Saturday, March 19, 2011

Dakwah Fire Drill

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM





Fire Drill @ UTP

Di keheningan awal pagi di UTP, kebingitan bunyi loceng memecahkan suasana damai dan tenang warga UTP, spesifiknya di kawasan hostel bahagian Village 3 dan Village 4. Jam menunjukkan lebih kurang 4 pagi. Loceng yang berbunyi ramai seperti tidak dihiraukan kerana sebelum ini ia banyak kali berbunyi walaupun tiada tanda-tanda kebakaran berlaku, namun berbezanya kali ini ianya disertakan dengan teriakan memanggil 'Run for your life'..'All gather at assembly point'..'wake-up..wake-up'..dan banyak lagi trend seruan bagi menyedarkan penghuni hostel yang pasti dalam keadaan yang nyenyak tidurnya.

Dakwah atau seruan fire drill tidak cukup hanya dengan teriakan, namun bising dengan bunyi ketukan pintu ke pintu dan bunyi larian menuju ke tempat berkumpul yang telah ditetapkan jika berlaku apa-apa bencana yang tidak diingini. Kelihatan juga segolongan manusia yang penuh semangat mengetuk dan mengejutkan kawan-kawan se-bloknya dengan muka yang cemas. Ada juga yang sempat packing barang-barang yang berharga untuk dibawa keluar, ada yang masih santai menggosok-gosok matanya sambil berjalan, dan banyak lagi ragam yang mampu kita perhatikan.

Setiba di tempat berkumpul, kelihatan kenderaan bomba sudah siap berada di sana. Lampu kecemasan turut dihidupkan. Kehadiran turut diambil dalam fire drill kali ini. Semua penghuni hostel berpusu-pusu menuju ke sini, dengan fesyen pakaian tidur yang pelbagai gabungannya. Ini adalah fire drill kali ke-2 sepanjang saya berada di UTP selama hampir 3 tahun lebih di medan menuntut ilmu ini.

Pihak bomba mula menarik perhatian kebisingan suasana kepada mereka ketika mula memberi salam. Perkara pertama dia nyatakan :

"fire drill kali ini anda semua gagal!, kerana sepatutnya perlu keluar dari bilik dalam masa 2-3 minit sahaja..ini kebanyakan 20-30 minit..saya hanya melihat lebih kurang 10 orang yang menepati masa kecemasan bagi mengosongkan bangunan jika dilanda kebakaran.."

Pelbagai Ragam Mad'u

Mari kita ambil pengajaran dari peristiwa dakwah fire drill di atas dengan mengaitkan kepada dakwah kepada Allah. Sudah pasti ketika menyeru penghuni hostel untuk bangun dari lena yang panjang amat-amat sukar, walaupun ada sebilangan kecil yang mudah untuk dikejutkan. Ada yang mendengar loceng sahaja ia terus bangkit dari tidurnya, ada juga yang ketika diketuk pintu biliknya baru mampu terbangun, ada juga perlu digerakkan sedikit sudah mampu untuk sedar, ada yang perlu digerakkan berkali-kali baru terbangun dan ada juga yang habis tenaga digerakkan namun tidak juga bangun dari tidurnya.

Begitu juga kita dalam mendakwahi manusia bagi menyedarkan mereka hakikat kehidupan. Pasti banyak juga ragamnya, ada yang ketika kita beri sedikit peringatan dia telah sedar, ada yang perlu diingat berkali-kali baru dia mampu sedar, ada juga diingatkan berkali-kali tidak juga sedar-sedar bahkan ada juga kita beri peringatan dia bahkan melawan kembali.

Dalam sisi yang lain pula, mari menyentuh mengenai kaedah yang diguna-pakai bagi mengejutkan dari tidur yang panjang. Ada cukup menggunakan suara, ada yang perlu diketuk pintunya, ada yang perlu digerakkan dan sebagainya. Sekali lagi, begitu juga dalam dakwah kepada Allah, ada yang mungkin cukup dengan mendengar tazkirah, ceramah atau lagu nasyid islamik. Ada pula perlu diberikan tugasan baru dia sendiri mampu merasakan. Tidak lupa juga ada yang perlu kita lebih tegas untuk kebaikan dirinya.

Seperti pada waktu semalam, 18 March 2011, UTP menganjurkan Malam Inspirasi Seni iaitu pertandingan nasyid peringkat awal atau preliminary sebelum dibawa ke peringkat akhir. Lagu-lagu nasyid semalam ada yang mendidik jiwa ada juga hanya menceriakan suasana. Namun, pasti ada antara nasyid yang disampaikan mampu menyedarkan beberapa insan yang menghayatinya. Suka juga saya sampaikan disini ucapan tahniah kepada 4 kumpulan yang terpilih ke peringkat akhir iaitu All For Ummah (AFU), In Saff, Syababul Islam For Ummah (SIFU) dan Mujahideen diatas kejayaan menempatkan diri ke pusingan akhir pertandingan nasyid peringkat UTP. Semoga menyampaikan hiburan yang bukan hanya untuk menghibur hati, tapi hiburan yang mampu mendidik hati & menyentuh hati.

Ayuh Pilih-Pilih Mad'u

Kita pasti pernah mendengar kata-kata strategi dari Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna agar memetik buah yang lebih dekat untuk dicapai. Begitu juga kalau kita simak sirah dakwah Rasulullah SAW dalam buku Manhaj Haraki ketika baginda akan memilih dahulu beberapa manusia untuk didakwahi pada permulaan dakwah baginda dan selepas membina asas yang kuat yang mendatang natijah kejayaan umat Islam, baru mampu difokuskan kepada semua golongan. Ini semua kerana memilih dalam mencari mad'u amat dititikberatkan sebagai lambang strategi dakwah yang baik bagi permulaan pembinaa foundasi yang kukuh. Sepertimana Allah ajarkan kepada Rasulullah dalam firmannya:

"agar dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir." [QS Yasin, 36:70]

Berikan peringatan kepada yang hidup hatinya. Hati-hati yang masih sedar ketika dikejutkan dengan peringatan. Hati yang sehat membezakan mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Pasti kepada semua yang berpengalaman berdakwah menghadapi pelbagai jenis manusia yang pasti juga berlainan kondisi hatinya. Maka, mari kita berikan peringatan yang hidup hatinya. Namun disisi yang lain, jangan kita tergolong dalam hati yang mati yang tiada kesan ketika peringatan diberikan.

"Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan kamu sekali- kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." [QS Qaf, 50:45]

Ciri seterusnya diajarkan kepada kita dengan memberikan peringatan kepada mereka yang takut akan ancaman Allah SWT. Perlu mencari mad'u yang masih ada rasa takut kepada Allah bukan yang sombong dengan perintah dan larangan Allah SWT. Teruslah ingatkan manusia akan akibat jika masih terjerumus dalam lembah kemaksiatan, dalam lembah kehinaan, kerana semua tindakan kita akan dihisab kelak.

"oleh sebab itu berikanlah peringatan karena peringatan itu bermanfaat, orang yang takut (kepada Allah) akan mendapat pelajaran, dan orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya." [QS al-A'laa, 87:9-11]

Di ayat seterusnya pula Allah memberikan dua jenis golongan manusia ketika mana diberikan peringatan. Ada manusia ketika diberikan peringatan, ketika diajak kepada majlis tazkirah, atau bahkan sudah mengikuti majlis ilmu seperti halaqah, akan wujud dua jenis manusia. Golongan pertama adalah yang takut kepada Allah dan ketika diberi peringatan dia akan ambil pelajaran. Manakala golongan kedua yang Allah bahkan mencelanya sebagai golongan yang celaka adalah dia akan makin menjauh meninggalkan peringatan-peringatan yang diberikan. Sedangkan tarbiyyah & dakwah adalah ubat penyakit umat kini. Kita perlu mncari ubat, menggunakan ubat & kelak mndapatkn manfaat ubat..bukan fobia dgn ubat, lari dari ubat dan kelak membinasakan badan sendiri.

"Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." [QS az-Dzariyyat, 51:55]

Ciri terakhir ingin saya kongsikan di sini adalah ayat yang saya pasti ramai yang mengetahuinya bahkan ramai yang menghafalkan, iaitu peringatan itu bermanfaat bagi orang yang beriman. Inilah juga tanda-tanda keimana seseorang, yang sentiasa mengambil manfaat akan setiap peringatan yang diberikan.

Variasikan Dakwah

Dalam kita menyeru manusia kepada keimanan kepada Allah, sesuai dengan ragam manusia, maka perlu kita sesuaikan puzzle dengan pasangan puzzle yang sesuai, atau bentuk lego dengan pasangan lego yang sesuai, iaitu dengan menyesuaikan cara mengikut jenis mad'u yang ingin ditarik. Jangan terlalu fokus hanya dengan satu cara sahaja, tidak berjaya tapi masih dengan cara itu, kita harus kreatif dalah berdakwah, jangan hanya fokus kepada satu cara, tapi sentiasa adakan backup plan yang berterusan.

Begitu juga dengan jenis mad'u yang kita dapati. Ada yang mungkin kasar orangnya, ada juga yang lembut orangnya. Maka, jika kita masuk ke kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum, kerana jika mengaum di kandang kambing, maka lari semuanya, jika mengembek di kandang harimau, nahas kita dikerjakannya. Namun teruslah jadi kambing walau di kandang harimau, dan teruslah jadi harimau walau di kandang kambing. Sesuaikanlah dengan suasana tanpa menggoyahkan prinsip kita, agar mampu menjadi gula kepada semut yang disukai semua. Kerana saya sering sampaikan perkara ini, bahawa dakwah untuk menyentuh hati, bukan untuk menyakitkan hati.

Nasihat terakhir yang ingin saya harapkan bermanfaat pada diri saya sendiri dan semua yang pembaca, agar teruskanlah beramal dengan ikhlas tanpa mengharapkan benda lain selain redha Allah. Jangan menarik mad'u kerana inginkan duitnya, kerana ingin keretanya, kerana ingin sokongan politiknya, kerana ingin meramaikan, atau pelbagai lagi niat lainnya, berdakwah la berterusan hanya kepada Allah. Namun jika Allah kehendaki mendapat mad'u yang ada kelebihannya untuk dimanfaatkan di jalan dakwah, maka silakan, tapi jangan jadikan ia niat utama untuk menariknya. Wallahu'alam.

9 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum.."Laa ilaaha illallah" mumtaz! mohon keizinan drpd akh utk sy share entri ni kat fb..??
^_^ lillahita'ala

Fakhrullah Bin Mawardi said...

insyaAllah..silakan..jzkk..

Anonymous said...

syukran..^_^

Anonymous said...

eh,lupa..dun wurry,nnt sy ltak linknya..^_^

Fakhrullah Bin Mawardi said...

afwan..ok..makasih Nazihah = Anonymous

Anonymous said...

Alhamdulillah, suka dengan entry ni.. semoga terus maju dalam penulisan yang mendidik hati.

Fakhrullah Bin Mawardi said...

insyaAllah Anonymous..doakan ana dan kita semua terus istiqamah dan istimrar di jalan Allah.

MUJAHID295 said...

unik

Fakhrullah Bin Mawardi said...

syukran membaca mujahid295..insyaAllah..