Wednesday, October 19, 2011

Kasih Ibu Bapa


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya asli : SaBaHaNmUsLiM
Tempat Berkarya : Office Tempat Internship/Practical Sambil Buat Report


Semua Untuk Auni

"beginilah Farul kalau orang berniaga, buka tutup gerai..semua ni untuk Auni sebenarnya Farul.." 

Abang Badrul yang sedang mengemas barang-barang di gerai sebelum memasukkan ke dalam kereta meluahkan pengorbanan demi anaknya, Auni. Auni merupakan murid darjah dua dalam sekolah yang menggunakan Mandarin sebagai bahasa perantaraannya, sekolah cina. Saya hanya tersenyum. Saya yang melalui gerainya singgah sebentar membantu apa yang patut.

"Auni semalam macam mana?"


"Auni mula-mula tu malu nak cakap cina dengan saya..lama-lama ok dah..tapi saya tengok Auni ni pandai orangnya..apa yang saya tanya dia tahu jawab.."

Semalam kebetulan ada berjumpa dengan Auni di gerai ketika membeli keropok lekor buat santapan diri. Sembang-sembang dengan Auni kerana ibu bapanya minta saya tuisyenkan dia dan beberapa kawan yang lain.

"itulah abang mau Farul tuisyenkan dia, dia sama ada dua lagi kawan dia..sorang tu india..sekolah cina juga..tapi kita mula tahun depan sebab tahun ni dah nak habis"


"owh..insyaAllah..tak kisah pun..awo' tolong-tolong jer.."

Teringat perbualan semalam ringkas semalam bersama Auni:

*************
"jiao shi me ming zi liao ah?"

"Auni"

"owh..du jai na li?"

"Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung San"

"owh..'chong' hai shi 'chung'?"

"chung san."

"you hen duo peng you ma?"

Auni hanya mengangguk.

"lao shi jai xue shioa hao ma?"

"hao.."

"ok..na chi ge shi guai, yung mai shi wu ya..fang jai su bao..teng xia bu jian.."

"xie-xie"

      ***************

Suara Abang Badrul membawaku kembali ke suasana gerainya yang diusahakan oleh dia dan isteri bagi menyara keluarga. Pisang goreng, keropok lekor, cucur udang, air buah-buahan dan buah potong menjadi bahan jualan di gerainya.

"Farul nak tahu, abang ada tabung untuk Auni dari umur dia 4 tahun lagi..abang setiap bulan akan masukkan RM100 ke tabung dia..tabung di BSN..nanti dia masuk Universiti senang sudah ada duit farul"


"alhamdulillah..bagus tu Abang Badrul..tidak ramai mak ayah yang fikir jauh kedepan untuk anaknya begitu..kebanyakan perbelanjaan untuk yang hari ini jer.."


"iya la..dia sekolah cina ni pun sudah mahal sedikit yurannya kalau banding dengan sekolah melayu..petang dia sekolah agama pula..kadang sekejap ja berehat di rumah terus pergi sekolah agama"


"biasala tu bang..saya dulu lagi la..makan dan tukar baju dalam kereta ja..sebab sekolah cina habis lambat..ada sampai jam3 baru habis.."


"itulah nanti Auni darjah 4,5 gitu baru mula sampai jam3 tu..sekarang dia habis jam1.30 gitu..tapi abang tengok Auni boleh semua subjek dia kecuali cina..melayu, orang putih, matematik sama sains dia ok..tinggi..tapi kefahaman sama penulisan cina dia kurang sikit..risau abang"


"insyaAllah memang bukan mudah bang, kita usahakan pelan-pelan..boleh punya..ok la bang..saya gerak dulu.."


"owh..ok..ok farul..terima kasih.."


"ok..assalamu'alaikum.."


"wa'alaikumsalam wbt"

Kasih Ibu Ayah

Sepanjang perjalanan balik menuju ke rumah sewa saya sering terngiangkan luahan abang badrul mengenai "semua ini untuk Auni". Sanggup berusaha keras demi anak tunggalnya. Saya yakin ibubapa saya serta kita semua pasti lakukan perkara yang sama. Persoalannya samada kita sedari atau tidak dan samada kita balasi atau tidak.


Jangan pernah kita lupakan kesakitan ibu yang mengandungkan kita serta kepayahannya membawa kita yang berada dalam kandungannya ke mana-mana. Ia bukan mudah! Betapa banyak kesakitan yang ditanggungnya dan dia melaluinya dengan penuh kesabaran disaluti kasih sayang. Saya terkesima ketika ada anak yang sanggup menyakiti hati bahkan fizikal ibu sendiri. Mungkin kita adalah salah seorang yang pernah melakukan hal itu, perkara yang sebenarnya membuatkan sakitnya hati ibu, bahkan membuat keluarnya air matanya, namun ibu sabar dan mendiamkan dan menyembunyikan perasaan demi anaknya.

Jangan juga pernah kita lupakan pengorbanan ayah yang setiap hari bekerja mencari nafkah untuk kita dan keluarga. Jika kita tahu betapa payahnya pekerjaan yang dilakukan mereka, baru kita tahu menghargai apa yang diberi oleh mereka. Ini tidak, ramai anak hanya tahu meminta duit semata, marah-marah jika tidak diberi bahkan mengeluarkan kata-kata kesat kepada ayah. Sedarlah, ayah juga punya perasaan. Ini bukan cara kita membalasi pengorbanan mereka.

Sedarlah, setelah kasih sayang, pengorbanan dan kesabaran yang diberikan oleh mereka kepada kita, apa pula balasan dari kita? Adakah akhlak kita yang buruk? Melakukan perkara-perkara maksiat dibelakang mereka? Menipu dan berdusta kepada mereka? atau sentiasa menyakiti hati mereka adalah balasan yang selama ini kita berikan? Ayuh kita baiki semula balasan jasa kepada mereka minima sentiasa mendoakan mereka, melakukan amal kebaikan yang pasti tersalur kepada mereka, dan bukan dosa yang bakal menyadur mereka. Semoga ini bukti kita mematuhi kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa selagi mana mereka tidak menyuruh kepada keburukan.

"Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu- bapaknya. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah kembalimu, lalu Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."[QS al-Ankabut, 29:8]

Sehingga Masa Tua

Kita pernah dikejutkan dengan berita bukan hanya kes pembuangan anak, namun juga pembuangan bapa. Bahkan ramai lagi anak-anak diluar sana yang menghantar ibu bapa mereka ke tempat-tempat pengasuhan, warga tua, stesen bas, masjid, dan sebagainya asalkan tanggungjawab menjaga mereka tersirna begitu sahaja. Dia tidak sanggup menjaga ibu bapanya yang seperti anak kecil yang susah diurus dan tidak tahu banyak benda akibat penyakit lupa. Terkadang ada ibu bapa yang mengalami kesakitan kaki atau pinggang sehingga meminta bantuan anaknya untuk memapahnya, meminta bantuan bacakan sesuatu kerana kabur matanya, meminta mengulang percakapan kerana sudah kurang pendengarannya, persoalannya bagaimana respon anak-anak sekarang?


Tidakkah kita ingat bagaimana karenah kita waktu kecil dahulu? betapa susahnya menjaga kita yang terlalu nakal dahulu? membuang air di mana-mana, menghamburkan barang, menangis selalu, memukul-mukul ibu ayah, minta beli itu ini, dan banyak lagi kelemahan-kelemahan kita dahulu.. Persoalan seterusnya, mengapa ibu ayah kita sanggup menghadapi karenah usia muda kita, namun kita pula tidak sanggup menghadapi karenah usia tua mereka? Adakah adil perlakuan kita? Jangan berani melanggar ayat Allah yang menyuruh kita berbuat baik kepada mereka walau telah lanjut usia.

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." [QS al-Isra':23]

Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Melekat pada tanahlah
hidungnya, melekat pada tanahlah hidungnya, sekali lagi melekat pada tanahlah hidungnya -
maksudnya memperoleh kehinaan besarlah - orang yang sempat menemui kedua
orangtuanya di kala usia tua, baik salah satu atau keduanya, tetapi orang tadi tidak dapat
masuk syurga - sebab tidak berbakti kepada orangtuanya." [HR Muslim]

Ayuh generasi muda mahupun generasi berusia yang masih mempunyai ibu dan ayah, syukurilah dan berbaktilah kepada mereka. Perbaktian tidak semestinya perlu dihadapan mereka secara langsung, namun juga dibelakang mereka kita lakukan kebaikan yang pasti pahalanya mengalir kepada mereka. Budayakanlah dalam diri kita doa dan amalan yang mampu memberikan kebaikan kepada mereka. Mungkin terkadang kita ingin lakukan kebaikan kepada mereka, tapi salah anggapan yang diberikan terhadap kita. InsyaAllah perlahan-lahan akan terbukti juga kebenarannya. Teruslah lakukan amal kebaikan dan yakinlah aliran kebaikan juga melalui ibu bapa yang mendidik kita. Mulakan dari sekarang, rajinkahlah diri membaca al-quran, sentiasa lakukan solat sunat dhuha, bersedeqahlah harta dan masa di jalan kebaikan seperti membeli buku-buku agama, menghadiri majlis ilmu, bahkan lebih indah lagi jika mampu menyebarkan ilmu atau berjuang di jalan Allah. Yakinlah kebaikan juga sampai kepada mereka. Mari kita akhiri perkongsian kali ini dengan doa kepada kedua ibu bapa kita.

"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku diwaktu kecil."[QS al-Isra', 17:24]

2 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

kasih ibu bapa selamanya utk kita, HANYA anak2 yg smakin lupa jasa mreka..(^_^)

Fakhrullah Bin Mawardi said...

semoga hakikat ini bersama kita ubah..insyaAllah..syukran
محمد حذوان بن حميدان