Saturday, January 8, 2011

Sebulan @ Indonesia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Coretan Misi @ Indonesia

Alhamdulillah, semalam saya baru tiba di Malaysia selepas keluarga menghabiskan 25 hari berada di tanah Indonesia. Sebuah kesempatan meluangkan masa bersama keluarga yang hanya lebih kurang 2 kali setahun saya dapat balik kampung jumpa mereka. Saya tidak sempat buat perkongsian menyeluruh ketika berada di Indonesia. Namun satu benda yang pasti, terlalu banyak pengajaran ketika berada di sana. Sedikit pengalaman yang mampu saya coretkan buat perkongsian bersama adalah pengalaman misi mencari dan menyelesaikan salasilah keluarga besar. Dari situ dapat dilihat adik-beradik saya ada seramai 52 sepupu satu kali..sepupu yang hasil dari adik-beradik Mama dan Bapa kami. Kami juga berjaya mendapatkan dan berjumpa beberapa pakcik dan makcik, nenek dan atok serta moyang-moyang kami. Alhamdulillah. Keluarga dari pelbagai penjuru dunia berjaya disatukan walaupun belum semua namun sudah memuaskan. Kebanyakan merantau ke pelbagai tempat seperti bapa saya yang merantau ke Malaysia pada tahun 70-an..

"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya[263] Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain[264], dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." [QS an-Nisa', 4:1]

Misi kedua yang pasti ingin mengikat lebih kuat tali silaturrahim antara ikatan darah keluarga disamping saling membantu dari aspek material, emosi dan spritual.

"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros." [QS al-Isra', 7:26]

Alhamdulillah kami sempat membuat satu hari keluarga besar di sana yang diselitkan ceramah agama buat kami semua. Terdapat juga perkongsian motivasi dan pengalaman bagi ahli keluarga kami yang sudah berjaya untuk memberi bimbingan dan nasihat buat ahli keluarga yang lain terutama kepada anak-anak muda. Satu benda yang pasti, orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari pengalaman sendiri serta pengalaman orang lain. Sebab itu salah satu nasihat Luqman al-Hakim adalah:

Berdialoglah dengan orang yang berpengalaman. Mereka mendapatkannya degan susah payah, sedangkan kamu mengambilnya dengan mudah. [Luqman al-Hakim]

Misi individu bagi saya adalah membuat lawatan ke syarikat penerbitan yang membawa nama Islam. Alhamdulillah banyak pengalaman dan pengajaran saya dapatkan dari mereka yang saya akui lebih gencar dalam bab dakwah media dan pena. Mereka lebih banyak menghasilkan buku, lebih banyak menterjemah buku dan yang paling penting kualiti isinya amat baik. Saya diberi hampir 30 jenis majalah yang berbagai konsep dan target pembaca. Walaupun saya hanya mampu berikan 3 edisi dari syarikat Synergy Media kepada mereka. Semoga dakwah media akan kita kembangkan lagi. Mari lebih rajin menulis dan menterjemah buku.

Media adalah salah satu jihad yang perlu diketengahkan [Fiqh Jihad - Yusof Qardhawi]

Misi menambah ilmu dapat saya lakukan sedikit sahaja. Dapat buat lawatan di pesantren yang berdekatan di sana. Dapat juga mengikut pengajian mereka. Subhanallah, terlalu banyak pesantren di sepanjang perjalanan saya di sana. Saya juga diberi peluang membuat lawatan di pejabat-pejabat yang menyangkut masalah umat di dua organisasi dakwah di sana.

Misi membeli buku agama sudah pasti tidak ketinggalan. Harga yang jauh lebih murah dibanding bila sudah diexport ke Malaysia. Lebih kurang 20 buku sahaja mampu saya beli pada kesempatan kali ini. Beberapa tajuk buku yang menarik saya dapatkan adalah :

1. Fiqih Manajerial - Prof Dr H. Aziz Fahrurrozi
2. Cashflow Quadrant - Robert T Kiyosaki
3. Fikih Hiburan - Prof Dr Yusof Qaradhawi
4. Nasihat Syaikh Abdul Qadir Jailani - Syaikh Shalik Ahmad Syami
5. Sunnah & Larangan Populer Di Masyarakat Luas - Abdullah bin Hamud al-Farih
6. Menggairahkan Perjalanan Halaqah - Satria Hadi Lubis
7. Kata-kata Luar Biasa dari Manusia Luar Biasa - Mukhlisin al-Bonai
8. Meniti Jalan Istiqamah - Syekh Musnid al-Qathany
9. Tarbiyah Ruhiyah - Dr Abdullah Nashih Ulwan
10. Revolusi Menghafal al-Quran - Yahya Abdul Fattah az-Zawawi (al-Hafizh)
11. Rahasia Tawa & Tangis Rasulullah - Ishom Yusof
12. Jadikan Hidupmu 48 Jam Sehari - Atha Barakat
13. Bercinta Di Taman Syurga - M. Muttaqwiatti
14. Metode Pengajaran Nabi Muhammad SAW - Syaikh Muhammad al-Hazzaa'
15. 450 Kata Motivasi Dosis Tinggi - Muhammad Yasir
16. Biar Kaya Harta Asal Kaya Hati - Dr Sa'id Abdud Azhim
17. 1000 Sunnah Harian Rasulullah - Khalid al-Husainan
18. Menuju Tangga Kesuksesan - Dr Ibrahim al-Fiqqi
19. Bila Hati Dimabuk Cinta - Muhammad Ibrahim al-Hamid
20. Buku Saku Sifat Puasa Nabi Muhammad SAW - Dr 'Abdul 'Azhim Badawi

Semoga perkongsian tajuk dan penulis buku di atas memudahkan anda jika ingin mencari buku tersebut. InsyaAllah kita saling berkongsi ilmu yang kita dapatkan kelak. Namun satu benda yang pasti kita wajib membaca dahulu sebelum mampu menulis, wajib menuntut ilmu dulu, sebelum mampu menyebarkan ilmu.

"Sesungguhnya tidak seorang pun dilahirkan berilmu. Ilmu diperoleh dengan belajar." [Ibnu Mas’ud]

Misi menerokai Indonesia hanya dapat dilakukan di beberapa daerah di sana seperti Makassar, Maros, Pinrang, Pare-Pare, Polawali, Belawa dan lain-lain. Kami juga berkesempatan ziarah Rumah Anak Yatim yang dikelolakan oleh nenek kami sendiri selaku ketua di sana. Kami dipersembahkan nasyid dari warga anak yatim di sana. Amat menyentuh hati dengan suara mereka. Begitu juga Rumah Penjagaan Anak-anak yang juga dikelola oleh makcik kami selaku ketua di sana.

Pelbagai juga tempat kami lawati terutama suasan desa di sana serta pelbagai pemandangan indah ciptaan Allah semua. Pelbagai juga jenis makanan kami rasakan.  Saya berkesempatan memandu kereta dan menunggang motor di sini. Namun, saya lebih mengakui dari aspek lalu lintas, Malaysia lebih saya berani membawa kenderaan berbanding di Indonesia.

Pembunuhan Di Ambang 2011

Sedikit perkongsian mengenai 'Pembunuhan Di Ambang 2011'. Ia berlaku di kawasan tempat tinggal makcik dan pakcik saya di Makassar. 11 anak remaja yang curi-curi membawa sebuah kereta milik bapa dari salah seorang dari mereka untuk menyambut tahun baru. Remaja itu terdiri dari 9 laki-laki dan 2 orang wanita. Ketika singgah membeli di kedai, mereka di serang golongan orang mabuk. Natijahnya, salah seorang ditikam walaupun sempat masuk ke dalam kereta namun cermin kereta masih terbuka. Mangsanya adalah wanita. Mereka segera memecut menuju ke hospital, namun pendarahan yang berlaku membawa kepada kematian wanita tersebut. Berita pada malam itu belum diketahui ibu bapa 11 remaja ini. Bahkan kereta tersebut mereka masih sempat kembalikan pada waktu pagi di tempat parking namun pemilik kereta itu perasan ada sesuatu yang pelik dengan kondisi kereta tersebut.

Ketika pemilik kereta tersebut membuka keretanya, terdapat banyak darah dan juga kasut wanita di atas kereta tersebut. Pagi itu sibuk dengan semua Remaja yang terlibat di bawah ke Pejabat Polis untuk membantu siasatan. Akhir kes yang kami diberitakan, pembunuh yang mabuk itu berjaya ditangkap dan nasib semua anak remaja bergantung kepada ibu bapa masing-masing. MasyaAllah. Saya yakin perkara ini bukan berlaku di sana, bahkan diperlbagai tempat lainnya ketika ada acara keramaian seperti sambutan tahun baru. Inilah kondisi pemuda-pemudi harapan kita. Sedangkan merekalah penentu harapan kita kelak.


"Pemuda dan pemudi adalah asset berharga kebangkitan bangsa. Setiap kebangkitan bangsa, jawapannya adalah pemuda."[Hasan al-Banna]

Perantauan Membuka Minda

Melancong atau Merantau tidak dilarang dalam Islam. Namun tujuan dan natijah dari perantauan itu harus selari dengan apa yang disyaratkan. Kita dapat lihat suruhan berjalan di muka bumi Allah untuk apa?

Katakanlah: "Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa."[QS an-Naml, 27:69]


"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? orang-orang itu adalah lebihkuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan." [QS ar-Rum, 30:9]


"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi, lalu memperhatikan betapa kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu adalah lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) bekas-bekas mereka di muka bumi, maka Allah mengazab mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan mereka tidak mempunyai seorang pelindung dari azab Allah." [QS al-Mu'min, 40:21]

Memang benar hidup kita umpama perantau. Teruslah merantau bagi mempelajari pengajaran di pelbagai tempat, di pelbagai medium, di pelbagai masa dan di pelbagai keadaan. Teruslah berjalan di muka bumi Allah yang luas ini bagi membuka hati kita kepada Allah Yang Maha Luas. Namun, perantauan kita pasti ada akhirnya, iaitu ketika bekal hidup kita telah habis di persinggahan dunia ini.

Manusia yg baik umpama perantau yang pulang menemui keluarganya. Sementara manusia yg tidak baik umpama hamba yg melarikn diri kemudian diheret menemui tuannya.[Salamah Bin Dinar]

2 comments:

Anonymous said...

seronok percutiannya..
tp ana lebih tertarik kepada bukunya..
kan bagus klu ana sempt mengirim skli..

Fakhrullah Bin Mawardi said...

betul2..sori lewat inform juga..ada akh zikri di bandung sekarang..blh mnta kirim dengan dia..