Friday, March 22, 2013

Rasa Penting VS Tindakan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Mendalami "Rasa Penting"

"Merasa penting sesuatu perkara adalah berkadar terus (directly proportional) dengan kuantiti dan kualiti tindakan kita" atau dalam erti kata lain, makin kita anggap sesuatu perkara itu sangat penting, akan membuatkan kita membuat tindakan yang semaksimanya terhadap perkara tersebut. Jika ada tindakan kita yang kurang terhadap sesuatu perkara, bermakna kita tidak menganggap penting terhadap perkara tersebut.

Inilah topik yang ingin kita bahaskan bersama kali ini agar mampu memberikan impak yang maksima dalam diri kita dalam menghadapi pelbagai perkara dalam kehidupan kita. Merasa kepentingan terhadap sesebuah perkara adalah salah satu kekuatan dan motivasi dalaman yang mampu memberikan kesan yang luar biasa terhadap penghasilan sesebuah perkara tersebut. Ayuh mulakan dengan merasa penting untuk membaca dan memahami perkongsian "Rasa Penting VS Tindakan" yang ingin saya nukilkan ini..^.^..

Rasa Penting Membuahkan Tindakan

Kita makan dan minum semua kerana kita merasa pentingnya untuk makan & minum. Ini antara analogi mudah yang menunjukkan rasa penting membuahkan tindakan, kerana jika kita tidak merasa pentingnya makan & minum sebagai asas dalam kehidupan kita, maka kita tidak akan makan dan minum untuk meluruskan tulang belakang kita bagi melakukan pelbagai aktiviti harian, mingguan, bulanan, tahunan, abadan atau kurunan kita..hehe..harap contoh yang mudah ini mampu kita hadam sebaik mungkin.

Antara contoh kesan tidak merasa penting terhadap sesuatu perkara adalah seperti berikut (maaf jika ada yang terasa):

  1. Tidak memakai helmet atau tali pinggang keselamatan sedangkan ia penting untuk keselamatan
  2. Tidak berhenti merokok sedangkan ia memberi impak negatif kepada diri dan sekeliling
  3. Tidak menjaga kebersihan diri sehingga nanti sakit menyusahkan diri dan orang sekeliling.
  4. Tidak merasa penting untuk berjimat sehingga habis duit baru mencari.
  5. Tidak merasa penting untuk jaga pemakanan sampai penyakit mendatang tiada henti.
  6. Tidak merasa penting akan akademik kita sehingga keluar keputusan baru timbul penyesalan.
  7. Tidak merasa penting untuk bekerja bersungguh-sungguh sehingga dipotong gaji di akhir bulan.
dan banyak lagi sebenarnya contoh-contoh yang saya pasti kita semua boleh senaraikan kerana kita sendiri yang mengalami. Itu kalau kita perhatikan pengaplikasian "Rasa Penting" dalam aspek kehidupan dunia kita. Namun, ada perkara yang jauh lebih utama untuk kita merasa kepentingannya yang bersangkut paut masa depan kita di alam seterusnya, akhirat.

"Rasa Penting" Dalam Keimanan

Merasa penting dalam beriman amat perlu kita tekankan dan tanamkan dalam hati dan minda kita bersama. Ramai antara kita yang tidak merasa penting untuk beriman yang akhirnya membuahkan tindakan yang sangat salah sehingga mengabaikan dan membiarkan iman terus jatuh di bawah garis kemiskinan. Sedangkan kita tahu hari pembalasan pasti kan ada terhadap semua tindakan kita di alam dunia fatamorgana.

Cukuplah ada antara kita yang tidak merasa penting untuk solat sebaiknya sehingga kita solat sambil lewa sehingga tiada ruh dalam solat kita, lebih keruh lagi ada yang sanggup meninggalkan solat sedangkan amalan pertama yang menjadi penentu buruk dan baiknya amalan kita lainnya adalah solat!

Cukuplah merasa tidak penting untuk menutup aurat sehingga mengundang diri dan orang lain mendekati perzinaan pelbagai sisi (mata, telinga, hati, tangan & kemaluan). Tingkatkanlah standard aurat kita sebagai lambang mahalnya seorang insan beriman. Bukannya merendahkan martabat kita sehingga terlalu mudah untuk enak dimakan begitu sahaja.

Ayuh kita aplikasikan rasa kepentingan dalam pelbagai ibadah kita seperti membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu, membayar zakat, berinfak atau berwakaf, dan banyak lagi ibadah-ibadah kita yang lain. Jika ada ibadah yang sedia ada kita lakukan, maka tingkatkan lagi rasa kepentingannya agar bertambah kualitinya, dan jika ada yang belum kita laksanakan, maka tingkatkanlah rasa kepentingan untuk melakukannya kerana keyakinan kita terhadap hari pembalasan.

Aplikasi "Rasa Penting" Fi at-Tariq ad-Dakwah (Jalan Dakwah)

Perkongsian istimewa untuk semua ikhwah dan akhwat tidak kisah dari jemaah apa sahaja, mari kita tingkatkan lagi rasa kepentingan terhadap dakwah kita semua yang menuju kepada satu matlamat yang sama, iaitu redha Allah semata. Jika masih ada antara kita yang tidak bersungguh-sunguh dalam jalan dakwah, sebenarnya itu adalah bukti kita tidak merasa penting untuk berdakwah!!! Apatah lagi orang-orang yang meninggalkan dakwah, memang langsung tidak merasa pentingnya melaksanakan perintah dakwah dari Allah SWT!!! Sekadar tahu pentingkan diri sendiri dan mengorbankan kepentingan agama Illahi.

Mungkin ada antara kita tidak merasa penting untuk bersilaturrahim, mentajmi', berusaha ada anak usrah/halaqah atau memberikan tazkirah dan ceramah kepada umat Islam khususnya sehingga tindakan kita biasa-biasa sahaja atau kelihatan jelas rendahnya semangat kita dalam melaksanakannya!!!

Pengarahan-pengarahan dakwah dan amanah-amanah dakwah yang diberikan kepada kita perlu kita rasa pentingnya samada sekecil-kecil atau sebesar-besar perkara agar kita bertindak semaksima yang mungkin. Perkara ini saya timbulkan kerana saya melihat masih ada pejuang-pejuang kita masih sekadar melepaskan betuk di tangga dalam menggalas amanah yang diberikan kepada mereka. Melaksanakan dan menyiapkan tugasan atau pengarahan secukup rasa sahaja dan bukannya sesedap rasa. Harap kita perbaiki perkara ini demi kepetingan dakwah ini.

Perkara terakhir yang tidak ketinggalan adalah hubungan kita dengan Allah SWT. Saya yakin kita semua tahu kepentingan menjaga amanah Allah namun terkadang tidak terbukti dengan tindakan kita pula. Mutabaah Ibadah kita yang lebih banyak turun bukit berbanding naik ke puncak bukit, ini semua perkara yang perlu kita baiki sekarang juga!!! Jangan lagi bertangguh untuk merasa kepentingan terhadap perkara-perkara yang kita sudah tahu kebaikannnya!!!

Rasa Pentingkan Diri?

Akhir dari perkongsian kali ini, rasa pentingkan diri??? Ini sikap yang bukan sinonim dengan rasa penting yang kita bahaskan sebentar tadi. Kita dalam Islam hidup dalam persaudaraan dan tidak mementingkan diri sendiri tidak kira tua-muda, miskin-kaya, orang atasan-bawahan, dan ragam-ragam lainnya, itulah indahnya Islam. Hasil tidak mementingkan diri sendiri bukan hanya berlaku adil sesama kita, bahkan ada yang sanggup melebihkan (itsar) demi saudara seislamnya. Wallahu'alam.

No comments: