Friday, September 16, 2011

Sirnakan Kelam, Sinarkan Cahaya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Roda & Album Kehidupan

Roda akan sentiasa berputar ketika ada pengayuh yang masih menggerakkan. Ketika mana ia berputar, maka sudah lumrah posisi sesuatu kawasan roda akan terus berubah kedudukan samada berada di atas, hadapan, bawah mahupun belakang.

Sepertimana roda kehidupan yang kita lalui, ada ketika kita berada di puncak keimanan, menara kebaikan dan gading kebajikan. Namun ada juga ketika kita berada di jurang kelalaian, gaung kemaksiatan dan curam kebatilan. Namun berapa ramai yang mampu naik semula dari jurang kelalaian ke puncak keimanan?Dari gaung kemaksiatan ke puncak kebaikan? Dari curam kebatilan ke gading kebajikan?

Cuba kita perhatikan hari-hari yang kita lalui, terkadang bukan kebaikan yang mengisi tempoh tersebut, tapi keburukan dan kemaksiatan yang berterusan memenuhi tempoh diberikan. Sehinggakan kita tunggang terbalikkan pesanan Rasulullah kerana menjadikan hari ini lebih teruk dari semalam, dan hari esok tiada perubahan bahkan mampu menjadi lebih keruh lagi. Adakah ini yang kita inginkan dalam diri kita? Adakah kita ingin perkara ini berterusan mengisi album kehidupan kita mahupun album keluarga kita? Album yang hanya dipenuhi dengan gambar-gambar kerosakan, kemaksiatan mahupun kehinaan atau kita ingin isikan album dengan gambar-gambar kebaikan, kebajikan serta kemuliaan? 

Cukuplah segala kerosakan yang kita timpakan kepada diri sendiri. Buanglah segala bahan yang menjahanamkan diri dan sekeliling, jauhilah segala kemaksiatan yang mengundang dosa terus melambung tinggi. Ayuh kita letakkan kesedaran di dalam diri, lalu paculah kesedaran itu kepada perubahan yang lebih baik. Jika sebelum ini kehidupan kita hanya kelam dalam kegelapan, Marilah kita sirnakan kelam tersebut, lalu sinarkan dengan cahaya yang terang menerangi.

Sirnakan Dosa, Sinarkan Taubat

Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa silam, tiada juga insan berdosa yang tidak mempunyai masa hadapan. Kejahatan, kemaksiatan serta kebatilan yang kita lakukan bukanlah alasan kita tidak akan melakukan perbaikan, bukan alasan kita tiada peluang mendapat ampunan kerana walau setinggi mana kejahatan kita, tinggi lagi ampunan Allah kepada kita.

"Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
[QS az-Zumar, 39:53]


Sahut la peluang yang Allah berikan kepada kita. Tiada dosa yang tidak mampu diampunkan melainkan dosa mensyirikkan Allah dengan izin Allah Al-Ghaffar Al-'Afuw. Kita sendiri yang selalu menolak untuk memberikan peluang pada diri untuk berusaha memohon ampun kepada-Nya. Maka buanglah kaca mata hitam yang menghalang kita melihat cerahnya peluang yang Allah berikan kerana  Allah sentiasa menanti keluhan taubat dari kita semua.

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[QS an-Nisa', 4:110]

Penyakit Menyinarkan Taubat

Penyakit merasa telah cukup bertaubat. Mungkin kita adalah salah seorang yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya sehingga mampu beramal dengan kebaikan dan berada dalam suasana yang baik. Dapat qiamullail, solat diawal waktu, solat sunat dhuha, berpuasa sunat, bersedekah bahkan nikmat berdakwah kendatipun, namun, jangan sesekali merasa cukup dengan amalan tersebut sehingga merasa diri sudah cukup mulia. Terus rendahkan hati kita untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang maksum bahkan dijanjikan syurga sekalipun namun lafaz taubat tidak pernah lari dari bibir baginda.

"Demi Allah, sesungguhnya saya itu memohon kaampunan kepada
Allah serta bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali."
[HR Bukhari]

"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunan daripadaNya, kerana sesungguhnya saya ini bertaubat dalam sehari (sebanyak) 100 kali."
[HR Muslim]

Sedangkan baginda sendiri begitu aktif memohon keampunan, apatah lagi kita yang sebenarnya pasti banyak melakukan dosa dan kesalahan, walaupun mungkin pada zahirnya orang lain melihat sebaliknya. Sedangkan mungkin jika dosa dan kesalahan kita mengeluarkan bau yang amat busuk, nescaya tiada orang ingin mendekati kita lantaran dari kebusukan dosa tersebut. Mari dari sekarang kita budayakan lafaz istighfar di bibir pada setiap helaan nafas kita.

Penyakit kedua adalah bertunda dalam bertaubat. Ramai kononnya menjadikan masa muda jaminan sampai ke masa tua maka menunda taubat di hari tua. Ramai juga menjadikan masa sihat menjadi jaminan taubat masih mampu ditunda sebelum datangnya kematian. Bagaimana jika perancangan kita dalam bertunda tersebut tidak seperti yang kita harapkan? Bagaimana jika tempoh jaminan itu dipotong 50% atau lebih bahkan? Tidakkah kita akan menyesal? Sepatutnya makin kita meningkat usia makin aktif kita beramal dan bertaubat, bukan makin pasif keduanya.



Mari muhasabah kembali diri kita, hisab kembali amalan-amalan kita, sebelum Allah yang menghisab kita di lain masa. Manfaatkan masa yang diberikan kepada kita seoptimumnya, kerana waktu semalam sudah bukan milik kita lagi, esok hari yang belum tentu kita dapati. waktu sekaranglah yang ada di tangan untuk kita manfaati. Jangan lagi meletakkan ramuan menunda dalam bertaubat dan beramal kepada Allah SWT.

Sirnakan Keburukan, Sinarkan Kebaikan

Perkara-perkara keburukan yang pernah kita lakukan mari kita counter dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Keburukan laksana asid kepada kita dan kebaikan umpama alkali kepada kita. Jangan kita hanya ingin meneutralkannya dengan sedikit alkali, tapi tambahkanlah nisbah alkali tersebut agar berada di zon selamat dari jatuh kembali ke lembah berasid. 

Ramuan taubat iaitu menyesali, memohon ampun dan taubat serta berazam tidak mengulanginya lagi belum cukup utuh menjamin penerimaan taubat bahkan penghapusan dosa kita. Ada bahan lain yang perlu kita sertakan dalam resepi taubat seorang hamba, iaitu melakukan amal perbaikan. Mari kita sirnakan keburukan dengan menyinarkan kebaikan dalam kehidupan kita kerana kebaikan mampu menyirnakan keburukan yang kita lakukan.

"kecuali mereka yang telah taubat dan mengadakan perbaikan dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Menerima taubat lagi Maha Penyayang." [QS al-Baqarah, 2:160]

"Bertakwalah kepada Allah di manapun kamu berada. Dan iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapusnya. Dan perlakulah manusia dengan akhlak terpuji.”
[HR Tirmidzi]

Ujian Menyinarkan Cahaya



Lautan pasti ada ombak yang mendatang, terkadang ada yang kecil ada juga yang besar, namun mari kita teruskan berenang jangan lemas tenggelam. Semoga kita diberikan kekuatan berenang di lautan dunia yang penuh dengan ombak ujian. Yakinlah, walaupun nampak sukar merenanginya, tapi tidak mustahil untuk menyeberanginya. Abaikanlah pendayung-pendayung di lautan yang menjatuhkan semangat kita untuk terus berenang, manusia-manusia yang terkadang menghasut dan melemahkan sehingga kita terhalang untuk lakukan perubahan. Sedarlah, jangan kerana anasir luar, membuatkan kita tidak ingin lakukan perubahan kearah kebaikan. Bukan pandangan manusia yang kita ikutkan dan harapkan, namun pandangan Allah itu jauh lebih diutamakan. Walau terkadang kita mungkin akan kalah dengan ujian, namun kita tidak akan pernah mengalah untuk terus menghadapinya dengan penuh kekuatan dan kesabaran.

Ayuh teruslah bertahan dalam menyinarkan cahaya  keimanan bukan hanya pada diri sendiri, namun sinarkanlah juga kepada keluarga yang kita sayangi serta semua umat Islam yang kita kasihi. Semoga SINERGI edisi ke-6 kali ini mampu menyedarkan umat kita agar lakukan perubahan ke arah kebaikan, dan tinggalkanlah segala keburukan jauh kebelakang. Ayuh, kita sirnakan kelam, sinarkan cahaya!


*P/S : Saksikan lebih banyak karya yang jauh lebih hebat di Majalah SINERGI Edisi Ke-6..Sebarang pertanyaan boleh terus diajukan ke emel synergymedia2010@gmail.com atau hubungi 019-4544871..InsyaAllah bersama dan bekerjasama melahirkan generasi rabbani profesional.


Iklan SINERGI Edisi Ke-6



“SIRNAKAN KELAM, SINARKAN CAHAYA” Tema Majalah SINERGI Edisi Ke-6 kali ini bakal memberikan para pembaca impak maksima yang positif ke arah perubahan diri, keluarga, masyarakat, negara dan seluruh umat Islam umumnya!!!
Pastikan anda dan keluarga anda tidak terlepas mendapatkan Majalah Islamik yang bakal mentarbiyyah diri dan keluarga anda dengan izin Allah Al-Hadid. Berinfakkan RM3.00 sahaja sudah mampu mendapatkan ilmu  Hubungi pengedar berdekatan dengan anda atau terus hubungi kami untuk mendapatkannya!!!
Tahniah juga kami ucapkan kepada karya-karya yang terpilih bagi dimuatkan di dalam Majalah SINERGI edisi kali ini. Terus menyumbang ilmu anda untuk kebaikan diri dan seluruh pembaca SINERGI yang makin meningkat tinggi. Alhamdulillah.

2 comments:

suriayati said...

SubhanaAllah...moga terus tsabat!

Fakhrullah Bin Mawardi said...

amin Ya Muqallibal Qulub..insyaAllah untuk semua..