Saturday, April 17, 2010

Karat-Karat Jahiliyyah Dalam Generasi Muda II

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM


Assalamu’alaikum w.b.t. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta ‘Alam yang masih terus menerus memberi nikmat yang tidak mampu dihitung oleh hamba-hambaNya. Nikmat kesihatan baru ana rasakan tatkala sekarang ana ditarik sedikit nikmat kesihatan yang jarang ana syukuri. Panas badan ditambah sakit kepala yang agak berat ana usakan untuk kuat bertahan dalam rangka mengingatkan diri sendiri dan pembaca sekalian akan nikmat kesihatan yang sering hanya dirasai tatkala nikmat tersebut ditarik oleh-Nya. Namun marilah kita bersama-sama saling ingat-mengingati agar jangan nikmat kehidupan kita baru nak rasakan tatkala nyawa di kerongkongan. Marilah kita memanfaatkan setiap detik nikmat kehidupan sebagai lambang kita bersyukur kepada Allah Yang Maha Hidup.

Selawat dan salam cinta dan rindu kita kirimkan kepada junjungan mulia penghulu para anbiyya’ yang mencintai dan merindui kita semua. Dengan izin yang Maha Berkuasa diberi kesempatan menarikan jari-jemari di atas papan kekunci untuk meneruskan perbincangan karat jahiliyah untuk kita cegah bersama.

Ikhwah wa akhawat rahimakumullah, setelah beberapa perkongsian karat jahiliyyah sebelum ini, adakah kita amalkan ilmu tersebut untuk menjadikan jahiliyah sempadan dalam ruang keimanan kita? Semoga kita diberi kekuatan ke arah redha-Nya. Terus kepada karatan yang seterusnya. Yang telah lama tertanam dalam halaman pemikiran kita, kepercayaan kepada Horoscope dan yang seangkatan dengannya. Mempercayai bila hari yang malang, bila hari yang tinggi rezeki, yang rendah percintaan, dan pelbagai lagi yang dibahaskan sebagai tekaan dan kepercayaan yang sama dilakukan Arab Jahiliyyah suatu ketika dahulu.

“Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan.” (QS 5:3)

Al Azlaam artinya: anak panah yang belum pakai bulu. Orang Arab Jahiliyah menggunakan anak panah yang belum pakai bulu untuk menentukan apakah mereka akan melakukan suatu perbuatan atau tidak. Jahiliyyah sekarang melihat dahulu ramalan Sang Horoscope baru melakukan sesuatu perkara. Moga selepas ini kita kikis jauh-jauh perkara khurafat yang menjauhkan kita dari kepercayaan kepada Tuhan Penentu Segala.

Ikhwah wa akhawat yang dikasihi, karatan yang makin rancak juga menyebar dalam hari umat dewasa ini berdasarkan suatu kisah buat tauladan, kesombongan yang timbul dalam perjanjian hudaibiyah antara Suhail bin ‘Amr (Quraisy) dengan Baginda Rasulullah. Menolak penggunaan ‘ar-Rahman’ dalam basmalah sehingga Rasulullah menukar ‘Bismikallahumma’. Ditambah penolakan penggunaan ‘Rasulullah’, maka Baginda menukar kepada Muhammad Bin Abdullah (Sirah Nabawiyyah – Abul Hasan ‘Ali al-Hasani an-Nadwi). Betapa kesombongan ditegur Allah buat pengajaran kita bersama. Tatkala Allah berfirman:

 “Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan Jahiliyyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat-takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha mengetahui segala sesuatu.”
-analogi sapa lagi besar?” (QS 48:26)

‘Sudah siang, Lagi berkanta’, kesombongan di dalam diri salah satu penyakit jahiliyah yang perlu diusir beribu batu jauhnya. Perasaan merasa diri lebih hebat dari yang lain, merasa diri lebih pandai dari yang lain, merasa diri lebih cantik/hensem dari yang lain, merasa diri lebih kaya dari yang lain bahkan merasa diri lebih besar dari yang lain, cuba jawab pertanyaan ini:

Antara dirimu dengan rumah/universiti/syarikat mu mana lagi besar?
Antara rumah/universiti/syarikat mu dengan negerimu mana lagi besar?
Antara negerimu dengan muka bumi mana lagi besar?
Antara bumi dengan matahari mana lagi besar?
Antara matahari dengan sistem solar mana lagi besar?
Antara sistem solat dengan galaksi mana lagi besar?
Antara galaksi dengan proto galaksi mana lagi besar?
Antara proto galaksi dengan alam semesta mana lagi besar?
Sekarang cuba fikir dan jawab…
Antara alam semesta dengan Pencipta Alam Semesta mana lagi besar???
AllahuAkbar!!!
Sekarang kau sedar apa AllahuAkbar yang sebenar-benarnya,
Dirimu hanya sebutir pasir yang lemah dihadapan Allah,
Tunduk rendahlah dan akui dirimu sebagai hamba Yang Maha Kuasa,
Cukuplah kesombongan yang memekar dalam hatimu,
Mohon ampun padaNya, itu yang perlu.
(Ilham dari ESQ Leadership Center)

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”(QS 31:18)

Ikhwah wa akhawat, kita hamba pada Yang Esa, buang la sifat sombong dalam hati kita, bagi yang ditarbiyyah, jangan anggap dirimu laksana malaikat, merasakan tiket syurga sudah ada ditangan, itu bukan di tangan kita untuk putuskan, mungkin sahaja bertukar sebelum kiamat, kiamat dirimu atau kiamat dunia, ingatlah kata-kata dari seorang sahabat:

“Sesungguhnya dagangan Allah mahal harganya (diulang 3 kali), Sesungguhnya dagangan Allah adalah syurgaNya” (Atsar Ibnu Mas’u)

Buang sifat kesombongan dalam diri, 
contohi Rasulullah dalam segenap sisi, 
rendah diri dan tawadhu’ perlu diikuti.
Syukurilah kelebihan yang kita miliki,
Kelemahan diri untuk kita perbaiki,
Untuk mendapat kebahagiaan hakiki.

Ikhwah wa akhawat yang Allah pilih, terlalu berpuisi pula di penulisan kali ini, agar nampak sedikit variasi, sebagai cubaan nak mengekalkan konsentrasi, dalam rangka dakwah pena ini. Karat seterusnya, bukan karat besi, tapi karat jahiliyyah yang ana ingin bahaskan adalah berdasarkan kisah kaum musyrikin yang meletakkan prasangka jahiliyah terhadap Allah, meletakkan anggapan kekalahan yang dirasai bukan akibat diri sendiri yang melanggar ketetapan dari pemimpin abadi (Rasulullah). Allah rakamkan peristiwa tersebut di dalam kitabNya bagi mereka yang mahu berfikir:

 “…sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri; mereka menyangka yang tidak benar terhadap Allah seperti sangkaan jahiliyyah. Mereka berkata: Apakah ada bagi kita barang sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini?…. (QS 3:154)

Jelas dalam firman ini meletakkan prasangka terutama yang negatif atau persepsi adalah sifat seorang yang mempunyai jahiliyyah dalam dirinya. Seringkali membuat ‘snap judgement based on appearance’, That’s why we are advice don’t judge the book by its cover, but then, (dah lah tidak hebat english mahu speaking pula). Apa yang ana ingin sampaikan disini adalah satu perkara yang crutial buat kita semua, betapa banyak pergaduhan atau peperangan berlaku hanya atas dasar meletakkan prasangka yang buruk tanpa mengkaji atau menganalisa kebenaran berita yang dengari.

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.   
(QS 49:6)

Ikhwah wa akhawat sekalian, janganlah kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa meletakkan persepsi buruk terhadap orang lain, Allah melarang keras perbuatan ini dalam firmanNya.

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), karena sebagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (QS 49:12)

Melihat muka seseorang sedikit parut dikatakan samseng, bibir seseorang gelap dikatakan perokok, mendengar sesuatu perkara dari satu pihak terus percaya tanpa periksa samada shahih atau maudu’, tidak kira dalam konteks kawan, keluarga atau masyarakat.

Ikhwah wa akhawat, karat terakhir buat sapaan kita bersama pada entri kali ini merupakan satu perkara yang terlalu banyak berlaku dalam dunia hari ini. Menghina. Mengejek. Mengolok. Mencaci. Atau seangkatan dengannya, itulah yang ingin ana kongsikan untuk isi terakhir ini. Suatu kisah yang ana rasakan ramai antara kita sudah sedia maklum akan penceritaannya, kisah Abu Dzar al-Ghifari yang menggelar Bilal Bin Rabbah dengan panggilan yang kurang enak didengar.

Hadits dari Abu Dzar, ia berkata: “sesungguhnya saya mengejek seseorang dengan menghina ibunya, maka Rasulullah berkata padaku, “Hai Abu Dzar, apakah engkau menghina ibunya? Sesungguhnya engkau adalah orang yang mempunyai sifat Jahiliyyah” (HR.Bukhari-Muslim)

Perkara menghina Rasulullah sendiri meletakkan ianya merupakan sifat jahiliyyah, namun mengapa kita masih sering mengejek bahkan memfitnah sesama kita, tidakkah kita tadabburi firman Allah ini:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (QS 49:11)

Ikhwah wa akhawat semoga dilundungi Allah, marilah kita jauhi teguran dan larangan dari kaca mata quran dan hadith, jauhkanlah dirimu dengan karat jahiliyyah, yang mampu menghumban diri kita ke dalam neraka. Semoga Allah sentiasa memberikan kita kekuatan dalam rangka berjihad(bersungguh-sungguh) melawan hawa nafsu, melawan hasutan dunia bahkan melawan bisikan syaitan dari bentuk jin dan manusia. Sedarlah terlalu ramai yang ingin menjatuhkan kita, terlalu ramai yang iri dengan kita, hayati:

Mereka akan terus mencuba,
Merobohkan benteng kita,
Tetapi mereka tidak tahu,
Sebaik-baik mereka merancang makar,
Allah juga merancang.
Dan Pencipta kepada mereka yang merancang itulah yang terbaik.
Inilah kepercayaan mereka yang meyakini sepenuhnya Dia,
Dalam keimanan”
(Dipetik dari novel ‘Sinergi' – Hilal Asyraf)

Alhamdulillah. Wallahu’alam, wassalamu’alaikum w.b.t.

2 comments:

Mohammad Adhwa said...

Apabila terbaca artikel ni..
Terasa banyak kekurangan dalam diri..

Fakhrullah Bin Mawardi said...

kekurangn yg ada untk diperbaiki..perkara utama sebelum dibaiki adalah menyedari n mnyesali..iA akhi..^,^..