Wednesday, November 10, 2010

Melayu Jangan Me-Layu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Lihat Isi Dahulu

Alhamdulillah, apa maksud "Melayu Jangan Me-Layu"? Post kali ini bukan menghidupkan kontroversi, terlalu jauh dari tujuan asal, kerana post bahkan untuk memberikan suntikan semangat. Kita ketahui majoriti bangsa di Malaysia adalah Melayu, dan majoriti Melayu adalah Islam. Namun mengapa kita lihat Melayu makin layu? Inilah maksud saya bangsa Melayu jangan Me-Layu. Post juga bukan berbau perkauman, kerana saya meyakini selagi mana kita satu aqidah, maka kita adalah saudara, tidak kira apa bahasa dipakai, apa warna kulit disalut, kita, tetap, saudara. Inilah tanda kekuasaan Allah al-Khaliq.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainanan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui." [QS Ar-Rum, 30:22]

Adakah anda setuju bahawa Melayu makin Me-Layu? Perhatikan kondisi Melayu sekarang, bandingkan dengan yang lain, anda pasti tahu jawapannya. Cuba kita lihat, generasi muda kita, bangsa apa yang paling banyak menyumbang kepada gejala sosial? Saya tidak mahu bahas banyak keterukkan yang berlaku. Namun sedikit nasihat, usia muda bukan jaminan kita bakal mencapai usia tua kita. Fikirkan.

Satu yang pasti, jangan jadikan nama Melayu sebagai alasan kita kena patuhi menjadi Me-Layu. Belum tentu jika bangsa kita diubah nama jadi Me-Nyegar ka, Me-Nyerlah ka, apa-apa la, tapi jika sikap masih tidah diubah, pemikiran atau mindset masih tidah diubah, hasilnya masih seperti dalam acuan yang sama.

Minta maaf saya katakan, melayu sebenarnya amat hebat, sejarah banyak membuktikan kehebatan bangsa melayu, membuktikan melayu bukan me-layu, namun melayu hari ini yang makin me-layu. Makin lemah tidak bermaya, makin senang dengan kehidupan sedia ada, makin malas untuk bersaing, makin luluh dengan kehidupan selesa, hingga akhirnya hanya tinggal RTM, R=Rehat, T=Tidur & M=Makan. Kita harus bangun. Jangan lagi mudah dijajah semula. Jajahan dalam bentuk pemikiran.

Masyarakat abad dahulu menggunakan tenaga manusia untuk membina stuktur bangunan yang besar, masyarakat abad kini menggunakan jentera hanya untuk membina sebuah kedai. Sekadar perbandingan kehidupan dua zaman.

Bukan Hanya Melayu, Umat Islam Juga Makin Me-Layu

Melayu Jangan Me-Layu hanya pembuka bicara, pembuka pemikiran, pembuka kesedaran, terhadap penyumbang yang banyak dalam Negara. Skop khusus yang lebih utama, adalah Umat Islam itu sendiri. Tidak kira siapa mereka, yang penting mengaku tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka buktikan keyakinan kalimat tauhid itu, buktikan keyakinan kita. Jika tadi perbandingan sesama bangsa, kita lihat pula dalam aspek keyakinan agama.

Mengapa ramai kita lihat keyakinan lebih dipraktikan dalam agama yang lain sedangkan Islamlah agama keyakinan yang paling utama? Betapa ramai kita melihat bukti ketidakyakinan umat islam zaman ini. Berbeza dengan agama atau puak yang lain. Mengapa kita melihat sami buddha lebih rela berpakaian yang amat sederhana yang hampir seperti pakaian ihram kaum muslimin ketika menaiki haji, dengan hanya berselipar dan kekadang hanya berkaki ayam, sanggup berjalan merentasi warga kota pada hari ini? Betapa mereka sanggup lakukan hatta dicemuh dan dihina? Namun tetap tabah atas dasar keyakinan.

Namun, bagaimana pula dengan kaum muslimat hari ini, pakaian yang indah menutup aurat, dianggap ketinggalan zaman, tidak mengikut peredaran fesyen zaman, dan berlakulah evolusi pakaian. Pakaian bahagian atas makin menurun, bahagian bawah makin naik ke atas, walaupun diakui saiz badan akan makin membesar, namun saiz baju makin kecil dipakainya? Jika kita lihat biarawati contohnya, sanggupnya membotakkan kepala dan melupakan kepentingan dunia. Sedangkan saya yakin wanita-wanita di luar sana yang mempamerkan rambutnya pasti menganggap rambut adalah salah satu aspek kecantikan bagi wanita. Namun ingatlah, ia adalah aurat. Kecantikanmu hanya tetamu yang bertandang beberapa hari sahaja. Kejelitaan dan Kegembiraan tidak akan bersatu lama, jika kejelitaan luaran yang kau utamakan.

Bagaimana pula keyakinan penganut agama Nashara di afghanistan, sanggup menyiksa badan sendiri sebagai mengenang kematian tuhan mereka. Mereka sanggup mencederakan badan dengan dawai, pisau, dan apa sahaja untuk mengeluarkan darah mereka, dan ritual tertinggi dilakukan ada penyaliban badan mereka yang kebanyakan sanggup dipaku tangan dan kaki di salib tersebut. Dibiarkan hampir sehari. Ketika selesai, jawapan yang keluar dari mulut mereka, mereka merasa dekat dengan tuhan mereka. Sanggup berkorban atas dasar keyakinan.

Kemudian kita lihat pula kisah paderi yang dijumpai di tengah hutan afrika dalam sebuah gereja usang. Sanggup menetap di sana untuk menyebarkan dakyah kristianisasi. Sanggup berkorban apa sahaja demi menyebarkan agama yang dia yakini. Bahkan banyak lagi paderi-paderi yang rela masuk ke kampung-kampung mengharungi pelbagai kesusahan hidup, hanya demi menyebarkan keyakinan mereka. Tetap tabah dan sabar atas dasar keyakinan.

Keyakinan Kita Makin Rapuh

Berbalik pula dengan kita semua, umat islam, dimanakah tahapan keyakinan kita terhadap satu-satunya agama yang diredhai Allah? Bagaimanakah keyakinan kita terhadap apa sahaja suruhan Allah? Islam tidak pernah mengecewakan umatnya, tetapi umatnya yang mengecewakan Islam.


Seorang pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb yang merupakan penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din. Bagaimana sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.

Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Persoalannya bagaimana dengan kita? Sudahkan kita menanamkan keyakinan dengan pacakkan yang mendalam di hati sanubari kita? Sudahkah kita mengeluarkan wangian keyakinan dengan amal perbuatan kita? Sudahkah kita buktikan keyakinan kita dengan pelaksanaan segala yg diperintah oleh sumber keyakinan kita? Mari tingkatkan keyakinan yang makin merapuh dalam diri kita, sebelum ia terus merapuh hingga hilang ditelan tipuan dunia dan syaitan durjana.

Jika kita lihat anak muda yang sedang bercinta, betapa yakinnya mereka dengan pasangan mereka, sanggup berkorban apa sahaja. JIka bermesej hingga hilang tulisan nombor di keypad, dahsyat tak dahsyat. Bagi yang bercinta di bangku sekolah, bila handphone dirampas, sanggup cepat beli baru agar hubungan terus terjalin. Bagi yang advance, projek terus dilakukan. Inilah akibatnya bila keyakinan terhadap hukum Allah telah hilang sepenuhnya. Bagaimana nak tertegaknya hukum Islam, jika Islam belum lagi tertegak di hati umat Islam. Islam tidak akan ada maknanya tanpa keyakinan. Sedarlah, da'wah adalah ubat kepada penyakit umat. Kita harus islamkan dahulu umat islam yang ada.

"Jihad yang utama adalah mengislamkan orang islam" [Prof. Dr Yusor Qaradhawi]

Percaya dan Yakin itu berbeza

Ramai umat islam hari ini hanya sekadar percaya berbanding yakin. Mereka percaya itu dan ini. Percaya Allah itu ada, percaya al-Quran itu benar, percaya adanya malaikat, percaya ajaran Rasul, percaya adanya hari akhirat dan percaya segala takdir ketentuan dari-Nya. Namun adakah kita yakin akan apa yang dipercayai selama ini?

Saya teringat sebuah analogi dari seorang jemaah tabligh ketika mereka bertandang ke surau kampung saya. Dia menyampaikan mengenai percaya dan yakin satu benda yang berbeza. Dia menyampaikan sebuah kisah yang kita boleh fikir bersama.

Bayangkan kita pergi ke persembahan circus, di sana kita melihat satu persembahan memanah target yang jauh dari anak panah. Pemanah berada di garisan yang ditetapkan, kemudian seorang target meletakkan belon atas kepalanya, kemudian pemanah mula persembahkan kehebatannya. Tepat mengenai sasaran.

Target belon diubah menjadi sebiji epal di atas kepala, bagi sesiapa yang melihatnya, pasti bergetar dalam hatinya, drum dimainkan dengan rentak mencemaskan, lalu pemanah mengambil tempatnya, melepaskan panahannya, dan tepat membelah epal di atas kepala target. Sorakan penonton bergema di sana.

Sasaran terakhir. Buah cherry menjadi peruntukan. Atas Kepala seorang target menjadi tempat cherry diletakkan. Kepala menjadi taruhan. Anak panah bakal menembusi cherry, atau 'Head Shot' yang bakal terjadi? Penonton semua berdiri dengan muka kecemasan, muka target kelihatan masih tenang. Dengan senyuman meletakkan cherry di atas kepala. Pemanah mengambil tempatnya. Memilih anak panah yang bakal diterbangkan. Busur tersedia di tangan, anak panah diletakkan pada tempatnya, tali ditarik dengan mata fokus kepada sasaran. Keringat membasahi dahi, namun tali busur terus dilepaskan, anak panah terus melayang, menembusi cherry yang hancur berderai. Sorakan penonton kuat bergema.

Sekarang kita persoalkan dalam diri kita, adakah kita percaya bahawa pemanah itu hebat? Selepas mempersembahkan kehebatan dihadapan mata kita? Jika kita merasakan pemanah itu hebat, persoalan ke-2 adakah kita benar-benar yakin bahawa pemanah itu hebat? Bezakan percaya dengan keyakinan. Jika anda mengatakan anda yakin pemanah itu hebat, sanggupkah anda yang menjadi target untuk diletakkan buah cherry di atas kepala? Yakinkah kita bahawa anak panah bakal mengenai cherry dan bukan kepala kita? Jika kita yakin, silakan menjadi targetnya. Inilah bezanya sekadar percaya atau penuh keyakinan.

Kita harus yakin atas semua yang disampaikan Allah kepada kita. Kita harus yakin bahawa anak panah azab neraka Allah akan mengenai kita. Jika kita tidak melaksanakan apa yang disuruh oleh-Nya dan jika kita terus melakukan apa yang dilarang oleh-Nya. Begitu juga dengan anak panah kenikmatan syurga, yakinlah ia akan mengenai kita jika kita lakukan sesuai dengan kehendak Allah Penentu Segala.

Sertakanlah keyakinan dalam solat kita, sertakanlah keyakinan dalam ayat-ayat al-Quran yang dibaca, sertakanlah istighfar kita dengan sebenar-benarnya, sertakanlah keyakinana dalam doa dengan penuh pengharapan pada-Nya, sertakanlah keyakinan kita atas perjuangan yang penuh dengan tahapan ujian, dan sertakanlah keyakinan kita atas janji-janji yang bakal Allah kotai dengan kehendak-Nya. Keyakinan kepada Allah bukan ada pilihan, tapi ia adalah mutlak. Bukan boleh dipilih nak yakin atau tidak, tapi memang wajib untuk yakin semuanya.

Berjuanglah dengan penuh keyakinan

Wahai pejuang-pejuang pilihan Allah, tidak ramai yang sanggup bertahan dalam perjuangan ini, tidak ramai yang sanggup sabar dengan perjalanan ini, tidak ramai yang tabah berkorban dalam medan ini, tidak ramai yang yakin akan janji pemilik jiwa ini, bagi kita, terus tanamkan keyakinan akan perjuangan ini, yakin bahawa janji Allah itu pasti. Kita perlu berjuang dengan keyakinan, bukan ikut-ikutan, kerana kita berbuat bukan kerana orang lain buat, kita berbuat juga bukan kerana orang lain tidak buat, tapi kita berbuat kerana Allah. Berilah komitmen terbaik demi agama Allah, komitmen dalam perjuangan ini bukan dengan banyak memberi alasan, tapi komitmen dalam dalam perjuangan ini adalah sentiasa mencari jalan. Jika masih terus mencari dalil untuk beralasan, terpulang pada anda, mudah-mudahan alasanmu itu diterima di akhirat kelak.

Wahai pejuang-pejuang melawan hawa nafsu dunia, yakinlah segala yang kita lakukan akan dibalas kelak, yakinlah adanya hari akhirat, adanya syurga dan neraka, adanya azab dan kenikmatan. Yakinlah segala perkara ghaib yang tidak dapat difikir dek akal, namun hati yang yakin pasti menyedarinya.

"dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat"
 [QS Al-Baqarah, 2:4]


"Dan tiada Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan dari malaikat: dan tidaklah Kami menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cobaan bagi orang-orang kafir, supaya orang-orang yang diberi Al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi Al Kitab dan orng-orang mukmin itu tidak ragu-ragu.."
[QS Al-Muddattsir, 74:31]

Wahai pejuang-pejuang menjadi hamba Allah, yakinlah Allah Maha Melihat segala apa yang kita lakukan. Yakinlah Allah Maha Mengetahui segala apa di hati kita, segala hasad dengki kita dan segala niat kita. Yakinlah Allah Maha Mendengar segala apa yang kita perkatakan samada zahir atau sebaliknya dan yang mendengar segala rintihan dan doa kita. Yakinlah Allah Maha Kuasa membalas segala amalan kita, walau manusia tidak melihatnya, walau manusia tidak mengetahuinya, yakinlah Allah ada sentiasa, biar imbalan dariNya yang kita harapkan.

Wahai pejuang-pejuang keyakinan, jangan sampai kita jadi seperti orang-orang kafir yang ketika melihat bukti dihadapan mata di akhirat kelak, baru ingin bertaubat kembali ke dunia dan baru yakin akan janji Tuhan-Nya.

"Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."[QS As-Sajdah, 32:12]

Keyakinan Tunjang Kekuatan Umat. Islam Akan Kembali Bersinar.

5 comments:

naj said...

terima kasih =)

Fakhrullah Bin Mawardi said...

lajunya baca..baru post dah komen..alhamdulillah..sama-sama..

Mawaddah said...

nasihat yang bernas.iA..

repa said...

salaam,.mf,bknnya nk tunjuk pndi,cuma nk 'ckp' ckit jak..rsanya,ayat islam juga makin me-layu tu x sesuai kot..krn, minal ma'lum,islam itu diciptakan sempurna..mgkn ayat tu lebih sesuai klu ditambah umat di depannya..emm,cth;"umat islam juga makin me-layu."..wallahu'alam..

Fakhrullah Bin Mawardi said...

Nawar -> ana setuju dgn anti..mmg itu yg ana maksudkn..bkn Islam, tp umat Islam..syukran..