Sunday, November 7, 2010

Amal Tiada Cuti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Siapa Tidak Suka Cuti?

Alhamdulillah, bersyukur kepada illahi atas segala nikmat diberi. Selawat kepada junjungan mulia penutup bagi Nabi & Rasul, Muhammad Bin Abdullah SAW. Mari bersama kita persoalkan. Siapa tidak suka cuti? Siapa tidak suka berehat dari kesibukan? Siapa tidak suka hanya duduk melepak? Siapa tidak suka hanya goyang kaki di rumah? Ia memang kesukaan dan keasyikan kepada manusia, kerana ianya sealiran dengan kehendak hawa nafsu di jiwa.

"Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka dan sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka." 
[QS An-Najm, 53:23]

Tidak terlepas juga bagi mereka yang ingin memperjuangkan agama Allah. Ada segelintir inginkan cuti rehat tatkala pengarahan yang diberikan terasa berat bagi mereka. Cuba mengelak tugas yang berat. Berusaha infak sesikit yang boleh, bukan infak semampu yang boleh. Namun jika yang diberikan sesuatu yang mudah, ringan, tidak mengharapakn pengorbanan yang besar, hasilnya mudah diperoleh, maka mereka sanggup menurutinya.

"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: "Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu." Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." [QS At-Taubah, 9:42]

Inilah yang banyak terjadi dalam diri seorang da'i. Ramai yang kita lihat gugur di jalan da'wah tatkala kesenangan yang mudah diperolehi berada dihadapan mata. Ramai yang gugur tatkala da'wah menuntut pengorbanan yang tidak sedikit. Ramai yang gugur tatkala kehidupan yang senang dihidang untuk dijamah. Ramai yang gugur tatkala mendapat perjuangan yang santai sahaja.

Siapakah yang tinggal untuk melalui kehidupan yang susah? Siapa yang tinggal untuk melakukan pengorbanan yang besar? Siapa yang tinggal untuk sentiasa berjuang? Siapa yang tinggal untuk menapaki jalan yang jauh? Siapa yang tinggal untuk terus ber'amal dan tidak mengenal erti cuti dalam beramal? Cukuplah kita mencari dalil untuk tidak berbuat, sepatutnya mencari dalil agar terus berbuat.

Jika kita lihat tarbiyyah dan da'wah Rasulullah SAW mengajarkan kita erti perjuangan yang pasti menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Mari kita bersama ungkap kembali mutiara tarbiyyah Rasulullah dalam kalangan da'i hari ini. Agar kelak jangan kita hanya tinggal sejarah, tapi kita harus cipta sejarah. Jangan kita jadi golongan yang digantikan, namun mari kita jadi golongan yang menggantikan.

"Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini." [QS Muhammad, 47:38]

Kondisi Sekarang Da'wah Nak Bercuti?

Berita yang agak baru saya ambil dari http://www.malaysiakini.com/ bahawa Malaysia bakal menjadi sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa. Semua hanya untuk memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.



Jumlah pelaburan yang dijangkakan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan. Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Ke sini wang rakyat hebat digunakan.

Langkah ini akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020. Pekerjaan yang kita jelas kearah mana panduannya kelak.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan. Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Inilah yang bakal terjadi dalam masyarakat kita. Kita semua sedia maklum kondisi masyarakat mutakhir ini. Pembunuhan yang kejam, pembuangan insan kecil yang tidak berdosa, perzinaan tidak mengenal siapa, penagihan dadah yang mengundang padah, pergaduhan walau satu agama, dan banyak lagi kepekatan jahiliyyah yang terus berlaku bahkan terus melebarkan sayapnya.

Aspek Lain Amal Tiada Cuti

Aspek lain yang ingin disentuh adalah mengenai diri kita sendiri. Sanggupkah kita bercuti dalam beramal sedangkan kematian terus menerus mengintip kita? Peringatan Allah sampaikan kepada kita, dalam setiap khutbah jumaat sering diperingatkan kepada kita,

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan muslim."[QS Al-Imran, 3:102]

Janganlah kita mati melainkan dalam keadaan berserah diri pada Allah. Jangan sampai kita mati dalam keadaan berserah diri pada dunia, pada kemaksiatan, pada nafsu serakah, pada kehidupan yang lalai, atau pada Tuhan selain dari Allah. Namun bagaimana kita boleh pastikan bahawa waktu kematian kita akan berada dalam keadaan baik amalnya? Sedangkan jelas kita mengetahui.

"Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu; maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat (pula) memajukannya."[QS AL-A'raf, 7:39]

Bila saatnya tiba, tiada yang mampu menghalang. Hari ini seorang pelajar international di UTP telah meninggal dunia. Pelajar dari Sudan bernama Ahmed Ali (Al-Fatihah). Ini merupakan peringatan kepada kita yang menunggu waktu dan ketika. Maka, kita tiada masa untuk bercuti dalam beramal. Jangan menyangka orang lain yang penuh dengan perlakuan dosa dan maksiat lebih hina, kerana mungkin pengakhirannya dia sempat taubat pada yang Esa. Jangan juga menyangka orang yang penuh dengan perlakuan amal kebaikan pada waktu sekarang, namun pengakhirannya tidak berjaya mengekalkannya, bahkan lebih teruk dari orang yang difikirkan lebih hina darinya pada waktu dahulu. Na'udzubillah tsumma na'udzubillah Ya 'Aziz.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; karena sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (karunia)."[QS Al-Imran, 3:8]

Mari kita sedari, kita sekadar menghitung hari, setiap kali matahari terbenam, bermakna satu hari telah hilang dalam perkiraan kita. Sentiasalah mengingati mati kerana ia sentiasa mengintip kita tanpa kita sedari.

Beramal Lambang Kesyukuran

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."[QS Ibrahim, 14:7]

Teruskan beramal ikhwah wa akhwat rahimakumullah, teruskan beramal sebagai lambang syukur kita kepada-Nya, garap janji-Nya bagi orang yang bersyukur, yang bakal ditambah lagi nikmat kelak. Nikmat tarbiyyah dan da'wah, kita cambahkan lagi kesuburannya, dengan amal yang terbaik diiringi keikhlasan dilakukan semua kerana Dia Rabbul 'Izzati.

Kita ketahui waktu cuti kita hampir tiba, bahkan ada juga yang sudah mula percutiannya, percutian dari amanah pelajar, juga bermaksud percutian dalam bi'ah tarbiyyah, yang sentiasa ada menyokong kita, namun kita tanam sedalam-dalamnya, bahawa 'amal kita bakal tiada cutinya. Tepuk dada, jangan jadi tarzan pula, tapi tepuk dada, tanya iman kita.

Mari kita bersama buktikan rasa syukur kita atas segala nikmat yang terlalu banyak diberikan kepada kita. Mari kita sedarkan diri kita nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada kita. Nikmat-nikmat yang kita tidak akan mampu menghitungnya. Maka buktikanlah kesyukuran kita kepada Allah dengan meletakkan Allah lebih dari segalanya. Sembelihlah segala kecintaan yang mampu menggugat kecintaan kita kepada Allah. Semoga Allah berikan kita kekuatan bagi membuktikan rasa cinta dan syukur kita dengan perjuangan yang meningkatkan martabat agama-Nya. Mari kita serahkan segala yang kita miliki kepada Allah semata-mata.

3 comments:

Mawaddah said...

Salam.
first time dgr psl tajuk nie.
Syukran krn perkongsiannya.
Takda yang pelik bila kata amal xda cuti sbb tuntutan untuk melakukan kbaikan adlh pesanan kpd kta sbg hamba Allah.
baru ana sedar..

ruhul said...

Kerja kita semakin banyak...dan sememangnya masa yg kita ada x cukup utk tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita...dgn pemimpin yg kita x tau arah tuju pimpinannya,tp sedar impak dari setiap perancgn mereka...jgnla kita mengharapkn cuti d dunia sbb sebaik2 tempat berehat adalah d akhirat kelak

Fakhrullah Bin Mawardi said...

Cahaya Kelembutan : ana setuju dgn pndpt anti..bersama kita sedari..

ruhul:nice quote, sebaik2 tpat berehat adalah di akhirat kelak..insyaAllah kita usahkan..jzkk atas perkongsian..