Sunday, January 8, 2012

Jaminan Dari-Nya


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli :  SaBaHaNmUsLiM




Fikir & Zikir

Fikir dan zikirlah mengenai apa yang telah kita miliki sehingga ke hari ini bermula dari sekecil-kecil zarah sehingga sebesar-besar alam semesta. Fikir dan zikirlah mengenai pancaindera yang telah sempurna dikurniakan kepada kita semenjak kita lahir ke dunia. Hayatilah alat pendengaran yang terhindar dari penyakit pekak, perhatikanlah mata kita yang terselamat dari penyakit buta, rasailah lidah kita yang tidak terkelu dengan penyakit bisu dan lihatlah kulit kita yang terlepas dari penyakit kurap dan kusta.

"Dan (juga) pada dirimu sendiri, tidakkah kamu perhatikan"[QS az-Dzariat, 51:21]

Semua rezeki di atas sedarilah tidak semua insan memilikinya dan saya pasti bagi sesiapa yang memilikinya pasti tidak sanggup melepaskannya. Jika kita ditanya apakah kita sanggup menukar sebiji mata dengan sebuah gunung emas? atau sanggup menjual telinga dengan harga sebukit permata? atau membeli istana mewah dengan bisunya lidah kita? atau menggadai tangan dan kaki kita demi mendapatkan platinum dan grafena? Sedarilah, nikmat yang Allah berikan lebih mahal dari segalanya.

Segala nikmat yang diberikan kepada kita, atau nikmat yang tidak pula kita dapatkannya adalah kehendak dari Allah ar-Rozaq. Dia berkuasa memberikan kita segala nikmat yang kita ingini, dan Dia juga berkuasa menarik semua nikmat yang kita miliki, kerana yakinlah bahawa semua rezeki jaminan dari-Nya.

Rezeki Masing-Masing

Saya terkesan dengan kata-kata mak saya ketika tetamu datang ke rumah kami lalu kami hidang dengan makan dan minum lalu beliau menyatakan kepada kami adik-beradik bahawa sebenarnya bukan kita yang memberi rezeki dengan tetamu tadi, tapi itu memang rezeki mereka melalui perantaraan kita. Begitu juga dengan kita yang mungkin telah membeli ayam panggang yang panas dan sedap, namun tiba-tiba terjatuh dan dimakan oleh kucing sekeluarga, maka itulah rezeki bagi kucing melalui perantaraan kita.

Pernah juga suatu ketika ketika saya mewakili universiti dalam pertandingan badminton sehingga masuk ke suku akhir dimana perlawanan yang sengit berlangsung antara saya dan pihak lawan. Saya mendahului jauh kehadapan sehingga umpama kejayaan suatu kepastian, namun kaki tercedera yang tidak memungkinkan untuk saya bermain dan keputusannya kejayaan ketika itu bukan milik saya.


Pengalaman terakhir yang ingin saya kongsikan adalah ketika mengikuti "Engineering Design Exhibition" di kampus dimana setiap kumpulan perlu mempersembahkan dan membentang projek masing-masing dihadapan juri dalam kalangan pensyarah bahagian kejuruteraan, pensyarah bahagian teknik penyampaian dan dalam kalangan pengkaji (researcher). Semua pembentang dipilih bagi setiap kumpulan dan saya wakil bagi kumpulan saya untuk membentang projek kami.

Barisan pembentang ada yang merupakan pemidato terbaik dan ada juga yang pendebat universiti serta pembentang lain yang lebih fasih berbahasa inggeris. Namun, sebuah kejutan ketika gelaran "The Best Presenter" diberikan kepada pembentang yang berasal dari Putatan, Sabah, iaitu saya? Sebuah pencapaian yang jangankan terfikir, terlintas pun tidak, namun itulah rezeki yang merupakan jaminan dari-Nya walaupun teragak-agak untuk naik ke pentas mengambil hadiahnya.
Saya pasti kita semua juga ada pengalaman masing-masing yang merupakan bukti rezeki itu ketentuan Illahi. Sebab itu saya pernah kongsikan nasihat di akaun laman sosial "Muka Buku" (FaceBook) mengenai:

"rezeki itu samada untukmu atau untuk orang lain, jika ia memang untukmu maka ia akan sampai padamu, jika ia untuk orang lain maka terimalah ia bukan untukmu. Ini antara sikap dan keyakinan yang perlu kita tanam di dasar hati, perihal semua rezeki adalah jaminan Illahi. Maka terimalah dengan redha segala ketentuan seikhlas hati."

Kebergantungan Dari-Nya

Ada ketika kita telah mengusahakan sesuatu perkara sebaik yang mungkin, samada dalam bab akademik, kerjaya atau tugasan lainnya, sehingga kita mampu mendaki menara gading, membangun syarikat sendiri atau mengutip hasil yang lumayan, namun ingin saya ingatkan bahawa jangan merasa rezeki yang diperoleh adalah hak milik usaha sendiri, tapi yakinlah ia adalah kehendak dan nikmat dari Illahi. Memang tugas kita berusaha sebaik mungkin, namun yang menentukan pengakhiran usaha kita adalah Allah Pemberi Rezeki.

"(Dia-lah) Allah tidak ada Tuhan selain Dia. Dan hendaklah orang-orang mukmin bertawakkal kepada Allah saja."[QS At-Taghobun,64:13]

Tawakkal, itulah istilah yang perlu ditanam di hati selepas puas usaha sebaik mungkin namun kebergantungan kepada Allah tidak pernah lari. Sebagai contoh, mungkin kita pernah ingin mengadakan sebuah program dengan persiapan yang cukup rapi, atau pernah belajar semaksima yang mungkin bagi menghadapi peperiksaan akhir, atau merancang strategi pemasaran bagi meningkatkan jualan produk syarikat, atau merangka perancangan bagi menghidupkan dakwah di pelbagai tempat, namun tiada salahnya untuk kita mengadakan solat sunat hajat dan berdoa agar persiapan dan perancangan kita lancar dan diberkati.


Inilah kebergantungan kepada Allah agar jangan terlepas akibat dari terkabur dengan usaha sendiri yang sudah nampak baik sekali. Cukuplah selama ini kita memandang tinggi usaha sendiri sehingga lupa Allah yang menentukan segala rezeki. Begitu juga secara antonim bagi insan yang putus asa untuk mencari rezeki Allah kerana terkabur dengan suasana yang nampak tiada harapan lagi agar teruslah berusaha kerana sekali lagi, rezeki jaminan dari-Nya.

Metodologi Mendapat Rezeki

Selepas kita simak kembali keyakinan kepada Allah Pemberi Rezeki, simaklah juga metodologi kita mencari rezeki. Memang terkadang ada insan yang mendapat rezeki yang lebih tinggi dengan metodologi yang salah dan tercela, samada melalui rasuah, riba, menipu atau berjudi, namun yakinlah insan sedemikian tidak di bawah payung keberkatan Allah selagi mana tidak dia berhenti melakukannya dan memohon keampunan kepada Allah dan manusia yang dizaliminya.

"Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintah orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada semua rasul dengan firmannya : Wahai sekalian rasul! Makanlah kamu makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Allah berfirman lagi : Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu makanan yg baik dari rezeki yang Kami berikan.

Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yg jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) : Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya?"
 [HR Muslim]

Semoga kita semua mengejar keberkatan dalam pencarian rezeki dan memasukkan rezeki yang halal dalam mulut kita, anak dan isteri. Biarlah berlapar dari makanan haram, demi mengelakkan azab di hari pembalasan. Ayuh bersama kita menjaga dan mengingatkan diri kita dan keluarga kita tentang perkara ini. Mari di akhir perkongsian kali ini, kita buktikan kebergantungan dan pengharapan rezeki kita dengan berusaha melaksanakan Solat Sunat Dhuha dan sudahi dengan doa yang diajarkan kepada kita dengan penuh khusyuk dan ikhlas serta menambahkan keyakinan bahawa semua rezeki jaminan dari-Nya.

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu"."Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

No comments: