Wednesday, September 8, 2010

Islam bukan "Part-Time"

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Alhamdulillah, puji syukur kita panjatkan kepada Allah Asy-Syakur atas nikmat dan ujian yang diberikan kepada kita. Selawat cinta dan rindu semoga Allah limpahkan kepada insan mulia, Muhammad Bin Abdullah SAW. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepada Rasulullah dengan penuh penghormatan kepadanya.

Sidang pembaca sekalian, bulan Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirainya. Mari bersama kita renung sejenak, tanya iman di dada, tanya hati benak kita, gunakan akal sihat untuk memikirkan, "Apa yang aku dapat dalam Ramadhan kali ini? Adakah sekadar lapar dan dahaga atau ketakwaan yang bertambah kepada Dia Penguasa jiwa manusia? Kita bersama berdoa, semoga sedikit amalan yang kita lakukan dalam bulan suci mulia diterima dan dilipatgandakan oleh Allah Al-Wahhab yang Maha Pemberi. Amin Ya Mujib.

Ikhwah wa akhwat Uhibbukumfillah, mari bersama kita tingkatkan kesedaran terutama diri kita bersama lalu bersama sedarkan di sekeliling kita, bahawa:

Islam bukan hanya ketika Solat Hari Raya,
Islam bukan hanya ketika Solat Jumaat,
Islam bukan hanya ketika Bulan Ramadhan,
Islam bukan hanya ketika 10 malam terakhir,
Islam bukan hanya ketika Menunaikan Haji,
Islam bukan hanya ketika 5 Solat Fardhu,
Islam bukan hanya dalam masjid dan surau,
Islam bukan kerja sampingan!
Islam bukan seperti 4 musim!
Islam tidak kira waktu dan tempat,
Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan,
Itulah Islam! Agama yang diredhai Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqarah, 2:208)

Berapa ramai kita lihat hamba Allah yang hanya "Part-time Muslim" dan bukannya "Full-time Muslim"? Sebagai contoh mungkin berlaku pada diri kita, pada bulan Ramadhan ibadat ditingkatkan, dosa dan maksiat dijauhkan, sanggup turun berjemaah setiap malam, mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadhan, menahan amarah dan percakapan belakang,

namun,

setelah habis bulan Ramadhan, ibadat makin kurang, dosa dan maksiat ditambah semula, qiamullail dan Quran hilang rentaknya, nafsu sudah dituruti semula, ditambah perisa syaitan laknatullah. Tidakkah kita takut amalan apa yang kita lakukan pada bulan Ramadhan? Untuk siapa amalan pada bulan Ramadhan? Na'udzubillah tsumma na'udzubillah.

"Islam tidak pernah mengecewakan kita, tetapi kita yang mengecewakan Islam"

Ikhwah wa Akhwat Rahimakumullah, mari kita buktikan kita graduan Universiti Ramadhan yang sebenar. Kualiti produk sesuatu Institusi Pendidikan kita lihat selepas tamat tempoh pengajiannya, bukan keindahan keputusan waktu pengajian, nampak gah pada dasarnya, namun bila dicampak ke medan sebenar, di medan masyarakat dan pekerjaan, habis punah apa yang dibanggakan. Mari kita buktikan keputusan ibadat yang sering kita jaga pada bulan Ramadhan, kita buktikan pada bulan seterusnya, walaupun ia pasti penuh onak dan cabaran, namun, usahalah sekuat mampumu, mari dalam beberapa ketika sebelum perisai Ramadhan meninggalkan kita, kita kuatkan kembali kekuatan iman dan takwa, jangan jadi seperti kebanyakan manusia, bila akhir Ramadhan dah berkurang amalannya, sibuk menyiapkan kelengkapan hari raya, yang sepatutnya kita sediakan sekadar keperluan, bila tiba 1 Syawal, habis punah tarbiyyah Ramadhan, Solat Subuh dijama' dengan Solat Hari Raya, Sibuk ziarah hingga hilang Sunat Dhuha, puasa yang merupakan latihan dibalas dengan makan sepuasnya, pergaulan sudah tiada batasnya, keluar semua habitat jahiliyyah, seperti tidak pernah melalui Ramadhan mulia, mungkin inilah kita!

"Apabila menyampaikan dakwah dan peringatan, kita wajiblah mengemukakan kesyumulannya dengan selengkapnya, dengan seutuhnya dan dengan segala kesempurnaannya yang sempurna dan menyempurnakan tanpa memisahkan sebahagian dari keseluruhannya atau memansuhkan sebahagian daripadanya kerana sesungguhnya Islam itu adalah penutup segala agama." 
(Syeikh Mustafa Masyhur - Tariq Ad-Da'wah)

Syaitan yang ditahan reman akan dilepaskan semula, 11 bulan ia dilepaskan bagi meluaskan semula pengaruh durjana. Ayuh, kita kuatkan semula bekalan sebulan kita dalam bulan Ramadhan, agar perisai yang dibina tidak rapuh dengan hasutan nafsu syaitan keduanya. Semoga Hari Raya, Hari Kemenangan kita sambut dan sahut dengan kemenangan sebenar. Kemenangan berjaya kembali kepada fitrah asal tujuan diciptakan dan  fitrah suci dari dosa maksiat. Mari menyambut Hari Kemenangan sebenar menjadi hambanya yang bertakwa. Semoga peringatan terutama kepada penulis yang paling utama, kerana jika dosa itu mengeluarkan bau busuk, nescaya pasti penulis dijauhi semua orang kerana kebusukan yang keluar, kita bersama saling berpesan, agar bersama juga kita melakar iman dan takwa, hanya untuk Allah semata.

Ilmu di dada kita bukan untuk disimpan, namun untuk kita kongsi dan kita sampaikan, dan yang paling utama adalah untuk kita amalkan. Mungkin hari ini kita bercakap, hari esok belum tentu kita amalkan. Semoga sedikit ilmu yang diberi Allah kepada penulis kita bersama dapat manfaatnya. Mari bersama kita menuntut ilmu dari buaian hingga sampai ke liang lahad. Seperti mana seorang Tabi'in Rahimallah pernah berpesan:

“sesungguhnya Allah telah membuat perjanjian dgn mereka yang berilmu supaya mereka menyampaikn ilmu mereka kepada seluruh manusia” (Hasan al-Basri)

3 comments:

Hadi Muslim said...

salam...
ana tersentuh ngan kalimah-kalimah antum...
moga kita semua bukan mereka yang menjdikan islam sebgai AMALAN PART-TIME bahkan kita adalah generasi baru yang FULL-TIME dengan ISLAM...
subahanallah...Maha Suci Allah yang tidak pernah henti memberi ilmu kepada hamba untuk dikongsi bersama...
moga antum terus istiqamah dalam penulisan yang bermanfaat ini...

Fakhrullah Bin Mawardi said...

alhamdulillah ya Allah..amin insyaAllah biiznillah..akan kita usaha bersama istiqamah beramal..

Mawaddah said...

salam..izin mengexplore karya2 terdahulu.

petik kata2..
jd sorg pelajar perlukan komitmen,nak jadi pensyarah perlukan komitmen..apth lg kita sbg hamba Allah yg mmerlukan komitmen yg sgt2 tingi..sgt berguna kata2 ni.