Thursday, February 23, 2012

Berbalik Kepada Cinta


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Team Grafik Synergy Media  : Syira


Kekufuran -> Keimanan -> Kekufuran

Ramai mungkin antara kita dahulunya adalah hamba yang penuh dengan dosa dan kemaksiatan, lalu Allah memberikan kita hidayah dan kebaikan sehingga kita meninggalkan dosa dan maksiat demi melakukan sebuah perubahan dan perbaikan di dalam  diri. Namun, dalam menelusuri landasan kebaikan yang nampaknya sudah utuh mencengkam landasan tersebut, tidak sedikit juga yang mula melonglai dan akhirnya terbabas kembali ke landasan keburukan.

Perkara ini bukan rekaan, namun sebuah hakikat pembolakan hati akibat dari kesalahan insan-insan yang terleka. Seorang insan yang dahulunya ingin berhenti mencuri, namun mencuri semula akibat desakan kehidupan. Seorang insan yang ingin berhenti meminum arak, namun meminum semula akibat desakan dan cabaran teman kerosakan. Seorang insan yang ingin berhenti menerima rasuah dan menipu semata, namun kembali melakukannya akibat lemahnya iman di dada.

Sedihnya, bukan hanya insan biasa terjangkit dengan penyakit ini, namun juga kepada insan-insan bergelar pendakwah dan pejuang kebenaran. Seorang pendakwah yang pada dahulunya memberikan tazkirah mengenai haramnya berkhalwat lelaki dan wanita, namun sekarang begitu aktif berjalan berpegangan tangan dengan kekasih haramnya. Seorang pendakwah yang begitu banyak berkorban harta menghidupkan dakwah, namun kini hanya seronok mengorbankan dakwah demi mencari harta sebanyaknya. Seorang pendakwah yang dahulunya sering menjaga mutabaah ibadah dengan penuh saksama, namun kini hanya sibuk bermain game, menonton wayang dan berhibur semata. Akhirnya, ada juga pendakwah yang sangat menjaga dirinya ('Iffah) dari dosa kemaksiatan, namun kini dia yang membuka dirinya menghampiri pintu kemaksiatan.

"Sesungguhnya orang-orang kafir sesudah beriman, kemudian bertambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan diterima taubatnya; dan mereka itulah orang-orang yang sesat." [QS al-Imran, 3:90]

Mari tanyakan pada diri. Adakah perkara ni pernah berlaku kepada kita? Pernah kembali kepada tabiat jahiliyah kita yang lama? Pernah terasa ingin makin jauh dengan kebaikan dan memuaskan nafsu kejahatan? Pernah terasa ingin meninggalkan dakwah dan ingin hidup dalam keselesaan & keseronokan? Pernah terasa lelah menjaga keimanan dan ingin menuruti hubbu syahawat? Pernah terasa lelah melakukan pengorbanan dan ingin berhenti dari perjuangan? Persoalan yang perlu ditanya kepada diri kita, mengapa perkara ini boleh berlaku?

Setiap Persoalan Ada Jawapannya

Setiap persoalan ada jawapannya, dan jika manusia tidak tahu apa jawapan terhadap sebuah persoalan, yakinlah Allah ada jawapan terhadap segala persoalan. Maka, jika kita tidak mengetahui jawapan terhadap permasalahan kita, maka Allah-lah tempat kita memohon pertolongan agar memberikan jawapan kepada kita, bukan meminta jawapan daripada sumber-sumber yang bahkan mengkeruhkan lagi permasalahan kita.

Berbalik kepada sebuah persoalan yang mungkin pernah menerjah dalam kehidupan kita, mengapa perubahan 180 darjah mampu berlaku kepada kita? Kesempatan kali ini kita fokuskan punca-punca dari diri sendiri atau faktor internal bagi perbaikan diri. Namun, suatu benda yang jadi pegangan kita bersama adalah perihal hidayah milik Allah, dan pembolakan hati seperti sehelai bulu yang ringan itu semua dalam kekuasan Allah yang Maha Mengkehendaki. Tugas kita adalah usaha sebaik mungkin untuk mencari, mengekalkan dan mensyukuri nikmat hidayah yang dikurniakan kepada kita.

Team Grafik Synergy Media : Freshie

Antara punca yang utama adalah ketika diri dan hati kita sudah kurang sensitivit terhadap turunnya keimanan kita, tidak merasa bersalah ketika ada ibadah yang kita tinggalkan dan merasa biasa melakukan kemaksiatan. Maka, kita perlu tingkatkan sensitiviti graf keimanan kita hatta sekecil apa pun poin yang menurunkan garisan graf keimanan kita. Cukuplah sikap kita yang memandang enteng perihal perkara ini, kita patut merasa malu dan bersalah kepada Allah ketika meninggalkan tahajjud kita, terlajak subuh kita, kurang bacaan quran kita, tidak berzikir pagi dan petang dan amalan-amalan lainnya. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu ta’ala menyebutkan bahwa Abu Darda’ pernah mengatakan: 


“Sungguh termasuk bentuk kecerdikan seorang hamba ialah tatkala ia senantiasa setia memupuk iman dan memperhatikan bagaimana ia bisa berkurang, dan tatkala ia selalu memperhatikan apakah imannya saat ini bertambah atau justru berkurang.."


Perkara lainnya yang membantutkan keimanan kita adalah kita sudah mula berjinak-jinak dengan kelalaian. Bermula dengan kelalaian yang dianggap ringan, sehingga ia makin meningkat level kelalaian tersebut sehingga terjun ke pusingan kemaksiatan. Dosa kecil lebih perlu kita takuti kerana ia terlalu halus untuk kita sedari berbanding dosa besar yang jelas sekali untuk kita elak ke tepi. Memang terkadang kita perlu mencari-cari sumber untuk kita berehat sementara dalam kehidupan ini, tapi ambillah sumber kebaikan sebagai kaedah rehat kita bersama. Samada belajar, bersukan, membaca al-Quran, membaca buku, ziarah -menziarahi, dan banyak lagi, berbanding mencari hiburan-hiburan yang merosakkan hati. Asy-Syeikh Muhammad al-Utsaimin rahimahullahu ta’ala mengatakan: 

“Dan iman itu bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.”

Heterogenous @ Homogenous

Kesalahan lain yang perlu diri sendiri ambil peduli adalah ketika mencari teman-teman atau orang-orang yang bukan membimbing ke jalan kebaikan, tapi mengherat ke lorong kerosakan. Bukan kita melarang untuk kita bergaul dengan teman-teman yang merosakkan, tapi jangan sampai kita tercampur sekali dengan mereka. Bergaul dan Bercampur adalah berbeza. Tiada salah kita bergaul untuk tujuan perlahan-perlahan menyedarkan mereka, tapi jangan tercampur sekali dengan kerosakan mereka.

“Seorang itu berada di atas agama kekasihnya (teman dekatnya), maka hendaknya salah seorang kalian melihat siapa yang menjadi kekasihnya.”[HR Tirmidzi]

Contoh dalam aspek kimia, ketika dua bahan ingin digabungkan, ada yang dinamakan heterogenous dan ada yang dinamakan homogenous. Heterogenous adalah bahan tersebut tergaul tapi masing-masing bahan masih dengan identiti sendiri, namun jika homogenous, bahan tersebut tergaul dan tercampur sehingga menghasilkan sebuah identiti yang baru hasil gabungan kedua-dua bahan tadi. Maka, bergaul dengan orang yang rosak, "heterogenous"kanlah pergaulan dengan mereka, melainkan kita mampu membuat mereka homogenous dengan sikap kebaikan kita, dan bukan kita yang terhomogenous dengan sikap mereka.

Gambar Hiasan

Beberapa perkara yang lain adalah lemahnya semangat dan motivasi kita untuk kekal dalam jalan kebaikan. Terlalu mudah mengalah dengan ajakan nafsu dan syaitan, dan terlalu melayan perasaan tanpa berfikir dengan lebih jauh kehadapan terhadap sesuatu pemilihan yang kita lakukan. Ketika kita merasa lemah, jangan dilayan sangat perasaan tersebut, motivasikan kembali diri kita, cari semula sumber kekuatan kita, untuk perlahan-lahan kita bertatih melakukan sebuah kebangkitan.

Berbalik Kepada Cinta

Punca paling utama dan penawar paling utama yang ingin saya tekankan pada perkongsian kali ini adalah "Berbalik Kepada Cinta". Sepertimana pasangan kekasih yang sedang bercinta, pasti kita tidak sanggup menyakiti hati pasangan kita, bahkan akan berkorban apa sahaja bagi memenuhi permintaan kekasih kita. Terdapat juga kes dimana seseorang telah banyak memberikan kasih sayang, hadiah, perhatian dan sebagainya, namun kekasihnya membalas perkara yang bukan hanya tidak setimpal bahkan menyakiti lagi hatinya.

Team Grafik Synergy Media  : Syira

Begitu juga perihal cinta kita kepada Pencipta, Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Kita mengatakan cinta kepada Allah, namun betapa sering kita menyakiti Allah dengan melanggar apa yang dilarang oleh-Nya, bahkan mengabaikan segala perintah Allah kepada kita. Kata cinta kepada Allah, tapi masih melakukan kemaksiatan yang dilarang, masih bermalas-malasan melaksanakan perintah Allah dan bagi para pendakwah mengapa masih ragu-ragu dan beralasan dalam membantu agama Allah. Itu bukan bukti cinta kepada Allah!!! Begitu juga setelah nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kepada kita, tapi tergamaknya kita bukan setakat tidak mengucapkan terima kasih, bahkan menambahkan kekufuran lagi kepada-Nya.

Ayuh muhasabah kembali cinta kita kepada Allah, adakah cinta kita selama ini adalah cinta yang palsu semata, cinta yang sebenarnya kita letakkan di tangga jauh ke bawah, cinta yang dimekapkan ketika ada orang lain melihatnya, atau kita ingin tingkatkan dan tinggikan kembali cinta kita kepada Allah melebihi segalanya. Jangan lagi mengorbankan cinta kita kepada Allah demi cinta pada nafsu dan syaitan, tapi mari korbankan cinta kepada nafsu dan syaitan demi cinta kita kepada Allah semata. Mari kita meletakkan cinta kepada Allah yang paling utama, dan tiada lagi cinta yang mampu mengalahkan dan mengganggu cinta kepada-Nya, tiada lagi yang menghalang kita melaksanakan perintahnya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin Ya Muqallibal Qulub, tsabbit qulubana 'ala dinik, wa'ala tho'atik.

Team Grafik Synergy Media : Zulan

2 comments:

Jumaat said...

Mohon share..

Fakhrullah Bin Mawardi said...

silakan Jumaat..terima kasih..