Friday, February 18, 2011

Masihkah Ada Peluang Buatku?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Hari-Hari Yang Berlalu...

Ibrahim al-Harby pernah menuturkan mengenai Imam Ahmad Bin Hanbal:

"Aku menyertainya selama 20 tahun, siang dan malam, musim panas dan musim sejuk, namun tidak satu hari pun yang aku lalui bersamanya, melainkan hari ini jauh lebih baik dari sebelumnya"

Subhanallah, dalam apa jua keadaan, dari hari ke hari, beliau menjadikannya lebih baik dari semalam. Bagaimana dengan kita? Adakah kita sentiasa berusaha agar hari ini lebih baik dari semalam? Atau abaikan langsung hadis Rasulullah yang menyeru kita menjadikan hari ini lebih baik berbanding semalam, dan hari esok usahakan lebih baik dari hari ini?

Cuba kita perhatikan hari-hari yang kita lalui, terkadang bukan kebaikan yang mengisi tempoh tersebut, tapi keburukan dan kemaksiatan yang berterusan memenuhi tempoh diberikan. Sehinggakan kita tunggang terbalikkan pesanan Rasulullah menjadikan hari ini lebih teruk dari semalam, dan hari esok tiada perubahan bahkan mampu menjadi lebih keruh lagi. Adakah ini yang kita inginkan dalam diri kita? Adakah kita ingin perkara ini berterusan mengisi album kehidupan kita?

Mari cuba rendahkan kesombongan dan ego kita dihadapan Allah. Cuba ingat, fikir dan hayati perlakuan yang kita lakukan. Perlakuan dosa dan maksiat yang kita tahu Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihatnya. Tiada jalan keluar untuk kita tidak ingin mengakui dosa-dosa kita, kerana jika dosa sendiri pun tidak ingin diakui, bagaimana pula ingin mengeluarkan kata taubat dari lidah kita?

Seteruk Apa Pun Kita!!!

"Sudah la..sapa la aku ni mau minta ampun..berapa banyak maksiat aku lakukan..semua benda jahat aku dah buat..pegang tangan ka, bercumbuan ka, berjudi ka, hisap dadah ka, berzina ka, tinggalkan solat ka, lawan cakap mak ayah, bergaduh tak tentu pasal, membuli orang lain, mencuri, berhibur lebih-lebihan, konsert-konsert hiburan, atau apa-apa benda buruk hampir semua aku buat..aku ni dah melampaui batas..mana mungkin aku diampunkan!!!"

Mungkin inilah kata-kata yang sering kita dengar ketika mengajak diri atau orang lain untuk berubah dan bertaubat. Siapa kita yang ingin menentukan keampunan Allah? Siapa kita yang ingin menghukum perlakuan kita? Jangan kita menjadikan persepsi tersebut menghalang kita untuk berubah, bahkan jangan menjadikan persepsi itu untuk terus menambah kemaksiatan dihadapan Allah!!!Hayati pesanan Allah kepada kita...

"Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."[QS az-Zumar, 39:53]

Sahut la peluang yang Allah berikan kepada kita. Tiada dosa yang tidak mampu diampunkan melainkan dosa mensyirikkan Allah dengan izin Allah Al-Ghaffar Al-'Afuw. Kita sendiri yang selalu menolak untuk memberikan peluang pada diri untuk berusaha memohon ampun kepada-Nya. Mungkin memang kita terlalu banyak melakukan kejahatan dan menganiaya diri sendiri, namun ingatlah Allah sentiasa menanti keluhan taubat dari kita semua.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS an-Nisa', 4:110]




Amalkan Taubat Dalam Kehidupan

Sebelum meningkatkan kesedaran diri mengenai kebutuhan bertaubat, masih ramai tidak mampu membezakan adakah perlakuannya itu dosa atau sebaliknya. Jika sentiasa menambah sensitiviti mengenai dosa yang dilakukan itu ada baiknya, namun bagaimana dengan manusia yang sentiasa menganggap perkara yang sebenarnya dosa, namun dia hanya anggap biasa bahkan menganggap ia bukanlah dosa kepada dirinya. Rasululullah SAW telah memberikan indikator kepada kita dalam sabdanya:

"Kebajikan adalah akhlak terpuji, sedangkan dosa adalah apa yang meresahkan jiwamu serta engkau tidak suka apabila masalah tersebut diketahui orang lain"[HR Muslim]

Mungkin kita pernah melakukan sesuatu yang nampak salah, tapi kita mengingkarinya dan mengatakan ianya bukan dosa. Maka zahirkan pemikiran kita ketika itu, adakah kita suka perkara yang kita lakukan itu diketahui orang? Kerana salah satu aspek besar membuatkan kita kurangnya sensitiviti terhadap maksiat yang dilakukan adalah hasutan syaitan durjana.

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya,"[QS al-Hijr, 15:39]

Cukuplah berterusan menganggap enteng dosa yang kita lakukan, laksanakan perintah Allah ketika kita telah sedari bahawa kita sebenarnya melakukan kesalahan. Ingatlah kembali kepada Allah, mohon keampunan kepadanya dan berazam jangan mengulangi kesalahan tersebut, taubat nasuha!

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."[QS al-Imran, 3:135]

Jangan Merasa Cukup!!!

Mungkin kita adalah salah seorang yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya sehingga mampu beramal dengan kebaikan dan berada dalam suasana yang baik. Dapat qiamullail, solat diawal waktu, solat sunat dhuha, berpuasa sunat, bersedeqah bahkan nikmat berdakwah kendatipun, namun, jangan sesekali merasa cukup dengan amalan tersebut sehingga merasa dah cukup mulia, terus rendahkan hati kita sentiasa memohon ampun kepada Allah. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang maksum bahkan dijanjikan syurga sekalipun.

"Demi Allah, sesungguhnya saya itu niscayalah memohonkan pengampunan kepada
Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali."[Riwayat Bukhari]


"Hai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan
daripadaNya, kerana sesungguhnya saya ini bertaubat dalam sehari seratus kali."[HR Muslim]

Sedangkan baginda sendiri sebegitu aktif memohon keampunan, apatah lagi kita yang pasti banyak melakukan dosa dan kesalahan sebenarnya walaupun mungkin pada zahirnya orang lain melihat sebaliknya. Bahkan mungkin jika dosa dan kesalahan kita mengeluarkan bau yang busuk, nescaya tiada orang ingin mendekati kita lantaran dari kebusukan dosa tersebut. Bayangkan tahajjud yang kita tinggalkan, solat subuh yang dilajakkan, meninggalakan solat sunat dhuha hanya kerana alasan kecil, bacaan al-Quran yang terkadang dibiarkan bahkan perlakuan mata, telinga, hati dan anggota lain yang kearah keburukan, buanglah bisa-bisa itu dari badan kita yang akan membinasakan diri dan perjuangan kita. Ayuh baiki hubungan kita dengan Allah SWT kerana Dia-lah penentu segalanya akan usaha yang kita lakukan.

Jika seseorang mengerjakan dosa, maka itulah penyebab kehinaan dirinya.[sulaiman bin Tharkhan at-Taimi – Tabi’in]

Kenikmatan Bertaubat

Memang tidak dinafikan imanu yazidu wa yankus (iman turun dan naik), bahkan mungkin sering kita alami zaman kejatuhan benteng keimanan kita sehinggakan banyak amalan kita tinggalkan. Manfaatkanlah ramuan penawar yang diberikan Allah kepada kita untuk menaikkan kekuatan kita.

Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa." [QS Hud, 11:52]

Permohonan ampunan dan taubat mampu memberikan nikmat yang deras tidak terkira, bahkan janji Allah akan menambahkan kekuatan di atas kekuatan kita yang masih lemah dengan syarat jangan berpaling melakukan dosa.

"dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat." [QS Hud, 11:3]

Subhanallah, Maha Pengampun dan Pemurahnya Allah SWT walaupun jika dikira dengan dosa yang sebenarnya kita mohon keampunan padanya, bukan hanya keampunan diberikan, bahkan kenikmatan lain diberikan. Namun.....

"Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya ?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS al-Maidah, 5:74]

Mengapa dan apa sebenarnya sebab bagi kita tidak ingin bertaubat pada-Nya? Adakah kita dah puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini jika dibandingkan dengan akhirat hanyalah sedikit?

Pintu Taubat Ada Jangkanya

Jangan bertunda dalam bertaubat. Ramai kononnya menjadikan masa muda jaminan sampai ke masa tua maka menunda taubat di hari tua. Ramai juga menjadikan masa sihat menjadi jaminan taubat masih mampu ditunda sebelum datangnya kematian. Bagaimana jika perancangan kita dalam bertunda tersebut tidak seperti yang diharapkan? Bagaimana jika tempoh jaminan itu dipotong 50% atau lebih? Tidakkah kita menyesal? Sepatutnya makin berusia makin aktif beramal dan bertaubat, bukan makin pasif keduanya.

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih. [QS an-Nisa', 4:18]

Na'udzubillah, semoga kita tidak tergolong dalam kalangan yang ketika ajal mendatang baru berusaha ingin bertaubat dan kita tahu janji Allah atas orang sedemikian.

"Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla itu menerima taubatnya seseorang hamba selama ruhnya belum sampai di kerongkongannya - yakni ketika akan meninggal dunia."[HR Tirmidzi]

Mari muhasabah kembali diri kita, hisab kembali amalan-amalan kita, sebelum Allah yang menghisab kita kelak. Manfaatkan masa yang diberikan kepada kita seoptimumnya, kerana waktu semalam sudah bukan milik kita lagi, esok hari yang belum tentu kita dapati. waktu sekaranglah yang ada di tangan untuk kita manfaati.Jangan lagi meletakkan ramuan menunda dalam bertaubat dan beramal.

Jauhilah sikap menunda-nunda. Kerana, bahagianmu adalah hari ini, bukannya esok. Bila kamu mendapatkan bahagian di hari esok, maka berbuatlah seperti apa yang kamu lakukan hari ini. Bila kamu tidak mendapatkn bahagian di esok hari, maka kamu tidak akan menyesali apa yang terlewatkan pd hari ini. [Hasan al-Basyri]

Hapuskan Keburukan Dengan Kebaikan

Perkara-perkara keburukan yang pernah kita lakukan mari kita counter dengan kebaikan yang berlipat ganda. Keburukan laksana acid kepada kita, jangan kita hanya ingin neutralkannya dengan sedikit alkali, tapi tambahkanlah alkali tersebut agar berada di zon selamat dari jatuh kembali ke lembah acidic. Kerana menyesali, memohon ampun dan taubat dan berazam tidak mengulanginya lagi belum cukup utuh menjamin penerimaan taubat bahkan penghapusan dosa kita.

"kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang." [QS al-Baqarah, 2:160]

Inilah salah satu hint atau clue kepada kita, bukan hanya bertaubat, adakan perbaikan kemudian terang dan dakwahkan kebenaran kepada sekeliling agar jangan mengulangi kesalahan kita yang lama. Mari iringi keburukan dosa kita dengan kebaikan.

"Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Dan iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan perlakulah manusia dengan akhlak terpuji.[HR Tirmidzi]

Orang yg mmbersihkn diri bukanlah orang yang membersihkan kekotoran di badannya dgn air. Orang-orang yang membersihkan diri ialah mereka yang membersihkan dosanya dengan ketakwaan [Abu al-Aliyah]

Nasihat buat kita semua yang ingin perjuangkan kebenaran, mungkin terkadang pernah kita hilang kawalan dalam hubungan kepada Allah, cuba dicover dengan sisi yang lain sebagai pelengkap kepada lainnya. Jika tertinggalnya tahajjud kita, jangan kerana tinggalnya ia mengakibatkan kita tinggalkan dan melemahkan amalan lainnya, malu-lah kepada Allah atas kesalahan kita itu, dan iringi dengan kebaikan lainnya samada menambah lagi bacaan quran kita, rakaat dhuha kita, istighfar kita, zikir kita bahkan solat sunat kita lainnya. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk jadikan taubat sebagai salah satu makanan ruji harian kita.

No comments: