Friday, December 2, 2011

Momentum Hijrah, Ramai Tidak Mampu Kekalkan...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Momentum Hijrah

Pernah atau tidak kita perhatikan segolongan manusia yang pada awalnya sungguh semangat ingin berhijrah (berubah) ke arah yang lebih baik namun sayangnya momentum perubahan mereka tidak mampu dikekalkan lebih lama? Pernah? atau mungkin diri kita sendiri merasakan perkara sedemikian? Namun, golongan sebegini sudah dikira agak baik kerana ada niat, azam dan usaha untuk berubah walaupun tidak cukup kuat menghadapinya.

Ada pula segolongan manusia yang berada dalam kepompong kerosakan namun tidak pernah terdetik sedikit pun untuk menginsafi dan melakukan perubahan kepada diri. Masih ingin terus menerus bergelumang dengan lumpur dosa yang bukan hanya mudaratnya pada diri mereka, tapi terpalit juga lumpur dosa kepada orang lainnya.

Golongan seterusnya pula mereka yang merasa cukup di zon selesa. Seorang muslim yang mungkin merasakan ibadat yang biasa sudah cukup dijadikan amalan tanpa ada rasa ingin berusaha untuk meningkatkannya. Begitu juga seorang da'i(pendakwah) yang merasa cukup dengan zon selesa dakwah tanpa proaktif ingin meningkat mutu kredibiliti seorang pendakwah apatah lagi pencapaian dakwah itu sendiri kerana merasa cukup sekadar berada dalam lingkungan para pendakwah.

Kita kembali kepada muqadimah persoalan kita tadi, mengenai momentum penghijrahan/perubahan  yang mungkin hilang ditelan masa. Mengapa ini harus berlaku? kerana saya yakin semua kita inginkan perubahan kita mampu berkekalan bahkan ingin ia berterusan melakukan perbaikan. Namun, seribu kali sayang, kebanyakan hanya menjadi angan-angan yang tidak mampu direalisasikan. Sebenarnya, bahan-bahan kek hijrah bukan hanya keimanan dan penghijrahan, namun ia memerlukan bahan kesungguhan (jihad) sebagai bahan penaik kek hijrah tersebut.

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."[QS at-taubah, 9:20]

Jihad. Itulah bahan yang akan mampu mengekalkan keenakan kek hijrah kita bersama. Bersungguh-sungguhnya kita untuk menjaga keimanan, ketakwaan dan perubahan kita ke arah kebaikan. Kesungguhan (jihad) kita jangan hanya kesungguhan yang sepele sehingga sangat lemah untuk mengekalkan penghijrahan, tapi penghijrahan yang disertakan dengan pengorbanan harta, masa dan tenaga kita yang pasti akan melajukan (booster) lagi diri kita berlari menuju kebaikan, kebahagiaan dan kejayaan.

Hijrah Kebaikan @ Kebatilan

Kita sepakati bahawa berbicara mengenai hijrah pasti hanya perubahan ke arah yang lebih baik, dan istilah berhijrah ke arah yang buruk hanya pengibaratan manusia untuk menggambarkan norma manusia yang bukan hanya ada yang jahat berubah menjadi baik, namun tidak sedikit juga yang dahulunya baik menjadi jahat, dahulunya menentang kebatilan berubah menjadi melakukan kebatilan, dahulunya menyampaikan kebenaran berubah menjadi penentang kebenaran dan dahulunya berdakwah menegakkan Islam kini hanya duduk santai dalam keseronokan. Na'udzubillahiminzalik.

Saya yakin perkara yang kita bahaskan bukan sesuatu yang mustahil, namun sesuatu yang sudah dibuktikan dengan realiti umat sekarang. Saya secara jujur sangat-sangat sedih ketika melihat kelibat manusia yang melakukan kemaksiatan sedangkan insan tersebut dahulunya saya kenal sebagai insan yang memperjuangkan perintah dan larangan Allah. Dahulu sungguh tegar berkorban demi Islam, namun sekarang habis keislamannya dia korbankan. Ya Allah, sedarkanlah mereka dari kerosakan tersebut dan lindungilah kami dari melakukan perkara sedemikian. Amin Ya Hadid.

Saya melihat skema jawapan waktu SPM kita dalam membuat esei yang membahaskan mengenai kerosakan akhlak, kita sering meletakkaan salah satu faktor yang menyumbang ke arah kerosakan ini adalah pengaruh dari rakan sebaya. Dahulu mungkin sekadar jawapan untuk peperiksaan, namun sebenarnya itulah faktor yang sangat-sangat penentu kepada baik-buruk seseorang individu sehingga Rasulullah SAW menyampaikan bahawa setiap diri adalah bergantung kepada agama kawannya [HR Abu Daud]. Bahkan al-Quran sendiri menvisualkan penyesalan dalam salah memilih kawan.

"Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku)."[QS al-Furqan, 25:28] 

Penghijrahan diri sendiri mungkin agak payah jika tiada teman di sisi. Namun pemilihan teman sangat-sangat penting untuk menentukan kita di pengaruh positif atau pengaruh negatif. Maka carilah teman yang mampu membawa sampai ke syurga, bukan teman yang mampu menarik ke dalam neraka.

Bila Waktu Berhijrah?

Mengenai persoalan ini, saya yakin ia merupakan soalan bonus kepada kita. Saya yakin kita semua tahu jawapannya, cuma sayangnya mengapa tidak kita lakukan? Sekarang! Memang sepatutnya dan kita semua ingin berubah sepatutnya sekarang! Namun, kebiasaan menunda sesuatu perkara akhirnya berjangkit untuk menunda juga perihal kebaikan.

Anda ingin meninggalkan dosa dan kemaksiatan, tinggalkanlah sekarang juga! Ingin berhenti dari terus berkasih-kasihan dengan kekasih hati (couple), maka usahakan putuskan sekarang juga! Anda ingin menyedari cara pakaian yang menutup aurat bukan hanya memakai tudung dengan pakaian yang masih ketat, lengan yang masih terlihat, atau gaya yang memikat, maka dari sekarang pakailah pakaian Islam yang sebenar. Anda ingin sedari bahawa gambar-gambar yang tidak menutup aurat atau gambar-gambar menggugah jiwa di laman-laman sosial terlalu banyak anda muat naikkan, maka privasikan untuk tatapan anda sahaja atau buanglah untuk kebaikan anda dan orang lainnya. Akhir sekali, untuk da'i (pendakwah), anda sendiri tahu perkara-perkara yang sia-sia yang perlu anda tinggalkan sekarang juga. Sebenarnya, semua kita tinggalkan di atas tidak lain hanya untuk mematuhi perintah Allah semata.

Semua di atas mungkin seputar kebatilan yang perlu kita tinggalkan, ayuh beralih pula kepada kebaikan yang ingin kita laksanakan. Jangan lagi kita bertangguh untuk menambah ilmu -ilmu agama contohnya, samada belajar membaca al-Quran atau membaca buku-buku agama. Infakkan sedikit wang ringgit dan masa untuk membeli dan membaca buku-buku agama. Hadiri majlis-majlis agama. Mungkin anda tahu perihal majlis yang khusus seperti usrah atau halaqah, tapi terkadang ramai yang allergic hasil doktrin musuh-musuh Islam untuk umat Islam takut sendiri untuk mendalami Islam, maka anda sendiri yang sepatutnya menawarkan diri kepada mana-mana yang boleh membimbing anda untuk mengajarkan anda mengenai agama. Selain itu, ayuh tingkatkan lagi amalan-amalan kebaikan yang terlalu banyak untuk kita laksanakan.

Istimewa buat para da'i, jangan merasa selesa dan cukup dengan potensi kita sedia ada. Tolong tingkatkan pengetahuan kita lagi mengenai agama, disiplinkan waktu setiap minggu ada membaca buku-buku agama. Jika mampu buatlah jadual rutin mingguan hari apa dalam setiap minggu untuk kita membaca ilmu hadis, ilmu fiqh, ilmu sirah, ilmu tafsir, perkembangan dunia Islam, hafal quran, ilmu psychology, ilmu motivasi, ilmu bisnes dan banyak lagi ilmu-ilmu sebagai pelengkap seorang da'i yang berkualiti tinggi. Rancang juga peningkatan amal ibadat kita agar sentiasa meningkat. Kesihatan tubuh badan juga pastikan dalam perancangan samada dari aspek kesukanan, kebersihan atau pemakanan. Setiap minggu pastikan ada senaman yang kita lakukan. Perhatikan juga peningkatan ekonomi dan akademik atau kerjaya kita agar menjadi penguat dan bukan pelemah kepada dakwah kita dan banyak lagi sebenarnya peningkatan kualiti yang boleh kita usahakan, samada kita MAHU atau TIDAK.

"dan diantara mereka ada yang lebih dahulu (bersegera) berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah karunia yang amat besar."[QS Fatiir, 35:32]

Sucikan Niat Hijrah

Kita ketahui Asbabul Ghurud (sebab turunnya hadis) bagi hadis yang sangat popular mengenai "Innamal a'malu binniat", setiap amalan bermula dengan niatnya, kerana ada sahabat yang berhijrah kerana ingin menikahi wanita yang diingininya. Ayuh kita bersihkan niat kita bersama untuk lakukan satu penghijrahan terbesar iaitu menghijrahkan kerosakan umat Islam sekarang kepada kegemilangan umat Islam, menghijrahkan kemunduran umat Islam sekarang kepada kecemerlangan umat Islam, menghijrahkan perbalahan umat Islam sekarang kepada perpaduan yang tidak mampu lagi dikalahkan. Semua dengan syarat, Fahijratuhu ilallahi wa rasululihi.

"Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [QS an-Nisa', 4:100]

Mohon doakan semua kita yang berjuang sentiasa diredhai Allah dan sentiasa dipimpin Allah di atas landasan kebenaran. Amin Ya Rahman, Ya Rahim.

2 comments:

herizal alwi said...

FILSAFAT HIJRAH


Orang berilmu dan beradap tidak akan diam di kampung halaman
tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
merantaulah, kau akan dapatkan penganti dari kerabat dan kawan
berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam bertahan
jika mengalir menjadi jernih,
jika tidak, akan keruh menggenang

Singa jika tidak tinggalkan sarang,
tidak akan dapat mangsa

Anak panah jika tidak tinggalkan busur,
tidak akan kena sasaran

Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam
tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang

Bijih emas bagaikan tanah biasa,
sebelum digali dari tambang

Kayu gaharu tidak ubahnya seperti kayu biasa
jika tetap di dalam hutan

Imam Syafii

Fakhrullah Bin Mawardi said...

herizal alwi -> suhanallah..indahnya penghijrahan yg bakal memberikan hikmah kebaikan..syukran perkongsian ya akhi..