Monday, April 25, 2011

Keindahan Bersyarat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Keindahan Ujian Dunia

"Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)." [QS al-Imran, 3:14]

Inilah sepotong ayat bagi menyedarkan kita beberapa keindahan yang dijadikan sebagai ujian cinta manusia. Saya pasti kita sedia maklum dan mengetahui ayat ini, tapi sejauh mana kita jadikannya sempadan bagi memasuki kawasan cinta kepada Allah? kerana ramai yang memasukkannya dalam kawasan yang sama dengan Cinta Allah, bahkan ada yang menjadikannya dominant atau majoriti dalam kawasan tersebut sehingga menyebabkan berkurangnya kawasan Cinta Allah dan akhirnya pupus cinta-Nya sama sekali. Na'udzubillah.

Berapa ramai kita melihat habis keimanannya ketika ujian keindahan dunia di atas datang menyapa? Betapa banyak mengorbankan keimanannya demi memenuhi keinginan kepada kesenangan dunia semata? Terlalu taksub dengan kesenangan hidup di dunia, sehingga lupa ia akan kembali kepada Allah seperti firmannya di hujung ayat tersebut untuk mengingatkan kita bahawa "Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)".

Saya tidak ingin menghurai panjang mengenai jenis-jenis kesenangan di atas yang saya pasti ianya sudah terang lagi bersuluh untuk kita kaitkan dalam kehidupan yang kita lalui. Bahkan saya telah pernah menekankannya dalam post "Indikasi Cinta Milik Siapa" dan dalam Majalah SINERGI Edisi Ke-3 di bawah tema 'Ajarkan Aku Cinta'. Namun, pada perkongsian kali ini ingin saya khabarkan bahawa keindahan di atas yang memang dah cukup menggiurkan, namun bayangkan ada lagi yang lebih indah dan ada yang lebih baik berbanding semua itu. Keinginan(nafsu) dunia diumpamakan oleh Imam al-Ghazali sebagai kuda yang liar. Jika tidak terdidik kuda itu akan mengamuk dan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya jika berjaya dijinakkan, kuda itu dengan mudah dapat ditunggang mengikut mana jua hala tujuan.

Keindahan Jauh Lebih Baik

"Katakanlah: "Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?." Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal didalamnya. Dan (mereka dikuruniakan) isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya."[QS al-Imran, 3:15]

Subhanallah, inilah khabar yang lebih baik dinyatakan dalam ayat seterusnya. Khabar yang hanya valid dan diyakini oleh orang-orang yang bertakwa kepada Allah. Keindahan yang Allah nyatakan lebih baik dari keindahan perhiasan dunia, iaitu al-Jannah (syurga), isteri-isteri yang disucikan serta keredhaan Allah yang pasti jauh bahkan terlalu jauh perbezaan keindahannya berbanding kesenangan dunia yang kita dah rasa indah di dunia.

Inilah tiga perkara yang lebih baik untuk kita usahakan, syurga akhirat yang pasti lebih indah dari syurga dunia, bidadari syurga yang lebih mempersona dari bidadari dunia serta keredhaan Allah yang jauh lebih kita harapkan dari mencari keredhaan manusia semata. Namun, sedangkan ingin mendapatkan bonus syarikat ada syaratnya, apatah janji Allah juga pasti ada syaratnya yang bukan sesuatu perkara yang mampu didapatkan hanya dengan petikan jari, namun sesuatu perkara yang perlu melalui banyak ujian dan pengorbanan sebagai pembuktian.

"(Yaitu) orang-orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami benar-benar beriman, maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami dari siksa neraka",[QS al-Imran, 3:16]

Iaitu orang yang berdoa dengan kesedaran di atas dengan menekankan bahawa dia bukan sekadar beriman, tapi benar-benar beriman (innana amanna), kerana ramai kononnya beriman namun masih banyak yang dia ingkari bahkan masih banyak perkara yang belum diimaninya dengan sungguh-sungguh. Serta dalam doanya dia sedar dan mengaku akan dosa-dosanya, maka memohon keampunan dari Allah senantiasa kerana penghapusan dosa bukan kita tetapkan, bahkan kita tidak tahu adakah dosa telah diampunkan, maka janganlah jemu untuk terus memohon keampunan. Akhir dari doa dia meyakini bahawa akan ada siksa nereka bagi mereka yang dikehendaki Allah, akan ada balasan syurga neraka, akan ada balasan bagi setiap perbuatan, lalu dia  mohon agar terpelihara dari balasan siksa di neraka, yang jauh lebih merana berbanding kesakitan dunia. Syarat yang nampak mudah namun mengapa susah untuk berdoa?

"(juga)orang-orang yang sabar, orang yang benar, yang yang tetap taat, orang yang menginfakkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur(sebelum fajar)"[QS al-Imran, 3:17]

Ujian dan persyaratan yang diberikan, perintah dan larangan yang Allah anjurkan, serta takdir yang telah Allah tetapkan, marilah kita jalani dengan penuh kesabaran. Orang-orang yang sentiasa bersabar adalah salah satu ciri yang ditetapkan bagi mendapat janji di akhirat. Kesabaran yang bukan mudah untuk dipertahankan ketika datangnya banyak ujian, namun beruntunglah mereka yang mampu menegakkan kesabarannya dari tumbang dengan arus ujian.

Syarat seterusnya, mengapa ditetapkan hanya untuk orang yang benar? Walaupun kita ketahui dan sepakati mengenai pendusta kebenaran yang memperjuangkan kebatilan seperti orang-orang yang kafir, namun poin yang ingin saya sentuh dalam kesempatan kali ini mengenai pendusta yang kelihatan sebagai orang yang benar. Manusia-manusia yang lisannya nampak penuh kebenaran, namun dalam hatinya penuh dengan pendustaan kerana terkadang ada hati tanpa lisan lebih baik dari ada lisan tanpa hati. Ada hatinya baik namun kurang mampu menyampaikan melalui lisannya, ada pula lisannya fasih menyampaikan namun hatinya lumpuh tidak mengamalkan. Namun yang lebih baik antara keduanya adalah mempunyai hati dan lisan yang bergerak bersama..InsyaAllah kita bersama usahakan.

Istiqamah, atau tetap dalam ketaatan juga merupakan persyaratan diberikan. Orang yang mula beramal itu biasa, namun yang kekal dan tetap beramal itu yang luar biasa. Pasti ramai kita lihat bahkan mungkin pada diri kita sendiri kepayahan untuk terus dalam ketaatan kerana ketaatan agak payah subur dalam tanah iman yang lemah. Maka, mari kita terus membina dan memperbaiki keimanan setiap masa, teruskan semangat untuk terus bertahan dalam beramal. Begitu juga kepada semua pejuang kebenaran, komitmen kita akan terus diuji sehingga mampu melahirkan pejuang yang berkualiti. Persoalannya disini, adakah kita ingin tergolong yang berkualiti, atau hanya seronok menambah kuantiti?

Dua persyaratan terakhir untuk kita usahakan adalah menginfakkan harta di jalan Allah dan memohon keampunan sebelum fajar. Tidak ramai kita mampu melihat orang-orang yang mungkin mampu menjadi orang yang sabar, benar dan taat, namun tidak sanggup ketika dituntut pembuktian berbentuk pengorbanan menginfakkan harta, masa, tenaga jiwa dan raganya di jalan Allah. Marilah kita berusaha sebaik mungkin dengan keupayaan yang ada pada diri kita untuk menyumbang semampu yang boleh, bukan sesikit yang boleh hanya untuk Allah semata kerana iman bukan sekadar ingatan fikiran, bukan sekadar simpan di hati, bukan sekadar lafaz bicara, tapi perlukan amal pembuktian diiringi sebuah pengorban disaluti dengan penuh keikhlasan.

Begitu juga permohonan ampun bukan hanya di setiap habis solat, atau ketika masa biasa bagi manusia, namun permohonan keampunan yang sanggup dipohon ketika fajar belum menyingsing. Pembuktian bahawa kesanggupan dan kesungguhan untuk dia memohon keampunan pada Allah atas dosa dan kesalahan yang dia lakukan. Kesanggupan bangun melawan hawa nafsu tidur sebagai pengorbanan untuk mendapatkan keampunan Tuhan. Ayuh kita semua jangan memandang enteng dengan dosa yang kita lakukan, dan jangan juga memandang tinggi akan amalan yang kita laksanakan, teruslah memohon ampun atas dosa kesalahan, dan teruslah berdoa agar diterima segala amalan.

The Choise Is In Your Hand

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang kami kehendaki bagi orang yang kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik." [QS al-Isra', 17:18-19]

Apa kehendak kita?Dunia atau sebaliknya? Marilah kita sedari bahawa kita diciptakan bukan untuk kekal di dunia, tapi untuk kekal di akhirat, maka fikirkanlah dunia dan akhirat, lalu dahulukan mana yang utama, ingin kekal bahagia di syurga, atau kekal merana di neraka? Kita harus bijak membuat pilihan, kita harus tahu mana pilihan yang memberikan lebih banyak keuntungan, dan perlu lebih tahu keuntungan yang mana untuk kita fokuskan.

Namun, tiada halangan untuk kita sibukkan diri dengan hal yang memberi manfaat kepada dunia dan akhirat, daripada menyibukkan diri dalam hal yang memberi mudarat kepada dunia dan akhirat, namun kesibukan yang lebih utama adalah persiapkan bekalan amal menuju akhirat, bukan bekalan racun maksiat yang kita kumpulkan dengan bersuka ria di kehidupan dunia yang akhirnya membuat kita merana siksa di kehidupan akhirat.

"Yang demikian itu disebabkan karena kamu bersuka ria di muka bumi dengan tidak benar dan karena kamu selalu bersuka ria (dalam kemaksiatan). (Dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong ." [QS al-Mu'min, 40:75-76]

Marilah kita dengan yakin meletakkan kesedaran dan keyakinan atas kebenaran yang perlu kita amalkan. Saya yakin kita telah membaca, mendengar dan menerima terlalu banyak ilmu ke arah kebaikan. Namun, tiada gunanya segala nasihat, teguran dan perkongsian jika kita sendiri terus menerus menunda bahkan menolak untuk mengamalkannya. Masih tidak ingin meletakkan kesedaran untuk membuat perubahan, maka nasihatilah dirimu sendiri dan jangan hanya mengharap dariku atau selainku, kerana saya hanya mampu menasihati apa yang tersurat darimu, sedangkan kamu yang mampu menasihati yang tersirat dalam hatimu. Perubahan bermula dari diri sendiri. Semoga sentiasa diberi kekuatan untuk kita semua menapaki jalan kebenaran dengan penuh kesabaran untuk terus bertahan. Amin Ya 'Aziz, Ya Haq, Ya Shobur, Ya Jabbar.

4 comments:

Anonymous said...

salamun'alaikum....mabruk dengan perkongsiannya....
" berdoalah kamu dengan rendah hati dan lemah lembut. Sungguh Allah tidak menyukai orang2 yang melampaui batas"
(al'araf : 55)
kita selalu ingin yang terbaik. Tapi xpernah mencuba untuk memberi yang terbaik..manusia zaman sekarang lebih memandang pandangan manusia. Pandangan ALLAH diabaikan terus.........

Fakhrullah Bin Mawardi said...

wa'alaikumsalam wbt..setuju dgn kenyataan tersebut..nk terbaik tp usaha x sesuai ke arah itu..ramai tergelincir mnghrp pndngn manusia brbnding pndngn Allah..Na'udzubillah..

Nazihah@Jiha said...

rasa terpukul kepala membaca karya ini =(
.....

Fakhrullah Bin Mawardi said...

alhamdulillah..x ramai yg mampu melihat sesuatu sbg pengajaran untuk diri sendiri..smga pngajaran yg didapati perlu dibuktikn dgn amalan.