Monday, March 12, 2012

Pulangkan Milik Allah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


 


Memulangkan Nikmat Diberi

Cuba kita perhatikan semua nikmat yang diberikan kepada kita, dengan tubuh badan yang sihat sempurna, dengan harta yang sedia ada, dengan masa lapang untuk kita buat apa sahaja, bahkan dengan pelbagai nikmat lainnya dan saya pasti kita semua yakin segala nikmat yang kita miliki adalah sebenarnya milik Allah yang hakiki.

Kita sudah maklumi bahawa segala yang kita ada adalah milik Allah semata. Namun mengapa terkadang kita berat dan kedekut untuk memulangkan walaupun sedikit kepada Pemilik Rezeki? Jangan sampai kita tidak sedar diri dan merasa harta yang kita ada pada hari ini adalah milik kita sendiri dan lupa kepada Maha Pemilik segala sesuatu.

Kaki yang diberi Allah mengapa susah kita langkahkan ke tempat yang Allah redhai? Mata yang dikurniakan mengapa berat kita gunakan untuk membaca kalam Allah? Telinga yang diberi mengapa payah untuk mendengar peringatan mengenai Allah? Lidah yang dikurniakan mengapa bisu untuk menyampaikan ayat-ayat Allah? Sedangkan sekali lagi, semuanya milik Allah! Adakah kita bersikap adil kepada Allah?

Penyalahgunaan Terhadap Nikmat

Bahkan teruknya kita kerana menggunakan tubuh badan yang Allah beri untuk melawan Allah kembali! Kaki digunakan untuk menendang perintah dan larangan Allah, mata memandang benda yang dilarang, telinga mendengar perkara melalaikan dan lidah membicarakan perihal hasutan, pendustaan dan umpatan yang ditegah dalam Islam. Inikah cara kita membalas jasa Pemberi Nikmat kepada kita?

"Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan?" [QS Ibrahim, 14:28]

Begitu juga perihal masa dan harta yang diberikan Allah kepada kita, mengapa kita terlalu kedekut untuk memberikan walaupun sedikit kembali kepada Allah? Masa yang kita ada jangan lagi kikir atau kedekut untuk digunakan mendekatkan diri kepada Allah apatah lagi berjuang di jalan-Nya. Harta yang dikurniakan gunakanlah pada perkara yang diredhai Allah semata samada infak dan wakafkan kepada yang memerlukan, membeli bahan bacaan bagi meningkatkan ilmu agama, dan yang paling utama belanjakannya untuk membantu agama Allah.

Jangan pernah merasa segala yang kita ada di dunia ini adalah milikan kekal kita semua. Yakin dan sedarilah bahawa semuanya adalah milik Allah semata, maka jangan ragu-ragu dan kedekut untuk memberikan semula kepada Allah kerana memang milik-Nya. Kita adalah peminjam sahaja.

"Dan milik Allah-lah apa yang di langit dan yang di bumi, dan sungguh Kami telah memerintahkan kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepada kamu; bertakwalah kepada Allah. Tetapi jika kamu kafir maka (ketahuilah), sesungguhnya apa yang di langit dan apa yang di bumi hanyalah milik Allah dan Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji."[QS an-Nisa', 4:131]

Mari Menabung Akhirat

 

"akhi, insyaAllah semua duit yang kita keluarkan ni sebenarnya bukan sebuah kerugian tapi sebuah keuntungan..kita sebenarnya masukkan dalam tabung akhirat kita..makin banyak kita keluarkan, makin kaya kita di akhirat nanti..yang penting kita ikhlaskan segala pengorbanan yang kita lakukan"

Salah seorang ikhwah menyatakan kepada ikhwahnya yang lain yang dalam perjalan melakukan pengorbanan masa, tenaga dan harta yang bukan sedikit demi membantu agama Allah. Inilah pemikiran yang perlu kita tanam dalam hati kita agar tidak pernah merasa rugi ketika menginfakkan harta kita ke jalan Allah. Kita sebenarnya bukan rugi, tapi sebenarnya untung di akhirat nanti.

Mungkin pada pandangan manusia yang hanya menggunakan kaca mata dunia memandang sebuah kerugian zahir ketika kurangnya harta ketika dikeluarkan, sedangkan ia menguntungkan hati kita yang makin kaya dengan keimanan dan menguntungkan diri kita ketika berada di alam seterusnya. Ayuh kita menabung bermula dari sekarang dengan segala amalan yang menjadi matawang di alam akhirat.

Mencari untuk Memberi

Perjalanan menuju redha Illahi memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Terkadang membuatkan para pejuang di jalan ini mengeluh berdalih ketika diuji dengan pelbagai kekurangan samada wang ringgit, masa mahupun perasaan di hati. Namun yang ingin saya tekankan kali ini bahawa semua itu bukan alasan untuk kita tidak melakukan pengorbanan lagi.

Tiada duit maka perlu kita mencari duit, tiada masa maka perlu kita mencari masa, tiada mood maka kita perlu mencari mood bahkan jika merasa tiada keikhlasan maka perlu kita mencari keikhlasan tersebut. Apa yang penting, sentiasa mencari jalan dan bukan memberi alasan. Kita ingin seribu daya, bukan ingin seribu dalih. Mari kita usahakan mencari semua ini untuk kita berikan lebih lagi pada jalan yang diredhai Illahi.

 

No comments: