Sunday, February 20, 2011

Ikan Mengajar Erti Keimanan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Iman,
ibarat ikan di lautan,
hidup dipenuhi lingkungan garam,
bergerak merenangi kemasinan lautan,
namun kemasinan tidak memberi kesan,
tidak meresapi tubuh badan,
selagi hidup kan terus bertahan.

Iman,
ibarat ikan di lautan,
ketika ia menemui kematian,
kemasinan mudah meresapi badan,
proses osmosis memainkan peran,
bangkai lemah tidak bertahan,
akhirnya dipenuhi dengan kemasinan,

Iman,
harus terus dihidupkan,
agar terus mampu bertahan,
menapaki liku kehidupan,
merenangi lautan kerosakan,
hidupkan iman dengan amalan,
jangan matikan dengan kemaksiatan.

Iman,
cahaya dikala malam,
penyuluh dalam kegelapan,
penunjuk kepada kebenaran,
walau awan gelap mendatang,
ia akan terus memancar,
tanpa ia dimalapkan.


Saturday, February 19, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian III)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Nasihat Hari Ini : Harta akan hancur ditelan zaman, sedangkan ilmu tidak akan ditimbun zaman. Maka, teruslah mencari ilmu, kerana ilmu itu juga akan menjagamu, sedangkan harta malah kita yang menjaganya. Paling bahaya, pemilik harta boleh saja mengaku menjadi Tuhan akibat harta yang dimilikinya, sedangkan yang berilmu justru mengaku sebagai hamba kerana ilmunya. Namun, boleh saja biar kaya harta, asal kaya hati dengan iman, ilmu & amal..Wallahu'alam..

Nasihat Hari Ini : Orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari pengalaman sendiri & pengalaman orang lain. Susah-susah diri sendiri dan orang lain mencipta dan melalui pengalaman, namun mudah-mudah bagi kita peluang jika ingin mengambil pelajaran. Ayuh, waktu semalam yang sudah bukan milik kita, esok hari yang belum tentu kita dapati, namun hari ini yang kita dapatkan untuk dimanfaati, maka rebutlah peluang yang diberikan. Semoga diberi kekuatan sentiasa memperbaiki diri setiap masa, sebelum ajal yang pasti menjemput kita.

Nasihat Hari Ini : Saya ketawa kepada orang yang mengejar dunia, sedangkan kematian terus mengejar kita. Dan juga kepada orang yang melalaikan kematian, sedangkn kematian tidak pernah lalai terhadap kita. Ayuh kita taubat bersama diatas dosa yg kita lakukan. Teruslah berubah ke arah kebaikan.

Nasihat Hari Ini : Pasangan kita tidak datang kerana kecantikan, kepintaran ataupun kekayaan. Tapi Allah yang menggerakkan. Cinta sejati tidak perlu diucapkan, kerana cinta sejati akan berbicara tentangnya sendiri. Simpanlah ungkapan cinta dan derap hati rapat-rapat, Allah akan menjawabnya dengan lebih indah di saat yang tepat..InsyaAllah..

Nasihat Hari Ini : Marilah kita manjakan minda dengan menuntut ilmu, manjakan lisan untuk mengajarkan ilmu dan manjakan jasad untuk mengamalkan ilmu serta manjakan hati agar sentiasa tunduk kepada Allah yang Maha Berilmu..

Nasihat Hari Ini : Kecantikan muka merupakan pemberian tanpa pengorbanan, namun kecantikan hati perlu melewati proses panjang nan berliku pengorbanan dengan segala kepahitan. Mana yang bernilai? Mungkin kita mampu mekapkan muka kita dengan alat solek agar nampak cantik luarannya, namun jangan menyangka kita mampu mekapkan hati kita dengan kemunafikan agar nampak cantik akhlaknya..

Nasihat Hari Ini : Masuk kandang kambing mengembek, Masuk kandang harimau mengaum, jika mengaum di kandang kambing, maka lari semuanya, jika mengembek di kandang harimau, nahas kita dikerjakannya..namun teruslah jadi kambing walau di kandang harimau, dan teruslah jadi harimau walau di kandang kambing..sesuaikanlah dengan suasana tanpa menggoyahkan prinsip kita..agar mampu menjadi gula kepada semut yang disukai semua.

Nasihat Hari Ini : Janganlah kita tertipu dengan pinjaman yang kononnya milik kita selamanya, padahal ia pasti akan diambil kembali dari kita. Kehidupan ini hanya pinjaman dari Allah, pinjaman sebagai modal untuk kita beramal, bukan modal untuk kita bermaksiat dan lakukan apa sahaja kehendak kita dengan pinjaman itu kerana menyangka ia milik kita..Pergunakanlah sebaik-baiknya pintu kehidupan selama ia masih terbuka, kerana yakinlah sebentar lagi ia pasti akan tertutup.

Nasihat Hari Ini : Pengguna yang bijak adalah dia tahu ke mana wangnya dibelanjakan dan kemana masanya dihabiskan..kerna ramai kehabisan wang ringgit tapi tidak tahu kemana ianya bocor dengan cepat, ramai kehabisan masa dan tidak tahu mengapa tidak cukup masa..rancanglah perjalanan hidupanmu

Nasihat Hari Ini : Impian dirancang untuk dicapai..Maka, jJangan hanya hebat pada impian, namun kurang dari segi kesungguhan..Ayuh tingkatkan semangat meletakkan matlamat-matlamat kita dan fokus untuk meraihnya..

Nasihat Hari Ini : Don't under-use our potential, optimize it in this very short life, because our life is to short to waste our potential. One thing for sure, every each of us have their own great potential to success in this world and the here after..It is just depend either we want it or not.

Friday, February 18, 2011

Masihkah Ada Peluang Buatku?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Hari-Hari Yang Berlalu...

Ibrahim al-Harby pernah menuturkan mengenai Imam Ahmad Bin Hanbal:

"Aku menyertainya selama 20 tahun, siang dan malam, musim panas dan musim sejuk, namun tidak satu hari pun yang aku lalui bersamanya, melainkan hari ini jauh lebih baik dari sebelumnya"

Subhanallah, dalam apa jua keadaan, dari hari ke hari, beliau menjadikannya lebih baik dari semalam. Bagaimana dengan kita? Adakah kita sentiasa berusaha agar hari ini lebih baik dari semalam? Atau abaikan langsung hadis Rasulullah yang menyeru kita menjadikan hari ini lebih baik berbanding semalam, dan hari esok usahakan lebih baik dari hari ini?

Cuba kita perhatikan hari-hari yang kita lalui, terkadang bukan kebaikan yang mengisi tempoh tersebut, tapi keburukan dan kemaksiatan yang berterusan memenuhi tempoh diberikan. Sehinggakan kita tunggang terbalikkan pesanan Rasulullah menjadikan hari ini lebih teruk dari semalam, dan hari esok tiada perubahan bahkan mampu menjadi lebih keruh lagi. Adakah ini yang kita inginkan dalam diri kita? Adakah kita ingin perkara ini berterusan mengisi album kehidupan kita?

Mari cuba rendahkan kesombongan dan ego kita dihadapan Allah. Cuba ingat, fikir dan hayati perlakuan yang kita lakukan. Perlakuan dosa dan maksiat yang kita tahu Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihatnya. Tiada jalan keluar untuk kita tidak ingin mengakui dosa-dosa kita, kerana jika dosa sendiri pun tidak ingin diakui, bagaimana pula ingin mengeluarkan kata taubat dari lidah kita?

Seteruk Apa Pun Kita!!!

"Sudah la..sapa la aku ni mau minta ampun..berapa banyak maksiat aku lakukan..semua benda jahat aku dah buat..pegang tangan ka, bercumbuan ka, berjudi ka, hisap dadah ka, berzina ka, tinggalkan solat ka, lawan cakap mak ayah, bergaduh tak tentu pasal, membuli orang lain, mencuri, berhibur lebih-lebihan, konsert-konsert hiburan, atau apa-apa benda buruk hampir semua aku buat..aku ni dah melampaui batas..mana mungkin aku diampunkan!!!"

Mungkin inilah kata-kata yang sering kita dengar ketika mengajak diri atau orang lain untuk berubah dan bertaubat. Siapa kita yang ingin menentukan keampunan Allah? Siapa kita yang ingin menghukum perlakuan kita? Jangan kita menjadikan persepsi tersebut menghalang kita untuk berubah, bahkan jangan menjadikan persepsi itu untuk terus menambah kemaksiatan dihadapan Allah!!!Hayati pesanan Allah kepada kita...

"Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."[QS az-Zumar, 39:53]

Sahut la peluang yang Allah berikan kepada kita. Tiada dosa yang tidak mampu diampunkan melainkan dosa mensyirikkan Allah dengan izin Allah Al-Ghaffar Al-'Afuw. Kita sendiri yang selalu menolak untuk memberikan peluang pada diri untuk berusaha memohon ampun kepada-Nya. Mungkin memang kita terlalu banyak melakukan kejahatan dan menganiaya diri sendiri, namun ingatlah Allah sentiasa menanti keluhan taubat dari kita semua.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS an-Nisa', 4:110]




Amalkan Taubat Dalam Kehidupan

Sebelum meningkatkan kesedaran diri mengenai kebutuhan bertaubat, masih ramai tidak mampu membezakan adakah perlakuannya itu dosa atau sebaliknya. Jika sentiasa menambah sensitiviti mengenai dosa yang dilakukan itu ada baiknya, namun bagaimana dengan manusia yang sentiasa menganggap perkara yang sebenarnya dosa, namun dia hanya anggap biasa bahkan menganggap ia bukanlah dosa kepada dirinya. Rasululullah SAW telah memberikan indikator kepada kita dalam sabdanya:

"Kebajikan adalah akhlak terpuji, sedangkan dosa adalah apa yang meresahkan jiwamu serta engkau tidak suka apabila masalah tersebut diketahui orang lain"[HR Muslim]

Mungkin kita pernah melakukan sesuatu yang nampak salah, tapi kita mengingkarinya dan mengatakan ianya bukan dosa. Maka zahirkan pemikiran kita ketika itu, adakah kita suka perkara yang kita lakukan itu diketahui orang? Kerana salah satu aspek besar membuatkan kita kurangnya sensitiviti terhadap maksiat yang dilakukan adalah hasutan syaitan durjana.

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,"[QS al-Hijr, 15:39]

Cukuplah berterusan menganggap enteng dosa yang kita lakukan, laksanakan perintah Allah ketika kita telah sedari bahawa kita sebenarnya melakukan kesalahan. Ingatlah kembali kepada Allah, mohon keampunan kepadanya dan berazam jangan mengulangi kesalahan tersebut, taubat nasuha!

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."[QS al-Imran, 3:135]

Jangan Merasa Cukup!!!

Mungkin kita adalah salah seorang yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya sehingga mampu beramal dengan kebaikan dan berada dalam suasana yang baik. Dapat qiamullail, solat diawal waktu, solat sunat dhuha, berpuasa sunat, bersedeqah bahkan nikmat berdakwah kendatipun, namun, jangan sesekali merasa cukup dengan amalan tersebut sehingga merasa dah cukup mulia, terus rendahkan hati kita sentiasa memohon ampun kepada Allah. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang maksum bahkan dijanjikan syurga sekalipun.

"Demi Allah, sesungguhnya saya itu niscayalah memohonkan pengampunan kepada
Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali."[Riwayat Bukhari]


"Hai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan
daripadaNya, kerana sesungguhnya saya ini bertaubat dalam sehari seratus kali."[HR Muslim]

Sedangkan baginda sendiri sebegitu aktif memohon keampunan, apatah lagi kita yang pasti banyak melakukan dosa dan kesalahan sebenarnya walaupun mungkin pada zahirnya orang lain melihat sebaliknya. Bahkan mungkin jika dosa dan kesalahan kita mengeluarkan bau yang busuk, nescaya tiada orang ingin mendekati kita lantaran dari kebusukan dosa tersebut. Bayangkan tahajjud yang kita tinggalkan, solat subuh yang dilajakkan, meninggalakan solat sunat dhuha hanya kerana alasan kecil, bacaan al-Quran yang terkadang dibiarkan bahkan perlakuan mata, telinga, hati dan anggota lain yang kearah keburukan, buanglah bisa-bisa itu dari badan kita yang akan membinasakan diri dan perjuangan kita. Ayuh baiki hubungan kita dengan Allah SWT kerana Dia-lah penentu segalanya akan usaha yang kita lakukan.

Jika seseorang mengerjakan dosa, maka itulah penyebab kehinaan dirinya.[sulaiman bin Tharkhan at-Taimi – Tabi’in]

Kenikmatan Bertaubat

Memang tidak dinafikan imanu yazidu wa yankus (iman turun dan naik), bahkan mungkin sering kita alami zaman kejatuhan benteng keimanan kita sehinggakan banyak amalan kita tinggalkan. Manfaatkanlah ramuan penawar yang diberikan Allah kepada kita untuk menaikkan kekuatan kita.

Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa." [QS Hud, 11:52]

Permohonan ampunan dan taubat mampu memberikan nikmat yang deras tidak terkira, bahkan janji Allah akan menambahkan kekuatan di atas kekuatan kita yang masih lemah dengan syarat jangan berpaling melakukan dosa.

"dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat." [QS Hud, 11:3]

Subhanallah, Maha Pengampun dan Pemurahnya Allah SWT walaupun jika dikira dengan dosa yang sebenarnya kita mohon keampunan padanya, bukan hanya keampunan diberikan, bahkan kenikmatan lain diberikan. Namun.....

"Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya ?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS al-Maidah, 5:74]

Mengapa dan apa sebenarnya sebab bagi kita tidak ingin bertaubat pada-Nya? Adakah kita dah puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat hanyalah sedikit?

Pintu Taubat Ada Jangkanya

Jangan bertunda dalam bertaubat. Ramai kononnya menjadikan masa muda jaminan sampai ke masa tua maka menunda taubat di hari tua. Ramai juga menjadikan masa sihat menjadi jaminan taubat masih mampu ditunda sebelum datangnya kematian. Bagaimana jika perancangan kita dalam bertunda tersebut tidak seperti yang diharapkan? Bagaimana jika tempoh jaminan itu dipotong 50% atau lebih? Tidakkah kita menyesal? Sepatutnya makin berusia makin aktif beramal dan bertaubat, bukan makin pasif keduanya.

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih. [QS an-Nisa', 4:18]

Na'udzubillah, semoga kita tidak tergolong dalam kalangan yang ketika ajal mendatang baru berusaha ingin bertaubat dan kita tahu janji Allah atas orang sedemikian.

"Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla itu menerima taubatnya seseorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongannya - yakni ketika akan meninggal dunia."[HR Tirmidzi]

Mari muhasabah kembali diri kita, hisab kembali amalan-amalan kita, sebelum Allah yang menghisab kita kelak. Manfaatkan masa yang diberikan kepada kita seoptimumnya, kerana waktu semalam sudah bukan milik kita lagi, esok hari yang belum tentu kita dapati. waktu sekaranglah yang ada di tangan untuk kita manfaati.Jangan lagi meletakkan ramuan menunda dalam bertaubat dan beramal.

Jauhilah sikap menunda-nunda. Kerana, bahagianmu adalah hari ini, bukannya esok. Bila kamu mendapatkan bahagian di hari esok, maka berbuatlah seperti apa yang kamu lakukan hari ini. Bila kamu tidak mendapatkn bahagian di esok hari, maka kamu tidak akan menyesali apa yang terlewatkan pd hari ini. [Hasan al-Basyri]

Hapuskan Keburukan Dengan Kebaikan

Perkara-perkara keburukan yang pernah kita lakukan mari kita counter dengan kebaikan yang berlipat ganda. Keburukan laksana acid kepada kita, jangan kita hanya ingin neutralkannya dengan sedikit alkali, tapi tambahkanlah alkali tersebut agar berada di zon selamat dari jatuh kembali ke lembah acidic. Kerana menyesali, memohon ampun dan taubat dan berazam tidak mengulanginya lagi belum cukup utuh menjamin penerimaan taubat bahkan penghapusan dosa kita.

"kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang." [QS al-Baqarah, 2:160]

Inilah salah satu hint atau clue kepada kita, bukan hanya bertaubat, adakan perbaikan kemudian terang dan dakwahkan kebenaran kepada sekeliling agar jangan mengulangi kesalahan kita yang lama. Mari iringi keburukan dosa kita dengan kebaikan.

"Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Dan iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan perlakulah manusia dengan akhlak terpuji.[HR Tirmidzi]

Orang yg mmbersihkn diri bukanlah orang yang membersihkan kekotoran di badannya dgn air. Orang-orang yang membersihkan diri ialah mereka yang membersihkan dosanya dengan ketakwaan [Abu al-Aliyah]

Nasihat buat kita semua yang ingin perjuangkan kebenaran, mungkin terkadang pernah kita hilang kawalan dalam hubungan kepada Allah, cuba dicover dengan sisi yang lain sebagai pelengkap kepada lainnya. Jika tertinggalnya tahajjud kita, jangan kerana tinggalnya ia mengakibatkan kita tinggalkan dan melemahkan amalan lainnya, malu-lah kepada Allah atas kesalahan kita itu, dan iringi dengan kebaikan lainnya samada menambah lagi bacaan quran kita, rakaat dhuha kita, istighfar kita, zikir kita bahkan solat sunat kita lainnya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk jadikan taubat sebagai salah satu makanan ruji harian kita.

Thursday, February 17, 2011

Selamat Menghayati Maulidur Rasul

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

Assalamu'alaikum wbt, saya mohon maaf lama tidak update blog ni..kesibukan sendiri yang menimpa diri..apapun, insyaAllah sempena Maulidur Rasul, lebih elok ia bukan hanya sambutan seperti perayaan lain yang membuatkan hasilnya adalah bermusim..Kita usahakan Maulid Nabi kali ini ada tidak banyak pun sedikit kita tambah amalan sunnah yang sebenarnya amat mudah untuk kita laksanakan.

Di bawah saya sertakan beberapa 'Perkongisan Sunnah' rutin yang saya kongsikan di akaun FaceBook saya untuk tatapan pengunjung di blog ini. Semoga amalan sunnah menjadi bukti kita ingin menjadikan Rasulullah SAW qudwah dan uswah kita bersama.


Perkongsian Sunnah: Menyapu kesan tidur pada muka

“Maka Rasulullah SAW bangun (dari tidur), lalu duduk, seraya mengusap kesan tidur di wajahnya menggunakan tangannya”[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah: Istinsar (menghirup air ke hidung kemudian mengeluarkannya)

"Jika salah seorang dari kamu bangun tidur, hendaklah dia menghisap air (melalui hidung) tiga kali, kerana syaitan bermalam pada lubang hidungnya"[Muttafaqun'alaih]


Perkongsian Sunnah : Memakai Pakaian

"Apabila kalian memakai pakaian, maka mulailah dengan bahagian kanan kalian"[HR at-Tirmidzi, Abu Daud & Ibnu Majah]


Perkongsian Sunnah : Memakai Alas Kaki / Kasut / Selipar

"Jika salah seorang di antara kamu memakai alas kaki, hendaklah mendahulukan kaki kanan. Bila melepaskannya, hendaklah kaki kiri terlebih dahulu. Atau hendaklah ia mengenakan keduanya (sepasang) atau melepaskan keduanya (sacara bersamaan)" [HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Ayuh Ke Masjid & Dapatkan Shaf Pertama

"Sekiranya orang-orang mengetahui keuntungan di balik seruan shalat dan shaf pertama, sementara mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan melakukan undian, nescaya mereka akan (sanggup) melakukannya. Jika mereka mengetahui pahala bersegera untuk shalat zohor, tentu mereka saling berlumba mengejarnya. Dan jika mereka mengetahui imbalan shalat isyak dan subuh, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun harus merangkak" [Muttafaqun'alaih]


Perkongsian Sunnah : Sutrah

"Jika salah seorang di antara kamu solat, maka lakukanlah dengan menghadap sutrah (penghadang) dan dekatkanlah jaraknya, janganlah ia membiarkan seseorang lewat antara dia dengan penghadang tersebut"[HR Abu Daud, Ibnu Majah & Ibnu Khuzaimah]


Perkongsian Sunnah : Qiamullail

"Puasa paling utama selepas puasa Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah, Muharram, dan solat paling utama selepas fardhu adalah solat malam"[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Berikan Senyuman

"Janganlah Kamu menganggap remeh kebaikan sekecil apapun walaupun hanya dengan muka berseri saat berjumpa dengan saudaramu.[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Sebarkan Salam

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma bahwasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Manakah amalan Islam yang terbaik?" Beliau menjawab: "Iaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang yang belum engkau kenal." [Muttafaq 'alaih]


Perkongsian Sunnah : Makan & Minum, Tangan Kanan.

"Sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kanan dan makanlah makanan yang ada di dekatmu"[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Duduk Minum

"Janganlah kamu minum sambil berdiri"[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Berzikir Setiap Saat

Dari Aisyah ra : "Rasulullah SAW selalu berzikir kepada Allah setiap saat"[HR Muslim]


Perkongsian Sunnah : Khatamkan al-Quran Setiap Bulan

"Bacalah al-Quran dalam setiap bulan" [HR Abu Daud]


Wednesday, February 9, 2011

Kini Tiba Masanya Edisi ke-4 Bakal Menerjah Pasaran!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Sumber Asli : http://synergymedia.com.my/



Kini Tiba Masanya Edisi ke-4 Bakal Menerjah Pasaran!!!


Assalamu'alaikum wbt...Alhamdulillah...Edisi ke-4 di bawah tema 'Dirimu Aku Sanjungi' bakal memasuki pasaran tidak lama lagi dalam bulan Rabi'ul Awal ini..Saksikan penambahan 2 rubrik baru dari 2 kolumnis baru serta saksikan pandangan pelajar perubatan dalam rubrik 'Artikel Pilihan'..Semuanya di Majalah SINERGI edisi ke-4..Nantikan!!!

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian II)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..



Nasihat Hari Ini : Indahnya seorang hamba itu, ketika ujian datang menimpanya, dia bukan hanya bersabar, bahkan bersyukur dgn ujian yang menimpanya..kerana bersabar dengan ujian itu biasa, namun bersyukur atas ujian itu luar biasa..Bersyukur krn dia yg dipilih bkn org lain..Pasti Allah ingin smpaikan hikmah kpd dirinya..Betapa dekat diri-Nya dengan Pemberi Ujian itu..MasyaAllah..

Nasihat Hari Ini : Awan kelabu itu hanya sepetak dari birunya langit nan maha luas, namun..semoga ia menumpahkan hujan yang menumbuhkn seribu tanaman..Ujian yang mendatang bersilih ganti merupakan tarbiyyah dari Allah yang bakal menumbuhkan seribu hikmah kepada kita..Teruskan buat yang terbaik menurut Allah, bukan terbaik menurut hawa nafsu kita..

Nasihat Hari Ini : Memang benar kita perlu meneladani Rasulullah, namun bagaimana jika kita tidak mengenalinya?..Ramai generasi muda zaman ini tidak kenal dan tidak tahu sirah baginda Nabi Muhammad SAW..Tidak tahu pengorbanan yang telah baginda lakukan demi umatnya, tidak tahu kesakitan yang dialami demi umatnya, tidak tahu kesulitan yang ditempuhi demi umatnya..demi kita..umat yang dirindui dan dicintai olehnya..mari sampaikan selawat kepada insan mulia, Rasulullah SAW..

Nasihat Hari Ini : Belajar-lah al-Quran, lalu ajarkan pula ia, namun jangan sesekali membelakanginya. Ayat Quran bukan hanya lancar dan indah di mulut, serta ingat dan hafal di kepala, tapi tidak pengaruh dan membekas di hati..mari ikhwah(saudara) dan akhwat(saudari) sekalian, tolong baca al-quran, tadabbur dan fahami maksudnya, lalu beramal-lah dengan ayat tersebut..Jangan sekali2 jauh dengan al-Quran.

Nasihat Hari Ini : Kebatilan yang tersusun memang mampu mengalahkan kebajikan yang tidak tersusun. Namun hari ini, kebatilan yang tidak perlu disusun rapi juga sudah mampu mengalahkan kebajikan yang agak tersusun..Kita lihat kebatilan yang bermaharajalela, couple, mat/minah rempt, pergaulan bebas, perzinaan, merokok, dadah..mereka semua mampu mengalahkan dan menarik generasi muda tanpa mereka rangka strategi untuk mempromosinya..

Nasihat Hari Ini : Mari berhijrah ke arah perubahan yang lebih baik..Semoga diberi kekuatan untuk mengubah sesuatu yang boleh diubah, dan diberi kesabaran untuk menerima sesuatu yang tidak boleh diubah (hukum Allah, etc). Juga diberi kebijaksanaan untuk mengetahui perbezaannya..Jangan merasa tidak layak untuk berubah membaiki diri dan sekeliling bersama dakwah & tarbiyyah, kerana lingkaran ini hanya tersedia bagi orang-orang yang merasa tidak sempurna..

Nasihat Hari Ini : Lepaskanlah kaca mata hitam yg membuatkan kita terus-menerus menghadirkan kegelapan dalam apa jua kita lihat..samada persepsi untuk diri sendiri atau orang lain..

Nasihat Hari Ini : Kita takut akan kematian, kerana kita terlalu membangunkan dunia yang sementara dan kita musnahkan akhirat kita yang kekal disana sehingga membuatkan kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan untuk ke akhirat yang kita telah musnahkan..Na'udzubillah..Ayuh bina kembali akhirat kita sebelum kematian menjemput kita..

Nasihat Hari Ini : Lihatlah apa yg engkau ingin miliki di akhirat dan berusahalah untuk memperolehinya di dunia. Lihatlah apa yg engkau tidak suka di akhirat kelak dan berusahalah untuk mengelakkannya di dunia..Kita mampu usahakannya..

Nasihat Hari Ini : Sedarlah!!!Jangan sekali-kali menganggap kita mampu mengembalikan apa yang terjadi, sentiasalah buat yang terbaik dalam setiap detik, sebelum kita menyesal di lain detik kelak. Semoga diberi kekuatan bagi kita sentiasa sedar dan terjaga dalam setiap detik yang berlalu.

Tuesday, February 8, 2011

Tidak Mahu Berdakwah!!! - Bahagian Tiga (Tiada Alasan!!!)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Kisah Benar Anak Halaqahku

Dalam bahagian ke-3 ini, ingin saya kongsikan sebuah kisah yang membuatkan saya terharu  mengalaminya. Halaqah yang terbaru beberapa hari lepas, seperti biasa bersama anak-anak halaqah menghidupakan malam dalam lingkaran ilmu menjadi rutin mingguan, namun halaqah kali ini ada keunikan dan keistimewaannya.

Halaqah kali ini, kelihatan masih ada seorang ahli halaqah yang belum menampakkan dirinya. Kami juga agak terkilan akan kelewatan yang jarang dia lakukan. Kelihatan mesej masuk ke inbox saya dari ikhwah tersebut mengatakan dia lewat sedikit kerana ada hal sekejap. Maka kami terus memulakan halaqah. Selepas salah seorang ahli halaqah yang ditugaskan menjadi m/c memulakan agenda halaqah yang pertama,  pembacaan al-Quran, ahli halaqah yang seorang lagi belum juga menampakkan dirinya. Halaqah kali ini saya meminta setiap ahli halaqah mentadabur ayat yang dibaca demi memanjangkan masa menunggu ikhwah tersebut.

Akhirnya, ikhwah yang ditunggu melangkahkan kakinya masuk mengambil tempat dalam halaqah kami. Dia hanya melemparkan senyuman dan maaf atas kelewatannya. Dia tidak memberitahukan apa sebab kelewatannya. Namun, dari raut wajahnya dan langkahan kakinya, ada sesuatu yang kurang baik berlaku padanya. Walaupun kelihatan dia ingin menyembunyikan sesuatu dari kami. Menunggu masa, saya belum menanyakan lebih dalam akan alasannya kerana biarkan agenda berlalu dahulu.

Sebelum masuk kepada agenda pengisian dari Murobbi, kami mulakan agenda makan dahulu bagi menyegarkan sedikit badan dan pemikiran. Takut hilang fokus melihat makanan berada di hadapan mata. Dalam agenda makan ini saya bertanya kepada ikhwah tersebut.

"Akh..ada apa-apa berlaku pada antum ka?" ana memandang matanya inginkan kepastian.

"Tak da la akh.."kelihatan dia masih ingin menyembunyikan sesuatu. Pada aspek luaran memang semua nampak baik tertutup dengan baju melayu dan seluar slacknya.

"Antum accident kan?"Saya cuba meneka.

Ikhwah tersebut terdiam sementara dan menunduk ke bawah.

"sikit ja akh.."ahli-ahli halaqah semua terkejut dengan pengakuan tersebut.

"antum accident di mana akh?"

"di bulatan menuju ke masjid tu..mungkin agak laju kot ana bawa motor.."

"lailahaillallah..kenapa tak bagitau yang antum accident?"

Dalam hati saya hanya terharu akan pengorbanan ikhwah tersebut. Mendiamkan kesakitan dan ujian yang dia alami. Kemudian sanggup datang halaqah walaupun baru kemalangan. Subhanallah..Bukan ingin dipuji, tapi pengajaran buat semua aktivitis.

"tak per la akh..macam mana antum tahu ana accident?"

"mestilah ana tahu..ana akan murobbi antum..murobbi kena tahu kondisi anak halaqah dia..hehe.."saya cuba menceriakan keadaaan.

"ana cadang antum pergi rehat la akh..lain kali hati-hati bawa motor.."

"tak per akh..boleh tahan lagi ni.."

Ana hanya menerima keputusannya dan meneruskan pengisian. Namun dalam hatiku, ia mengajarkanku banyak perkara mengenai insiden ini. Mungkin ramai bagi kita jika menghapi insiden sebegini sudah tentu ingin meninggalkan amanah diberikan dengan alasan yang tidak sepatutnya.

Jangan Beralasan Meninggalkan Dakwah

Bila berkata soal dakwah atau jihad. Ada sahaja manusia yang phobia atau allergic terhadap perkataan ini. Inilah kejayaan musuh Islam untuk membuatkan orang Islam sendiri memandang serong terhadap kalimah seruan yang murni. Janganlah kita yang meniup sangkalala yang mendatangkan kiamat pada sunnah berdakwah. Semoga kita jangan terpengaruh dengan perkara ini! Namun bagi da'i, kita harus membumikan gaya berdakwah, agar nuansa dakwah tidak memberi kesan pertama yang menyeramkan. Sesuaikan ubat dengan penyakit seseorang mad'u. Tarbiyyah & Dakwah inilah ubat Penyakit Umat Kini. Kita perlu mncari ubat, menggunakan ubat & kelak mndapatkn manfaat ubat..bukan fobia dgn ubat, lari dari ubat & kelak membinasa badan sendiri.

Terkadang ada sahaja alasan kita bagi meninggalkan dan menjauhkan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Janganlah berdalil untuk tidak berbuat. Contoh yang seringkali timbul adalah merasa diri tidak layak untuk berdakwah, sedangkan yang sebenarnya lingkaran ini hanya tersedia bagi orang-orang yang merasa tidak sempurna, bagi orang-orang yang ingin membaiki diri dan ummah, dan kita akan persiapkan apa sahaja yang kita ada dan mampu:

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi.."[QS al-Anfal, 8:60]

Manfaatkan kemampuan kita tidak kira dalam bab apa sahaja untuk membantu agama Allah. Tidak kira dalam medan profesi apa kita seperti dalam dalam post mukmin profesional. Layakkanlah diri kita untuk berdakwah. Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan yang boleh kita berikan, yang penting kita berusaha sebaik mungkin dengan keupayaan yang ada pada diri kita. Sumbang lah semampu yang boleh, bukan sesikit yang boleh. Memang kita tidak sempurna, masih banyak kebaikan tidak diamalkan, bahkan masih banyak kemungkaran yang masih kita lakukan. .Namun :

"Serulah orang berbuat baik, meskipun kalian belum mengamalkan semuanya. Dan cegahlah kemungkaran, meskipun kalian belum menghindari semuanya."[HR Thabrani]

Bukan kita seru kemudian kita tidak lakukan, atau kita cegah tapi kita yang lakukan. Namun kita dalam proses ingin menyeru diri sendiri, dan mencegah diri sendiri dan dalam masa yang sama menyeru dan mencegah juga yang lain. Kita dalam usaha ingin perbaiki diri, jelas dihadis seru walau belum amalkan semuanya, kita dalam usaha ingin mengamalkan semua. Jika ingin kita beramal dahulu dengan semua kebaikan, ingin menjadi malaikat dahulu baru menyeru, tidak tahu bila waktunya.

"Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, karena itu mereka selalu bimbang dalam keraguannya." [QS at-Taubah, 9:45]

"Di antara mereka ada orang yang berkata: "Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah." Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.[QS at-Taubah, 9:49]

Cukuplah alasan yang akan menghancurkan binaan Islam. Kita harus menjadi batu-bata yang menguatkan lagi binaan bangunan Islam, bukan batu-bata rapuh yang kelak akan menghancukan binaan bangunan Islam. Namun terkadang, kena sedari, merobohkan lebih mudah dari membina bangunan ini. Mungkin pernah kita hadapi. Maka, ayuh binalah dengan kekuatan yang payah dirobohkan.

Ramai juga samada menunggu untuk berubah dari kancah kegelapan kepada cahaya, atau berubah dari soleh kepada mushlih, alasannya hidayah belum diberikan, mereka hanya duduk diam tanpa usaha. Hanya ingin menunggu hidayah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tidak ingin mencari wasilah atau jalan usaha ke arahnya. Sedangkan apa yang dianjurkan Allah kepada kita?

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kamu mendapat keberuntungan. [QS al-Maidah, 5:35]

Ganjaran Menanti Da'i

Dalam buku "Tidak ada alasan bagimu meninggalkan dakwah - Abdul Aziz al-Aidan"memberikan satu analogi indah dari sepotong hadis dibawah:

"barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk, maka baginya pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tanpa dikurangin walau sedikit"[HR Muslim]

Tanpa dikurang walau sedikit!!!Bayangkan kita mampu menasihati seorang yang pada mulanya agak jauh dari Islam. Lalu dengan usaha kita, dia telah meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Bahkan melakukan amal-amal kebaikan yang lainnya. Ketahuilah, ketika kita sedang seronok makan di majlis keramaian, sedangkan dia tengah berpuasa, kita dapat pahalanya. Ketika kita seronok melancong, dia sedang menaiki haji di Baitullah, kita dapat pahalanya. Tanpa dikurang walau sedikit. Itu baru seorang. Bagaimana jika lebih dari seorang? Bukan bermaksud bermain sistem piramid, sekadar duduk santai dan biar orang dibawah yang sudah ditarik beri ganjaran saham kepada kita, kerana kita harus usaha lebih lagi bagi mendapatkan redha Allah. Inilah bisnes yang tidak akan rugi. Bahkan mendapat keuntungan di akhirat kelak.

"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."[QS as-Saff, 61:10-11]

Subhanallah..sekarang cuba tanyakan pada diri kita, kita milik siapa? siapa yang menciptakan kita? siapa yang beri pinjaman nikmat kepada kita? Bayangkan jika kita memberi pinjaman pada orang lain, kemudian kita bukan meminta kembali pinjaman kita, tapi kita bahkan membeli pinjaman kita tersebut?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."[QS at-Taubah,9:111]

Semoga kita tergolong dalam golongan yang dimaksudkan. Hidup mulia atau syahid kerana Allah. Janganlah kita tertipu dengan pinjaman yang kononnya milik kita selamanya, padahal ia pasti akan diambil kembali dari kita. Kehidupan ini hanya pinjaman dari Allah, pinjaman sebagai modal untuk kita beramal, bukan modal untuk kita bermaksiat dan lakukan apa sahaja kehendak kita dengan pinjaman itu kerana menyangka ia milik kita..Pergunakanlah sebaik-baiknya pintu kehidupan selama ia masih terbuka, kerana yakinlah sebentar lagi ia pasti akan tertutup. Ayuh manfaatkan pinjaman yang ada mendakwahi manusia mengingati Allah.

Dalam berdakwah, terpulang kepada kita samada ingin melakukannya secara terang-terangan atau secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan orang. Kedua-duanya dipersilakan dengan berlapang dada.

"Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam" [QS Nuh, 71:8-9]

Ada cara dakwahnya secara diam-diam tanpa diketahui ramai orang. Ada juga berdakwah dengan menzahirkan dakwahnya dikhalayak ramai. Kedua-duanya satu tugas yang mulia yang saling melengkapkan dan menguatkan. Mungkin ada antara kita lebih memilih secara diam-diam atas motiasi ayat seterunya.

"Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan."[QS al-Baqarah, 2:271]

Mengapa Tidak Berangkat?

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit. [QS at-Taubah, 9:38]

Adakah kehidupan dunia yang membuat kita tidak ingin berangkat pada jalan Allah? Pejam mata tanya iman. Inilah juga terkadang membuat kita takut akan kematian, kerana kita terlalu membangunkan dunia yang sementara dan kita musnahkan akhirat kita yang kekal disana, sehingga membuatkan kita tidak suka untuk keluar dari dunia yang kita bangunkan untuk ke akhirat yang kita telah musnahkan.

Sampai bila kita mahu terus memakmurkan dunia kita dan merosakkkan akhirat kita? Sampai bila kita mahu mengumpul dosa dan meninggalkan pahala? Sampai bila kita ingin merasa waktu masih lama sedangkan ia bukan suatu kepastian? Sampai bila kita ingin terus bermalasan dalam amal ibadat? Sampai bila kita tidak ingin berbuat di jalan agama Allah? Sampai bila...

Sekarang, adakah anda ingin mengatakan "Saya Tidak Mahu Berdakwah?"

Sunday, February 6, 2011

Kata Nasihat Buatku & Dirimu (Bahagian I)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

InsyaAllah di bawah saya sertakan beberapa kata-kata nasihat harian yang saya kongsikan di akaun Facebook..Namun, akan saya abadikan di blog ini untuk memudahkan kepada sesiapa yang tidak memiliki facebook. InsyaAllah 10-15 Kata Nasihat setiap Episod. Semoga ia memudahkan saya khususnya dalam mengingati nasihat-nasihat yang diberikan agar saya paling utama tidak melanggar apa yang saya katakan, juga agar bermanfaat buat kita semua..Amin Ya Mujib..


Nasihat Hari Ini : Kita perlu menjadi batu-bata yg menguatkan binaan, bukan batu-bata yg menghancurkan binaan. Maka, jadilah umat yang menguatkan agama, bukan menghancurkan agama.

Nasihat Hari Ini : Benarlah usaha itu tangga kejayaan. Tetapi jika tiada kesungguhan dan niat bukan kerana Allah, sama seperti anda menggunakan tangga untuk turun ke bawah..

Nasihat Hari Ini : Takutlah kepada Allah akan ilmu yang kita ada dan akan ilmu yang kita tiada..berusahalah beramal dgn ilmu tersebut, dan berusahalah mencari ilmu untuk diamalkan..

Nasihat Hari Ini : Cinta bukan sekadar ingatan fikiran, bukan sekadar simpan di hati, bukan sekadar manis bicara, tapi perlukan amal pembuktian diiringi sebuah pengorban disaluti dengan penuh keikhlasan..

Nasihat Hari Ini : Kejayaan Islam tidak selalu disebabkn kita, tapi kejatuhan Islam boleh kata sering disebabkn oleh kita.

Nasihat Hari Ini : Dalil kesyukuran bukan hanya berbunga di hati, wangi di mulut, tapi yang paling utama mekar dengan amal perbuatan..Bersyukurlah dengan hati, lisan dan amal perbuatan..

Nasihat Hari Ini : Tarbiyyah & Dakwah, Ubat Penyakit Umat Kini. Kita perlu mncari ubat, menggunakan ubat & kelak mendapatkn manfaat ubat..bukan fobia dengan ubat, lari dari ubat kerana kelak membinasakan badan sendiri..

Nasihat Hari Ini : Tidak kira betapa kecil atau besar sumbangan yang boleh kita berikan, yang penting kita berusaha sebaik mungkin dengan keupayaan yang ada pada diri kita. Sumbang lah semampu yang boleh, bukan sesikit yang boleh..insyaAllah..

Nasihat Hari Ini : Carilah hiburan yang bukan untuk menghibur hati, tapi carilah yang mampu mendidik hati & menyentuh hati..

Nasihat Hari Ini : Selagi nyawa masih ada, tiada lagi kata cuti bagi kita, kerana cuti sebenar hanya ketika mata tertutup selamanya..Sedarlah, hidup ini terlalu singkat untuk kita bermalas-malasan dalam ibadat..

Nasihat Hari Ini : Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa silam, dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan..Jangan kita merasa cukup mulia bila kita terus beramal, jangan pula merasa kita dah cukup hina bila terus melakukan dosa, bila masih diberi kehidupan, maka itulah peluang yang diberi kepada kita..berusahalah untuk memperbaiki diri dan sekeliling kita..

Nasihat Hari Ini : Mukmin sebenar mungkin akan kalah, tapi tidak akan mengalah..kerana tiada kata putus asa dalam kamus seorang mukmin..

Nasihat Hari Ini : Jangan yakin ingin tangguh taubat di masa tua, kerana usia muda bukan jaminan bakal sampai masa tua..Jangan juga jadikan taubat sebagai alas untuk kita melakukan dosa..Fikirkanlah dosa dan pahala, lalu laksanakan yang berpahala, tinggalkan yang berdosa..Hisab la dirimu sebelum kita dihisab kelak..Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan memberikan kekuatan untuk sentiasa meningkatkan iman di dada..Amin Ya Sami'un 'Alim..

Nasihat Hari Ini : Tiada siapa yang paling pandai dan paling bodoh di dunia ini, kerana setiap yang pandai itu boleh menjadi bodoh dan setiap yang bodoh itu boleh menjadi pandai..Jika merasa diri ada kelebihan maka bersyukurlah, jika merasa diri ada kelemahan maka perbaikilah..

Nasihat Hari Ini : Jangan hanya menjadi penumpang kepada gerabak Islam, jadi la penyumbang yang menggerakkan gerabak tersebut..Jangan juga menjadi batu-bata yang merapuh dan meruntuhkan binaan Islam, tapi jadilah batu-bata yang menguatkan lagi binaan Islam..Kita ada potensi masing-masing, manfaatkanlah ia demi kepentingan agama Allah..minima jika tidak ingin menyumbang kebaikan, mohon jangan menyumbang kerosakan dengan perlakuan dosa kita..Bersama membina keindahan Islam..