Thursday, September 25, 2014

My Ex-Jahiliyyah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



Jahiliyyah VS Islamiyyah

Aku Yang Dulu,
Bukan Yang Sekarang,
Dulu Ditendang,
Sekarang Ku Disayang,
Dulu-Dulu Ku Menderita,
Sekarang Aku Bahagia.

(Petikan lagu dari artis, Tegar)

Roda kehidupan terus berjalan, jarum jam terus berputar membawa erti waktu yang terus berjalan menemani kehidupan kita di dunia ini. Saya pasti setiap kita mempunyai jalan ceritanya yang tersendiri yang mempunyai pelbagai jenis plot cerita dalam melengkapi drama kehidupan kita masing-masing.

Petikan lagu di atas yang menjadi antara lagu yang hangat pada hari ini mampu memberikan kita pelbagai hikmah dan pengajaran samada tersurat mahupun tersirat. Kisah mengenai perubahan kehidupan yang sengsara kepada yang lebih bahagia. Saya pasti ramai antara kita pernah melalui perubahan kehidupan sedemikian rupa. Samada dari pada bukan Islam, telah kembali kepada islam, Muallaf, daripada penjahat menjadi orang yang berjihad, daripada menjadi orang yang jauh kepada Islam, menjadi orang yang dekat dengan Islam, dan pelbagai lagi kebahagian yang kita raih setelah melalui beberapa kesengsaraan.

Namun, tidak juga kita nafikan ada antara kita melalui perubahan kehidupan yang sebaliknya, daripada bahagia kepada menderita. Penderitaan yang paling perit bukanlah kerana perkara dunia, namun penderitaan di akhirat kelak, walaupun mungkin kita nampak bahagia di dunia ini, namun sayangnya, kita akan menderita di akhirat nanti jika kita tidak berubah menuju perkara yang diredhai Allah SWT. Sebab itu dalam FB saya sendiri pernah saya nasihatkan bahawa:

"Lebih baik menjadi bekas orang jahat, daripada menjadi bekas orang baik."

Petikan di atas bukan bermakna kita mesti buat jahat dulu baru ketika dah berusia nanti baru menjadi orang baik, namun bermakna kepada sesiapa yang pernah buat jahat atau sedang buat jahat, lalu berubah ke arah yang lebih baik maka itulah yang terbaik, berbanding kita yang pernah berbuat baik atau sedang berbuat baik namun akhirnya kecundang lari dari kebaikan lalu menjalankan pelbagai kejahatan. Ayuh jadikan kejahiliyyan kita kepada "My Ex-Jahiliyyah" atau Bekas Kejahiliyyahanku.

Petikan di atas juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada kita semua yang saya pasti pernah melakukan kesilapan, kemaksiatan dan kejahatan, namun yakinlah Allah tetap menunggu kita kembali ke pangkal jalan yang menuju Redha-Nya. Maka, ayuh kita semua dengan penuh keyakinan dan penuh bersemangat untuk memberikan yang terbaik dengan baki kehidupan yang diberikan kepada kita dan jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah walaupun kita pernah melampaui batas dalam meninggalkan perintah-Nya.

Katakanlah, Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas, terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.” (QS. Az Zumar: 53)




My Jahiliyyah

Memandangkan artikel kali ini khas untuk para generasi muda, ayuh kita menyentuh dan menyinggung sedikit sebanyak kejahiliyyahan yang popular dalam kalangan generasi muda dewasa ini. Ibu bapa kepada generasi muda yang membaca artikel ini pun lebih saya galakkan dan hargai dalam mendapatkan beberapa buah cadangan dan buah fikiran daripada  saya, penulis muda yang tidak seberapa ini. InsyaAllah.

Dibawah saya nyatakan antara kejahiliyyahan yang kian meruncing dalam kalangan generasi muda dan perlu untuk semua pihak terutama generasi muda sendiri untuk lakukan sebuah tindakan perbaikan yang drastik. Namun, kita tidak mengecilkan skop kejahiliyyahan hanya kepada perkara-perkara yang popular semasa zaman jahiliyyah 1435 tahun yang lalu, seperi meminum arak, berzina, membunuh anak perempuan, dan sebagainya. Kita akan lebih meluaskan skop jahiliyyah masa kini kepada segala bentuk kejahilan yang mendatangkan kemudharatan kepada pelbagai pihak.

1. Hiburan yang melampau dengan segala konsert, disco, clubbing, dll.
2. Pergaulan lelaki dan wanita yang tiada batasnya sehingga berlaku perzinaan
3. Menghisap, memakan, menyuntik atau meminum bahan yang mengkhayalkan dan memudharatkan.
4. Berakhlak buruk dan biadap kepada ibu bapa sehingga ada yang membunuh
5. Berjudi dan bertaruh dengan pelbagai medium masa kini.
6. Bergaduh dan membunuh sudah mula berleluasa.
7. Mencuri dan merompak sehingga sanggup mengorbankan nyawa.
8. Merempit dan berlumba haram dijadikan hobi yang berbahaya.
9. Menonton video lucah

dan banyak lagi kejahilan kubra (besar) yang dilakukan oleh generasi muda kita pada hari ini. Nampak dahsyat dan berat senarai kejahilan di atas, namun bayangkan itulah realiti generasi muda yang bukan di negara lain, namun di negara kita sendiri, bukan anak orang lain, namun terkadang anak kita sendiri. Saya sengaja senaraikan perkara di atas agar kita lebih menyedari hakikat yang berlaku lalu meletakkan keseriusan dalam membendung perkara ini. Suka untuk saya senaraikan lagi antara kejahilan sughra (kecil) yang juga merupakan benih-benih yang mampu menjadi kejahilan kubra kelak nanti.

1. Membuang masa hanya bermain game
2. Menonton wayang atau drama yang tiada faedah
3. Tidak menjaga sembahyang
4. Tidak membaca al-Quran
5. Terlalu asyik dengan lagu-lagu dan tarian yang merosak
6. kebanyakan masa hanya berhadapan dengan komputer riba (laptop) atau telefon pintar (smart phone) melayan banyaknya aplikasi dan jaringan internet.
7. Sembang kosong dan melepak samada melalui alam nyata atau alam maya

Kejahilan yang nampak ringan namun sebenarnya sangat bahaya jika tidak dibendung dari awal lagi. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, melunturkan jahiiliyyah biarlah dari awalnya.

My Ex-Jahiliyyah? Bagaimana?

Kita telah mengetahui kejahiliyyahan dari senarai yang saya berikan sebentar tadi, namun, perkara yang sukar dan susah bukan mengetahui sesuatu tindakan itu jahiliyyah atau tidak, tapi yang sukar adalah menahan diri dari melakukannya dan meninggalkan kejahiliyyaan tersebut. Inilah ujian bagi kita, kita memang Mumayyiz yang tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, namun terkadang kalah dan gagal dalam memilih.

InsyaAllah disini saya ingin memberikan cadangan bagaimana untuk kita jadikan My Jahiliyyah kepada My Ex-Jahiliyyah:

1. Mengetahui, mengenali dan senaraikan dahulu jahiliyyah yang ada kita lakukan.
2. selesaikan dan perbaiki satu persatu dengan meninggalkan kejahiliyyahan tersebut.
3. kuatkan hati kita dengan banyakkan istighfar, bertaubat dan berdoa kepada Allah untuk meninggalkan kejahiliyyahan tersebut.
4. gantikan kejahiliyyahan tersebut dengan banyakkan perkara kebaikan yang lain.
5. sibukkan diri dengan kebaikan nescaya kita sudah tidak sibuk melakukan keburukan. banyakkan beribadah kepada Allah SWT.
6. cari kawan-kawan yang mampu memberikan kita suasana kebaikan dan membimbing kita ke arah kebaikan.
7. hadiri program-program yang meningkatkan keimanan dengan penuh konsisten.
8. sedari hakikat kita boleh mati pada bila-bila masa, maka bersedialah dari sekarang untuk menghadapinya.

Semoga cadangan perbaikan diatas mampu memberikan sedikit sebanyak bantuan kepada kita semua agar mampu menjadikan jahiliyyah yang kita lakukan kepada sekadar Ex-Jahiliyyah kita bersama. InsyaAllah entri kali ini membawa misi untuk mengalahkan segala kejahiliyyahan dalam diri pembaca khususnya dan kepada seluruh umat Islam umumnya.