Wednesday, March 2, 2011

Makan Berpada-pada..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM



Islam Mengajar Pola Pemakanan

Salah satu faktor yang dititikberatkan dalam agama Islam adalah aspek kesihatan fizikal samada dari segi kecergasan tubuh badan, kecerdesan minda, hatta pola makan dan minum sihat yang turut mencakupi ketsumulan agama Islam itu sendiri. Inilah salah satu bentuk keindahan Islam jika diaplikasi dalam kehidupan kita. Bukan seperti yang difitnah musuh-musuh Islam yang mendoktrinkan manusia bahawa agama Islam hanya pada ibadat semata, tanpa mengambil kira aspek lainnya.

Kita harus sedari ada musuh Islam yang ingin agar umat Islam mengasingkan nilai Islam kepada ibadat dan kehidupan seharian. Kononnya Islam cukup hanya di surau atau di masjid, cukup hanya syahadah, solat, puasa, zakat dan menunaikan haji, kemudian di lain waktu Islam sepatutnya tidak perlu diapplikasikan samada dalam konsep ekonomi, kepimpinan,  pengajaran atau pemakanan. Sedangkan Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan, dan Islam adalah jalan hidup kita.

Salah satu perkongsian yang ingin saya ketengahkan kali ini adalah aspek pemakanan yang amat penting bagi kita. Kerana pemakanan adalah salah satu sisi yang digunapakai musuh Islam untuk menjatuhkan umat Islam dalam konsep kesihatan, kekuatan dan kecerdasan fikiran. Mereka akan berusaha agar umat Islam tidak mengikuti apa yang disaran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Semoga kita menyingkap kembali pola pemakanan yang diajarkan dalam agama Islam.

Makan Manfaat atau Mudarat

Makanan yang memang dengan jelas adalah benda yang baik kepada kehidupan kita, namun mampu menjadi benda yang buruk yang memudaratkan jika salah penggunaanya. Samada dari segi pemilihan makanan yang halal, haram dan syubha, kuantiti makanan yang dimasukkan ke dalam perut kita, atau pencampuran makanan yang tidak sesuai yang pasti memudaratkan kita. Walaupun pasti, mungkin kesan atau impaknya bukan dalam jangka yang singkat, namun sediki-sedikit pisau diasah, lama-lama jadi benda tajam yang merbahaya, yang mungkin mampu membunuh kita. Sebab itu Rasulullah SAW menekankan kepada kita keseriusan dalam mengisi bekas perut kita harus ada kawalannya.

"seseorang tidaklah mengisi bekas yang lebih teruk daripada perut, cukuplah seseorang itu memakan beberapa suap makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya. Jika harus (makan lebih banyak, maksima) sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya" [Shahihu'l-Jami']

Inilah bekas yang Rasulullah pesan kepada kita agar berpada-pada mengisinya, kerana ramai kita lihat kerana makan, ibadah binasa, kerana makan, lemah badannya, kerana makan, kurang aktifnya. Ibnu Qoyyim dalam menjelaskan hadis diatas menyatakan:

Menurut hadis terbaik dari segi pemakanan adalah  yang bermanfaat buat badan dan hati.[Ibnu Qoyyim]

Pemakanan jangan hanya mengambil kira soal kekenyangan badan tanpa memikirkan kerosakan hati. Kerana pemakanan yang berlebihan adalah faktor gelap dan kerasnya hati kita. Kerana itu, kita dinasihatkan jangan berlebihan dalam pemakanan sepertimana difirmankan Allah kepada hambanya:

"Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." [QS al-A'raf, 7:31]

Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan! Adakah kita ingin tergolong dalam hamba yang dibenci Penciptanya? Usap perut, tanya diri kita.

Sunnah Makan Rasulullah

Mungkin ramai antara kita tidak mampu bertahan ketika perut mulakan rentak gendangnya, tidak biasa berlapar atau tidak biasa hidup susah. Sedangkan Rasulullah dan para sahabat yang sebenarnya mampu sahaja makan dengan kenyangnya, namun mereka lebih menganjurkan kurangkan kekenyangan. Bahkan sentiasa melatih diri dalam kesusahan walau mampu mempunyai ruang kesenangan. Kerana kesusahanlah mengajar erti ketabahan, erti kekuatan dan erti kesabaran kepada kita.

Kita dianjurkan berpuasa bukan hanya ketika bulan Ramadhan yang mulia, namun dianjurkan berpuasa dalam bulan lainnya. Kita juga dituntut bukan hanya puasa ketika waktu susah, tapi berpuasa juga ketika waktu senang bagi mentarbiyyah diri akan kesusahan. Rasulullah juga mengajarkan konsep makan bersama sepertimana jika kita perhatikan makan secara jama'i atau beramai-ramai dalam talam ketika berbuka puasa, kita sebenarnya dianjurkan pembahagian makanan menurut sunnah adalah seperti yang disabdakan Rasulullah kepada kita.

"makanan dua orang cukup untuk tiga orang dan makanan tiga orang cukup untuk 4 orang"[HR Muslim]

Begitu juga dengan adab dalam makan dan minum yang dititkberatkan dalam Islam yang indah seperti mulakan dengan basmalah, makan dan minum dengan tangan kanan, ambil makanan yang dekat dari kita, duduk ketika makan dan minum, jangan bernafas di dalam gelas ketika minum dan minum perlahan-lahan, menggunakan tiga jari ketika makan, menjilat jari seusai makan sehingga akhirnya kita tamatkan dengan ucapan hamdalah kepada Allah. Semua adab di atas ada hikmahnya samada dari segi ibadat, akhlak atau kesihatan.

Bukan Melarang Kekenyangan

Islam bukan pula melarang sama sekali untuk kita makan dengan kenyang yang penting bukan selalu. Sepertimana yang digambarkan Anas r.a. ketika meriwayatkan makanan bertambah disebabkan berkat doa Nabi SAW,

"Maka mereka (para sahabat) makan hingga kenyang"[HR Bukhori]

Namun jangan terus mengambil peristiwa ini untuk dijadikan alas untuk sentiasa makan dengan kenyangnya tanpa ada tujuan. Sepertima jika kita telusuri kehidupan Rasulullah, sabahabat dan sahabiah, dan semua yang mengikuti mereka, semua lebih banyak menapaki hidup dalam kelaparan dan kesusahan, dan jika ada kelebihan akan mengambil cukup hanya untuk keperluan melainkan ada kepentingan lain untuk kita melebihkan. Imam al-Ghazali membahaskan kondisi kita dibolehkan makan dengan kenyang dalam kitab Ihya' Ulumuddin. Beliau meletakkan 5 situasi bagi pengambilan kekenyangan tersebut.
  1. kekenyayangan yang menjadi penyumbang tegaknya kehidupan.
  2. kekenyayangan yang agak lebih untuk berpuasa dan solat berdiri.
  3. kekenyayangan yang agak lebih untuk melaksanakan amalan-amalan nafilah (sunnah).
  4. kekenyayangan supaya boleh bekerja.
  5. kekenyayangan memenuhi 1/3 perut.
Ada juga kenyang yang tidak dianjurkan dalam Islam bahkan mampu jatuh kepada makruh dan haram hukumnya sepertima Imam al-Ghazali menyambung dalam kitabnya:
  1. kekenyayangan yang melebihi 1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur hukumnya makruh.
  2. kekenyayangan yang melebihi 1/3 perut sehingga membahayakan, iaitu kekenyangan yang dilarang, Haram.


Namun saya yakin mana yang lebih baik bagi kita. Baik yang mampu menjaga dan meningkatkan keimanan dan amal kebaikan kita. Baik yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan dan kekuatan tubuh badan kita. Jangan hanya kekenyaan perut kita pentingkan, kekenyangan hati lebih perlu ditekankan.

Makan Macam Binatang?

Ada manusia kerana nafsu makan badan binasa, kerana nafsu makan neraka jahannam tempatnya dan kerana nafsu makan kekafiran menimpanya. Sepertimana Allah firmankan manusia yang hidupnya untuk makan, hidup sepertimana binatang makan:

"..Dan orang-orang kafir bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang. Dan jahannam adalah tempat tinggal mereka." [QS Muhammad, 47:12]

Seperti yang sentiasa kita dengarkan, makan ini untuk hidup, bukan hidup untuk makan semata. Pola Makan bagi orang yang beriman sepatutnya mengekalkan dan meningkatkan ketakwaan, keimanan dan amalan kebaikan.

"Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang saleh karena memakan makanan yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa serta beriman, dan mengerjakan amalan-amalan yang saleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka (tetap juga) bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan."[QS al-Ma'idah, 5: 93]


Inilah syarat yang Allah tetapkan kepada kita, kerana terkadang ramai juga kerana kenyang makan, mengakibatkan laparnya hati, laparnya kekhusyukan, laparnya amal kebajikan. Na'udzubillah..Sedih kita melihat jika kita tidak mampu bangun tahajjud kerana makan terlalu banyak pada waktu malam, mengantuk dalam halaqah contohnya kerana perut penuh yang mengakibatkan gizi di mata bertambah. Kerana tenaga banyak dihabiskan hanya untuk mencerna makanan dalam perut kita, mengakibatkan ketika kita bangun tidur pun tenaga belum cukup chargenya kerana diguna banyak untuk pencernaan. Inilah juga mengakibatkan kita agak lemah di awal pagi kita. Wallahu'alam..

4 comments:

Irwan Afendi said...

akh,,
jom iftar esok~
:D

Fakhrullah Bin Mawardi said...

hehe..blh2..dah sahur time program kita berdua td..hihi..sahur bersama kena iftar bersama..hehe..insyaAllah..

Anonymous said...

salam akh. ana nak tanya, mcm mana palk klu kita dah t'biasa makan dlm kuantiti yg byk & dlm masa yg sama tidak mninggalkn ibadah fardhu maupun sunat?

Fakhrullah Bin Mawardi said...

alhamdulillah..itu pemanfaatan makanan yang digunapakai untuk ibadat..bahkan niatkan makanan dimakan bukan untuk memenuhi nafsu makan, tapi untuk kuat beribadat..krn ramai org mkn bnyk, tp ibadat x bnyk..ada jg, orang exercise dengan gigih amat memerlukan makanan yang banyak bagi recover & penambahan muscle yang pasti menjadikan kita mukmin yang kuat..wallahu'alam..