Thursday, January 21, 2010

Kaya Tsumul

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Wahai umat islam,
kayalah dengan iman dan takwa,
itulah kekayaan meliputi dunia akhirat,
kekayaan yang menyelamatkan dari siksa alam barzakh,
kekayaan yang memayungi di padang mahsyar,
kekayaan yang mencorakkan catatan kebaikan dalam buku hisaban,
kekayaan yang memimpin meniti titian sirat,
kekayaan inilah yang berpanjangan sehingga ke syurga,
kekayaan yang mendekatkan lagi diri kepada Pencipta.

Wahai umat islam,
kayalah dengan ilmu pengetahuan,
sesungguhnya berbeza hamba yang berilmu dengan sebaliknya,
kayalah dengan ilmu yang memisahkan dari kegelapan kepada cahaya,
kayalah dengan ilmu yang membimbing kita menelusuri kehidupan ini,
kayalah dengan ilmu yang bakal mengembalikan kegemilangan umat kita,
cukuplah umat kita ditinggalkan jauh kebelakang,
sedangkan ilmu berasal dari umat kita,
namun dijauhkan dengan kelekaan fana dunia.

wahai umat islam,
kayalah dengan akhlak terpuji,
kekayaan yang membuatkan ibubapa berasa senang,
kekayaan yang membuatkan sahabat berasa senang,
kekayaan yang membuatkan masyarakat berasa senang,
tingkatkanlah kekayaan akhlak dalam diri kita,
usirlah pandangan luar yang menyatakan kita miskin dengan akhlak terpuji,
buktikan kita mengikuti junjungan mulia rasul kita,
rasul yang memiliki akhlah mulia,
agar kelak, Allah merasa senang itu yang penting.

wahai umat islam,
kayalah dengan ekonomi ummah,
mari kita maju tingkatkan kualiti ummah,
janganlah kita sentiasa kalah dalam ekonomi,
yang sentiasa ditindas dengan mudah,
yang tidak tentu arah tatkala dihentikan gaji yang buta,
atas kemalasan untuk berusaha dengan gigih,
atas kesenangan berada di zon selesa,
sehingga leka memandang masa hadapan yang bakal jauh berbeza,
jika kesedaran tidak dipupuk pada awal masa,
yang penting bukan kita mengejar dunia,
tapi dunia yang mengejar kita.

Wahai umat islam,
kayalah kita dengan perpaduan,
yang mengukukah ikatan sesama ummah,
cukuplah kita dimainkan pihak ketiga,
yang hanya inginkan perpecahan sesama kita,
agar kelak kita mudah dimusnahkan,
mari kita bangkit bina hubungan sesama kita,
tanamkan sifat kasih sayang antara kita,
kasih sayang sesama saudara,
alangkah indah hati terikat kerana Allah.

Wahai umat islam,
kayalah kita dengan kekuatan,
kekuatan badan yang tidak mampu dinoda,
kekuatan ummah yang tidak mampu digugat,
kekuatan negara yang menyatu disatu kalimah,
tambahlah kekuatan bukan kelemahan,
kekuatan agar tidak mudah dipijak-pijak,
oleh pihak yang sentiasa memusuhi kita semua,
jangan lagi leka dengan kehidupan dunia,
yang sekian lama melemahkan kita.

Wahai umat islam,
ayuh kita bangkit dengan kekayaan seluruhnya,
kekayaan yang tsumul mencakupi seluruh kehidupan,
samada dunia mahupun akhirat,
jangan lagi iman dan takwa di bawah garis kemiskinan,
jangan lagi ilmu pengetahuan di bawah garis kemiskinan,
jangan lagi akhlak terletak di bawah garis kemiskinan,
jangan lagi ekonomi ummah di bawah garis kemiskinan,
jangan lagi perpaduan sesama kita di bawah garis kemiskinan,
jangan lagi kekuatan sentiasa di bawah garis kemiskinan,
mari tingkatkan kekayaan yang dibimbing dengan Al-Quran dan Sunnah,
kekayaan yang bakal disusuli dengan al-jannah.
dengan izin Allah Yang Maha Kuasa.