Thursday, October 6, 2011

Jadilah Bujang Beriman


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM




Bujang Luar Biasa

Bujang samada lelaki mahupun bujang wanita (anak dara), bujang muda mahupun bujang berusia, perlu dari sekarang membina kebiasaan yang baik kerana bukan tunggu hilang status bujang (berkahwin) baru ingin memenuhi banyak seruan agama ke arah kebaikan terutama aspek kebersihan. Mungkin kebanyakan bujang biasa masih ingin mempraktikkan perkara-perkara biasa yang dilakukan bujang hari ini, namun bagi kita, ayuh menjadi bujang luar biasa demi memenuhi seruan kebaikan.


Dibawah beberapa contoh dialog yang mungkin biasa kita dengar atau bahkan kita sendiri yang menyatakannya. Menjadikan waktu bujang sebagai alasan melakukan segala kekurangan dari segi kebaikan samada dari segi kebersihan, pemakanan, penjimatan, dan sebagainya yang saya yakin anda sendiri boleh fikirkan. Saya nyatakan bukan untuk dilaksanakan ya, tapi untuk dijadiakan sempadan buat kita.


"uish..punya bersepah bilik ko ni.."

"ala..biasalah..bujang.."

"lar..makan maggie ja ka?"

"ala..biasalah..bujang.."

"uina..jimat-jimat la bah.."

"ala..biasalah..bujang.."

Persoalannya disini, bujang bukan kata laluan untuk kita melepaskan diri dari amalan kebaikan seperti memastikan bilik atau rumah sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas kerana kebersihan adalah sebagian dari keimanan. Pemakanan juga perlu dijaga walau bersendirian kerana salah satu faktor tubuh yang kuat adalah dari pemakanan yang sehat dan Allah lebih menyukai mukmin yang kuat. Lebih indah jika kita mampu untuk masak sendiri daripada sering membeli makanan luar kerana bujang tidak menghalang kita untuk memasak apatah lagi belajar memasak. Ayuh jadilah bujang yang serba boleh dalam banyak aspek kehidupan.

Perkara lain yang tidak kurang pentingnya adalah menjadi bujang yang mampu berdikari dan mampu menjalani kehidupan walau dalam kesusahan. Mungkin ada antara kita yang biasa hidup bertemankan orang yang digaji di rumah atau yang biasa dimanjakan oleh ibu bapa, namun, itu bukan penghalang bagi kita untuk melatih diri agar mampu berdikari menapaki dunia. Jika selama ini orang luar yang mengawal diri kita, mari kita usahakan mengawal sendiri diri kita kerana kita khuatir jika hanya mengharapkan kawalan dari orang sekeliling, bagaimana jika hilangnya  orang sekeliling? Adakah kita juga akan hilang kawalan diri? Maka, mari belajar menguasai diri, mengawal diri dan memotivasi diri sebelum mengharap selain dari diri sendiri.

Rumah Sewa Bujang

Adakah anda salah seorang yang menyewa rumah samada bersendirian atau berkongsi dengan para bujangga yang lain? Jika ya, ayuh bersama kita pastikan rumah sewa bujang kita tidak seperti rumah yang terbiar dan tidak terurus sama sekali. InsyaAllah saya kongsikan sistem yang rumah sewa saya lakukan yang mungkin tidak terlalu baik, tapi sedikit sebanyak kami usahakan untuk menjadikan ia lebih baik.

Rumah sewa kami namakan sebagai "Banglo Tarbiyyah" atau nama manjanya sebagai "BaTar" yang didiami seramai 6 orang lelaki bujang. Ramai? Sebab rumah luas kot..Rumah kami mempunyai 1 bilik tidur utama lengkap berkamar mandi dan tandas, 2 bilik tidur sederhana, tandas dan kamar mandi, ruang dapur yang luas, ruang tamu, ruang belajar dan stor barang dan kawasan halaman yang extravaganza luasnya. Menariknya, rumah batu satu tingkat yang sederhana namun ahli BaTar berjiwa besar menamakannya sebagai BANGLO..^.^..

Kerajaan BaTar kami dipimpin seorang Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kementerian yang lain bagi menjaga hal ehwal Kerajaan BaTar antaranya adalah:

  1. Menteri Kewangan = Mengurus hal ehwal keluar-masuk kewangan kerajaan BaTar.
  2. Menteri Alam Sekitar = Memastikan penjimatan air dan elektrik serta mengurus tumbuhan di halaman rumah.
  3. Menteri Pemakanan = Mengurus hal ehwal pemakanan kepada rakyat BaTar.
  4. Menteri Kebersihan = Memastikan kebersihan sentiasa terjaga di setiap sudut BaTar.
  5. Menteri Perhubungan = Menguruskan hubungan luar seperti pembayaran bil api, air, internet , etc
  6. Menteri 3 K (Keimanan, Keselamatan & Keceriaan) = Memastikan  keimanan sentiasa terjaga, keselamatan terjamin dengan pagar dan pintu sentiasa berkunci dan menceriakan suasana BaTar.
Inilah sedikit pembahagian tugas agar kami mampu menjadikan rumah sebuah tempat bahagia bukan tempat merana. InsyaAllah semua bermula dari keimanan dan kefahaman baru sanggup melaksanakan amanah di atas bersama-sama kerana ramai antara kita yang mungkin sewa serumah dengan orang lain, namun tidak mampu berkolaborasi menguruskan rumah sewa bersama, semua dengan urusan masing-masing sahaja. Sedangkan kita perlu bekerjasama dalam hal kebajikan dan jangan bersubahat dalam hal kejahatan.

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya." [QS al-Maidah, 5:2]

Perkara lain yang kami lakukan sudah pasti kebanyakan kita laksanakan, iaitu jadual tugasan rumah. Teringat zaman sekolah rendah dan sekolah menengah yang mempunyai jadual membersihkan kelas samada menyapu, membersihkan tingkap, menyusun kerusi meja, memadam papan hitam dan mengosongkan tong sampah. Begitu juga kami di BaTar, terdapat tugasan mingguan dan tugasan bulanan. Antara tugasan simple yang kami bahagiakan:

Tugasan Mingguan :
  1. Membersihkan dalam rumah
  2. Membersihkan luar rumah
  3. Membuang sampah
  4. Membersihkan tandas
  5. Membersihkan dapur
  6. Menyusun selipar & kasut
Tugasan Bulanan :
  1. Memotong rumput
  2. Membersihkan tingkap
  3. Membersihkan lampu dan kipas
  4. Mengemop lantai
  5. Membersihkan siling dan dinding
  6. Membersihkan tilam dan carpet
Namun sebenarnya, yang jauh lebih baik adalah kita sendiri masing-masing proaktif melaksanakan segala kebaikan tanpa ingin ada pengarahan atau penugasan kerana kita yakin Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala amalan walau sekecil atom. Sebab itu amat-amat dianjurkan agar biasakan diri berbuat segala kebaikan tanpa mementingkan pandangan luaran dahulu kerana ramai manusia bahkan mungkin diri kita sendiri terkadang menunggu faktor luaran baru ingin beramal. Ayuh gunakanlah kunci "IKHLAS" sebagai penyuntik motivasi kita untuk berbuat kerana kuasa keikhlasan sangat kuat sehingga kuasa keikhlasan boleh dilihat oleh si buta dan boleh didengar oleh si tuli.

Sedarlah Warga Emas

Bila menyebut warga emas, golongan mana sering kita fikirkan? Golongan berusia bukan? Sebenarnya masa emas bukan ketika usia tua, tapi sebenarnya pada usia muda.  Sedarlah, masa muda kitalah sebenarnya masa emas kita untuk memanfaatkan segala kudrat yang ada bagi menambah amalan dan menyumbang kepada agama Allah, bukan ketika berusia tua yang mungkin makin lemah diri kita untuk berbuat dengan lebih lagi segala amalan kerana kudrat yang tidak seberapa. Sepertimana baginda Nabi Muhammad sering ingatkan kepada kita untuk memanfaatkan dahulu waktu muda sebelum waktu tua kita semua dan bukan menunda untuk manfaatkan waktu nanti ketika di usia tua sehingga mengabaikan waktu muda. Saya mengaitkan dengan post mengenai bujang ini kerana kebanyakan yang bujang adalah warga muda.

Bagi kita samada yang masih muda mahupun yang sudah tua, kita masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan kita yang entah bila penghujungnya, samada di awal usia mahupun di lanjut usia. Maka, sedarlah kaum muda dan kaum tua, selagi peluang kehidupan masih diberi kepada kita, ia adalah peluang bagi kita untuk menambah bekal amalan kita, dan memohon ampun di atas dosa kesalahan kita. Jangan manfaatkan peluang kehidupan yang ada untuk menambah kemaksiatan di hadapan Allah dan melalaikan permohonan ampun dari-Nya. Satu benda yang pasti, tidak kisah tua mahupun yang muda, usia bukan penentu waktu kematian yang bakal tiba!
Perkara terakhir ingin disampaikan bagi mengaitkan kisah tua dan muda adalah akhlak sesama warga muda dan tua yang dianjurkan Rasulullah kepada kita yang pada hari ini makin tidak kita amalkan. Ramai kita melihat warga muda yang bukan beradab tapi biadab kepada yang lebih tua, begitu juga warga tua yang bukan menyayangi tapi membenci warga muda. Mari kita mulakan dari sekarang mengamalkan akhlak yang dijarkan Rasulullah kepada kita, umat baginda.

"Bukan termasuk sebahagian dari kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan tidak menyayangi mereka yang lebih muda" [HR Bukhori & Ibnu Hibban]

"Termasuk memuliakan Allah adalah memuliakan orang muslim yang beruban (berusia)" [HR Abu Daud]

2 comments:

Anonymous said...

selagi masih bujang....

Fakhrullah Bin Mawardi said...

selepas bujang juga blh diteruskn dan disesuaikan dgn pasangan masing2..