Friday, August 12, 2011

Ramadhan Di Perantauan [Episod 4]


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Adik-Adik Generasi Harapan

InsyaAllah saya mulakan perkongsian kali ini dengan selawat beramai-ramai bersama lebih kurang 700 adik-adik pelajar di SMKA Nibong Tebal ketika saya dijemput bagi ceramah tempoh hari..^.^..Jemput klik play dan selawat bersama dulu ya..



Alhamdulillah..Setelah kisah adik-adik di SMKA Nibong Tebal..Kita pergi pula adik-adik yang jauh lebih muda di SK Toh Indera Wangsa Ahmad. Seperti yang saya kongsikan di episod ke-2, saya diamanahkan menjadi ambassador & advisor bagi dua kumpulan projek di sekolah ini. Beberapa hari sibuk menyiapkan projek dan melatih adik-adik untuk present dalam bahasa inggeris.

Nama saya sebagai advisor dikedua-dua borang berlainan kumpulan


Saya manfaatkan pengalaman saya present projek di Engineering Design Exhibition [EDX] tempoh hari untuk mengajarkan perkara-perkara yang perlu ditekan dan dizahirkan dalam konteks pembentangan projek seperti penekanaan dari sisi kreativiti, inovasi, novelity, nilai komersial, pengaplikasian konsep-konsep sains, dan sebagainya.

Di bengkel Kemahiran Hidup SK Tiwa Menyiapkan Projek & Berlatih Present

Komitmen adik-adik yang amat baik dan berbuat dengan penuh bersemangat akhirnya membuahkan hasil ketika salah satu projek, "The Fan Cleaner" dinobatkan sebagai Juara atau Gold Medalist di Science & Engineering Design Exhibition [SEDEX].  Manakala projek "Automatic Fish Feeding Machine" mendapat Bronze Medal. Alhamdulillah, ini yang dikatakan murid mengalah guru. Saya dulu dapat Bronze, adik-adik pula mampu menggondol Gold Medal. Tahniah abang ucapkan!

Booth kami di SEDEX

Kita sebagai guru, pensyarah, ustaz/ustazah, murobbi/murobbiah, naqib/naqibah mahupun pelatih/trainer perlu meletakkan usaha agar anak didik kita lebih hebat daripada kita. Bukan membudayakan anak murid kena lebih rendah dari kita, tidak boleh melebihi kita, namun kena pastikan kita bimbing mereka sehingga jauh lebih berjaya dan hebat dari kita..InsyaAllah..

Jadual Muzakkir

"InsyaAllah tuan-tuan dan puan-puan sekalian, saya minta izin kepada AJK Surau atau Ahli Qoriah Surau ini untuk kita memberikan peluang kepada generasi muda untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah juga.."

Saya membuat pengumuman sejurus selepas mengimamkan solat Isyak pada Isnin yang lepas.

"Saya akan mengajak beberapa pelajar UTP untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah kepada kita semua..memandangkan tuan-tuan juga sudah banyak pengalaman, insyaAllah kita beri peluang pula dengan anak-anak muda pengalaman berada di hadapan memberikan tazkirah kepada kita"

"InsyaAllah ustaz..boleh-boleh.."

Suasana surau riuh sedikit dengan suara dan anggukan setuju..Alhamdulillah..Saya bukan hanya memberi peluang kepada generasi muda, juga kepada generasi berusia di sini untuk menjadi bilal dan memberikan tazkirah..Semoga mampu melatih generasi muda khususnya untuk memberikan tazkirah di hadapan masyarakat yang pasti berlainan konsep dan poin yang perlu disampaikan.

Ramadhan Tidak Menunggu

Peluang melalui hari-hari dalam bulan Ramadhan terus laju berlari yang pasti meninggalkan pelumba-pelumba yang makin lemah bahkan berhenti. Bagi kita yang ingin bertakwa, kita mengetahui betapa berharganya Ramadhan ini, maka jangan sesekali detik-detik Ramadhan tidak dihargai. Saat-saat yang berlalu dalam bulan Ramadhan jangan pernah kita sia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak menunjukkan penghargaan terhadap Ramadhan yang berharga ini.

Cuba kita hitung semenjak balighnya kita, sudah berapa kali Ramadhan yang kita lalui? Lalu tanyakan pada diri, adakah Ramadhan-Ramadhan yang berlalu pergi itu cukup kita hargai? Jika merasa belum cukup menghargai Ramadhan yang telah berlalu pergi, maka jadikanlah Ramadhan kali ini Ramadhan yang paling kita hargai, kerana Ramadhan tahun hadapan bukan sesuatu yang pasti.

Sekarang cuba kembali mengenang hari-hari Ramadhan yang lebih 10 hari berlalu pada kali ini, adakah kita sudah cukup mengisi dengan ibadat-ibadat semaksima yang mungkin? Atau kita masih menjadi manusia biasa yang tidak merasa kehebatan bulan Ramadhan? Yang masih bermalas-malasan dalam meraih sebanyak mungkin ganjaran yang digandakan, yang masih sedikit memohon keampunan atas banyak dosa kita lakukan, yang masih berat untuk meninggalkan banyaknya tidur yang membuang masa, yang masih melemahkan badan kerana terlalu banyak makan ketika sungkai (bahasa sabah yang bermaksud iftar) atau yang masih melakukan perkara-perkara dosa dorongan nafsu tanpa pemandu syaitan? Pejam mata lalu tanyakan ke dalam hati sanubari masing-masing.

4-Flat-kan Ramadhan

Ayuh bersama kita tingkatkan kembali semangat dan kesungguhan kita melalui Ramadhan kali ini. Pastikan kita mendapat 4-Flat untuk subjek Ramadhan, bukannya sentiasa flat melalui ujian Ramadhan. Suatu yang pasti, dalam rangka mencapai markah yang tinggi, jangan hanya mengharapkan puasa berniatkan lapar dahaga, namun tingkatkan lagi skop puasa kita untuk semua anggota.


Saya ingin berkongsi ilmu dari Imam Ibnu Qudamah rahimahullah dalam kitabnya "Mukhtashar Minhajul Qashidin" yang bermaksud "Jalan Orang-Orang Yang Mendapat Petunjuk" yang pasti ramai kita kenali kitabnya. Beliau banyak berkongsi perihal mengenai puasa namun di kesempatan kali ini saya ingin kongsikan mengenai 3 tingkatan puasa:

1. Puasa Secara Umum

Iaitu menahan perut untuk tidak makan dan minum serta menahan kemaluan untuk tidak melampiaskan syahwatnnya.

2. Puasa Secara Khusus

Iaitu menahan pandangan, lidah, tangan, kaki, pendengaran, penglihatan, dan seluruh anggota tubuh badan dari perbuatan dosa.

3. Puasa yang lebih khusus dari yang khusus

Iaitu puasanya hati dari hasrat-hasrat yang hina dan fikiran-fikiran yang dapat menjauhkan dan melalaikan kita daripada Allah SWT. Inilah tingkatan yang tidak ramai pelakunya, namun beruntunglah pelaku yang mampu tersebut.

InsyaAllah di akhir episod kali ini, saya ingin kongsikan sepotong hadis buat renungan dan muhasabah kita bersama.

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan atau perbuatan dusta, maka tidak ada keperluannya bagi Allah dalam ia meninggalkan makan dan minumnya."[HR Bukhori]

2 comments:

Anonymous said...

tahniah atas ramadhan yang dipenuhi aktiviti y bermanfaat

Fakhrullah Bin Mawardi said...

alhamdulillah..mohon doanya..syukran..