Wednesday, January 11, 2012

Perlumbaan Piala Kebaikan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Proaktif Dalam Kebaikan

"salam akh, ana dah bagi tazkirah di PLKN ni..ramai juga yang datang dengar tazkirah"


"salam akhi, ana dah masuk sekolah lama ana balik..setakat ni ana baru bina hubungan dengan adik-adik disini..semalam main futsal bersama..hari ini nanti ana beriadah bersama lagi.."


"salam akh, ana nak jemput antum bagi ceramah di sekolah lama ana ni..ana dah offer dan mereka terima..semoga ana mampu membantu dakwah di sini.."


"salam akh, ana dah kumpul kawan-kawan ana ni..tapi baru 4 orang akh..antum boleh datang bagi sharing sikit dengan kami?"


"salam akh, apa bahan pertama ana nak sampaikan di tempat ana ni ya?"


"salam akh, ana insyaAllah nak fokus menambah hafalan quran dulu di maahad dalam sebulan lebih ni"


"salam akh, apa lagi buku-buku yang elok dibaca ya untuk menambah lagi pengetahuan agama ni?"


"salam akh, ana setakat ni mampu usahakan untuk hidupkan surau di kampung ja ni akh.."


Ini adalah antara mesej-mesej dari generasi muda yang saya dapat selepas mereka selesai menamatkan persekolahan menengah mereka dan dalam fasa penantian keputusan SPM yang bakal tiba. Semua merupakan orang yang pelik jika dipandang pada kaca mata remaja zaman ini kononnya. Namun pada kaca mata Islam, inilah remaja yang diimpikan bagi mengembalikan kegemilangan umat Islam.


Remaja-remaja yang sepatutnya menghabiskan masa melayan keseronokan hiburan dan aktiviti-aktiviti yang kononnya memanfaatkan masa mereka yang ada samada bermain game 24 jam, merempit lebih laju lagi, berkhalwat lebih kerap lagi, menonton TV dengan pelbagai movie, mahupun sekadar tidur sepanjang hari. Inilah warga emas (waktu muda sebenarnya warga emas) yang mensia-siakan waktu emas mereka.

Perlumbaan Piala Kebaikan

Semangat, kegigihan dan pengorbanan orang lain patut kita jadikan cetusan motivasi untuk lebih berbuat demi meraih kebaikan. Jangan hanya seronok bertepuk tangan melihat kejayaan orang lain dan jangan hanya tumpang gembira dengan penghasilan orang lain tanpa ada niat di hati untuk mencontohi bahkan berusaha melakukan yang lebih baik lagi. Samada dalam bab akademik, kerjaya, kebersihan, kesihatan, ukhuwah apatah lagi dakwah.

Cemburulah kepada mereka yang melakukan kebaikan bukan untuk menjatuhkan mereka, tetapi sebagai pembakar semangat untuk berlumba dalam kebaikan yang dianjurkan Allah kepada kita. Ayuh Fastabiqul Khoirot!!!

"Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan"[QS al-Maidah, 5:48]



Mari bersama kita tingkatkan semangat untuk memenangi piala kebaikan berbanding orang lain. Tingkatkan lagi hafalan al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, tambahkan lagi pengetahuan kita dengan membaca pelbagai genre buku, perbanyakkan lagi kemahiran kita dengan mempelajarinya di pelbagai sumber, perhatikan lebih lagi kesehatan, kecergasan dan kebersihan diri, dan akhir sekali, gencarkan lagi dakwah kita semampu yang boleh bagi menyedarkan umat Islam yang makin hari makin hilang keislaman dalam diri, dan semua ini kita usahakan selagi umur diteruskan Allah Yang Maha Mematikan.

Pagar Halangan Trek Kebaikan

Sepertimana perlumbaan larian berpagar, sepanjang trek ada sahaja halangan berpagar yang perlu pelumba tempuhi. Ada yang mampu langkahi, ada yang jatuh ke tepi dan ada yang berjaya hampir sekali. Begitulah juga dalam perlumbaan kebaikan yang diredhai ini, bukan dibentang dengan karpet merah, tapi terkadang disimbah dengan cat merah.

Perjuangan mengamalkan kebaikan memang penuh dengan ujian samada dalaman mahupun luaran. Bahkan terkadang kita sendiri yang menunda dan memindahkan peluang melakukan kebaikan kepada orang lain. Sering mengelak dan mengelat ketika ada peluang melakukan kebaikan. Samada ketika orang lain meminta pertolongan, ada kekotoran yang perlu dibersihkan samada di rumah, masjid atau jalanan, atau ada kerosakan dan kelemahan umat Islam yang perlu proaktif kita betulkan.

Cukuplah kita bermalas-malasan dalam melakukan kebaikan. Cukuplah kita hanya menunggu orang mulakan kebaikan baru kita ingin lakukan. Cukuplah kita meninggalkan kebaikan hanya kerana mengutamakan pandangan dan perspektif manusia semata. Inilah penyakit-penyakit yang makin menular dalam tubuh kita semua, kerana memandang enteng perkara kebaikan jika tidak memberi kepentingan dunia atau nafsu kepada kita sendiri. Semoga kita menawarkan lagi diri kita untuk melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan menawarkan diri melakukan kesalahan dan kemaksiatan. Akhir dari post kali ini kita hayati dan yakini bahawa setiap zarah kebaikan Allah tidak akan pernah pandang ke tepi bahkan akan menambahkan lagi balasan kepada pelakunya.

"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarrah, dan jika ada kebajikan sebesar zarrah, niscaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar"[QS an-Nisa', 4:40]

No comments: