Wednesday, August 31, 2011

Semua Dari Hati


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Solatlah dengan hati,
bukan hanya dengan kaki,
nescaya kau tidak merasai,
erti penat menghadap Illahi.

Berkata-katalah dengan hati,
bukan hanya melalui bibir,
ikhlas menyampai dari hati,
nescaya ada bezanya pasti.

Menulislah dengan hati,
bukan hanya tangan menaip,
pasti pembaca mampu hayati,
dari mata terus ke hati.

Mendengarlah dengan hati,
bukan hanya telinga disinggahi,
nescaya penyampai bukan kau perhati,
namun menghayati bait-bait isi.

Melihatlah dengan hati,
bukan hanya mata memerhati,
nescaya kau melihat keagungan Illahi,
di setiap darjah di setiap inci. 

Semua yang bermula dari hati,
akan sampai semula ke dalam hati,
menerobos dinding yang menghalangi,
kunci ikhlas untuk Illahi.

Raya Di Perantauan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Tahun Ke-21 Ada Kelainan

20 tahun raya bersama keluarga, namun tahun ke-21 ini ada kelainannya..Raya kali ini saya balik agak lambat..cuti dalam 5 hari sahaja..kemudian 2 hari habis digunakan untuk perjalanan pergi dan balik..5 - 2 = 3 Hari sahaja di sabah jika saya balik ke sabah. Minggu depan pula final exam dah mula. Selepas final exam baru saya balik untuk tempoh yang lebih lama bersama keluarga..Sedih?Mestilah sedih..Namun emosi jangan dijadikan caturan dalam membuat keputusan.Walaupun menelfon hampir setiap masa kepada family agar tidak banyak pun, dapat merasa sedikit suasana di  sabah. huhu..Apapun, ini adalah salah satu kelainan pada tahun ini.

Kelainan lainnya? 1st time jadi Imam Solat Sunat Aidilfitri..Alhamdulillah..Imam di Surau Nurul Huda, Taman Tasek Putra..Jemaah kali ini adalah paling ramai berbanding ketika solat sunat tarawih tempoh hari..Kononnya anak-anak sudah ramai balik ke sini menambah bilangan jemaah..Yang penting datang melakukan sunat muakkad ini. Selepas selesai solat dan khutbah, juadah disediakan penguat ukhuwah. Saya sangat respect ikatan kemasyarakatan di sini, sangat-sangat beramah mesra..Bahkan kepada pelajar luar negara sekalipun yang ramai dari Sudan, Algeria, Nigeria, Chad, etc sangat-sangat kuat ukhuwah mereka, kerana ada beberapa tempat yang saya lihat masyarakat di sana kurang berukhuwah dengan saudara seislam  yang berlainan negara, harap dibaiki keadaan ini.

Ada lagi kelainan?Masak masakan raya sendiri! Selalu mama dan kakak yang main chef, awok (saya dalam bahasa perak) tolong gitu-gitu ja. Setelah membeli beberapa bahan memasak masakan hari raya..mestilah kena masak..Menu yang ada di rumah bujang saya:

  1. Rendang Ayam
  2. Rendang Daging
  3. Kari Ayam
  4. Kentang Goreng aka Fries
  5. Nasi Himpit Ekspress
  6. Lemang Bakar (adakah lemang x bakar?hurm)
Adalah juga terasa suasananya..kuih-muih pun boleh tahan..saya cuma beli 3 jenis jak, yang lain-lain tu masyarakat yang bagi..deme (mereka dalam bahasa perak) cakap khas untuk orang bujang...hurm..nama-nama kuih-muih ni pun saya tak pasti, saya bagi nama berdasarkan bentuk dan rasa ja la ya bagi nama yang saya tak tahu:
  1. Almond London
  2. Tart Nenas
  3. Donut Kekacang (saiz kecil)
  4. popia mini yang pintal tu
  5. Rempeyyek
  6. kuih bentuk love ada badam atas dia
  7. kuih makmur
  8. chocolate Chips
  9. chocolate disalut apa entah
  10. kuih bahulu
  11. kuih bentuk pokok pastu disalut separuh dengan chocolate
  12. kuih cornflakes kot
  13. Kuih Cincin (Sabah)
  14. Kerepek Pisang
  15. dan lain2 yang saya tak tau nak describe..
Kelainan seterusnya?Sebelum ini beraya bersama keluarga, sekarang beraya dengan seorang ikhwah yang sama-sama sabahan, Akh Faiz..huhu..bersama-sama ke sana ke mari memenuhi undangan. Nasib baik saya bergaul dengan masyarakat, ada juga tempat beraya, jika dengan pelajar sahaja yang semuanya balik ke kampung halamana..hurm..tidak merasa la saya suasana raya. Ramai pakcik dan makcik menjemput datang ke rumah. Berikut perjalanan ziarah kami di hari pertama aidil fitri:
  1. Tuan Haji Zainuddin dan keluarga di Kampung Kurnia
  2. Cikgu Rahim dan keluarga di Tronoh
  3. Abang Zainal dan keluarga di Bemban
  4. Ustaz Zikro dan keluarga di Manjung
  5. Encik Adnan dan keluarga di Manjung
Perkongsian Khutbah Semalam

"InsyaAllah sebelum kita memulakan solat sunat aidil fitri..kita ingat kembali tatacara solat sunat aidil fitri..adapun lafaz niatnya............(saya bacakan lafaz niatnya)..dalam rakat pertama mengandungi 7 takbir selain dari takbiratulihram (saya ulang dua kali)..kemudian dalam rakaat kedua, mengandungi 5 takbir selain dari takbir bangkit dari sujud rakaat pertama (saya ulang dua kali)..di celah-celah antara takbir, kita disunatkan mengucapkan..subhanallah, walhamdulilah, walailahaillallah, wallahu akbar, walahaulawala quwwata illabillahil 'ali ul'Azim.."

Khutbah semalam dipetik dari web ustaz saiful-islam..Sebuah artikel yang sangat-sangat menarik dan menyedarkan minda mengenai kemerdekaan di aidil fitri.saya sangat-sangat menganjurkan kita semua membaca dari awal sampai ke hujungnya..InsyaAllah kita akan mendapat  perkara yang baik darinya.

Tajuk : Kemerdekaan Diri Di Aidilfitri

minbar


KHUTBAH PERTAMA




Sidang Jamaah Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang hadirin sekalian, agar TAQWA yang dijana di bulan Ramadhan, jangan disia-siakan. Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar TAQWA dan jangan sekali-kali mati, kecuali dalam keadaan dirimu Muslim kepada-Nya.
Hadirin sekalian, rahimakumullah,
Hari ini adalah hari perayaan. Hari yang penuh kesyukuran dan kegembiraan, hari yang ditegah oleh Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam daripada berpuasa padanya. Hari keraian, Hari meraikan.
Namun, apakah hakikat sebenarnya perkara yang kita raikan?
Apakah asbab gembira kita? Apakah signifikasi Aidilfitri hingga diharamkan kita berpuasa pada hari ini?
Persoalan ini harus direnung agar gembira kita ada sebabnya. Manusia yang gembira tetapi tidak tahu mengapa dirinya gembira adalah manusia ‘gila’. Manusia yang gembira tetapi tersalah sebab mengapa dirinya gembira dalah manusia lara yang menc ipta duka.
Negara kita Malaysia mengisytiharkan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan terbesarnya.  31 Ogos menjadi tarikh keramat yang diraikan di seluruh pelusuk tanah air. Apakah yang diraikan pada tarikh itu? Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah hari kemerdekaan.
Manusia berhak untuk gembira apabila dirinya merdeka.
Merdeka daripada penjajahan dan penindasan. Merdeka daripada dikawal oleh kuasa asing. Merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain. Bumi ini milik kita, kitalah jua yang berhak mentadbirnya. Bukan orang lain.
Kemerdekaan bererti tanah air dikembalikan kepada tuannya. Kepada asalnya.
Jika kemerdekaan daripada penjajahan itu asbab keramatnya tarikh 31 Ogos, maka apakah nilai di sebalik 1 Syawwal? Apakah asbab gembira di Aidilfitri?
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat,
Ingatkah kita kembali kepada erti Ramadhan?
Ramadhan diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala kepada kita sebagai suatu proses untuk mencari sebuah merdeka.
Selama ini kita sentiasa dibelenggu oleh dua penjajah, iaitu penjajah yang lebih sukar untuk dihadapi kerana ia nyata berbeza daripada tentera British, Jepun, Komunis atau apa sahaja kuasa yang kelihatan.
Penjajah pertama adalah Syaitan.  Ia sebagai seteru terbesar manusia, kerjanya sentiasa mengajak manusia kepada mendurhakai Allah sepertimana janjinya kepada Tuhan.
“Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]
Manusia yang terjajah adalah manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada seruan Syaitan dalam hidupnya. Manusia yang menurut telunjuk Syaitan, sedikit demi sedikit semakin jauh dari Allah hingga hatinya menjadi buta dari kebenaran.
Ramadhan telah datang untuk membantu manusia melepaskan diri daripada penjajah pertama ini. Syaitan dirantai untuk mengurangkan potensinya, urat saraf kita disempitkan dengan berlapar untuk mengurangkan jalan Syaitan menguasai kita.
Pada 1 Syawwal ini, tanyalah kepada diri kita, sudahkah diri ini berjaya melepaskan diri dari menjadi hamba kepada Syaitan? Sudahkah kita berjaya mempertahankan kemuliaan diri sebagai manusia daripada dijajah oleh Syaitan, makhluk hina yang dibenci Allah itu? Perhatikanlah perbuatan seharian kita, berapakah yang menurut seruan Tuhan, berapakah yang menurut seruan Syaitan?
Jika Syaitan bukan lagi pemegang remote control kehidupan kita, maka berhaklah untuk kita bergembira di Syawwal ini. Berbahagialah manusia yang sudah tidak lagi dijajah oleh syaitan dan kerajaannya.
Namun bagi yang kembali menyertai seruan Syaitan, ingatlah kepada firman Allah:
“Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim” [al-Hasyr 59: 16-17]
Muslimin dan Muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah,
Penjajah kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsu dan dirinya sendiri.
Berapa ramai manusia yang biar pun hidup di sebuah negara merdeka, dia tetap hamba yang tidak mempunyai kuasa memilih. Dia sentiasa mengikut kehendak-kehendak penjajah ini, biar pun pada kehendak yang membinasakan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]
Itulah sebesar-besar penjajah.
Manusia dijajah oleh dirinya sendiri. Oleh hawa nafsunya. Hingga dia tidak mampu membuat pilihan. Apa sahaja yang diinginkan oleh nafsunya, semua itu dituruti, tanpa berkata dua.
Manusia yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan, mereka ini buta biar pun celik. Mereka pekak biar pun bertelinga. Mereka menjadi bodoh biar pun memegang segulung ijazah ilmu. Manusia tatkala menjadi hamba kepada nafsu, ilmu sudah tidak lagi berfungsi membijakkannya. Mata yang celik gagal melihat. Telinga yang baik menjadi tuli. Hati menjadi buta dan mati, itulah penangan nafsu.
Berapa banyak rumahtangga yang musnah kerana manusia mengikut hawa nafsu?
Berapa banyak manusia yang rosak, kerana hidupnya bertuhankan nafsu?
Berapa banyak tamadun manusia dan kerajaan memerintah yang musnah, apabila pertimbangan tidak lagi berpaksikan tuhan tetapi berkiblatkan nafsu?
Semuanya gara-gara manusia yang tidak dapat melepaskan diri daripada kehendak dirinya yang begitu luas tidak terbatas. Nafsu mahu menelan dunia, biar pun makan mampunya hanya sepinggan.
Lalu Allah datangkan Ramadhan untuk mendidik kita.
Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua makanan, namun memilih untuk tidak makan kerana mahu patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa ketika kita ada semua minuman, kita memilih untuk tidak minum kerana patuh kepada Allah? Ingatkah lagi, betapa kita ada isteri atau suami yang halal, tetapi kita tidak mendatangi mereka kerana mahu mematuhi Allah?
Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada sesetengah kehendak diri, agar kita mempunyai daya kawalan diri yang baik. Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
Jika kita sudah berjaya melepaskan diri daripada memperhambakan diri kepada nafsu, berhaklah kita untuk gembira. Sesungguhnya kita benar-benar telah merdeka.
Firman Allah:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinyabersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya  itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). [al-Syams 91: 7-10]
Merdeka daripada menjadi hamba syaitan dan hamba nafsu, kemerdekaan hakiki yang diraikan pada sebuah Aidilfitri. Iaitulah kembalinya manusia kepada asal. Kepada Fitrah.
Sidang jamaah kaum Muslimin dan Muslimat, rahimakumullah,
Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaan kita. Ia adalah perayaan yang dirasmikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai perayaan kaum Muslim.
Anas menceritakan: “ Ketika Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berhijrah ke Madinah, ada dua hari perayaan yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Aidiladha dan Aidilfitri .” (Hadis sahih An-Nasa’i)
Kita diberikan perayaan Aidilfitri ini agar kita tersendiri. Muslim harus punya jati diri. Muslim bukan Yahudi dan bukan Nasrani. Kita berbeza. Justeru perayaan kita juga berbeza.
Oleh itu, isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah. Bukan cara Syaitan, bukan cara nafsu, bukan cara Yahudi dan bukan cara Nasrani.
Kita dibenarkan berhibur. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah menegur perbuatan sahabatnya Abu Bakr al-Siddiq radhiyallaahu ‘anhu mendenda dua perempuan yang menyanyi-nyanyi di hari Eid dengan kata baginda:
“Wahai Abu Bakr! Setiap kaum itu ada hari rayanya. Dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita!” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Hari ini memang hari untuk kita berhibur dan gembira.
Tetapi janganlah pula dengan hiburan yang sekali lagi membuktikan bahawa kita tiada jati diri, tiada identiti dan masih gagal melepaskan diri dari hiburan versi Yahudi dan versi Nasrani, bernama HEDONISMA.
Ketagihan manusia kepada dadah hiburan bernama hedonisma ini sangat menakutkan. Bukan tidak tahu akan mudaratnya, namun dek ketagihan, manusia yang bertaubat darinya dengan mudah kembali semula menjamah hiburan melampau ini. Hatta di Aidilfitri …
Hindarilah dadah ini. Ingatlah kembali kepada pesanan Baginda:
“Daripada Abu Sa’eed radhiyallaahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Pasti benar kamu nanti akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan tatkala mereka itu masuk ke lubang biawak dhabb sekali pun, pasti kamu akan mengikut mereka”. Kami bertanya, “Ya Rasulullah, apakah (umat terdahulu) yang engkau maksudkan itu adalah Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab, “kalau bukan mereka, siapa lagi?” [Hadith riwayat al-Bukhari (3269) dan Muslim (2669)]
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Laa Ilaaha Illallaah!
Allahu Akbar wa Lillaahilhamd!

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jamaah,
Setelah berakhirnya Ramadhan, pertahankanlah kejayaan perubahan diri yang telah dicapai.
Masjid jangan dibiar sepi. Solat-solat yang wajib lebih utama untuk dijamaahkan berbanding Tarawih. Puasa 6 hari di bulan Syawwal dan puasa-puasa sunat yang lain jangan dilupakan.
Anak-anak yatim jangan dibiarkan yatim 11 bulan.
Amal ibadah dan kebajikan mesti diteruskan.
Sesungguhnya, usia mati kita lebih lama daripada usia hidup. Bekerjalah semasa hidup untuk membolehkan kita berehat semasa mati. Janganlah banyak berehat semasa hidup hingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!
Daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sunday, August 28, 2011

'Aidil Fitri, Adakah Untuk Kita?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya  Asli : SaBaHaNmUsLiM




Ramadhan Datang & Pergi

Ramadhan, pernah dahulu kita lalui, dari tahun ke tahun mengisi album kehidupan kita, dan ia datang, ia pergi. Ada manusia menganggapnya hanya tetamu biasa dan ada juga menganggapnya tetamu istimewa. Layanan kita terhadapnya penentu kita golongan yang mana.

Mari sejenak kita berfikir, lalu menyelam ke dalam hati, kemudian muhasabah diri sendiri, ketika Ramadhan yang memang datang dan pergi, namun persoalkan kepada diri, bagaimanakah hasil kunjungannya kepada diri sendiri? Adakah mampu menambah lagi ketakwaan kita kepada Allah? Sehingga selepas Ramadhan mampu beramal sebaik mungkin memenuhi semua perintah-Nya, berusaha sehabis mungkin meninggalkan larangan-Nya, menanam sedalam mungkin rasa takut kepada-Nya dan berlari selaju mungkin untuk mendekat pada-Nya?

Kita sendiri tahu kita jenis yang mana. Kita sendiri tahu adakah kita orang-orang yang benar-benar bersungguh menambah amalan kerana merasa kepentingan Ramadhan, atau jenis yang sambil lewa masih bermalas-malasan meraih janji ganjaran langsung dari-Nya.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. ber-sabda:

"Allah 'Azzawajalla berfirman - dalam Hadis qudsi: "Semua amal perbuatan anak Adam - yakni manusia - itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan saya akan memberikan balasan dengannya."[Muttafaq'alaih]

Mari kita jadikan Ramadhan yang bakal pergi tidak pergi begitu sahaja, tanpa ada buah tangan darinya. Pastikan ibroh disebalik Ramadhan didapati, dihayati dan diamalkan sebaik mungkin. Ibroh sanggup bersabar dan berkorban untuk mematuhi perintahnya, mengajarkan erti syukur dan zuhud kepada kita, mengenal erti prihatin dan ukhuwah berkongsi rezeki dengan hamba lainnya, merasai keadilan sama rata dalam nilai zakat tidak kira siapa kita, mendidik kita untuk berpekerti mulia membaiki akhlak, bahkan yang paling utama mentarbiyyah kita untuk sentiasa beramal dengan istiqamah dalam ibadat-ibadat yang dianjurkan. InsyaAllah kita menanam tekad yang mencengkam agar Ramadhan kali ini ada kelainannya ke arah kebaikan.

Sebulan Membina Perisai

Handphone perlu dicharge beberapa tempoh untuk ia bertahan beberapa jam seterusnya. Minyak kenderaan perlu diisi beberapa banyak untuk ia bertahan beberapa jarak seterusnya. Bahkan manusia perlu tidur beberapa waktu untuk mengumpul tenaga melalui kelelahan dunia. Begitu juga kesan dari Ramadhan, yang mencharge, mengisi atau mengumpul tenaga bagi bagi menempuh bulan-bulan seterusnya. Kilang Ramadhan yang menghasilkan perisai kepada kita menempuh tombak nafsu dan syaitan di luar Ramadhan. Maka, pastikan kita membina perisai yang kuat bagi menangkis serangan-serangan musuh yang bakal mematikan kita untuk berada dalam alam kebaikan. Mari, persiapkan perisai kita!

"Puasa adalah sebagai perisai" [Muttafaq'alaih]

Perlu kita sedari, bukan hanya perisai luaran yang perlu kita persiapkan, namun perisai dalaman juga perlu kita perkuatkan. Pastikan karakter yang diajarkan dalam berpuasa kita praktikkan sentiasa; sabar, berkata baik, tidak mengumpat, membina ukhuwah, dll. Sedih kita melihat sebulan tarbiyyah di bulan Ramadhan, habis tersirna kesannya dalam sehari di bulan syawal. Sebulan menjaga dan meningkatkan keimanan di bulan Ramadhan, hampir setiap hari kita mengabai dan menjatuhkan keimanan di bulan seterusnya. Cukuplah rutin tahunan yang sedemikian, cukuplah budaya tersebut dilestarikan. Masa untuk kita lakukan perubahan  walaupun sedikit bermula pada tahun ini.

'Aidil Fitri, adakah untuk kita?

Perayaan kembali kepada fitrah, 'aid al-fitri' perlu diraikan dan dirayakan oleh mereka yang mampu kembali kepada fitrah seorang hamba. Inilah kelayakan bagi kita meraikan kemenangan dan kejayaan dalam peperiksaan Ramadhan, 'back to fitrah'. Betapa ramai kita melihat manusia yang meraikan 'aidl fitri' tapi dipenuhi dengan dosa maksiat pengiring perayaannya. 'Aidil Fitri perlu disambut dalam keadaan manusia yang kembali kepada fitrah insani yang bersih suci ibarat kain putih.

Credit tu Zulan

Selekoh dalam derasnya arus kerosakan memang amat payah untuk kita lakukan, tapi tidak mustahil untuk kita mulakan dan tidak mustahil untuk kita sedarkan manusia mengubah arah membelok kepada landasan kebaikan dan kebenaran. Saya tidak mengharapkan hasil Ramadhan ditunjukkan dengan perubahan luaran diri kita sehingga meletakkan persepsi rigid bahawa jika berubah kena berpakaian sedemikian atau kena berkelakuan sedemikan. Jadilah dirimu selagi tidak melanggar batas syariat, kerana perubahan yang terbaik adalah perubahan dalam hati yang makin dekat dan takut kepada Allah. Kemudian dengan perubahan dalaman ini bakal dicium wanginya dengan perubahan luaran kita. Saya tidak menyokong kononnya jangan tengok teruknya luaran sahaja, tapi kononnya dalamannya baik. Maksud saya yang penting dalaman kita ingin berubah dan merealisasikan keinginan itu kelak. Ramai kita dengari perkara-perkara seperti:

"saya nampak ja mencuri, suka membuli, suka mencarut, tapi hati saya baik"


"saya walaupun berpakaian ketat, tidak pakai tudung, nampak aurat sikit, tapi saya lebih baik dari mereka yang membungkus badan tu"


"Dorang tu luaran ja nampak baik..tapi dalaman tu lagi teruk dari kami ni.."


"yang penting saya ada sembahyang..benda-benda lain pasal agama tu nanti-nanti kami buatlah'

Inilah beberapa pemikiran dan budaya yang makin menebal dalam umat Islam. Budaya memandang ringan dan memperlekehkan perintah Allah. Nasihat saya, tolong letakkan kesedaran dalam diri kita, tolong insafi apa yang kita lakukan, tolong tangisi kesalahan kita, tolong lakukan perubahan sekuat kita. Memang amat sukar untuk kembali kepada fitrah, tapi sekali lagi, ia tidak mustahil dan kita pasti mampu jika kita mahu. Teruslah berusaha dan berdoa kepada Allah untuk dikuatkan diri kita membaiki diri kita, untuk terus gagah mengharungi kebejatan kerosakan dunia. Saya pasti kita semua boleh, saya pasti kita semua boleh meninggalkan perkara-perkara dosa, menjauhkan perkara-perkara maksiat, dah kita juga sangat-sangat boleh untuk makin dekat kepada Allah dan makin beriman melakukan perintahnya. Semoga Allah memberikan hidayah-Nya kepada kita semua untuk kembali kepada fitrah..Amin Ya Hadid, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Ghaffar, Ya 'Afuw, Ya 'Aziz, Ya Jabbar, Ya Mujib..

Berakhirnya Ramadhan, bukan berakhirnya bulan untuk beramal, bukan berakhirnya bulan untuk memohon keampunan dan bukan berakhirnya bulan untuk bersabar. Ayuh tanamkan tekad kita bakal menjadi seorang muslim, mukmin dan muttaqin. Ayuh manfaatkan Ramadhan yang masih berbaki dan usahakan istiqamah selepas Ramadhan. Mari bersama kita mulakan dengan niat beramal dengan hadis di bawah ini..InsyaAllah..

Dari Abu Ayyub r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa berpuasa dalam bulan Ramadhan kemudian mengikutinya dengan enam hari dari bulan Syawwal, maka ia adalah seperti berpuasa setahun penuh." [HR Muslim]


*P/S : Semoga amalan-amalan kita dalam bulan Ramadhan diterima Allah dan semoga kita dipertemukan lagi dalam Ramadhan seterusnya. Saya mengambil kesempatan ini dengan status seorang hamba kepada Illahi, memohon ampun pertama kepada Allah dan kemudian memohon maaf kepada semua yang mengenali diri ini samada melalui apa jua medium; ceramah, penulisan, kawan lama, kawan baru, ikhwah wa akhwat, para pejuang kebenaran dan semua muslimin dan muslimat. Maaf apa yang tersurat secara zahir, dan tersirat secara batin kesalahan-kesalahan yang pernah saya lakukan kepada anda semua. Mohon doakan agar saya mampu terus beramal dengan apa yang saya katakan, mampu berdakwah dengan seikhlasnya, mampu terus berkorban pada agama Allah, mampu mendapat kejayaan dalam dakwah, akademik, kerjaya, bisnes dan dalam membina rumahtangga kelak..InsyaAllah..

Friday, August 26, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 6]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




IKIM.FM..Pilihan Utama Anda..

Alhamdulillah..Selepas saya mendapat emel jemputan dari pihak IKIM untuk datang bertemu di pejabat IKIM, saya mengotakan janji pada waktu semalam, khamis untuk bersua muka dengan Pengarah Radio IKIM, En Nik Roskiman Bin Abdul Samad. Perjalanan mula melakar jaraknya pada jam 7.30AM bersama beberapa ikhwah lain yang sudi menemani saya ke KL. Janji yang perlu kami tepati adalah pada jam 11.00AM. Perjalanan berjalan lancar menelusuri lebuhraya Utara-Selatan.

Kami memasuki pagar utama IKIM dan mendaftarkan diri dengan membuat sistem 'barter' antara kad pengenalan dengan kad pelawat. Menuju ke bangunan Radio IKIM, kad pelawat yang diberikan disentuh di sensor pintu untuk membenarkan pintu terbuka. Lalu menaiki tangga menuju pejabat. Dalam pendakian tangga, kami berselisih dengan salah seorang penyampai/juruhebah IKIM, Cik Maslina. Hanya ucapan salam dan senyuman diberikan.

Setibanya di puncak pendakian, dijemput duduk di ruang menunggu sementara setiausaha menguruskan temu janji yang dirancangkan. Kami sempat melihat ruang penyiaran radio IKIM dengan alat multimedia yang dikawal oleh seorang DJ ketika itu. Alhamdulillah.

"Silakan En Fakhrul..Tuan pengarah menunggu di bilik sana.."

Hanya saya seorang menuju bilik pejabat Encik Nik Roskiman. Ikhwah lain menunggu di tempat disediakan. Selepas pintu pejabat dibukakan, saya dijemput duduk oleh Tuan Pengarah. Di pejabat, hanya saya dan Tuan Pengarah. Beberapa pertanyaan dan perbincangan memainkan rentak pertemuan pertama kami.

"Jadi insyaAllah..En Fakhrul boleh isi Borang Kelulusan Tetamu Undangan ini..kita akan jemput nanti dalam ruang Remaja selepas raya..insyaAllah.."

Alhamdulillah..InsyaAllah mohon doa sidang pembaca sekalian agar dimudahkan urusan ini. InsyaAllah saya akan khabarkan nanti waktu siaran yang ditetapkan. Sesiapa yang ingin kami (Synergy Media & Neo Synergy Training Centre) berikan perkongsian atau mengadakan program juga boleh terus hubungi saya..insyaAllah..^.^..

Next Station, Perpustakaan Negara Malaysia bagi menyelesaikan beberapa urusan syarikat. Jam di tangan menunjukkan jam 12 lebih. Sejurus keluar dari bangunan IKIM. Sign Board Masjid Wilayah dijadikan destinasi dahulu sebagai transit sebelum ke Perpustakaan Negara Malaysia untuk melaksakan solat sunat dhuha. Kami amat kagum dengan seni bina Masjid Wilayang ini. Subhanallah..

Semoga sidang pembaca membiasakan diri mengorbankan sedikit masa dan tenaga untuk menghidupkan waktu dhuha dengan solat sunat dhuha sebagai langkah sedekahnya setiap ruas tulang kita serta pembuka lagi pintu rezeki dari sebaik-sebaik Pemberi Rezeki, Allah ar-Rozaq.

Alhamdulillah..selesai urusan dengan baik semuanya..selepas zohor bertolak pulang menuju ke Perak.

Kate Nak Iktikaf...



Tiba di rumah selepas waktu asar. Rehat sebentar sebelum teringat Surau Nurul Huda menjemput datang berbuka di sana. Menyegarkan badan lalu menuju ke Surau Nurul Huda menjelang waktu maghrib = waktu berbuka. Kali ini amat ramai muslimin dan muslimat yang bertandang di surau, sehingga dari 4/4 kawasan surau, 3/4 dipenuhi dengan muslimin dan muslimat. Turut datang bersama Imam Satu Masjid An-Nur, UTP, Ustaz Dahwi Cahyono beramah mesra dengan warga di sini. Azan berkumandang dari mulut Cikgu Rahim yang merupakan seorang yang kurang upaya dari sisi kakinya yang memerlukan tongkat untuk berjalan, beliau azan dalam keadaan duduk. Semua warga di sini mencapai salah satu kegembiraan orang berpuasa, berbuka. Semua berbuka dengan ringan dahulu, lalu solat maghrib, baru menjamah makanan berat.

"anta imam.."Ustaz mempelawa menjadi imam maghrib.

"tak per ustaz..silakan.."Saya mempelawa ustaz kembali yang lebih layak untuk menjadi Imam.

Sejurus solat maghrib, jamuan juga dengan seleranya dijamah. Ustaz Dahwi meminta izin mengundur diri kerana ada jadual imam lain dia perlu penuhi.

"anta jadi imam ya..ustaz ada jadual lain.."

"insyaAllah ustaz.."

Muka Ustaz Dahwi Cahyono yang sentiasa bermuka manis dengan senyumannya pasti membuatkan kita sentiasa merasa aman dan gembira bersua dengannya. Ruang-ruang masa sebelum isyak ada yang mengisi dengan bacaan al-Quran, solat sunat dan ada juga sembang di perkarangan surau dan tidak dilupakan, mulut-mulut yang mengeluarkan asap (aktiviti merokok). Selepas hampir 13 jam rokok dengan amannya tersimpan di kotak rokok pada hari itu, namun waktu malam ia sudah tiada tempat bersembunyi. Azan isyak berkumandang di malam penghulu segala hari,Jumaat.

Surah al-Jumu'ah, ayat 9 sehingga ayat terakhir pada rakaat pertama menjadi pilihan, lalu surah al-imran dari ayat 102 - 104 pada rakaat ke-2 saya alunkan. Semoga makmum mendapat mesej yang ingin disampaikan saya melalui pembacaan ayat-ayat quran di atas. Solat sunat tarawih melalui surah ar-Rahman. Sejurus solat witir dengan doa qunut. Tazkirah pun bermula. Saya menyampaikan mengenai istiqamah dalam dan luar ramadhan serta menyentuh mengenai kepentingan tazkirah bagi kita semua. Saya selitkan sedikit pertanyaan dalam keadaan santai dengan tujuan menegur sebenarnya:

"semalam..tuan-tuan sembang...berapi-api..kate nak iktikaf di Masjid Tronoh..sekali saya di sana..seorang warga tasek putra pun tidak kelihatan..ish-ish-ish.."

Semua makmum gelak dan mula memberikan alasan-alasan..

"owh..hehe..semalam lebur ustaz..bangun-bangun dah jam berapa dah.."

"semalam saye dah bangun jam2..tapi tengok tingkap pintu semua tertutup..orang rumah pun tengah tido.."

dan banyak lagi turun naik volume suara di pelbagai penjuru surau. Lalu saya hentikan:

"tapi insyaAllah tak per..yang penting saya nampak tuan-tuan dah berazam nak iktikaf..insyaAllah pahala niat tu ada.." Meraikan niat baik tuan-tuan di sini.

Extra Poin Semalam..

"insyaAllah ayat terakhir yang ingin saya kongsikan pada tazkirah kali ini adalah dalam surah ke-50..hah..tuan-tuan..surah ke-50 surah apa?manalah tahu hasil tarbiyyah ramadhan ini kita dah hafal al-Quran.."

"Surah Qof..lihat ayat 17-18.."

"(yaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir."[QS Qaaf, 17-18]

"tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita mengetahui salah satu rukun iman yang perlu kita yakini adalah adanya malaikat-malaikat..sepertimana hadis riwayat abu daud..mengenai malaikat mengelilingi majlis-majlis ilmu seperti ini..itu salah satu contoh..contoh lain kita mengetahui malaikat yang berada di kiri dan kanan kita yang akan sentiasa mencatat setiap perkara.."

"kalau kita belajar bahasa arab sikit, perhatikan ayat 18 tu tuan-tuan, sini kita panggil sebagai ayat nafiy, atau ayat peniadaan..maksud dia, tidak ada satu pun perkataan yang keluar dari mulut kita ini yang akan terlepas dari catatan malaikat roqib dan 'atid..sembang kita, umpat-umpat kita, dan semuanya.."

"setahu saya, kaum ibu-ibu ini adalah orang yang paling tidak suka mengumpat..hehe..(gelak para jemaah)..saya tidak mengatakan kaum ibu-ibu disini suka mengumpat, saya maksudkan kaum ibu yang ditempat lain..kaum ibu disini baik-baik semuanya..(riuh lagi suraunya)"

"tapi..saya terkesan dengan kaum ibu-ibu disini..setiap iftar dan moreh mengemas surau hasil makan pihak tuan-tuan ni..hehe..ingatlah setiap amalan walau sekecil zarah akan dibalas dengan imbalan yang sesuai..walaupun alhamdulillah..pihak tuan-tuan juga sanggup mencari nafkah di siang hari pada waktu puasa..kaum ibu pula sanggup bangun awal bagi menyediakan sahur..subhanallah..inilah yang dinamkan kerja sama dalam rumahtangga.sama-sama kerja..(gelak lagi kedengaran)..insyaAllah teruslah bekerjasama menjaga keluarga kita.."

Saturday, August 20, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 5]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Soalan Dari Engineer

"Saudara, kebanyakan manusia zaman sekarang menjadikan negara-negara barat sebagai sumber rujukan..Sehingga ramai sentiasa mengutarakan falsafah-falsafah dari mereka..persoalan saya disini, mengapa cendekiawan-cendekiawan Islam sudah kurang dijadikan sumber rujukan?"

Salah seorang staff Makhostia mengutarakan pendapat dan persoalan sejurus saya membuka slot soal-jawab selepas menghabiskan bait-bait ceramah 'Aplikasi al-Quran Dalam Kehidupan'. Selepas ceramah motivasi kepada adik-adik sekolah menengah rumah anak yatim Budi Mulia Nurul Huda di chemor pada ahad baru-baru ini, peluang jemputan ceramah Nuzul al-Quran di Makhostia, KLCC Plant pula menjadi destinasi pada hari rabu baru-baru ini. Sedarlah, Ramadhan adalah bulan meningkatnya produktiviti kita, bulan alasan untuk makin melemah. Samada dalam skop kerjaya, akademik mahupun dakwah kita.

"terima kasih tuan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita mengetahui umat Islam suatu ketika dahulu merupakan agama yang penuh dengan kegemilangan seperti zaman abbasiyyah atau uthmaniyyah, umat Islam menjadi rujukan di seluruh pelusuk dunia, namun, mengapa sekarang umat Islam sudah tidak dijadikan sumber rujukan?"

"mengapa lebih ramai berorientasikan kepada barat?al-Quran sudah tidak dijadikan sumber rujukan utama dalam  apa jua skop kehidupan kita sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, nama dia Ibnu Mas'ud mengatakan bahawah 'al-Quran Ummul 'Ilmi'


"jawapan dia satu sahaja..Umat Islam makin lemah! Bukan perlu disalahkan kekuatan orang lain, tapi kita, umat Islam yang makin lemah..Inilah yang disabdakan Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad mengenai suatu zaman dimana umat Islam dikerumuni seperti orang-orang lapar mengerumuni makanan, atau kalau kita perhatikan semut yang mengerumuni gula..lalu para sahabat bertanya, adakah bilangan kita sedikit Ya Rasulullah, Rasulullah menjawab, tidak, bahkan bilangan kita ramai..tapi sayangnya ramainya kita hanya laksana buih-buih dilautan"


"kalau di KL ni mungkin payah kita nak jumpa laut, tapi cuba kita pergi ke laut dan lihat buih-buih di lautan, memang banyak jumlahnya, namun betapa mudah ianya pecah..begitu umat Islam zaman sekarang, kita makin lemah..Keimanan lemah, ekonomi lemah, teknologi lemah mahupun media kita juga lemah"


"perkara lain yang menyebabkan barat lebih menjadi bahan rujukan adalah kerana mereka pandai promosikan produk mereka..kerana mereka menguasai media..bayangkan umat Islam keluarkan produk, barat juga keluarkan produk, walaupun jika produk umat Islam jauh lebih berkualiti, namun jika tidak mampu dipromosi, maka ia akan menjadi produk yang tidak berkualiti juga akhirnya..kita sendiri tahu media siapa yang menguasainya untuk menyebarluaskan lagi produk mereka..Sebab itu Prof. Dr Yusof al-Qaradhawi mengatakan dalam buku Fiqh Jihadnya bahawa media adalah salah satu medan jihad yang perlu diketengahkan"

Agak panjang jawapan saya kali ini kerana amat ingin menyampaikan situasi yang dihadapi umat Islam zaman sekarang. Saya menyampaikan etika seorang pekerja berlandaskan al-Quran untuk diaplikasikan dalam kehidupan dalam skop pekerja. Satu lagi soalan yang ingin saya kongsikan adalah:

"saudara mengambil chemical kan? namun, mengapa saya melihat saudara sudah jauh ke arah.....agama begitu..apa sumber motivasi saudara untuk ke arah ini?"

"tuan, sumber motivasi saya adalah sirah para nabi..profesi bukan penghalang bagi kita mendekat dengan Allah, menyampaikan ayat-ayat Allah atau hadis Rasulullah..Nabi Isa kita ketahui merupakan seorang doktor, tapi sangat dekat dengan Allah. Nabi Daud seorang tukang besi, tapi sekali lagi sangat dekat dengan Allah. Nabi Nuh seorang Civil Engineer, tapi sangat dekat dengan Allah, bahkan Nabi Muhammad sendiri seorang peniaga tapi sangat dekat Allah..bahkan ramai lagi para ulama' juga ada profesi masing-masing namun sangat dekat dengan Allah..inilah sumber motivasi saya, ada insan-insan yang telah membuktikan..insyaAllah..ingatlah, profesi kita bukan penghalang kita makin dekat dengan Allah, status kita di dunia tidak perah mengubah status hamba kita kepada Allah"

"sebab itu tuan-tuan dan puan-puan, hadirin hadirat sekalian, sering saya sampaikan dalam ceramah-ceramah saya terutama kepada pelajar bahawa, ingin menjadi doktor, silakan tapi tolong jadi doktor yang beriman, nak jadi Engineer tolong jadi Engineer yang beriman, nak jadi businessman tolong jadi businessman yang beriman, nak jadi polis tolong jadi polis yang beriman, nak jadi pencuri pun tolong jadi pencuri yang beriman..hehe..kerana orang beriman tidak akan mencuri..itu maksud saya..insyaAllah ya Tuan.."

Begitulah sedikit perkongsian pengalaman berhadapan dengan ahli korporat, bahkan ada ramai juga Engineer-Engineer ketika itu yang mempunyai title 'IR' lagi yang hanya mampu didapatkan jika ada membuat projek yang besar. Secara jujur saya sangat-sangat terasa rendah diri dan jauh sekali berbanding mereka yang lebih berjaya. Saya hanya sekadar berkongsi dan bukan mengajar.

Kepangkuan Bonda

Kedatangan mama (panggilan mak saya) ke perak amat menghiburkan hati saya. Walau hanya selama 4 hari namun masa bersama diisi sekualiti yang mungkin. Kesanggupan mama datang ke sini hanya atas dasar menziarahi anaknya merupakan hati mulia seorang insan bergelar ibu. Kesana-kemari saya membawa mama menjelajah bumi perak dan bergaul dengan masyarakat di sini. Bahkan mama sempat bersama solat berjemaah di Surau Nurul Huda dari maghrib, isyak, tarawih dan witir. Saya amat terkesan dengan impian mama di Ramadhan kali ini:

"insyaAllah..mama nak khatamkan al-Quran Ramadhan tahun ini.."

Mungkin bagi anda ia suatu perkara biasa mengkhatamkan al-Quran, namun bagi saya ia suatu nikmat yang besar ketika ahli keluarga makin mendekat kepada Allah. Mama juga sempat mendengar tazkirah di Surau Nurul Huda dan ceramah saya di Makhostia dan akhirnya timbul soalan mengenai motivasi saya melakukan semua ini.

"sebenarnya farul ingin kejar peluang amalan jariah yang mampu berterusan walau sudah meninggal nanti..Setakat ini yang farul mampu hanya menyebarkan ilmu untuk dimanfaatkan oleh para pendengar..kalau yang sedeqah jariah tu farul bukannya ada banyak harta boleh sumbang sangat..kalau nak dapatkan doa anak soleh lagi lah jauh farul nak dapatkan..kahwin pun belum..jadi, setakat ni, menyebarkan ilmu untuk dimanfaatkan sajalah peluang mendapatkan ganjaran sampai ke alam seterusnya sebab kematian tidak tahu bila mendatang.."

Banyak perbincangan bermanfaat dilalui sepanjang tempoh mama di sini. Mohon doakan perbincangan yang ke arah kebaikan akan dimudahkan Allah untuk merealisasikannya ya..InsyaAllah..

Pecutan 10 Malam Terakhir

Alhamdulillah..Tanpa kita sedari, kini Ramadhan berada di fasa kemuncaknya, 10 malam terakhir. Pencarian malam al-Qadar perlu digiatkan lagi walaupun ia sebenarnya perlu bermula dari awal Ramadhan lagi. Jangan lagi kita teruskan tabiat menganggap enteng atau memandang rendah peluang di bulan Ramadhan sehingga ibadat kita masih di tahap darjah satu.

Pada baki tempoh Ramadhan ini, perkara pertama tolong sedarkan diri dan tambah keyakinan hati mengenai ganjaran Ramadhan yang tidak mustahil inilah kali terakhir bagi kita, lalu terjemahkan kesedaran dan keyakinan itu dalam bentuk amal ibadat kita. Jadikan ibadat sebagai primary, bukan secondary apatah lagi tertiary. Ber'uzlah'-lah mengasingkan dahulu aktiviti-aktivi yang bukan primer agar kita lebih fokus melaksanakan perkara yang primer.

Ubahlah banyaknya tidur kepada banyaknya solat sunat, ubahlah banyaknya bersembang dan gelak ketawa kepada banyakkan zikir dan istighfar, dan ubahlah banyaknya ber'FB','twitter' dan 'blogging' kepada banyaknya membaca al-Quran. Saya risau melihat manusia-manusia yang terlalu banyak masa dihabiskan di FB contohnya walaupun ia melakukan suatu benda yang baik, namun ada perkara yang jauh lebih baik perlu kita habiskan dan manfaatkan. 1st thing 1st, utamakan yang utama.

Perkara akhir untuk kita muhasabah kembali adalah muntijah dari ibadat puasa yang perlu kita realisasikan, TAKWA. Tolong periksa dan pantau kembali diri kita adakah kita makin bertakwa?atau kita masih tiada merasa keberkesanan puasa dalam diri kita melainkan lapar dan dahaga. Masih ada waktu untuk kita berusaha memanfaatkan Ramadhan untuk mencapai buah ketakwaan yang merupakan harga seorang hamba. Ikhlaskan kembali niat, tingkatkan kembali kemahuan lalu gencarkan lagi kesungguhan. Semoga diberi kekuatan melakar sejarah Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita..Amin..

Friday, August 12, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 4]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Adik-Adik Generasi Harapan

InsyaAllah saya mulakan perkongsian kali ini dengan selawat beramai-ramai bersama lebih kurang 700 adik-adik pelajar di SMKA Nibong Tebal ketika saya dijemput bagi ceramah tempoh hari..^.^..Jemput klik play dan selawat bersama dulu ya..



Alhamdulillah..Setelah kisah adik-adik di SMKA Nibong Tebal..Kita pergi pula adik-adik yang jauh lebih muda di SK Toh Indera Wangsa Ahmad. Seperti yang saya kongsikan di episod ke-2, saya diamanahkan menjadi ambassador & advisor bagi dua kumpulan projek di sekolah ini. Beberapa hari sibuk menyiapkan projek dan melatih adik-adik untuk present dalam bahasa inggeris.

Nama saya sebagai advisor dikedua-dua borang berlainan kumpulan


Saya manfaatkan pengalaman saya present projek di Engineering Design Exhibition [EDX] tempoh hari untuk mengajarkan perkara-perkara yang perlu ditekan dan dizahirkan dalam konteks pembentangan projek seperti penekanaan dari sisi kreativiti, inovasi, novelity, nilai komersial, pengaplikasian konsep-konsep sains, dan sebagainya.

Di bengkel Kemahiran Hidup SK Tiwa Menyiapkan Projek & Berlatih Present

Komitmen adik-adik yang amat baik dan berbuat dengan penuh bersemangat akhirnya membuahkan hasil ketika salah satu projek, "The Fan Cleaner" dinobatkan sebagai Juara atau Gold Medalist di Science & Engineering Design Exhibition [SEDEX].  Manakala projek "Automatic Fish Feeding Machine" mendapat Bronze Medal. Alhamdulillah, ini yang dikatakan murid mengalah guru. Saya dulu dapat Bronze, adik-adik pula mampu menggondol Gold Medal. Tahniah abang ucapkan!

Booth kami di SEDEX

Kita sebagai guru, pensyarah, ustaz/ustazah, murobbi/murobbiah, naqib/naqibah mahupun pelatih/trainer perlu meletakkan usaha agar anak didik kita lebih hebat daripada kita. Bukan membudayakan anak murid kena lebih rendah dari kita, tidak boleh melebihi kita, namun kena pastikan kita bimbing mereka sehingga jauh lebih berjaya dan hebat dari kita..InsyaAllah..

Jadual Muzakkir

"InsyaAllah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya minta izin kepada AJK Surau atau Ahli Qoriah Surau ini untuk kita memberikan peluang kepada generasi muda untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah juga.."

Saya membuat pengumuman sejurus selepas mengimamkan solat Isyak pada Isnin yang lepas.

"Saya akan mengajak beberapa pelajar UTP untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah kepada kita semua..memandangkan tuan-tuan juga sudah banyak pengalaman, insyaAllah kita beri peluang pula dengan anak-anak muda pengalaman berada di hadapan memberikan tazkirah kepada kita"

"InsyaAllah ustaz..boleh-boleh.."

Suasana surau riuh sedikit dengan suara dan anggukan setuju..Alhamdulillah..Saya bukan hanya memberi peluang kepada generasi muda, juga kepada generasi berusia di sini untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah..Semoga mampu melatih generasi muda khususnya untuk memberikan tazkirah di hadapan masyarakat yang pasti berlainan konsep dan poin yang perlu disampaikan.

Ramadhan Tidak Menunggu

Peluang melalui hari-hari dalam bulan Ramadhan terus laju berlari yang pasti meninggalkan pelumba-pelumba yang makin lemah bahkan berhenti. Bagi kita yang ingin bertakwa, kita mengetahui betapa berharganya Ramadhan ini, maka jangan sesekali detik-detik Ramadhan tidak dihargai. Saat-saat yang berlalu dalam bulan Ramadhan jangan pernah kita sia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak menunjukkan penghargaan terhadap Ramadhan yang berharga ini.

Cuba kita hitung semenjak balighnya kita, sudah berapa kali Ramadhan yang kita lalui? Lalu tanyakan pada diri, adakah Ramadhan-Ramadhan yang berlalu pergi itu cukup kita hargai? Jika merasa belum cukup menghargai Ramadhan yang telah berlalu pergi, maka jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan yang paling kita hargai, kerana Ramadhan tahun hadapan bukan sesuatu yang pasti.

Sekarang cuba kembali mengenang hari-hari Ramadhan yang lebih 10 hari berlalu pada kali ini, adakah kita sudah cukup mengisi dengan ibadat-ibadat semaksima yang mungkin? Atau kita masih menjadi manusia biasa yang tidak merasa kehebatan bulan Ramadhan? Yang masih bermalas-malasan dalam meraih sebanyak mungkin ganjaran yang digandakan, yang masih sedikit memohon keampunan atas banyak dosa kita lakukan, yang masih berat untuk meninggalkan banyaknya tidur yang membuang masa, yang masih melemahkan badan kerana terlalu banyak makan ketika sungkai (bahasa sabah yang bermaksud iftar) atau yang masih melakukan perkara-perkara dosa dorongan nafsu tanpa pemandu syaitan? Pejam mata lalu tanyakan ke dalam hati sanubari masing-masing.

4-Flat-kan Ramadhan

Ayuh bersama kita tingkatkan kembali semangat dan kesungguhan kita melalui Ramadhan kali ini. Pastikan kita mendapat 4-Flat untuk subjek Ramadhan, bukannya sentiasa flat melalui ujian Ramadhan. Suatu yang pasti, dalam rangka mencapai markah yang tinggi, jangan hanya mengharapkan puasa berniatkan lapar dahaga, namun tingkatkan lagi skop puasa kita untuk semua anggota.


Saya ingin berkongsi ilmu dari Imam Ibnu Qudamah rahimahullah dalam kitabnya "Mukhtashar Minhajul Qashidin" yang bermaksud "Jalan Orang-Orang Yang Mendapat Petunjuk" yang pasti ramai kita kenali kitabnya. Beliau banyak berkongsi perihal mengenai puasa namun di kesempatan kali ini saya ingin kongsikan mengenai 3 tingkatan puasa:

1. Puasa Secara Umum

Iaitu menahan perut untuk tidak makan dan minum serta menahan kemaluan untuk tidak melampiaskan syahwatnnya.

2. Puasa Secara Khusus

Iaitu menahan pandangan, lidah, tangan, kaki, pendengaran, penglihatan, dan seluruh anggota tubuh badan dari perbuatan dosa.

3. Puasa yang lebih khusus dari yang khusus

Iaitu puasanya hati dari hasrat-hasrat yang hina dan fikiran-fikiran yang dapat menjauhkan dan melalaikan kita daripada Allah SWT. Inilah tingkatan yang tidak ramai pelakunya, namun beruntunglah pelaku yang mampu tersebut.

InsyaAllah di akhir episod kali ini, saya ingin kongsikan sepotong hadis buat renungan dan muhasabah kita bersama.

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan atau perbuatan dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya."[HR Bukhori]

Saturday, August 6, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 3]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Kenapa Kita Berpuasa?

Berjubahkan hadiah semalam. Saya meluncur dengan motor menuju ke Surau Nurul Huda. Alhamdulillah, tiba dengan selamat. Seronok melihat wajah-wajah masyarakat di sini yang istiqamah hadir ke surau. Motor dimatikan. Azan isyak juga baru dihabiskan. Kaki menuju rumah Allah yang merupakan salah satu tempat yang dijanjikan ahli-ahlinya akan dinaungi di hari tiada naungan selain-Nya. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

Sunnah memberikan salam, berwajah manis dan menghulurkan tangan salaman dilakukan kepada warga di Surau Nurul Huda. Ramah mesra warga di sini. Seusai bersapaan, selesaikan solat isyak lalu tarawih dan kini, tazkirah time! Pembukaan kata seperti biasa lalu..

"tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, insyaAllah tazkirah malam ni saya ingin mulakan dengan pertanyaan buat kita semua..soalan yang mudah untuk kita sama-sama fikirkan dan renungkan...KENAPA KITA BERPUASA?"

Saya merenung dari kiri ke kanan..dan mengulangi pertanyaan.

"KENAPA KITA BERPUASA? Saya yakin ramai antara kita akan menjawab kerana ini adalah kewajipan yang perlu kita laksanakan, atau perintah Allah yang wajib kita lakukan..persoalannya tuan-tuan puan puan"

"kenapa melakukan kewajipan berpuasa kita sanggup lakukan, tapi kewajipan lain banyak kita tinggalkan? Puasa wajib kita lakukan, tapi perkara-perkara wajib lainnya tidak kita lakukan. Berpuasa selama lebih kurang 13 jam sanggup kita lakukan..tapi terkadang solat fardhu yang hanya 5-10 minit setiap fardhu berat atau tidak kita lakukan? Adakah kita berpuasa kerana wajib? Saya juga sedih melihat solat sunat tarawih ramai kita mampu turun..tapi mengapa solat fardhu berjemaah kita sangat-sangat susah untuk laksanakan?"

"tuan-tuan dan puan-puan..madrasah, sekolah atau tarbiyyah ramadhan mengajarkan kita untuk berkorban bagi melaksanakan perintah Allah..sanggup mengorbankan hal perut untuk melaksanakan kewajipan perintah berpuasa..tapi kenapa kewajipan lain banyak lagi kita tinggalkan?sebagai contoh masalah aurat yang jelas-jelas wajib..tapi berapa ramai antara kita menjaga aurat kita, menjaga aurat isteri kita mahupun anak kita?"

"bayangkan time cuci kereta tuan-tuan, habis kita buka aurat kita..ibu-ibu ketika menjemur kain, terkadang tidak juga menutup auratnya..mari kita sama-sama sepertimana melaksanakan kewajipan berpuasa, maka kewajipan lainnya perlu juga kita lakukan..bukan niat saya untuk mengherdik atau mengkritik, tapi sekadar untuk peringatan buat kita semua"

"saya terkilan dengar berita-berita time bulan ramadhan ni..kalau tuan-tuan puan-puan ada baca  paper, bayangkan berita mengenai seorang ibu yang ingin mengejutkan anak wanitanya untuk bersahur, tapi buka ja bilik, melihat seorang lelaki tidur bersama anak dia..berita yang lain pagi tadi kawan saya bacakan..mengenai seorang wanita yang melahirkan sendiri, bayi yang dalam keadaan songsang..maksud dia kaki di bawah dan kepala di atas kan tuan-tuan..tapi bayangkan, dia tarik juga keluar anak tu sampai TERPUTUS kepala anak tu.."

Gema kejutan para pendengar bukti terkejutnya mereka.

"inilah keadaaan masyarakat kita tuan-tuan..masa bulan ramadhan lagi nih buat perkara-perkara tak senonoh gitu..semoga kita menjaga diri kita dan keluarga kita dari perkara sebegini..bimbing dan jaga keluarga kita agar menjadi keluarga yang baik.."

"InsyaAllah sekian sahaja tazkirah untuk malam ini..sekali lagi kita tanyakan pada diri kita, KENAPA KITA BERPUASA? Jangan hanya sekadar rutin tahunan, tapi berusahalah untuk makin dekat kita dengan Allah dan pastikan Ramadhan kali jauh lebih baik dari sebelumnya..Bulan Ramadhan ini adalah bulan terbaik untuk kita berubah..Jika bukan bulan ini kita ingin lakukan perubahan, bulan apa lagi yang kita harapkan? Harapkan bulan lain yang penuh dengan godaan syaitan..fuh..payah kita tuan-tuan puan-puan.."

Saya pun mengakhiri tazkirah malam itu dengan penuh pengharapan agar pendengar sedar kenapa kita berpuasa dan memandu tarbiyyah melakukan perintah puasa kepada perintah-perintah lainnya.

Fenomena Bulan Ramadhan

Kita mampu melihat dari setiap tahun, solat tarawih meriah selalu hanya bertahan lebih kurang 10 hari sahaja. Hari-hari selepasnya ramai yang gugur syahid tidak mampu datang. Bukan saya katakan suatu benda yang buruk, sudah cukup baik mampu turun di awal Ramadhan..Namun mari usahakan untuk ianya berterusan dalam dan selepas Ramadhan.Jangan hanya malam-malam Ramadhan penuh masjid dengan jemaah yang ramai..tapi mengapa di luar Ramadhan habis tersirna kesemuanya? Bayangkan salah seorang ulama' mengatakan..

"Barangsiapa yang hadir hanya pada bulan Ramadhan sahaja, dia sebenarnya menjadikan Ramadhan sebagai berhala yang disembah sahaja" [Syeikh Ramadhan al-Buty]

Mungkin kita marah ketika mengatakan perkara ini, kita mengatakan kita ikhlas menyembah Allah sahaja..Namun, bukankah Allah juga ada pada bulan syawal, zulhijjah atau zulkaidah dan bulan-bulan lainnya? Inilah fenomena yang perlu kita ubah bersama. Tanamlah azam dan tekad untuk kita lakukan perubahan dari sekarang juga!

Sepertimana jika kita perhatikan istilah waktu dalam bahasa inggeris..Masa lalu dipanggil sebagai 'Past Tense' atau masa yang sudah berlalu..Masa hadapan sebagai 'Future Tense' dan masa sekarang dipanggil sebagai 'Present Tense" yang bermaksud hadiah. Begitulah pepatah inggeris yang sering kita dengar:

"Yesterday is a past..Tomorrow is uncertain..Today is a gift/present.."

Hari ini adalah hadiah yang perlu kita manfaatkan..Jangan lagi bertangguh dalam melakukan perubahan..Ayuh jadikan Ramadhan kali ini turning point bagi kita tinggalakan segala perkara-perkara dosa dan bagi kita tingkatkan lagi amalan-amalan kita. Akhir kata, mari dalam hati kita sendiri menjawab pertanyaan Allah ini:

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik." [QS al-Hadid, 57:16]



Friday, August 5, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 2]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Aku Orang Cina?

Waktu tengah hari. Selepas solat zohor di masjid berdekatan. Motor yang dimasukkan ke wad bengkel belum selesai pembedahannya. Maka mengorak langkah berjalan-jalan mencari barang sementara menunggu khabar berita dari En Motor. Sebuah kedai saya masuki, kedai beg. Seperti biasa terus dihampiri oleh pekerja di sini.bertanya itu ini. Tiba-tiba pemilik kedai ambil peduli, juga datang mendekati.

"yau chao shi me?" 
[mahu cari apa]

"owh..gan gan xien ya..wo chao su bao.."
 [owh..tengok-tengok dulu..saya cari beg]

"owh..che ge hao de a..nan chi xi huan de.." 
[owh..yang ini bagus punya..lelaki suka yang ini]

"hai ge yi kou ma?"
 [masih boleh less ka?]

"ge yi de ba..ni xuen sien.."
 [boleh punya..kamu pilih dulu]

Pembicaraan terhenti ketika saya juga mengamati beg-beg di sini. Pemilik kedai tersebut memberitahu sesuatu kepada pekerja melayunya bahawa saya orang cina. Ketika saya mendengar lantas saya menyampuk.

"eh..na li you ah aunty..wo shi ma lai ren de ba.."
 [eh..mana ada la aunty..saya orang melayu la]

"hah?ni shi ma lai ren?shi me ni de lien hao xiang hua ren de..ni de yen ching ye shi.."
 [hah? kamu orang melayu? kenapa muka kamu macam orang cina..mata pun sama..]

"na li qe yi ya aunty..wo pi fu ye bu shi pai se de.."
[takkanlah aunty..kulit saya pun tidak putih]

"wo xiang ni shi hua ren ah..ai ya.."
[saya fikir kamu orang cina..ai ya..]

Seorang lelaki cina turut muncul dari dalam kedai. Lalu aunty terus menegur.

"wei..da shi ma lai ren oh..wo kang jai xiang ta shi hua ren de oh.."
[wei..dia orang melayu owh..tadi saya fikir dia orang cina oh]

Saya meminta izin keluar dan ucapkan terima kasih. Aunty sempat tanya pasal diri saya. Belajar di mana. Asal mana. Kemudian juga memberi nasihat agar banyakkan baca surat khabar cina supaya terjaga bahasa yang dipelajari. Beberapa lot selepas kedai Aunty, ada lagi kedai beg. Juga cina.

"hai lao pan.."
[hai..tauke.]

"owh..chao shi me?"
[owh..cari apa?]

"chao su bao..wo kan-kan xien ya."
[cari beg..saya tengok-tengok dulu ya]

"yau fang tien nao de su bao ya?"
[mau yang boleh letak laptop punya beg ka?]

"ya..you ah?"
[ya..ada kah?]

"na..che ge hao de..wo ge yi gou gei ni.."
[ni..yang ini bagus punya..saya boleh kasi less bagi kamu]

'owh..che ge hao owh..tan se hao xiang xiao de?"
[owh..yang ini bagus la..tapi nampak macam kecil ja?]

"na li you ah..na cu lai xien ta de chi li mien.."
[tak ada lah..kasi keluar kertas-kertas dalam beg dulu]

Sesi tawar-menawar terus berlaku sehingga keputusan tercapai lalu menyentuh satu topik yang lain pula.

"ni chong na li lai de?"
[kamu  asal dari mana?]

"wo chong sa ba lai de.."
[saya dari sabah]

"owh..jiang yuen de..jai na li du su?"
[owh..jauh tu..belajar di mana?]

"jai guo you ta xue..UTP..UTP..so uncle, saya ambil la"
[di UTP]

"owh ok..you orang melayu ka?"

"ya uncle..ma lai ren..zi me?"
[ya uncle..orang melayu..kenapa?]

"zi me ni de lien xiang hua ren de..yen jing ye shi..wo xiang ni she hua ren owh"
[kenapa muka mcam orang cina..mata pun sama..saya fikir kamu orang cina owh]

"zhen de me?kang jai zai dian na pien ye shi xiang wo shi hua ren owh uncle"
[betulkan?tadi di kedai sana pun fikir saya orang cina owh uncle]

Pergaulan terus dirancakkan dengan bahasa mandarin menjadi jambatannya. Seperti di kedai yang sebelumnya, warga yang lebih berusia gemar memberikan nasihat yang bagi saya boleh diterima di hati kerana mereka memang ikhlas memberikan pengajaran kepada generasi muda bangsa mereka.Tidak kurang juga topik hangat yang dibincangkan dengan uncle adalah mengenai method-method pembelajaran hari ini kerana dia dahulu adalah insan bergelar guru. Apa yang utama, pergaulilah manusia dengan akhlak terbaik lebih-lebih lagi jika seaqidah dengan kita semua, bukan suku, bangsa atau warna kulit menjadi ukuran kemuliaan seseorang di hadapan Allah. Takwa menjadi ukuran. Buang lah budaya pentingkan diri sendiri, pentingkan keluarga sendiri mahupun pentingkan negara sendiri sehingga menghapuskan kepentingan saudara 1 aqidah yang jauh lebih penting.

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [QS al-Hujurat, 49:13]




Projek Sains Adik-Adik

Pengalaman yang mula mengisi dalam album sebelum gambar topik 'Aku Orang Cina?" di atas adalah pertemuan saya dengan dua kumpulan adik-adik sekolah rendah, 5 orang darjah enam setiap kumpulan di SK Toh Indera Wangsa Ahmad. Saya diamanahkan menjadi supervisor kepada dua kumpulan ini untuk pertandingan Science & Engineering Exhibition. Supervisor yang akan membimbing projek-projek ini serta teknik presentation terhadap sesuatu projek. Apa yang penting, saya juga ahli kumpulan dari projek adik-adik ini yang akan berjuang mendapatkan kejuaraan. Seramai 8 pelajar UTP yang dipilih menjadi supervisor yang membantu projek-prejek para peserta dalam kalangan pelajar sekolah.

Projek yang diketengahkan adalah "Fan Cleaner" dan "Automatic Fish Feeder". Saya bukan initiator kepada projek-projek ini. Saya sekadar membimbing jika ada yang perlu saya sampaikan atau perbaikan yang perlu dilakukan. Walaupun konsep projek-projek ini ada yang sebenarnya sudah luas digunakan bahkan sudah dikomersialkan, namun pengaplikasian konsep sains ke dalam projek itu yang utama kami harapkan. Saya sudah melihat prototype setiap kumpulan yang bagi saya baru 50% siap. InsyaAllah di episod seterusnya saya kongsikan lebih mengenai Projek Adik-Adik ini.

Rezeki Malam Ke-5


Alhamdulillah..cuaca mendung dan rintikan hujan yang mewarnai malam ke-5 Ramadhan tidak menghalang saya melaksanakan amanah menjadi Imam di Surau Nurul Huda. Sambungan bacaan al-Quran terus dialunkan di setiap rakaat tarawih di sini. Seperti biasa, selepas habis tarawih sebelum solat sunat witir dilaksanakan, sedikit tazkirah pengisi masa ibadat malam itu. Kali ini saya mengetengahkan mengenai kepentingan sahur yang ada barakah, hadis yang mudah untuk dihafal, tasahharu, fainna fissahuri barakah..bersahurlah, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah. Hadis mengenai bersahurlah walau dengan seteguk air menaikkan lagi kepentingan dan keutamaan sahur tersebut.


Topik lain yang saya sampaikan juga mengenai mereka yang tidak wajib berpuasa, dan saya banyak menekankan ketika menyentuh golongan belum baligh namun tidak menjadikan alasan untuk tidak mengajarkan anak-anak mula berpuasa. Saya berikan juga konsep pembelajaran orang putih yang menekankan pembelajaran dalam usia muda dalam konsep 'Primary School' yang lebih di-primer-kan berbanding 'Secondary School' yang dari nama sahaja kita sudah tahu level ke-2 atau second. Contoh dari Imam as-Syafie yang mengajar fiqh shaum di madinah ketika berusia 9 tahun di Madinah namun dia sendiri tidak berpuasa membuatkan kejutan kepada anak muridnya. Saya pun menyampaikan dengan ringan, santai dengan bahasa mudah difahami oleh warga ibubapa di surau ini. Terkadang keluar juga gelak ketawa dari pakcik-pakcik di sini jika diselitkan lawak-lawak menarik dan mendidik jiwa. Suatu kepastian, dalam berdakwah dan menyampaikan mesej kepada rakyat umum, sampaikanlah dengan penuh penghormatan dan secara halus perlahan kita nasihatkan.

Seusai solat, Pengerusi bersemangat lagi maju ke al-Quran besar dan memberitahu dia baru balik dari Ipoh. Bergegas balik tadi untuk kejar Isyak di sini. Moreh yang tidak ketinggalan mengisi ukhuwah dan perut jemaah di sini walaupun seringkali ada bakinya, dan bakinya seringkali saya menjadi mangsa untuk membawa pulang ke rumah.

"Fakhrul tak yah nak malu di sini..kami dah anggap fakhrul anak angkat di taman perumahan ini.."

Itulah salah satu yang keluar dari mulut seorang pakcik.

"maaf lah ustaz..anak-anak disini bising sedikit ketika solat, dan anak saya juga salah seorang yang bising tu.."

Ini pula yang keluar dari mulut seorang makcik.

Apa yang penting, lebih baik biasakan anak-anak dengan suasana solat berjemaah dan suasana bergaul dengan masyarakat dengan membawanya ke surau, walaupun hakikatnya main lebih banyak ketika saling berjumpa dengan  geng-geng mereka, minima tempat pertemuan ini jauh lebih mulia dan selamat serta mendidik kebiasaan dengan ibadat-ibadat kebaikan.

"Ustaz, ni ada hadiah sedikit untuk ustaz.."

Seorang pakcik memberikan saya bukan satu, tapi dua jubah yang bagi saya sangat-sangat lawa dan yang hebatnya saiznya sangat menepati saiz badan saya. Terima kasih saya ucapkan. Secara jujur, setahu saya, segala pakaian yang agak cantik pada pandangan saya adalah hadiah dari Mak dan Kakak saya. Kakak saya yang banyak membelikan saya baju kerana dia memang jenis menjaga penampilan adik-adik dia. Begitu juga dengan Mak saya yang sering belikan saya pakaian sehinggakan beraneka jenis pakaian dan yang pasti saya tahu pakai sahaja. Bukan tidak ingin pergi berjalan mencari dan membeli baju-baju, tapi cukup pakai apa yang ada dan apa yang ada pun sudah lebih dari mencukupi dan Mak bersama Kakak sentiasa menepati cita rasa yang saya inginkan.