Saturday, January 8, 2011

Diari Pelayaran Di Lautan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Sengaja Gelapkan Orangnya..=)


Pelayaran Bermula

Alhamdulillah, setelah hampir sebulan berada di Indonesia (25 hari) dengan pengalaman yang amat berharga, setiap pertemuan ada perpisahan, melainkan bila bertemu dengan alam akhirat pasti tiada pemisahnya. Bagi pertemuan di sesuatu tempat, kami sekeluarga meninggalkan Indonesia untuk menuju ke tanah air.

Jika perjalanan menuju ke Indonesia dahulu melalui udara, kini kembali ke Malaysia melalui laut. Semua dengan izin Allah yang melayarkan bahtera di atas lautan, yang mengizinkan burung mengepak sayapnya terbang di awangan, kerana sebesar matahari Allah Penciptanya, sekecil zarah Allah juga Penciptanya, Allah Pencipta segala sesuatu dengan izinNya.

"Tuhan-mu adalah yang melayarkan kapal-kapal di lautan untukmu, agar kamu mencari sebahagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyayang terhadapmu." [QS al-Isra', 17:66]


Serius Besar

Kami menaiki Kapal Laut atau cruise yang amat besar. 8 tingkat ke atas, panjang tidak pasti berapa tapi memang panjang dan besar. Macam Titanic, tapi semoga hanya fizikal Titanic diikuti, bukan musibah yang dilaluinya atas dasar megah dan sombongnya warga kapal tersebut. Kapal laut yang dibawah syarikat PELNI atau Pelayaran Nasional Indonesia mempunya banyak kapal laut yang belayar setiap minggu, kami menaiki kapal laut yang diberi nama K.M. Bukit Siguntang bermula dari Pelabuhan Makassar ke Pelabuhan Pare-Pare, kemudian ke Pelabuhan Balik Papan, terus ke Pelabuhan Tarakan dan akhirnya sampai di Terminal akhir bagi kami sekeluarga, Pelabuhan Nunukan.

Pelabuhan Makassar

Pengurusan menaiki kapal laut di Pelabuhan Makassar berjalan lancar, ombak manusia menghempas K.M. Bukit Siguntang diiringin ombak dari lautan yang terbentang luas. Alhamdulillah, kami sekeluarga seramai 10 orang semua rehat di bilik yang disediakan yang bakal menjadi tempat tinggal kami selama 3 hari 3 malam berada di atas lautan ciptaan Yang Maha Kuasa. Walaupun bilik agak sempit sedikit, namun cukup selesa segala kemudahan yang disediakan. Bilik kami berada di tingkat 5 atau dek 5. Tingkap menghadap lautan. Pelayaran bermula pada pukul 10.10AM. Setelah masuk bilik di Pelabuhan Nunukan, hanya rehat setelah penat mengangkat barang-barang yang agak banyak. 3 kali turun naik kapal. Ramai sebenarnya buruh pengangkat barang, tapi bagi kami yang 5/10 adalah lelaki, memilih untuk angkat sendiri.

Selepas puas berehat, makan tengah hari juga selesai dijamah di meja makan yang disediakan, azan zohor dikumandangkan di seluruh kapal, kami menuju musholla yang disediakan. Kiblat yang sentiasa berubah arah ketika berada di kapal laut mengikut kordinasi kami berada. Kiblat kali ini menghadap lambung kiri kapal, kemudian belok ke kiri sedikit 15 darjah. Selain itu, pengalaman sholat di atas kapal laut yang perlahan-lahan terombang-ambing membuatkan semua jemaah sholat seiring goyangan mengikut goyangan kapal. Hadiah Jama'- Qasar dimanfaatkan semua musafir.

Persinggahan Pertama

Pelabuhan Pare-Pare

Kurang lebih 5 jam perjalanan, kami tiba di tempat persinggahan pertama di Pelabuhan Pare-Pare. Pelabuhan di sini dinyatakan salah satu pelabuhan yang amat pesat dengan penumpang, ramai penumpang naik di sini sehingga jika anda melihat di seluruh kawasan kapal ini penuh dengan penumpang di pelbagai penjuru. Ramainya penumpang mengalahkan jumlah katil yang ada sehingga dapat dilihat ramai yang tidur di atas lantai, ada yang tidur di bawah tangga, ada yang di bahagian luar bahagian beranda, ada yang atas kerusi, dan banyak lagi tempat-tempat yang tidak disangka-sangka. Namun, disebalik keramaian, di satu sudut, saya melihat seorang wanita berusia sedang khusyuk membaca al-Quran. Begitu juga ketika saya pergi ke bahagian hadapan kapal, kelihatan juga seorang lelaki dewasa sedang membaca al-Quran berlayarkan lautan yang luas. Alhamdulillah.



Pelabuhan Pare-Pare ada satu insiden mengejutkan, seperti biasa, di setiap pelabuhan akan ada ramai buruh-buruh mencari penumpang yang ingin dibantu diangkatkan barang. Mereka berebut secepat yang boleh untuk menaiki kapal ini, sehingga semua bergantung di tangga sebelum tangga sampai di pintu. Petugas kapal yang mengawal tangga sudah menyuruh buruh-buruh tersebut agar turun dari tangga dahulu, namun mereka masih degil, akhirnya, flying kick diberikan oleh petugas tersebut kepada buruh-buruh bahagian hadapan tangga tersebut. Bukan satu, tapi dekat 5 tendangan diberikan. Kami terkejut melihat kejadian itu, dan yang mengejutkan, buruh-buruh tersebut tidak membalas dan masih terus bersedia di tangga kapal tersebut. Setelah pintu kapal dibuka di hadapan tangga, buruh tersebut terus berpusu-pusu meluru mencari rezeki berupa menyediakan servis mengangkat barang. Ada juga penjual-penjual pelbagai makanan dan barang turut menaiki kapal mencari pelanggan. Ada jual makanan, minuman, top-up, handphone, tikar, dan hampir semua barang yang kita tidak menyangka pun ada.

Satu lagi insiden mengejutkan, disebalik kesibukan penumpang, penjual, buruh serta anak-anak kapal, kami amat terkejut bila melihat ada seorang pakcik, membuka beg panjangnya di tepi pelabuhan dekat dengan tangga naik ke kapal. Terdapat sedikit ruangan laut antara pelabuhan dan kapal laut. Pakcik tersebut mengeluarkan pancingnya, memasang, dan kemudian mula memancing di tengah kesibukan manusia. Mungkin bersandarnya kapal laut ini, turut menolak dan menyandarkan ikan-ikan ke tepi pelabuhan tersebut.

Selepas lebih kurang 2 jam berada di Pelabuhan Pare-Pare, K.M. Bukit Siguntang memulakan semula pelayaran membelah lautan luas terbentang.

Majlis Ilmu Di Lautan

Selepas waktu makan malam, kami menuju mushollaa menunggu azan maghrib dikumandangkan, sekali lagi suara seruan umat Islam menyelinap di seluruh ruangan kapal. Kali ini anak kapal membuat pengumuman kiblat menghadap bahagian hadapan kapal, kemudian ke kiri sedikit sebanyak 10 darjah. Rutin di K.M. Bukit Siguntang, memberitakan akan ada ceramah agama seusai solat maghrib-isyak dan selepas solat subuh dari penumpang sendiri. Alhamdulillah, ramai muzakkir dari kalangan penumpang yang ingin berkongsi ilmu kepada seluruh jemaah dalam mushollah.

Selepas selesai sholat, satu pengumuman kepada seluruh penumpang menyatakan:

"diberitakan waktu pemeriksaan tiket akan dilakukan kurang lebih 15 menit dari sekarang, diminta penumpang-penumpang agar berada di tempat masing-masing sehingga selesai pemerikasaan tiket"

Kami semua tidur agak awal pada malam ini. Ruangan bilik amat sejuk, semua memakai selimut dan stokin. Baju dan Jaket juga berlapis-lapis dipakai. Mata pun terlelap.

Matahari Terbit Seberang Lautan

Selepas bangun dari tidur, kami terus menuju musholla menunggu azan subuh, terdapat ramai jemaah yang lebih awal datang dari kami sebelum waktu subuh. Alhamdulillah, namun, ramai juga manusia-manusia yang masih lena dengan tidurnya, dapat dilihat sepanjang kami jalan menuju mushollla masih ramai yang tidur namun tidak tahu dia Islam atau tidak. Ada juga kelihatan yang mengejutkan dengan teriakan subuh selepas azan subuh dikumandangkan. Namun, tidak ramai yang bangkit dari tidurnya.

Kali ini kiblat Selepas subuh, satu lagi perkongsian ilmu diberikan dari penumpang yang lain. Bahasa indonesia namun boleh difahami kerana banyak juga buku agama yang menggunakan bahasa Indonesia boleh didapati di Malaysia.

Selepas habis ceramah, kami menunggu di bahagian dek terbuka bahagian luar kapal untuk melihat pemandangan dan menghirup udara segar. Lautan yang terbentang luas menurut batas penglihatan kami, namun yang pasti, Maha Luas dan Besarnya pencipta alam ini. Jika difikirkan, bagaimana kapal laut yang dibuat dari besi umumnya yang beratnya pasti bertan-tan mampu terapung di atas lautan, sedangkan besi yang sekecil jarum pasti tenggelam jika dibuang ke lautan. Inilah kuasa Allah yang mengizinkan disamping kajian otak manusia mengenai ilmu sains dalam konsep apungan.

"Tidakkah kamu memperhatikan bahwa sesungguhnya kapal itu berlayar di laut dengan nikmat Allah, supaya diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan)-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi semua orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur." [QS Luqman, 31:31]

Matahari yang terbit menyinari lautan telalu indah untuk diungkapkan. SubhanAllah. Teringat juga pemandangan matahari terbit di sebalik gunung yang menyinari gaung-gaung dari puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2006 yang lalu. Indahnya alam ciptaan Allah. Terlalu banyak nikmat yang diberikan kepada manusia, namun mengapa masih ramai manusia mengkufurkan nikmat yang diberikan? Tidak patut!!!

Persinggahan Kedua

"Dan tidak sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari karunia-Nya dan supaya kamu bersyukur." [QS Fathir, 35:12]

SubhanAllah. Satu ayat yang amat bertepatan dengan kehidupan manusia. Sesuai dengan pemandangan pagi tersebut kelihatan banyak kapal-kapal nelayan belayar, kesimpulan diberikan, pasti daratan ada berdekatan. Selepas sarapan, kelihatan hujan lebat dan angin kencang turun membasahi kapal ini. Penumpang yang dibahagian luar bergegas masuk ke dalam kapal. Syukur hanya sekejap perubahan cuaca.

"Jika Dia mengkehendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaannya) bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur" [QS As-Syura, 42:33]

Pelabuhan Balik Papan

Lebih kurang jam 10 pagi, K.M. Bukit Siguntang bersandar di Pelabuhan Balik Papan. Menurut anak kapal agak telewat sedikit kerana cuaca yang agak buruk menimpa. Sekali lagi, penumpang, buruh dan penjual sibuk turun-naik kapal. Memang setiap persinggahan ada penumpang yang turun kerana situ destinasi terakhirnya, ada juga yang ingin turun sementara melihat kawasan pelabuhan tersebut. Bagi kami, tidak semua yang turun kerana terlalu padat dan bahaya. Lebih-lebih lagi ada dua adik yang agak kecil perlu dijaga.

Selepas lebih kurang 2 jam juga perhentian di Pelabuhan Balik Papan, pengembaraan dimulakan semula. Tidak lama selepas keberangkatan, azan zohor berkumandang. Kiblat kali ini menghadap belakang kapal, kemudian ke kiri 45 darjah.

Pengisian Masa

Sudah tentu terlalu banyak ruang masa sepanjang perjalanan. Banyak juga kemudahan yang disediakn bagi mengisi waktu namun kebanyakan pengisian berbentuk hiburan keduniaan semata. Ada ruang bermain playstation, panggung wayang, konsert band, karaoke, etc. Ada juga kemudahan baik lain disediakan seperti perpustakaan, klinik, cafe, kedai, etc.

Indahnya jika masa yang berharga diisi dengan pekara yang berharga samada membaca al-Quran, buku, menghayati alam, beramah mesra disamping keluarga, dan banyak lagi perkara lain yang lebih bermanfaatkan untuk dunia dan akhirat kita bersama.

Maghrib membuka tirainya, Azan menyelinap seantero kapal. Kiblat kali ini menghadap ke bahagian kiri kapal, kemudian serong ke kiri sebanyak 10 darjah. Seperti biasa, Imam, Muadzin dan Muzakkir, semua dari kalangan penumpang. Ketika ini, hati tergerak untuk memberi perkongsian ilmu, namun, orang lain lebih dahulu mengangkat tangan bagi memberi tazkirah. Saya agak lambat membuat keputusan kerana keraguan di hati. Namun, ketika Imam melalui ayat 'fastabiqul khairat' yakni berlumba-lumba dalam kebaikan. Hati terus berkata InsyaAllah pada waktu subuh.

Kesempatan Berkongsi

Dengan izin Allah, dibangkit semula di awal pagi di hari ke-3 atas kapal laut ini. Selepas mengejutkan semua ahli keluarga, kami bersama-sama menuju ke Musholla. Kiblat kali ini menghadap hadapan kapal, kemudian serong 20 darjah ke kiri. Azan subuh memecah kedinginan pagi. Kali ini, saya menunggu beberapa ketika jika ada yang lain ingin mengangkat tangan memberi tazkirah. Memandangkan tiada yang kedepan, saya mengangkat tangan meminta izin memberi sedikit perkongsian ilmu. Saya hanya menekankan amalan bersyukur, majlis ilmu, manfaatkan masa dan akhirnya mengenai ukhuwah walau berlainan daerah, negeri hatta negara kendatipun. Alhamdulillah.

Persinggahan Ketiga

Pelabuhan Tarakan

Pada jam 11 pagi, K.M. Bukit Siguntang menurunkan tangganya di Pelabuhan Tarakan. Kali ini persinggahan selama 4 jam sebelum meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Nunukan. Pelabuhan di sini agak jauh dari daratan kerana kelihatan laut yang berdekatan dengan daratan agak cetek bagi sebuah kapal mega. Maka kelihatan jalanan yang agak jauh dibina dari daratan mengarah jauh ke lautan.

Pelabuhan Tarakan kelihatan banyak mengenai dagangan. Terdapat banyak barang dagangan diangkut naik ke atas kapal. Sehingga kelihatan bahagian dek 7 penuh dengan kotak-kotak gabus yang berisi makanan laut dan sebagainya. Bertepatan posisi musholla yang berada di dek 7 juga. Maka dilalui semua barang dagangan ini.

Azan Zohor dikumandangkan. Kali ini arah kiblat menghadap hadapan kapal kemudian serong lebih kurang 10 darjah.

Destinasi Dituju

Perjalanan disambung menuju arah tujuan kami sekeluarga, Nunukan. Azan Maghrib dikumandangkan di akhir-akhir pelayaran kami. Seperti biasa selepas solat ada ceramah agama. Kelihatan pakcik-pakcik di sana meminta saya memberi ceramah. Terutama seorang pakcik tua menuju ke arah saya sambil menunjuk ke arah hadapan dengan jarinya menandakan meminta saya ke hadapan. Namun, saya melihat ada saudara lain bersedia ingin ke hadapan memberi ceramah. Saya hanya senyum kepada pakcik tua yang meminta saya maju ke hadapan sambil menunding jari kehadapan sambil mengatakan sudah ada yang maju pak. Alhamdulillah.

Sejurus selepas ceramah, pengumuman yang menyatakan akan tiba di Pelabuhan Nunukan dalam jam 10 malam. Saya melihat jam tangan yang menunjukkan waktu sekarang dekat jam 8 malam. Ada sisa 2 jam untuk berkemas.

Akhirnya pengumuman bahawa kapal telah bersandar di Pelabuhan Nunukan menggembirakan hati kami semua kerana sampai dengan selamat. Seperti pelabuhan yang lain, buruh siap menyerbu penumpang-penumpang yang ingin perkhidmatan mengangkat barang. Kami angkat barang sendiri turun ke kapal dan menyewa grobak barang menuju ke taksi yang keluarga kami sudah sediakan. Syukur ada keluarga di mana-mana yang boleh membantu kita di saat memerlukan. Kami sekeluarga bermalam dahulu di Nunukan dalam rumah keluarga dekat.

5 comments:

Abu Faruq Al-Iskandari said...

subhanallah, pengalaman menarik yag panjang utk dibaca..

tahniah akhi krn sememangnya Allah meminta kita berlayar mentadabbur alam ciptaan Allah. melihat pelbagai jenis makhluk dan sikap manusia.

ana sekarang di bandung bersama Dr Hizul, azahar dan khir sedang menikmati alam di indonesia.

cuma yg agak sedih bagi ana dan akah hzul, kami berjalan tanpa isteri di sisi.

sedih jugaklah..

Anonymous said...

ana x berpeluang nak melancong mcm akhi d Indon..wlpn arwah datuk dr Indon berpindah ke Beruas,,but nk menjejakkn kaki ke sna bgtu sukar.Seronok berjalan n menghayati kehidupan org lain.terutama berada di atas laut..mcm2 kekuasaan Allah boleh kita lihat.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

zikr --> wah..akhi zikri..kami lagi sedih belum ada isteri blh temani..hihi..

Anonymous --> betul tu..insyaAllah ada kesempatan kelak blh diusahakan ke sana..sendiri pun blh..tapi usahakn ke sana bkn skadar melancong suka2..=)

Unknown said...

salam..terima kasih atas perkongsian ini..sungguh entry kali ni membw sy seolah2 turut mengembara dlautan dan tempat persinggahan yg bermacam ragam..paling suka,mengenai flying kick..time bc cita tu, rasa terpukul n tersedar,betapa kehidupanku ini jauh lebih baik dr buruh2 tue...tp aku terlalu kerap mengeluh n trlalu jarang bsyukur..ALLAH kurniakn aku rezeki tanpa perlu aku menanggung kesakitan mcm buruh tue....alhamdulillah...smga dlain waktu, masih sudi bkongsi pengalaman2 macam ni....syukran

Fakhrullah Bin Mawardi said...

afwan hawa..insyaAllah pengalaman kita semua kita sama2 dapatkan pengajarannya..bersyukur kpd Allah sumber hidayah kpd kita..