Monday, October 24, 2011

Prevention Comes First


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya asli : SaBaHaNmUsLiM




Islam Agama Prevention

Baru-baru ini kawan saya menyampaikan satu pandangan di komen FB yang sangat mengejutkan saya. Pendapat dia yang mengatakan golongan yang nampak hanya amar ma'ruf dan claim amar ma'ruf sebagai langkah pencegahan kemungkaran sebenarnya adalah penakut amat mengguris hati saya bagi pihak sesiapa yang menggunakan kaedah dakwah mencegah lebih baik dari mengubati. Di bawah merupakan pandangan orang tersebut.

"ma'ruf semua org berani, tp nahi mungkar ramai yg takut. Amar ma'ruf sekadar nak ajak org buat baik, nak ajak org ibadah; semua ni kerja2 yg boleh dilakukan semua org. tp, bila masuk bab nahi mungkar nak cegah kemungkaran org x berani sebab akan dapat impak buruk; dimusuhi, dimarahi, dibenci dll. nahi mungkar ni susah, sebab kita mencegah sesuatu yg menjadi minat dan kebiasaan.

org2 yang takut dengan nahi mungkar, malas dengan usaha2 mencegah selalu ambil jalan mudah dengan mengatakan menasihati sebelum terjadi sesutu perkara itu adalah nahi mungkar. lantas mengenepikan usaha2 pencegah sesuatu yg telah buruk berlaku. tetapi hanya mengambil jalan mudah dengan menjalankan amar ma'ruf shj dan dikatakan telah menjalankan nahi mungkar sekaligus. sedangkan realitinya takut untuk menjalankan nahi mungkar. ibarah analoginya, sekiranya kita hanya makan nasi tidak boleh kata kita minum air sekaligus walaupun nasi itu ada komposisi air... wallahu'alam"

Orang tersebut saya akui kehebatannya yang mempunyai tampuk kepimpinan dan kuasa di sesuatu lingkungan. Saya juga menghormati keberanian yang dia tunjukkan dalam berdakwah. Namun, saya khuatir kenyataan yang diberikan bagi saya perlu dibaiki sedikit sebanyak demi kepentingan bahawa bukan hanya golongan dia yang berdakwah sini dan sana.

Saya harapkan jangan sesekali mengatakan golongan yang mungkin tidak menzahirkan nahi munkar dengan serbuan orang bercouple, penyebaran flyers hedonisme ketika konsert, turun padang berbincang dengan komiti yang menganjurkan hiburan-hiburan, dan sebagainya lagi yang nampak hebatnya mereka dengan berani mencegah kemungkaran tersebut namun tidak dilakukan beberapa pihak lalu claim orang lain adalah penakut. Berdakwahlah untuk makin menguatkan umat Islam, bukan makin merapuhkan umat Islam.

Strategi menyeru kepada kebaikan yang sekaligus mampu mencegah dari kemungkaran adalah sunnah dalam agama. Mungkin pihak yang berani di atas boleh teruskan dengan konsep dakwah anda, namun jangan sesekali memandang hina konsep dakwah lainnya. Saya amat terguris bukan kerana kepentingan diri, tapi demi kepentingan konsep dalam al-Quran sendiri. Al-Quran mengajarkan kita banyak perkara agar mencegah dahulu sebelum terpaksa diubati. Sebagai contoh Allah melarang kita mendekati zina, mendekati juga tidak boleh, mencegah dahulu sebelum berlakunya perzinaan. Begitu juga kita diperintahkan untuk menjaga dan menundukkan pandangan, satu lagi konsep yang sangat indah sebagai langkah pencegahan yang sangat baik dan jauh berwawasan.


Rasulullah SAW turut jelas dalam sunnahnya lebih banyak mengutamakan perbaikan diri. Kurangnya melawan kemungkaran kerana memang kurangnya kemungkaran yang berlaku semua hasil seruan kebaikan sebagai langkah bijak mencegah kemungkaran sebelum ianya berlaku. Lebih jelas jika kita baca dalam buku manhaj haraki karangan Syeikh Munir Gatban yang mengetengahkan fasa-fasa dakwah Rasulullah SAW. Begitu juga dalam buku at-tariq ad-dakwah karangan syeikh mustafa mahsyur.

Saya yakin kita ketahui ketika awal dakwah baginda, bukanlah baginda terus menghancurkan berhala-berhala yang bertempiaran di makkah, tapi menggunakan langkah bijak menyeru kepada kebaikan dahulu beberapa individu untuk membina satu kekuatan yang bakal menghancurkan berhala-berhala di sana suatu masa kelak, fathul makkah. Sedarilah golongan-golongan yang berdakwah ada yang sudah cukup lama di arena dakwah, namun ada juga yang baru beberapa langkah memasuki arena dakwah. Maka, hormati dan janganlah memandangkan kecil golongan yang baru ingin membina kekuatan sebelum menjadi yang terbaik dalam arena dakwah tersebut.

Konsep mengutamakan seruan kebaikan memang mampu mencegah kemungkaran dari akar umbi setiap individu. Bahkan ia adalah langkah dakwah yang memuntijahkan kesedaran diri sendiri untuk menjauh dari kemungkaran atas dasar kefahaman terhadap sesuatu larangan. Bahkan, manusia yang kita cegah kemungkaran melalui kefahaman lebih lama bertahan berbanding yang diserbu dan dimarah yang hanya sementara kesannya jika tidak disertakan dengan kefahaman dan kehikmahan.

Saya hanya diminta memberi pendapat dari salah seorang kawan yang berjuang juga mengenai persolan ini, dan saya sekali lagi hanya bersikap natural dimana saya tidak menolak juga konsep dakwah nahi munkar dengan gencar jika memang mereka bersedia. Cuma, bersama kita meletakkan consideration terhadap status sesebuah gerakan dari yang baru hingga yang sudah berpengalaman, dari yang berkuasa besar hingga yang budak hingusan, dari yang ramai pengikut hingga baru mengkaderisasi pelapis dan dari yang nampak rasmi kepada yang  ingin sembunyi-sembunyi.

Jangan Mudah Berkonklusi

Apa yang penting, jangan sering mengatakan orang lain sedangkan kita hanya tahu sedikit mengenai mereka, terkadang kita hanya nampak hujung batang pemegang, lalu terus mengatakan ia adalah penyapu buruk. Mungkin baru melihat sedikit konsep dan sistemnya, terus claim tahu kesemuanya, lalu membuat konklusi sendiri terhadap gerakannya. Ini yang banyak berlaku sehingga ramai keluar di jalan dakwah beberapa gerakan. Baru sedikit ilmu dicedok dari cangkir sesuatu gerakan, sudah merasakan mandi satu belanga gerakan tersebut.
Baru merasakan sedikit kepentingan tarbiyah ditekankan, terus merasakan perkara lain dipinggirkan, terus merasakan mereka tiada kesyumulan.

Sedangkan kita tidak tahu bagaimana mereka ingin membina dan menguatkan dahulu kekuatan dalaman sebelum menghadapi ujian yang lebih berat di masa hadapan kerana ramai yang belum kuat dalaman samada dari segi keimanan dan keikhlasan, namun sudah dibentang luas medan yang penuh menguji keimanan dan keikhlasan. Yakinlah, mereka ada timeline atau jarak masa yang disusun  mereka, mereka ada marhala atau fasa yang mereka berhati-hati menitinya. Selangkah demi selangkah, sehingga mereka akan berlari laju dengan penuh stamina.

Kita khuatir juga tanpa sikap dan akhlak yang baik diterapkan dalam sesebuah pengkaderan, akhirnya menyusahkan orang lainnya. Sehingga semua pelapis-pelapis yang baru terus menerus mewarisi sikap yang teruk, terus menerus menyebarluaskan perkara yang tidak benar hasil konklusi sendiri sehingga menyusahkan orang lainnya. Jika tuduhan yang diberikan adalah benar, maka insyaAllah ia adalah sebuah kebaikan kepada penegur dan yang ditegur. Namun, jika tuduhan adalah salah bahkan penuh yakin menyebarkan kepada manusia, kita takutkan menjadi keburukan bukan hanya pada permulaan, bahkan tiada pengakhiran jika tidak dibaiki kesalahan tersebut.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"[QS al-Hujurat, 49:11]

Sedih, yang sangat menyedihkan, ketika seseorang bahkan sesebuah gerakan terus menerus bukan hanya rasa takut untuk ikut gerakan yang lain, namun juga menakut-nakuti orang lain untuk mencuba produk tarbiyyah yang lain. Kayaknya(sepertinya), mencegah sebelum mengubati? tapi dalam pengaplikasiannya yang penuh keburukan. Mencegah dan menghalangi orang lain mengikuti yang selain mereka dengan memburukkan gerakan lainnya. Cuba tanya pada diri, adakah ini sebuah sikap yang baik? Saya yakin kita sendiri tahu jawapannya.

Terkadang bahan pencegahannya nampak indah pada kebaikan, nampak seperti sebuah nasihat yang penuh perhatian, sebagai contoh mengatakan jika ikut gerakan yang satu tu, dia akan penuh kesibukan untuk berdakwah sehingga menyita banyak masa. Persoalannya, jika masa kita bukan ingin dipenuhi dengan kebaikan, kita ingin penuhi dengan keburukan? Kesibukan mengenai kebaikan samada amanah dakwah juga amanah belajar keduanya sebuah perkara yang diperhatikan.

Jangan melihat sahaja orang lain gencar berdakwah, terus menyangka mereka ini hanya sibuk untuk berdakwah sehingga melupakan amanah lainnya. Jangan menyangka mereka hanya berusaha keras mengejar akhirat, namun usaha dunia tidak diperhatikan. Nampak sahaja mereka ingin sibukkan diri dengan tarbiyyah sehingga tidak mengikuti event-event terus dilabel memisahkan dunia akhirat. Sekali lagi, jangan terus membuat konklusi, baru satu semester sebagai contoh ditarbiyyah dan ditegah untuk sibukkan diri dengan perkara-perkara yang kurang mendatangkan manfaat, terus merasa kita menolak event-event mentah-mentah. Sedangkan sekali lagi, kuatkan dalaman dahulu, kehadapan lihatlah bahawa dakwah itu sangat luas.

Apapun, kepada sesiapa yang mungkin disampaikan berita-berita mengenai orang lain, jangan terus dipercayai tapi harus kita selidiki. Bersikap adil dengan bertanya pula di pihak yang diperkatakan tersebut, tabayyun.

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
[QS al-Hujurat, 49:6]

Jangan Merasa Hanya Dikau Seorang

Perkara yang lain yang diajukan kepada saya untuk memberikan pandangan adalah perasaan sesebuah gerakan yang merasa semua harus bergabung di bawah sistem gerakannya. Bahkan yang mengkeruhkan lagi keadaan, perasaan jika ada yang selain gerakannya bergerak atau melakukan aktiviti, terus merasakan gerakan lain sengaja memboikot atau melawan gerakan dia.

Bagi saya, saya yakin setiap gerakan ada perancangan mahupun takwim yang dirancang sejak dari awal pergerakannya. Masing-masing sudah merancang program-program yang bakal diadakan, dan mungkin terkadang terlanggar dengan program gerakan lainnya. Maka, jangan sikap menuduh gerakan lain sengaja buat program sebab ingin melawan gerakan sendiri. Bersihkanlah hati dari persepsi-persepsi negatif sebegini, sebelum ia makin berakar umbi tumbuh di hati.

Tajuk kecil "Jangan merasa hanya dikau seorang" juga ingin saya sampaikan mengenai perasaan hanya dia memiliki kekuatan dan kelebihan dalam menyampaikan ilmu yang berbimbingkan rujukan yang hebat, samada kitab mahupun ustaz mereka. Ini juga ada berlaku sehingga mengatakan ada gerakan yang sebenarnya menyampaikan ilmu menggunakan kepala otak sendiri tanpa bertanya kepada yang faqih? Satu, perlu difahami, ilmu ada yang mudah difahami, ada juga perlu dirujuki, ada yang muhkamat dan ada juga mutasyabihat. Dua, jangan mengatakan orang lain tidak merujuk orang yang faqih hanya kerana ilmu yang disampaikan bercanggah dengan kehendak atau pegangan diri sendiri.

Hidupkan Budaya Berlapang Dada

Serendah-rendah tahapan ukhuwah adalah bersangka baik dan berlapang dada dengan yang lainnya. Tidak bergerak dalam kereta yang sama, tidak bermakna tidak menuju ke destinasi yang sama. Cukuplah melanggar kenderaan orang lain sehingga menghambat perjalanannya menuju destinasi. Sampai bila ingin mewarisi sikap memusuhi dan memburukkan orang lain ini? Sampai bila pemikiran dan perasaan terus menerus prasangka negatif? Sampai bila ingin terus menghalangi saudara islam sendiri berbanding menentang musuh yang makin menghantui? Ayuh membina ukhuwah sesama kita, bukan makin merobohkan ukhuwah kita. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kesalahan yang pernah kita lakukan terhadap diri dan orang lain, dan semoga Allah sentiasa menerima dan meredhai jalan dakwah gerakan sendiri mahupun gerakan orang lain.

No comments: