Tuesday, August 7, 2012

HIkmah Ramadhan (Episod Ke-2) - Merasai Nilai Ukhuwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Merasai Kesusahan Saudara Lain

Ramadhan mengajarkan kita merasai sedikit kehidupan insan-insan yang mungkin tidak bercukupan. Merasai bagaimana rasanya saudara-saudara kita sentiasa berlapar terkadang bukan hanya dalam masa sehari, bahkan berhari-hari tidak mampu mengenal erti sendawa akibat kekenyangan. Bahkan ada saudara kita yang hanya mengenal makan nasi dengan kicap, nasi dengan ikan masin, dan pelbagai lagi makanan berekonomi yang lain sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.

Laparnya kita ketika dalam tempoh berpuasa perlu kita ingat dan hayati kembali begitulah perasaan insan-insan yang mungkin diuji dalam bentuk kekurangan harta dan kelaparan. Sedangkan mungkin antara kita, hanya mengenal erti hidup senang-lenang berbanding apa itu erti hidup susah-payah. Sebenarnya, kedua-dua jenis kehidupan samada senang mahupun susah adalah merupakan ujian antara kita, ada yang diuji dengan kesusahan dan ada juga yang diuji dengan kesenangan, dan selalunya mereka yang diuji dengan kesenangan akan kalah dengan mereka yang diuji dengan kesusahan.

Namun, puasanya kita kurang mampu memberikan penghayatan terhadap makna hidup susah akibat dari mind-set kita bahawa kelaparan yang kita alami hanya sementara, dan makanan yang enak-enak menanti ketika waktu berbuka. Ditambah lagi dengan qada' (ganti) makannya kita ketika berbuka laksana tidak makan berhari-hari sehingga berbuka bagai digabung dengan sahurnya sekali kerana banyaknya kita mengisi wadah/bekas yang menurut hadis paling buruk untuk diisi,yakni  perut.

"Tidaklah anak Adam mengisi wadah yang lebih buruk daripada perutnya."[HR Tirmidzi]

Jangan sampai kita berbuka puasa menghilangkan sedikit nilai-nilai puasa kita selama ini. Bahkan yang lebih parah lagi, ketika akibat dari berbuka, kita tidak mampu untuk solat terawih atau solat sunat yang lain kerana perut yang kenyang sekali dan aktiviti yang kita pilih adalah tidur. Mengapa tidur? Sebab kita kehabisan tenaga untuk bangkitkan diri..kenapa? sepertimana menurut kajian, kita akan kepenatan ketika terlalu kenyang dan bukan dengan kekenyangan kita akan makin bertenaga, hal ini kerana tenaga kita semua dikerahkan untuk mencerna banyaknya makanan yang kita ambil. Ayuh amalkan sunnah dalam pemakanan:

"Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang punggungnya.Jika memang tidak mampu dihindari, maka hendaklah 1/3 perut itu untuk makanannya, 1/3 untuk minumnya dan 1/3 untuk nafasnya"[HR Tirmidzi]

Hidupkan Sunnah Berlapar

Jika penghayatan yang ingin saya kongsikan tadi lebih kepada kehidupan susah dan kelaparan oleh saudara kita pada zaman ini, ayuh kali ini kita hayati pula kesusahan dan kelaparan yang dialami oleh Rasulullah SAW dan keluarganya sendiri. Saya akan kongsikan beberapa hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang kita rindui:

"Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang dari roti gandum selama dua hari berturut-turut sehingga beliau wafat"[HR Bukhori & Muslim]

"Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja makan sampai beliau wafat. Beliau juga tidak pernah makan roti lembut sampai beliau wafat"[HR Bukhori]

"Sungguh aku (Nu'man Bin Basyir) melihat Nabi kalian SAW dalam keadaan sekadar kurma buruk pun tidak pernah beliau temukan untuk mengisi perutnya"[HR Muslim]

"Rasulullah belum pernah melihat an-naqiy (gandum/roti pilihan) sejak Allah mengutus beliau sebagai Nabi hingga Allah mewafatkannya"[HR Bukhori]

"Aisyah r.a. pernah mengeluarkan di hadapan kami selembar kain dan sarung yang kasar, kemudian dia berkata, "Rasulullah SAW wafat dengan memakai dua pakaian ini"[HR Muttafaqun'alaih]

Banyak lagi hadis yang menunjukkan kehidupan Rasulullah yang mengalami kehidupan susah sedangkan sebenarnya jika Rasulullah ingin kaya, sangat-sangat mudah. Namun, baginda lebih memilih untuk hidup dalam kesederhanaan bahkan terkadang menghadapi kesusahan. Contoh Ghanimah (harta rampasan perang) sebenarnya ada portion/bahagian untuk baginda SAW, tapi baginda memilih untuk infakkan hartanya di jalan Allah. Hikmah bersama kita ambil, tiada masalah untuk mempunyai harta yang banyak, namun ingat, belanjakannya untuk membantu agama Allah, untuk membantu saudara kita, dan macam-macam lagi kebaikan yang boleh kita lakukan kerana tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah. Saya anjurkan untuk membaca buku "Biar Kaya Harta, Asal Kaya Hati" oleh Dr. Sa'id Abdul Azhim.

Muhasabah Status Ketakwaan

Sedikit pengakhiran, bayangkan sekarang sudah berapa hari Ramadhan yang kita lalui? Lalu bandingkan dengan amalan yang berjaya kita lakukan? Adakah tempoh hari dalam Ramadhan seiiring dengan berapa juz quran kita sekarang? Qiamullail kita adakah 10/10 dari tempoh Ramadhan kita atau bahkan banyak terlepas akibat tidur berlebihan? dan lain-lain amalan yang banyak perlu kita usahakan lagi untuk ditingkatkan dengan baki tempoh Ramadhan yang hampir habis. Semoga kita telah mengumpulkan bekalan yang terbaik menurut al-Quran, iaitu bekalan takwa yang mampu kita raih dalam Ramadhan kali ini.

Semalam saya sangat sedih melihat jemaah di surau dan masjid yang makin berkurang saban hari. Semoga kita bukan penyumbang kepada kemerosotan ini. Jika tidak mampu menjadi umpama pelari pecut 100 meter di sepanjang trek Ramadhan, jadilah umpama pelari jarak jauh yang akan pecut di akhir trek Ramadhan, berbanding menjadi umpama pelari yang terjatuh sungkur sebelum habisnya trek Ramadhan.  Penutup kali ini saya kongsikan sepotong ayat al-Quran:

“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.” [QS Al Baqarah, 2:197]

3 comments:

Ad-Dien said...

Assalamualaikum, Alhamdulillah dapat singgah disini. Salam ukhuwwah fi turuq al-Islam fillah.

Ana jumpa blog enta dan kawan 2 dari sbuah buku kawan..Sinergi tajuknya, saja singgah menjenguk. Enta student utp ye.. dulu ana pernah duduk di Sidec.. barakallahufik.

Moga istiqamah di landasan islam, biiznillahi ta'ala. Jemput ke blog ana menimba sesuatu insyaAllah.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

wa'alaikumsalam wbt, alhamdulillah..Allah pertemukan kita d alam maya..ya akh, ana pelajar UTP..smga kita semua istiqamah di jalan Allah..insyaAllah..

Ad-Dien said...


ALhamdulillah 'ala kulli hal, semoga Allah permudahkan urusan enta di sana... dah lame juga tak ke UTP ... Salam 'Eid, taqabbalallahu minna wa minka.