Thursday, December 8, 2011

Pembunuhan Hadapan Mataku?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




3 Mangsa Pembunuhan

Mangsa pertama dipercayai dihentak kepalanya kemudian dikelar badannya. Mangsa yang berusaha untuk melepaskan diri dan meronta-ronta malangnya tidak mampu berbuat apa-apa berbekalkan kudrat yang lemah. Mangsa masih mampu bertahan beberapa ketika sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Mangsa kedua menerima nasib yang sama dengan metod pembunuhan yang berbeza. Menurut saksi mangsa dilemaskan dalam cecair kimia sebelum dibelasah teruk sehingga meninggal dunia. Menurut forensik, mangsa mengambil masa yang lama untuk lemas mengakibatkan pembunuh mengeluarkan dari cecair kimia tersebut lalu membantai teruk mangsa sehingga menemui kematian.

Mangsa ketiga pula dipatahkan lehernya dan dihentak kepala dengan benda yang keras beberapa kali sebelum mangsa tidak mampu lagi melawan akibat kecederaan yang sangat parah. Mangsa dipercayai sempat melepaskan diri dari tangan pembunuh sebelum ditangkap semula. Pembunuh yang bertambah emosi menghentak kembali dengan kuat kepala dan badan mangsa sehingga mangsa meninggal dunia.

Ketiga-ketiga mangsa dipercayai dibunuh oleh sekumpulan pembunuh yang sama di tempat yang sama dan pada waktu yang hampir sama. Kesemua mangsa dibelah dua badannya sebelum disimbah lagi dengan minyak yang panas. Menurut beberapa saksi, kesemua pembunuh tersebut terdiri dari 4 orang remaja dalam lingkungan 20-an. Mayat kesemua mangsa kini tidak dapat ditemui dan suspek masih lapar mencari bakal-bakal mangsa pembunuhan.

Siapa Mangsa Sebenar?

Kisah di atas memang kisah benar lagi nyata. Berlaku dalam jam 5.30pm - 6.30pm. Membuatkan ia lebih tragis lagi, ianya berlaku tepat di rumah sewa saya sendiri. Mangsa pembunuhan tersebut adalah.....Ikan Keli.....Pengalaman pertama kami warga bujang membeli ikan keli yang hidup. Sebelum ini memang minta orang kedai sahaja yang matikan dan menyiang sekali perutnya. Namun kali ini, ingin merasakan sendiri proses "pembunuhan" ikan keli.

Apa yang penting, ikan keli memang susah nak matikan, dan nasihat saya juga kepada yang baru ingin menceburi bidang 'pembunuhan' ikan keli ini agar berhati-hati juga dengan sengatan yang agak berbisa dari ikan keli. Usahakan pakai sarung tangan (glove) atau perantara yang lain. Kami ada juga yang menggunakan penyepit bagi mengepit ikan tersebut sebagai langkah berhati-hati.

Masalah yang dihadapi bukan untuk ditangisi, tapi untuk kita cari solusi. Begitulah perumpamaan bagi kami pada awal-awal pencarian idea untuk mematikan ikan tersebut. Siap ada yang melayari internet lagi untuk mencari kaedah yang efektif. Bahan kimia (air garam) yang  kami gunakan itu sebenarnya juga hasil info dari internet. Saya rasa selepas ini, kami akan fikir bukan sekali, tapi beribu-ribu kali untuk beli ikan keli yang hidup.

Seperkara yang ingin saya kongsikan juga mengenai tanah air saya sendiri, Sabah. Ikan keli di Sabah agak mahal dan harga terlalu jauh berbanding di semenanjung. Tapi ikan laut di Sabah memang jauh lebih murah berbanding di semenanjung juga. Jika ikan keli setakat ini kami dapat di Perak ini hanya RM3.90/KG, di Sabah saya pernah jumpa RM18.00/KG. Ikan darat (ikan air tawar) memang agak mahal rasanya di Sabah ini.

Mangsa Bukan Hanya Ikan Keli

Kisah pembunuhan ikan keli yang saya kongsikan mungkin nampak ngeri dan menakutkan, tapi cuba kita bayangkan kondisi manusia zaman sekarang yang sebenarnya lebih kejam dalam melakukan jenayah-jenayah yang di luar akal pemikiran kita. Saya tidak ingin berikan gambaran dan proses-proses pembunuhan yang bagi saya terlalu jijik dan menyayat hati kita semua. Kejahiliyahan zaman sekarang terlalu dahsyat berbanding kejahiliyahan zaman dahulu. Semua kejahatan seperti diupgrade terlalu jauh berbanding kejahatan yang lalu.

Saya teringat salah satu budaya jahiliyyah yang saya baca dalam kitab fiqh sunnah karangan Sayid Sabiq. Kitab fiqh sunnah ini mengandung 14 jilid dan setiap jilid memang agak tebal. Setiap jilid mengupas perkara yang berbeza seperti jilid satu mengenai taharah, jilid ke-2 mengenai solat, jilid ke-3 mengenai puasa, jilid ke-4 mengenai zakat, jilid ke-5 mengenai haji dan jilid ke-6 mengenai perkahwinan. Jilid-jilid seterusnya saya belum telaah, baru sampai jilid ke-6. Saya sangat menganjurkan kita semua untuk membaca juga kitab-kitab fiqh untuk pengetahuan kita semua.

Dalam jilid ke-6, perihal perkahwinan, di situ ada juga kongsikan mengenai konsep perkahwinan zaman jahiliyyah yang dibahagi kepada empat kaedah. Kaedah pertama seperti biasa hanya meminang, kaedah kedua si suami menyerahkan isterinya kepada lelaki lain untuk melakukan aktiviti suami isteri hanya untuk mendapatkan benih lelaki lain, kaedah ke-3 adalah rogol bergilir-gilir seorang perempuan dan anak yang lahir nanti akan disamakan dan dipilih antara lelaki yang pernah bersama si ibu kepada anak tersebut kemudian lelaki itu mesti mengahwini perempuan tersebut dan kaedah terakhir, kaedah ke-4 adalah konsep pelacuran dimana si perempuan akan menaikkan bendera di hadapan rumahnya sebagai lambang dia sedia untuk digauli lalu anak kelahiran akan diminta dukun memilih mana satu adalah bapa anak tersebut.

Beginilah kerosakan Jahiliyyah zaman dahulu dan kalau kita perhatikan zaman kita sekarang yang kononya lebih maju, moden dan global dalam aspek pembangunan, maka maju, moden dan global juga la dalam aspek kejahiliyyahan. Semua kaedah perzinaan di atas memang diaplikasikan pada zaman kita sekarang bahkan saya yakin lebih teruk lagi. Namun, mari kita bersama memupuk kesedaran dalam diri untuk membaiki umat kita zaman kini. Sepertimana Rasulullah SAW menjadi cahaya kepada kegelapan jahiliyyah zaman baginda, ayuh kita semua pula menerangkan kembali cahaya yang dibawa baginda dalam kegelapan jahiliyyah zaman kita.

6 comments:

Anonymous said...

pergh, ikan keli rupanya. bikin suspen oh.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

huhu..mestilah penceritaan kena menarik sikit..

Anonymous said...

hebat.mmg suspen.stuju, sikap jahiliah sedang diulang tayang dihadapan kita pada zaman ini.hakikat yang pahit utk ditelan.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

insyaAllah kita ulang tayang kembali juga kegemilangan umat Islam pada zaman ini..Amin Ya 'Aziz Ya Jabbar..

Nur Maizatul Nasyiin said...

sungguh menarik part ikan keli tu...tp plg dahsyat bg ana ialah pmbunuhan 'hati'...

Fakhrullah Bin Mawardi said...

setuju dgn anti fathul jannah..pembunuhan hati zaman sekarang membuat x ramai lagi hati yang hidup..insyaAllah bersama kita hidupkan kembali hati kita dan hati2 umat Islam lainnya..Amin Ya Hayyu..