Saturday, August 20, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 5]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Soalan Dari Engineer

"Saudara, kebanyakan manusia zaman sekarang menjadikan negara-negara barat sebagai sumber rujukan..Sehingga ramai sentiasa mengutarakan falsafah-falsafah dari mereka..persoalan saya disini, mengapa cendekiawan-cendekiawan Islam sudah kurang dijadikan sumber rujukan?"

Salah seorang staff Makhostia mengutarakan pendapat dan persoalan sejurus saya membuka slot soal-jawab selepas menghabiskan bait-bait ceramah 'Aplikasi al-Quran Dalam Kehidupan'. Selepas ceramah motivasi kepada adik-adik sekolah menengah rumah anak yatim Budi Mulia Nurul Huda di chemor pada ahad baru-baru ini, peluang jemputan ceramah Nuzul al-Quran di Makhostia, KLCC Plant pula menjadi destinasi pada hari rabu baru-baru ini. Sedarlah, Ramadhan adalah bulan meningkatnya produktiviti kita, bulan alasan untuk makin melemah. Samada dalam skop kerjaya, akademik mahupun dakwah kita.

"terima kasih tuan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita mengetahui umat Islam suatu ketika dahulu merupakan agama yang penuh dengan kegemilangan seperti zaman abbasiyyah atau uthmaniyyah, umat Islam menjadi rujukan di seluruh pelusuk dunia, namun, mengapa sekarang umat Islam sudah tidak dijadikan sumber rujukan?"

"mengapa lebih ramai berorientasikan kepada barat?al-Quran sudah tidak dijadikan sumber rujukan utama dalam  apa jua skop kehidupan kita sedangkan seorang sahabat Rasulullah SAW, nama dia Ibnu Mas'ud mengatakan bahawah 'al-Quran Ummul 'Ilmi'


"jawapan dia satu sahaja..Umat Islam makin lemah! Bukan perlu disalahkan kekuatan orang lain, tapi kita, umat Islam yang makin lemah..Inilah yang disabdakan Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad mengenai suatu zaman dimana umat Islam dikerumuni seperti orang-orang lapar mengerumuni makanan, atau kalau kita perhatikan semut yang mengerumuni gula..lalu para sahabat bertanya, adakah bilangan kita sedikit Ya Rasulullah, Rasulullah menjawab, tidak, bahkan bilangan kita ramai..tapi sayangnya ramainya kita hanya laksana buih-buih dilautan"


"kalau di KL ni mungkin payah kita nak jumpa laut, tapi cuba kita pergi ke laut dan lihat buih-buih di lautan, memang banyak jumlahnya, namun betapa mudah ianya pecah..begitu umat Islam zaman sekarang, kita makin lemah..Keimanan lemah, ekonomi lemah, teknologi lemah mahupun media kita juga lemah"


"perkara lain yang menyebabkan barat lebih menjadi bahan rujukan adalah kerana mereka pandai promosikan produk mereka..kerana mereka menguasai media..bayangkan umat Islam keluarkan produk, barat juga keluarkan produk, walaupun jika produk umat Islam jauh lebih berkualiti, namun jika tidak mampu dipromosi, maka ia akan menjadi produk yang tidak berkualiti juga akhirnya..kita sendiri tahu media siapa yang menguasainya untuk menyebarluaskan lagi produk mereka..Sebab itu Prof. Dr Yusof al-Qaradhawi mengatakan dalam buku Fiqh Jihadnya bahawa media adalah salah satu medan jihad yang perlu diketengahkan"

Agak panjang jawapan saya kali ini kerana amat ingin menyampaikan situasi yang dihadapi umat Islam zaman sekarang. Saya menyampaikan etika seorang pekerja berlandaskan al-Quran untuk diaplikasikan dalam kehidupan dalam skop pekerja. Satu lagi soalan yang ingin saya kongsikan adalah:

"saudara mengambil chemical kan? namun, mengapa saya melihat saudara sudah jauh ke arah.....agama begitu..apa sumber motivasi saudara untuk ke arah ini?"

"tuan, sumber motivasi saya adalah sirah para nabi..profesi bukan penghalang bagi kita mendekat dengan Allah, menyampaikan ayat-ayat Allah atau hadis Rasulullah..Nabi Isa kita ketahui merupakan seorang doktor, tapi sangat dekat dengan Allah. Nabi Daud seorang tukang besi, tapi sekali lagi sangat dekat dengan Allah. Nabi Nuh seorang Civil Engineer, tapi sangat dekat dengan Allah, bahkan Nabi Muhammad sendiri seorang peniaga tapi sangat dekat Allah..bahkan ramai lagi para ulama' juga ada profesi masing-masing namun sangat dekat dengan Allah..inilah sumber motivasi saya, ada insan-insan yang telah membuktikan..insyaAllah..ingatlah, profesi kita bukan penghalang kita makin dekat dengan Allah, status kita di dunia tidak perah mengubah status hamba kita kepada Allah"

"sebab itu tuan-tuan dan puan-puan, hadirin hadirat sekalian, sering saya sampaikan dalam ceramah-ceramah saya terutama kepada pelajar bahawa, ingin menjadi doktor, silakan tapi tolong jadi doktor yang beriman, nak jadi Engineer tolong jadi Engineer yang beriman, nak jadi businessman tolong jadi businessman yang beriman, nak jadi polis tolong jadi polis yang beriman, nak jadi pencuri pun tolong jadi pencuri yang beriman..hehe..kerana orang beriman tidak akan mencuri..itu maksud saya..insyaAllah ya Tuan.."

Begitulah sedikit perkongsian pengalaman berhadapan dengan ahli korporat, bahkan ada ramai juga Engineer-Engineer ketika itu yang mempunyai title 'IR' lagi yang hanya mampu didapatkan jika ada membuat projek yang besar. Secara jujur saya sangat-sangat terasa rendah diri dan jauh sekali berbanding mereka yang lebih berjaya. Saya hanya sekadar berkongsi dan bukan mengajar.

Kepangkuan Bonda

Kedatangan mama (panggilan mak saya) ke perak amat menghiburkan hati saya. Walau hanya selama 4 hari namun masa bersama diisi sekualiti yang mungkin. Kesanggupan mama datang ke sini hanya atas dasar menziarahi anaknya merupakan hati mulia seorang insan bergelar ibu. Kesana-kemari saya membawa mama menjelajah bumi perak dan bergaul dengan masyarakat di sini. Bahkan mama sempat bersama solat berjemaah di Surau Nurul Huda dari maghrib, isyak, tarawih dan witir. Saya amat terkesan dengan impian mama di Ramadhan kali ini:

"insyaAllah..mama nak khatamkan al-Quran Ramadhan tahun ini.."

Mungkin bagi anda ia suatu perkara biasa mengkhatamkan al-Quran, namun bagi saya ia suatu nikmat yang besar ketika ahli keluarga makin mendekat kepada Allah. Mama juga sempat mendengar tazkirah di Surau Nurul Huda dan ceramah saya di Makhostia dan akhirnya timbul soalan mengenai motivasi saya melakukan semua ini.

"sebenarnya farul ingin kejar peluang amalan jariah yang mampu berterusan walau sudah meninggal nanti..Setakat ini yang farul mampu hanya menyebarkan ilmu untuk dimanfaatkan oleh para pendengar..kalau yang sedeqah jariah tu farul bukannya ada banyak harta boleh sumbang sangat..kalau nak dapatkan doa anak soleh lagi lah jauh farul nak dapatkan..kahwin pun belum..jadi, setakat ni, menyebarkan ilmu untuk dimanfaatkan sajalah peluang mendapatkan ganjaran sampai ke alam seterusnya sebab kematian tidak tahu bila mendatang.."

Banyak perbincangan bermanfaat dilalui sepanjang tempoh mama di sini. Mohon doakan perbincangan yang ke arah kebaikan akan dimudahkan Allah untuk merealisasikannya ya..InsyaAllah..

Pecutan 10 Malam Terakhir

Alhamdulillah..Tanpa kita sedari, kini Ramadhan berada di fasa kemuncaknya, 10 malam terakhir. Pencarian malam al-Qadar perlu digiatkan lagi walaupun ia sebenarnya perlu bermula dari awal Ramadhan lagi. Jangan lagi kita teruskan tabiat menganggap enteng atau memandang rendah peluang di bulan Ramadhan sehingga ibadat kita masih di tahap darjah satu.

Pada baki tempoh Ramadhan ini, perkara pertama tolong sedarkan diri dan tambah keyakinan hati mengenai ganjaran Ramadhan yang tidak mustahil inilah kali terakhir bagi kita, lalu terjemahkan kesedaran dan keyakinan itu dalam bentuk amal ibadat kita. Jadikan ibadat sebagai primary, bukan secondary apatah lagi tertiary. Ber'uzlah'-lah mengasingkan dahulu aktiviti-aktivi yang bukan primer agar kita lebih fokus melaksanakan perkara yang primer.

Ubahlah banyaknya tidur kepada banyaknya solat sunat, ubahlah banyaknya bersembang dan gelak ketawa kepada banyakkan zikir dan istighfar, dan ubahlah banyaknya ber'FB','twitter' dan 'blogging' kepada banyaknya membaca al-Quran. Saya risau melihat manusia-manusia yang terlalu banyak masa dihabiskan di FB contohnya walaupun ia melakukan suatu benda yang baik, namun ada perkara yang jauh lebih baik perlu kita habiskan dan manfaatkan. 1st thing 1st, utamakan yang utama.

Perkara akhir untuk kita muhasabah kembali adalah muntijah dari ibadat puasa yang perlu kita realisasikan, TAKWA. Tolong periksa dan pantau kembali diri kita adakah kita makin bertakwa?atau kita masih tiada merasa keberkesanan puasa dalam diri kita melainkan lapar dan dahaga. Masih ada waktu untuk kita berusaha memanfaatkan Ramadhan untuk mencapai buah ketakwaan yang merupakan harga seorang hamba. Ikhlaskan kembali niat, tingkatkan kembali kemahuan lalu gencarkan lagi kesungguhan. Semoga diberi kekuatan melakar sejarah Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita..Amin..

No comments: