut. Suatu benda yang pasti, trofi kejuaraan di akhirat nanti yang pasti diberikan kepada semua yang memperjuangkan agama Illahi. Amin Ya Malik.

Friday, December 2, 2011

Momentum Hijrah, Ramai Tidak Mampu Kekalkan...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Momentum Hijrah

Pernah atau tidak kita perhatikan segolongan manusia yang pada awalnya sungguh semangat ingin berhijrah (berubah) ke arah yang lebih baik namun sayangnya momentum perubahan mereka tidak mampu dikekalkan lebih lama? Pernah? atau mungkin diri kita sendiri merasakan perkara sedemikian? Namun, golongan sebegini sudah dikira agak baik kerana ada niat, azam dan usaha untuk berubah walaupun tidak cukup kuat menghadapinya.

Ada pula segolongan manusia yang berada dalam kepompong kerosakan namun tidak pernah terdetik sedikit pun untuk menginsafi dan melakukan perubahan kepada diri. Masih ingin terus menerus bergelumang dengan lumpur dosa yang bukan hanya mudaratnya pada diri mereka, tapi terpalit juga lumpur dosa kepada orang lainnya.

Golongan seterusnya pula mereka yang merasa cukup di zon selesa. Seorang muslim yang mungkin merasakan ibadat yang biasa sudah cukup dijadikan amalan tanpa ada rasa ingin berusaha untuk meningkatkannya. Begitu juga seorang da'i(pendakwah) yang merasa cukup dengan zon selesa dakwah tanpa proaktif ingin meningkat mutu kredibiliti seorang pendakwah apatah lagi pencapaian dakwah itu sendiri kerana merasa cukup sekadar berada dalam lingkungan para pendakwah.

Kita kembali kepada muqadimah persoalan kita tadi, mengenai momentum penghijrahan/perubahan  yang mungkin hilang ditelan masa. Mengapa ini harus berlaku? kerana saya yakin semua kita inginkan perubahan kita mampu berkekalan bahkan ingin ia berterusan melakukan perbaikan. Namun, seribu kali sayang, kebanyakan hanya menjadi angan-angan yang tidak mampu direalisasikan. Sebenarnya, bahan-bahan kek hijrah bukan hanya keimanan dan penghijrahan, namun ia memerlukan bahan kesungguhan (jihad) sebagai bahan penaik kek hijrah tersebut.

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."[QS at-taubah, 9:20]

Jihad. Itulah bahan yang akan mampu mengekalkan keenakan kek hijrah kita bersama. Bersungguh-sungguhnya kita untuk menjaga keimanan, ketakwaan dan perubahan kita ke arah kebaikan. Kesungguhan (jihad) kita jangan hanya kesungguhan yang sepele sehingga sangat lemah untuk mengekalkan penghijrahan, tapi penghijrahan yang disertakan dengan pengorbanan harta, masa dan tenaga kita yang pasti akan melajukan (booster) lagi diri kita berlari menuju kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan.

Hijrah Kebaikan @ Kebatilan

Kita sepakati bahawa berbicara mengenai hijrah pasti hanya perubahan ke arah yang lebih baik, dan istilah berhijrah ke arah yang buruk hanya pengibaratan manusia untuk menggambarkan norma manusia yang bukan hanya ada yang jahat berubah menjadi baik, namun tidak sedikit juga yang dahulunya baik menjadi jahat, dahulunya menentang kebatilan berubah menjadi melakukan kebatilan, dahulunya menyampaikan kebenaran berubah menjadi penentang kebenaran dan dahulunya berdakwah menegakkan Islam kini hanya duduk santai dalam keseronokan. Na'udzubillahiminzalik.

Saya yakin perkara yang kita bahaskan bukan sesuatu yang mustahil, namun sesuatu yang sudah dibuktikan dengan realiti umat sekarang. Saya secara jujur sangat-sangat sedih ketika melihat kelibat manusia yang melakukan kemaksiatan sedangkan insan tersebut dahulunya saya kenal sebagai insan yang memperjuangkan perintah dan larangan Allah. Dahulu sungguh tegar berkorban demi Islam, namun sekarang habis keislamannya dia korbankan. Ya Allah, sedarkanlah mereka dari kerosakan tersebut dan lindungilah kami dari melakukan perkara sedemikian. Amin Ya Hadid.

Saya melihat skema jawapan waktu SPM kita dalam membuat esei yang membahaskan mengenai kerosakan akhlak, kita sering meletakkaan salah satu faktor yang menyumbang ke arah kerosakan ini adalah pengaruh dari rakan sebaya. Dahulu mungkin sekadar jawapan untuk peperiksaan, namun sebenarnya itulah faktor yang sangat-sangat penentu kepada baik-buruk seseorang individu sehingga Rasulullah SAW menyampaikan bahawa setiap diri adalah bergantung kepada agama kawannya [HR Abu Daud]. Bahkan al-Quran sendiri menvisualkan penyesalan dalam salah memilih kawan.

"Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku)."[QS al-Furqan, 25:28] 

Penghijrahan diri sendiri mungkin agak payah jika tiada teman di sisi. Namun pemilihan teman sangat-sangat penting untuk menentukan kita di pengaruh positif atau pengaruh negatif. Maka carilah teman yang mampu membawa sampai ke syurga, bukan teman yang mampu menarik ke dalam neraka.

Bila Waktu Berhijrah?

Mengenai persoalan ini, saya yakin ia merupakan soalan bonus kepada kita. Saya yakin kita semua tahu jawapannya, cuma sayangnya mengapa tidak kita lakukan? Sekarang! Memang sepatutnya dan kita semua ingin berubah sepatutnya sekarang! Namun, kebiasaan menunda sesuatu perkara akhirnya berjangkit untuk menunda juga perihal kebaikan.

Anda ingin meninggalkan dosa dan kemaksiatan, tinggalkanlah sekarang juga! Ingin berhenti dari terus berkasih-kasihan dengan kekasih hati (couple), maka usahakan putuskan sekarang juga! Anda ingin menyedari cara pakaian yang menutup aurat bukan hanya memakai tudung dengan pakaian yang masih ketat, lengan yang masih terlihat, atau gaya yang memikat, maka dari sekarang pakailah pakaian Islam yang sebenar. Anda ingin sedari bahawa gambar-gambar yang tidak menutup aurat atau gambar-gambar menggugah jiwa di laman-laman sosial terlalu banyak anda muat naikkan, maka privasikan untuk tatapan anda sahaja atau buanglah untuk kebaikan anda dan orang lainnya. Akhir sekali, untuk da'i (pendakwah), anda sendiri tahu perkara-perkara yang sia-sia yang perlu anda tinggalkan sekarang juga. Sebenarnya, semua kita tinggalkan di atas tidak lain hanya untuk mematuhi perintah Allah semata.

Semua di atas mungkin seputar kebatilan yang perlu kita tinggalkan, ayuh beralih pula kepada kebaikan yang ingin kita laksanakan. Jangan lagi kita bertangguh untuk menambah ilmu -ilmu agama contohnya, samada belajar membaca al-Quran atau membaca buku-buku agama. Infakkan sedikit wang ringgit dan masa untuk membeli dan membaca buku-buku agama. Hadiri majlis-majlis agama. Mungkin anda tahu perihal majlis yang khusus seperti usrah atau halaqah, tapi terkadang ramai yang allergic hasil doktrin musuh-musuh Islam untuk umat Islam takut sendiri untuk mendalami Islam, maka anda sendiri yang sepatutnya menawarkan diri kepada mana-mana yang boleh membimbing anda untuk mengajarkan anda mengenai agama. Selain itu, ayuh tingkatkan lagi amalan-amalan kebaikan yang terlalu banyak untuk kita laksanakan.

Istimewa buat para da'i, jangan merasa selesa dan cukup dengan potensi kita sedia ada. Tolong tingkatkan pengetahuan kita lagi mengenai agama, disiplinkan waktu setiap minggu ada membaca buku-buku agama. Jika mampu buatlah jadual rutin mingguan hari apa dalam setiap minggu untuk kita membaca ilmu hadis, ilmu fiqh, ilmu sirah, ilmu tafsir, perkembangan dunia Islam, hafal quran, ilmu psychology, ilmu motivasi, ilmu bisnes dan banyak lagi ilmu-ilmu sebagai pelengkap seorang da'i yang berkualiti tinggi. Rancang juga peningkatan amal ibadat kita agar sentiasa meningkat. Kesihatan tubuh badan juga pastikan dalam perancangan samada dari aspek kesukanan, kebersihan atau pemakanan. Setiap minggu pastikan ada senaman yang kita lakukan. Perhatikan juga peningkatan ekonomi dan akademik atau kerjaya kita agar menjadi penguat dan bukan pelemah kepada dakwah kita dan banyak lagi sebenarnya peningkatan kualiti yang boleh kita usahakan, samada kita MAHU atau TIDAK.

"dan diantara mereka ada yang lebih dahulu (bersegera) berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar."[QS Fatiir, 35:32]

Sucikan Niat Hijrah

Kita ketahui Asbabul Ghurud (sebab turunnya hadis) bagi hadis yang sangat popular mengenai "Innamal a'malu binniat", setiap amalan bermula dengan niatnya, kerana ada sahabat yang berhijrah kerana ingin menikahi wanita yang diingininya. Ayuh kita bersihkan niat kita bersama untuk lakukan satu penghijrahan terbesar iaitu menghijrahkan kerosakan umat Islam sekarang kepada kegemilangan umat Islam, menghijrahkan kemunduran umat Islam sekarang kepada kecemerlangan umat Islam, menghijrahkan perbalahan umat Islam sekarang kepada perpaduan yang tidak mampu lagi dikalahkan. Semua dengan syarat, Fahijratuhu ilallahi wa rasululihi.

"Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS an-Nisa', 4:100]

Mohon doakan semua kita yang berjuang sentiasa diredhai Allah dan sentiasa dipimpin Allah di atas landasan kebenaran. Amin Ya Rahman, Ya Rahim.