Thursday, October 25, 2012

Aishiteru (Aku Cinta Padamu)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Romantiknya Lirik Cinta

Permulaan post kali ini ingin saya mulakan dengan beberapa potongan lirik lagu cintai. Ayuh kita hayati.

Walau Raga Kita Terpisah Jauh
Namun Hati Kita Selalu Dekat
(Aishiteru Oleh Zhifilia)

Bila Terasa Rindu,
Ku Sebut Namamu,
(Bila Terasa Rindu oleh Dafi)

Kau Mau Apa, Pasti Kan Ku Beri
Kau Minta Apa, Akan Ku Turuti
Walau Harus Aku Terlelah Dan Letih
(Doaku Untukmu Sayang Oleh Wali Band)

Pasti ramai antara sidang pembaca khususnya para generasi muda membaca lirik tersebut dengan alunan lagu tersebut, atau dalam erti ayat lain, pasti lagu di atas ramai diketahui bahkan didendangkan generasi muda hari ini. Sungguh indah percintaan sesama manusia yang digambarkan dalam lirik lagu tersebut.

Jika kita tadabbur (hayati) lirik di atas, pertama menyatakan walau raga berjauhan, namun dekat di hati, kedua menyatakan ketika terasa kerinduan pasti menyebut nama kekasih hati, dan akhir sekali menyatakan sanggup terlelah dan letih demi memenuhi dan menuruti permintaan kekasih hati. Wah, sungguh romantik!

Alihkan Kuasa Cinta

Gambaran lirik diatas itulah ekspresi kuasa cinta sesama manusia dewasa ini.  Kuasa cinta menyebabkan yang jauh terasa dekat, yang berat terasa ringan, yang pahit terasa manis bahkan yang busuk terasa wangi. Sebagai contoh, ada pasangan yang tinggal berjauhan, namun atas kuasa cinta, mereka terasa dekat sekali. Ada juga yang sanggup berkorban harta dan masa yang memang berat, namun atas kuasa cinta, perkara berat terasa ringan untuk dilakukan. Ada pula terkadang terpaksa menerima beberapa pengalaman pahit bersama pasangan, namun atas kuasa cinta, perkara pahit terasa manis ditelan.

Apa yang penting, kebanyakan kuasa cinta yang diaplikasikan pasangan muda-mudi yang tiada ikatan halal pada hari ini saya pasti kebanyakannya hanyalah lakonan semata-mata. Ramai pelaku maksiat antara mereka menggunakan kalimat cinta bagi mewakili nafsu keji mereka yang diselimut indah dengan kata-kata yang menggoda. Maka, pastikan kita berwaspada dengan pujukan rayu mereka. Sedarlah, orang yang benar-benar mencintai kita tidak akan sanggup menyakiti kita, samada di dunia bahkan lagi untuk alam seterusnya.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua sidang pembaca untuk kita alihkan kuasa cinta kepada yang sepatutnya, Allah. Mari atas kuasa cinta kita akan sentiasa merasa dekat dengan Allah, sentiasa ringan melaksanakan suruhannya dan tinggalkan segala laranganNya. Selain itu, segala ujian dan ketentuan yang nampak pahit akan kita telan dengan rasa manis sekali. Janganlah lagi kita jauh daripada Allah, jangan lagi terasa berat untuk melaksanakan perintah-Nya mahupun meninggalkan larangan-Nya dan janganlah lagi kita sentiasa terasa pahit dengan segala ketentuan dari-Nya. InsyaAllah.

Perbandingan yang lain, saya pasti jika kita mencintai seseorang akan membuatkan kita sanggup berkorban untuknya dan tidak akan pernah menyakiti hatinya. Mencintai Allah juga sepatutnya lebih sanggup kita berkorban melaksanakan semua perintahnya dan jangan sesekali berani menyakiti-Nya dengan melanggar larangan-Nya. Ayuh kita buktikan cinta kita kepada-Nya kerana cinta kepada Allah adalah kata kerja yang perlu digerakkan dengan amalan, bukan hanya kata nama yang hanya didiamkan dalam fikiran.

Bercinta Selepas Bernikah

Perbahasan mengenai tahapan cinta serta langkah mendapatkannya sudah saya bahaskan dalam majalah SINERGI edisi ketiga, atau dalam post 'Ajarkan Aku Cinta' insyaAllah dalam kesempatan kali ini, saya ingin lebih membahaskan cinta sesama manusia yang perlu kita lihat dengan kaca mata yang menggunakan kanta Al-Quran dan As-Sunnah bukan dengan kanta Asy-Syahawat dan Asy-Syaitan. Walaupun saya yang sangat baru mengubah status saya menjadi seorang suami pada 2 June 2012 yang lepas ketika dalam usia 22 tahun, namun semoga sedikit pengalaman dan perkongsian mampu bersama kita sama-sama fikirkan untuk kita amalkan.

Ramai kita perhatikan generasi muda bahkan berusia dewasa ini meletakkan pemikiran dan pemahaman bahawa dalam mencari pasangan hidup, mereka perlu bercinta dahulu sebelum menjejak ke gerbang pernikahan. Menjadikan perkara ini lebih parah lagi, ibubapa juga menyokong bahkan mendokong anak-anak mereka untuk berkenalan dengan lebih rapat lagi kononnya dengan bakal pasangan hidup anak mereka.

Saya tidak melarang untuk ta'aruf (berkenalan) dahulu bakal suami mahupun isteri kerana ini adalah pemilihan yang sangat penting sebagai teman hidup dunia bahkan mampu sampai ke syurga, tapi pastikan dijaga dan ditegaskan batasan dalam berkenalan tersebut kerana memang dalam hadis yang diriwawatkan oleh Imam Ahmad membolehkan bakal pasangan untuk melihat wajah bakal pasangan dengan niat untuk menikahinya. Saya juga mendapat tahu ada beberapa organisasi gerakan Islam turut mewujudkan medium atau sistem ta'aruf antara muslimin dan muslimat yang sangat menjaga batasan dalam ta'aruf samada dikenali dengan baitul muslim atau baitul du'at. Semoga Allah meredhai usaha kalian.

Bernikah untuk bercinta memang lebih baik daripada bercinta untuk bernikah kerana cinta sebelum nikah cuma nampak indah, tapi hakikatnya akan merana berdosa. Manakala cinta selepas nikah memang indah, bahkan akan bahagia berpahala. Tambahan pula, bernikah juga sebuah wasilah yang mampu menyempurnakan separuh dari agama (HR Baihaqi) bahkan merupakan sunnah baginda Rasulullah SAW sehingga baginda mengecam tidak mengaku sebagai umatnya kepada sesiapa yang sudah mampu menikah namun tidak ingin melaksanakannya (HR Thabrani & Baihaqi).

Ujian Melaksanakan Pernikahan

Setiap perkara kebaikan akan ada sahaja ujian untuk kita tempuhi. Ujian dalam aspek ibadah pernikahan ini juga tidak lari dari ujian yang selalu hadir disebabkan diri sendiri, bakal pasangan atau keluarga itu sendiri. Dalam aspek diri sendiri, menurut Imam Ahmad Bin Hanbal mengapa terkadang kita tidak terasa tidak ingin menikah adalah antara dua faktor iaitu:

"Jika ada seseorang pemuda yang tidak berkeinginan menikah, maka hanya ada dua kemungkinannya; banyak bermaksiat atau diragukan kejantanannya"[Imam Ahmad Bin Hanbal]

Banyak bermaksiat dan diragukan kejantanannya. Perkara lain yang lebih sentiasa menjadi penghalang adalah pemikiran dan pemahaman masayarakat hari ini yang sentiasa mempersoalkan kemampuan individu untuk mendirikan rumah tangga samada dalam aspek nafkah zahir mahupun nafkah batin mereka.

Kemampuan yang lebih sering diperselisihkan adalah nafkah zahir kerana dalam membina rumah tangga memang kita tidak menafikan ada amanah untuk memberikan keperluan kepada pasangan hidup masing-masing. Terkadang ibubapa pihak lelaki menghalang untuk anaknya bernikah kerana kelihatan tidak cukup hartanya, ibubapa pihak perempuan pula melarang menerima pihak lelaki yang nampak kurang hartanya. Ibubapa sekalian, mengapa tidak kita bukan bahkan melarang atau menghalang, namun berikan sokongan dan bantuan untuk calon berusaha memampukan diri ke arah pernikahan kerana salah satu perkara yang perlu dipercepatkan adalah menikahkan anak perempuan yang pastinya anak lelaki juga perlu dipercepatkan sebagai pasangan pihak perempuan.

"Wahai Ali, ada 3 perkara jangan ditunda-tunda; solat apabila telah tiba waktunya, jenazah apabila telah siap pengkuburannya, dan perempuan apabila telah datang lelaki yang sepadan meminangnya" [HR Ahmad]

Perkara ini memang kita fahami bahawa ibubapa ingin memberikan yang terbaik untuk anaknya, namun kita melihat yang terbaik itu lebih utama dalam aspek dunianya atau akhiratnya? Indikator kita dalam memilih calon isteri atau suami, atau menantu bagi yang bergelar ibubapa jika menurut pesan Rasulullah SAW yang paling utama adalah agamanya.

Sekali lagi, kemampuan dalam bentuk harta kita tidak menolak sama sekali, bahkan calon memang perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan harta bagi kegunaan semasa dan selepas berkahwin. Ini adalah tanggungjawab. Namun, pandangan manusia zaman ini yang terlalu memandang tinggi aspek harta yang banyak berbanding harta yang secukupnya sehingga bukan sahaja harga barang menaik, mahar wanita juga naik sekali. Sedangkan mahar yang paling baik adalah yang paling mudah bagi calon suami. Sekali lagi, paling mudah tidak semestinya paling murah, namun mengikut kemampuan masing-masing.

Semoga ibubapa selepas ini jangan lagi memberatkan dan menyusahkan anak melaksanakan ibadah pernikahan yang mampu menyempurnakan separuh agama dan menjaga kehormatan mereka di zaman yang penuh dengan kebatilan dewasa ini. Bahkan, kita seharusnya memberikan galakan dan tunjuk ajar untuk mereka berusaha memampukan diri membawa amanah sebagai seorang suami atau isteri kerana Rasulullah SAW sendiri berpesan bahawa pernikahan adalah jalan utama menjaga kehormatan selepas itu baru benteng puasa sebagai alternatif kedua. Ayuh bersama mengelakkan anak kita tergolong dalam pelaku zina yang menyumbang kepada statistik 4 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2000-2008 kemudian statistik makin parah iaitu 6 anak luar nikah dalam masa sejam pada tahun 2008-2011. Na'udzubillah.

Ungkapan Aishiteru Untuk Siapa?

Aishiteru (Aku cinta padamu) adalah sebuah ungkapan indah yang membuahkan pahala jika diucapkan kepada yang halal bagi kita. Namun, dalam akhir penulisan kali ini, ingin saya menegaskan sekali lagi kepada yang terlibat dengan kemaksiatan, sedarlah bahawa ia bukan landasan yang betul dalam membina ikatan kerana ia terhasil selepas dimulai dan dicemari dengan dosa larangan. Ketahuilah, bercinta sebelum menikah bukannya jalan yang diredhai dan diizinkan Allah kepada kita. Pastikan kita dijalin bukan oleh nafsu dan syaitan sebagai walinya, tapi biarlah keimanan dan keikhlasan menjadi wali penyatunya.

Jadikanlah pernikahan satu landasan untuk mentarbiyyah dan menjaga lagi diri kita. Maka, pilihlah juga pasangan yang mampu merealisasikan tujuan itu. Pasangan yang bakal membimbing kita mengenal dan mengamalkan Islam secara baik agar kita menjadi keluarga Islam yang tidak merobohkan bangunan Islam, tapi keluarga islam yang mampu menjaga bangunan Islam. Saya yakin kita semua inginkan pasangan yang baik, maka tugas kita dalam mencapai impian tersebut adalah menjadikan diri kita juga insan yang baik.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)."[QS An-Nur, 24:26]

Nasihat terakhir kepada yang sudah melaksanakan ibadah pernikahan, jika yang bujang diuji dengan pasangan haramnya, kita juga diuji dengan pasangan halal kita. Maka, jangan sampai cinta kita kepada pasangan halal kita membuatkan kita makin kurang mencintai Allah kerana samada kita masih bujang mahupun sudah berkahwin, tahapan cinta paling utama kepada Allah tidak akan pernah berubah. Ayuh kita usahakan bukan hanya ingin membina cinta di dunia, tapi binalah jambatan cinta yang mampu sampai ke syurga.

No comments: