Tuesday, April 19, 2011

Pilihan Generasi Muda

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Syaitan Pilih Kasih

Cuba kita perhatikan, samada dalam diri mahupun orang lain, berapa ramai yang ketika membaca al-Quran, terasa mata bagai ingin terlelap, posisi dari duduk membaca al-Quran, kemudian baring membaca al-Quran, dah akhirnya al-Quran yang membaca dia (tidur). Sedangkan cuba kita bandingkan pula ketika seseorang bermain game atau membaca komik, mata terbeliak tidak kenal erti lelah, mampu bertahan berjam-jam lamanya, bahkan ada yang mampu tidak tidur hanya kerananya, mengapa?

Cuba kita perhatikan pula ketika kita dalam majlis ilmu samada mendengar ceramah, forum agama, halaqoh/usrah dan sebagainya, kita dapat lihat paling banyak terbuka adalah mulut (menguap) dan paling banyak tertutup adalah mata (tidur). Cuba pula bandingkan dengan konsert hiburan yang melampau, betapa aktif sang penonton terkadang mengalahkan sang penghibur, lompat atas-bawah, mulut tidak pernah ada kesempatan untuk menguap, mata terus bersengkang memerhatikan gelagat artis dipuja, mengapa?

Cuba kita perhatikan pula bagi mereka yang ingin berdakwah, terkadang datang banyak ujian menguji kesabaran. Onak dan duri terlalu banyak perlu dilalui dengan pengorbanan yang bukan sedikit, hati pula terkadang selalu dibisik agar keluar dari jalan ini, bahkan terkadang kita dah makin malas untuk mentajmi mad'u, sudah malas melaksanakan pengarahan, beralasan untuk datang ke program dan berdakwah sekadar alas perut sahaja. Cuba pula kita bandingkan dengan perkara dunia, samada untuk harta, pangkat, wanita mahupun lainnya, berapa ramai sanggup berkorban bagi mendapatkannya, program-program keduniaan dia dengan disiplinnya menghadiri, sanggup berbelanja mengeluarkan jumlah yang banyak hanya untuk yang sementara, mengapa?

Inilah tipu daya syaitan kepada kita, ketika kita ingin sahaja mendekatkan diri kepada Allah, maka disitulah dia memainkan peranan menjauhkan kita, namun ketika kita melakukan perkara yang menjauhkan dari Allah, buat apa dia ingin halang dengan memberikan rasa kantuk atau lainnya, bahkan dia menjadi penyorak untuk kita lebih berbuat. Maka, janganlah kita tertipu dengan syaitan laknatullah. Dia adalah musuh kita, bukan kawan kita, musuh kita perlu anggap sebagai musuh, berusaha melawan dan mengalahkan dia!

"Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala"[QS Faathir, 35:5-6]

Ketika Allah Memilih

Kita mungkin pernah berusaha ingin menasihat seseorang, atau bahkan kita sendiri dahulu pernah ingin dinasihat oleh seseorang, pada waktu itu membuahkan dua pemikiran, samada terlapang dada ingin mendengar dan mengamalkan nasihat, atau terasa berat dan sempit untuk mendengar apatah lagi berbuat. Bersyukur bagi mereka yang dilapangkan dadanya untuk menerima mutiara Islam berupa nasihat.

"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, niscaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman."[QS al-an'am, 6:125]

Inilah perumpamaan yang diberikan kepada dua jenis manusia. persoalannya kita berada di bahagian mana selalunya. Ketika diajak ke program-program bernafaskan Islam, dia bukan hanya mengelak dan menolak, bahkan menghina dan mencaci orang yang mengajak. Begitu juga dengan kita yang berada dalam jalan dakwah dan tarbiyyah, kenapa terkadang kita merasa sempit dada untuk terus berbuat demi Islam, untuk proatif mencari amanah dan tugasan demi kepentingan Islam. Mengapa?

Kesyukuran yang tiada taranya ketika Allah mengkehendaki kebaikan kepada kita dengan memberikan kita ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Hidayah yang tidak semua manusia menggapai dan memegangnya, kerana ramai sahaja pernah disapa dengan hidayah Allah, namun dia memilih untuk menolaknya jauh ke tepian, berbanding memegang erat dan menjaganya senantiasa. Cuba kita bayangkan kita termasuk dalam golongan kaki maksiat, kita-lah insan yang berjalan berpegangan tangan dengan bukan muhrim, berpelukan dan bermesra bagai suami isteri, bercumbuan dan bercengkerama di kawasan sepi, terasa nafsu dan syaitan yang perlu diikuti, terlupa ada Allah yang memerhati dan mengetahui, terlupa dunia ini hanya ujian yang pasti, terlupa ada hari hisaban dan pembalasan di hari akhir, dia terlupa hakikat kehidupan ini!

Bagaimana pula jika kita termasuk pekerja sepanjang masa di hadapan skrin bermain game, pembaca setia komik-komik penghancur akhlak, penonton tetap filem-filem dunia mahupun yang lucah, penyokong setia pemain bola dan pemain pentas hiburan yang sentiasa tahu perkembangan idolanya, penghisap bahan larangan membinasa kehidupan, peminum arak pelbagai rasa, penunggang motor merempit setiap malam dan sebagainya?

Perkara ini bukan cerita semata, kita sendiri pasti mengetahui bahkan pernah mendengar dan melihat kondisi remaja hari ini. Kerosakan yang maksima dan kejahiliyahan yang melampau dan tidak menjadi sesuatu yang aneh jika kita mahupun keluarga kita mampu terjerumus dengan situasi sedemikian jika tidak kita mencari, memegang, dan menyebarkan petunjuk jalan yang benar. Peluang berbuat dosa dan maksiat memang amat terbuka luas, namun peluang untuk terus dalam ketaatan akan dipenuhi himpitan ujian. Teruslah berjuang menempuhi ranjau kehidupan. Bersyukurlah ketika Allah memilih kita mendapat hidayahnya dengan terus memegang dan menyebarkan wangiannya di sekeliling agar mereka tahu betapa indahnya hidup di bawah rimbunan pohon hidayah.

Pesanan Buat Generasi Muda

Saya tersentuh ketika seseorang menyampaikan mesej ini kepada saya. Bila dibandingkan pesanan ini dengan kondisi generasi muda, terlalu jauh untuk didengar apatah lagi untuk dilaksanakan. Terlalu ramai yang dibuai keseronakan dunia, tertipu dengan hasutan syaitan durjana, terkawal dengan nafsu yang membuak ke arah kejahatan dan terpengaruh dengan kawan yang ke arah maksiat. Mari kita tadabburi pesanan As-Syahid Sheikh Ahmad Yaseen kepada generasi muda.

a) Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah, sudah sampai saatnya kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan al-Quran dan mencontohi Rasulullah SAW


b) Aku menyeru kalian wahai anak-anak untuk solat tepat pada waktunya .


c) Aku amat berharap kalian semua tidak sibuk dengan muzik(hiburan) dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat serta cinta kepada manusia dan dunia. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar. 


d) Wahai puteriku,aku mahu kalian berjanji kepada Allah akan mengenakan hijab secara betul dan jujur,serta mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yg mulia. Haram bagi kalian melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

MasyaAllah, pesanan yang menyeluruh buat kita semua. Mari kita telusuri satu persatu dikesempatan kali ini. Pesanan pertama ubat kepada salah satu penyakit nifak di dalam dada, iaitu bangun dari tidur dan laksanakan solat subuh secara berjemaah. Reflek pada diri kita, betapa banyak subuh yang kita terlajak sentiasa? Tidur dilayan berbanding kewajipan tiang agama? Mari betulkan sikap kita sebelum terlajak subuh ni menjadi kebiasaan sehingga kita tidak merasa bersalah lagi ketika melakukannya.

Cukuplah kelalaian kita, sudah sampai masanya bagi kita sedar dan perbaiki akhlak kita terutama akhlak kita kepada Allah kemudian akhlak kita sesama manusia. Akhlak yang terhasil jika kita mengamalkan perintah dan larangan dalam al-Quran serta mencotohi sunnah baginda mulia, Nabi Muhammad SAW. Jika kita sentuh kembali akhlak generasi muda dewasa ini, terlalu jauh dari landasan al-Quran & Hadis. Mari bawa perubahan dan keyakinan dalam diri kita dan ingatkan umat Islam yang lain. Ingatkan mereka tentang negeri akhirat, kerana itu adalah ciri mempunyai akhlak yang tinggi.

"Sesungguhnya Kami telah mensucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat.'[QS Shaad, 38:46]

Dalam pertandingan Nasyid antara Universiti yang lepas, kumpulan saya menyampaikan dua buah lagu dan salah satunya adalah seruan solat, nasyid yang dimulakan dengan hadis yang menekankan solat itu tiang agama kerana ramai yang kita lihat mula menghakis tiang dengan kelalaian solat dan menghancurkan tiang dengan meninggalkan solat. Adakah kita ingin dicelakakan oleh Penguasa yang Agung? Jika tidak ingin termasuk dalam golongan yang dicelakakan, maka jangan sekali-kali berani melalaikan solat kita. Utamakanlah solat berbanding perkara dunia lainnya.

"Maka celakalah bagi orang-orang yang shalat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya," [QS al-Ma'uun, 4-5]


"Orang yang mengambil ringan tentang solat, akan lebih mengambil ringan dalam soal yang lain"[Tabi'in : Abu al-Aliyah]

Pesanan seterusnya menyentuh mengenai hal dunia dan wanita (lelaki bagi wanita). Dua ujian ramai terkubur keimanannya yang telah saya tekankan berulang kali prihal ini. Namun, yang ingin saya tekankan mengenai satu ayat pesanan ini adalah nasihat as-syahid mengenai kita harus merasakan waktu yang sukar. Ramai mungkin antara kita tidak biasa dengan hidup susah, terlalu selesa dengan kehidupan, terlalu dimanja dengan keseronokan dunia, sehingga ketika kesusahan menimpa, habis keimanan jatuh tercorot. Kita memang perlu biasakan hidup susah dan merasakan kesusahan agar mampu mentarbiyyah kita dengannya. Biar-lah kita susah di dunia, yang penting jangan susah di akhirat kelak.

Pesanan terakhir yang disampaikan kepada kita khas buat kaum hawa. Laksanakan perintah Allah bagi menutup aurat sesempurna yang mungkin. Janganlah kalian menampakkan dan mempragakan kemuliaan kalian dengan harga yang murah, kerana kalian adalah mutiara yang harus disimpan dan dijaga dengan baik, diiktiraf sebagai perhiasan dunia, namun jadilah perhiasan yang paling indah, iaitu menjadi wanita yang solehah [HR Muslim, Ibnu Majah & an-Nasa'i]. Jagalah diri kalian sebaik-baiknya, jangan merasa bangga dengan gambar-gambar yang kalian tayangkan di lama-laman sosial, jangan merasa seronok ketika dipuji sang jejak mengenai diri kalian, cukuplah pintu-pintu dosa yang kalian bentangkan buat tatapan semua. Bukannya satu kerugian jika kalian tidak menayangkan gambar-gambar kepada khalayak umum, bahkan ia satu keuntungan yang membawa kepada kebahagian dunia dan akhirat, diri kalian hanya layak buat insan yang sah bergelar suami kelak.

"Wanita yang terbaik adalah yang tidak dipandang dan tidak memandang."(Saidatina Aisyah)

Semoga kita semua menjadi pemuda & pemudi yang bakal membawa perubahan yang melawan arus yang mengalirkan kerosakan dan kemaksiatan, kita yang bakal membelah arus itu dengan wangian tarbiyyah dan dakwah, yang bakal mengubah arus kepada aliran kebaikan, mari kita mulakan dengan meninggalkan perkara-perkara dosa dan maksiat yang kita lakukan, ingat kembali kepada Allah, lalu teruslah beramal memohon keampunan dan rahmat darinya. Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa silam, dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Jangan kita merasa cukup mulia bila kita terus beramal, jangan pula merasa kita dah cukup hina bila terus melakukan dosa, bila masih diberi kehidupan, maka itulah peluang yang diberi kepada kita untuk melakuakn perbaikan. Sedarlah, bahawa kita (Generasi Muda) adalah modal harapan yang bakal mengembalikan kegemilangan Islam. Amin Ya 'Aziz.

"Pemuda & pemudi adalah asset berharga kebangkitan bangsa. Setiap kebangkitan bangsa, jawapannya adalah pemuda."[Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna]

3 comments:

Anonymous said...

syaitan sudah berjanji akan menyesatkan anak adam..perlulah kita cuba utk taat..pernah juga tergelincir sebelum ni,berusaha mendalami agama islam..Mengimani bahawa hanya Allahlah yang berkuasa atas segala sesuatu..perasaan mulai tenang..~perjuangan yg masih pnjg utk ditempuhi..

Irwan Afendi said...

subhanAllah..mabruk ya akh,,semoga Allah mengukuhkan kaki mereka yang berjuang segalanya demi redhaNya~

jazakallahu khairan katsira..
=)

Fakhrullah Bin Mawardi said...

Nazihah@Jiha -> alhamdulillah, mmg ktia semua hampir tergelincir di jurang api neraka namun Allah menyelamatkan kita..[QS 3:103]

e~w@n -> waiyyaka ya akhi..insyaAllah amin atas doanya..(^,^)..