Wednesday, August 3, 2011

Ukhuwah Muslim, Mukmin & Muttaqin


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM
Gambar-Gambar : Jaulah Bersama Anak Halaqah





Ukhuwah Indikasi Muslim, Mukmin & Muttaqin

Cuba perhatikan umat islam hari ini, antara saling menyangi atau saling membenci, mana yang mendominasi? Berapa ramai yang hanya ingin menjaga tepi kain sendiri berbanding menjaga tepi kain orang lain? Berapa ramai ingin menjadi busy-body berbanding ingin menjaga body sendiri? Berapa  ramai lebih mengutamakan ukhuwah nasionalisme berbanding ukhuwah islamiyyah itu sendiri? Kesat mata lihatlah sendiri.

Inilah masalah dan faktor kelemahan umat islam dewasa ini, ukhuwah. Inilah juga yang sering diserang oleh musuh islam namun tidak kita sedari. Semua dengan urusan masing-masing, bahkan ada yang sanggup membaling kerusi hanya kerana perlawanan bola berlainan negeri. Marilah kita hapuskan budaya merosakkan salah satu tunjang kekuatan umat islam ini. Sedarkanlah diri dan sekeliling untuk mensinergikan lagi jambatan ukhuwah sesama umat islam.



Kita sudah pasti mengetahui, pernah mendengar mahupun pernah membaca hak-hak sesama muslim. Namun, adakah kita antara pelaku terhadap hak-hak tersebut dengan agresif sekali? Saya tidak mahu membahas lebih perkara ini kerana ia adalah perkara yang kita sedia maklumi hanya tinggal untuk kita amalkan dalam kehidupan dalam kelompok islami. Bagi seorang muslim, maka dia akan penuhi hak tersebut sebagai indikasi dia muslim kepada muslim yang lain. Samada memberikan salam walau tidak dikenali, menghadiri undangan tidak kira status dunia muslim yang lain, meluangkan masa memberi nasihat, tasymitkan ketika bersin, ziarah ketika sakit mahupun mengiringi jenazah ketika meninggal muslim yang lain.

Ukhuwah indikasi seorang mukmin. Perkara ini juga sudah jelas dalam al-Quran, "innamalmukminuunaikhwah", sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Saya juga yakin sudah ramai membahaskan perkara ini. Bahkan Prof Dr Yusof al-Qaradhawi sendiri mengatakan nikmat yang terbesar selepas Islam dan Iman adalah ukhuwah atas dasar keimanan atau ukhuwah imaniyyah. Ukhuwah yang saling menjaga dan membina keimanan sesama mereka. Begitu juga hadis yang disampaikan oleh Rasululullah agar tolong-menolong sesama orang beriman.

Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasululullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membebaskan orang mukmin dari kesempitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari kesempitan di hari kiamat. Barangsiapa yang memberi kemudahan orang yang mengalami kesulitan maka Allah akan memberi kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi aib orang muslim maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya."[HR Muslim]



Ukhuwah juga indikasi dan tempat dikumpulkan seorang Muttaqin atau orang bertakwa. Mungkin belum ramai membahaskan perkara ini, namun inilah pembuktian betapa tingginya nilai ukhuwah dalam dada islam. Ciri-ciri orang bertakwa yang disampaikan oleh Rasulullah jelas menekankan juga aspek ukhuwah sesama kita tidak kisah perbezaan umur kita, perbezaan institusi pendidikan kita, perbezaan syarikat atau organisasi kita mahupun perbezaan gerakan dakwah kita masing-masing, ukhuwah tetap perlu dijaga. Jangan  berani melanggar pesanan Rasulullah kepada kita. Pesananan mengenai ukhuwah yang dikaitkan dengan penekanan takwa itu sendiri.

Abu hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Jangan saling menghasud, saling menipu, saling membenci,saling membelakangi, dan janganlah sebahagian membeli barang yang telah dibeli orang lain. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, maka janganlah berlaku aniya kepadanya, janganlah menelantarkannya, jangan membohonginya, dan jangan merendahkannya. Takwa itu disini (baginda mengucapkannya sambl menunjuk ke dadanya dan mengulanginya tiga kali).Cukuplah seorang dikategorikan buruk apabila dia merendahkan saudaranya sesama muslim. Darah, harta, dan kehormatan setiap muslim adalah haram bagi muslim yang lain."[HR Muslim]

Ukhuwah Dengan Anak Halaqah

Seorang murobbi/biah adalah ibu bapa kepada anak-anak halaqahnya. Menjaga anak halaqah sepertimana menjaga dan menyayangi anak sendiri. Begitulah ikatan yang sepatutnya lahir dalam hubungan mentarbiyyah anak halaqah. Bukan membina hanya kerana pengarahan atau kerana pemantauan tapi perlu dengan kasih sayang dan kprihatinan.



Kita melihat betapa ibu bapa amat takut jika bahaya menimpa anak mereka. Samada takut anak terjatuh di tangga, bermain alatan tajam, lemas ketika mandi di laut mahupun takut diculik orang. Namun, ada perkara yang lebih bahaya yang perlu kita perhatikan, iaitu bahaya api neraka yang ramai tidak meletakkan usaha dan upaya yang bersungguh-sungguh dalam menjaga anak-anak terjerumus jatuh ke seburuk-buruk tempat tinggal, neraka.

Murobbi/biah juga perlu meletakkan salah satu perkara yang sangat-sangat perlu kita perhatikan dan penuh penjagaan adalah dari bahaya api neraka. Kerana itu betapa kita sangat-sangat menjaga hubungan anak halaqah dengan Allah serta menjaga anak halaqah dari melakukan maksiat yang dibenci Allah disamping kita sendiri perlu sangat-sangat menunjukkan contoh teladan yang baik diikuti.



Ikatan hati yang harus sentiasa kita tingkatkan sesama anak halaqah adalah sangat penting dalam melestarikan lagi pembinaan kita. Program-program kebersamaan yang harus dengan kreatif kita lakukan samada dari sahur bersama, iftar bersama, supper bersama, dinner bersama, mabit bersama, jaulah bersama, ziarah sesama, saling bertukar hadiah dan banyak lagi aktiviti yang perlu kita variasikan dalam membina anak-anak halaqah. Saya sarankan bacalah 'Buku Pintar Mengelola Halaqah' oleh Satria Hadi Lubis. Pesanan terakhir mengenai ikatan hati sesama anak halaqah adalah, berkorbanlah dengan ikhlas untuk membina ukhuwah dengan mereka.

Tangisan Ikhwah Keseorangan

Seorang anak halaqah datang kepada murobbinya lalu menangis dihadapannya. Anak halaqah tersebut telah mengecapi nikmat tarbiyyah dan sekaligus nikmat berukhuwah dengan ikhwah seperjuangan. Namun, dalam beberapa tempoh dia akan meninggalkan medan dimana dia mula ditarbiyyah dan menyambung pelajaran di tempat lainnya yang hanya dia seorang ikhwah seperjuangan di sana. Sedih, setelah pengalaman berukhuwah bersama ikhwah-ikhwah bakal jarang dia dapati. Namun dia berjanji akan teruskan berdakwah membina lagi ikatan ukhuwah di medan lain tersebut.

Pengalaman halaqah bersama dengan tawa riang mahupun tangisan kesedihan, muhasabah bersama, melihat tayangan bersama, belajar bersama, sahur bersama, iftar bersama, tarawih bersama, mabit bersama, bedah buku bersama, jaulah bersama, dauroh bersama, naik kereta bersama, naik motor bersama serta lain-lain pengalaman kebersamaan lainnya mungkin akan ditarik sedikit nikmatnya.



Pengalaman anak halaqah tersebut yang pernah mengikuti murobbinya menghalaqahkan ikhwah-ikhwah yang jauh dari ramainya ikhwah, dan kebatasan waktu dan jarak yang jauh membuatkan hanya mampu seminggu sekali bertemu dan berukhuwah sesama mereka. Tidak disangka, dia juga bakal sedemikian. Namun, murobbi meyakinkan dia bahawa murobbi akan sanggup menghalaqahkan dia walau jauh destinasinya dan kita bakal membina empayar ukhuwah keimanan pula disana.

Begitu juga ikhwah-ikhwah yang berada keseorangan di beberapa tempat yang pasti jarang mendapatkan nikmat berukhuwah yang sangat indah. Mahupun ikhwah-ikhwah yang berada di medan lainnya yang hanya mampu berjumpa secara berkala. Namun yakinlah, walau kita tidak bertentang mata, hati kita akan tetap bersama, akan tetap membuai rasa, kerana kita berukhuwah kerana Allah semata.

Anak Tiri Halaqah

Tiada perkara menganak-tirikan anak-anak halaqah yang diamahkan kepada kita. Semua adalah adil saksama. Murobbi/biah yang berpengalaman mahupun sedang meneruskan mentarbiyyah anak-anak halaqah di pelbagai medan pasti merasakan hal sebegini. Kprihatinan dan pengurusan kesemua anak-anak perlu dirancang dengan baik. Keikhlasan hati menyayangi dan mendoakan kesemua anak-anak halaqah samada di sekolah, matrik mahupun IPT perlu kita tambah bersama.

Murobbi/biah sering kali mengadakan aktiviti jika mampu melibatkan semua maka akan dilibatkan kesemuanya, namun jika ada yang memerlukan kuota tersendiri, maka giliran haruslah dirancang dengan baik untuk semua anak-anak halaqah.

Pengarahan yang lebih mahupun keterlibatan yang dilebihkan bukan menandakan murobbi/biah hanya menyayangi beberapa anak halaqahnya namun ada perkara yang perlu diambil peduli serta sesuai dengan kefahaman dan bebanan yang setimpal dengan anak halaqah masing-masing.

Ayuh murobbi/biah, berdakwahlah kerana kasih sayang kita kepada saudara kita. Bimbing dan binalah umat Islam dengan penuh kasih sayang bukan penuh dengan kebencian. Kita sendiri dahulu perlu buktikan kualit kita berukhuwah dengan ikhwah/akhwat masing-masing. Saya kagum dengan beberapa ikhwah yang amat tinggi dalam berukhuwah, tidak mengambil kesempatan, bahkan sering mengutamakan ikhwah laiinya. Dia yang turun menyelamatkan ikhwah ketika terjatuh, dia yang membasuh talam yang diguna bukan mengelak, dia yang membantu tanpa disuruh bukan mengelak dan dia yang memaafkan serta mendoakan ikhwah-ikhwahnya. Barakumullah..


Nasihatku kepada ikhwah-ikhwah yang jauh mahupun bakal pergi jauh. Terimalah nukilan di bawah dan yakinlah 'Destinasi Akhir Kita Bertemu'

Waktu terus berlalu,
dilalui antara kau dan aku,
melepasi jalan panjang nan berliku,

Walau kau melalui jalan berbatu,
aku pula melalui jalan bergunung,
namun masih menuju destinasi yang satu.

Aku melihat kesakitan dirimu,
memijak melalui jalan berbatu,
namun kakimu tetap utuh.

Aku pula dengan laluan gunung,
terkadang aku banyak terjatuh,
namun kan terus mendaki dengan kukuh.

Teruslah bergerak jangan kaku,
dengan ujian dahsyat yang kita lalu,
bekalan iman yang kan terus memacu.

Hanya beberapa simpangan kita bertemu,
namun hati sudah terpaut dan kan terus menyatu.
walaupun jasad makin menjauh.

Itulah jalan dakwah kau dan aku,
ada jalan bergunung ada jalan berbatu,
ada amanah berbeza untuk dituju,

Namun akhirnya kita akan bertemu,
di destinasi akhir yang kita tunggu,
iaitu redha Allah Yang Maha Satu.


5 comments:

Anonymous said...

mohon share yerr,,

Fakhrullah Bin Mawardi said...

insyaAllah..Silakan..smgag bermanfaat..

Annonymous said...

good job man...may Allah bless you...

Annonymous said...

good job man...May Allah Bless You...

Fakhrullah Bin Mawardi said...

Amin InsyaAllah Aminul Hayat..syukran..