Thursday, June 2, 2011

Variasi Amanah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Perihal Amanah

Alhamdulillah, rasa syukur masih kita utamakan diatas segala nikmat yang diberikan, bermula dari terpilih menjadi umat islam antara semua manusia yang Allah ciptakan, lalu insyaAllah terpilih lagi menjadi orang yang ingin beriman antara ramainya umat Islam, semoga terpilih lagi ingin menyedarkan orang lain beriman antara ramainya orang yang ingin beriman sendiri-sendirinya. Kita harus jaga tepi kain orang agar kainnya tidak koyak dan rosak. Ubahlah fahaman kita harus hidup sendiri-sendiri tanpa peduli orang sekeliling.

Amanah, suatu perkara yang diucapkan ringan, namun dipikulnya amat berat, dipandang ringan bagi kebanyakan manusia, namun dipandang berat bagi orang beriman kerana ianya persyaratan ciri-ciri orang beriman, dan persyaratan terlindung dari ciri-ciri kemunafikan. Inilah hakikat kebenaran yang perlu diletak dengan penuh keyakinan serta kesungguhan dalam menjaga sebesar-besar atau sekecil-kecil amanah yang diberikan kepada kita.

"Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya"[QS al-Mukminun, 23:8]


Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tanda orang munafik itu ada tiga macaml; iaitu jikalau berkata ia dusta, jikalau berjanji tidak ditepati dan jika dipercaya untuk memegang sesuatu amanah ia khianati." (Muttafaq 'alaih)

Orang-orang beriman yang berjaya dan beruntung yang digariskan dalam surah al-mukminun meletakkan memelihara amanah merupakan ciri orang beriman yang bakal mewarisi syurga firdausi yang semestinya kita harapkan bonus sedemikian, walaupun yang paling utama pengharapan kita kepada rahmat Allah Yang Esa. Orang-orang munafik yang rosak dan binasa yang digariskan dalam sabda Rasulullah perlu kita jadikan sempadan untuk memasuki kawasannya (ciri munafik).

Variasi Amanah

Semestinya kita ketahui kepelbagaian amanah yang mendasari umat manusia hari ini. Mari telusuri beberapa contoh amanah yang mencakupi kehidupan seharian kita:

1. Amanah Seorang Anak

Zaman ini mampu kita saksikan pengkhianatan amanah sebagai anak kepada insan yang melahirkan dan menjaga mereka, ibu bapa. Betapa banyak anak-anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya, bukannya hanya bertikam mulut, bahkan sanggup bertikam tubuh badan lainnya, hanya kerana sesuatu alasan yang terlalu jauh kepentingannya berbanding nyawa dan hati seorang ibu dan ayah.

Hanya kerana seorang wanita mahupun jejaka, habis ibubapa ditipu daya dengan kata dusta, hanya kerana kawan hiburan seangkatan, habis diperas wang ringgit hasil peluh tenaga, hanya kerana sebungkus dadah, nyawa ibubapa sanggup dipertaruhkan. Inilah hakikat kehidupan sekarang, inilah kebenaran kondisi generasi muda harapan kononnya, cukuplah apa yang kau lakukan, sedarlah hakikat sebenar kehidupan sementara, dan yakinlah kehidupan sebenar di alam seterusnya.

Ayuh semua yang bergelar anak,samada anak muda mahupun yang sudah dimamah usia, jagalah amanah seorang anak, amanah untuk menjadi anak yang soleh mahupun solehah, amanah yang jika mampu dilaksanakan akan membuahkan kebahagian bukan hanya di dunia, namun juga diakhirat sana. Khusunya bukan hanya untuk diri sendiri, namun bagi ibu bapa yang kita sayangi.

2. Amanah Ibu Bapa

Ibu bapa pewarna kepada warna-warni anaknya. Bapak borek, anak rintik, kemana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, bentuk kuih adalah hasil dari acuannya, dan banyak lagi perumpamaan yang mampu kita coretkan yang membawa kepada maksud yang sama, didikan ibu bapa. Kita mulakan dengan ibu bapa muda generasi sekarang, yang sudah dilabel sebagai ibu bapa kerana anak yang dilahirkan, walaupun anak dilahirkan diluar pernikahan, yang jelas-jelas teruk apa yang dilakukan, tapi mengapa menambah lagi keterukan dengan membuang dan membunuh anak yang dianugerahkan! Dirimu patut mengambil alih tempat anak yang kamu perlakukan, rasakan disumbat di lubang tandas, di lempar di pembuangan sampah,  dibiarkan berlalat  di mana-mana, dibiarkan menangis di tempat sunyi dan yang terbaru di jatuhkan dari tingkat 5 dan banyak lagi aksi yang terlalu teruk untuk diungkapkan, inilah ibu bapa yang pecah amanah!

Bayi Dilempar Dari Tingkat 5

Ibu bapa yang menjadi dengan ikatan pernikahan yang sah pula samada pada zaman sekarang mahupun zaman nostalgia, perlu juga kita perhatikan tingkah laku mereka kepada anak di kesibukan dunia hari ini. Betapa ramai ibu bapa yang sepatutnya diamanahkan menjaga anak mereka, namun sentiasa menyuap anak dengan makanan haram, membiarkan anak menjadi seteruk insan, menyisihkan anak dari kehidupan beragama, dan membutakan anak untuk mengenal Allah Yang Maha Kuasa? Cukuplah kesibukan dunia sehingga mengambil masa bagi kita mewarisi dan meninggalkan anak-anak yang dilabel sebagai soleh-solehah yang bakal mendatangkan manfaat juga kepada kita di dunia dan alam seterusnya.

Dari sisi lainnya, ingatlah juga, jangan kerana masalah anak habis merosakkan juga rumah tangga kita kerana saling tuduh-menuduh dan menyalahkan sesama. Kita perlu menyelesaikan masalah, bukan mencari dan menambah masalah. Ayuh ibu bapa sekalian kita selesaikan masalah dengan bijak.

3. Amanah Seorang Pelajar

Buat insan yang bergelar pelajar, yang diamanahkan Allah dan Rasul untuk mencari ilmu, yang diamanahkan ibu bapa untuk mencapai kecemerlangan, yang diamanahkan guru untuk mempelajari ilmu bahkan yang diamanhkan biasiswa dari sumber rakyat untuk kita manfaatkan, perlu kita memelihara amanah yang diberikan. Kasihan kita melihat harapan untuk pulang ke rumah membawa ijazah, tapi yang dibawa pulang adalah anak luar nikah, yang dibawa pulang trend fesyen yang kononnya megah, yang dibawa pulang hanyalah kerosakan akhlak. Ini bukan natijah dari seorang yang terpelajar, belajar tingi-tinggi namun tidak mampu membezakan baik dan buruk,  bukan menjadi makin baik tapi makin teruk. Ayuh hapuskan trend sebegini bermula dari perbaiki diri sendiri kemudian ingatkan pada pelajar yang lain..Post yang khas saya coretkan buat insan bergelar pelajar boleh dimanfaatkan di SINI.

4. Amanah Seorang Pekerja

Banyaknya jenis pekerjaan kita maklumi di bumi, bermula dari seringan-ringan pekerjaan sehingga seberat-berat pekerjaan dan yang menjadi indikator baik-buruk pekerjaan tersebut adalah keberkatan dalam pekerjaan tersebut dan bukan tinggi-rendah sesuatu jawatan atau status pekerjaan.

Pencarian pekerja juga harus disaringi dengan baik,sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran:

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: "Ya bapakku, ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya."[QS al-Qashah, 28:26]

Dua ciri pekerja yang baik adalah yang kuat bekerja serta dapat diberikan amanah yang dia tidak akan khianati. Bukan hanya kuat dari aspek ketinggian pendidikan atau beberapa faktor yang sering ditekankan di kebanyakan syarikat, tapi faktor amanah,jujur ataupun integriti adalah perkara yang penting untuk diperhatikan. Betapa banyak kita melihat ahli syarikat yang nampak kuat dari segi menjalankan tugasan, tapi menggelapkan duit syarikat. Ayuh jadi pekerja yang beramanah!

5. Amanah Seorang Pemimpin

"Hai Abu Zar, sesungguhnya pada hari kiamat engkau adalah seorang yang lemah dan sesungguhnya jawatan pemerintahan itu adalah sebagai amanah dan sebenarnya jawatan sedemikian itu adalah merupakan kerendahan serta penyesalan - pada hari kiamat - bagi orang yang tidak dapat menunaikan amanahnya, kecuali seseorang yang mengambil amanah itu dengan hak sebagaimana mestinya dan menunaikan apa yang dibebankan atas dirinya perihal amanah yang dipikulkan tadi. [HR Muslim]

Kita maklumi setiap antara kita akan dipertanggunjawabkan terhadap pimpinan masing-masing, dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar pimpinan,semua akan dipertanggungjawabkan. Bahkan Rasulullah SAW menekankan kondisi dan nasib pemimpin yang tidak menunaikan amanahnya dan mengkhinati amanah yang diberikan kepadanya akan mencapai penyesalan di suatu hari yang pasti akan berlaku dan pasti dibalas segala amanah pemimpin yang dibelakangi jika kita tidak bertaubat.

Seorang pemimpin memikul tugas yang berat yang berurusan bukan hanya dengan amanah dari Allah, tapi juga urusan sesama orang pimpinannya. Saya terkilan jika ada pemimpin yang sanggup mengambil kesempatan dan mengkhianati amanah pimpinannya, kerana betapa banyak kuantiti pimpinannya yang telah dia khinati yang melibatkan hubungan sesama manusia yang perlu diselesaikan sesama manusia juga. Amanah sebagai pemimpin telah panjang lebar saya bahaskan di post Amanah Pemimpin jika anda ingin menelusurinya.

Amanah Lebih Utama

Variasi amanah yang kita perhatikan memang amat penting untuk kita laksanakan. Namun ada amanah lebih utama untuk kita perhatikan.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."[QS al-Anfal, 8:27]

Jangan khianati amanah kita kepada Allah dan Rasul!Betapa banyak kita melihat hamba Allah dan umat Rasulullah yang bukan hanya terkadang bahkan sering melanggar amanahnya kepada Allah dan Rasul. Amanah sebagai hamba yang sepatutnya mengabdikan diri pada Allah, bukan mengabdi kepada dunia. Amanah sebagai umat Rasulullah yang sepatutnya menghidupakan dan memekarkan sunnah, bukan menghalang dan mensirnakan sunnah baginda.

Terdapat juga insan yang tidak tahu susunan keutamaan sesuatu amanah, sehingga amanah yang diberikan oleh manusia kepadanya mengalahkan amanahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedarlah, profesi kita adalah amanah yang diberikan Allah kepada kita, tapi jangan sampai profesi kita membuatkan kita lupa amanah kita kepada Allah. Apapun status dan kerja kita di dunia, ingatlah status dan kerja kita sebagai hamba kepada Pencipta!

Perbuatan buruk yang mengkhianati amanah akan menjadi bomerang yang bakal mengenai kita semula. Jika bukan dunia, nantikan bomerang kembali kepada kita di akhirat sana. Jangan lagi kita khinati Allah dengan melanggar perintah-perintah dan larangan-larangan-Nya. Mari kita menjaga dengan sebaik-baiknya amanah yang diberikan kepada kita dengan penuh rasa tanggungjawab, bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan.

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum akh..

memilih kawan juga adalah amanahkan??

Fakhrullah Bin Mawardi said...

wa'alaikumsalam..amanah kepada diri sendiri adalah mnjaga dan memberi kebaikan pd diri..pemilihan kwn mampu mempengaruhi diri kita, maka ianya amanah memilih kwn yg mmberi kesan positif n bukan negatif kpd kita..wallahu'alam..