Thursday, December 29, 2011

Keikhlasan Benteng Kesesatan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Keikhlasan Benteng Kesesatan

Kita sedia maklumi dan ketahui bahawa ujian dalam perjuangan bukan hanya bergelumang dengan alam manusia yang mampu dilihat dengan mata kasar dan mampu dipijak dengan kaki ayam. Namun juga ujian yang jauh lebih hebat dari pelbagai penjuru tembakan dan dari tempat yang tidak mampu dikesan asal tembakannya, itulah tentera syaitan.

"kemudian saya(syaitan) akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."[QS al-A'raf, 7:17]

"Sesungguhnya ia(syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak mampu melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpim bagi orang-orang yang tidak beriman."[QS al-A'raf,7:27]

Inilah kehebatan tentera syaitan dalam menjerumuskan manusia ke jalan kesesatan. Pelbagai penjuru mereka menyerang kita sehingga mereka berjaya menjumpai penjuru yang mampu menjajah kita. Samada penjuru membuang masa dengan bermain game, menonton wayang, menghisap rokok, wanita atau lelaki yang menggoda, wang ringgit, keluarga, fesyen up-to-date, populariti, lagu merosakkan dan banyak lagi penjuru yang banyak antara kita K.O.

Ujian godaan dan tipu daya syaitan menyerang semua manusia dari tidak mengenal erti Islam sehingga manusia yang sanggup mati demi Islam. Semua manusia akan mampu disesatkan oleh kalangan syaitan melainkan mereka yang mampu membina benteng keikhlasan. Inilah kunci bagi menepis hasutan syaitan terutama kepada semua pejuang kebenaran agar kita mampu melangkah dengan gagah walau diuji pelbagai cubaan. Ayuh para pejuang, para penceramah, para penulis, para pelakon dan semua para pendakwah, suci murnikanlah niat kita mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, jangan ada niat lainnya dalam kita mengejar redha-Nya. InsyaAllah.

Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka" [QS Shaad, 38:82-83]


Tarbiyyah Keikhlasan

Penekanan bagi membina kekuatan dalaman adalah akar kepada pokok perjuangan. Keimanan & Keikhlasan. Dua cabang akar yang akan mencengkam utuh membumi ke tanah yang pasti mampu bertahan walau ditimpa pelbagai ribut kesusahan dan taufan kesenangan. Inilah kekuatan akar yang perlu dikuatkan sebelum pokok perjuangan makin kuat dan makin membesar dengan ranting yang makin menjulang tinggi ke langit.

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya;"[QS al-Fath,48:29]

Keimanan dan keikhlasan merupakan perkara yang perlu diletakan atas anak tangga pertama menuju puncak perjuangan. Saya pelik bin hairan ketika ada yang mempersoalkan bahawa ada golongan yang berjuang hanya menekankan aspek tarbiyyah semata-mata dan mengabaikan aspek-aspek yang nampak besar lainnya, sedangkan perjuangan golongan tersebut bukan mengabaikan aspek lainnya, cuma mengutamakan dahulu aspek yang jauh lebih utama dalam susunan pertama. Ini adalah konsep bertahapan dalam meniti tali perjuangan sebagai langkah persiapan menuju lebih jauh kehadapan.

Kita juga tidak menafikan ada golongan yang cukup yakin akan persiapan dalaman sehingga berani menghadapi pelbagai ujian luaran. Permulaan perjuangan sudah diberikan pelbagai jawatan, sudah diberikan pelbagai tugasan, sudah didedahkan dengan kemahsyuran dan diberikan hujah menghalang dan menolak golongan lain tanpa diberikan kefahaman sehingga melahirkan "pejuang-pejuang" yang tidak memeriksa dan menganalisa dahulu golongan lain yang diperkatakan. Saya nasihatkan agar bersihkan dan kuatkan dahulu dalaman dan berikanlah pengarahan sesuai dengan tahapan pengorbanan dan ujian luaran.

Saya khuatir ketika pengarahan yang diberikan tidak sesuai dengan keimanan dan penekanan keikhlasan, maka ia akan tidak mampu bertahan lama dalam berkorban yang belum ditampung dengan keimanan dan keikhlasan. Begitu juga persiapan bagi kita mendedahkan pejuang dengan medan yang mungkin mampu mendatangkan pulangan dunia samada aspek ekonomi mahupun lainnya, pastikan keimanan dan keikhlasan betul-betul dikuatkan kerana ramai pejuang yang gugur ketika dibukakan pintu keduniaan yang bukan calang-calang ujiannya.


Ikhlas Menyeru

Akhir dari perkongsian kali ini khusus kepada semua pejuang yang sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan jiwa demi menegakkan dan mengembalikan kegemilangan umat Islam serta sanggup ke hulu ke hilir menyampaikan dan menyeru kepada kebenaran agar kita pastikan ikhlas menyeru kepada Allah semata dan bukan menyeru kepada lainnya. Ini perkara yang saya harapkan semua antara kita perlu ambil perhatian dan tindakan sewajarnya.

"Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah." Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya." [QS al-Imran, 3:79]


Tugas kita cukup mempromosikan Islam, cukup menyeru kepada Allah semata, manusia yang diseru (mad'u) terpulang kepada mereka samada ingin berjuang bersama kita atau memilih golongan pejuang yang lainnya. Bukan bahkan memburukkan perkara yang tidak benar terhadap golongan lainnya dengan niat agar tidak memilih golongan lainnya. Cukuplah golongan masing-masing membuktikan dan menawarkan produk kenderaan perjuangan masing-masing bukan bahkan mengempiskan tayar kenderaan perjuangan lainnya. Apa yang pasti, kita semua dari syarikat yang sama, syarikat ISLAM.

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim"[QS Fushilat, 41:33]


Perhatikan perkataan yang diajarkan kepada kita dalam ayat di atas, cukup kita mengaku sebagai Islam dan cukup kita hanya menyeru kepada Islam. InsyaAllah bersama kita ikhlaskan lagi perjuangan kita semua tidak kisah dari golongan mana, yang pasti kita bersama menyeru kepada agama yang diredhai Allah, ISLAM.


No comments: